Tuesday, July 29, 2008

REVIU FILEM MEI 2008

ANTARA AKHIRAT DAN ‘MI’ FOR MOTHER

Pawagam menayangkan beberapa buah filem Melayu pada awal tahun 2008 ini. Antaranya ialah Anak, Duyung dan Akhirat. Anak yang menampilkan pelakon Era Fazira, adalah sebuah cerita seram yang hanya bertahan sebentar sahaja di pawagam, sekaligus menjelaskan kegagalan filem seram yang banyak mengambil bentuk filem seram Jepun Ju-on itu. Duyung sebuah filem komedi arahan A. Razak Mohideen yang menampilkan pelakon-pelakon seperti Saiful Apek, Yassin, Maya Karin, Awie dan ramai lagi. Duyung mengekalkan trademark filem A. Razak Mohideen yang lebih menampilkan filem hiburan ringan-kosong yang hanya memerlukan pelakon datang dengan otak yang kosong dan pulang dengan otak yang kosong juga. Filem ketiga ialah Akhirat arahan Syed Mohamed Hassan Benyahya menampilkan pelakon seperti Vanida Imran, Tony Eusoff, Jins Shamsuddin, dan ramai lagi, berkisar tentang kisah mangsa AIDS yang menerima penyakit tersebut akibat dirogol oleh penagih dadah.

Ketiga-tiga filem Melayu ini masih terkurung dalam kegelapan cerita oleh kerana skrip yang ditulis dengan pemikiran yang kosong dan kegagalan memahami apakah itu jalur cerita apabila sesebuah filem itu ingin bercerita. Jalur cerita adalah kesinambungan cerita, perkaitan peristiwa, dan pertautan sebab musabab oleh kesan logik (logos), nilai sosial (etos), dan emosi umum (pathos). Ini semua sudah lintang pukang dalam dunia filem Melayu. Dalam pada itu, sejak berlakunya gerhana filem Melayu dari awal tahun 2000, kita sudah lama membuang harapan untuk melihat wujudnya unsur pemikiran dan falsafah dalam filem Melayu. Maka itu, filem Melayu yang paling kosong pemikirannya adalah filem yang paling baik – dilihat dalam konteks box-office, yang menggunakan kayu ukur materialisme dan hedonisme. Maka itulah yang dikerjakan oleh pembikin-pembikin filem Melayu – materialisme dan hedonisme di samping simplicity yang membunuh intelektualiti.

Akhirat adalah filem melodrama. Melodrama selalunya dikaitkan dengan permainan unsur emosi-kejiwaan yang menunjukkan bagaimana karakter bergelumang dengan permasalahan, cabaran, isu, pertentangan, dan pertelagahan yang memberikan horizon yang lebih luas kepada penonton untuk memberikan persepsi terhadap dunia kepunyaan karekter tersebut. Melodrama lebih menjurus kepada permainan emosi dan nilai sentimental yang tinggi. Pada masa yang sama melodrama menjana kekuatan subjeknya dengan menghadirkan tiga teras utamanya iaitu, mise-en-scène, muzik, dan persembahan.

Mise-en-scène adalah latar pentas kehidupan atau peristiwa di dalam dunia watak tersebut. Ia adalah keseluruhan objek dan subjek yang menjadi latar kepada peristiwa yang wujud di dalam cerita. Muzik adalah perkaitan dengan perkataan ‘melo’ dalam melodrama itu. Muzik di sini, selain daripada gubahan bunyi juga adalah rentak kehidupan yang beralun atau berlagu dalam cerita. Dalam ertikata lain ia juga adalah getaran emosi yang mengalir dan tumpah di dalam cerita itu. Persembahan adalah keseluruhan penghayatan yang bukan sahaja tertumpu kepada pelakon, tetapi lebih penting pengarah, skrip dan semua alat atau jentera (sumber manusia dan teknologi) pembikinan filem tersebut.

Akhirat adalah sebuah filem yang tidak ada kaitan dengan tajuknya iaitu Akhirat. Ia menimbulkan kekecewaan dan kehampaan yang besar untuk khalayak yang datang untuk melihat sebuah filem yang mungkin tampil sebagai sebuah risalah, dan bukan sebuah propaganda materialisme dan hedonisme. Bahkan filem yang menggunakan nama unsur keIslaman ini, lebih buruk dan kotor dengan menampilkan banyak babak ranjang-seksual yang tidak ada kena mengena pun dengan cerita. Ini boleh dibuktikan bahawa jika semua babak lucah ini dibuang, filem ini tidak akan terjejas sekuman pun. Malangnya pengarahnya adalah seorang yang terlalu kabur dengan apakah bentuk atau genre filem yang ingin dihasilkannya. Syed Mohamad tidak tahu apakah dia ingin menghasilkan sebuah drama, melodrama, thriller, ataupun filem orientasi-seksual. Maka dia mencampur dengan buruknya semua elemen tersebut sehingga penonton akhirnya melihat filem Akhirat ini sebagai sebuah filem yang kalut daripada pengarah yang kabur tentang makna sesebuah genre dalam filem.

Syed Mohamad tidak tahu untuk memberikan fokus kepada kerja pengarahannya. Apa perlunya subplot pertarungan samseng pengedar dadah dalam cerita ini? Apa perlunya watak Jalaludin Hasan dan Adi Putra untuk sengaja diada-adakan dalam drama pesakit AIDS? Dan, apa perlunya babak ranjang antara Adi Putra dan Nabila Huda itu? Semua subplot atau babak yang dimasukkan ini semuanya adalah ‘kerja mengarut’ dalam filem Akhirat ini. Akibatnya filem yang selayaknya hanya menjadi drama televisyen ini mempersia-siakan bakat dan keupayaan pelakon-pelakon besar seperti Vanida Imran, Tony Eusoff, Jalaluddin Hassan dan Jins Shamsudin.

Pada masa yang sama telah berlangsung festival filem Iran iaitu Nourooz Impression di GSC Mid Valley, Pavallion dan One Utama. Sepuluh buah filem Iran ditayangkan dari 22 Mac hingga 2 April, yang menampilkan filem-filem hebat di tangan pengarah-pengarah besar seperti Tahmineh Milani, Ebrahim Hatamika, Saman Moghaddam, Rasoul Mollagholipour dan ramai lagi. Sukar untuk menyatakan filem mana yang terbaik kerana semua filem di sini ialah filem yang terbaik.

Melihat kepada perbincangan tentang melodrama, adalah baik untuk melihat kepada filem Mi for Mother arahan Rasoul Mollagholipour. Filem ini mengisahkan seorang ibu, Sepideh yang melahirkan anak cacat akibat kesan gas mustard yang mengenainya semasa bertugas sebagai sukarelawan perubatan semasa perang Iran-Iraq. Soheil, suaminya seorang diplomat yang tidak dapat menerima hakikat isteri dan anaknya adalah mangsa gas mustard itu keluar daripada hidup mereka dengan menceraikan Sepideh dan meninggalkan Saied, anak mereka yang cacat. Sepideh dan Saied meneruskan kehidupan ibu dan anak dengan bahagia walaupun hidup penuh kesukaran. Sepideh adalah pemain violin yang hebat, menurunkan bakatnya kepada Saied. Maka filem ini selain daripada menawarkan Mise-en-scène yang menakjubkan dan persembahan yang sangat konstruktif, juga memberikan sebuah getaran emosi yang paling ngilu oleh kesan muzik violin yang amat menusuk jiwa yang paling dalam.

Melodrama dalam Mi for Mother ini ialah sebuah ketidaktentuan, ketakutan dan neurosis seorang Sepideh, seorang Saied, seorang Soheil, bahkan Mr. Rubik yang kristian itu, Fezineh, Miriam dan semua objek dan subjek di dalamnya. Rasoul memberikan fokus yang paling jelas kepada melodramanya. Filem ini tidak ada babak pegang tangan pun walaupun Soheil dan Sepideh adalah suami isteri kerana pengarahnya memahami hukum dan prinsip lakonan dalam Islam. Tidak ada subplot ‘mengarut’ yang tidak kena mengena dengan cerita sepertimana subplot pengedar dadah dalam Akhirat. Tidak ada sub-watak yang muncul dan tenggelam tanpa sebab, sebalik semua watak walau sekecil manapun adalah wujud sebagai partikel-partikel kepada tubuh cerita tersebut. Contohnya bagaimana watak-watak anak-anak dan orang cacat akhirnya digabungkan dalam sebuah koir pada akhir cerita dan menumbuhkan kesan emosi yang sangat menusuk.

Terlalu banyak untuk diceritakan dalam Mi for Mother ini. Namun tajuknya Mi, salah satu nada dalam muzik (do re mi fa so la ti do), adalah untuk ibu itu cukup untuk memberikan sebuah mise-en-scène yang paling jitu bagi khalayak memahami falsafah dalam melodrama Rasoul Mollaghalipour ini.

Berbeza dengan Akhirat, sebuah tajuk yang langsung tidak ada pertautan konstruktif dengan cerita bahkan mengingkari kesucian tajuk itu dengan babak yang menghina hukum dan prinsip Islam di dalam filem. Ia tidak berlaku sepertimana hukum dan prinsip yang dipegang oleh pengarah-pengarah Iran dalam menghadirkan filem sebagai sebuah risalah. Dan dalam semua filem Iran, ia dimulakan dengan muqadimmah memuji Allah. Dalam menyatakan kebesaran Allah dan keindahan Islam, Mi for Mother pula menampilkan kenangan Sepideh terhadap bagaimana ayahnya mengajar menulis khat dalam satu ayat, “Mengapakah kau menafikan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah s.w.t.” Kemudian filem pun bergerak dari titik itu. Ia sebenarnya adalah sebuah filem yang mudah tetapi mempunyai inti pemikiran dan hakikat kehidupan yang amat tinggi nilainya. Ia sebuah filem yang sangat indah.

Apakah terlalu mustahil bagi pengarah filem Melayu untuk menghasilkan sebuah filem yang berfikir – dan indah?

Milenia Muslim, Mei 2008

DUNIA TANPA TIRAI

POLITIK PERLU MELIHAT KEPADA RAKYAT

Antonio Gramsci dalam mengemukakan teori hegemoninya menyebut bahawa negara merupakan lokasi kekuasaan koersif iaitu berdiri di atas sarana kekerasan melalui ‘tangan’ polis dan tentera dan berada dalam satu wilayah tertentu, bersama dengan pelbagai bentuk birokrasi yang didanai oleh negara. Masyarakat disebut sebagai lokasi kekuasaan negara itu berlangsung. Walaupun sudut pandangan Gramsci ini mengarah kepada situasi masyarakat Eropah awal abad ke-20 namun pandangan itu mampu untuk berdiri sebagai sebuah pandangan universal dan melangkaui sempadan zaman dan waktu. Sepertimana yang dikatakan oleh Marx, ‘masyarakat baru berkembang dari rahim masyarakat lama’. Menjaluri juga apa yang disebut oleh Ibnu Khaldun bahawa sejarah ialah rentetan yang tidak putus-putus daripada kebangkitan dan kejatuhan negara, suatu putaran yang tidak pernah berhenti.

Apa yang berlaku dalam situasi politik terakhir di Malaysia hari ini banyak memperlihatkan pergelutan untuk merebut kekuasaan oleh pihak-pihak yang diwakili oleh kepentingan politik yang berbeza. Serangan-serangan yang bersifat peribadi untuk meruntuhkan sosok individu adalah tindakan yang mengarah kepada kepentingan politik per se, yang tidak berkaitan dengan kepentingan rakyat. Kecenderungan ini berlaku lantaran kepercayaan politik yang meyakini bahawa negara yang merupakan lokasi hegemoni itu sebagai matlamat akhir kepada perjuangan politik. Dalam ertikata lain, politik ialah tujuan penguasaan negara terhadap masyarakat atau rakyat.

Pemahaman ini sebenarnya adalah kegagalan besar politikus untuk melihat definisi kekuasaan. Jika kekuasaan dilihat dalam konteks hubungan hegemoni antara negara dan rakyat maka tujuan politik akan melahirkan tindakan-tindakan yang memperjuangkan sosok nilai individu politik tanpa mengira keutamaan kepada kepentingan rakyat. Namun jika kekuasaan itu dilihat sebagai kesinambungan daripada wilayah al-qudrah iaitu definisi kekuasaan yang melihat negara, pemimpin dan rakyat adalah pusat perhambaan kepada Tuhan, maka tujuan politik akan melahirkan tindakan mengangkat dan mengutamakan kepentingan umat secara keseluruhannya yakni rakyat per se dengan menolak kepentingan sosok individu politik.

Harga minyak meningkat kepada USD145 setong dan kemungkinan akan meningkat lagi sehingga USD150 setong. Saham di seluruh dunia mengalami kejatuhan yang teruk. Sehingga ada negara (?) yang terpaksa merosakkan sistem komputernya untuk menutup dan mengelak daripada kejatuhan yang sampai kepada garis malapetaka. Kenaikan minyak mentah akan terus meningkat oleh pertambahan permintaan global khususnya China yang meningkat keperluannya untuk membangunkan wilayah yang dilanda gempa dan persiapan menghadapi sukan Olimpik. Kenaikan juga turut berlaku dalam harga gas asli iaitu menyaksikan kenaikan sehingga 81%.

Thomson Rauter meramalkan keuntungan suku kedua 500 syarikat yang tersenarai dalam S&P akan jatuh 12.4%. Institusi kewangan menerima kesan yang paling buruk dengan margin keuntungan jatuh kepada 66% daripada tahun lalu. Sementara dalam bidang pekerjaan, 15,000 pekerjaan hilang daripada 453,000 pekerjaan yang dilahirkan pada separuh tahun pertama tahun 2007. Industri pembuatan mengalami kejatuhan bilangan tenaga kerja yang terburuk sejak 58 tahun, sementara industri pembinaan mengalami kejatuhan bilangan tenaga kerja sehingga 6.8%. Keadaan ekonomi dijangka akan bertambah buruk dalam dua tiga bulan akan datang. Ketidaktentuan pasaran, kenaikan bahan mentah yang terus melonjak tinggi, kenaikan kadar permintaan global yang memuncak, kejatuhan pasaran saham dan modal serta kekurangan penawaran bahan komoditi akan menjadikan ekonomi dunia dalam keadaan yang amat tidak stabil. Kesan daripada ini turut membawa dunia kepada lonjakan besar kadar inflasi yang menyaksikan kehadiran malapetaka kepada kehidupan masyarakat di seluruh dunia.

Kesan besar ternyata akan menimpa kepada rakyat. Bahkan ia turut membawa bersama kepada ketidakstabilan sosial yang menyaksikan peningkatan kadar jenayah, ketegangan hubungan dalaman masyarakat, kemunculan gejala sosial yang baru dan keruntuhan institusi nilai. Akhir sekali ia menghasilkan ketidakstabilan politik yang boleh menimbulkan kekacauan dan huru hara. Dalam keadaan ini, pemimpin politik harus melihat kepada usaha untuk menentang dan menghalang sedapat mungkin hempasan gelombang ganas ini daripada menghancurkan kehidupan masyarakat, bukannya mengambil kesempatan untuk merebut kekuasan politik dengan mengeksploitasi keadaan.

Malaysia mempunyai beberapa tahun masa sebelum tiba kepada penggal Pilihanraya Umum Ke-13. Alangkah baiknya masa beberapa tahun ini digunakan oleh pemimpin-pemimpin politik baik dari pihak kerajaan mahupun pembangkang untuk duduk semeja menggembeling tenaga menghadapi bencana dan malapetaka besar ekonomi yang boleh menghancurkan kehidupan masyarakat dan negara. Untuk sejenak parti-parti politik ini melupakan tentang politik kepartian mereka dan menumpukan usaha secara bersama demi kepentingan rakyat. Lupakan soal membuang Perdana Menteri, lupakan soal mengambil alih kerajaan, lupakan soal sosok nilai dan karakter individu politik – dan tumpukan kepada usaha untuk meghadapi bencana ekonomi. Setelah itu, rakyat akan menentukan siapakah dan parti manakah yang akan dipilih mereka dalam pilihan yang adil dan bersih pada PRU13. Bukankah ini lebih baik untuk semua pihak.

Malangnya kekecohan sodomi dan Mongoliagate menjadi sensasi yang bukan sahaja mengalih tumpuan rakyat daripada gelombang kemusnahan besar yang sedang datang tetapi juga membawa kepada usaha yang sia-sia untuk mempertahankan kepentingan politik keindividuan dan kepartian masing-masing. Apa kata jika kedua-dua sosok individu yang menimbulkan sensasi peribadi itu dibuang sahaja daripada ruang politik dan kehidupan kepunyaan rakyat? Bukankah ini lebih baik untuk kedua-dua mereka menyelesaikan masalah pertuduhan peribadi mereka di mahkamah tanpa melibatkan waktu dan kehidupan rakyat?

Beranikah Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat ‘merehatkan’ dua tonggak politikus besar mereka demi rakyat? Atau memilih untuk menenggelamkan diri mereka dalam sensasi politik yang tiada penghujung dan faedahnya kepada rakyat. Mungkin kita harus kembali kepada pernyataan Ibnu Khaldun, “value is one thing, reality another”. Matlamat politik dalam keadaan sekarang harus difahami bukan adalah ruang hegemoni yang menjanjikan keagungan dan kekuasaan kepada sosok individu sehingga melahirkan perebutan kuasa yang tidak mahu memberi waktu kepada rakyat (PRU13), tetapi harus difahami sebagai amanah daripada ketentuan al-qudrah yang mengorbankan kepentingan diri untuk umat manusia demi Allah s.w.t.

Mingguan Wasilah, 13-19 Julai 2008

Monday, July 28, 2008

REVIU FILEM APRIL 2008

MELIHAT PERANG ANTI-PENGGANAS AS DALAM RENDITION

Apakah yang anda rasakan apabila tiba-tiba orang yang anda tunggu ketibaannya di lapangan terbang tiba-tiba lenyap tanpa kesan? Isabella El-Ibrahimi (Reese Whitherspoon), wanita Amerika Syarikat berkahwin dengan warga Amerika keturunan Mesir Anwar El-Ibrahimi (Omar Metwally), seorang jurutera kimia. Mereka hidup bahagia bersama, dengan seorang putera dan menunggu seorang lagi cahaya mata dalam kandungan. Amerika Syarikat adalah negara untuk semua orang mengecap kebebasan tanpa mengira warna kulit. Sekurang-kurangnya itulah yang dipropagandakan, sehinggalah tiba pada suatu ketika mereka menyedari bahawa Amerika Syarikat bukanlah seperti mana yang mereka sangka. Kehidupan Isabella tiba-tiba bertukar apabila suaminya Anwar El-Ibrahimi, lenyap tanpa kesan ketika dalam penerbangan balik dari Cape Town ke Washington. Tiada data dan sebarang bukti yang menunjukkan bahawa Anwar El-Ibrahimi menaiki pesawat tersebut walaupun Isabella telah menerima panggilan telefon daripada Anwar sejurus sebelum Anwar menaiki pesawat. Isabella mencari petunjuk. Pihak di Afrika Selatan mengesahkan bahawa Anwar menaiki pesawat pulang ke Washington. Apabila Isabella melakukan pencarian, dia menemui petunjuk. Anwar menggunakan kad kreditnya untuk membeli barangan di dalam pesawat. Ini mengesahkan bahawa Anwar menaiki pesawat tersebut. Tetapi bagaimana Anwar tiba-tiba lenyap dan semua butir-butir tentang kehadirannya dalam pesawat itu dipadamkan? Isabella menyedari sesuatu yang pelik dan dahsyat berlaku ke atas suaminya.

Rendition diarahkan oleh pengarah dari Afrika Selatan Gavin Hood sementara skripnya ditulis oleh Kelley Shane berdasarkan peranan yang dimainkan oleh CIA dalam melenyapkan dan menyeksa orang-orang yang disyaki pengganas tanpa pengadilan dan pembicaraan. Anwar El-Ibrahim adalah mangsa tangkapan rambang CIA yang menyangka beliau adalah pengganas yang terlibat dengan serangan bom di Mesir yang mengakibatkan kematian seorang pegawai CIA. Selepas serangan 11 September, AS memperkenalkan akta yang disebut Patriot Act yang boleh menahan, mengurung dan menyeksa sesiapa yang disyaki pengganas tanpa bicara. Rendition adalah istilah bagi tindakan CIA menahan suspek dan menghantar mereka ke penjara-penjara CIA di luar negara untuk dikurung dan diseksa bagi mendapatkan maklumat tentang kegiatan pengganas. Ia juga popular dengan sebutan ‘torture taxi’. Namun malangnya kebanyakan mangsa CIA ini adalah orang-orang yang tidak bersalah seperti Anwar El-Ibrahimi ini. Mereka ditahan lantaran prejudis terhadap nama Islam dan asal keturunan mereka dari Timur Tengah.

Anwar diserbu dan ditahan tanpa sebab sebaik tiba di lapangan terbang. Data-data dirinya dipadamkan dan beliau dibawa terus ke hangar yang disewa CIA. Atas arahan Corrinne Whitman (Meryl Sreep), Ketua CIA yang bertanggungjawab atas kegiatan pengganas, Anwar diterbangkan terus ke kem rahsia CIA di Mesir. Di sana Anwar diletakkan di bawah tanggungjawab Abu Fawal (Igal Nour), ketua unit rahsia yang bertanggungjawab mencari maklumat tentang kegiatan militan Islam. Abu Fawal mempunyai kuasa penuh untuk melakukan apa sahaja terhadap tahanannya termasuk menyeksa hatta membunuh, kerana kem rahsia ini tidak mempunyai sebarang undang-undang yang perlu dipatuhi selain daripada menerima arahan daripada CIA dan menteri negara berkenaan yang bertanggungjawab secara rahsia.

Douglas Freeman (Jake Gyllenhaal), pakar analisis CIA yang dilantik menjadi ketua penyelaras CIA di Mesir menggantikan ketua penyelaras CIA yang mati oleh serangan bom kemudiannya menjadi pegawai penyelia kepada soal siasat yang dilakukan terhadap Anwar. Di sana Douglas bertemu Abu Fawal yang amat digeruni dan menjadi sasaran utama pihak militan. Sementara di AS pula Isabella terus berusaha menjejaki Anwar. Usaha ini membawanya kepada Alan Smith (Peter Sarsgaard), teman kolejnya bersama Anwar dahulu untuk menjejak Anwar. Akhirnya kedudukan sebenar terdedah. Nasib Anwar kini terletak di tangan Whitman, ketua CIA yang berasa tindakannya betul dan segala yang dilakukannya perlu dipertahankan walaupun mengorbankan orang yang tidak bersalah.

Kembali ke Mesir, Fatimah anak perempuan Abu Fawal kini lari mengikut teman lelakinya Khalid. Kisah Fatimah membawa kepada peristiwa tragik apabila Khalid adalah senjata kepada pihak militan untuk membunuh Abu Fawal. Serangan bom yang membunuh agen CIA itu sebenarnya ditujukan kepada Abu Fawal. Dan sepertimana kata Andre Bazin, “… from shot to shot, time is completely free. The relationship of one shot to another may be from any tense (past, present, or future) to any tense (future, present or past)”. Filem ini memperlihatkan bagaimana masa yang tidak terikat pada ruang masakini, masalalu atau masa hadapan itu saling bertukaran. Ini disebut Bazin sebagai ‘the abstract, intellectual imaginary time of montage’. Rendition bermula melalui teknik in media res, Douglas bersama agen CIA melalui jalan yang sesak dan tersekat oleh kemalangan. Sementara Abu Fawal dan anggota-anggotanya berhenti di tepi jalan dan minum di sebuah kedai di tempat yang sama. Tiba-tiba tembakan dilepaskan kepada Abu Fawal tetapi tidak mengena. Serentak itu bom tiba-tiba meletup dan menghancurkan tempat itu. Termasuk yang terkorban agen CIA teman Douglas. Cerita kemudian dibawa kepada peristiwa Anwar dan sebagainya sehinggalah pada akhirnya kejadian letupan bom itu diulang kembali dan menjelaskan bahawa yang meletupkan bom itu ialah Khalid, teman lelaki Fatimah yang dihadang oleh Fatimah. Dan Fatimah, anak perempuan Abu Fawal adalah antara mangsa yang terkorban dalam letupan itu tanpa diketahui oleh Abu Fawal sendiri sehinggalah Abu Fawal menyerbu ke rumah Khalid.

Pergerakan cerita ini cukup menarik dan memberikan kesan emosi yang amat hebat. Apatah lagi dengan lakonan ekstravaganva pelakon-pelakonnya. Watak naïf Isabella dan Anwar. Ambivalen Douglas dan Abu Fawal. Dunia keliru Fatimah dan Khalid. Tegarnya Corrinne Whitman. Ia memperlihatkan watak-watak bulat yang masing-masing tegar menyatakan mereka di pihak yang benar. Semua orang merasakan mereka betul dan keadaan menjadikan semua orang betul.

Rendition adalah kekeliruan, ketakutan dan kegilaan AS terhadap dosa yang mereka lakukan. Selain itu ia juga adalah dunia hipokrit AS yang mendabik dada sebagai juara hak asasi manusia tetapi apa yang mereka lakukan adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh Nazi, regim Pol Pot, penjenayah perang Serbia dan sebagainya. Seperti dialog yang diluahkan oleh Douglas, “setiap orang yang anda seksa akan menumbuhkan sepuluh, seratus, seribu musuh baru setiap hari”. Tindakan zalim AS tidak pernah berjaya menghapuskan pengganas sebaliknya hanya melahirkan seribu musuh baru setiap saat.

Rendition adalah kisah benar yang berlaku kepada Ahmed Agissa, yang diserkup di lapangan terbang, kemudian ditelanjang, digari, ditutup mata dan diterbangkan ke pusat tahanan rahsia di Tora, Mesir. Di sana dia diseksa dengan kejutan elektrik, dipukul, ditelanjangkan, dilemaskan dengan air, dan dikurung dan sel yang amat sempit serta hapak selama bertahun-tahun. Ahmed ditahan selama 15 tahun sebelum dibebaskan. Ahmed tidak melakukan apa-apa kesalahan. Begitu juga yang berlaku kepada Maher Arar, warga Islam Kanada dan berpuluh-puluh orang Islam yang lain selain daripada berpuluh ribu warga Afghanistan, Iraq dan Pakistan di penjara rahsia AS di seluruh dunia. Dan ia menjadi sangat jelek dan terkutuk oleh pembohongan paling celaka AS daripada kata-kata Condoleeza Rice, “With the respect to detainees, the United States Government complies with its Constitution, its laws, and its treaty obligations. Acts of physical or mental torture are expressly prohibited. The United States Government does not authorise or condone torture of detainees. Torture, and conspiracy to commit torture, are crimes under US law, wherever they may occur in the world… It is the policy of the United States that this questioning is to be conducted within US law and treaty obligations, without using torture. It is also US policy that authorized interrogation will be consistent with US obligations under the Convention Against Torture, which prohibit cruel, inhuman, or degrading treatment.”

Tiada pembohong yang paling terkutuk di dunia ini selain Bush dan konco-konconya.

Milenia Muslim, April 2008

Sunday, July 27, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

ANTARA RETORIK DAN HAKIKAT DALAM FASA KEDUA RMK-9

Pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) pada 27 Ogos 2008 melihat kepada pelaksanaan fasa kedua RMK-9, yang bermula pada tahun ini sehingga tahun 2010. Di bawah Kajian Separuh Penggal RMK-9 ini kerajaan menambah peruntukan pembangunan dalam tempoh tersebut sebanyak RM30 bilion menjadi RM230 bilion. Kerajaan memberikan tumpuan kepada projek yang mampu meningkatkan kesejahteraan dan pendapatan rakyat serta meneruskan agenda untuk mengukuhkan ekonomi negara. Cabaran besar dalam agenda memperkukuhkan ekonomi ini ialah kenaikan harga minyak dan ketidaktentuan ekonomi global.

Dalam menangani situasi ini kerajaan akan terus berusaha meningkatkan kapasiti dan daya saing dengan melaksanakan projek infrastruktur serta inisiatif pembangunan modal insan dan mengembangkan sektor pertumbuhan baru bagi mengukuhkan daya tahan ekonomi negara untuk berdepan dengan ekonomi dunia yang begitu kritikal saat ini.

Bagi mengekalkan momentum pertumbuhan yang positif pula, kerajaan merencana pembangunan negara bagi tempoh RMK-9 berdasarkan lima teras nasional. Pertama, meningkatkan nilai tambah ekonomi negara. Kedua, meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk ‘minda kelas pertama’. Ketiga, menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif. Keempat, meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup. Dan kelima, mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara. Dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi dunia sekitar 4.1% bagi tempoh 2008-2010, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang pada purata 6.0% setahun.

Pembentangan ini banyak memberi pernyataan-pernyataan yang subjektif. Memang tidak dinafikan, kerajaan memberikan data dan statistik yang jelas namun kaedah pelaksanaannya serta kemampuan untuk mencapai apa yang dimatlamatkan itu menimbulkan banyak persoalan. Melakarkan segala kata-kata indah dan muluk di atas kertas bukan bermakna menyelesaikan persoalan ekonomi pada masa ini dan masa akan datang. Penyelesaian memerlukan sebuah ruang praktikum yang menyaksikan tindakan secara fizikal yang dapat dilihat dan dibuktikan.

Pada Rancangan Malaysia Ke-7, kerajaan mensasarkan pertumbuhan Keluaran Negara Kasar sebanyak 8.0% namun pertumbuhan yang berlaku hanya 4.8%. Begitu juga dalam Rancangan Malaysia Ke-8, sasaran pertumbuhan ialah sebanyak 7.5% tetapi pertumbuhan yang berlaku hanya 4.5%. Begitu juga dengan sasaran-sasaran lain yang diberikan oleh kerajaan, tidak mencapai sasaran yang ditetapkan. Hal ini menunjukkan pembentangan yang memberikan sasaran-sasaran yang ‘ideal’ jikapun tidak ‘utopia’ tidak mampu untuk dicapai oleh kerajaan, dalam hakikat yang sebenarnya. Maka sasaran-sasaran tersebut menjadi retorika bagi memberikan keyakinan yang ‘palsu’ kepada rakyat.

Melihat kepada apa yang berlaku sekarang ini, kenaikan harga minyak dan ketidaktentuan ekonomi global mewujudkan apa yang disebut sebagai ‘scarcity economic’ atau ‘scarcity market’. Ekonomi dilihat menyempit dalam ruang ketidaktentuan akibat ramalan ketidakcukupan bahan dan sumber keperluan baik dalam bentuk bahan galian mahupun dalam bentuk bahan tanaman dan pengeluaran lain. Di sini hukum penawaran dan permintaan dilanggar. Pembeli tidak lagi percaya bahwa harga yang tinggi akan menurunkan permintaan dan peningkatan penawaran akan membawa kepada titik keseimbangan pasaran. Dalam sesetengah pasaran, harga ditentukan oleh kebimbangan dan ketakutan akan ketiadaan atau kekurangan bahan walau untuk paras harga apa sekalipun. Maka ketentuan paras harga tidak lagi ditentukan dalam hukum penawaran dan permintaan yang kuno itu lagi.

Sepertimana krisis matawang yang berlaku pada tahun 1997, krisis ekonomi kebimbangan ini juga bukan berlaku dalam masa semalaman. Ia adalah kesan rentetan daripada pergerakan ekonomi yang berlaku setengah dekad yang lepas. Pembeli mempunyai pengalaman di mana bahan-bahan keperluan gagal memenuhi permintaan. Pengalaman ini membina keyakinan terhadap kemungkinan yang akan berulang.

Dalam kes kenaikan harga minyak mentah, kebimbangan pasaran diperkukuhkan lagi oleh penurunan pengeluaran minyak mentah di Rusia dan Mexico, juga di Nigeria dan beberapa negara baru-baru ini tambah memburukkan keadaan. Walaupun Arab Saudi meningkatkan pengeluaran minyak mentahnya namun ia tidak mampu menstabilkan ‘kebimbangan pasaran’. Ia akhirnya mewujudkan ‘a sense of inevitability’, iaitu keyakinan bahawa paras harga yang tinggi tidak akan memberi pengaruh kepada kadar permintaan. Ini berlaku apabila harga minyak mula meningkat kepada 119 dolar setong dalam bulan April 2008 tidak lagi mempengaruhi penurunan permintaan. Maka harga minyak mentah dipercayai akan terus meningkat sehingga 200 dolar setong, baharulah suatu bentuk penyelarasan permintaan akan berlaku. Kesan besar daripada keadaan ekonomi ini ialah kenaikan dahsyat kadar inflasi. Di sini ‘a sense of inevitability’ tadi mencapai puncak atau klimaksnya. Maka jika tiada usaha yang berkesan untuk menanganinya, ekonomi negara akan mengalami bencana yang dahsyat melibatkan ketidakstabilan sosial dan politik yang akan merubah sama sekali wajah yang ada pada hari ini.

Retorik yang muluk di atas kertas pada hakikatnya akan memberikan bahaya yang lebih besar kepada kestabilan keseluruhannya. Ini adalah kerana sasaran yang tidak mungkin tercapai tadi akan membangkitkan kemarahan rakyat apabila mereka berasa tertipu dan dipermainkan. Adalah lebih baik jika kerajaan dapat memberikan keyakinan jangka panjang lebih daripada menawarkan angka-angka yang besar dan sasaran-sasaran yang tidak mungkin tercapai. Namun keyakinan jangka panjang tentunya memberikan gambaran sebenar terhadap keupayaan dan ketelusan kerajaan selama ini. Apatah ia akan turut memberikan data sebenar tentang amalan sebelum ini yang akan memperlihatkan betapa besarnya ketirisan dan kebocoran yang berlaku akibat amalan-amalan yang salah dalam mengusahakan kepentingan politik dan juga kepentingan peribadi yang berlaku selama ini.

Bagaimanapun keyakinan jangka panjang penting untuk memberikan gambaran sebenar tentang kemampuan negara untuk menghadapi rally ketidaktentuan ekonomi ini, iaitu ramalan kepada tahap puncak 200 dolar setong tadi. Keyakinan jangka panjang ini selain daripada melibatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam pelaksanaan kaedah pengagihan dan penyampaian yang telus kerajaan kepada rakyat, juga melibatkan kejujuran kerajaan dalam memberikan data-data tentang kegagalan lepas kerajaan. Ini dapat memberikan gambaran kepada rakyat akan kemampuan negara yang sebenar dalam menghadapi situasi yang genting ini. Dalam pada itu, bahana besar yang akan mendatang ialah kenaikan dahsyat kadar inflasi. Maka kerajaan harus memberikan fokus kepada perkara ini bukan hanya dengan pemberian subsidi tetapi kajian semula sistem-sistem baru kerajaan (contohnya e-perolehan, konglomerat atau konsortium yang melahirkan sistem monopoli dan sebagainya yang mengenakan komisyen atau bayaran perkhidmatan terhadap pengguna yang ‘dipaksa’ menggunakan perkhidmatan mereka) yang banyak mengurangkan pendapatan syarikat kecil dan pengguna awam. Dalam pada itu, kerajaan harus mencari jalan untuk meningkatkan pendapatan rakyat dengan mengurangkan atau menghapuskan ‘autoriti’ politik terhadap projek pembangunan dan pembelian kerajaan yang sering mengaut ‘komisyen haram’ daripada setiap urusniaga. Dalam kata lain, tumpuan utama ialah kepada bahana inflasi yang akan menyerang dengan dahsyatnya.

Namun hakikat ini tentunya akan menyaksikan pemimpin kerajaan dari kedudukan yang tertinggi hingga ke bawah akan terhimpit dan tercekik. Maka ia tentunya tidak dapat dilakukan dan dengan itu, retorika angka-angka dan sasaran yang tidak mungkin tercapai akan terus dimainkan untuk mengulit harapan dan mimpi rakyat.

Mingguan Wasilah, 6 – 12 Julai 2008.

REVIU FILEM MAC 2008

RAMBO WIRA USANG AMERIKA

Seorang lelaki berjalan di sebatang lebuhraya yang sunyi sambil menggalas beg. Kemudian sebuah kereta sherif berhenti dan menahan lelaki tersebut. Sebilah pisau perang ditemui. Lelaki itu segera diheret ke balai polis. Di situ lelaki itu didera oleh sheriff dan pegawai-pegawainya. Masih terkenang bagaimana pisau tajam itu
menghiris sehelai kertas. Bermulalah era wira solo Amerika Syarikat – John Rambo!

Menonton filem Rambo bagi generasi yang menjadi remaja dan belia pada tahun 1980-an meninggalkan nostalgia tentang kekaguman melihat wira yang berjuang bersendirian. Mempamerkan otot-otot serta pergerakan lasak yang mengkagumkan. Cukup untuk memperlihatkan wira hebat Amerika Syarikat yang kembali dari Perang Veitnam. Rambo, veteran Perang Vietnam yang mempunyai darah kacukan Red Indian dan Jerman. Rambo, veteran Perang Vietnam yang dihantui peristiwa silam. Rambo, mesin pembunuh yang senyap dan terlatih.

Sylvester Stallone muncul menjadi wira aksi Hollywood terulung selepas beberapa lama menjadi pelakon kelas dua yang gagal dalam filem-filemnya sebelum ini. Rambo cukup popular dan meninggalkan kesan yang besar kepada peminat-peminat filem aksi ketika itu. Kemudian Rambo muncul lagi dalam Rambo 2 dan Rambo 3, yang berjuang di Afghanistan hingga ke Rusia. Tetapi kedua-dua sekuel ini tidak dapat menandingi Rambo yang pertama. Kini selepas begitu lama, Rambo muncul lagi untuk mengembalikan nostalgia wira Perang Vietnam yang masih berperang walau Amerika Syarikat telah bergerak maju menjarah di Afghanistan dan Iraq. Kali ini Rambo berperang di Burma. Rambo menjadi wira dari ‘old school’ yang masih berperang dengan panah dan pisau di hutan rimba Burma.

Tidak sukar bagi Rambo kali ini selain daripada menampilkan klise ‘white man burden’ yang memperlihatkan bangsa selain daripada kulit putih ialah bangsa liar, bertindak seperti binatang, tidak berakal fikiran dan perlu dihapuskan dari muka bumi. Bangsa kulit putih pula ialah bangsa penyelamat dunia, yang maju dan paling ‘manusia’. Sentiasa berkorban untuk kebaikan dan membawa pencerahan kepada seluruh umat manusia. Untuk itu Rambo kali ini membawa motto, “live for nothing, die for something”. Menyelamatkan tebusan adalah sebab-akibat yang diulang-ulang dalam klise filem aksi perang Hollywood sejak berdekad-dekad lamanya. Kali ini Rambo mengulanginya lagi, menyelamatkan mubaligh Kristian yang membawa misi ubatan dan sebagainya ke perkampungan puak Karen di pedalaman Burma. Tentunya seperti dijangka Rambo akan menang dan ribuan musuh yang dungu mati bergelimpangan menentang seorang Rambo. Mengubah sedikit klise itu, Rambo kali ini disertai oleh sekumpulan komando upahan.

Hal sebegini sedikit sebanyak adalah propaganda atau dakyah yang cuba diindoktrinisasikan ke dalam jiwa masyarakat yang ingin mereka jajah atau boleh disebut sebagai ‘masyarakat kawalan’. Mengapakah perlu wujud masyarakat kawalan ini? Ini adalah kerana kehadiran pihak yang ingin mengawal pihak yang lain demi kepentingan kuasa dan ekonomi mereka. Dalam konteks dunia sekarang ini, Amerika Syarikat muncul sebagai kuasa unipolar setelah kejatuhan Russia. Demi untuk mengekalkan apa yang dicapainya, Amerika Syarikat tentunya mengambil tindakan untuk mengekalkan kuasa dan pengaruh mereka. Tindakan untuk mengekalkan pengaruhnya itu memerlukan Amerika Syarikat memperlihatkan kepada dunia bahawa mereka bukan manusia tetapi adalah dewa!

Satu-satunya jalan untuk memperlihatkan sifat dewa mereka itu ialah menggunakan pengaruh dan gelombang media secara besar-besaran. Maka filem adalah salah satu cara yang berkesan untuk tujuan ini. Pemaparan citra ‘white man burden’ ini pada hakikatnya ingin memaparkan hubungan antara tuan dan hamba. Tuan tentulah seorang yang maju, berfikiran dan berkuasa. Sedangkan hamba tentulah seorang yang mundur, kurang berakal dan terjajah. Maka hubungan tuan-hamba inilah yang mahu dicapai oleh golongan kulit putih khususnya Amerika Syarikat. Menampilkan sifat dewa kepada wira-wira kulit putih di dalam filem adalah sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan hubungan tuan-hamba dalam situasi kehidupan sekarang ini. Dengan wujudnya hubungan sebegitu, bangsa kulit putih tentunya dapat tampil berdiri sebagai bangsa yang berkuasa. Dengan itu mereka boleh meletakkan kawalan secara tidak langsung ke atas manusia lain di dunia yang ingin mereka kuasai ini.

Dalam meletakkan kawalan ini, apa yang pertama perlu dilakukan iailah melumpuhkan intelektualiti masyarakat yang ingin dijajah itu. Walaupun filem boleh menjadi satu saluran bagi mengembangkan intelektualiti kreatif manusia tetapi filem juga boleh wujud sebagai salah satu alat yang paling berkesan untuk melumpuhkan intelektualiti manusia. Antara bentuk filem yang boleh melumpuhkan daya berfikir manusia ialah filem-filem yang menanamkan doktrin tertentu. Dalam konteks filem Hollywood, antaranya ialah memberikan kepercayaan yang berulang-ulang bahawa Amerika Syarikat dan kuasa Barat adalah superpower yang tidak mungkin terkalahkan. Menanamkan doktrin yang memberikan kepercayaan bahawa hubungan moral dan agama tidak memainkan peranan penting dalam masyarakat melalui filem-filem seks bebas dan sebagainya. Menanamkan doktrin bahawa satu-satunya cara dan kaedah terbaik untuk maju ialah mengikut acuan Barat. Menanamkan doktrin bahawa masyarakat Barat adalah masyarakat superioriti yang bersifat ‘dewa’ melalui penampilan wira-wira Barat yang sentiasa memenangi konflik dengan bergaya. Menanamkan doktrin bahawa masyarakat selain Barat adalah masyarakat yang lemah dan sentiasa memerlukan penyelamat dari Barat. Ini adalah sebahagian doktrin yang disebarkan oleh Hollywood dalam menyumbang kepada usaha melumpuhkan daya fikir atau intelektualiti manusia selain daripada menyebarkan gelombang hedonisne melalui hiburan dan keriaan tanpa batasan. Dan penentu kepada kejayaan penyebaran atau penanaman doktrin ini ialah pengeluaran besar-besaran dan melambakkannya pada setiap saat dan ketika di semua bahagian dunia.

Keinginan dan jiwa penjajah bangsa kulit putih untuk lahir sebagai bangsa yang unggul walau bagaimanapun menjadi tidak semudah seperti yang mereka jangka. Apatah lagi dengan seorang Rambo wira dari Perang Vietnam yang kini bukan terpaksa berjuang meletakkan dirinya bersaing dengan wira-wira baru yang lebih canggih tetapi juga terpaksa berjuang untuk menegakkan imej Amerika Syarikat (AS) yang telah hancur di mata dunia. Walau apa yang dilakukan oleh Rambo, AS tidak akan mampu lagi untuk muncul sebagai dewa penyelamat, sebaliknya imej AS lebih ketara untuk muncul sebagai syaitan pemusnah, setelah kerosakan dan kejahatan yang dilakukannya di seluruh dunia.

Tidak dinafikan Hollywood juga melahirkan filem-filem terbaik selain
daripada filem propaganda murahannya. Namun Rambo 4, hanya mampu menampilkan wira usang yang bukan sahaja bergelut untuk menebus popularitinya yang pudar tetapi juga berjuang untuk mencari imej wira tentera AS dari celah-celah wajah kesyaitanan sebenar tentera AS. Rambo mungkin muncul sebagai pemenang dalam ceritanya, tetapi di mata penonton Rambo adalah wira usang yang telah lama tewas.

Milenia Muslim, Mac 2008

Wednesday, July 23, 2008

SELA SELI 7

EMEL HOTMAIL AKU KENA GODAM OLEH ORANG NEGRO

Aku tak mahu bersifat perkauman tapi aku memang tak tahan dengan perangai orang negro Afrika ni. Sudahlah anak dara Melayu habis dijadikan pengedar dadah, ini kerja diorang godam komputer pulak. Aku bukan anti kulit hitam kerana kulit aku tak berapa putih pun tapi memang aku bengang dengan negro ni.

Masa aku balik dari Pekan Baru Riau, Azman Ismail telefon aku tanya aku di mana. Aku jawab aku baru pulang dari Pekan Baru, Indonesia. Dia kata bukan Afrika? Aku tanya kenapa pulak? Ni dia cakap aku minta duit untuk bantuan sebab aku kandas di Afrika. Aku terus lari ke bilik bukak emel. Memang! Aku tak boleh lagi masuk. Password aku ditolak. Aku cuba-cuba pun tak dapat. Tahu lah aku emel aku dah digodam untuk hantu syaitan ni buat kerja menipu minta duit.

Aku bengang tak terkira. Banyak alamat, emel penting yang aku simpan termasuk urusan kolokium di Prince of Songkhla University lebur.

Ini dia kata-kata si hantu penipu itu;

From: SMZAKIR SMZAKIR
Subject: I need Your Urgent Help!
To: smzakir90@hotmail.com
Date: Monday, July 14, 2008, 12:05 PM
Hello ,
I am sorry I didn't inform you about my traveling to Africa for a program called Empowering Youth to Fight Racism,HIV/AIDS,and Lack of Education,the program is taking place in three major countries in Africa which are Ghana,Togo and Nigeria,I am presently in Lagos,Nigeria.
I misplaced my wallet on my way to the hotel where my money,and other valuable things were kept.I will like you to assist me with a soft loan urgently with the sum of $2,400 US Dollars to sort-out my hotel bills and get myself back home.
I will appreciate whatever you can afford,I'll pay you back as soon as i return,Let me know if you can assist? so i can send you the details to use and send the money to me.
Thanks. keep in touch.
SMZAKIR

Bila bini aku balas tulis bahasa Melayu, penipu tu cakap dia tak boleh hantar dengan ‘your language’ sebab hotel tak bagi. Kepala hotak dia.

Berhati-hatilah, emel anda semua pun boleh tiba-tiba kena hack macam ni.

Monday, July 14, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

MENCARI DOKTRIN EKONOMI BARU


Tujuan utama ahli ekonomi dikatakan ialah untuk menganalisis, iaitu menemui sesuatu bagi menubuhkan prinsip yang menjadi asas bagi perjalanan sistem ekonomi mengikut keperluan masa dan keadaan. Mengikut Eric Roll dalam bukunya Sejarah Pemikiran Ekonomi bahawa adakalanya dipertikaikan sama ada sesebuah pemikiran dan sistem ekonomi mampu menjadi sesuatu yang tepat dan sah dipakai di seluruh sejagat. Ini adalah kerana berlakunya kepentingan ekonomi dari segi sosial dan sejarahnya disangkal. Eric Roll juga mengemukakan bahawa orang awam mengetahui bahawa mereka wajar meminta pernyataan daripada ahli ekonomi tentang bagaimana sesuatu sistem beroperasi (walaupun kepercayaan mereka terhadap penjelasan yang diberikan itu tidaklah tinggi sangat); namun orang awam lazimnya ingin juga mengetahui apa yang sebenarnya yang patut dilakukan.

Pernyataan ini agak menarik jika dihubungkan dengan apa yang berlaku dalam suasana ekonomi sekarang, khusus kepada persoalan kenaikan harga minyak yang begitu kritikal. Kehadiran pakar-pakar ekonomi berforum di kaca televisyen saban ketika dalam ‘membenarkan’ tindakan kerajaan menaikkan harga minyak tidak lebih daripada kenyataan Eric Roll iaitu, ‘orang awam mengetahui bahawa mereka wajar meminta pernyataan daripada ahli ekonomi tentang bagaimana sesuatu sistem beroperasi – walaupun kepercayaan orang awam terhadap segala penjelasan pakar-pakar ekonomi itu tidaklah tinggi sangat’. Sentiasa tampil di kaca televisyen sekarang ini ialah pakar-pakar ekonomi dengan pelbagai hujah mempertahankan tindakan kerajaan kerana kenaikan harga minyak adalah fenomena dunia, dan penyelesaiannya rakyat harus menerima hakikat dengan melakukan penyesuaian gaya hidup baru. Dalam perkataan klisenya, ‘rakyat perlu ubah cara hidup’, ‘lakukan sesuatu yang inovatif untuk penyesuaian dengan segala kenaikan ini’, ‘rakyat tidak boleh selamanya bergantung kepada subsidi’ dan segala macam hujah kepakaran ekonomi masing-masing.

Sememangnyalah kepercayaan orang awam terhadap penjelasan pakar-pakar ekonomi ini tidaklah tinggi sangat, kerana penjelasan tersebut tidak pun mampu menyelesaikan keperitan hakiki hidup rakyat selain daripada retorik yang menjadi ruang ‘intelectual exercise’ ahli-ahli teori yang menunjukkan wajah dan kepala mereka di kaca televisyen. Apa yang jelas terlihat adalah betapa jauhnya pakar-pakar ekonomi ini tenggelam dalam doktrin pemikiran dan sistem ekonomi Barat, sehingga mereka tidak mampu untuk mencari serta menubuhkan prinsip ekonomi yang bertepatan dengan suasana baru dan keadaan masyarakat di Malaysia pada masa ini. Pakar-pakar ekonomi ini juga tidak mampu untuk berfikir dalam memberikan justifikasi sama ada sistem ekonomi yang mereka ‘berhalakan’ itu mampu menjadi sesuatu yang tepat dan sah dipakai di seluruh sejagat.

Peringkat awal berlakunya panik kenaikan harga pada bulan Mei, minyak dijual 119 dolar setong berbanding pada bulan April hanya 55 dolar setong. Ini bermakna kenaikan mendadak sehingga 86%. Sedangkan rezab minyak mentah pada ketika itu di AS adalah sebanyak 2.4 juta tong, lebih tinggi daripada Februari 2008 dan 3.4% sahaja rendah daripada bulan Mac 2008. Dan harga minyak melambung setinggi 86% hanya kerana kejatuhan rezab minyak mentah sebanyak 3.4%? Ia tidak menemukan jawapan yang tepat dalam pemikiran ekonomi moden yang menguasai dunia masakini.

Sehingga akhir bulan Mac 2008 simpanan minyak dunia ialah sebanyak 2.58 bilion tong, hampir sama banyaknya dengan simpanan sehingga penghujung 2007. Petunjuk menyatakan bahawa pengeluaran minyak dunia adalah sebanyak 87.3 juta tong sehari dan permintaan adalah sebanyak 87.2 juta tong sehari. Ini bermakna pengeluaran masih mengatasi permintaan. Begitu jika dilihat kepada krisis beras yang mengalami kenaikan pada harga 1000 dolar per tan metrik. Harga ini mengalami peningkatan sehingga 173 %, walaupun simpanan beras sehingga akhir 2008 adalah sebanyak 1 juta tan metrik lebih banyak daripada simpanan tahun 2007. Hal ini terus berlaku kepada barangan lain, contohnya besi mengalami kenaikan harga sehingga 30%, aluminium 28%, bijiran, jagung dan sebagainya walaupun simpanan dan pengeluarannya masih banyak dan mampu menampung permintaan.

Ini semua memperlihatkan bahawa teori serta sistem ekonomi moden yang berteraskan hubungan penawaran dan permintaan itu sekarang sudah hilang ketepatannya, jika tidak boleh dikatakan ‘tidak boleh digunapakai’ lagi. Apa yang berlaku sekarang ialah suatu bentuk hakikat ekonomi yang tidak lagi bergantung kepada teori keluk XY penawaran dan permintaan, yang digunakan dalam korelasi harga sekaligus menentukan keseimbangan pengeluaran. Ekonomi tidak lagi menyatakan bahawa apabila harga tinggi permintaan akan berkurangan. Ataupun pengeluaran yang berlebihan akan mempengaruhi penurunan harga, dan bentuk-bentuk lain hubungan berkeluk penawaran dan permintaan sekaligus penentuan terhadap kestabilan harga.

Apa yang berlaku sekarang ini, ialah ekonomi tidak lagi bergantung dan ditentukan oleh sebarang garis keluk penawaran dan permintaan, tetapi oleh tahap persepsi. Pembeli akan membeli di atas kos apa sekalipun apabila persepsi atau jangkaan mereka bahawa mereka ‘tidak akan mendapat apa yang mereka perlukan apabila mereka memerlukannya’. Dalam ertikata lain, persepsi bahawa penawaran barangan yang mempunyai had pengeluarannya (simpanan yang mungkin habis dan tidak mencukupi pada masa hadapan) tidak menjamin mereka untuk mendapat bekalan untuk selama-lama yang mereka perlukan. Hal ini membuatkan pembeli atau pengguna tetap membeli (dengan banyak dan tanpa had) walaupun harganya mengalami kenaikan yang tinggi, sekaligus menafikan hukum penawaran dan permintaan yang wujud selama ini.

Berlakunya perubahan corak kepenggunaan ini adalah disebabkan oleh banyak faktor. Antara faktor utamanya ialah peperangan, bencana alam dan ketidaktentuan dunia. Namun apa yang perlu difahami di sini, pemahaman klasik tentang hubungan kehidupan manusia dengan alam yang mana menjadi asas kepada prinsip awal ekonomi moden kini kembali menjadi faktor penentu. Pemahaman klasik ini berasaskan kepada aliran humanisme sosial, contoh jelas terlihat dalam novel Robinson Crusoe oleh Daniel Dafoe yang memberikan suatu bentuk hubungan saling memerlukan antara manusia dengan alam. Kini apabila manusia semakin tamak dan jahat, ia menyaksikan kemusnahan terhadap hubungan ini bahkan kekuatan alam kini sedang menjarah dan menghancurkan semua sistem kehidupan manusia. Maka sistem ekonomi yang mengabaikan etika, moral dan agama juga sedang menghala kepada kehancuran tersebut.

Pakar-pakar ekonomi Malaysia masih bercakap tentang hakikat yang perlu diterima oleh rakyat, tetapi mereka tidak bercakap tentang hakikat ketidakmampuan mereka untuk mencari doktrin baru ekonomi yang bebas daripada kebobrokan doktrin ekonomi dollar. Sekaligus keluar dari belenggu ‘pak turut’, sebagaimana Venezuala, Iran, dan sebagainya yang masih mengekalkan harga minyak rendah oleh kerana kemampuan pakar-pakar ekonomi dan pemimpin mereka untuk bebas daripada doktrin ekonomi dunia yang ditunjangi doktrin ekonomi dollar.

Siapa yang perlu mengubah pemikiran dan gaya hidup? Rakyat? Atau pemimpin politik serta pakar-pakar ekonomi dan kaum intelektual yang menggubal dasar negara – yang ‘terbahala’ oleh doktrin ekonomi dollar itu?


Mingguan Wasilah, 29 Jun – 5 Julai.

Wednesday, July 9, 2008

SELA SELI 6

PESTA PENYAIR KEDIRI II

Pagi 30 Jun 2008, aku, Saleeh, Shamsudin (Sam), Hameer dan Abang Malim (Malim Ghozali Pk) bertolak dari Hotel Sanashistri di Solo ke Kota Kediri. Kami bertolak pukul 8 pagi (7 pagi waktu Indonesia). Pemandu kami namanya Pak Widodo. Kami melalui Sragen, Ngawi, Karang Jati, Caruban, Nganjuk sebelum tiba ke Kota Kediri. Sepanjang perjalanan kami melalui kawasan pertanian yang subur. Padi, jagung, kacang tanah, tembikai, tebu hinggalah ke pokok jati. Apa yang menarik pokok-pokok jati ditanam dalam kawasan yang luas. Ternyata di sini perabot kayu jati boleh didapati dengan harga yang murah. Aku tengok ada kedai berderet buat perabot kayu jati. Rasa juga nak singgah. Minat juga kut-kut boleh jadi tauke perabot kayu jati, kalau tidakpun buka ladang tanam kayu jati. Tapi kata kawan, nak buka ladang kena cari orang sini. Maksudnya? Kahwin dengan orang sinila! Aku diam. Tak berani nak komen, takut bini aku baca blog ni. Angan-angan ja la, nak buka ladang tak da ratusan ribu tak payah la nak mimpi (cover balik).

Kami sampai ke Kota Kediri dalam pukul 12 tengah hari, berhenti minum di Nganjuk tadi. Terus kami pergi ke Hotel Insumo (dulu namanya Hotel Safari). Cantik hotel ni. Sewanya pun murah. Satu bilik baru 275ribu rupiah. Lebih kurang RM100 la. Bilik luas memang kelas, kat KL mau RM250 ke atas. Sebenarnya kami tak tahu mana tempat acara. Pak Widodo yang mulanya kata tahu, pun kemudian tak tahu. Tanya orang pun tak tahu. Jadi tengok dalam kertas acara, ada ditulis Hotel Insumo, jadi kami tujula ke situ.

Sudah ambil bilik, kami keluar makan di restoran Padang. Bolehla. Balik bilik aku hubungi panitia Pesta Penyair. Ok. Diaorang akan datang jemput untuk ke acara malam ni. Acara pembukaan. Tak da pa nak buat. Aku tido.

Petang kami pergi jalan-jalan, sampai di Masjid Agung Kediri. Ambil gambar. Kemudian pergi ke shopping complexe, diaorang panggil gedung belanja, betul ke, lebih kurang la. Masing-masing sibuk ambil gambar. Kediri memang tempat pesantren. Banyak pusat pengajian Islam. Sam nampak syahdu betul, maklumla orang-orang sufi bila dekat dengan kawasan-kawasan pesantren ni. Aku macam biasa, kata Lutfi dulu-dulu, ini bapak Zakir liberal-sekular. Tak kisahla janji tak kacau orang. Hameer pertama kali datang Indonesia, terus kami bawa ke Solo dan Kediri. Tapi Hameer macam Sam, ‘budak baik’ kata Saleeh. Paling best, Abang Malim, sporting dan banyak cerita. Memang kamcing dengan kami. Saleeh sama-sama orang Perak banyakla sembangnya. Sam pun. Semalam kat Solo pun kami tido pukul berapa dengar cerita Abang Malim.

Kat kompleks tu, habis beli baju, buku dan makan kami balik. Aku memang janji tak nak beli buku, sebab aku bawa beg galas saja, beli jugak sebeban, tak tahan aku tengok buku. Hari tu masa pesta buku, dalam pokai pun aku abis RM500 beli buku. Aku pergi senyap-senyap dan balik simpan buku senyap-senyap takut bini aku bising. Dia marah bukan apa, waktu tengah bulan, poket pun berhampas lagipun rak buku dah jadi tembok negeri China kat rumah aku. Hentam sajala labu.

Malam memang kami dijemput ke Kampung Cakarwesi. Di situla letaknya Sanggar Mulang Sara, tempat Khoirul Anwar melaksanakan Pertandingan Baca Puisi dan malam ni Acara Perasmian Pesta Penyair Nusantara. Tempatnya dalam kampung, tapi dihias dengan cantik. Di situ, Dr. Ibrahim Ghaffar dan Kemala sudah ada.

Kami disambut mesra dan meriah dari orang kampung dan Khoirul Anwar. Kesian bila kami dengar cerita dia. Dia accident, kena langgar, patah kaki. Maka dia tak boleh nak bergerak jauh untuk cari duit nak anjurkan acara ni. Kementerian Kebudayaan Indonesia pulak dah bertukar ketua. Dr. Muklis Paeni yang mendokong Pesta Penyair di Medan dulu dah pencen. Orang lain naik dan akhirnya satu sen duit pun tak masuk. Khoirul dalam keadaan patah riuk tu carilah sana sikit sini sikit hingga akhirnya terlaksana jugak Pesta Penyair Nusantara ini.

Memang kuat semangat dan jiwa budayawan Indonesia. Sanggup berkorban dan bertungkus lumus berjuang dengan perit demi kegiatan sastera. Memang semangat diaorang kuat dan gigih. Aku kata kepada Saleeh, kalu aku patah kaki macam tu, mampus aku tak buat dah. Bagi la orang lain buat atau batal je la. Tapi tak tahulah, kadang-kadang keadaan boleh jadi lain kalu semangat kita naik.

Malam tu acara perasmian diisi dengan doa, bacaan al-Quran, persembahan kebudayaan Kediri, baca puisi dan ucapan daripada walikota dan Khoirul Anwar sendiri. Kemudian syarahan budaya oleh Kiyai Zawawi Imron, seorang penyair Indonesia yang ternama. Isi syarahan dia memang bagus, tentang akhlakul karimah. Sam terpaku, memang sesuai betulla Sam ada. Kena dengan jiwa Islamiknya. Begitu juga Hameer. Yang lain termasuk aku, tak tahu aku nak kata. Tapi masuk dalam jugala dalam hati. Akhir sekali kami dijemput naik ke atas bersama-sama walikota, reaktor Universiti Kediri dan lain-lain untuk sama memukul gendang tanda perasmian
Pesta Penyair Nusantara ke-2.

Kami balik ke hotel dihantar pihak panitia. Memang diaorang jaga dan layan dengan baik. Bagi aku, Malam Perasmian tu telah mencapai kejayaan yang gemilang – oleh semangat dan kejujuran seorang Khoirul Anwar, penyair kelahiran asli Kota Kediri. Tahniah dan terima kasih Khoirul Anwar.

Aku tidur tanpa mimpi. Penat.

Tuesday, July 8, 2008

REVIU

Innocent Voices: Suara Kemanusiaan dari Amerika Latin

Sempena Ibero American Film Festival yang berlangsung dari 16-25 November 2007 bertempat di Wisma Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia (SGM) di Jalan Bukit Bintang, sebanyak 10 buah filem dari Amerika Latin telah dipertontonkan. Filem-filem tersebut ialah A Titan In the Ring (Ecuador), In the Boundless City (Sepanyol), Two Sons of Francisco (Brazil), The Elusive Good (Peru), My Best Enemy (Chile), Alma Mater (Uruguay), Florentino and the Devil (Venezuela), God Joins Them and They Split Up (Colombia), dan Innocent Voices (Mexico). Kebanyakan filem ini memenangi perbagai anugerah dan merupakan filem-filem yang terpilih. Filem The Elusive Goods, My Best Enemy dan In the Boundless City misalnya adalah filem-filem yang selain menerima pelbagai anugerah juga memaparkan sisi seperti yang dikatakan oleh Emile Zola ‘a corner of nature seen through a temperament’.
Sebuah lagi filem yang amat menguja dan mengusik sanubari ialah Innocent Voices (IV). Filem dari Mexico hasil gabungan dua genius perfileman Mexico Luis Mandoki dan Oscar Torres ini memberikan kesan tragik-dramatik yang cukup luar biasa. IV mengangkat kisah benar yang berlaku ketika zaman perang saudara yang berlaku di El Salvador pada sekitar tahun 1980-an, yang menyaksikan bagaimana kanak-kanak seusia 12 tahun ‘diculik’ di sekolah-sekolah dan di desa-desa untuk dijadikan tentera kerajaan. Chava seorang kanak-kanak yang berusia 11 tahun, hanya mempunyai setahun lagi usianya sebelum dirampas hidupnya untuk dijadikan tentera kerajaan bagi menentang gerila penentang kerajaan (FMLN). Chava menjadi lelaki sandaran keluarganya setelah bapanya hilang tanpa sebarang khabar berita dalam perang saudara yang berkecamuk itu. Di sebuah daerah yang menjadi rebutan tentera kerajaan dan puak gerila, di mana setiap hari berlaku pertempuran, Chava bersama ibu serta dua orang adiknya tinggal. Ketika mereka sedang makan, peluru-peluru akan berterbangan menembusi rumah kadbod dan memusnahkan segala barang yang ada.

Mandoki mewujudkan montaj-montaj yang menarik melalui pergerakan kameranya menghidupkan kembali realiti (replicate the reality) yang digambarkan Torres. Di sini penonton melihat sudut-sudut visual daripada pelbagai tangkapan (shot) yang berbeza. Dan semua ini membangkitkan secara dramatik dan tragik emosi dari dalam diri penonton. Ketika Chava sedang makan malam bersama dua adiknya – adik perempuan dan adik lelaki bongsunya yang masih kecil – pertempuran antara tentera kerajaan dan gerila tiba-tiba meletus di tengah-tengah petempatan mereka. Peluru-peluru berterbangan menembusi dinding rumah dan membabas ke merata. Chava membawa adik-adiknya menyorok di bawah katil. Adik lelakinya yang kecil, mungkin seusia empat atau lima tahun meraung ketakutan. Khuatir raungan adiknya terdengar, Chava berusaha menenangkan adiknya, tetapi semuanya tidak berhasil. Peluru-peluru yang berterbangan itu meneraburkan barangan di rumah mereka, termasuk krayon warna di sisi Chava. Chava mendapat fikiran spontan mewarnakan wajahnya dan membuatkan adiknya ketawa serta tidak menangis lagi. Mereka bertiga menconteng-conteng wajah sambil ketawa sedang peluru-peluru terus berterbangan liar di atas kepala, di sisi dan di mana-mana tanpa henti. Kehidupan dan kematian tidak mempunyai sebarang sempadan di sini hatta untuk kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa.

IV bergerak secara in media res, iaitu bermula pada pertengahan cerita dengan gambaran beberapa orang kanak-kanak digiring tentera dalam hujan berjalan berkaki ayam dengan lapar dan dahaga. Dengan tangan di kepala, wajah-wajah penuh kebingungan dan ketakutan, kanak-kanak ini tidak tahu kenapa mereka ingin dibunuh. Montaj ini ditamatkan di situ, dan cerita diimbas kembali. Kanak-kanak dan orang ramai berjalan di jalan raya dengan tentera-tentera yang berkeliaran. Kehidupan Chava dan adik-adiknya hidup bersama ibu mereka yang bekerja bersusah payah menguruskan kehidupan tanpa sebarang lelaki. Kerana hampir semua lelaki akan terlibat sama ada menjadi tentera atau gerila berperang dan saling membunuh.

Di sekolah ketika kanak-kanak riang belajar dan bermain, tentera-tentera akan menyerbu masuk dan memaksa gurubesar menyerahkan kanak-kanak yang telah genap 12 tahun usianya untuk direkrut menjadi pembunuh – tentera untuk menentang para gerila. Kanak-kanak akan beratur dengan penuh ketakutan menunggu nama mereka dipanggil dan dibawa pergi dalam kenderaan-kenderaan tentera. Tentera bebas melalukan apa sahaja, termasuk menangkap gadis-gadis yang berjalan di jalan raya sesuka hati untuk memuaskan hawa nafsu. Hanya ada seorang paderi yang berusaha untuk menghalang tetapi dia juga tidak mampu melakukan apa-apa selain daripada menerima belasahan tentera. Paderi ini juga akhirnya dibawa pergi oleh tentera pada suatu hari, dan para penduduk tidak lagi mendengar berita tentangnya. Dalam pada itu Chava mendapat teman baru yang istimewa, seorang gadis comel yang menjadi pujaan Chava.

Setiap malam pertempuran akan meletus, dan peluru yang tidak bermata akan merobek sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak. Ketika Chava dan keluarganya bersiap untuk makan, peluru-peluru akan berterbangan masuk dan mereka akan meluru bersembunyi meniarap di mana-mana tempat, walaupun sebenarnya tiada tempat yang selamat buat mereka. Suatu hari rumah Chava didatangi Benito, pak cik Chava yang kini terlibat dalam gerila menentang kekejaman regim tentera. Daripada perbualan ibu Chava dan Benito, tentera dan gerila tidak ada bezanya, saling berbunuhan dan saling menculik kanak-kanak untuk direkrut menjadi pembunuh. Perbualan mereka berakhir apabila peluru mula berterbangan. Seorang kanak-kanak perempuan jiran mereka mati di pangkuan Benito terkena peluru sesat. Tiada apa yang mampu dilakukan, dan Benito mengambil gitarnya sambil berbaring mendendangkan lagu tentang kesengsaraan rakyat, Chava datang berbaring di sebelah Benito mendengar lagu yang sungguh mengasyikkan itu – di atas peluru berterbangan tanpa henti. Benito pergi dengan nasihat supaya ibu Chava keluar dari daerah ini kerana pertempuran akan menjadi semakin hebat. Sebelum pergi Benito menghadiahkan Chava sebuah radio di mana Chava boleh mendengar lagu yang didendangkannya semalam. Tetapi Benito melarang Chava membuka siaran radio itu, kerana siaran itu adalah suara gerakan rakyat yang diharamkan regim tentera. Jika tertangkap hukumannya tiada lain selain daripada ditembak mati.

Sekolah mula ditutup, dan keadaan semakin memburuk. Chava dan keluarganya telah berpindah tetapi keadaan tidak ada bezanya. Ketika Chava pergi mencari teman wanitanyan yang comel, apa yang ditemui Chava ialah rumah yang telah hangus rentung. Chava terduduk dan tidak mampu berkata apa-apa. Gadis comel itu telah hangus bersama abu yang mengasap sepi. Di mana-mana sudah tidak ada kehidupan lagi. Tentera menyerbu di desa baru Chava untuk menculik kanak-kanak bagi direkrut menjadi tentera. Ibu bapa akan menyembunyi anak-anak lelaki mereka di atas bumbung rumah untuk mengelakkan daripada diculik tentera. Chava dan beberapa rakan seusianya berfikir bahawa lambat laun mereka tetap akan diambil oleh tentera. Chele, rakan seusia Chava menerangkan bahawa seorang rakan mereka telah lari ke dalam hutan menyertai gerila. Pada suatu malam, Chava dan rakan-rakannya , semuanya kanak-kanak dalam usia sebelas, dua belas tahun lari masuk ke hutan menyertai kumpulan gerila. Malangnya pada malam pertama di khemah gerila, mereka telah diserang tentera dan tertangkap. Keesokan harinya mereka digiring meredah hujan dalam keadaan lapar dan dahaga ke tempat yang mereka sendiri tidak ketahui. Akhirnya mereka di bawa di sebuah kawasan hutan di tepi sungai di mana penuh dengan mayat-mayat yang bergelimpangan. Di situ mereka tahu, bahawa mereka dibawa di tepi sungai itu untuk dibunuh. Keempat kanak-kanak itu didudukkan di tepi sungai dengan berlutut dan tangan diangkat ke kepala. Seorang tentera berjalan di belakang dengan pistol terhunus. Pistol diletakkan di kepala Chele, kanak-kanak sebelas tahun itu, kemudian menolak tangan jatuh ke bawah. Wajah Chele yang penuh ketakutan itu menggumam. Pistol meletup di belakang kepala dan Chele terhumban ke bumi. Dua orang teman Chava telah tumbang, kini giliran Chava. Tetapi sebelum sempat pistol di belakang kepalanya meletup, tiba-tiba serang hendap telah menumbangkan tentera-tentera zalim itu. Chava melarikan diri di tengah pertempuran sengit itu.

Chava adalah salah seorang kanak-kanak yang terlepas dari maut dan menjadi bukti hidup terhadap apa yang sebenarnya berlaku dalam perang saudara itu. Di sini emosi bangkit tanpa sesiapa memaksanya. Di sini kemanusiaan dicabar tanpa sesiapa melaungkannya. Di sini kebinatangan manusia dipertontonkan tanpa sesiapa menyedari bahawa kerakusan mereka kepada kuasa dan kegilaan mereka kepada perang menjadikan mereka lebih binatang daripada binatang. Mengutip apa yang dikatakan oleh J.R. Debrik, “But the film as a work of art is deliberately made to attack us, to force its way into our feelings and our beliefs”. IV bukan sahaja menyerang kebinatangan manusia, tetapi juga setiap perasaan dan kepercayaan yang mewujudkan kebinatangan itu sendiri.

Milenia Muslim, Februari 2008

Saturday, July 5, 2008

KEDIRI DAN PESTA PENYAIR I

Aku bersama teman-teman di PENA seperti Saleeh Rahamad, Shamsudin, Ibrahim Ghaffar disertai juga oleh Malim Ghozali Pk, Khalid Saleh, Fuad Bebet dan Hameer Habib berangkat ke Kota Kediri untuk menghadiri Pesta Penyair Nusantara Ke-2. Aku ambil tiket sekali dengan Sam, sementara Saleeh sekali dengan Hameer. Di LCCT kami bertemu dengan Abang Malim. Kami sama satu kapalterbang KL-Solo. Flight pukul 6.55 pagi, aku lambat bangun, rancang bangun pukul 4.30 tapi bangun pukul 5, itupun bini aku kejut. Bini aku yang baik hati hantar aku ke LCCT, tengah jalan lupa duit 3 juta rupiah yang aku tukar. Terpaksa jolok duit di LCCT. Sampai LCCT, Sam, Saleeh dan Hameer dan ada di kaunter untuk chekin. Abang Malim di surau, sembahyang subuh. Kami pun lepas tu ke surau, sembahyang subuh.

Aku dah pening naik kapalterbang tahun ni, masuk ni dah lebih sepuluh kali. Kuat betul aku merayap tahun ni. Ya, sampai dah tak berapa tahu dan ambil tahu acara-acara sastera dan polemik kawan-kawan sastera di Malaysia. Kami sampai Solo tengah hari. Aku tukar duit, RM350 dapat sejuta rupiah. Hameer dan Sam tukar di LCCT RM390.00 dapat sejuta rupiah. Untung aku RM40. Di Lapangan Terbang Adi Sumarmo, Solo ni berlainan dengan Lapangan Terbang di Medan atau Jakarta yang banyak ‘calo-calo’ menyerbu merebut pelanggan. Di Solo, keadaannya tenang, tak ada yang berebut pelanggan. Orang-orang Solo lembut, baik dan sopan santun. Kami kena cari teksi sendiri macam di Malaysia. Naik dua teksi terus ke Grandmall. Aku dan Saleeh bulan lepas dah sampai Solo, masa tu pergi Jogjakarta dari Solo. Jadi kami dah jadi ‘Pak Lurah’ la pada kawan-kawan yang blur-blur macam Sam dan Hameer. Abang Malim orang lama, tentu banyak pengalaman tapi dia buat-buat tak tahu saja. Jadi aku dan Saleeh la yang tunjuk pandai.

Di Grandmall, Jalan Slamet Riyardi kami pergi Hotel Solo Inn tapi penuh. Aku dan Saleeh pergi tengok hotel lain dibawa tukang beca ke Hotel De Solo, cantik dan murah tapi jauh dari pusat bandar. Jadi kami balik ambil Hotel Sanashistri di depan Grandmall. Kadar bilik, sini panggil tarif lebih kurang 300ribu rupiah untuk bilik standard kongsi dua orang. Lebih kurang RM100 la. Aku, Sam dan Hameer ambil satu bilik tambah extra bed. Saleeh sebilik dengan Abang Malim. Kami cadang tidur semalam di Solo sebelum esok bertolak ke Kota Kediri, kira-kira empat jam perjalanan naik MPV Unser, diaorang panggil Kijang. Kami ambil dari hotel, murah juga dapat satu Kijang 600ribu rupiah dari Solo ke Kota Kediri, lebih kurang RM140. Selesai satu perkara. Sam dan Hameer pergi Pasar Klewer dan Kraton Solo. Pasar Klewer tu tempat barang-barang seperti batik, cenderamata, kraftangan, kain baju dan macam-macam la. Murah-murah, tapi sesak tempatnya. Aku dah pergi, jadi tak ikut. Aku tidur saja dan merayap dekat-dekat. Saleeh pergi shopping. Abang Malim pun. Kami buat program bebas. Macam tula lebih kurang. Haji Sam sesuai berjalan dengan Hameer, sama-sama ‘orang baik’ suci murni. Aku seperti biasa merayap sorang-sorang, dapat la dvd dan cd lagu-lagu indon. Aku beli filem ‘Kala’, satu filem lagi lakonan Nicholas Sahputra cadang nak hadiah kat orang sebab aku dah ada banyak dvd yang aku beli masa di Solo dulu tak tengok-tengok lagi.

Malam di Solo, aku tulis dalam sajak sajalah;



Malammu Solo, di Lembut Angin

Malammu Solo, adalah puteri anggun
yang bangkit dari istana sepi
kotamu sibuk tetapi kratonmu sepi
aku mencari cinta sang putri kraton
di sela-sela angin panas
di Panggung Sendhatari yang
dihidupkan oleh Wayang Orang
atau joget dangdut yang geger di sebelahnya
melepaskan sebentar manusiamu
dari perit hidup oleh harga minyak (benzin)
yang melambung dan membakar hidup
rakyatmu, bahkan rakyat di mana saja
beca-beca beratur, menunggu mencucur keringat
aku melangkah mendaki angin yang lembut
terjatuh di pangkuan cinta
di toko buku yang sepi
di sudut kecil grandmall
terasing di situ dari hiruk malam
seperti Gibran mencari May Zaidah
lewat surat, aku di buku-buku
lewat cintaku yang bertabur


Malam, pagi la aku bangun tengok final Piala Euro. Jerman lawan Sepanyol. Menang Sepanyol 1-0. Cantik Sepanyol main. Aku Cuma dapat tengok seperuh masa kedua saja. Sam dan Hameer tidur, penat shopping tadi. Pagi bila Saleeh dan Abang Malim datang ke bilik tanya Sam tak bangun lagi, selamba ja Sam jawab, “Semalam tengok bola la bang.” Aku terus sampuk, “Mana ada, dia tido.”

PENYELESAIAN YANG MENGUNCUPKAN EKONOMI

Dunia Tanpa Tirai

Sukar bagi sesiapa sekarang ini untuk mempertahankan Pak Lah daripada mengakhiri sejarah kepimpinannya. Langkah beliau dalam menangani isu kenaikan minyak dunia lebih banyak memperlihatkan ketidakupayaan beliau dalam menangani krisis ekonomi. Walaupun umum memaklumi akan situasi ekonomi khususnya kenaikan harga minyak di luar kawalan yang berlaku dalam ekonomi dunia seterusnya memberikan kesan yang besar di seluruh dunia, tetapi gaya dan keputusan Pak Lah menanganinya amat mendukacitakan rakyat. Dari segi karakter Pak Lah terlalu konvensional, stereotaip dan dependence. Tidak ada penyelesaian yang kreatif, inovatif, berani dan berbeza daripada Pak Lah. Pemahaman Pak Lah tentang ekonomi hanya di sekitar pendapatan Petronas, cukai yang diperolehi kerajaan dan subsidi. Dalam ertikata lain arithmetik ekonomi Pak Lah hanya berada dalam lingkungan mentaliti subsidi.

Hitung kira Pak Lah dalam memahami hubungan negara dan rakyat dalam konteks ekonomi ialah pemberian subsidi dan penarikan subsidi, keuntungan negara dan kerugian negara oleh pendapatan komoditi, dan penjimatan perbelanjaan kerajaan dan rakyat. Selebihnya Pak Lah melihat ekonomi adalah objek kebergantungan yang dogmatik dan fatalistik, khususnya kepada aliran ekonomi dunia yang dikuasai oleh paksi ekonomi Barat. Walaupun masalah kenaikan harga minyak adalah masalah dunia, tetapi bukan semua negara yang ‘tewas’ olehnya. Situasi antara sebuah negara dengan sebuah negara yang lain adalah berbeza. Kelebihan dan keupayaan sesebuah negara dalam mencari penyelesaian yang bijaksana, kreatif dan inovatif sekurang-kurangnya dapat memperlahankan kesannya.

Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai banyak kelebihan dari segi sumber dan kestabilan ekonominya. Apatah lagi situasi yang dihadapi oleh Malaysia oleh kenaikan harga minyak mungkin setakat ini tidaklah seteruk krisis ekonomi 1997, yang menyaksikan sektor korporat, bank, institusi ekonomi punah oleh krisis matawang melibatkan seluruh pergerakan ekonomi. Krisis kenaikan harga minyak setakat ini hanya melibatkan korelasi antara kos marginal dan inflasi, seterusnya penyesuaian dengan pendapatan rakyat. Selebihnya sektor ekonomi masih berada dalam keadaan kukuh dan stabil. Tetapi penyelesaian yang tidak menepati fokus serta langkah yang silap bukan sahaja akan menjadikan keadaan bertambah buruk tetapi juga menghancurkan ekonomi Malaysia. Keadaan ini sekaligus akan meletakkan Malaysia dalam keadaan krisis dan tidak stabil baik dari segi ekonomi, sosial dan politik.

Langkah penjimatan perbelanjaan yang dilakukan Pak Lah tentunya baik dalam keadaan tertentu terutamanya untuk kesan jangka pendek. Tetapi langkah penjimatan yang keterlaluan akan memberikan kesan kepada ekonomi dari segi jangka panjangnya. Penjimatan yang keterlaluan akan menjadikan ekonomi tidak bergerak dan seterusnya menguncup ke peringkat yang membahayakan, iaitu peringkat ketiadaan aktiviti ekonomi dan inflasi. Melaksanakan pemotongan perbelanjaan dan pemansuhan projek-projek pembangunan adalah perkara mudah yang boleh dilakukan oleh sesiapapun jua. Dan akibatnya ialah penguncupan aktiviti ekonomi yang tentunya menggencat kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia. Perkara yang sukar dilakukan oleh pemimpin biasa tetapi mampu dilakukan oleh pemimpin luarbiasa ialah bukan hanya dengan memotong itu dan ini, tetapi meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi yang dapat ‘memampukan’ rakyat untuk membayar peningkatan kos sara hidup mereka.

Dalam ertikata lain, Pak Lah perlu memikirkan untuk membuka ‘window of opportunity’ yang dapat merancakkan aktiviti ekonomi bagi mengimbangi kenaikan kos hidup rakyat. Ada dua perkara yang umum sedia maklum dalam usaha untuk membuka ‘jendela peluang’ ini. Pertama, merancakkan aktiviti ekonomi dengan penerokaan bidang ekonomi baru serta suntikan terhadap pelaksanaan projek-projek mega yang berfaedah kepada rakyat, dan bukannya memotong semua perbelanjaan kerajaan termasuk pembangunan negara dan akhirnya ‘membunuh’ pertumbuhan ekonomi. Kedua, pelaksanaan sistem pengagihan projek yang telus dan adil untuk semua rakyat dengan memansuhkan semua sistem yang melibatkan campurtangan serta penyertaan orang politik yang berkepentingan.

Kegiatan ekonomi yang rancak oleh suntikan dana serta kapasiti kerajaan, disertai oleh sistem pengagihan yang merata untuk semua rakyat akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi seterusnya memberikan rakyat kemampuan untuk menangani kos kenaikan harga minyak dan makanan dunia ini. Namun apa yang berlaku di Malaysia sekarang ialah bukan kerana ekonomi negara itu tidak berkembang atau menurun, tetapi kerana sistem ekonomi yang korup di tangan elit-elit politik UMNO dan Barisan Nasional yang berkuasa untuk sekian lama. Oleh itu, apa yang lebih baik dilakukan oleh Pak Lah ialah pembaikian atau perubahan menyeluruh dalam sistem ekonomi yang berasaskan kesinambungan kuasa politik kepada sistem ekonomi yang berasaskan kesinambungan kesejahteraan rakyat.

Penjimatan yang memotong segala bentuk perbelanjaan pembangunan dan perbelanjaan kerajaan adalah cara penyelesaian mudah yang boleh dilakukan oleh sesiapapun, dan ia tidak pun memberikan faedah langsung kepada rakyat. Maka apa yang terlihat ialah hanya penyelesaian terdesak untuk mengambil hati rakyat. Tetapi pada hakikatnya langkah ini tidak memberikan apa-apa kesan yang besar kepada kadar pertumbuhan ekonomi mahupun pengurangan kos yang ditanggung oleh rakyat. Malah ia menjadikan ekonomi itu statik, menguncup dan akhirnya terbenam dalam inflasi yang menggunung tinggi.

Keluhan-keluhan daripada golongan pembekal, penyedia perkhidmatan dan peniaga-peniaga runcit tentang pemansuhan pesanan-pesanan di jabatan kerajaan menular kepada kekurangan malah ketiadaan kerja untuk golongan kontraktor kecil yang terlibat dalam pelbagai industri kecil dan sederhana. Keluhan-keluhan ini suatu masa akan menjadi jeritan apabila untuk mendapatkan tender perbekalan di bawah RM10,000 pun nantinya mereka terpaksa memberikan harga paling murah dengan persaingan yang melibatkan puluhan dan mungkin ratusan syarikat lain. Keadaan akan menjadi lebih buruk dengan nisbah kerja dan pembekal menjadi jurang persaingan yang menakutkan. Maka sistem ekonomi akan menjurus kepada bentuk ‘survival of the cheapest’, yang tentunya menyaksikan pengecilan saiz syarikat melalui pembuangan pekerja, pengurangan gaji dan segala macam pengurangan.

Pak Lah harus meneliti kesan daripada setiap langkahnya dalam menangani situasi ekonomi sekarang ini. Ekonomi pasar yang diamalkan ini melibatkan jaringan yang amat kompleks. Ia boleh menjadi permainan domino yang amat menakutkan jika tersentuh bata yang salah dan bergerak menjatuhkan semuanya sekali dalam sekelipan mata. Namun apa yang pasti di sini ialah Pak Lah sememangnya telah menunjukan ketidakupayaan beliau untuk menangani krisis ekonomi. Itulah hakikatnya.

Mingguan Wasilah, 22-28 Jun 2008