Monday, December 8, 2008

REVIU FILEM NOVEMBER 2008

BLACK WATER MEMECAHKAN DOMINASI HOLLYWOOD

Filem-filem Hollywood yang muncul dengan trade-mark keganasan yang tidak masuk akal, adegan seksual dan sensual, serta imej-imej simulacrum daripada janaan teknologi komputer; selalunya turut membawa idealogi superioriti Amerika Syarikat (AS). Persepsi dan klise filem Hollywood yang mendominasi pawagam dunia khususnya negara dunia ketiga dan komanwel, yang hanya dibuat semata-mata untuk hiburan, ruang hidup kebendaan dan propaganda AS demi menjana keuntungan komersil besaran kini mula membosankan penonton. Namun trade-mark yang diringi perbelanjaan mega hingga ratusan juta dolar untuk pembikinan filem memberikan persepsi bahawa filem besar dunia hanya mampu dikeluarkan oleh Hollywood.

Kemunculan sebuah filem dari Australia iaitu Black Water di tangan Andrew Traucki dan David Nerlich dengan belanja sebanyak 1.2 juta dollar AS memecahkan persepsi dan dominasi Hollywood dalam pasaran filem dunia. Dengan perbelanjaan rendah Andrew Traucki dan Navid Nerlich yang juga sama-sama menulis lakon layarnya berjaya menjadikan filem ini menjadi sebuah filem besar. Sebuah filem Australia yang kecil ini telah mengubah sudut pandangan dunia filem komersil, khususnya dunia filem berbahasa Inggeris yang menguasai pasaran besar dunia.

Dunia perfileman Australia bermula pada tahun 1897 dengan tertubuhnya Studio Limelight Department di bawah sebuah pertubuhan Kristian. Studio ini telah menerbitkan kira-kira 300 buah filem sebelum ditutup pada tahun 1910. Setelah itu slot pengisian filem dipenuhi oleh filem-filem Hollywood memandangkan pembikinan filem memakan belanja yang lebih besar berbanding dengan mengimport masuk filem-filem Hollywood. Pada tahun 1920-an, 94% daripada filem yang ditayangkan di Australia adalah filem Hollywood.

Kegiatan filem di Australia mencapai zaman gemilangnya sekitar dekad 70-an dan 80-an dengan beberapa buah filem menembusi dan berjaya di pasaran antarabangsa, antara Mad Max (1979) dan Crocodile Dundee (1986). Australia kemudian menjadi tumpuan pembikin filem Hollywood apabila Rupert Murdoch membuka Studio Fox di Sydney. Antara filem yang menggunakan studio ini ialah Matrix, Star Wars II dan Star Wars III. Ramai pelakon dan pengarah yang berasal dari Australia telah mencipta nama besar di Hollywood antaranya Mel Gibson, Nicole Kidman, Russel Crowe, Hugh Jackman, Cate Blanchett, Heath Ledger serta pengarah seperti George Miller, Peter Weir, Baz Luhrmann, Gillian Amstrong dan sebagainya.

Black Water yang mengangkat kisah benar serangan buaya air masin di Utara Australia adalah sebuah filem Australia yang paling berjaya pada dekad 2000-an ini. Filem ini hanya menggunakan tiga orang pelakon iaitu Grace (Diana Glenn), Adam (Andy Rodoreda) dan Lee (Maeve Dermody) dengan dua orang pelakon pembantu seperti ibu Grace dan Lee, dan penambang bot Jim. Ia mengisahkan Adam, Grace dan Lee bercuti dengan pergi memancing sambil meneroka hutan paya bakau di utara Australia, dipandu oleh seorang jurubot iaitu Jim. Sampai jauh di hutan paya bakau itu, tiba-tiba bot kecil yang mereka naiki dilanggar oleh sesuatu sehingga terbalik. Dalam keadaan kelam kabut itu, mereka menyedari Jim telah hilang. Dengan tidak berlengah Adam dan Grace berlari memanjat pokok tanpa menyedari Lee terperangkap dalam bot yang terbalik. Lee berjaya menaiki bot tetapi dilanggar oleh sesuatu namun akhirnya berjaya melepaskan diri dan menyertai Grace serta Adam di atas pokok.

Sehingga ini, pengarah masih menyembunyikan rupa penyerang mereka. Ia hanya memperlihatkan mayat Jim yang terapung dan kemudian hilang. Air paya bakau yang keruh, dan suasana alam yang sunyi dan jauh daripada kehidupan manusia. Mereka bertiga terkandas di sebuah kawasan paya bakau dengan tiada siapa yang tahu di mana mereka berada dan paling mengerikan ialah menghadapi ancaman maut dari makhluk ganas yang bersembunyi di dalam air keruh di bawah kaki mereka. Filem ini berjaya menimbulkan kesan dramatik dan kejutan yang cukup kuat tanpa memerlukan teknologi canggih atau replika ngeri yang canggih untuk menimbulkan kesan buaya ganas. Sebaliknya Andrew Traucki dan David Nerlich lebih memainkan kesan psikologi melalui pelbagai shot suasana paya yang sunyi dan menyeramkan dan menyembunyikan wajah buaya di dalam air yang keruh sebagaimana sifat buaya air masin yang sebenar.

Keberkesanan filem ini ialah terletak kepada kejujuran dua orang pengarah ini memaparkan kisah sesebenar yang mungkin, berdasarkan kisah dan kajian mereka terhadap sifat sebenar buaya air masin yang ganas itu. Mereka menolak unsur spectacular gaya Hollywood yang melebih-lebihkan keadaan bagi mewujudkan kesan kepada penonton. Sebaliknya mereka lebih memfokuskan kepada suasana semulajadi bagi menunjukkan bagaimana manusia menghadapi alam yang sunyi dan tenang tetapi bertukar menjadi pemangsa yang ganas. Filem ini lebih menjurus kepada pergelutan manusia dengan alam semulajadi, atau lebih tepat bagaimana manusia dengan tangan kosong mereka dapat menghadapi alam semulajadi yang ganas, diwakili oleh seekor buaya air masin sepanjang 20 kaki dan seberat 1000 kilogram yang kelaparan.

Buaya air masin yang terdapat di paya bakau di utara Australia adalah reptilia yang paling ganas dan berbahaya di dunia. Buaya jantannya boleh membesar sehingga 20 kaki dengan berat 1000 kilogram. Bahkan sesetengah cerita menyatakan bahawa wujud buaya air masin yang boleh menjangkau besar sepanjang 28 kaki dengan berat hampir 2000 kilogram. Buaya air masin ini boleh menumbangkan seekor kerbau dengan mudah di dalam air. Caranya ialah menerkam atau melibas mangsanya untuk jatuh ke air dan kemudian menyambar dengan menggigit secara berputar atau dikenali sebagai deathroll untuk melemaskan mangsanya. Buaya ini selalunya membawa mangsa yang lemas ke sarangnya dan meninggalkannya beberapa lama sehingga busuk sebelum memakannya.

Kajian menunjukkan bahawa tiada haiwan lain yang menjadi ancaman kepada buaya ini kecuali buaya daripada spesies mereka sendiri. Buaya adalah haiwan yang paling bahaya kerana ia menyerang tanpa sebarang amaran dan tanda-tanda. Bahkan dalam kes buaya air masin ini, ia boleh menyerang mangsanya bukan sahaja di air tetapi juga di darat. Buaya ini dikatakan boleh bergerak di darat selaju manusia berlari. Buaya ini juga boleh melompat untuk menyambar monyet-monyet yang berada beberapa kaki dari air di atas pokok. Mereka juga boleh hidup tanpa makanan selama sebulan. Dan lebih memeranjatkan, satu kajian menyatakan bahawa buaya air masin yang ganas ini mempunyai kapasiti otak atau kecerdikan yang melebihi tikus makmal. Ini menunjukkan bahawa buaya masin ini adalah merupakan antara haiwan pemangsa yang paling ganas dan berbahaya di dunia.

Sifat dan habitat buaya inilah yang dibawa ke dalam Black Water sehingga ia menjadikannya sebagai sebuah filem yang menayangkan sebuah alam nyata, iaitu kekuatan dan keganasan alam semulajadi menghadapi manusia yang lemah dan tidak berupaya – yang hanya semata-mata bergantung kepada kelebihan akalnya. Black Water bukan hanya pertembungan antara buaya dengan manusia tetapi juga adalah pertembungan antara naluri dengan akal. Dan kedua-duanya bergelut untuk hidup; satu mencari makanan dan satu lagi melepaskan diri daripada menjadi makanan.

Milenia Muslim, November 2008