Monday, May 25, 2009

SAINS DALAM SASTERA, SASTERA DALAM SAINS





Lutfi berjaya membawa 'orang-orang sains' kali ini untuk menyertai PPMN09 sebagai pemakalah. Dr. Mohamad Alinor dan Wan Ahmad Fhysal ternyata memberikan kehangatan kepada diskusi untuk sesi ini. Nasirin juga tampil memberikan wacana yang cukup bernas. Pengerusi, Mohamad Ali Atan menjalankan tugas dengan cemerlang. Dr. Alinor mengkaji sains tabii melalui manuskrip kuno, dan ia adalah suatu yang sangat menarik. Wan Fhysal baru berusia 22 tahun tetapi kematangan dan ilmu cukup untuk meletakkannya setaraf dengan sarjana tingkat tinggi. Namun kecenderungannya kepada teori Persuratan Baru mungkin akan banyak menghabiskan masanya untuk menjawab serangan kilas, jika Persuratan Baru itu diambil bulat-bulat tanpa dimurnikan. Persuratan Baru adalah teori yang tidak islamik sebenarnya apabila menampilkan sifat sombong, riak dan takbur dengan memperlekehkan semua karya dan pemikiran orang lain. Afandi hanya meletakkan karyanya sahaja yang terbaik, dan ia menyamai sikap firaun yang hanya meletakkan dirinya sahaja yang mulia dan benar.

Jika Wan Fhysal tidak memurnikan Persuratan Baru mengikut pemikirannya sendiri, beliau akan banyak menghabiskan masa melawan kritikan dan serangan yang akan hanya mensia-siakannya. Amat baik untuk Wan Fhysal menggunakan tenaga mudanya yang dinamik, intelektif dan eksploratif itu untuk membina balik Persuratan Baru ini menjadi sebuah teori Islam yang murni. Dan bukan seperti pengemukanya yang bercakap tentang sastera ilmu tetapi tidak ada sebarang definisi dan huraian yang objektif tentang apa itu ilmu. Apakah ilmu bagi Ungku Maimunah dan Afandi hanya meruntuh-runtuh, mengaib-aibkan dan membodohkan orang lain sahaja. Teori persuratan baru boleh jatuh kepada bidaah jika ia terus mengekalkan sifat sombong dan riaknya. Dan boleh jatuh kepada jahil jika hanya bercakap tentang ilmu yang tidak ada definisi dan konsep yang jelas.

NAZMI SPEAKER YANG DITAKTOR




Sesi yang dipengerusikan oleh Nazmi Yaakub menampilkan Ummu Hani, Ali Bukhari dan Jaafar Hamdan. Ummu menyampaikan kertas kerja dengan, bahkan begitu baik sehingga Nazmi sang ditaktor itupun tidak berani nak memberhentikannya seperti panel lain dan khalayak yang bertanya. Jaafar memberi gambaran tentang senario penulis muda Sarawak. Saya rasa terkilan kerana tidak dapat membawa turun penulis muda dari Sabah. Ali Bukhari pula ada masalah dengan sahabatnya yang bernama Najib, kemudian Abdullah dan kemudian Mahathir kerana terus membenarkan PPSMI berlangsung. Ahli Umno yang digoda oleh Puteri UMNO untuk memasuki UMNO ini meminta penulis-penulis muda membuat pendirian untuk mendesak agar PPSMI dimansuhkan dengan meruntuhkan 'rantaian ketakutan'.

Yang jelas Nazmi mengambil kesempatan di atas kuasanya sebagai speaker itu untuk mengeluarkan saya daripada senarai penulis muda. Nazmi juga dengan diktatornya memotong percakapan dan pembahasan yang melebihi masa. Tetapi entah kerana sikap double standard kerana dipangil 'abang nazmi' oleh Ummu, atau kecut dengan suara lantang Ummu, Nazmi hanya mampu melongo dan melopong dan tidak berani secuit pun memberhentikan Ummu. Bahkan, lebih buruk lagi Nazmi menyuruh Ummu bercakap lagi ketika Ummu sudah habis bercakap. Tetapi bila orang lain bercakap, dengan zalim Nazmi hanya memberi dua minit saja, satu minit setengah saja. Lutfi yang ada 3 soalan hanya sempat bertanya 2 soalan sebelum diarah duduk oleh Nazmi. Begitulah.

Dan akhirnya kami memecat Nazmi sebagai speaker, dengan mengangkat kerusinya ketika dia tertidur sedang makan karipap. Tapi masya-Allah beratnya si Nazmi ni. Ijamala yang besar tupun sampai terlentang nak mengangkatnya. Akhirnya Nazmi berjaya diangkat keluar dengan bantuan 50 peserta. Tamatlah riwayat speaker yang zalim ini. Kisahnya kami abadikan di sebatang pokok yang kami jadikan sebagai tugu demokrasi.

UCAP UTAMA DARO' DR. ANWAR RIDHWAN





Dato' Dr. Anwar Ridhwan menyampaikan ucap utama dari kertas kerja yang panjang lebar. Penegasan beliau terhadap penentangan dasar PPSMI dan seterusnya kewajaran untuk memansuhkan PPSMI dengan segera menjadi fokus kepada berita di Malaysiakini. Kertas kerja penuh beliau ada dimasukkan dalam blog beliau, taip sahaja 'Anwar Ridhwan' nanti keluarlah blognya itu. Dr. Awang Azman dan saya menjadi pengulasnya. Dr. Awang Azman mengulas tentang proses pengenerasian dan pelbagai isu yang ditimbulkan dalam ucap utama Dr. Anwar Ridhwan.

Saya sebenarnya menggantikan Dr. Mawar Shafei yang berhalangan untuk menjadi pembahas. Oleh itu ketika mendapat kertas kerja ucap utama ini, saya meminta urus setia PPMN09 untuk mencari orang lain. Tetapi kata mereka, masa sangat tidak mengizinkan.Saya mengambil tugas ini dengan di bahu dan kepala saya penuh dengan tugas lain yang berat termasuklah memastikan dana dan kewangan bagi penganjuran PPMN09 ini mencukupi.

Akhirnya saya mengambil tugas sebagai pembahas. Saya membaca keseluruhan ketas kerja dan melihat kepada satu fokus yang menjadi teras kepada persoalan. Banyak isu boleh menjadi teras termasuklah isu PPSMI. Tetapi saya sudah banyak dan berkali-kali sudah menulisnya di Wasilah, Harakah, Milenia Muslim dan pelbagai media lagi. Jadi saya memikirkan untuk menangani kertas ucap utama ini secara yang lebih filosofikal. Inilah kegilaan saya sejak dulu pun. Dan saya boleh menulis subjek yang filosofikal ini dengan lebih cepat berbanding subjek lain, kerana itu kegilaan yang membuatkan saya tidak menceburi bidang akademik. Kerana saya tidak berminat membaca buku teks pelajaran sejak di sekolah menengah kerana lebih gila membaca buku falsafah yang saya tidak fahami pun. Pada suatu ketika saya membuat keputusan tidak mahu lagi membaca buku-buku sekolah yang membosankan, yang tidak mencabar otak 'dungu' saya. Kerana saya lebih suka menghabiskan masa membaca buku sejarah falsafah Islam mahupun Barat.

Saya pun menulis tentang manusia unggul Ubermensch dan Insan Khudi sebagai bahasan terhadap kertas ucap utama yang melihat bahawa penulis muda harus menjadi manusia yang berilmu dan pendakwah kepada masyarakat. Jadi penulis harus menjadi agen pembaharu kepada masyarakatnya. Saya membahas hal ini melalui dua konsep tadi. Iqbal sudah saya kenal karyanya sejak usia belasan tahun lagi, dan mula tekun cuba memahami pemikirannya ketika saya mula berusia 20-an. Bersama-sama Iqbal saya cuba memahami Ibnu Arabi, Al-Ghazali, Al-Farabi, Ibnu Khaldun, Ibnu Miskawaih, Syed Qutb dan tidak ketinggalan Syed Naquib al-Attas. Nietzsce mula menjadi kegilaan saya sejak mula gila dengan ahli falsafah barat seperti Leibniz, Kant, Rouseau, Machiavelli, Decartes, Hobbes, Locke. Sebelumnya Lao Tze, Socrates, Plato, Aristotle dan puak Sofis.

Sehingga kini saya terus menjalar kepada Sariati, Nasr, Al-Faruqi, Hasan Hanafi, Soroush, Ganoushi, Edward Said, Fanon sejajar dengan Focult, Derida, Barthes, Baudrilard, Berlin, Armstrong, Babbha, Amin dan Geertz. Saya setengah miring dengan dunia falsafah ini.Selepas saya tidak membaca lagi buku falsafah dan malas berfikir atau bercakap lagi fasal falsafah, barulah otak saya betul kembali. Kertas kerja saya boleh didapati dalam fail seminar. Itu sahaja. Selebihnya kerja saya ialah menulis dan berpetualang.

PERASMIAN PPMN09




Ada perbezaan yang sangat ketara antara pemikiran ahli politik dan budayawan. Ahli politik melihat kepada isu, tetapi budayawan melihat kepada nilai. Namun yang pasti ahli politik dewasa ini terlalu jauh dalam memahami fikiran rakyat khususnya golongan muda.

PPMN09 dirasmikan oleh YB Dato' Othman Mohamad, Speaker DUN Negeri Melaka. YB Dato' Othman juga merupakan Ketua Satu PENAMA, sebuah persatuan penulis di Melaka. Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh ahli-ahli PENAMA dan para penulis dari Melaka. Dato' Baha memberikan ucapan alu-aluan, diikuti oleh Dato' Termuzi Abd Aziz, Ketua Pengarah DBP, wakil Datuk Bandar Melaka dan akhirnya YB Dato' Othman Mohammad. Dato' Baha menegaskan tentang isu bahasa Melayu khusus kepada pelaksanaan PPSMI yang wajib dimansuhkan. Inilah perjuangan penulis muda. Tidak ada gunanya para penulis muda berseminar dan bercakap tentang arah dan cabaran jika bahasa Melayu yang menajdi ruang utama untuk mereka berkarya 'dihapuskan'. Saya bersetuju seratus peratus dengan Dato' Baha. Bukan sahaja penulis, tetapi juga seniman lain seperti pembikin drama dan filem Melayu juga perlu menyedari hakikat ini.

MENJENGAH SESI PENULIS MUDA




Sesi pertama, Muhammad Lutfi Ishak, Salman Sulaiman, dan Zulkifli Khair yang dipengerusikan oleh Rusdi Abd Rahman. Sesi ketua; Nasriah Abd Salam, Nisah Haron, Azman Ahmad Al-Kurauwi, dan Sahrunizam Abd Talib yang dipengerusikan oleh Rahimidin Zahari.




Saya tak sempat untuk menghadiri dua sesi pada hari pertama. Sesi pertama Lutfi, Salman dan Zulkifli Khair yang dipengerusikan oleh Rusdi Abd Rahman. Sesi kedua Nisah, Nasriah, Ustaz Azman dan Sahrunizam yang dipengerusikan oleh Rahimidin. Lutfi menampilkan kertas kerja yang cukup memberangsangkan dengan pemikiran yang kuat. Salman penuh nada keIslaman. Nisah, Nasriah dan Ustaz Azman saya lihat juga menarik kertas kerjanya. Cukup memberi fokus kepada tema seminar. Dan Sahrunizam si pejuang bahasa tulen yang sukar untuk bercakap tetapi apabila bercakap memberikan pemikiran yang cukup bernas terutama 'kegeramannya' tentang kebodohan dasar PPSMI.

Saya bertungkus lumus ketika itu menyiapkan dan menunggu buku cenderamata VIP yang terpaksa dicetak semula pada saat akhir, kerana perubahan aturcara majlis perasmian pada saat akhir. Dari pagi saya berkejar ke sana sini sehingga berasap kereta, untuk menguruskan segala persiapan saat akhir termasuklah logo penaja yang terlupa kami sediakan sebelumnya. Alhamdulillah semua selesai dan saya memandu dengan hati yang lega, tiba di Puteri Resort jam 10.30 dan terus ke bilik urus setia untuk mesyuarat. Di sana sudah ada Wan dan pembantunya, Ijamala, Lutfi, Hasmora, Luqman, Ariff. Suasana segera menjadi ceria. Shamsudin dan Saifulizan sedang melayan Datuk Termuzi, KP DBP, Dato Baha dan para VIP di Lounge.

Sunday, May 24, 2009

PERHIMPUNAN PENULIS MUDA NASIONAL KE-2 2009



Perhimpunan Penulis Muda Nasional kedua selepas yang pertama di Tanjung Piai, Johor pada tahun 2005 berlangsung dengan jayanya di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka pada 22-24 Mei 2009. PPMN-2 ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan sehingga kami, pihak urus setia kelam kabut menguruskan penginapan para peserta.

Suasana mesra and akrab antara penulis muda terpamer jelas. Saya terharu dengan sambutan dan kemesraan yang ditunjukkan oleh para peserta. Semua yang keruh saya lihat telah dijernihkan dengan pertemuan ini. Semua berkumpul dalam keadaan mesra dan menunjukkan keakraban serta semangat setiakawan yang tinggi. Terlihat benar bezanya kelompok penulis muda ini dengan penulis terdahulu. Pertamanya mereka dilingkungi oleh latar dan suasan keagamaan yang tinggi. Ustaz Azman Al-Kurauwi, Mohd Nazmi Yaakub, Salman Sulaiman, Nisah Haron, Nasriah Abd Salam, Salina Ibrahim, Ummu Hani, Ali Bukhari semua dari latar pendidikan agama. Bahkan si Lutfi Ishak yang brutal itupun lepasan Maahad Maktab Mahmud (tapi selalu lompat pagar). Dan kedunya, hampir keseluruhan mereka mempunyai latar pendidikan tinggi dan menjadi tenaga akademik dan pendidik, baik di institusi pengajian tinggi mahupun di sekolah-sekolah. Dari segi akhlak dan tutur kata baik dalam apa polemik pun, mereka jauh lebih beradab.

Ternyata wacana-wacana yang dilontarkan juga menunjukkan tahap pemikiran penulis muda Malaysia yang tidak boleh dipandang rendah. Bahkan adakala jauh terkehadapan daripada ‘orang tua’ yang tak habis-habis berpolemik kosong. Inilah kesilapan yang dilakukan oleh orang politik (khususnya yang hadir di majlis ini) apabila menganggap penulis muda dalam perhimpunan ini hanya anak-anak sekolah yang terlopong mendengar cerita politik mereka. Para penulis muda dan peserta yang ada dalam perhimpunan ini sebenarnya jauh lebih bijak dan tinggi pemikirannya daripada ahli-ahli politik di atas pentas itu.

Saya, Shamsudin Othman dan rakan-rakan ‘bekas penulis muda’ cukup bangga dan bahagia dengan kejayaan perhimpunan ini. Soal-soal sepele, berbeza pendapat, dan sebagainya adalah soal kecil dan biasa. Yang jelas perhimpunan ini telah menunjukkan kehadiran penulis muda yang penuh tenaga, bijak dan mempunyai iltizam yang tinggi. Saya melihat setiap sesi dipenuhi dengan peserta yang begitu tekun memberi perhatian dan mengambil bahagian. Mungkin saya terlalu memuji, tetapi hakikatnya saya melihat ia jauh lebih baik daripada seminar-seminar besar yang sering mengangkut ‘khalayak palsu’ seperti pelajar sekolah dan IPT yang diserkap secara rambang itu.

Namun di sini, para penulis muda patut memberi perhargaan yang besar kepada Saifulizan Yahya yang dibantu oleh Wan Zaida. Mereka berdualah yang bertungkus lumus berkorban segalanya untuk menjayakan acara ini. Kami ‘yang tua’ ini (saya tak le tua sangat, genap 40ja. Cuma konspirasi Nazmi dan Salina saja nak menjadikan saya penulis tua) cuba mencari ‘ketua’ di kalangan penulis muda ini untuk mengetuai PPMN-2. Kami melihat Saifulizan mempunyai ciri seorang yang bertanggungjawab, rajin, berdedikasi, ikhlas dan tekun dalam kerjanya. Saiful mempunyai ciri pemimpin yang boleh bekerja, dan kami harap para penulis muda memberi sokongan kepada beliau. Di samping Saifulizan kami letakkan Lutfi yang membantu membawa Dr. Alinor dan Wan Faysal, serta tugas-tugas seminar. Ariff Mohamad juga kami letakkan untuk membantu di sini.

Ramai yang datang dan membantu dalam PPMN-2. Wan Zaida adalah tulang belakang PPMN-2 ini. Tanpa Wan Zaida saya tak tahu bagaimana rupa PPMN-2 ini. Ijamala MN banyak membantu dari mula lagi. Hasmora banyak sekali membantu di belakang tabir. Khairunasriah, Ummu Hani dan adik-adik MPR juga banyak membantu. Terima kasih kepada rakan-rakan dan adik-adik MPR yang memberi sokongan besar kepada kejayaan PPMN ini (janganlah ambil hati dengan pandangan berbeza daripada Ariff Mohamad, ia sebenarnya satu wacana untuk semua). Nisah datang memeriahkan majlis dengan jualan buku. Terima kasih kepada Nisah yang memberi sokongan berpanjangan sepanjang PPMN-2 ini. Sahrunizam turun jauh dari Pahang. Ali Atan and the gang, Nimoiz yang sangat menghiburkan (sehingga saya cukup menunggu untuk melihat gelagatnya), teman-teman dari Sarawak Jaffar Hamdan dan kawan-kawan, SK serta kumpulan dari Singapura, Kak Roy dan geng Persatuan Penulis Wanita, dan ramai lagi yang tak dapat saya sebutkan di sini. Sayang sekali teman dari Sabah dan lain-lain berhalangan untuk bersama.

Akhirnya kita semua bersetuju bahawa PPSMI wajib dimansuhkan dengan segera. Dan keteguhan tekad penulis muda diharap menjadi gelombang penting dalam sejarah pendidikan Negara pada suatu masa nanti. Terima kasih kepada semua yang menjadikan perhimpunan ini sebagai sebuah pertemuan ‘keluarga’ yang besar.

Malang sekalilah bagi sesiapa di luar sana yang menyangka bahawa penulis muda ini anak-anak sekolah yang boleh ditipu dengan retorik di atas pentas. Kerana sebenarnya anak-anak muda jauh lebih bijak daripada apa yang disangkakan.

Tuesday, May 19, 2009

PERHIMPUNAN PENULIS MUDA NASIONAL KE-2




Di PENA semangat setiakawan hadir tanpa mengira usia dan latar belakang. Setiap masalah dan perselisihan pendapat diselesaikan dengan segelas teh tarik atau sepinggan ikan bakar. The good, the bad and the ugly - tetapi kami satu.



Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) mengadakan Perhimpunan Penulis Muda Nasional ke-2 pada 22-24 Mei 2009 bertempat di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka. Perhimpunan kali ini diadakan secara sederhana memandangkan keadaan kegawatan ekonomi dan politik negara masakini. Saya dan rakan-rakan yang terlibat dalam Perhimpunan Penulis Muda Nasional yang pertama di Tanjung Piai, Johor tahun 2005 dahulu seperti Shamsudin Othman, Amirudin Ali, Ijamala MN, Saleeh Rahamad, Rahimidin Zahari, Nasury Ibrahim, Luqman Hakim, Amirul Fakir dan beberapa orang lagi yang sudah melepasi usia 40 tahun; kali ini cuba memberikan tugas untuk melaksanakan perhimpunan kepada rakan yang lebih muda. Saifulizan Yahya, Muhammad Lutfi Ishak, Ariff Mohamad, Sahrunizam, Nazmi Yaakub, dan lain-lain diharapkan untuk melaksanakan perhimpunan kedua ini. Seperti biasa Wan Zaida masih menjadi setiausaha kerja sepenuh masa untuk menguruskan semua urusan perhimpunan. Ummu Hani, Khairunasriah, Hasmora, Mohd Ali Atan muncul untuk membantu dalam perhimpunan kedua ini.

Tenaga yang bekerja untuk perhimpunan ini dari dahulu lagi adalah tenaga sukarela. Tiada tenaga profesional iaitu yang dibayar gaji tetap untuk menguruskan acara ini. Jika ada yang bercakap tentang profesionalisme, saya rasa ia perlu bertolak dari pertimbangan yang adil. Profesionalisme dalam kerja sebegini lebih bergantung kepada penglibatan seluruh tenaga kerja, pemakalah dan peserta. Ketika saya menguruskan perhimpunan yang pertama bersama rakan-rakan di PENA dan rakan penulis lain. Kami diikat oleh rasa kebersamaan dan setiakawan yang cukup jitu. Semua datang dengan gembira dan bersemangat untuk membantu. Kami bekerja bersatu hati. Semua ego dan pangkat yang ada kami sangkut di pagar rumah PENA dan kami masuk ke rumah PENA dengan diri yang sama rata.

Tetapi kali ini, apabila saya terbaca tentang penulis yang dijemput menjadi pemakalah mempersoalkan tentang profesionalisme pihak penganjur yang menjemput dengan ‘mulut’ dan sebagainya, saya mula berasa bahawa suasana bahagia dan setiakawan yang ada pada kami dahulu tidak ada pada penulis-penulis ini. Surat tentunya akan tiba, tetapi kami dulu faham bahawa yang bekerja juga perlu mencari masa ‘sukarela’nya untuk menguruskan segala kerja. Tentunya ada kelambatan dan kekurangan. Tetapi rakan-rakan kami dahulu ada yang datang sendiri membantu menaip surat dan tidak ‘terangkuh’ untuk menyerang kelemahan kerja-kerja sukarela ini.

Memang banyak kelemahan daripada penganjuran kali ini, awal-awal lagi kami terpaksa menangguhkannya kerana masalah kewangan. Juga masalah lain yang bertimpa-timpa. Pasukan yang bekerja juga tidak sekuat kami dahulu. Hanya tinggal Saifulizan, Wan Zaida dan Lutfi. Saya dan kawan-kawan dahulu (yang dah tua) terpaksa masuk kembali membantu untuk menjayakan perhimpunan ini, setelah melihat ketiga-tiga mereka ‘lemas’ diterkam pelbagai hal. Tetapi kami masih memberi kebebasan untuk rakan yang lebih muda ini membuat keputusan terhadap apa yang mahu diisi. Alhamdulillah semua masalah dapat diatasi, dan paling penting kami masih mempunyai semangat setiakawan yang kukuh itu.

Sehingga sekarang kertas kerja masih ada yang belum menghantarnya. Itu menjadi masalah besar kerana buku prosiding akhirnya tidak dapat diterbitkan kerana kerenah pemakalah yang tidak profesional ini. Kepada yang telah menghantarnya, terima kasih. Saya jadi terfikir di sini, penulis-penulis yang bercakap tentang profesionalisme pihak penganjur tetapi tidak sedar-sedar tentang diri mereka yang tidak profesional langsung. Kertas kerja tidak pernah dapat dihantar pada waktu yang tepat. Bahkan kertas kerja yang dibuat pada waktu akhir itu selalunya ditulis ‘asal ada sahaja’, adalah 4-5 helai dan isinya hampas. Penulis-penulis yang sering bercakap tentang profesionalisme ini tidak pernah melihat tentang mutu kerja mereka sendiri. Tetapi ingin mempersoalkan profesionalisme orang lain.

Saya tentunya tidak marah. Apatah lagi sebagai penganjur yang harus tersenyum setiap ketika melayan penulis-penulis yang profesional ini. Pandangan saya ini hanyalah pandangan peribadi seorang kawan kepada kawan walau sesiapa sahaja. Kelemahan tentu ada pada setiap orang. Pihak penganjur tidak mendapat apa-apa keuntungan selain daripada melaksanakan tugas persatuan penulis yang mendapat mandat daripada ahli-ahlinya. Selebihnya kami hanya mencari ruang untuk bersetiakawan serta mengerjakan minat sastera kami secara bersama dan berpadu untuk kebaikan dunia sastera.

Sebagai pihak penganjur kami memohon jutaan ampun dan maaf atas segala kekurangan dan memohon rakan-rakan penulis serta peminat sastera datang beramai-ramai menjayakan perhimpunan sastera ini. Buang yang keruh ambil yang jernih. Semoga kita dapat berjumpa di Melaka dengan ceria dan melupakan segala yang keruh itu.

Sesungguhnya yang baik hanyalah daripada Allah s.w.t dan yang buruk dari kami serta saya di sini. Wassalam.