Friday, February 27, 2009

CERITA UNTUK NASSURY


Menerima cenderamata daripada Chamaipong Sankrajang, penulis wanita tersohor Thailand yang juga merupakan Presiden Persatuan Penulis Thailand (Semakhom Nakhian Thai).

Kata Nasurry dalam dewan ketika Seminar Sastera Thailand-Malaysia, "Demo tok leh ulas cerpen, sebab demo buke sarjana."

Kata saya, "Kawe seorang penulis. Seorang penulis ialah seorang ahli silap mata dan ahli silap mata boleh jadi apa sahaja yang dia mahu."

Dahulu Nassury sms, "Cerpen (Cerita untuk Teman-teman) demo tak sedap sebab tak masuk nama kawe.'

Sekarang saya masuk nama Nassury dalam blog, khusus 'Cerita untuk Nasurry'.

Apa cerita Nasurry? Krrrrroooooghhh! Krrrrroooooghhh!

Sama dengan cerita Nazmi, sebab itu Nasury dan Nazmi diletakkan sebilik. Dan bilik mereka menjadi bilik yang paling aman dan baik di Thailand. Krrrrroooooghhh...

Tapi terima kasih kepada dua-duanya, tanpa sokongan teman-teman tak meriahlah acara sastera kita.

Thursday, February 26, 2009

KOTA SINGGORA


Kota Singgora, tinggalan pemerintah Sultan Sulaiman, raja Singgora yang memerintah Singgora (Songkhla) pada abad ke-17M.



Dalam seminar Sastera Thailand-Malaysia pada 15-18 Februari 2009 itu, penulis Thailand kebanyakan tidak mendapat banyak maklumat tentang sastera di Malaysia. Daripada perbualan dengan Kwan dan Susow iaitu dua orang penulis dari Phuket, rata-ratanya sastera di Thailand juga menghadapi masalah sepertimana di Malaysia iaitu buku sastera dicetak sekitar 1000 naskhah dan sukar hendak dijual, senario buku cerita pop, dan masyarakat yang kurang membaca.

Tetapi saya mengatakan Thailand lebih baik dari Malaysia kerana mempunyai filem-filem yang hebat dan terbaik. Sekurang-kurang masyarakat Thailand boleh berfikir melalui filem. Di Malaysia sudahlah masyarakat tidak membaca, tengok pula filem-filem sampah sifu tongga lah, rempit drift lah, hantu belakang lah. Satu pun filem Malaysia tidak membawa sebarang kecerdikan untuk masyarakat berfikir. Adalah satu dua yang bagus, tapi penonton yang datang pun satu dua juga.

Thursday, February 19, 2009

PERTEMUAN DENGAN PENULIS-PENULIS THAILAND


Pertemuan penulis Thailand-Malaysia berlangsung dalam suasana yang penuh teratur dan harmoni

Pada 15-18 Februari 2009 telah berlangsung Seminar Sastera Thailand-Malaysia di Lee Gardens Hotel, Hadyai. Seminar ini dianjurkan oleh Persatuan Penulis nasional Thailand (Semakhom Nakjian Thai) dan Kementerian Kebudayaan Thailand. Seminar telah membawa pertemuan antara Semakhom dan PENA (Persatuan Penulis Nasional Malaysia).

Ternyata pertemuan antara penulis Malaysia dan Thailand ini sungguh menarik dan memberikan banyak pendedahan kegiatan penulisan kedua-dua pihak. Penulis-penulis Thailand dan Malaysia pada hakikatnya hanya tinggal bersebelahan tetapi tidak mengenali antara satu sama lain. Pertemuan ini membawa kepada perkenalan khususnya karya dan isi pemikiran masing-masing.

Lebih mengharukan pihak Thailand memberikan layanan yang begitu baik dan akrab kepada semua penulis Malaysia. Walaupun menghadapi masalah komunikasi dan terpaksa menggunakan khidmat penterjemah dalam setiap sesi tetapi persefahaman dan rasa persahabatan mula terjalin.

Hebatnya penulis dan orang Thailand tidak berhajat pun untuk menggunakan bahasa Inggeris tetapi lebih sanggup mencari khidmat penterjemah kerana mahu mendengar dan memperdengarkan keindahan bahasa masing-masing.

Tetapi di Malaysia, kalau mengikut sajak Khalid Salleh 'orang-orang Melayu dah jadi babi' kerana bangga dan gila dengan bahasa Inggeris. Mungkin yang jadi babi itu termasuk dengan menteri Melayunya sekali.

Wednesday, February 11, 2009

KATA-KATA TEMAN

Kota Ligor yang suatu ketika hebat kini tinggal batu-batu sejarah
Orang sastera hidup dalam kota yang mereka cipta. Di sini mereka agung hebat tetapi di luar mereka bukanlah sesiapa.

Suasana sastera sekarang malap. Tidak kelihatan tulisan-tulisan yang menimbulkan fikiran-fikiran yang membicarakan polemik atau isu yang membangkitkan daya intelektual sasterawan mahupun sarjana sastera. Kata seorang teman, sarjana sastera kita sekarang mandom. Saya kurang pasti makna mandom dalam konteks makna teman saya itu. Tetapi bunyinya seperti beku dan kaku.

Saya mengatakan hal ini kepada Shamsudin yang merupakan seorang penulis dan juga seorang sarjana di IPT. Kata Shamsudin pensyarah sekarang sibuk mengejar kpi, tak silap saya, saya pun tak tahu apa itu kpi. Tapi lebih kurang markah-markah yang membolehkan mereka naik pangkat. Dan juga pelbagai kerja lain yang tidak memberikan mereka masa untuk menulis pemikiran-pemikiran mereka di majalah atau penerbitan. Dalam pada itu pensyarah dibebankan dengan terlalu banyak tugasan.

Kata seorang teman lagi, sebenarnya pensyarah dan sarjana sastera ni buku pun tak ada, bagaimana nak ada pemikiran. Setakat tampal dan tempek apa yang sarjana atau pemikir luar negeri tulis. Pemikiran sendiri tak ada. Keras, saya tak mahu sebut namanya tapi mnugkin kawan-kawan rapat dapat mengesan itu nada siapa. Tapi lebih baik jangan fikir siapa yang cakap, ambil sahaja isi yang dicakapkan.

Dan saya merindui zaman sastera yang berdiri dengan pelbagai bentuk pemikiran yang rancak suatu ketika dulu. Hashim Awang, Shahnon Ahmad, Azizi Hj Abdulah, Kassim Ahmad, Ramli Isin, Mana Sikana, Shahlan Mohd Saman, Rahman Shaary, dan barisan nama yang begitu panjang rancak, hangat dan panas sekitar 70-an, 80- dan 90-an. Sekarang sarjana-sarjana sastera lebih banyak mengajar daripada melahirkan dunia intelektual daripada tulisan dan pemikiran untuk umum. Natijahnya sastera jadi mandom.

Penulis? Saya? dan lain-lain? mungkin ke arah mandom itu juga.

Wednesday, February 4, 2009

DEMOKRASI MENUJU ANARKI



Kota Ligor di Nakhon Sithammarat, Thailand melalui proses pengembangan, kegemilangan dan keruntuhan.

Plato membahagikan peringkat negara kepada lima. Peringkat pertama, Aristokrasi iaitu negara yang terbaik di bawah pimpinan golongan terpilih iaitu ahli fasafah. Aristokrasi iaitu pemerintahan pihak terunggul kemudian merosot menjadi Timokrasi. Peringkat kedua Timokrasi ini, menyaksikan peralihan pimpinan kepada golongan berdarjat dan bukan lagi ahli falsafah atau pemikir. Timokrasi berakhir apabila pendewaan terhadap kehormatan dan kemuliaan berakhir. Namun Timokrasi telah mewujudkan bibit-bibit di mana kekayaan mula menunjangi kekuasaan. Pendewaan terhadap kekayaan membiak. Kekayaan menjadi senama dengan kuasa. Ia akhirnya mewujudkan hanya dua golongan masyarakat; yang kaya dan yang miskin. Kelompok hartawan yang terkaya menjadi kelompok yang paling berkuasa. Para pemimpin adalah hartawan-hartawan terkaya. Wujud peringat ketiga iaitu Oligarki.

Oligarki merosot kerana orang dalam pemerintahan ini tidak pernah puas dengan kekayaan. Ia akhirnya menimbulkan perlawanan daripada golongan miskin yang ramai. Kemenangan golongan rakyat mewujudkan Demokrasi, yang merupakan peringkat keempat dalam proses kemerosotan negara ideal Plato. Demokrasi menyaksikan kebebasan rakyat dijamin sebegitu rupa sehingga setiap orang bebas melakukan apa yang mereka mahu. Setiap orang mengejar kemerdekaan dan kebebasan yang tidak terbatas. Akibatnya muncul kekacauan kerana kepentingan individu lebih tinggi daripada kepentingan kolektif. Maka muncul peringkat kelima iaitu Anarki. Negara terhumban dalam huru hara dan kemudian musnah. Negara muncul semula mengulangi proses sebelumnya. Dalam transisi untuk mengulangi kembali proses ini, muncul peringkat-peringkat lain seperti tirani dan sebagainya.

Hari ini di Malaysia kita sedang melihat Demokrasi sedang menuju kepada peringkat Anarki. Setiap parti politik meletakkan kepentingan individu dan kelompok melebih kepentingan negara. Peralihan kuasa politik boleh saja dilakukan tanpa kehadiran rakyat, tetapi sebaliknya dengan membeli dua tiga ekor wakil rakyat yang tidak bermaruah. UMNO dan PKR adalah juara kepada kehancuran demokrasi. Anwar Ibrahim memulakan kegilaan untuk berkuasa tanpa melalui Pilihanraya dan kini ia dilakukan oleh UMNO.

Perak menjadi kucar kacir kerana dua tiga ekor manusia yang tidak berprinsip dan tidak bermoral melompat parti. Tidak ada sebarang penglibatan pilihan rakyat yang berlaku dalam peralihan kuasa itu. Ini memperlihatkan kelemahan sistem demokrasi, yang terbuka kepada penyelewengan dan pengkhianatan. Anwar yang mengajar kaedah ini dan kini mereka yang menerima natijahnya.

Dalam keadaan ekonomi yang begitu teruk, harga makanan yang melambung, puluhan ribu pekerja diberhentikan, tiada kegiatan ekonomi yang baru; parti dan orang politik ini masih berperang untuk merebut kuasa segila-gilanya. Baik BN mahupun PR, kedua-duanya sedang membawa negara kepada peringkat kelima proses kehancuran negara iaitu Anarki.

Ia sekadar teori usang Plato.

Mungkin teori baru memperlihatkan keadaan yang lebih buruk daripada itu.

Monday, February 2, 2009

MELAYU DI LIGOR



Sebuah Masjid di perkampungan Melayu di Tha Sala, Nakhon Sitthammarat (Ligor), Thailand.
Tembok Kota Ligor yang dibina untuk menentang serangan musuh.
Kubur Panglima Che Teh di Kampung Sena.

Ketika orang pulang bercuti ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina, saya menghala ke Nakhon Sithammarat, Thailand. Memenuhi jemputan Universiti Wailalak untuk mengisi slot bengkel penulisan sempena Program Kursus Bahasa Melayu. Saya mengambil kesempatan melawat daerah perkampung Melayu di Nakhon Sitthammarat yang dahulu disebut sebagai Ligor. Ligor sebuah kerajaan yang menjadi pusat pentadbiran Siam Ayuthia di selatan. Ligor inilah yang sering menyerang Kedah, Perlis juga Patani dan Kelantan. Tidak ketinggalan juga menjadi pusat kekuasaan dan ketenteraan Siam dalam percaturan pengaruh mereka di Semananjung Tanah Melayu.

Nakhon Sitthammarat ini sekarang mempunyai penduduk Melayu-Islam yang berjumlah kira-kira 200 ribu orang iaitu 8 peratus daripada keseluruhan penduduknya. Di kawasan Tha Sala, yang terletak berhampiran Universiti Wailalak merupakan kawasan perkampungan Melayu Islam. Sejarah menyatakan bahawa penduduk Melayu ini adalah berasal dari Kedah-Perlis yang dibawa oleh tentera Siam Ligor ketika mereka berperang dengan negeri-negeri Melayu sekitar abad ke-18 dan ke-19.

Penduduk Melayu di sini rata-rata masih boleh bertutur dalam dialek Kedah walaupun bahasa Siam digunakan secara rasmi dan meluas. Kampung-kampung Melayu di sini masih mempunyai nama Melayu seperti Simpang Empat, Kampung Sena, dan sebagainya. Bahkan suasana kampung di sini tidak jauh bezanya dengan kampung-kampung di Kedah dan Perlis. Masjid ada di mana-mana dan makanan halal masakan Melayu sungguh enak.


Saya dibawa oleh pensyarah Universiti Wailalak, Razak Panemale ke kubur Panglima Che Teh, seorang panglima yang berasal dari Kedah. Makam ini terletak di Kampung Sena. Keturunan Panglima Che Teh ramai terdapat di sini dan masih mempunyai hubungan darah dengan saudara mara mereka di Kedah.

Saya memikirkan jika dapat dibuat rombongan untuk melawat kampung-kampung Melayu di Ligor ini di samping menelusuri sejarah hubungan negeri Melayu-Siam. Tidak ada masalah sebenarnya jika ada yang berminat untuk mengumpul orang dan menyertai rombongan ke Ligor. Saya di PENA sedia menguruskan.