Showing posts with label Sastera. Show all posts
Showing posts with label Sastera. Show all posts

Sunday, October 3, 2010

SINDROM MEDIOCRITY DALAM SASTERA

Sindrom mediocrity atau sindrom pertengahan yang menyelimuti masyarakat dan seterusnya melahirkan masyarakat mediocre turut merebak dalam dunia sastera pada hari ini. Masyarakat mediocre adalah masyarakat yang hidup dalam tanggapan yang palsu dengan meletakkan tujuan hidup mereka semata-mata untuk menjalani rutin, berfikir secara mudah atau simplistik, menurut, menerima tanpa soal, dan mengakhiri hidup dengan seadanya. Paling penting bagi mereka ialah mengelakkan kompleksiti dan menjalani rutin tanpa soal. Masyarakat mediocre ialah masyarakat mempunyai upaya yang sangat minimum untuk mencipta perubahan dan pembaharuan dalam kehidupan mereka. Selebihnya mereka menjadi masyarakat pengekor, penurut dan pembonceng kepada segala bentuk pemikiran serta perubahan yang dicipta atau dibawa oleh orang lain. Secara umum masyarakat mediocre melahirkan manusia berjiwa kecil, lumpuh pemikiran, tiada keberanian meneroka dan tiada keyakinan jatidiri. Mereka gemar mengambil jalan tengah iaitu jalan mudah kepada setiap perkara dan tidak mahu lagi menggunakan daya fikir yang serius.

Sindrom pertengahan dilihat mula merebak dan menjadi barah dalam masyarakat Malaysia pada hari ini. Kegemaran yang luar biasa terhadap hiburan kosong yang semata-mata memenuhi keriaan hati tanpa mempunyai motif kesedaran telah hampir melumpuhkan budaya tinggi yang wujud dalam masyarakat. Bermula dengan nyanyian dan muzik yang mencipta dunia hiburan kosong, ia merebak kepada filem, teater, budaya seperti dalam tarian, dan akhirnya dunia sastera. Filem Melayu hari ini telah memperlihatkan bagaimana sindrom pertengahan ini merosakkan mutu, nilai serta pemikiran yang sepatutnya wujud sebagai inti jatidiri bangsa. Sebaliknya filem-filem Melayu dipenuhi sampah sarap bahan-bahan picisan, simplistik, dan murahan. Tidak ada satu pun pemikiran besar yang dapat dikutip daripada filem-filem Melayu yang termasuk dalam senarai kategori kutipan pecah panggung (boxoffice) sejak hampir dua dekad terakhir ini. Ini memberikan indeks tentang rendahnya pemikiran khalayak penonton filem Melayu begitu juga pembikin filemnya, sekaligus memperlihat betapa kroniknya sindrom pertengahan yang sedang melahirkan manusia mediocre tersebut. Hal yang sama berlaku dalam seni persembahan yang lain seperti teater, muzik dan sebagainya. Tentu ada pengecualian terhadap hasil-hasil yang benar-benar bermutu tetapi ia sangat kecil dan tidak mempengaruhi pergerakan citarasa masyarakat mediocre ini.

Indeks terhadap tahap pemikiran masyarakat Melayu dapat dinilai secara umum daripada kegemaran (kegilaan) luar biasa terhadap hiburan kosong seperti rancangan realiti hiburan di kaca televisyen, karnival hiburan, isu sensasi picisan, dan bahan hiburan bercetak mahupun elektronik. Sementara revolusi teknologi maklumat yang mewujudkan laman sosial, simulacrum dunia maya, dan capaian maklumat tanpa sempadan memperlihatkan indeks tahap pemikiran remaja-remaja Melayu yang rendah. Semua ini menjelaskan betapa kritikalnya kelumpuhan nilai serta pemikiran dalam konteks masyarakat mediocre hari ini. Lebih malang sindrom pertengahan ini juga telah merebak dalam dunia sastera dekad mutakhir ini. Bermula dengan merebaknya novel-novel cinta popular yang ditulis untuk memenuhi citarasa perasaan dan khayalan palsu, ia kemudian merebak ke dalam penulisan sastera seperti cerpen, puisi dan novel sastera serius. Bahkan turut terkais dalam penulisan rencana, kajian serta kritikan sastera yang menyalin dan menerima pakai secara mudah pemikiran lain, khususnya keilmuan Barat.

Sebahagian sarjana sastera dan sasterawan mencari jalan tengah untuk berkompromi dengan bahan-bahan sastera ringan seperti novel-novel popular, dengan menerimanya sebagai hasil sastera. Ia tentunya tidak salah apatah lagi di atas alasan menarik dan meluaskan khalayak pembaca. Ia juga menjadi strategi yang baik untuk menarik masyarakat penggila hiburan kepada buku dan bahan bacaan. Sekurang-kurangnya dapat mendidik perasaan mereka kepada karya penulisan. Tetapi malangnya kompromi ini berjalan sehala dengan desakan untuk melahirkan karya-karya bersifat popular, ringan, dan klise menenggelami upaya untuk melahirkan karya sastera serius. Sastera akhirnya ditekan untuk menjadi bahan penulisan yang main-main demi menghiburkan pembaca mediocre, dan bukan lagi penulisan serius yang melahirkan pemikiran besar.
Maka ahli-ahli sastera (sarjana sastera mahupun sasterawan) yang turut terperangkap dalam sindrom pertengahan kehilangan upaya untuk menggerakkan perubahan dan pembaharuan. Bagi mengatasi ketidakupayaan mereka ini, ahli-ahli sastera mula bergerak ke belakang mencari kegemilangan lama dan akhirnya bertapak mundur mencari alam nostalgia Melayu daripada cerita sawah bendang, desa permai, konflik tradisi-moden, sengketa tanah pusaka dan segala bentuk nostalgia dari zaman abad ke-20 dahulu. Sekali lagi mencari alam nostalgia ini tidak salah, tetapi kesan akhirnya yang menutup dorongan untuk mencipta karya garda depan (avant garde) bagi meroboh konvensi dan status quo telah dibunuh secara klasik. Apabila karya sastera diarah untuk tinggal menetap terkurung dalam status quo sebegini, maka pemikiran-pemikiran baru tidak akan lahir. Lebih malang lagi secara perlahan-lahan (gradual) ia melahirkan dunia sastera yang klise, berjiwa kecil, nostalgik, dan terasing daripada masyarakat. Peranan sastera sebagai pemangkin nilai dan pencerna pemikiran masyarakat pupus. Sastera akhirnya wujud sama ada sebagai hiburan kosong ataupun arkaik klasik di muzium.

Sindrom pertengahan ini mempunyai kesejajaran dengan apa yang disebut oleh Malek Bennabi terhadap sifat masyarakat pasca-peradaban (post-civilized society) atau mujtama’ ba ’da al-hadarat. Beliau menyatakan tentang keadaan masyarakat yang cenderung untuk hidup dalam ’kekosongan’ (thingness), mengekor dan lumpuh pemikiran. Hidup di dalam ’kekosongan’ (atau tidak punya apa-apa) ini bagi beliau adalah akibat daripada keadaan masyarakat yang diserang oleh sindrom pertengahan, diikat oleh kegemaran berhibur dan tidak lagi mahu berfikir. Pada peringkat ini Bennabi menyetujui apa yang dikatakan oleh Ibnu Khaldun bahawa semakin besar (takdis) ikatan kebendaan dan pengejaran kepuasan untuk memenuhi kemewahan hidup membawa kepada kemerosotan rohani dan intelektual. Pada peringkat ini manusia berada dalam keadaan untuk hidup mengambil jalan mudah, fikiran ringan, dan rutin tanpa soal. Manusia dalan kategori ini menurut Bennabi, tidak lagi tahu untuk mencapai tujuan hidup mereka dengan tidak tahu titik mereka bermula dan tidak tahu titik mereka harus berakhir. Mereka menjadi ’titik yang tergantung’ dalam perkembangan sejarah dan peradaban. Malek Bennabi memberikan alegori manusia mediocre ini ibarat ’penggembala tanpa ternakan dan petani tanpa tanah serta bajak’. Manusia mediocre ini adalah manusia yang tercampak keluar daripada dimensi aktif peradaban atau disebut Bennabi sebagai al rajul al kharij min al hadara.

Malik Bennabi menyatakan masyarakat pasca peradaban yang terperangkap oleh sindrom pertengahan ini seperti air yang keluar dari tangki atau kolah yang tidak berguna lagi setelah membasuh kotoran. Ia tidak boleh masuk kembali ke dalam tangki, sepertimana manusia yang telah tercampak keluar tadi (al rajul al kharij min al hadara) tidak boleh lagi masuk ke dalam peradaban lantaran telah lumpuh pemikiran mereka. Maka mereka hanya mampu menjadi pengekor kepada sejarah dan bukan pencetus kepada sejarah. Sebenarnya Malik Bennabi merujuk keadaan ini kepada masyarakat Islam yang runtuh dan lemah setelah jatuhnya umat Islam ke bawah penjajahan Barat. Beliau mengkaji sejarah kejatuhan umat Islam dan melihat titik kejatuhan itu bermula apabila umat Islam yang hidup dalam kegemilangan perlahan-lahan mula lumpuh pemikiran dan kerohanian mereka oleh kerana terperangkap dalam sindrom pertengahan itu. Seterusnya mewujudkan umat Islam sebagai masyarakat mediocre, yakni hilang daya intelektual, moral, jatidiri yang menjadi penyangga tamadun Islam.

Banyak sebab yang mengakibatkan merebaknya sindrom pertengahan ini. Bahkan ia muncul dalam konteks dan milieu masing-masing. Sindrom pertengahan yang merebak di Malaysia, khususnya dalam masyarakat Melayu juga mempunyai sebab dan akibat daripada konteks ekonomi, politik dan sosial yang berlangsung dari dekad ke dekad. Namun sindrom pertengahan yang merebak dalam dunia sastera yang akhirnya melahirkan sastera mediocre adalah akibat daripada kegagalan ahli-ahli sastera mengembangkan sastera serius yang mengangkat pemikiran-pemikiran baru. Sepertimana yang disebut tentang kompromi terhadap citarasa pembaca, sifat populis, dan sentimen nostalgik telah menjadikan sastera Melayu semakin kecil dan lembik. Keberanian memberontak, melanggar konvensi dan meneroka pemikiran baru yang kompleks sering berbentur dengan elemen-elemen yang membentuk jiwa mediocre tadi. Ia akhirnya mendorong ke arah penulisan sastera ringan, popular ataupun sastera yang terperangkap dalam ketaksuban diri. Adalah keterlaluan untuk merendahkan penulisan sastera ringan dan popular atau nostalgik dan sebagainya itu. Namun membiarkan sastera Melayu reput dalam rumah kayu yang usang adalah suatu perkara yang tidak seharusnya berlaku.

Dalam mencari titik kekuatan sastera melalui pelbagai strategi termasuk berkompromi dalam bentuk-bentuk ringan dan popular, ahli-ahli sastera tidak seharusnya mengecilkan ruang kepada kehadiran sastera serius yang mengangkat pemikiran atau tema yang kompleks. Begitu juga dalam mencari jatidiri sastera melalui kecintaan terhadap alam tradisi tidak seharusnya menjadikan nostalgia dari era lepas sebagai titik kepada penilaian mutu sastera. Ini adalah kerana sikap yang berlebih-lebihan terhadap dua perkara ini hanya akan melahirkan sastera mediocre yang tidak memberikan ruang kepada perkembangan pemikiran serta bentuk yang baru dan kompleks dalam dunia sastera. Pemikiran yang kompleks sepertimana kata Malik Bennabi adalah permulaan kepada metodologi dan pemikiran saintifik yang menjadi asas kepada pembangunan tamadun. Sebaliknya sindrom pertengahan yang mengalah kepada tuntutan mediocre hanya akan membentuk peradaban kebendaan yang kosong (thingness civilization) atau disebut Malik Bennabi sebagai hadara shayiyya. Pembangunan prasarana intelektual melalui penulisan sastera yang serius, kompleks dan mengangkat pemikiran masa hadapan perlu menjadi keutamaan ahli-ahli sastera yang bijaksana pada masakini, sekaligus mengurangkan dominasi sastera mediocre yang semakin membarah dalam dunia sastera mutakhir.

Mingguan Malaysia, 26 September 2010

Saturday, September 25, 2010

KARYA PENULIS MUDA

Kebelakangan ini terdapat banyak karya-karya penulis muda yang muncul. Saya mendefinisikan penulis muda relatif usia di bawah 40-an. Rozais dan Zanazanzaly dengan kumpulan cerpen, diikuti oleh Roslan Jomel dengan epal kuningnya. Rebecca Ilham dan Ummu Hani juga dikatakan telah lahir kumpulan cerpennya (saya belum dapat memilikinya). Sebetulnya saya mengumpulkan karya penulis muda terutamanya kumpulan cerpen. Hajat hati hendak menulis sesuatu tentang perkembangan cerpen mutakhir, lanjutan daripada kertas kerja yang pernah saya bentang di UPSI. Sebelumnya telah muncul kumpulan cerpen Saifulizan Yahya, Serunai Faqir, Ibnu Ahmad al-Kurauwi, Nimoiz, WB Rendra selain penulis dari Sabah dan Sarawak seperti Raymond Majumah, Ailin Nor, Jaya Ramba. Juga penulis mapan yang masih dalam lingkungan muda seperti Mawar Shafei dan Nisah Hj. Haron.

Kerancakan ini juga menjalar kepada kumpulan puisi. Riduan Harun, kemudian Serunai Faqir dan bakal terbit Muhammad Lutfi Ishak. Saya melihat perkembangan yang menarik terhadap kebangkitan karya penulis muda. Sudah sampai masanya para pengkaji sastera mengambil karya-karya muktahir dari kalangan penulis muda ini untuk bahan kajian dan penulisan. Sekurang-kurangnya dunia sastera tidak lagi terlalu mengulang-ulang karya yang sudah 'lusuh' diperkatakan sejak dulu sehingga menimbulkan klise terhadap kajian sastera. Saya tentunya bukan menafikan mutu karya-karya terdahulu. Tetapi amat penting untuk dunia sastera beranjak ke hadapan melihat hubungan sastera dengan dunia mutahir khususnya melalui bentuk kepengarangan mutakhir di kalangan penulis muda.

Sunday, September 19, 2010

DOM DI PENA: SASTERA DAN POLITIK

DOM (Dialog Orang Muda) pada 18 September 2010 hangat tentang sastera dan politik. Panel pembicara iaitu Syafiq dari PTS dan Mohd Arif Atan mempunyai fikiran yang tersendiri terhadap isu ini. Antara politik dan sastera siapa menunggang siapa. Hubungan politik dan sastera adalah hubungan yang monumental dan klasik. Hubungan politik dan sastera tentunya tidak sejelas dan seakrab hubungan politik dan ekonomi yang saling memperkukuhkan. Bahkan hubungan politik dan sastera dalam banyak keadaan saling berbentur.

Bahasa sendiri menurut Roland Barthes ialah langage iaitu legislatif dan langue iaitu kod. Kedua-duanya membentuk pengucapan yang merupakan 'the service of power'. Sementara Michel Foucoult pula menyatakan bahawa kekuasaaan bukan suatu institusi atau struktur, dan bukan kekuatan yang dimiliki tetapi situasi strategik dan kompleks dalam masyarakat. Maka kekuasaan ada di mana-mana dan datang dari mana-mana. Saya tidak ingin membicarakan topik politik partisan yang sempit dalam melihat hubungan politik dan sastera tetapi cuba membawa suatu pemahaman struktural terhadap hubungan ini.

Saya menyatakan bahawa sastera harus menjadi senjata politik, bahkan kuasa malah gelombang politik itu sendiri. Dalam aspek sosial hubungan ini memperlihatkan sastera yang muncul menjadi pernyataan politik menentang kezaliman, ketidakadilan, penyelewengan, rasuah dan segala macam barah politik. Tidak terkecuali membawa idealogi dan falsafah politik. Tetapi dalam aspek struktural ia melihat budaya dan struktur sosial yang dikatakan lahir daripada produk kekuasaan tetapi pada hakikatnya merupakan hasil daripada ikatan sosial dan keperluan manusia. Ia kembali kepada pernyataan Foucoult bahawa kekuasaan bukan milik tetapi strategi.

Apabila saya menyatakan bahawa sastera Malaysia lembik kerana tidak menjadi senjata politik atau kuasa dan gelombang politik maka saya melihat dari aspek sosial dan juga aspek strukturalnya. Pertama sastera yang besar dan hebat ialah pernyataan politik sebagaimana sastera Amerika Latin di tangan Lhosa, Marquez dan sebagainya. Begitu juga sastera di Rusia, Eropah, Cina dan Afrika - sastera yang besar semuanya memperkatakan tentang keberanian berpolitik, menjadi senjata dan gelombang politik. Bahkan di Malaysia, novel Putera Gunung Tahan di tangan Pak Sako, karya-karya Shanon Ahmad, Arenawati, S. Othman Kelantan, A. Samad Said, Anwar Ridhwan dan ramai lagi menjadi hebat oleh pengucapan politiknya.

Dari aspek struktural, sastera adalah bahasa yang bermatlamat kepada kekuasaan dalam ertikata memiliki situasi strategis dan kompleks. Pemahaman struktural tidak dapat tidak melihat sastera adalah situasi strategis yang kemudiannya membentuk situasi politik atau kekuasaan tersebut. Sastera tidak akan muncul dalam sebuah kekuatan yang ampuh jika tidak memiliki situasi strategis ini. Maka di sini politik bukanlah pemahaman sehala tentang politik partisan tetapi lingkungan yang membentuk budaya yang melahirkan politik partisan itu sendiri.

Banyak pandangan yang menarik daripada penulis muda dan amat penting sekali melihat bagaimana apabila penulis muda atau golongan muda ini diberikan ruang, mereka mempunyai kebijaksanaan yang tidak diduga dalam persepsi intelektualnya. Amat malang sekali golongan tua yang masih tidak berhenti-henti mahu menjadi bintang di meja forum tidak hadir melihat fikiran golongan muda yang jauh meninggalkan kebekuan dengan doktrin era abad ke-20 mereka. Kekuasaan (politik) ada di mana-mana dan datang dari mana-mana. Pengucapan ini dan pengucapan para penulis muda baik yang bersetuju atau menyanggah juga adalah parole iaitu pengucapan (speech) yang menuju kepada matlamat politik. Sastera adalah senjata politik sebagaimana bahasa wujud sebagai kod kekuasaan.

Saturday, May 15, 2010

SAJAK






Politik adalah jala, kita adalah ikan





Politik

Sebutir udara panas
jatuh di tubir jendela
kamar yang terkatup suram
berguling di kaki meja
seorang lelaki mengira-ngira
apa yang dapat dibelinya
dengan kuasa di parlimen
ada papan catur
yang terbuka di mejanya
untuk membuka siasah
mencatur segenap perkara
menjadi politiknya
sekolah, masjid, kuil
balairaya, jalan, bank
mahkamah, rakyat dan parlimen
adalah buah-buah caturnya
politik menjadi tuhannya
dan tuhan menjadi politiknya
sebutir udara panas
jatuh berguling di kamar
yang terkatup suram
seorang lelaki masih mengira-ngira
apa yang dapat dibeli
dengan kuasa di kerusinya
wanita, kuasa dan harta
setiap nafasnya menjadi politik
dan setiap saatnya adalah politik
sebutir udara panas, seorang lelaki
dan politik; di bilik terkatup suram
menjual tuhan di papan catur politiknya

S.M. Zakir
Bukit Jalil
21 Februari 2010

Sunday, May 10, 2009

FORUM SASTERA DI UNJ, JAKARTA





Saya kembali lagi ke Jakarta setelah tahun lepas datang menghadiri JILFest (Jakarta Literary Festival). Kali ini diundang atas jasa baik Malim Ghozali Pk untuk Forum Sastera Serumpun di Universiti Negeri Jakarta (UNJ) kampus Rawamangun, Jakarta. Forum yang berlangsung di Aula Perpustakaan UNJ pada 7 Mei 2009 itu membicarakan Karya dan Pemikiran Malim Ghozali Pk dalam novel Daun dan kumpulan cerpen Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir!. Saya bersama Prof. Dr. Budi Darma membicarakan kumpulan cerpen Malim Ghozali Pk sementara Mohamad Daud Mohamad dan Helvy Tiana Ross membicarakan novel Daun. Dewan dipenuhi oleh pelajar pasca sarjana serta graduan kursus perguruan lepasan ijazah.

Kami dari Malaysia datang dalam rombongan seramai 11 orang termasuk tiga orang dari Sabah iaitu Jasni, Rohani dan Norza. Sebelum sampai UNJ, saya ketinggalan bas rombongan dan dijemput kemudian dengan motosikal oleh penuntut Helvy dari UNJ. Begitulah selalunya. Sambutan dan layanan pihak UNJ khususnya dari Helvy amat baik. Helvy saya kenali ketika sama-sama menyertai bengkel cerpen MASTERA yang pertama di Bogor pada tahun 1998.

Saya membicarakan cerpen-cerpen Malim Ghozali Pk menurut teori kajian budaya, memberi fokus khusus kepada teori tafsiran budaya yang dibawa oleh Clifford Geertz, iaitu penulisan sebagai sebuah etnografi. Banyak daripada cerpen Malim Ghozali Pk bergerak seperti sebuah penulisan etnografi masyarakat Melayu dan peribumi di Tanah Melayu. Etnografi sepertimana yang dikatakan oleh Levy-Strauss sentiasa mencari peluang untuk mengkehadapankan sastera pada setiap sudut dan ruang. Di sini saya dapat melihat bagaimana cerpen-cerpen Malim Ghozali Pk menjadi pisau dua mata, yang mana satu matanya adalah kesusasteraan dan satu matanya lagi adalah etnografi.

Etnografi bukan sekadar pemerihalan tentang aksi atau perlakuan budaya tetapi menggambarkan cara berfikir dan pola-pola budaya masyarakat yang menjadi subjek penulisannya. Saya tertarik dengan cerpen-cerpen Malim Ghozali Pk yang pada mulanya kepada saya hanyalah cerpen-cerpen biasa. Tetapi setelah membacanya secara berfokus, saya menyedari bahawa cerpen-cerpen ini tiada watak antagonis yang jahat untuk mewujudkan konflik kasar. Sebaliknya ia bergerak dengan protagonis dua sisi iaitu menjadi protagonis dan antagonis serentak. Maka itu kita tidak dapat menemukan watak ‘penjahat’ dalam cerpen-cerpen Malim Ghozali Pk. Maka saya jadi berfikir cerpen-cerpen ini harus dilihat sebagai sebuah penulisan etnografi-kreatif yang menawan.

Lalu saya teringat akan etnografi Clifford Geertz dan dari situ saya mula melihat cerpen-cerpen Malim Ghozali Pk melalui pisau analisis etnografi Geertz. Mungkin kertas kerja saya terlalu memuji-muji cerpen Malim Ghozali. Tetapi saya teringat kata seorang sarjana sastera bahawa seorang pengkritik yang bijak atau bagus akan berjaya mengangkat karya yang biasa menjadi karya yang luarbiasa, tetapi pengkritik yang tidak bijak dan tidak bagus selalunya menjadikan karya yang baik dan luarbiasa menjadi buruk.

Saya memutuskan untuk menjadi pengkritik yang bagus (baik) sekurang-kurangnya, jika tidak bijak pun. Dan saya juga bersetuju dengan kata-kata Helvy bahawa cerpen Pak Malim ini bermakna dan menghiburkan.

Wednesday, February 11, 2009

KATA-KATA TEMAN

Kota Ligor yang suatu ketika hebat kini tinggal batu-batu sejarah
Orang sastera hidup dalam kota yang mereka cipta. Di sini mereka agung hebat tetapi di luar mereka bukanlah sesiapa.

Suasana sastera sekarang malap. Tidak kelihatan tulisan-tulisan yang menimbulkan fikiran-fikiran yang membicarakan polemik atau isu yang membangkitkan daya intelektual sasterawan mahupun sarjana sastera. Kata seorang teman, sarjana sastera kita sekarang mandom. Saya kurang pasti makna mandom dalam konteks makna teman saya itu. Tetapi bunyinya seperti beku dan kaku.

Saya mengatakan hal ini kepada Shamsudin yang merupakan seorang penulis dan juga seorang sarjana di IPT. Kata Shamsudin pensyarah sekarang sibuk mengejar kpi, tak silap saya, saya pun tak tahu apa itu kpi. Tapi lebih kurang markah-markah yang membolehkan mereka naik pangkat. Dan juga pelbagai kerja lain yang tidak memberikan mereka masa untuk menulis pemikiran-pemikiran mereka di majalah atau penerbitan. Dalam pada itu pensyarah dibebankan dengan terlalu banyak tugasan.

Kata seorang teman lagi, sebenarnya pensyarah dan sarjana sastera ni buku pun tak ada, bagaimana nak ada pemikiran. Setakat tampal dan tempek apa yang sarjana atau pemikir luar negeri tulis. Pemikiran sendiri tak ada. Keras, saya tak mahu sebut namanya tapi mnugkin kawan-kawan rapat dapat mengesan itu nada siapa. Tapi lebih baik jangan fikir siapa yang cakap, ambil sahaja isi yang dicakapkan.

Dan saya merindui zaman sastera yang berdiri dengan pelbagai bentuk pemikiran yang rancak suatu ketika dulu. Hashim Awang, Shahnon Ahmad, Azizi Hj Abdulah, Kassim Ahmad, Ramli Isin, Mana Sikana, Shahlan Mohd Saman, Rahman Shaary, dan barisan nama yang begitu panjang rancak, hangat dan panas sekitar 70-an, 80- dan 90-an. Sekarang sarjana-sarjana sastera lebih banyak mengajar daripada melahirkan dunia intelektual daripada tulisan dan pemikiran untuk umum. Natijahnya sastera jadi mandom.

Penulis? Saya? dan lain-lain? mungkin ke arah mandom itu juga.

Monday, January 19, 2009

CERPEN TAJUK SAMA



Kawah Tangkuban Perahu Lagenda Sangkuriang yang mempunyai versi Malin Kundang di Malaysia. Persamaan dalam cerita legenda dan cerita rakyat juga wujud di negara yang jauh.

Ketika Majlis Diskusi Karya MPR pada 17 Januari 2009 di DBP, saya diberitahu oleh Roslan Jomel bahawa cerpen saya ‘Angin dalam Telinga’ hampir sama tajuknya dengan cerpen seorang penulis Indonesia, kalau tak silap ‘Hujan dalam Telinga’ tajuknya. Rahimidin turut ada di sebelah saya pada masa itu. Saya spontan menjawab, “Kebetulan.”

Saya sebenarnya tidak pernah berminat untuk menjawab sebarang kritikan atau ulasan terhadap cerpen saya. Bagi saya pembaca berhak membuat tafsirannya. Mungkin saya sedikit menyetujui Roland Barthes tentang konsep ‘author is dead’nya. Tetapi untuk hal ini saya fikir, pembaca mungkin ingin bertanya tentang ‘kebetulan dan persamaan’ ini.

Sebelum ini lebih teruk lagi, Fatimah Busu mengatakan cerpen saya ‘Sekuntum Kembang di Sayap Jibril’ dikatakan mengambil tajuk sebuah cerpen penulis Indonesia, Danarto. Seperti yang dikatakan tadi saya tidak berminat untuk menjawabnya. Tetapi baru-baru ini saya menjumpai sebuah novel yang diterbitkan oleh PTS (kalau tak silap saya), ditulis oleh penulis Indonesia bertajuk ‘Matahari di Atas Gili’. Tajuknya hampir sama dengan cerpen saya dahulu iaitu ‘Matahari di Atas Sejadah’. Maka jika begitu, saya juga boleh mengatakan bahawa penulis Indonesia ini ‘mengambil’ tajuknya daripada cerpen saya. Boleh begitu?

Sebenarnya semuanya berlaku secara kebetulan. Hakikatnya saya bukan generasi Fatimah Busu yang sangat tergoda dengan karya-karya penulis Indonesia. Saya adalah generasi yang membesar dengan karya-karya Arenawati, Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Abdullah Husain, Azizi Hj. Abdullah, Anwar Ridhwan dan ramai lagi, kesemuanya penulis Malaysia. Karya-karya Indonesia tidak masuk ke dalam kepala saya, kerana saya merasakan latarnya jauh dan tidak mempunyai sebarang rasa sentimental dengan persekitaran Malaysia yang telah maju dengan acuannya yang tersendiri.

Seingat saya hanya dua buah karya Indonesia yang saya baca ketika kecil yang mungkin sedikit berbekas dalam ingatan saya, iaitu Keluarga Gerilya oleh Pramoedya Ananta Toer dan Harimau, Harimau karya Mochtar Lubis. Karya lain yang saya baca hanya hilang seperti debu. Saya tidak pernah membaca cerpen Danarto, mengimbas karya-karya Indonesia yang lain tanpa minat yang mendalam dan menyumpah bahasanya yang lintang pukang. Saya juga tidak pernah berminat untuk membaca karya Ayu Utami. Sehinggalah saya membaca kertas kerja Katrin Bandel di JILLFest baru-baru ini tentang bagaimana Ayu Utami digunakan oleh Barat untuk menggambarkan Indonesia yang kolot dan ketinggalan, barulah saya rasa ingin membaca karyanya. Kerana ia berkaitan dengan subjek pasca kolonial yang mungkin boleh menjadi bahan tulisan saya. Tapi sehingga hari ini saya tidak pernah malu untuk mengaku saya tidak pernah membaca pun karya Ayu Utami, dan karya penulis Indonesia yang lain. Dan saya rasa para penulis Indonesia pun tidak pernah malu untuk mengaku bahawa mereka tidak pernah membaca barang sebuah pun karya penulis Malaysia.

Saya pernah menulis tentang kegagalan puisi Sutardji di Dewan Sastera dalam mencari nilai dalam dirinya. Saya membaca O Amuk Kapak nya ketika saya hendak menulis rencana itu. Sebelumnya saya tidak pernah membaca secara mendalam puisi Sutardji, sekadar membelek-belek tanpa minat. Dan saya meninggalkan Sutardji dalam khayalan kehebatannya setelah menulis rencana itu. Saya tidak berniat merendahkan sesiapa. Tetapi itulah hakikatnya. Saya generasi penulis Malaysia yang sudah tidak berkiblat kepada sastera Indonesia. Juga kepada mana-mana wilayah. Saya membesar dalam dunia pembacaan yang luas daripada bahan-bahan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Bahan bacaan dalam bahasa Indonesia lebih banyak datang dalam bentuk buku-buku agama dan sains sosial dan bukan karya sastera.

Mungkin banyak tajuk cerpen saya yang sama dengan cerpen di Congo, Tibet, Jamaica, atau benua antartik dan artik. Maaf, saya cuma bergurau. Ha ha. Saya tidak pernah mengambil hati dengan sebarang kritikan terhadap karya saya sebagaimana saya juga melakukan hal yang serupa terhadap karya orang lain. Prinsip saya mudah, kerja saya hanya menulis, sama ada orang ingin membaca atau menghargainya ia bukan lagi kerja saya – Tuhan menentukan takdirnya. Kerana itu saya tidak pernah kecewa menjadi sasterawan.