Showing posts with label Politik. Show all posts
Showing posts with label Politik. Show all posts

Wednesday, February 4, 2009

DEMOKRASI MENUJU ANARKI



Kota Ligor di Nakhon Sithammarat, Thailand melalui proses pengembangan, kegemilangan dan keruntuhan.

Plato membahagikan peringkat negara kepada lima. Peringkat pertama, Aristokrasi iaitu negara yang terbaik di bawah pimpinan golongan terpilih iaitu ahli fasafah. Aristokrasi iaitu pemerintahan pihak terunggul kemudian merosot menjadi Timokrasi. Peringkat kedua Timokrasi ini, menyaksikan peralihan pimpinan kepada golongan berdarjat dan bukan lagi ahli falsafah atau pemikir. Timokrasi berakhir apabila pendewaan terhadap kehormatan dan kemuliaan berakhir. Namun Timokrasi telah mewujudkan bibit-bibit di mana kekayaan mula menunjangi kekuasaan. Pendewaan terhadap kekayaan membiak. Kekayaan menjadi senama dengan kuasa. Ia akhirnya mewujudkan hanya dua golongan masyarakat; yang kaya dan yang miskin. Kelompok hartawan yang terkaya menjadi kelompok yang paling berkuasa. Para pemimpin adalah hartawan-hartawan terkaya. Wujud peringat ketiga iaitu Oligarki.

Oligarki merosot kerana orang dalam pemerintahan ini tidak pernah puas dengan kekayaan. Ia akhirnya menimbulkan perlawanan daripada golongan miskin yang ramai. Kemenangan golongan rakyat mewujudkan Demokrasi, yang merupakan peringkat keempat dalam proses kemerosotan negara ideal Plato. Demokrasi menyaksikan kebebasan rakyat dijamin sebegitu rupa sehingga setiap orang bebas melakukan apa yang mereka mahu. Setiap orang mengejar kemerdekaan dan kebebasan yang tidak terbatas. Akibatnya muncul kekacauan kerana kepentingan individu lebih tinggi daripada kepentingan kolektif. Maka muncul peringkat kelima iaitu Anarki. Negara terhumban dalam huru hara dan kemudian musnah. Negara muncul semula mengulangi proses sebelumnya. Dalam transisi untuk mengulangi kembali proses ini, muncul peringkat-peringkat lain seperti tirani dan sebagainya.

Hari ini di Malaysia kita sedang melihat Demokrasi sedang menuju kepada peringkat Anarki. Setiap parti politik meletakkan kepentingan individu dan kelompok melebih kepentingan negara. Peralihan kuasa politik boleh saja dilakukan tanpa kehadiran rakyat, tetapi sebaliknya dengan membeli dua tiga ekor wakil rakyat yang tidak bermaruah. UMNO dan PKR adalah juara kepada kehancuran demokrasi. Anwar Ibrahim memulakan kegilaan untuk berkuasa tanpa melalui Pilihanraya dan kini ia dilakukan oleh UMNO.

Perak menjadi kucar kacir kerana dua tiga ekor manusia yang tidak berprinsip dan tidak bermoral melompat parti. Tidak ada sebarang penglibatan pilihan rakyat yang berlaku dalam peralihan kuasa itu. Ini memperlihatkan kelemahan sistem demokrasi, yang terbuka kepada penyelewengan dan pengkhianatan. Anwar yang mengajar kaedah ini dan kini mereka yang menerima natijahnya.

Dalam keadaan ekonomi yang begitu teruk, harga makanan yang melambung, puluhan ribu pekerja diberhentikan, tiada kegiatan ekonomi yang baru; parti dan orang politik ini masih berperang untuk merebut kuasa segila-gilanya. Baik BN mahupun PR, kedua-duanya sedang membawa negara kepada peringkat kelima proses kehancuran negara iaitu Anarki.

Ia sekadar teori usang Plato.

Mungkin teori baru memperlihatkan keadaan yang lebih buruk daripada itu.

Saturday, November 15, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

POLITIK PERKAUMAN GERAKAN DAN MCA

Sifat politik perkauman parti-parti politik di Malaysia menggambarkan secara jelas sifat politik di Malaysia. Parti-parti politik yang menjadi asas kuasa pemerintahan di Malaysia ditubuhkan sebagai mewakili bangsa dan kaum masing-masing. UMNO ditubuhkan untuk mewakili dan mempertahankan kedaulatan politik orang Melayu yang dirampas oleh kolonialisme Inggeris. PAS yang merupakan serpihan daripada UMNO juga berdiri dalam pendirian politik tersebut tetapi dengan mengangkat Islam sebagai teras perjuangan yang jelas dan objektif. Ini kerana bagi PAS, nasionalisme UMNO mula mengakarkan sifat sekular dan liberal yang tidak memperjuangkan Islam sebagai teras negara. Namun secara prinsipnya kedua-dua parti politik ini adalah gerakan politik Melayu-Islam yang memperjuangkan kesinambungan kedaulatan kerajaan yang berasaskan Melayu-Islam di Tanah Melayu ini.

Kemunculan parti politik MCA dan MIC adalah mewakili ‘koloni-koloni sosial dan ekonomi’ pendatang Cina dan India yang dibina oleh British demi mengautkan hasil ekonomi di Semenanjung Tanah Melayu. Orang Cina dibawa masuk secara besar-besaran selepas dekad 1890-an bagi menjalankan operasi lombong bijih timah. Sementara orang India dibawa masuk secara beramai-ramai selepas tahun 1900, untuk bekerja di estet-estet getah. Orang-orang Cina dan India yang dibawa masuk ke Tanah Melayu disebut sebagai buruh kontrak atau ‘indentured labourers’. Selepas zaman kemelesetan ekonomi pada tahun 1930-an ramai daripada buruh kontrak, terutamanya orang Cina dihantar pulang ke negara asal mereka oleh pentadbiran British di Malaya. Namun sebahagian daripada mereka terus kekal untuk menetap sebagai pendatang ekonomi di Tanah Melayu. Mereka ini tidak mempunyai status warganegara lindungan British (protectorate) sebagaimana kaum bukan Melayu di negeri-negeri Selat, sebaliknya masih diberikan status pekerja di sektor ekonomi British atau lebih tepatnya ‘perantau sementara’.

Keadaan ini berubah apabila orang-orang Cina dan India yang tinggal di Tanah Melayu mula mendesak British untuk menentukan nasib mereka di Tanah Melayu ini melalui organisasi dan pemimpin yang mewakili kaum masing-masing. Selepas tahun 1946, parti-parti politik yang mewakili kaum pendatang Cina dan India mula wujud untuk menuntut kepentingan masing-masing daripada pihak pentadbiran British. MCA dan MIC kemudian wujud sebagai parti politik untuk kaum Cina dan India. Maka asas kepada semua parti politik yang wujud dalam pembinaan negara Malaysia ini adalah sebagai perwakilan kepada kaum masing-masing. Munculnya pelbagai parti politik baik dengan slogan demokrat mahupun sosialis yang memperjuangkan kepentingan semua kaum, adalah gagal dalam ertikata sebenarnya. Ini adalah kerana konsep dan inti masyarakat di Malaysia adalah bersifat kotak-kotak bangsa dan kaum.

DAP dan Gerakan muncul sebagai parti politik berbilang kaum akhirnya menjurus kepada parti politik yang memperjuangkan kepentingan kaum Cina dan bukan Melayu. Sifat demokrat hanya menjadi retorik kosong apabila kedua-dua parti ini mewujudkan sikap protagonis-antogonis dalam perjuangan politik mereka. Protagonisnya ialah kaum bukan Melayu dan antagonisnya ialah kepimpinan politik Melayu. Ini adalah kerana mustahil bagi mana-mana parti politik yang dipimpin oleh kaum bukan Melayu untuk menuntut persamaan hak dari segi politik apatah lagi menjadi pemimpin kepada negara Melayu (Malaysia adalah negara Melayu). Ini membuatkan status quo kepimpinan politik Melayu menjadi sasaran tindakan populis.

Hal ini sangat jelas dilihat daripada perbahasan Tan Cheng Lock berkenaan hubungan kaum pada 29-31 Disember 1949 di Pulau Pinang. Menurut Tan Cheng Lock, “… rakan Melayu kita berpendapat bahawa sekiranya orang Cina bersikap jujur dan memberikan kesetiaan kepada negara ini (Malaya)… orang Cina mesti membuktikan kejujuran mereka dengan sanggup menjadi rakyat kepada Raja Melayu. Dengan cara inilah sahaja apabila orang Cina rela menjadi rakyat Raja Melayu seperti yang tertera melalui syarat Rang Undang-Undang Bangsa Johor 1949 melalui cadangan Dato’ Onn, barulah prinsip jus soli boleh terpakai kepada mereka.”

Asas inilah yang dipakai dalam memberikan hak kewarganegaraan kepada kaum bukan Melayu dalam membina sebuah negara bangsa Malaysia. Asas ini menjelaskan bahawa ketuanan orang Melayu melalui kuasa politik dan institusi Raja Melayu adalah asas kepada kerajaan di Malaysia. Secara langsung juga ia menjelaskan dengan terang tentang kewujudan orang Melayu sebagai bangsa asal dan bangsa berdaulat di Tanah Melayu ini. Maka apabila muncul kenyataan daripada pemimpin wanita GERAKAN tentang sifat kewujudan orang Melayu di Tanah Melayu (Malaysia) serta tuntutan untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kecaman terhadap dasar membasmi kemiskinan orang Melayu (DEB) oleh MCA; maka ia adalah jelas merupakan sebuah gerakan politik perkauman. Ini adalah kerana ia menentang status quo orang Melayu dengan memberi alasan untuk kepentingan kaum Cina. Ia jelas memperlihatkan sifat antagonisme etnik yang melaga-lagakan kaum.

GERAKAN adalah parti perkauman pro-bukan Melayu yang bersembunyi di sebalik slogan parti demokratik pelbagai kaum. Sebenarnya GERAKAN bukanlah sebuah parti demokratik Malaysia, tetapi hanyalah sebuah parti demokratik Cina. Kenyataan Su Koon tentang perjuangan GERAKAN untuk menjadi parti pelbagai kaum hanyalah retorik politik yang kosong dalam memancing rakyat, khususnya kaum Cina yang telah beralih sokongan kepada DAP. Su Koon menampakkan wajahnya yang sebenar sebagai pelakon yang pandai bermuka-muka dalam menyembunyikan sifat chauvinistiknya.

Sifat chauvinistik yang angkuh ini terlihat jelas apabila beliau menuntut UMNO memohon maaf atas kenyataan perkauman tetapi langsung tidak mahu memohon maaf apabila pemimpin wanita GERAKAN mengeluarkan kenyataan perkauman. Sifat ‘double standard’ pemimpin GERAKAN menunjukkan betapa kuatnya sifat perkauman mereka. Dalam pada itu mendedahkan betapa lemahnya jiwa pemimpin Melayu yang melutut memohon maaf berbanding kaum lain yang degil untuk memohon maaf walau mereka mengeluarkan kenyataan yang jelas adalah salah.

MCA sepertimana UMNO adalah jelas sebuah parti politik yang berasaskan perkauman. Jadi tindakan pemimpin MCA mencari popuriti murahan dengan memainkan isu perkauman menentang status quo Melayu tentunya adalah lumrah dalam parti politik perkauman. Tanpa isu perkauman MCA tentunya akan mati. Namun apa yang tidak difahami oleh para pemimpin MCA ini ialah asas yang ditinggalkan oleh Tan Cheng Lock, Tan Siew Sing dan pemimpin awal MCA dalam membawa kaum Cina ke sebuah ruang perpaduan dengan menerima hakikat politik ketuanan Melayu. Hakikat politik ini menetapkan batas dan sempadan kepada kaum Cina dalam ruang politik, sekaligus meletakkan kaum Cina sebagai tulang belakang ekonomi negara dan orang Melayu sebagai tulang belakang politik negara. Asas ini walaupun bersifat perkauman tetapi ia melihat kepada aspek perkauman yang positif dan mudah difahami oleh rakyat yang ingin hidup dalam suasana perpaduan yang aman dan harmoni. Asas ini juga menjelaskan realiti hubungan kaum yang saling menghormati dan tidak melanggar had wilayah masing-masing. Formula ini, sekurang-kurangnya telah mencipta ruang saling menghormati sejak 50 tahun lalu.

Tetapi keghairahan parti dan pemimpin politik khususnya dilihat dalam kes GERAKAN dan MCA memainkan sentimen dan isu perkauman sejak akhir ini dapat dilihat dalam dua keadaan. Pertama, tindakan terdesak kedua-dua parti ini untuk menyaingi DAP, yang telah dapat menyatukan kaum Cina dalam memecahkan monopoli politik BN. Kedua, bergelut untuk mempertahankan parti yang diasaskan kepada politik perkauman ini daripada pupus apabila isu perkauman tidak lagi dapat menjadi senjata untuk memperolehi sokongan rakyat.

GERAKAN dan MCA akan terus berjuang untuk membina kotak-kotak kaum ini kerana kotak-kotak kaum inilah yang menjadi nafas kepada survival mereka. Tanpa kotak-kotak kaum, mereka tidak mungkin dapat hidup lagi. Semakin besar jurang polarisasi kaum, maka semakin besarlah kuasa kedua-dua parti ini. Tetapi jika polarisasi kaum ini mengecil, maka bukan sahaja kuasa tetapi kedua-dua parti ini juga akan pupus. Maka itulah perpaduan rakyat akan selamanya menjadi pertaruhan politik mereka.

Mingguan Wasilah, 2-8 November 2008

Wednesday, November 12, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

POLITIK POPULIS PAKATAN RAKYAT

Politik populis mempunyai makna yang cukup luas untuk difahami dalam konteks akademik. Tetapi pengertian popularnya merujuk kepada gerakan rakyat menentang elitis yang cenderung kepada penguasaan despotik baik secara langsung ataupun tidak. Penguasaan despotik secara langsung melihat kepada penggunaan kekerasan dan kezaliman melalui senjata baik tentera mahupun polis. Sementara despotik secara tidak langsung melihat kepada penentuan keputusan yang dibuat oleh elit demi kepentingan mereka dengan mempergunakan rakyat, yang diperkukuhkan oleh propaganda, hasutan, ugutan halus, dan ancaman tersirat. Lahirnya gerakan populis adalah kesan daripada ketidakpuasan hati golongan majoriti yang tertindas terhadap kuasa dan kepentingan elit yang berkuasa dalam sesebuah negara.

Model klasik kepada gerakan populis ini ialah Spartacus, seorang pemimpin pemberontak daripada golongan hamba pada era empayar Rom. Spartacus ialah tawanan yang dijadikan hamba untuk bertempur (gladiator) bagi keseronokan golongan elit Roman. Spartacus melepaskan diri dan akhirnya membentuk pasukan pemberontak untuk menentang Rom. Selepas beberapa kemenangan besar sehingga meningkatnya jumlah pengikut mencapai ratusan ribu orang, Spartacus menjadi tokoh besar perjuangan golongan hamba dan bawahan menentang regim despotik Roman. Namun Spartacus kemudian diperangkap oleh pemimpin militer Roman iaitu Crassus dan kemuncaknya tewas dalam peperangan terakhirnya menghadapi tentera Rom yang dipimpin oleh Pompey. Spartacus adalah model klasik perjuangan populis yang disanjung oleh tokoh-tokoh populis moden antaranya ialah Karl Marx, Che Guavera, Malcolm X dan sebagainya.

Gerakan populis lahir daripada ketidakpuasan hati golongan majoriti atau golongan rakyat yang membentuk perasaan kebersamaan untuk membetul mahupun menumbangkan golongan elit yang despotik tersebut. Perasaan kebersamaan ini kemudiannya disalurkan melalui gerakan politik, yang dilegitimasikan melalui peti undi mahupun desakan massa (contohnya demonstrasi dsbnya). Pakatan Rakyat dengan gabungan parti-parti politik pembangkang iaitu PKR, DAP dan PAS menjadi saluran meledakkan perasaan kebersamaan rakyat ini hingga membuahkan perubahan senario politik dalam PRU12 pada 8 mac 2008 itu. Pembentukan Pakatan Rakyat adalah hasil daripada politik populis ini.

Namun pada satu peringkat politik populis menghadapi keadaan yang sukar apabila keperluan untuk memenuhi kepelbagaian tuntutan rakyat daripada pelbagai golongan dan kepentingan itu menjadikan tujuan politik sebagai matlamat untuk mengekalkan populariti dan bukannya sebagai kekuatan untuk membina sebuah negara. Percanggahan kepentingan antara mengekalkan populariti di kalangan rakyat dengan membentuk kekuatan untuk membina negara disempadani garisan nipis yang kabur ruang pemisahannya. Membentuk kekuatan untuk negara pada satu ketika adalah tindakan yang mengurangkan populariti. Di sini pilihan yang jelas perlu ditentukan, antara ‘kemeriahan’ jangka pendek oleh populariti sanjungan ramai atau kelangsungan jangka panjang demi pembinaan tamadun pada masa hadapan.

Keadaan sekarang memperlihatkan peringkat permulaan konflik politik populis Pakatan Rakyat. Tindakan memecat ahli majlis yang menyamakan sedekah sebagai jariah ibadat dalam Islam dengan perbuatan zina adalah tindakan yang tepat dan betul. Namun menggantung seorang penjawat awam kerana tindakan merobohkan bangunan kuil yang didirikan secara tidak sah mengikut undang-undang adalah satu tindakan yang jelas menunjukkan konflik untuk mengekalkan populariti. Pihak pengurusan kuil telah mengambil tindakan profesional untuk membincangkan masalah mereka tanpa melibatkan campurtangan politik. Namun tindakan terburu-buru tiga exco Pakatan Rakyat negeri Selangor yang diketuai oleh Ronie Liu, telah melampaui batasan perbincangan secara baik yang sedang dijalankan oleh pihak pengurusan kuil.

Tindakan ‘bingung’ Pakatan Rakyat ini adalah untuk mengimbangi tindakan provakatif yang dijalankan oleh Pemuda MIC, yang sebenarnya tidak disenangi pun oleh komuniti India yang melihat usaha untuk mengeksploitasi isu ini demi kepentingan politik. Buktinya ialah usaha pihak pengurusan kuil yang telah menjalankan usaha perbincangan secara baik dan senyap tanpa campurtangan politik. Tindakan mencari populariti dua tiga orang exco Pakatan Rakyat ini, seterusnya boleh menimbulkan salah faham dan perasaan tidak puas hati kepada pihak lain. Hal ini berlaku apabila ADUN PAS menimbulkan perasaan tidak senang atas tindakan menggantung pegawai kanan Majlis Perbandaran terbabit, yang mewakili perasaan tidak senang masyarakat Melayu.

Perasaan masyarakat Melayu banyak diusik oleh tindakan-tindakan yang kelihatan secara samar menyentuh sensitiviti mereka berkenaan agama dan bangsa, tidak terkecuali hak istimewa Melayu dan Islam sebagai agama rasmi. Tanpa campurtangan politik ahli-ahli politik ‘mentah’ yang mencari populariti, isu-isu tuntutan agama lain dan kaum lain akan hanya dilihat sebagai tuntutan kepentingan yang berlaku dalam lingkungan masing-masing, dan tidak menyentuh atau melanggar perasaan pihak lain. Tetapi apabila adanya campurtangan politik, apatah lagi dengan adanya tujuan untuk mengekalkan ‘status’ populariti mereka; isu-isu yang dillihat sebagai kepentingan dalam lingkungan tadi telah keluar dan melanggar perasaan masyarakat Melayu. Ini berlaku pertamanya kerana persepsi perkauman yang tentunya tidak akan luput begitu sahaja dalam masa yang singkat setelah 50 tahun hubungan kaum di negara ini diasaskan oleh kepentingan kaum masing-masing. Dan kedua, ialah tindakan ahli politik yang lebih ingin menjadi juara popular daripada memikirkan status qou yang masih perlu dijaga.

Spartacus adalah pemimpin popular di kalangan rakyat, khususnya golongan bukan penduduk asal Rom yang didatangkan ke Rom atas keperluan ekonomi, sosial mahupun politik. Namun Spartacus juga akhirnya tumpas di tangan legion dan garison Roman. Kekalahan Spartacus dilihat oleh pengkaji oleh kapasiti tenteranya yang tidak terlatih dan tidak mempunyai kelengkapan perang sebaik tentera Roman. Namun perlu juga diketahui bahawa Spartacus ialah tawanan dari bangsa Tharacian dan bukan penduduk asli Roman, begitu juga kebanyakan pengikutnya. Spartacus tidak disokong oleh penduduk Roman dan dianggap pengancam mereka. Dalam pada itu, perjuangan Spartacus dan akhirnya dilihat – bahawa kemenangan Spartacus ke atas Roman akan mengubah bahkan memusnahkan status qou yang mewujudkan Rom. Maka rakyat Rom, bangsa Roman bahkan golongan daripada bukan bangsa Roman akhirnya meninggalkan Spartacus. Ini kerana mereka melihat status quo yang mewujudkan Rom itu akan punah jika Spartacus terus memenangi pertempuran. Tanpa status quo tersebut, Rom sendiri akan musnah.

Politik populis Pakatan Rakyat bangkit menjadi seorang Spartacus yang dikagumi dan disanjungi, sehinggalah akhirnya majoriti rakyat menyedari bahawa tindakan populis yang diambil mula mengancam bahkan akan memusnahkan status quo yang mewujudkan sebuah Malaysia hari ini. Pada peringkat ini Spartacus akan ditinggalkan perlahan-lahan oleh majoriti rakyat yang harus mempertahankan status qou lebih daripada mempertahankan Spartacus.

Masyarakat Melayu mula melihat iklim politik populis Pakatan Rakyat yang menuntut kesamarataan akan turut mengorbankan hak istimewa orang Melayu, lebih dan paling utama lagi ialah kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Kedua-dua entiti ini ialah status qou yang mewujudkan sebuah Malaysia yang makmur pada hari ini. Jika kedua-dua entiti ini dikorbankan demi pendekatan politik populis, masyarakat Melayu akan meninggalkan Pakatan Rakyat sebagaimana penduduk Rom meninggalkan Spartacus sendirian menghadapi Crassus dan Pompey.

Crassus adalah antara pemimpin terkaya di Rom, sementara Pompey adalah jeneral yang sangat bercita-cita tinggi. UMNO akan menyaksikan munculnya pemimpin-pemimpin baru setelah pengumuman Pak Lah tidak mempertahankan jawatannya. Dalam realpolitik, populis bukanlan satu penentu kemenangan sebaliknya hakikat telah menyaksikan bagaimana Crassus dan Pompey memenanginya walaupun Spartacus seorang populis. Pakatan Rakyat perlu lebih bijak menilai semua keadaan ini daripada membina patung-patung sebagai tanda populariti mereka.

Mingguan Wasilah, 19-25 Oktober 2008

Friday, October 24, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

PPSMI WUJUDKAN JURANG KELAS DAN POLARISASI KAUM

Sebuah komen yang paling bernas telah tersiar dalam sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris berkenaan isu PPSMI. Ia dibuat oleh Prof Dr. Rosnani Hashim dari Universiti Islam Antarabangsa. Berkongsi pengalaman yang sama Prof Dr. Rosnani melihat bahwa komen atau suara yang mempertahankan PPSMI dalam akhbar-akhbar Inggeris dengan gencarnya itu adalah datang daripada minoriti golongan menengah atas dan golongan atasan yang bercakap dalam sisi kehidupan mereka tanpa melihat secara praktikal kepada majoriti golongan bawahan dan luar bandar yang merana dan akhirnya tertinggal jauh akibat penggunaan bahasa Inggeris secara drastik dalam sistem pendidikan.

Minoriti golongan atasan ini berlindung di sebalik alasan yang myopic, iaitu kononnya keprihatinan mereka terhadap masyarakat luar bandar yang dinafikan untuk memperolehi peluang mahir dalam bahasa Inggeris. Alasan yang sama sekali tidak berasas dan lebih memburukkan nasib pelajar luar bandar ini dihujah dengan jujur dan konstruktif oleh Prof. Dr. Rosnani.

Beliau menyatakan bahawa sains dan matematik melibatkan konsep yang memerlukan penjelasan yang terang dan jelas untuk difahami, dan bukan hanya bergantung semata-mata kepada bacaan daripada buku teks. Ini bermakna pelajar yang tidak mahir dalam bahasa Inggeris (majoriti pelajar luar bandar) akan menjadi mangsa. Dalam pada itu bahasa Inggeris adalah bahasa yang memerlukan masa yang lama untuk dikuasai dan adalah sesuatu yang tidak masuk akal untuk mengharapkan majoriti pelajar luar bandar ini dan guru yang mengajarnya juga dapat menguasainya dalam masa enam tahun tersebut.

Perkara kedua ialah penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan hingga ke peringkat pengajian tinggi telah menjadi pengimbang dalam memastikan keseimbangan dalam struktur sosial. Ia telah berjaya melonjakkan golongan bumiputera dalam pencapaian pendidikan sekaligus mengimbangi jurang pencapaian sosial yang sangat besar sebelum pelaksanaan sistem pendidikan dalam bahasa Melayu itu. Sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu bermula pada tahun 1970-an ini telah melahirkan ramai teknokrat, profesional dan intelektual Melayu yang kemudian membentuk golongan menengah yang besar. Sekaligus menstabilkan masyarakat sehingga memunculkan Malaysia sebagai negara yang bersedia untuk menghadapi persaingan global.

Mahathir yang menghapuskan kepentingan perimbangan sosial dengan ‘membunuh’ bahasa Melayu sebenarnya bukanlah arkitek sebenar dalam membawa Malaysia menjadi negara yang terkemuka pada era 1980-an dan 1990-an. Sebaliknya Mahathir hanya mengeksploitasi infrastruktur yang telah sedia terbina kukuh oleh Tun Abdul Razak melalui dasar pendidikan kebangsaan yang menggunapakai bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan itu, yang seterusnya berjaya melahirkan golongan menengah Melayu yang besar. Dengan adanya golongan menengah dan profesional Melayu yang dilahirkan oleh Tun Abdul Razak baik melalui DEB mahupun sistem pendidikan kebangsaannya, Mahathir hanya memetik suis untuk melonjakkan Malaysia ke hadapan.

Lantaran itu Mahathir secara jangka panjang adalah gagal dalam memahami kepentingan perimbangan sosial melalui alat yang selain daripada alat politik iaitu bahasa dan budaya. Ini terbukti dengan runtuhnya UMNO dalam PRU12 lalu, oleh kesan kegagalan-kegagalan lama Mahathir dalam melihat kepada formula perimbangan sosial melalui alat yang selain daripada alat politik. Mahathir hanya melihat kepada kuasa dan dengan itu melakukan tindakan yang semborono dan sewenang-wenangnya serta melanggar Perlembagaan Malaysia dalam memerintahkan pelaksanaan PPSMI dalam masa semalaman.
Tindakan Mahathir ini telah mengkhianati perjuangan Tun Abdul Razak dalam membina keseimbangan sosial dengan pengecilan jurang kelas dan polarisasi kaum melalui suatu bentuk sistem pendidikan yang menjurus kepada keutamaan kepentingan tersebut. Malangnya ‘penyelewengan’ terhadap perjuangan Tun Abdul Razak ini langsung tidak disedari oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang ‘buta’ oleh kekenyangan ekonomi termasuk anak Tun Abdul Razak sendiri. Al-fatihah untuk pemimpin yang disayangi rakyat – Tun Abdul Razak.

PPSMI akan kembali mewujudkan jurang kelas dan lebih buruk lagi polarisasi kaum, akibat daripada sistem pendidikan yang sememangnya secara nyata akan menjadikan 70 % pelajar luar bandar yang majoritinya terdiri daripada anak-anak Melayu akan keciciran. Dalam masa 20-30 tahun, bilangan golongan menengah akan mengempis oleh kadar keciciran pelajar-pelajar Melayu di luar bandar yang gagal bukan kerana kelemahan mereka tetapi kerana kesemboronoan dasar pendidikan yang tidak melihat kepada kemampuan infrastruktur dalam pelaksanaan PPSMI. Ia seterusnya mewujudkan jurang kelas kaya dan miskin yang sangat besar. Apa yang malangnya masyarakat Melayu yang masih merupakan masyarakat peripheral (pinggiran) dalam sistem ekonomi moden dengan demografi mereka bertompok di luar bandar akan menyumbang kepada peratusan besar golongan bawahan.

Sementara masyarakat bukan Melayu yang merupakan masyarakat centre (pusat) ekonomi moden yang bertompok di bandar-bandar akan menjadi golongan minoriti yang menguasai ekonomi dan puncak sosial. Masyarakat bukan Melayu yang sememangnya berada dalam pusat ekonomi moden dan menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa utama mereka akan lebih mengatasi masyarakat yang berada di luar pusat ekonomi moden dengan kadar berkali-kali ganda, dengan pelaksanaan dasar PPSMI. Dalam kata lain masyarakat centre ini akan mempunyai kelebihan besar oleh dasar pendidikan yang berat sebelah ini. Ini bermakna dasar pendidikan ini akan memberikan kelebihan kepada sesuatu golongan dengan menyingkirkan suatu golongan lain yang lebih besar. Ia akhirnya bukan sahaja mewujudkan jurang kelas tetapi polarisasi kaum yang akan menyumbang kepada ketidakstabilan sosial.

Dalam pada itu, seperti yang dinyatakan oleh Prof. Dr. Rosnani tindakan melaksanakan PPSMI ini secara langsung membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang selama ini telah berjaya dibuktikan dengan susah payah dan perjuangan yang panjang melalui penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia dan diikuti oleh penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengajian tinggi di Universiti Malaya. Ia kemudian diikuti oleh IPTA yang lain. Mahasiswa-mahasiswa yang lahir daripada sistem pendidikan kebangsaan tidak mempunyai masalah pun dalam melanjutkan pengajian mereka dalam peringkat yang lebih tinggi di luar negara.

Dan kini setelah sistem pendidikan kebangsaan tersebut mencapai kejayaan, politik yang semborono datang untuk membunuhnya dengan sewenang-wenang oleh impian besar yang didorong peragaan keangkuhan kuasa. Propaganda dan pemahaman yang salah pula telah menyerbu hati rakyat tanpa melihat kepada kesan jangka panjang yang akan mengembalikan Malaysia kepada keadaan sosial yang tidak stabil oleh jurang kelas dan polarisasi kaum sepertimana wujud pada dekad 1950-an dan 1960-an.

Tindakan badan PIBG Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara yang melaksanakan kempen mempertahankan PPSMI haruslah dikecam oleh badan-badan dan persatuan yang prihatin terhadap kesan jangka panjang pelaksanaan PPSMI yang akan mewujudkan jurang kelas dan polarisasi kaum yang menyumbang kepada ketidakstabilan sosial. PIBG SKBD ini bukan sahaja dilihat berfikir dalam kepentingan kelompok yang sempit tanpa melihat kepada keupayaan majoriti masyarakat luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan infrastruktur pendidikan seperti mereka; tetapi juga menunjukkan sifat mementingkan diri tanpa melihat kepada kesan jangka panjang. Oleh itu adalah wajar PIBG SKBD ini dikecam oleh badan dan persatuan yang membantah PPSMI demi memelihara kepentingan umum.

Mingguan Wasilah, 26 Oktober - 1 November 2008

Tuesday, October 21, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

MELIHAT PPSMI SECARA JUJUR

Ketika akhbar-akhbar berbahasa Inggeris bertambah rancak dan gencar dijadikan medan untuk menyokong serta melancarkan desakan untuk mengekalkan Pelaksanaan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), akhbar-akhbar berbahasa Melayu semakin lesu untuk menyiarkan pandangan bagi menukarkan PPSMI kembali kepada penggunaan bahasa Melayu. Secara jelas hal ini menunjukkan betapa rendahnya tahap daya juang orang-orang Melayu dalam mempertahankan bahasa mereka. Begitu juga dengan peranan akhbar berbahasa Melayu walaupun menyedari bahawa dengan pengekalan PPSMI bermakna akhbar-akhbar berbahasa Melayu akan hilang daya saing dan seterusnya menghadapi pengecilan pasaran yang cukup kritikal dalam masa 40 tahun akan datang, namun kesedaran untuk berjuang mempertahankan survival mereka tidak muncul dalam benak akhbar-akhbar berbahasa Melayu ini.

PPSMI bukanlah satu persoalan yang melibatkan kotak perkauman sebenarnya, tetapi ia lebih memperlihatkan pertembungan antara pemikiran golongan vernacular cosmopolitan dan golongan nasionalis-awam. Dalam kata lain ia bukan pertembungan antara orang Melayu dengan orang bukan Melayu atau yang disebut sebagai antagonisme etnik, tetapi ia lebih merupakan pertembungan pemikiran liberal-kapitalis dengan pemikiran nasionalis-awam. Pernyataan awal tadi bukan menjurus kepada arah perkauman (Melayu) tetapi melihat kepada keberadaan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Malaysia, akta 152 dan 153 yang menyangkuti keprihatinan untuk menjaga survival orang-orang Melayu dalam memelihara kestabilan negara. Perbincangan tentang perkara ini akan diperkatakan kemudian.

Golongan vernacular cosmopolitan ini dianggotai oleh golongan menengah atas dan atasan yang meletakkan diri mereka sebagai komuniti global. Mereka keseluruhannya tidak lagi mempunyai keperibadian budaya oleh sifat kosmopolitannya serta ciri-ciri vernakular yang ada pada diri mereka; ditandai oleh sikap berkelompok (fragmented) dengan ciri elitis yang membentuk peribadi bercampur baur (hibrid). Mereka hidup dalam persekitaran budaya global dan melihat kepentingan ekonomi pasaran bebas yang ditandai oleh persaingan dan pengejaran keuntungan daripadanya sebagai prinsip asas kehidupan. Teras kepada kehidupan sosial mereka adalah amalan neo-liberal dan sekularistik.

Menurut Homi K. Babbha, golongan ini, “configures the planet as a concentric world of national societies extending to global villages… moving in-between cultural traditions and revealing hybrid forms of life and art that do not have a prior existence within the discrete world of any single culture or language.” Mereka juga, “celebrates a world of plural cultures and peoples located at periphery, so long as they produce healthy profit margins within metropolitan societies”. Akhir sekali citarasa golongan ini, “high culture colluded in emulating the canons of elite “English’ taste and conforming to its customs and comforts.” Sengaja diterakan dalam tulisan asal (bahasa Inggeris) untuk melihat pemikiran asal dan asli Babbha terhadap golongan vernacular cosmopolitan ini.

Kepercayaan mereka kepada, “right to different in equality” lebih difahami daripada persepsi neo-liberal-sekular-kapitalis, iaitu kepentingan materialistik dan ekonomikalistik adalah budaya masyarakat. Dalam mempertahankan bahasa Inggeris yang dicintai mereka lebih daripada bahasa kebangsaan (yang menghalang ciri kosmopolitan mereka); mereka secara rambang dan myopic melahirkan kononnya keprihatian terhadap nasib masyarakat luar bandar yang dinafikan untuk menguasai bahasa Inggeris yang mereka anggap sebagai gerbang kepada kemajuan material dan vokasional tersebut. Pandangan yang salah (fallacy) ini dibuat oleh persepsi mereka yang salah – yang dilihat dari kacamata vernacular cosmopolitan mereka.

Kajiselidik yang dijalankan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris di bawah Prof Dato’ Dr. Isahak Haron menunjukkan majoriti pelajar di sekolah rendah masih sukar untuk mengikuti pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, lantaran penguasaan bahasa Inggeris pelajar-pelajar terutamannya di luar bandar amat rendah. Markah lulus bagi kedua-dua subjek tersebut ialah 40%-45% (bergantung kepada sekolah) iaitu gred C. Namun data tidak rasmi menunjukkan bahawa hanya 20%-30% yang lulus melepasi tahap gred C ini. 70 % pelajar yang terdiri daripada pelajar luar bandar adalah majoriti yang gagal dalam kedua-dua subjek tersebut.

Sementara kajian yang dibuat oleh Centre of Malaysian Chinese Studies dalam satu kajian secara rawak menunjukkan bahawa 90% guru tidak menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam mengajar kedua-dua subjek tersebut, tetapi menggunakan bahasa Melayu ataupun bahasa Mandarin. 87% guru menghadapi masalah menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dua subjek tersebut oleh kerana para pelajar tidak dapat memahaminya. Sementara 67% guru menyatakan mereka menghabiskan banyak masa untuk menterjemahkan arahan dan teks dalam kedua-dua subjek tersebut kepada bahasa ibunda para pelajar. 70% daripada guru ini mendapati pelajar-pelajar mereka menghadapi masalah untuk menjawab soalan peperiksaan yang lemah penguasaan bahasa Inggeris mereka. 50% menyatakan murid-murid mereka menjadi pasif apabila kedua-dua subjek ini diajar dalam bahasa Inggeris. Sementara 40% daripada guru ini tidak dapat memberikan penjelasan yang jelas dalam bahasa Inggeris terhadap kedua-dua subjek ini.

Pada tahun ini seramai 518, 616 orang murid akan menduduki peperiksaan UPSR, dengan kertas peperiksaan masih lagi diadakan dalam dwi bahasa. Murid-murid ini adalah murid daripada peringkat pertama yang terlibat dalam PPSMI sejak tahun satu. Daripada kajian-kajian yang dilakukan, apa yang paling pasti ialah PPSMI dilaksanakan tanpa menyediakan infrastruktur yang lengkap dalam membentuk kapasiti pelajar terhadap penguasaan bahasa Inggeris. Sepatutnya para pelajar terlebih dahulu dipastikan mempunyai keupayaan penguasaan bahasa Inggeris yang kuat untuk menerima PPSMI, sebelum dasar tersebut dilaksanakan. Ternyata sistem pendidikan dan nasib setengah juta pelajar ini dikorbankan oleh keputusan politik yang gopoh dan terburu-buru, tanpa melihat secara objektif terhadap kesan serta implikasinya.

Suara golongan vernacular cosmopolitan yang mahu mengekalkan PPSMI kononnya membela nasib golongan luar bandar dalam menghadapi cabaran global adalah pandangan dan pemikiran yang tidak berasas. Ini adalah kerana PPSMI, ternyata daripada kajian-kajian ini akan memburukkan lagi pencapaian pendidikan pelajar-pelajar luar bandar, dan membuatkan mereka keciciran. Pihak yang mendapat manfaat besar daripada PPSMI ini ialah 30% golongan pelajar di bandar, khususnya minoriti vernacular cosmopolitan yang mungkin pula hanya merupakan 10% sahaja daripada keseluruhan pelajar bandar yang mampu (ramai pelajar di bandar yang terdiri daripada golongan bawahan juga gagal dalam PPSMI).

Suara golongan vernacular cosmopolitan yang mahukan PPSMI dikekalkan sebenarnya adalah suara kelompok kecil yang berpengaruh dan berkuasa. Golongan ini secara umumnya mempunyai hegemoni intelektual terhadap dasar-dasar kerajaan. Jika pihak kerajaan menerima suara golongan ini, bermakna kerajaan lebih melihat kepada kepentingan kelompok elit yang kecil dan meminggirkan kepentingan untuk lebih daripada 70% penduduk Malaysia, yang kabur dan tidak tahu bahawa sesebuah dasar yang dilaksanakan itu membawa manfaat atau tidak kepada mereka pada jangka masa panjang.

Mingguan Wasilah, 05-18 Oktober 2008

Sunday, October 12, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

PPSMI DAN SISTEM NILAI MASYARAKAT

Pada awal abad ke-20, kolonial British mula memperkenalkan ekonomi moden yang tersusun di Tanah Melayu berasaskan pengeluaran komoditi berasaskan ekspot secara besar-besaran. Dua komoditi utama yang dikeluarkan di Tanah Melayu ialah bijih timah dan getah. Lalu bermulalah apa yang disebut sebagai ‘capitalist mode of production’. Kesan daripada ekonomi kapitalis ini telah melahirkan struktur sosial yang baru di Tanah Melayu iaitu garis pemisahan masyarakat yang berasaskan bangsa Melayu peribumi, dan buruh imigran (imigrant labourers) yang terdiri daripada kaum Cina dan India. British ternyata mengeksploitasi semaksimumnya struktur sosial ini demi kepentingan ekonomi kapitalis mereka.

Bagaimanapun buruh imigran diserapkan secara langsung untuk menjadi ‘alat pengeluaran’ ekonomi moden dan ini menjadikan mereka terutamanya kaum Cina menjadi bahagian daripada struktur ekonomi moden tersebut. Sementara bangsa Melayu peribumi diasingkan untuk berada di luar ekonomi moden bagi mengekalkan kedudukan mereka dalam ekonomi sara diri (subsistence economy), dengan dua sebab. Pertama, mengekalkan kedudukan orang Melayu dalam lingkaran kemunduran demi kepentingan politik British. Dengan itu, penguasaan kolonial terjamin daripada menerima penentangan daripada orang Melayu yang lumpuh dari segi mental dan serba kekurangan dari segi fizikal. Dan kedua, meletakkan kedudukan orang Melayu sebagai alat logistik iaitu alat pengeluaran makanan kepada keperluan tenaga untuk pergerakan ekonomi moden melalui kerja-kerja tradisi orang Melayu sebagai penanam padi serta petani dan nelayan.

Penguasaan terhadap orang Melayu oleh kolonial British ini dibantu oleh golongan feudal dan pembesar Melayu (Malay ruling class) yang membina hubungan erat dengan British dan memperolehi laba serta kepentingan mereka dengan mengeksploitasi kedudukan mereka dalam struktur tradisi masyarakat Melayu itu. Dalam kata lain, struktur tradisi politik Melayu dimanipulasikan oleh British dengan memanfaatkan golongan pembesar Melayu bagi menjalankan polisi pentadbiran British. Pecah perintah yang dilakukan oleh kolonial British ini adalah untuk apa yang dikatakan sebagai, “set about the gradual and systematic exploitation of the country’s resources for the benefit of foreign interest”.

Menurut antropologis-ekonomi ketika ini, kurangnya penyertaan orang Melayu dalam struktur ekonomi moden waktu itu bukanlah disebabkan oleh mitos Melayu yang ditanam oleh kolonial British iaitu sifat tidak acuh dan malas (indifferent and laziness) orang Melayu; tetapi sebenarnya ialah kerana ciri dan sifat masyarakat Melayu, yakni sistem nilai dalam masyarakat Melayu yang tidak meletakkan keutamaan kepada kepentingan individu melangkaui kepentingan kolektif dan tidak menggalakkan pengejaran matlamat kekayaan yang melampau secara individu. Sebaliknya sistem nilai masyarakat Melayu yang dibentuk oleh hubungan persaudaraan (close-knit society) lebih mementingkan pembentukan masyarakat yang berdasarkan kepentingan kolektif dan pegangan agama dalam mewujudkan nilai-nilai baik seperti menjauhi sifat tamak, mementingkan diri, sombong, mencintai keduniaan dan sebagainya.

Sistem nilai yang utuh sejak ratusan tahun berakar dalam masyarakat Melayu menjadikan mereka sebagai satu bangsa yang kuat memahami keberadaan mereka dalam konteks daya ilmu yang dibina dalam persekitaran budaya mereka; contohnya pemahaman terhadap ilmu atau pandangan hidup melalui simbol-simbol yang wujud dalam bahasa mereka yakni bahasa Melayu. Sistem nilai yang wujud dalam sistem ekonomi moden adalah amat bercanggah dengan sistem nilai masyarakat Melayu. Apatah lagi ia membawa sifat budaya Eropah dan sifat budaya daripada entiti ekonomi masyarakat Cina dan lain-lain; yang ternyata sesuatu yang asing bagi orang Melayu.

Dari segi kebolehan dan keupayaan tidak dapat dinafikan bahawa orang Melayulah orang yang pertama menerokai lombong-lombong bijih yang menjadi entiti penting dalam ekonomi moden yang diperkenalkan British di Tanah Melayu. Namun kegiatan ekonomi komoditi ini dilakukan hanya separuh masa dan hanya dilakukan dalam skala yang kecil. Ini memandangkan wujudnya sistem nilai seperti hubungan spritual orang Melayu dengan tanah, alam dan sifat kemanusiaan yang membuatkan keutamaan mereka lebih diberikan kepada aktiviti berasaskan pertanian. Sistem nilai yang bercanggah dengan gejala-gejala kapitalis dalam sistem ekonomi, ditambah pula dengan kegiatan melanggar pegangan agama Islam mereka seperti perjudian, menghisap candu, amalan riba, dan kegiatan-kegiatan ‘dosa’ yang lain membuatkan masyarakat Melayu meletakkan sempadan antara mereka dan dunia ekonomi moden.

Apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa penghantar kepada mata pelajaran sains dan matematik, kesan keburukannya adalah lebih kepada masyarakat Melayu. Pertamanya, bahasa Inggeris bukan sahaja sekadar membawa logika simbolisme Barat tetapi juga sistem nilai dari Barat yang dimanifestasi secara tidak langsung sebagai suatu bentuk perwakilan kepada ‘superioriti Barat’. Kedua, sistem nilai masyarakat Melayu yang keseluruhannya dibentuk daripada sifat budaya mereka khususnya lambang-lambang seni dalam bahasa Melayu bertentangan dan bercanggah sistem nilai yang wujud daripada lambang-lambang yang digunakan dalam bahasa Inggeris. Ini membuatkan masyarakat Melayu menerima isyarat yang salah dan seterusnya pemahaman yang tidak tepat terhadap makna-makna yang terkandung dalam bahasa Inggeris.

Perkara pertama membawa kepada lunturnya keyakinan anak-anak Melayu terhadap keperibadian mereka sendiri lantaran wujudnya kesan secara psikologi jangka panjang yang menanam keyakinan terhadap superioriti Barat. Ini akan mewujudkan suatu bentuk kekaburan yang akhirnya menghilangkan keaslian daya fikir bangsa Melayu, sebaliknya menjadikan mereka sebagai pembonceng dan hanya pengguna kepada pemikiran orang lain. Perkara kedua membawa kepada kegagalan untuk memahami konsep, makna dan inti ilmu lantaran lambang-lambang yang ada dalam sistem nilai yang dibawa oleh bahasa Inggeris bertentangan atau tidak wujud dalam sistem nilai yang dibawa dalam budaya Melayu. Maka konsep dan makna tersebut akan difahami dari sisi penerimaan hafalan dan bukan penerimaan fahaman.

Perkara ini akan membentuk pengajaran ilmu yang lebih bersifat vokasional iaitu keupayaan untuk hanya menggunakan ilmu bagi keperluan teknikal dan pemasangan kepada yang sedia ada; dan bukan keupayaan untuk menggunakan ilmu bagi keperluan yang lebih tinggi seperti penciptaan sains baru melalui daya cipta kreatif dan penerokaan kepada penemuan-penemuan baru melalui penguasaan filosofikal serta mekanikal ilmu tersebut.

Dalam pada itu bahasa Inggeris adalah bahasa sistem ekonomi moden. Maka timbul kepercayaan bahawa dengan penguasaan bahasa Inggeris maka sesebuah bangsa atau masyarakat akan lebih menguasai penglibatan mereka dalam dunia ekonomi moden. Hal ini memang tidak dinafikan, tetapi apabila dilihat kepada demografi masyarakat di Malaysia ini ternyata orang Melayu sepertimana apa yang berlaku pada awal kemunculan ekonomi moden di Tanah Melayu, rata-ratanya hidup di luar bandar adalah masyarakat yang berada di pinggir (peripheral) dunia ekonomi moden ini. Sedangkan kaum lain merupakan masyarakat yang berada dalam pusat (center) ekonomi moden. Ini tentunya menjadikan penguasaan bahasa Inggeris dalam dunia ilmu akan mengambil masa yang panjang untuk dikuasai oleh orang Melayu, berbeza dengan kaum lain yang sememang telah menguasainya sebagai bahasa pusat ekonomi moden di mana mereka berada.

Akibatnya anak-anak Melayu akan lebih ramai yang ketinggalan berbanding kaum lain. Ini akan mewujudkan jurang ekonomi yang besar antara kaum pada akhirnya. Keadaan ini lebih bahaya lagi akan mewujudkan polarisasi kaum yang boleh membawa kepada kemungkinan-kemungkinan ketidakstabilan masyarakat.

Pertimbangan terhadap perkara-perkara yang ditimbulkan ini haruslah diberi perhatian yang serius oleh pembuat dasar khususnya Menteri Pelajaran dan Kementerian Pelajaran; kerana di tangan merekalah terletak kejayaan dan kegagalan pembentukan bangsa yang utuh dan maju dalam acuan mereka sendiri pada masa hadapan.

Mingguan Wasilah, 28 September – 04 Oktober

Saturday, October 4, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

ANTARA FAKTA DAN APOLOGETIK PEMIMPIN UMNO

Selepas keputusan PRU12 yang menyaksikan tsunami politik 8 Mac 2008 sehinggalah hari pengundian Pilihanraya Kecil di Permatang Pauh pada 26 Julai 2008, percaturan politik yang memainkan isu perkauman telah dilancarkan oleh UMNO. Ia turut disokong oleh parti komponen BN seperti GERAKAN, MCA dan MIC yang ‘berlakon’ untuk mempertahankan kaum masing-masing. GERAKAN dan MCA yang lumpuh oleh berpalingnya pengundi Cina secara beramai-ramai kepada DAP, secara gegabah cuba kembali meraih perhatian masyarakat Cina dengan menjadi parti perkauman Cina yang ekstrem khususnya GERAKAN. Tindakan memainkan sentimen perkauman inilah yang menjadi percaturan politik BN dalam period tersebut. Ini adalah fakta yang jelas dan terang.

Namun apabila isu perkauman ini mula menjadi tidak terkawal dengan munculnya badan-badan serta individu yang tidak bertanggungjawab termasuk media massa yang mula mempersoalkan rukun asas pembinaan masyarakat dan negara Malaysia seperti kontrak sosial, agama Islam dan kuasa mahkamah syariah yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia yang terbentuk daripada konsensus bersama itu, BN mula hilang kawalan terhadap isu bahaya yang mereka mainkan.

Ia diburukkan lagi oleh tindakan secara individu pemimpin-pemimpin politik dan kalangan intelektual kaum tertentu yang cuba menjadi popular. Mereka cuba menjadi juara kaum mereka melalui pendekatan populis yang mempersoalkan isu sensitif kepada orang Melayu seperti penggunaan tulisan jawi di papan tanda jalan, meletakkan bahasa mandarin sebagai bahasa utama, mempersoalkan hak istimewa orang Melayu, dan usaha untuk mencapai persamaan hak dengan menafikan peruntukan perlembagaan yang diberikan terhadap orang Melayu. DAP juga tidak terlepas dengan permainan isu sensitif ini oleh tindakan individual beberapa pemimpin mereka yang ghairah dengan kemenangan menjadi ‘dungu dan buta’ terhadap ruang dan daulat kewilayahan orang Melayu yang diserahkan untuk menjadi negara Malaysia ini.

Isu Datuk Ahmad Ismail adalah puncak kepada semua permainan isu dan sentimen perkauman oleh BN, yang memperlihatkan tahap hilangnya kawalan BN terhadap isu bahaya yang mereka mainkan. Hati dan jiwa orang Melayu mula dibangkitkan rasa marah apabila pemimpin-pemimpin politik Cina khususnya dari GERAKAN dan MCA secara berpadu memaksa secara melampau individu politik ini memohon maaf terhadap satu isu kecil yang dijadikan besar. Apa yang dilihat oleh orang Melayu, terutamanya dengan sikap melampau-lampau pemimpin politik Cina BN ini bukanlah sangat berkenaan individu UMNO yang bernama Datuk Ahmad Ismail ini. Tetapi cara dan kebiadabapan yang melampau-lampau tersebut seolah-olah meminta orang Melayu memohon maaf terhadap pernyataan yang berasaskan fakta sejarah tentang hakikat kedatangan orang-orang Cina sebagai pendatang atau pelarian ekonomi di Tanah Melayu ini. Ia bukan sahaja dilihat sebagai percubaan untuk menafikan fakta sejarah tetapi juga menafikan fakta dan hak orang Melayu sebagai peribumi asal Tanah Melayu ini.

Ia diburukkan lagi oleh sokongan melalui tulisan setiap hari di akhbar-akhbar Inggeris dan Cina yang memaksa permohonan maaf tersebut. Keadaan ini menjadikan seolah-olah memaksa ‘orang Melayu’ secara keseluruhannya memohon maaf terhadap masyarakat Cina mahupun mereka bercakap berkenaan fakta yang benar. Tindakan bersatu padu pemimpin politik Cina dari BN dan kaum intelektual Cina yang memaksa permohonan maaf daripada ‘orang Melayu’ ini secara tidak langsung tidak dapat lagi menyembunyikan sikap dan sifat perkauman segelintir masyarakat Cina terhadap orang Melayu. Ini adalah fakta yang dapat dibaca dari akhbar-akhbar Inggeris dan Cina yang diterbitkan dari 28 Ogos 2008 sehingga 10 September 2008 setakat ini.

Tambah memburukkan keadaan apabila seorang pemimpin kanan MCA cuba menegakkan benang basah dengan memalsukan fakta sejarah yang mengatakan sejumlah 300 ribu orang Cina mati mempertahankan Tanah Melayu. Pemimpin MCA ini ternyata perlu kembali memasuki kelas sejarah di sekolah menengah kebangsaan untuk mempelajari sejarah. Orang-orang Cina yang terkorban dalam perang gerila mereka melawan Jepun adalah dari MPAJA dan kemudiannya menjadi Bintang Tiga itu adalah gerombolan yang berjuang demi idealogi komunis yang ingin mereka sebarkan dan bukannya atas semangat memperjuangkan kemerdekaan negara sebagaimana yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang nasionalis Melayu. Ini adalah fakta yang boleh disemak dari buku sejarah di sekolah-sekolah kebangsaan. Mengemukakan sejarah palsu yang semborono dan daif ini adalah tindakan menyelewengkan fakta yang tidak dapat dimaafkan apatah lagi ia secara tidak langsung (tidak sedar?) menyanjung perjuangan komunis.

Sebelum isu ini timbul, telah banyak acahan yang ditujukan terhadap kedudukan orang Melayu dalam peruntukan Perlembagaan Malaysia. Kua Kia Soong yang memanipulasikan fakta dalam buku May 13nya telah menyatakan bahawa kontrak sosial tidak pernah wujud dalam majlis yang dianjurkan oleh Majlis Peguan dalam memperkatakan tajuk ‘Kontrak Sosial’, beberapa bulan lepas. Majlis Peguam yang disebut sebagai ‘anti Islam’ oleh Zulkifli Nordin itu juga menganjurkan forum ‘Memeluk Islam’ yang melukakan hati orang Melayu-Islam di negara ini. Muncul pula tindakan mempersoalkan papan tanda jawi oleh Teresa Kok, diiringi tindakan menggantung papan tanda berbahasa Mandarin oleh GERAKAN Pulau Pinang.

Tindakan-tindakan ini membayangkan sikap dan pemikiran chauvinistik dan perkauman segelintir pemimpin politik dan intelektual masyarakat Cina yang kononnya berfikiran moden itu. Tindakan tersebut ternyata menjadikan mereka bersifat racist dan terbelakang dari segi pemikiran kenegaraan dan kesusilaan dalam konteks Malaysia. Namun tidak dapat dinafikan ia bukanlah membayangkan keseluruhan sifat dan sikap masyarakat Cina di Malaysia. Kita melihat bagaimana Tan Seng Giaw yang mempertahankan tulisan jawi, juga Lim Guang Eng yang bersifat lebih demokratik dan negarawan daripada pemimpin tua DAP, bahkan lebih baik daripada Koh Tsu Kong dalam memberikan layanan terhadap masyarakat Melayu di Pulau Pinang. Namun malangnya tindakan yang membayangkan sifat perkauman Cina daripada segelintir pemimpin politik khususnya dari BN, merosakkan perpaduan masyarakat di negara ini.

Namun keseluruhan daripada ketidaktentuan yang timbul oleh isu perkauman ini ialah berpunca daripada kelemahan dan sifat apologetik tidak bertempat pemimpin besar UMNO. Sifat apologetik tidak bertempat ini menghilangkan keyakinan dan kepercayaan orang Melayu terhadap pemimpin negara yang harus mempertahankan kebenaran (fakta) bagi pihak mereka – walaupun kebenaran ini sememangnya pahit – demi keluhuran Perlembagaan yang memaktubkan kedudukan orang Melayu di negara mereka sendiri.

Pemimpin besar UMNO ini selalunya memulakan sentimen tetapi akhirnya menunduk mencium bumi apabila menerima tekanan (kecil). Contohnya mencium keris kemudian meminta maaf, seorang pemimpin besar UMNO yang lain (bersaudara dengan pemimpin pencium keris) juga bersama Datuk Ahmad Ismail ketika insiden berlaku tetapi kemudian menjadi orang yang paling gegabah menyembah meminta maaf apabila menerima tekanan (kecil). Ini semua berlaku oleh sikap mementing diri dan menyelamatkan diri politik mereka tanpa memikirkan maruah bangsa Melayu yang mereka jatuhkan. Tindakan tidak bertanggungjawab dan apologetik tidak bertempat ini akhirnya menjadi punca kemarahan orang Melayu dan saluran kemarahan itu akhirnya terhambur menjadi tindakan-tindakan konflik yang membahayakan kestabilan negara.

Tetapi tahukah pemimpin-pemimpin terkanan UMNO yang berjiwa kecil ini bahawa sikap apologetik tidak bertempat mereka telah menafikan hakikat sejarah, sekaligus menjatuhkan maruah dan martabat bangsa Melayu, yang boleh mencetuskan bahaya konflik perkauman – lantaran kelemahan kepimpinan mereka?

Mingguan Wasilah, 21-27 September 2008

Friday, September 12, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

BAHASA MELAYU UNTUK SAINS DAN MATEMATIK!

Pada sekitar penghujung bulan Ogos 2008 yang lepas, Kementerian Pelajaran telah mengadakan satu persidangan meja bulat bagi mendengar dan membincangkan tentang Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Persidangan yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Alimuddin Mohd Dom pada dasarnya telah gagal kerana persidangan tersebut tidak membuahkan apa-apa keputusan yang jelas selain daripada menjadi perbincangan yang bersifat ad hominem. Terdapat kesimpulan yang pelbagai dan kabur dalam menentukan keputusan sama ada PPSMI dikekalkan atau tidak. Tiga kesimpulan pada akhir perbincangan juga tidak memberikan sebarang tanda yang jelas kepada sebarang keputusan.

Kesimpulan tersebut ialah; pertama, mengekalkan PPMSI untuk sekolah menengah sementara sekolah rendah kembali menggunakan bahasa Melayu sebagai penghantar matapelajaran sains dan matematik. Kedua, kembali kepada sistem pendidikan yang asal iaitu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar untuk semua matapelajaran termasuk matapelajaran Sains dan Matematik. Dan ketiga, bahasa Inggeris akan mula digunakan sebagai bahasa penghantar pendidikan hanya pada peringkat Institusi Pengajian Tinggi, dan bahasa Melayu digunakan kembali sebagai bahasa penghantar Sains dan Matematik pada peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah.

Dalam pada itu satu keputusan yang longgar juga turut diberikan iaitu menjadikan keputusan UPSR 2008 sebagai penanda aras sama ada PPSMI akan diteruskan atau tidak dalam sistem pendidikan di Malaysia. Namun penanda aras ini juga bukan penentu yang objektif, sebaliknya bergantung kepada faktor-faktor lain dan persekitaran semasa. Di sini ternyata konsep persidangan meja bulat itu tidak wujud sebaliknya persidangan tersebut lebih kepada ruang lontaran emosi yang subjektif dan kabur. Pihak Kementerian Palajaran mahupun peserta persidangan tidak menetapkan masa dan fakta yang perlu diperbincangkan, sebaliknya melontarkan apa sahaja yang ingin mereka cakapkan tanpa memikirkan sama ada ia perlu atau tidak dalam mencapai keputusan yang konkrit demi kepentingan bangsa dan negara.

Secara tidak langsung dapat dilihat bahawa kesedaran untuk mempertahankan bahasa Melayu sebagai asas ketamadunan bangsa menjadi semakin goyah terutamanya daripada golongan mahasiswa atau pensyarah muda dari IPTS. Bahkan pihak Kementerian Pelajaran yang mewakili Kerajaan juga dilihat tidak mempunyai kesedaran yang teguh terhadap perjuangan mengukuh dan memperkasakan Dasar Kebangsaan yang dimaktub dalam Perlembagaan Malaysia khususnya dalam Fasal 152 dan 153. Perjuangan tulen daripada Kesatuan Guru Melayu Semenanjung, Persatuan Linguistik Malaysia dan lain-lain pejuang bahasa Melayu bukan sahaja tidak dihargai tetapi dimomokkan sebagai anti kemajuan dan anti kerajaan.

Kegagalan Kementerian Pelajaran memberikan keputusan yang tepat dan jelas menunjukkan bahawa agenda untuk mengekalkan bahasa Inggeris yang disokong oleh golongan vernacular cosmopolitant sedang berjalan dengan licin dan halus. Kesimpulan-kesimpulan yang diberikan dilihat tidak lebih daripada kecenderungan untuk mempertahankan pengekalan PPSMI yang telah gagal dan akan terus gagal dalam pembinaan generasi intelektual yang berteraskan keunggulan keperibadian yang tulen, dan bukannya intelektualisme tiruan yang membonceng konsep dan sistem intelektualisme orang (bangsa) yang lain.

Alasan pertama dahulu bahawa PPSMI akan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dilihat telah salah kerana peningkatan penguasaan bahasa Inggeris harus ditekankan melalui matapelajaran bahasa Inggeris atau sastera Inggeris bukan matapelajaran lain. Maka alasan yang diberikan sekarang ialah PPSMI dapat digunakan untuk memahami konsep sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Alasan ini memberikan lebih banyak kelucuan, memandangkan kegemilangan sains dan matematik dalam era tamadun Islam dahulu adalah kerana tokoh-tokoh sains dan matematik Arab-Islam memahami konsep sains dan matematik melalui bahasa ibunda mereka.

Begitu juga dengan zaman renaisans di Eropah, kegemilangan sains dan teknologi memuncak lantaran pemahaman terhadap konsep sains dan matematik tersebut difahami melalui bahasa ibunda mereka di Eropah. Bahkan berlaku penterjemahan buku-buku sains dan matematik dari bahasa Arab kepada bahasa Inggeris, Perancis atau Jerman bagi tokoh intelektual Eropah memahami konsep ilmu tersebut dengan lebih jelas. Begitu juga sebelumnya, apabila berlaku terjemahan besar-besaran buku-buku ilmu bahasa Yunani kepada bahasa Arab untuk membolehkan sarjana-sarjana Islam memahami dengan lebih jelas konsep sains dan matematik Yunani, hingga membolehkan mereka mengambil suai konsep-konsep tersebut bagi membangunkan tamadun Islam.

Pernahkah berlaku dalam sejarah sesebuah tamadun berdiri lantaran daripada pemahaman mereka terhadap konsep ilmu dalam bahasa asing?

Jepun yang berdiri sebagai negara dan bangsa yang maju dalam sains dan teknologi itu juga bangkit dengan pemahaman ilmu daripada terjemahan-terjemahan yang dibawa ke dalam bahasa Jepun melalui kejuruteraan semula mereka terhadap teknologi Barat yang dirungai-rungkai oleh mereka. Begitu juga China. Apatah lagi Rusia. Bahkan India yang dikatakan bangkit oleh penguasaan mereka terhadap ilmu sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris itu juga sebenarnya adalah anggapan yang salah. Pergi saja Hyderabab atau Delhi dan bertuturlah dalam bahasa Inggeris. Yang pasti anda tidak akan dipedulikan oleh pekedai-pekedainya. Tetapi cuba ucapkan sepatah dua bahasa Hindi, tentunya layanan yang akan diterima berubah dan berlainan sama sekali.

Lihatlah filem-filem Hindi, bandingkan penggunaan bahasa di dalamnya dengan filem Melayu. Jelas memperlihatkan filem Melayu jauh terkebelakang dalam penggunaan estetika bahasa. Ini adalah kerana filem Melayu ‘dungu’ dalam berbahasa Melayu. Penggunaan bahasa dalam filem Hindi adalah penggunaan bahasa aras tinggi yang penuh simbolik dan indah. Sementara penggunaan bahasa dalam filem Melayu yang diburukkan pula dengan cacamarba bahasa Inggeris pasar, lebih bersifat bahasa picisan. Ini adalah kerana sifat kecintaan bahasa ibunda yang amat tinggi pada bangsa India, telah membangunkan estetika bahasa yang membangunkan pula intelektualisme. Dari segi teknologi, India juga maju dengan kejuruteraan semula teknologi yang dirungkai dari Barat, tetapi mereka maju dengan pemahaman asas terhadap konsep ilmu melalui bahasa ibunda mereka sendiri.

Apakah kita benar-benar faham tentang konsep ilmu yang dibaca dan dipelajari melalui bahasa Inggeris? Jika kita faham berapa banyakkah enjin kereta atau kapalterbang yang kita bina, selain daripada memasang-masang ketul enjin yang dimport? Apa yang kita cipta dan capai daripada hasil ilmu yang kita fahami melalui bahasa Inggeris? Sebaliknya semakin hari kita semakin banyak dan kuat bergantung kepada Barat, lebih daripada sebelum kita kekal dengan Dasar Pendidikan yang menggunakan bahasa kebangsaan kita.

UMNO di tangan Mahathir telah membunuh bahasa Melayu. Tidakkah paradoks dan hipokrit namanya apabila UMNO yang membangkit-bangkit kaum lain sebagai pendatang dan tidak setara haknya dengan bangsa Melayu serta mengapi-apikan semangat Melayu tetapi membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap pembunuhan dan penghapusan bahasa Melayu, bahkan dilakukan oleh tangan mereka sendiri?

Melayu yang apa dan yang bagaimana, diperjuangkan oleh UMNO? Melayu yang memakai songkok dan mencium keris tetapi di lidahnya menjilat bahasa Inggeris dan meludah bahasa Melayu?

Mingguan Wasilah, 14-20 September

Friday, August 29, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

MAJLIS PEGUAM DAN BENIH KEBENCIAN

Tindakan Majlis Peguam menganjurkan beberapa forum yang mempertanyakan kembali asas-asas yang dipersetujui dalam membentuk negara yang kita kenali sebagai Malaysia pada hari ini, sebenarnya bukan sahaja satu bentuk tindakan yang tidak bijak tetapi juga melahirkan ancaman yang sangat merbahaya kepada kestabilan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ini. Dalam kata-kata Inggeris, ia disebut seperti menggolekkan bola salji dari atas ke bawah. Bola salji kecil yang bergolek dari atas akan mengaut salji hingga menjadi besar dan besar, seterusnya menghentam serta memusnahkan apa-apa yang ada di bawah. Tindakan Majlis Peguam mengadakan forum ‘Memeluk Islam’ dan sebelum ini ‘Kontrak Sosial’ tidak lebih daripada menggolekkan bola salji tadi. Apabila berlaku sesuatu yang di luar dugaan, seperti yang dimaklumi orang yang menggolekkan bola salji (di atas) tidak menerima kesan sebaliknya sesiapa yang di bawah (rakyat awam yang tidak bersalah) yang menerima bahananya.

Sebelum memperkatakan tentang ‘kejahilan dan keangkuhan’ Majlis Peguam ini, ingin dibelek satu perkara untuk difikirkan kemungkinan paling buruk yang boleh berlaku pada hari forum tersebut. Dapatkah pimpinan Majlis Peguam yang kononnya demokratik dan bijak itu membayangkan bagaimana sekiranya pada hari protes dan demonstrasi penuh emosi BBK Melayu dan BBK Islam, tiba-tiba muncul kelompok daripada Hindraf atau demontrans daripada kalangan kaum Cina DAP atau sebagainya yang menyokong forum terbabit. Dapatkah Majlis Peguam yang bijak itu bayangkan apakah yang akan terjadi jika dua kumpulan berbeza kaum dan agama serta saling bertentangan itu bertembung? Bukankah satu bencana pertumpahan darah yang tidak mahu kita bayangkan akan berlaku? Apakah Majlis Peguam yang bijaksana itu pernah memikirkan implikasi sosial yang buruk dan merbahaya seperti ini di dalam kepala otak demokrat mereka?

Menuduh orang Melayu emosi dan tidak rasional sebenarnya adalah tuduhan yang dungu. Bayangkan jika umat Islam mengadakan forum menyanggah agama Hindu di India? Bukankah ledakan bom dan keganasan yang melibatkan ratusan atau ribuan nyawa akan berlaku? Ini telah dibuktikan dengan tindakan melampau penganut Hindu yang menyerang dan membunuh ribuan orang Islam di India. Apakah kita dapat membayangkan sebuah negara yang dikatakan antara yang paling demokratik di dunia itu juga hilang pertimbangan apabila menyentuh persoalan agama dan kaum. Juga cuba bayangkan jika forum yang menyanggah agama Kristian atau memperkatakan tentang kritikan orang Islam terhadap Kristian atau sistem politik sekular di Britain, Australia, Jerman, Peranchis, Itali, Sepanyol bahkan Amerika Syarikat sendiri. Tentunya masjid akan menjadi sasaran serangan dilontar babi dan bom, sementara orang islam diserang di jalan-jalan raya. Ini telah berlaku pun di Britain, Australia, negara Eropah dan Amerika Syarikat yang dikatakan paling rasional, demokratik dan paling tinggi hak asasinya itu.

Majlis Peguam dalam hal ini dilihat amat tidak matang dalam memahami asas dan falsafah demokrasi khususnya dalam konteks Malaysia. Memperjuangkan hak minoriti adalah tanggungjawab mulia setiap orang, intitusi dan masyarakat. Islam juga adalah agama yang bermula dengan memperjuangkan hak minoriti dan keadilan untuk semua khususnya mereka yang lemah dan tertindas. Namun dalam negara yang kompleks persoalannya, khususnya negara yang tiba-tiba bangun untuk menjadi ‘negara semua orang’ dengan mengetepikan bangsa asal yang berdaulat ke atasnya amat perlu melihat kepada ‘pertimbangan keutamaan’. Setiap negara mempunyai keutamaan dalam memastikan ikatan asas yang membinanya diberi perhatian lebih daripada segala-galanya. Keutamaan dalam negara Malaysia yang kompleks ini ialah memahami dan menjaga asas yang mengikat semua bangsa dan kaum untuk menjadi rakyat yang setia kepada satu negara ini. Asas ini ialah konsensus yang dipersetujui dan akhirnya menjelma menjadi hakikat nyata yang kita sebut sebagai Perlembagaan Negara Malaysia.

Apabila Majlis Peguam tidak mahu lagi menghormati Perlembagaan yang terhasil daripada persetujuan semua ini, maka mereka tentulah melakukan satu bentuk tindakan devians yang melanggar nilai dan norma masyarakat. Tindakan ini dikatakan devians kerana terbukti ialah telah mendatangkan satu natijah yang amat buruk dalam senario hubungan kaum di Malaysia sekarang ini. Senario ini ialah perasaan curiga dan benci membenci yang kini membenih dalam jiwa masyarakat Malaysia yang pada satu ketika dalam PRU12 telah menunjukkan semangat rasional yang tinggi, melangkaui sentimen perkauman yang berakar selama 50 tahun dahulu.

Tindakan Majlis Peguam pada hari ini telah mengembalikan masyarakat Malaysia ini ke belakang, iaitu kembali menanam semangat curiga dan benci membenci antara kaum. Orang-orang Islam sedang melihat orang bukan Islam dengan penuh marah kerana ‘menghina Islam dan bangsa Melayu’, dan orang bukan Islam sekarang juga sedang melihat orang Islam khususnya orang Melayu dengan penuh benci kerana ‘memaksakan Islam dan Melayu’ ke atas mereka. Sekurang-kurangnya sedikit perasaan ini ada bermain di kalangan rakyat Malaysia yang sedang melangkah ke arah era perpaduan dan cinta damai, tetapi tiba-tiba tergencat dengan insiden kedemokratikan Majlis peguam. Inilah hasil yang paling jelas berjaya dicetuskan oleh tindakan demokratik Majlis Peguam tersebut.

Majlis Peguam tentunya merasakan apa yang mereka lakukan ialah sesuatu yang membawa rakyat ke arah cita-cita demokrasi yang tulen. Tetapi sebenarnya apa yang berlaku ialah mereka sedang menghancurkan demokrasi dengan mengembalikan masyarakat kepada era kecurigaan dan kerengganan perkauman. Inilah adalah kerana mereka tidak mengkaji implikasi sosial yang tentunya banyak dipengaruhi oleh iklim ekonomi, keadaan masyarakat, dan situasi politik. Ekonomi yang lemah banyak menekan masyarakat dan tekanan ini akan cepat mencetuskan api hatta daripada isu-isu yang kecil. Masyarakat Malaysia masih mempunyai hubungan kaum yang bersifat kosmetik, dan ia akan cepat terlerai apabila diasak oleh provokasi dan sentimen. Sementara situasi politik yang panas pula giat untuk memainkan apa sahaja isu dalam mempertahankan atau memperolehi kuasa yang menjadi rebutan.

Majlis Peguam yang kini dibarisi oleh kepimpinan yang diacu oleh pemikiran dan ideal Barat, lebih melihat Malaysia dalam cita-cita model Barat mereka. Lantaran itu mereka tidak mampu untuk melihat hakikat sebenar masyarakat di Malaysia, khususnya dalam konteks hubungan kaum yang masih lemah dan kecurigaan yang bersarang jauh di lubuk hati. Hubungan kosmetik ini boleh saja mencetuskan sentimen dan tindakan di luar jangkaan. Majlis Peguam sepatutnya perlu terlebih dahulu menilai tahap kesediaan mana-mana golongan masyarakat untuk menerima cercaan terhadap agama dan bangsa mereka – yang tentunya tidak ada mana-mana bangsa dan agama di Malaysia ini yang mempunyai tahap kesediaannya.

Orang Melayu-Islam mempunyai banyak luka yang masih berbebat akibat daripada kontrak sosial yang mereka meterai demi menjadikan Tanah Melayu sebagai Malaysia. 50 tahun masih terlalu awal untuk luka tersebut hilang parutnya,bahkan darahnya juga sesekali tertekan dan masih menitis lagi. Memahami pengorbanan orang Melayu dan memberikan sedikit terima kasih yang tidak pernah mereka perolehi sehingga kini mungkin boleh mempercepatkan baiknya luka mereka. Melukakan orang Melayu terus-terusan bukan satu tindakan yang baik untuk membina sebuah negara dalam ‘negara mereka’. Bahkan mencemuh dan merendahkan orang Melayu juga bukanlah cara untuk mengucapkan terima kasih dan membina hubungan kaum yang lebih hormat menghormati.

Kita, tanpa mengira kaum dan agama perlukan sebuah negara. Tetapi mengapakah tangan kita sendiri yang kita gerakkan untuk meruntuhkan negara dengan membiarkan golongan elit menggolekkan bola salji itu semahu mereka?

Mingguan Wasilah
, 24-30 Ogos 2008

DUNIA TANPA TIRAI

UMNO DAN PERSATUAN-PERSATUAN MELAYU

Hasil daripada rasa tidak puas hati orang Melayu terhadap Malayan Union yang mula diisytiharkan pada 10 Oktober 1945 di London dan dilaksanakan dengan tibanya Sir Harold MacMichael di Tanah Melayu pada 12 Oktober 1945 telah membangkitkan semangat penyatuan Melayu. Apabila orang Melayu faham akan natijah Malayan Union ini maka pada 20 November 1945, lapan buah persatuan Melayu di Johor telah bergabung membentuk Liga Melayu Johor. Pada 3 Januari 1946 Gerakan Melayu Semenanjung telah ditubuhkan di bawah pimpinan Dato’ Onn Jaafar. Dua perkara penting yang menjadi isu besar bagi orang Melayu di sini ialah penghapusan kedaulatan sultan-sultan Melayu dan pemberian hak kerakyatan menerusi prinsip jus soli.

Pada 1-4 Mac 1946 satu persidangan pertubuhan-pertubuhan Melayu telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru bagi menyatupadukan orang Melayu untuk menentang Malayan Union. Persidangan ini dihadiri oleh 41 buah pertubuhan Melayu dari seluruh semenanjung. Wakil-wakil pertubuhan ini akhirnya sepakat bersetuju menggabungkan pertubuhan-pertubuhan Melayu ini dan menamakannya sebagai Kongres Melayu Se-Malaya. Kongres mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah parti politik Melayu yang kuat. Pada 11 Mei 1946 dalam satu persidangan di Johor Bharu, Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) telah ditubuhkan. Dalam bahasa Inggerisnya disebut sebagai UMNO (United Malay National Organisation). Dengan tertubuhnya UMNO maka Kongres Melayu Se-Malaya dibubarkan.

Rentetan ini memperlihatkan bahawa UMNO ditubuhkan oleh pertubuhan atau persatuan Melayu yang pada ketika itu bergerak secara sukarela. Dalam ertikata lain, UMNO ditubuhkan oleh badan-badan bukan kerajaan (BBK) iaitu NGO (dalam bahasa Inggeris yang lebih difahami dalam konteks Malaysia sekarang). Apabila UMNO melalui keputusan Majlis Tertingginya menjemput BBK Melayu sekitar bulan Julai 2008 baru-baru ini, maka terlihat usaha untuk UMNO kembali kepada asal sejarahnya. BBK Melayu melihat usaha UMNO ini sebagai tindakan positif untuk memulihkan kembali kepercayaan orang Melayu. Namun apabila berlalu sekian lama, ternyata pertemuan tersebut hanyalah sekadar pertemuan kosong yang ad hominem sifatnya.

UMNO kembali kepada sifat angkuhnya yang memandang kecil kepada suara rakyat. Sememangnya dalam pertemuan tersebut terlalu banyak masalah yang ditimbulkan oleh BBK Melayu yang adakalanya terkeluar daripada skop tujuan pertemuan. Namun luahan dan pandangan BBK Melayu ini sekurang-kurangnya memperlihatkan kesediaan BBK Melayu untuk masih menerima UMNO sebagai wadah perkongsian perjuangan mereka. Antara perkara penting yang ditimbulkan dalam pertemuan tersebut ialah keprihatinan UMNO terhadap kesombongan oleh kuasa yang dimilikinya, ekonomi orang Melayu dan pengembalian bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar matapelajaran Sains dan Matematik. Suara daripada Kesatuan Guru Melayu Semenanjung telah membuktikan bahawa pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris merugikan orang Melayu, bahkan semakin memundurkan orang Melayu apabila mereka ditinggalkan jauh oleh kaum lain dalam dua subjek berkenaan akibat faktor bahasa.

Sehingga kini UMNO yang masih ingin mempertahankan dosa Mahathir terus mengekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bukan sahaja untuk kedua-dua subjek tersebut tetapi berkembang kepada subjek-subjek lain secara tidak langsung, khususnya di IPTA. Apabila UMNO menyedari kesilapan dungu Mahathir dalam penggunaan bahasa Inggeris, seharusnya UMNO memperbetulkan dengan segera agar kedunguan lepas itu tidak menjadi satu sifat yang kekal kepada UMNO. Namun sehingga kini Hishamuddin masih mengekalkan kedunguan dan pengkhianatan tersebut. Sebenarnya dalam soal bahasa Melayu ini, sudah tidak ada bahasa yang baik lagi untuk diberikan kepada UMNO lantaran sudah ribuan pertemuan dan bantahan orang Melayu terhadapnya tetapi UMNO masih berdegil mengekalkan kedunguan warisan Mahathir itu.

Pertemuan dengan BBK Melayu seharusnya menjadi wadah untuk UMNO melihat kembali ke akar sejarah dan perjuangannya. Tanpa BBK UMNO tidak akan wujud untuk berkuasa di tanah orang-orang Melayu ini. Dalam pertemuan tersebut beberapa janji UMNO telah diberikan iaitu; memecahkan BBK Melayu ke dalam kumpulan kecil mengikut bidang masing-masing dan dengan itu segala masalah akan lebih diperhalusi; menyediakan geran serta bantuan seperti premis pejabat contohnya bagi urusan pentadbiran serta kegiatannya; dan akhirnya melibatkan BBK Melayu dalam keputusan berkenaan kepentingan orang Melayu pada peringkat Majlis Tertinggi UMNO.

Membahagikan BBK Melayu mengikut bidang masing-masing bagi menilai dan memperhatikan secara lebih halus dan terperinci masalah orang Melayu adalah langkah yang baik dalam menangani pembangunan bangsa Melayu. Ini menjadikan UMNO sebagai parti yang mewakili orang Melayu yang bersama-sama turun ke padang dan bukannya parti yang bersenda dengan retorik dan omongan kosong di kaca televisyen dan akhbar. Menyediakan geran tahunan dan bantuan fasiliti adalah usaha untuk kembali melihat sejarah asal usul UMNO yang lahir daripada BBK Melayu, yang tentunya faham akan kemampuan dan kemudahan yang perlu untuk menggerakkan sebuah badan sukarela demi kepentingan bangsa itu. Sementara melibatkan BBK dalam sebarang keputusan UMNO yang akan dibawa kepada keputusan kerajaan memberikan suara rakyat yang sebenarnya. Jika ini yang diamalkan oleh UMNO, tentunya seorang Mahathir yang autokratik itu tidak akan muncul lagi dalam sejarah UMNO dan khususnya sejarah Malaysia!

Tetapi setelah pertemuan tersebut, segala rasa tidak puas hati BBK Melayu yang dilontarkan tinggal sepi untuk membuktikan kesombongan UMNO terhadap kuasa yang dimilikinya. Bahkan lebih buruk lagi UMNO melupakan asal usulnya yang lahir daripada gabungan BBK iaitu pertubuhan dan persatuan sukarela Melayu pada tahun 1940-an tersebut. UMNO perlu menyedari walaupun BBK Melayu yang hadir itu terlalu rencam dan pelbagai masalahnya namun sekurang-kurangnya mereka menghormati antara satu sama lain dalam menjaga kepentingan orang-orang Melayu. Ini membuatkan BBK Melayu lebih ke hadapan daripada UMNO dalam soal perpaduan orang Melayu.

Jika UMNO tidak mengambil sebarang langkah susulan yang wajar dan konstruktif, BBK Melayu ini akan menjadi wadah yang besar kepada gelombang penolakan kedua UMNO untuk PRU13 nanti. UMNO telah melihat kesan daripada keputusan padu (solid) orang Cina dan India menolak MCA, GERAKAN dan MIC. Gerakan penolakan ini juga lahir daripada reaksi BBK mereka seperti Persatuan Pendidikan Cina, Hindraf dan sebagainya. Bagaimana jika orang Melayu mengambil keputusan padu untuk menolak UMNO pada PRU13 nanti?
Dengan itu UMNO perlu mengambil tindakan segera dengan langkah pertamanya Hishamuddin perlu mengisytiharkan pengembalian bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik tanpa dolak dalih lagi. Itu yang terlebih dahulu perlu dilakukan bagi memperlihatkan kesungguhan dan kejujuran UMNO dalam memperjuangkan maruah serta martabat bangsa Melayu.

Mampu dan beranikah UMNO memperjuangkan bahasa Melayu?

Orang Melayu sedang menanti jawapan UMNO untuk mengambil keputusan besar bagi menentukan sejarah UMNO beberapa tahun mendatang ini.


Mingguan Wasilah, 17-23 Ogos 2008

Wednesday, August 27, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

TITIK PERTEMUAN UNTUK KE MANA?

Pertemuan UMNO dengan PAS tidak kira di atas nama muzakarah atau muqabalah mula dimainkan oleh media berbahasa Melayu dengan gencar. Tetapi tidak begitu dalam media berbahasa Inggeris yang memberikan perhatian kecil, dan lebih melihat kepada isu Anwar dan ekonomi yang sedang mengalami kejatuhan yang teruk. Ada dua fungsi media yang dapat dilihat di sini. Pertama, mengalihkan perhatian rakyat daripada kesan yang akan membuat mereka gelisah dan marah dengan menyuntik sentimen yang mengkhayalkan. Kedua, membawa perhatian rakyat kepada masalah utama mereka.

Akhbar berbahasa Melayu arus perdana sepertikan sedang cuba mengalihkan perhatian rakyat daripada melihat kelemahan kerajaan dan kemenguncupan ekonomi yang sedang menyaksikan melambungnya kadar inflasi serta kejatuhan besar sektor ekonomi. Maka itu satu suntikan yang membawa bius menjalarkan sentimen bangsa yang mengkhayalkan rakyat perlu segera dimasukkan ke dalam kepala rakyat untuk menggelapkan pandangan mereka terhadap malapetaka ekonomi ini. Sentimen ini selain daripada menawarkan khayalan penyatuan Melayu, ia juga seterusnya mengembalikan mitos UMNO sebagai parti suci dan keramat orang Melayu. Layar fiksi ini mungkin dapat mengalihkan kesengsaraan rakyat sebagaimana filem-filem Bollywood yang bergerak di atas kayangan tarian dan cinta itu dapat mengalihkan sebentar masyarakat bawahan di India daripada hakikat keperitan hidup.

Sementara akhbar berbahasa Inggeris cuba memberikan fokus kepada hakikat kelemahan kerajaan bukan sahaja dalam mengatasi kemelesetan ekonomi daripada laporan peningkatan drastik kadar inflasi tetapi juga kegagalan memisahkan badan eksekutif daripada badan legislatif, melalui berita muka hadapan kenyataan akhbar Anwar Ibrahim. Badan eksekutif masih cuba menguasai badan perundangan termasuk mahkamah, polis dan BPR. Mungkin andaian ini salah, namun perkembangan terbaru kes liwat Anwar Ibrahim dan pembicaraan Altantuya banyak memainkan peranan dalam melihat hakikat ini.

Pertemuan UMNO-PAS bukanlah satu isu besar untuk masa sekarang ini. Tidak mungkin ada keinginan daripada UMNO untuk melepaskan kuasa dalam genggaman terakhir mereka kepada PAS, apatah lagi berkompromi dengan banyak perkara yang bukan sahaja merugikan kepimpinan atasan UMNO bahkan mungkin membawa sebahagian besar kepimpinan atasan UMNO ini dalam siasatan BPR dan polis. Ini juga satu andaian yang mungkin benar atau mungkin tidak. Dan tidak mungkin juga ada keinginan daripada UMNO untuk berjuang dengan jujur atau ‘berjihad’ terhadap kepentingan Melayu. Sebagai contoh isu pengagihan biasiswa, bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sains dan matematik, serta tindakan Gerakan menghina bahasa kebangsaan disapu di bawah tikar oleh UMNO demi kepentingan politik dan kepimpinan UMNO, dan bukannya demi kepentingan orang Melayu. Ini bukan andaian, tetapi hakikat.

Isu besar ialah melambungnya kadar inflasi oleh kesan kenaikan harga minyak yang akan menyaksikan rentetan malapetaka ekonomi yang lain. Marx Weber mempunyai kepercayaan bahawa ekonomi adalah agen utama kepada perubahan sejarah yang berskala besar. Lalu di sini perubahan sejarah yang besar sedang menanti di muka pintu, melihat kepada pergerakan ekonomi yang sedang mengubah sisi dunia dan turut mengubah topografi politik Malaysia. Isu Anwar juga bukan isu yang besar jika ia hanya satu isu moral, tetapi menjadi besar apabila ia mula mengaitkan ‘suasana’ yang berlaku pada tahun 1997-1998 yang turut melihat keterkaitan dengan faktor ekonomi-politik. Perubahan berskala besar akan berlaku dalam dunia politik Malaysia, jika pergerakan ekonomi yang terus menghala ke lubang gelap ini tidak disekat atau berubah. Kepimpinan negara yang diterajui oleh UMNO menyedari keadaan ini. Maka itu langkah-langkah terdesak untuk mengalihkan perhatian dilakukan dengan gencar, dan dalam masa yang sama bertungkus lumus cuba memberhentikan gerabak ekonomi yang sedang melaju jatuh ke lubang gelap.

Apa yang dilakukan oleh UMNO melalui propaganda media sekarang ialah cuba memperlihatkan bahawa pertemuan UMNO-PAS adalah perkara yang maha penting dan puncak kepada penyelamatan bangsa Melayu. Sehingga seluruh perbicaraan para pemimpin UMNO hanya tertumpu kepada pertemuan maha suci ini. Sehingga seluruh kerja para pemimpin UMNO hanya tertumpu kepada menjayakan pertemuan maha suci ini. Tetapi pernahkah kita bertanya untuk ke mana pertemuan ini? Penyatuan Melayu? Pengukuhan semula kuasa UMNO? Pemecahan PAS dari Pakatan Rakyat? Atau mengembalikan Malaysia ke era kesultanan Melayu abad ke-15?

PAS mungkin mengharapkan bahawa pertemuan ini akan memberikan penegasan terhadap hak agama Islam yang banyak dimainkan oleh pihak tertentu pada masa sekarang ini. Soal murtad, isu kalimat Allah, upaya mengurangkan kuasa mahkamah syariah, penyamataraf agama-agama lain dengan agama Islam, halangan membina surau, pembinaan kuil yang melanggar garis panduan dan sebagainya yang meletakkan PAS dalam keadaan untuk bertindak. Jika itu yang dilihat oleh PAS, maka tujuan pertemuan tersebut adalah cita-cita semua orang Melayu dan orang Islam di Malaysia ini. Tetapi jika PAS melihat pertemuan ini sebagai jalan politik yang lain, PAS juga perlu menyedari bahawa majoriti pemeluk Islam yang paling ramai di Malaysia ialah masyarakat Cina yang bertambah dengan kadar yang besar dari setahun ke setahun. Masyarakat Cina yang memeluk Islam telah meningkat dari 11, 570 orang (1967-1975) kepada 40,089 orang (1980-1990). Angka ini semakin bertambah untuk dekad ini. Sebahagian besar daripada Cina Muslim ini masih meletakkan diri mereka sebagai bangsa Cina, tetapi menghayati Islam sebagai agama kecintaan mereka. Begitu juga dengan India Muslim dan lain-lain.

Bagaimana PAS ingin meletakkan masyarakat Islam bukan Melayu ini jika mereka menumpukan Islam kepada sebuah lorong asabiyyah yang sempit. Apakah PAS hanya Islam untuk Melayu sahaja?


Mingguan Wasilah, 10-16 Ogos 2008

Saturday, August 9, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

MUZAKARAH UMNO-PAS UNTUK MELAYU ATAU UMMAH?

Ibnu Khaldun menyatakan bahawa kepimpinan harus berdiri di atas kekuatan asabiyyah, iaitu masyarakat yang diikat oleh persamaan nasab, keturunan dan kaum. Ini adalah kerana hubungan seketurunan dan sebangsa akan menimbulkan perasaan cinta antara mereka seterusnya memupuk sikap memelihara, membela dan mempertahankan sesama mereka. Walaupun asabiyyah ini menimbulkan perasaan taksub terhadap kaum atau bangsa mereka, tetapi perasaan taksub inilah yang menjadikan kekuasaan atau kepimpinan itu bertambah kukuh. Bagaimanapun Ibnu Al-Farabi melihat kepimpinan itu harus berdiri di atas kekuatan ummah yang berevolusi daripada kepelbagaian unit dan kelompok hingga tiba kepada tahap masyarakat yang sempurna yang disebut beliau sebagai Ahl al-Ma’murah. Dalam konsep ummah ini Al-Farabi merujuk kepada ‘dunia’ iaitu kepelbagaian bangsa, suku kaum, menganut aneka kepercayaan, budaya yang berlainan, bahasa yang berbeza dan pelbagai aliran pemikiran.

Apabila timbul isu berkenaan muzakarah UMNO-PAS demi melihat kepada perpaduan serta kepentingan Melayu dan Islam, konsep asabiyyah dan ummah ini menjadi perkara yang menarik untuk dilihat. UMNO melihat kepimpinan harus berdiri di atas kekuatan bangsa yakni bangsa Melayu. Sedangkan PAS walaupun juga merujuk kepada Melayu-Islam, namun secara umumnya menekankan tentang cita-cita negara Islam yang tentunya melihat kepada kekuatan ummah. Namun definisi ummah yang dirujuk oleh PAS memberikan banyak tafsiran. Adakalanya mengikut keperluan siasah.

Melihat daripada perkembangan politik UMNO-PAS, hubungan kedua-dua entiti politik Melayu-Islam ini mempunyai pasang surut yang agak unik. Bagaimanapun pada era Mahathirime, UMNO di bawah Mahathir telah mencipta imej PAS sebagai ‘Islam radikal atau Islam fundamentalis’ melalui propaganda yang cuba memperlihatkan PAS sebagai parti yang selari dengan kumpulan radikal-militan Islam. Keghairahan Mahathir untuk menghitamkan wajah PAS ini secara tidak langsung telah mencalar imej Islam pada pandangan masyarakat khususnya masyarakat bukan Islam di Malaysia. Sehingga akhirnya perkataan Islam itu menjadi satu ketakutan kepada bukan-Islam. Perkataan PAS dan negara Islam telah membuatkan kekalahan bukan sahaja PAS di tangan bukan Islam tetapi juga kekalahan besar DAP yang pada masa itu cuba membentuk pakatan pembangkang.

UMNO di bawah Mahathir telah menjadikan imej Islam (PAS) dilihat sebagai ancaman terhadap pembangunan dan perpaduan bangsa serta kestabilan negara di Malaysia ini. Orang bukan Islam di Malaysia melihat PAS sebagai sebuah gerakan fundamentalis yang difahami dalam konteks Barat, iaitu penaja keganasan dan memusuhi agama lain. Dari sudut yang lain, Islam mula dilihat dengan penuh curiga. Tujuan Mahathir tidak lain ialah untuk melemahkan saingan politik terbesar UMNO iaitu PAS, namun tindakan itu malangnya telah mencalar dan menyerang Islam secara keseluruhannya. Namun fahaman Machievalian Mahathir tentunya menghalalkan segala cara demi mencapai matlamat kekuasaannya.

Kini PAS berjaya melepasi segala ujian dan rintangan dari period yang sukar itu dan akhirnya teguh membina kekuatannya yang tersendiri – menyebati dengan Islam yang syumul, melalui kejayaannya membentuk Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP. PAS dalam wajah barunya yang mampu menawarkan kerjasama dengan DAP memperlihatkan keterbukaan Islam terhadap bukan Islam, sekaligus telah berjaya membetulkan persepsi masyarakat umum terhadap Islam yang selama ini banyak dikotori oleh propaganda buruk yang memenuhi tujuan politik pihak tertentu. Islam mula dilihat sebagai agama yang cintakan keadilan tanpa mengira bangsa dan agama lain, sebagaimana Islam dalam hakikat yang sebenarnya.

Pak Lah adalah seorang pemimpin yang mempunyai latar belakang peribadi yang baik, dan tentunya melihat Islam dan politik dalam kaca mata yang berbeza dengan pemimpin sebelumnya. Maka niat Pak Lah mungkin terkandung kebaikannya, kerana Pak Lah tidak pernah berlaku sepertimana Mahathir untuk menggunakan Islam sebagai alat mainan politik. Namun perlu disedari, Pak Lah tetap pemimpin yang mewakili UMNO yang melihat bahawa kepimpinan harus dibina di atas kekuatan bangsa. Dalam pada itu pula, pemimpin-pemimpin UMNO yang lain segelintirnya masih bergelumang dengan kekotoran peribadi dan minda politik mahathirisme mereka. Ini banyak memberi kesan kepada kejujuran UMNO.

Ini berbeza dengan pandangan Tuan Guru Nik Aziz yang melihat Islam dalam konteks ummah. Kepimpinan bagi Nik Aziz harus berdiri di atas kekuatan Islam, dan Islam melihat kepada kesejahteraan ummah (ummah fadilah) tanpa melihat kepada stigma kaum atau bangsa. Sikap ini mungkin melihat kepada konsep al-ma’murah al-fadilah yakni melihat kepada sikap masyarakat yang bersifat tolong-menolong (ta’awun) untuk memperolehi kebahagiaan. Pandangan ini bersifat kulli, iaitu tidak membataskan kepada sempadan kaum, budaya dan agama, bahkan menerima semua manusia sebagai ummah yang besar.

Mungkin bagi Nik Aziz, dengan Islam yang kulli ini, tidak mustahil orang bukan Islam akan melihat Islam dalam hakikatnya yang sebenar sebagai agama yang adil dan cintakan keamanan dan seterusnya meletakkan diri mereka untuk bersatu di bawah panji Islam. Nik Aziz mungkin tidak mahu setelah PAS berjaya bangkit sebagai matlamat kebaikan di mata bukan Islam, tiba-tiba menyempit dalam asabiyyah yang akan mengembalikan persepsi bukan Islam terhadap imej Islam dahulunya yang sering dikaitkan dengan sentimen dan chauvinistik.

Muzakarah dalam bentuk apa sekalipun tentunya membawa cita-cita yang baik. Namun apabila media mula mengeluarkan kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak bijak bersama pemimpin parti komponen BN (bukan Melayu) yang tiba-tiba ingin melihat perpaduan Melayu, maka ia menjadi satu paradoks. Cuba memperlihatkan keprihatinan terhadap perpaduan Melayu tetapi dalam masa yang sama tidak dapat menyembunyikan keinginan untuk melihat Pakatan Pembangkang menjadi pecah.

PAS secara peribadinya mampu menyelesaikan masalah orang Melayu khususnya, juga orang Islam secara keseluruhannya (ramai bukan Melayu yang beragama Islam dan tertarik kepada Islam) melalui hubungan baik yang mula terbentuk bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat mereka. Muzakarah dengan UMNO mungkin akan memberikan kekuatan kepada perpaduan Melayu-Islam, tetapi tentunya memberi kesan terhadap hubungan Melayu-Islam dan bukan Islam dalam konteks Malaysia. PAS perlu memberikan definisi yang jelas terhadap perjuangan keadilan ummahnya. Islam tentunya bukan hanya untuk satu bangsa (Melayu) sahaja tetapi untuk semua bangsa yang wujud di dunia ini.
Keghairahan beberapa pemimpin UMNO dan parti komponen BN mengeluarkan kenyataan melahirkan freudian slip, iaitu mempamerkan secara tidak sedar niat mereka untuk menunjukkan PAS sebagai rakan yang membelakangkan kepentingan rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat. PAS secara tidak langsung, daripada pendedahan yang dikeluarkan diperlihatkan membuat rundingan secara sembunyi sekaligus memperlihatkan sikap tidak jujur PAS (orang Islam?). Islam adalah agama para pemberani, yang menyerahkan diri (aslama) diri mereka dengan penuh yakin kepada kekuatan dan kebesaran Allah s.w.t. Dengan itu mereka harus teguh berpegang setia kepada janji dan melakukan tindakan secara berdepan, hatta jika mereka berjanji dengan musuh sekalipun.

Niat dan cita-cita baik pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS yang jujur akan memberikan natijah lain, jika ada pihak mula melihat muzakarah ini sebagai senjata politik untuk mencapai kepentingan serta tujuan politik yang tidak putus-putus bersifat runtuh meruntuhkan itu. Untuk itu PAS perlu bertanya kepada diri mereka;
PAS adalah Islam untuk Melayu atau PAS adalah Islam untuk ummah?

Mingguan Wasilah, 3-9 Ogos 2008

Monday, August 4, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

DEMOKRASI DAN RUANG AWAM

Terlebih dahulu ucapan tahniah harus diberikan kepada Ahmad Shabery Chek di atas keberanian dan keterbukaan beliau untuk berdebat dengan Anwar Ibrahim di pentas terbuka. Masyarakat sebenarnya tidak harus menilai soal siapa menang atau siapa kalah dalam perdebatan ini. Soal kalah menang itu adalah soal yang sangat subjektif. Namun apa yang penting ialah keterbukaan kerajaan di atas inisiatif Ahmad Shabery Chek untuk mewujudkan sebuah ruang awam yang memberikan ruang kepada perdebatan dan perbincangan yang sihat. Jika ingin juga dilihat siapa yang menang, maka Ahmad Shabery lah yang menang kerana membuktikan keberanian beliau untuk membuka ruang awam yang tertutup selama beberapa dekad sejak Mahathir Mohamad mula mengambil alih pemerintahan negara.

Ibnu Khaldun menyatakan bahawa kehancuran sesebuah negara atau kekuasaan itu akan terjadi apabila para penguasanya terhumban melakukan dosa-dosa sejarah. Dosa-dosa sejarah yang dimaksudkan di sini adalah kecenderungan para penguasa untuk hidup dalam kesombongan, kekuasaan, kemewahan dan kesantaian apabila telah mendapat kemapanan kuasa. Selama beberapa dekad, UMNO di bawah Mahathir Mohamad telah melakukan dosa-dosa sejarah ini, dan pada penghujungnya terlihat keruntuhan yang mula hadir. Namun malangnya keruntuhan yang berlaku terpaksa ditanggung oleh pengganti Mahathir. Abdullah Badawi terpaksa menanggung dosa-dosa sejarah yang dilakukan oleh Mahathir dan terpaksa bertungkus lumus untuk membawa negara kembali ke landasan demokrasi yang dipunyai oleh rakyat dan bukan hanya dipunyai oleh penguasa.

Pak Lah mungkin gagal dari segi mengemudikan ekonomi terutamanya dalam soal kenaikan harga minyak secara mendadak dan tidak mempertimbangkan gelombang kemelesetan besar yang akan menghempas negara akibat tindakan itu. Namun dari satu sudut, Pak Lah banyak mengembalikan roda-roda demokrasi ke landasannya kembali. Maka keterbukaan dan keberanian Ahmad Shabery untuk membuka ruang debat seterusnya mewujudkan ruang awam itu adalah usaha terbaru untuk meletakkan roda-roda demokrasi yang tergelincir sejak lama itu kembali ke landasan yang betul.

Dengan wujudnya ruang awam yang sebegini maka dosa-dosa sejarah iaitu kecenderungan para penguasa untuk hidup dalam kesombongan, kekuasaan, kemewahan dan kesantaian oleh kerana kuasa mereka yang mapan itu dapat dihindarkan. Adalah baik jika debat dan keterbukaan ini turut diambil bahagian oleh menteri-menteri yang lain. Ini selain daripada menjauhkan diri mereka daripada kesombongan dan kesantaian oleh kuasa, juga akan membawa para menteri ini lebih rapat kepada rakyat. Dalam pada itu ia akan memperlihatkan kemampuan serta kapasiti para menteri dalam memimpin negara. Tahniah kepada Ahmad Shabery kerana telah menunjukkan kapasiti sebagai seorang menteri yang bertanggungjawab dan mengetahui masalah negara dalam debat tersebut. Walaupun kelemahan beliau agak terlihat kerana tidak menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Anwar, namun kesanggupan beliau untuk berhadapan dengan ‘rakyat’ adalah tindakan yang boleh dipuji.

Ruang awam muncul daripada pandangan Jurgen Habermas yang menyatakan bahawa dalam sesebuah negara yang ‘diperintah oleh rakyat’, rakyat harus meletakkan diri mereka sebagai subjek, dan bukan objek. Untuk maksud ini, maka perlu wujud perkembangan komunikasi antara manusia (rakyat/ warganegara/ pemimpin) secara terus menerus melalui debat dan perbincangan bebas tentang sistem serta amalan yang berlaku dalam kehidupan mereka. Maka dalam setiap debat dan perbincangan itu pendebat bukan bertujuan untuk menjatuh atau mengalahkan lawan mereka tetapi bertujuan menemukan kebenaran yang merangkumi pengetahuan teoritis dan pengetahuan praktis. Kepentingan sebegini mengarah kepada tanggungjawab mundigkeit, iaitu keadaan di mana seseorang itu boleh berkomunikasi bebas daripada batasan atau kekangan kekuasaan mahupun larangan yang wujud secara tidak sedar dalam dirinya sendiri.

Ini bertepatan dengan apa yang dikatakan, “democracy is a work when the opinions of many different publics clash openly and fairly over government policy”. Ruang awam yang membuka ruang kepada perdebatan yang sihat ini adalah proses sosialisasi politik (political socialization) iaitu membawa kesedaran politik kepada segenap lapisan masyarakat. Dengan itu semua rakyat mempunyai hak dan pengetahuan yang sama rata ke atas amalan politik, ekonomi dan dasar sosial yang dilangsungkan ke atas mereka. Walaupun sosialisasi politik ini dikatakan adalah suatu proses yang kompleks yang melibatkan pengetahuan individual terhadap fakta dan nilai politik, tetapi penglibatan rakyat secara menyeluruh tentunya dapat membina ruang politik yang lebih sihat, aman dan stabil.

Dengan adanya kesanggupan dan kesediaan yang ditunjukkan oleh kerajaan untuk membuka ruang debat dan perbincangan sebegini, maka tidak ada sebab lagi mengapa rakyat harus turun berarak di jalanraya dan tempat awam yang mengganggu lalu lintas serta kerukunan awam. Sebenarnya jika kerajaan lebih awal membuka ruang perbincangan dan peluang kepada mana-mana pihak untuk bersemuka dan berdebat secara terbuka dan boleh disaksikan oleh semua rakyat, tidak mungkin ada pihak yang ingin turun berdemontrasi di jalan raya lagi. Jika ada lagi yang berbuat demikian, maka ia boleh dianggap sebagai tindakan yang tidak wajar dalam konteks Malaysia, yang mempunyai suasana yang jauh berbeza dengan negara-negara lain.

Pak Lah telah membuka banyak ruang yang selama ini ditutup oleh Mahathir. Walaupun Pak Lah mungkin membuka UMNO kepada natijah kelemahan dan kejatuhan, tetapi Pak Lah telah membuka rantai kuasa-autokratik-UMNO yang mengikat rakyat selama ini. Sekurang-kurangnya Pak Lah mempercayai akan hak rakyat dan cuba mengimbangi antara kepentingan rakyat dengan kepentingan parti. Natijah kelemahan dan kejatuhan oleh sifat keterbukaan Pak Lah bukanlah sesuatu yang mutlak, ia cumalah andaian sepertimana andaian minyak akan habis pada tahun 2015. Andaian adalah ramalan yang dibuat berdasarkan fakta dan data yang ada atau ditemui pada hari ini. Namun kemunculan fakta, data dan kemungkinan baru tidak dapat dilihat pada masa ini. Minyak mungkin ditemui di Kelantan atau Pahang atau Sarwak pada masa akan datang, siapa yang tahu. Begitu juga dengan tindakan dan keterbukaan yang dilakukan oleh Pak Lah, kemungkinan ia akan membina kembali keyakinan rakyat kepada UMNO jika semua menteri UMNO sanggup turun untuk berdebat dan bermuzakarah dengan parti lawan dan golongan rakyat. Ia tentulah menjauhkan daripada sifat sombong dan tidak peduli para menteri yang menjadi sifat asasi ahli politik yang paling dibenci oleh orang awam selama ini.

Maka dengan wujudnya ruang awam dan keterbukaan kerajaan yang sebegini, tentunya amalan politik akan berjalan secara sihat, aman dan adil kepada semua rakyat. Bukankah ini cita-cita utama sebuah negara?

Mingguan Wasilah, 27 Julai – 2 Ogos 2008

Sunday, August 3, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

MELIHAT BANGSA YANG BESAR

Apabila Presiden Iran, Dr. Mahmoud Ahmadinejad ditemuramah oleh dua penemuramah Malaysia dalam rancangan televisyen RTM TV2 pada 7 Julai 2008 baru-baru ini, rakyat Malaysia sebenarnya sedang melihat bagaimana bangsa yang besar bercakap dan menampilkan diri mereka di persada dunia. Dengan bangga dan besar hati, Ahmadinejad bertutur dengan bahasa Parsi. Sudah tentunya beliau faham dengan lancar akan bahasa Inggeris kerana soalan penemuramah dalam bahasa Inggeris dijawab beliau tanpa perlu diterjemahkan oleh penterjemah kepada beliau. Sebaliknya semua jawaban beliau dituturkan dalam bahasa Parsi dan diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Apabila ditanya tentang bangsa Iran (Parsi), Ahmadinejad dengan bangga menyatakan bangsa Iran (Parsi) adalah bangsa yang merdeka, berjiwa besar, suka berdiri di atas kaki sendiri dan sanggup berkorban untuk kedaulatan mereka.

Memang benar bangsa Iran (Parsi) ini adalah bangsa yang besar. Mereka mempunyai sejarah keagungan yang cukup panjang. Namun tanpa perlu kita lihat kepada sejarah empayar Parsi yang agung itupun, kita tentunya dapat melihat dengan nyata akan hakikat tersebut daripada penampilan Ahmadinejad itu. Ini adalah kerana bangsa yang besar mempunyai bahasa mereka sendiri di dalam jiwa dan akal fikiran mereka. Bangsa yang berdaulat dan merdeka adalah bangsa yang menjunjung kedaulatan bahasa mereka. Dan bangsa yang besar tidak memerlukan bahasa bangsa yang lain untuk maju dan membina kegemilangan di dunia ini. Ini adalah hakikat yang paling nyata dan paling mudah untuk sesiapa memahami apakah itu ‘bangsa yang besar’.

Ahmadinejad adalah pemimpin berjiwa besar daripada sebuah bangsa yang besar. Lantaran itu beliau tidak pernah menghiraukan Amerika Syarikat dan kuasa Barat. Ini memang warisan sejak pemerintahan Ayatollah Ruhollah Khomeini lagi. Bangsa yang besar ini sentiasa dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang berjiwa besar. Tiada kuasa manusia di dunia ini sekarang yang mampu memperbudak dan menjajah Iran, bangsa Parsi ini. Iran bebas menentukan apa yang ingin mereka tentukan. Mereka benar-benar merdeka kerana jiwa besar yang mereka miliki. Bangsa yang berjiwa besar ini cukup menyanjungi budaya mereka, dan paling utama cukup bangga dan menjunjung tinggi bahasa mereka yakni bahasa Parsi.

Namun apabila kita melihat pemimpin-pemimpin Malaysia hadir berucap di hadapan pentas mahupun di media antarabangsa mahupun tempatan, maka dengan amat jelas dan nyata bahawa kita sekarang melihat pemimpin-pemimpin yang berjiwa kecil daripada sebuah bangsa yang kecil yang kehilangan bahasa mereka sendiri dan ‘takutkan orang’ sedang berlakon untuk menjadi besar. Pemimpin Malaysia dari kalangan bangsa Melayu ini memperlihatkan dengan nyata akan betapa kecil dan hambanya jiwa mereka apabila bertutur dengan bahasa penjajah mereka dahulu, bahkan cukup bangga dengan bahasa penjajah mereka itu. Kita dapat melihat perbandingan yang sangat jelas antara sebuah bangsa yang besar dan sebuah bangsa yang kecil di pentas antarabangsa seperti ini. Bangsa-bangsa kecil di Asia Tenggara sememangnya galak bertutur dengan bahasa penjajah Inggeris kerana terbukti pun dalam sejarah, mereka hanyalah kerajaan-kerajaan yang kecil di pinggir sejarah dunia.

Sedangkan bangsa Parsi adalah sebuah bangsa yang besar dan agung yang sudah terbukti dalam sejarah akan keunggulan tamadun mereka yang menjadi teras sejarah. Apabila kita melihat senario ini, maka kita haruslah menerima hakikat bahawa bangsa Melayu ini sebenarnya hanyalah bangsa yang kecil dan berjiwa hamba. Lihat sahaja betapa kecilnya jiwa pemimpin Melayu berbanding Ahmadinejad. Pemimpin Melayu tidak mampu bahkan malu untuk menggunakan bahasa Melayu di pentas antarabangsa. Bahkan juga di tanah air mereka sendiri. Ini merupakan kompleksiti jiwa hamba. Maka itu dengan pemimpin-pemimpin Melayu yang berkompleksiti jiwa hamba, Malaysia kini terpaksa bergantung kepada bahasa Inggeris – bahasa penjajah mereka – bagi mengangkat diri mereka untuk maju. Inilah adalah kerana bangsa Melayu yang berjiwa hamba ini sentiasa tidak yakin dengan bahasanya dengan dirinya dan dengan sifatnya, lantas meletakkan seluruh takdir dan nasib mereka kepada ‘tuan-tuan penjajah’ mereka.

Rakyat Iran dari Presiden sehinggalah kepada pemungut sampah tentunya akan tertawa dan melihat kecil kepada bangsa Melayu yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama pendidikan mereka. Kerana Iran yang telah menghasilkan jutaan intekletual, saintis, teknorat dan kaum profesional bertaraf dunia hanya menggunakan bahasa Iran dalam sistem pendidikan mereka. Tentunya bahasa lain digunakan tetapi tidak ‘sedungu’ yang diamalkan di Malaysia. Bangsa Melayu yang kini berbangga dengan bahasa Inggeris beserta pemimpin-pemimpin UMNO yang berusaha mendaulatkan bahasa Inggeris di Tanah Melayu ini harus sebenarnya merasa malu dan dayus apabila melihat kepada jiwa bangsa Parsi yang begitu bangga dan menjunjung tinggi bahasa Parsi.

Bukti nyata kejayaan bangsa yang berdiri dan berteguh dengan bahasa mereka ialah sepertimana bangsa Iran ini dengan bangsa Melayu. Sebahagian besar ‘superintelectual’ dunia Islam hari ini datangnya dari Iran, antaranya nama-nama besar seperti Seyyed Hossein Nasr, Abdul Qarim Soroush, Hamid Dabashi, Reza Aslan dan barisan panjang nama yang mendominasi dunia intelektual hari ini. Tetapi manakah nama intelektual Melayu di pentas dunia pada hari ini yang boleh dikatakan sebaris dengan tokoh intelektual Iran itu? Begitu juga dengan saintis, budayawan dan sebagainya. Iran mempunyai ribuan tokoh dunia dalam pelbagai bidang. Bangsa Melayu? Tidak ada, kerana bangsa Melayu sedang menuju ke jurang kepupusan dengan terhakisnya bahasa Melayu.

Kerana itulah bangsa Melayu yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin berjiwa hamba ini malu untuk menggunakan bahasa Melayu, kerana mereka tidak mempunyai jiwa yang merdeka dan sentiasa kagum dengan apa saja kecuali diri mereka sendiri. Maka apabila dikatakan bahawa seseorang pemimpin Melayu yang menduduki jawatan Perdana Menteri atau Menteri itu berjiwa besar, maka pernyataan tersebut hanyalah satu mitos. Ini adalah kerana pemimpin yang berjiwa besar adalah pemimpin yang berjuang dengan bangga dan perkasa akan kedaulatan dan keagungan bahasa mereka. Apabila bahasa Melayu ditukar menjadi bahasa Malaysia, kemudian dipupuskan dengan ‘perasmian’ bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan, pentadbiran dan perekonomian – apakah boleh dikatakan pemimpin-pemimpin politik (UMNO) Melayu itu berjiwa besar? Bahkan tidak mustahil bahasa Inggeris akan menjadi bahasa kebangsaan negara suatu ketika kelak, jika bangsa Melayu yang berjiwa kecil ini terus dipimpin oleh pemimpin Melayu yang berjiwa hamba.

Untuk sekali lagi pada hari ini kita harus menerima hakikat bahawa bangsa Melayu yang takut dan malu untuk menggunakan bahasa Melayu itu adalah bangsa yang kecil, berjiwa hamba, terjajah dan pengecut.

Dan sekali lagi kita terpaksa mengangkat Ahmadinejad, bangsa Parsi menjadi wira baru kita, kerana sebenarnya kita adalah golongan hamba yang sudah ketiadaan wira dan sudah ketiadaan bahasa Melayunya.

Mingguan Wasilah, 20-26 Julai 2008