Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

Sunday, June 27, 2010

BOLA LAGI



Kawan2 nak tengok gambar bola. Ini gambar lawan rumah2 saja. Semua orang pakai baju rumah, saya tak pakai dan orang tak boleh kata apa sebab saya 'star' (ha ha). Punyala star sampai pakai but pun tak pakai stoking.


Sempena Piala Dunia kawan-kawan minta masuk gambar bola lama-lama. Kawan yang tak ada gambar bola, balik kampung carila dapat gambar main takraw dua keping (nak tunjuk jugak he he). Saya cari-cari gambar main takraw dulu tapi tak ada, memang tak ada ambil gambar pun. Kalau tidak.. tak payah cerita la setakat libas pari tu, orang main 'hand stand' la. Tapi dulu la, sekarang 'hand stand' mau patah tangan menahan perut.

Piala Dunia akhirnya menyaksikan pasukan tradisi Amerika Latin dan Eropah juga yang menguasai. Pasukan Asia, Afrika dsbnya masih jauh untuk menandingi. Dalam Piala Dunia kita juga dapat lihat dua bentuk skil, satu skil permainan dan dua skil menipu. Itali dapat penalti dengan berlakon di depan gol lawan, Kaka dibuang padang kerana si penipu Ivory Cost yang kena tangan sikit di dada jatuh meraung memegang muka seolah ditumbuk. Jadi inilah wajah-wajah penipu Piala Dunia. Di Malaysia pula masih sibuk dengan menteri-menteri Islam yang nak menghalalkan judi sukan. Tapi biasalah orang politik mereka melihat semuanya seperti bola yang boleh mereka tendang2. Tapi oleh sebab mereka kaki bangku maka bola yang mereka tendang pun menerawang tak tau ke mana.

Friday, February 12, 2010

ANTOLOGI SUMPAH 152





Antologi Sumpah 152 yang siap dicetak dan diterbitkan untuk pelancaran pada 15 Februari 2010 jam 10 pagi di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka.


Sempena Hari Pejuang Bahasa pada 15 Februari 2010 ini sebuah antologi siap untuk dilancarkan. Hari Pejuang Bahasa dipilih pada tarikh 15 hb 2 adalah simbolik kepada 152 yang merujuk kepada perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia yang memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Setelah bertungkus lumus mengumpul, menyusun, mengatur huruf dan menyunting antologi ini berjaya juga disiapkan dan dicetak dalam masa 24 jam. Pada mulanya ia nyaris-nyaris tak dapat diterbitkan untuk dilancarkan pada 15 feb ini kerana masalah sangat kesuntukan masa. Namun mungkin kerana usaha dan niat baik demi untuk memperjuangkan sesuatu yang baik dan afdal, maka semua kerja menjadi mudah dan mendapat penyelesaian dari jalan yang tidak disangka-sangka. Hasilnya antologi ini berjaya disiapkan. Terima kasih kepada GAPENA yang menaja seratus peratus penerbitan buku ini. Terima kasih kepada kawan-kawan di KALAM, Mattaib, Ja'afar Hamdan, Ikhram Fadhly Husin dan lain-lain yang bertungkus lumus menyusun dan membantu menyiapkannya. Ja'afar yang berjaya mengumpulkan banyak penyair dan menguruskan banyak hal untuk buku ini. Ikram yang membaca pruf sampai tengah malam, dan menghantar galei pruf pada pukul 11 malam di rumah PENA yang gelap gelita di tengah hujan. Juga Shamsudin Othman yang bertungkus lumus menghubungi rakan-rakan penyair untuk menyumbangkan karya. Paling tak dilupakan ialah penyair-penyair dari seluruh Malaysia tak henti-henti memenuhi ruang emel saya dengan puisi-puisi perjuangan bahasa. Sehingga buku dah masuk cetak pun, sajak masih tak henti-henti masuk. Kami sebagai penyelenggara memohon jutaan ampun dan maaf kerana tidak dapat memuatkan sajak-sajak yang dihantar lewat. Tetapi saya tetap menyimpannya, mana tahu jika boleh diusahakan antologi yang kedua.

Untuk perjuangan bahasa ini, kami secara peribadi terutamanya teman-teman di PENA dan KALAM mengambil sikap menyokong semua gerakan mempertahankan bahasa Melayu tidak kira dari pihak mana sekalipun. Pada pandangan kami semua eloklah diketepikan segala perbezaan untuk kita semua duduk bersatu dalam memperjuangkan bahasa Melayu. Dan sikap saya secara peribadi ialah menyokong apa sahaja gerakan oleh mana-mana pihak yang memperjuangkan bahasa Melayu. Baik GAPENA mahupun GMP, kami menyokong kedua-dua pendekatan yang diambil. Bahkan gerakan ini juga berlangsung di PENA, KALAM,PPJ dan saya percaya di semua persatuan penulis dan sebahagian Badan Bukan Kerajaan yang prihatin terhadap bahasa Melayu.

Uniknya buku ini ialah kami memasukkan sajak-sajak yang mewakili suara hati rakyat Malaysia tentang cinta dan kasih mereka kepada bahasa Melayu. Dari semenanjung Tanah Melayu hingga Sabah dan Sarawak semua dimuatkan dalam antologi ini. Lantaran ini kami tidak meletakkan sebarang 'kasta' yang membezakan antara penyumbang, semua sajak dimasukkan sebagai suara rakyat, suara kita semua. Semua sajak dinilai sebagai 'suara hati nurani' rakyat tentang perjuangan bahasa Melayu tanpa mengira kedudukan, pangkat, bangsa dan agama.

Akhir kata datang lah beramai-ramai pada 14 Februari 8.30 malam di acara Baca Puisi Sumpah 152 di Rumah PENA dan kemuncak acara sambutan pada 15 februari jam 8.30 pagai di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka. Kehadiran sdr2 semua amatlah dihargai, dan merupakan semangat kepada perjuangan bahasa Melayu ini. Jumpa pada 14 dan 15 februari ini.

Thursday, August 20, 2009

LANGUAGE AND LANGUAGE TEACHING CONFERENCE-INTERNATIONAL



Dari kiri; saya (SUA PENA), Prof Dr. Adisa Teo (Dekan FoLA), Datuk Bandar Hatyai, John Scaco (Duta AS di Bangkok), Dr. Paul Kei Matsuda (Arizona State Uni, USA), dan Huw Jarvis (Uni. of Salford, UK).


Pada 14-16 Ogos berlangsung Seminar Bahasa dan Pengajaran Bahasa (Language dan Language Teaching - International) di Prince of Songkhla University, Thailand. Seminar ini adalah anjuran bersama Faculty of Liberal Arts dan PENA, yang turut mendapat tajaan pelbagai pihak. PENA mendapat tajaan daripada Institut Terjemahan Negara (ITNM) bagi menjayakan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand dalam bidang bahasa dan pendidikan. Saya hadir di atas kapasiti Setiausaha Agung PENA bersama Mohamad Saleeh Rahamad, Timbalan Presiden PENA yang juga merupakan wakil rasmi PENA dalam memberikan ucapan di majlis penutup. Para pembentang antaranya Dr. Paul Kei Matsuda dari Arizona State University, Huw Jarvis dari University of Salford, UK, Sue Kay dari Macmillan dan ramai lagi.

Seminar ini telah melonjakkan nama PENA di peringkat negara serantau dan antarabangsa khususnya jiran yang paling dekat iaitu Thailand. Kerjasama ini bermula apabila PENA menjalinkan hubungan dengan Persatuan Penulis Thailand (Semakhom Nakhian Thai) untuk aktiviti sastera. Apabila PENA diundang untuk mengadakan bengkel bahasa Melayu di Prince of Songkhla University, pihak Faculty of Liberal Arts universiti terbabit mengambil usaha untuk melibatkan PENA dalam beberapa program pendidikan mereka dalam menjalinkan hubungan awal dengan pihak dari Malaysia.

Dari situlah hubungan terus berlangsung sehingga hari ini. Hasil daripada hubungan ini PENA telah berjaya menubuhkan Kelab Bahasa Melayu di Prince of Songhkla University dengan usaha daripada pensyarah bahasa Melayunya Wanida Tehlong. Saya melihat hubungan ini sebagai usaha untuk membantu perkembangan bahasa Melayu di Thailand, khususnya dalam wilayah Songkhla ini. Sememangnya bahasa Melayu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada institusi pengajian tinggi di Songkhla. Terdapat empat universiti di Songkhla yang sekarang berminat untuk mengembangkan bidang pengajian bahasa Melayu.

Walaupun seminar dan program yang diadakan bersama dengan Faculty of Liberal Arts dijalankan dalam bahasa Inggeris dan melibatkan bidang bahasa Inggeris serta bidang lain seperti sains dan juga sains sosial, tetapi ini adalah satu-satunya cara untuk berhubungan secara rasmi dengan pihak universiti di Thailand, kerana mereka tidak tahu berbahasa Melayu dan kita tidak tahu berbahasa Thai. Namun dari sini, hubungan dapat dimulakan dan seterusnya dapatlah dilaksanakan program-program bahasa Melayu termasuk memperkenalkan sastera tradisional seperti syair, pantun, sajak dsbnya. Ia dapat dijalankan dengan rasmi dan mendapat dokongan pihak pentadbiran di sana. Jika tidak melalui hubungan sebegini, bahasa Melayu dan penggiat bahasa Melayu mungkin akan dipandang curiga lantaran konflik yang berlaku di empat wilayah selatan Thailand itu. Maka itu kami datang dan masuk melalui saluran rasmi dan mengkhusus kepada bidang pendidikan dan kebudayaan. Alhamdullilah kami disambut dengan amat baik oleh pihak universiti, NGO dan kerajaan Thailand.

Untuk masa ini, saya dimaklumkan bahawa tiada badan atau institusi dari Malaysia yang membantu secara konsisten dan jangka panjang pihak universiti di Thailand ini dalam usaha mengembangkan pengajian bahasa Melayu. Jika adapun ia hanya bersifat ad hoc. Saya dan Saleeh Rahamad membawa PENA untuk terlibat membantu pengembangan bahasa Melayu dalam kapasiti yang terhad di sini mungkin atas sedikit rasa kesedaran dan selebihnya adalah permohonan daripada rakan-rakan kami di Thailand yang meminta kami datang membantu program bahasa Melayu mereka. Abdul Razak Panaemale, Wanida Tehlong, Kamaruddin Esayah, Aminah Yasale, Harith Che Do adalah antara pensyarah di beberapa universiti di sini yang berhubungan rapat dengan kami di PENA dalam menggiatkan program-program bahasa Melayu.

Kami di PENA hanya mampu membantu sekadar yang termampu. Maka bantuan dan sumbangan pihak seperti ITNM sangat besar ertinya bukan sahaja kepada PENA tetapi lebih besar lagi kepada pihak-pihak yang berjuang mengembangkan pengajian bahasa Melayu di wilayah Songkhla ini.

Monday, April 6, 2009

GERAI RM100.00 DI PESTA BUKU READ MALAYSIA


Kawah Tangkuban Perahu di Bandung

Pada 29 Mei hingga 7 Jun 2009 (10 hari) akan diadakan pesta buku Melayu & Inggeris di Dewan Konvensyen Mines, The Mines Balakong. Di samping syarikat-syarikat dan penerbit buku ternama yang hadir dengan pelbagai buku, pihak penganjur juga menyediakan meja untuk penulis, penerbit persendirian, dan orang perseorangan untuk menjual buku terbitan mereka sendiri, kaset, cd lagu atau filem pendek yang dihasilkan secara persendirian. Sewa meja ini cuma RM100.00 sahaja untuk 10 hari. Pihak penganjur menyediakan 20 meja untuk disewa. Memandangkan saya mencadangkan disediakan ruang atau kemudahan bagi penulis, penggiat seni yang bergerak secara bersendirian untuk menjual hasil karya mereka secara terus kepada khalayak, pihak penganjur meminta saya mendapatkan penyewa untuk 10 meja ini.

Sesiapa yang berminat boleh menghubungi saya di blog ini, atau boleh terus berhubungan dengan pihak penganjur READ MALAYSIA yang akan menganjurkan pesta buku ini. Maklumat lanjut bolehlah didapati daripada internet.

Thursday, February 19, 2009

PERTEMUAN DENGAN PENULIS-PENULIS THAILAND


Pertemuan penulis Thailand-Malaysia berlangsung dalam suasana yang penuh teratur dan harmoni

Pada 15-18 Februari 2009 telah berlangsung Seminar Sastera Thailand-Malaysia di Lee Gardens Hotel, Hadyai. Seminar ini dianjurkan oleh Persatuan Penulis nasional Thailand (Semakhom Nakjian Thai) dan Kementerian Kebudayaan Thailand. Seminar telah membawa pertemuan antara Semakhom dan PENA (Persatuan Penulis Nasional Malaysia).

Ternyata pertemuan antara penulis Malaysia dan Thailand ini sungguh menarik dan memberikan banyak pendedahan kegiatan penulisan kedua-dua pihak. Penulis-penulis Thailand dan Malaysia pada hakikatnya hanya tinggal bersebelahan tetapi tidak mengenali antara satu sama lain. Pertemuan ini membawa kepada perkenalan khususnya karya dan isi pemikiran masing-masing.

Lebih mengharukan pihak Thailand memberikan layanan yang begitu baik dan akrab kepada semua penulis Malaysia. Walaupun menghadapi masalah komunikasi dan terpaksa menggunakan khidmat penterjemah dalam setiap sesi tetapi persefahaman dan rasa persahabatan mula terjalin.

Hebatnya penulis dan orang Thailand tidak berhajat pun untuk menggunakan bahasa Inggeris tetapi lebih sanggup mencari khidmat penterjemah kerana mahu mendengar dan memperdengarkan keindahan bahasa masing-masing.

Tetapi di Malaysia, kalau mengikut sajak Khalid Salleh 'orang-orang Melayu dah jadi babi' kerana bangga dan gila dengan bahasa Inggeris. Mungkin yang jadi babi itu termasuk dengan menteri Melayunya sekali.

Wednesday, September 24, 2008

BAHASA MELAYU DI PRINCE OF SONGKHLA UNVERSITY



Gambar dari kanan: En Zaini Waemusa, Dr. Kemtong, S.M. Zakir, Raja Rajeswary dan Dr. Chew Fong Peng.

PENA bersama Faculty of Liberal Art, Prince of Songkhla University telah menganjurkan Seminar bahasa Melayu dalam Pendidikan pada Ogos yang lepas. Pembentang dari Malaysia yang dibawa oleh PENA ialah Prof Dr. Mohammad Mokhtar Hassan, Dr. Chew Fong Peng, Zahari Ishak, Mohamad Saleeh Rahamad, Raja Rajeswary Seetha Raman dan S.M. Zakir. Program ini telah membina hubungan rapat antara PENA dan Faculty of Liberal Arts, Prince of Songkhla University.