Showing posts with label Filem. Show all posts
Showing posts with label Filem. Show all posts

Saturday, January 17, 2009

KONSPIRASI PENYAMARAN ABADI YAHUDI




Ada sebuah filem yang menarik daripada Adrian Rudomin tentang transformasi bangsa Yahudi dalam filem Day of Wrath. Filem yang dibintangi oleh Christopher Lambert ini mengangkat peristiwa pada abad ke-16 era Inquisition di Sepanyol. Setelah Ferdinand dari Aragon dan Issbella menjatuhkan empayar Islam Andalusia (Sepanyol), Raja dengan diketuai gereja telah menjalankan misi pembersihan kaum ‘infidel dan heretic’ secara kejam dan besar-besaran. Misi ini dijalankan di atas prinsip One Nation, One Faith atau Satu Bangsa Satu Agama. Orang Islam dan lain-lain agama dipaksa memeluk agama Kristian. Sesiapa yang ingkar diseksa dan dibunuh. Mayat-mayat dicampakkan ke dalam lubang besar dan dikambus beramai-ramai seperti bangkai binatang.

Tidak ketinggalan menjadi buruan puak gereja ini ialah bangsa Yahudi. Bangsa Yahusi dianggap musuh utama Kaum Kristian selepas Islam. Yahudi adalah pembunuh Isa Al-Masih dan dianggap sebagai pengkhianat dan bangsa yang ingkar, kafir serta punca kerosak. Kaum Yahudi diburu dan dibunuh oleh tentera gereja Kristian. Raja Ferdinand akhirnya memberi ultimatum kepada bangsa Yahudi. Memeluk Kristian dan menukar identiti Yahudi mereka atau diusir keluar dari Sepanyol.

Raja Ferdinand mendapat wang rasuah yang banyak untuk memberi pilihan kepada bangsa Yahudi daripada keluarga-keluarga Yahudi yang ternama dan kaya raya. Keluarga Yahudi ini kemudian menukar identiti Yahudi mereka dengan menggunakan nama Kristian. Filem Adrian Rudomin ini membawa kisah Ketua Keselamatan Ruy de Mendoza menyiasat pembunuhan misteri yang akhirnya membawa kepada rahsia sejarah yang amat besar iaitu, konspirasi penyamaran Yahudi. Dua orang yang paling berkuasa iaitu Gabenor Francisco de Ruiz dan Ketua Paderi Frior Anselmo merupakan dalang utama di sebalik segala peristiwa konspirasi dan pembunuhan misteri itu

Ruy bertekad untuk membongkar kes ini dan menangkap dalang dan pembunuh di sebalik kejadian ini semua, walaupun melibatkan tokoh-tokoh politik yang terpenting. Akhirnya Ruy dibawa kepada rahsia yang besar yang tersimpan ratusan tahun iaitu konspirasi penyamaran Yahudi untuk menyelamatkan mereka daripada menjadi mangsa Inquistion. Yahudi ini bukan sahaja menjadi pemimpin-pemimpin penting dengan nama bangsawan Kristian tetapi turut menghapuskan bukti sejarah dengan menulis kembali sejarah yang palsu. Buku-buku sejarah yang benar dibakar dan dimusnah satu persatu.

Pada akhir cerita, Gabenor Francisco de Ruiz dan Ketua Paderi Frior Anselmo juga adalah Yahudi yang menyamar dengan identiti Kristian mereka. Bahkan bangsawan, ketua gereja, pemimpin politik, pedagang bahkan Raja sendiri adalah Yahudi dan keturunan Yahudi yang menyelinap dalam penyamaran abadi. Ruy tidak dapat berbuat apa-apa kerana dia sendiri juga rupa-rupanya adakah keturunan Yahudi yang menyelinap dalam penyamaran Kristian. Bahkan Raja Ferdinand sendiri dan pengasas Inquisition iaitu Ketua Paderi Besar Tomas de Torqemada juga adalah keturunan Yahudi yang merahsiakan identiti mereka selama-lamanya.

Yahudi menguasai seluruh kerajaan Sepanyol dengan penyamaran abadi mereka itu. Ia kemudian keluar dari Sepanyol dan menyebar ke seluruh Eropah menguasai gereja, istana, gedung-gedung dan institusi politik di Eropah. Perang dunia kedua menyaksikan Lord Rothschild, Yahudi dan orang yang paling berkuasa di Eropah mencorakkan dunia pada masa itu termasuk menempatkan orang-orang Yahudi penganut Zionisme di Palestin. Di tangan syaitan yang menjelma menjadi manusia Yahudi inilah, Perjanjian Balfour terhasil. Eropah dan Amerika Syarikat adalah kuasa-kuasa dunia yang dikuasai oleh Yahudi dengan penyamaran abadi mereka.

Day of Wrath adalah filem yang menyelongkar kenyataan daripada konspirasi penyamaran abadi Yahudi. Bagaimana Yahudi yang menjadi ketua paderi Kristian menyelit buku lucah di dalam injil mereka. Bagaimana gabernor yang paling berkuasa menghantar pembunuh untuk membunuh ketua-ketua Yahudi yang mengetahui identiti dirinya. Bagaimana seorang Yahudi terpaksa menyembunyikan identiti mereka sepanjang hayat kerana dosa dilahirkan sebagai Yahudi.

Hamas tidak mungkin dapat dihapuskan. Begitu juga dengan Hizbollah. Tetapi bagaimana dengan Yahudi? Yahudi-yahudi yang bersembunyi dalam tubuh Bush dan pemimpin Eropah, menjalar memasuki darah-darah manusia yang berkuasa dan berpengaruh di seluruh dunia. Apakah mereka boleh dihapuskan? Israel?

Maka dunia akan berperang dengan lebih hebat selepas ini.

Saturday, January 10, 2009

Maut dan Pengisian Keagamaan


Lagu Nelayan Selat Madura terpahat di Muzium Laut, Kota Tua, Jakarta

Jam 12 tengah hari Sabtu 10 Januari 2009, saya menonton tayangan filem Maut arahan Badarudin Hj Azmi atau Bade. Antara pelakon yang membintangi filem ini ialah Liana Jasmay, Sabrina Ibrahim, Qie Haidar dan lain-lain. Filem ini tidak boleh dianggap sebagai sebuah feature film kerana ia memuatkan tiga buah filem pendek menjadi sebuah filem. Jika ada ada anugerah filem yang meletakkan kategori filem cereka atau feature film, filem ini seharusnya tidak boleh dibawa bertanding. Sepertimana kesilapan yang berlaku apabila filem Cinta menerima anugerah filem yang lepas.

Tiga cerita yang dibawa dalam Maut ini berkisar tentang bagaimana peringatan dan balasan yang diterima oleh manusia yang membelakangi hukum Allah s.w.t. Cerita pertama berkisar kepada seorang gadis (Liana Jasmay) yang didatangi roh gadis mati dibunuh yang memohon pertolongan. Cerita kedua tentang seorang Farah (Sabrina Ibrahim), seorang pramugari yang berkahwin dengan Mat Salleh, hidup dalam rumah yang dipenuhi botol arak, tidak bersembahyang atau berpuasa. Akhirnya Farah ditimpa kemalangan dan dalam koma didatangi ‘peristiwa seksa kubur’. Sabrina insaf dan kembali menjadi muslimah yang baik. Cerita ketiga tentang Jamil (Que Haidar), anak muda black metal yang hidup dalam kemungkaran akhirnya mati kemalangan dan berlaku peristiwa-peristiwa ‘jenazah tidak diterima tanah’.

Filem ini membawa cerita mudah dan biasa. Tiada keluarbiasaan di sini. Oleh itu apabila Dr. Megat, seorang daripada ahli panel forum mengatakan filem ini sebagai filem ‘cerdik’, saya tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan filem cerdik itu. Filem ini tidak pun memerlukan penonton berfikir. Ceritanya berlangsung sepertimana kita (zaman saya) membaca cerita “Bercakap dengan Jin” Tamar Jalis yang menghidangkan hiburan kisah-kisah pelik alam ghaib. Bahkan dalam satu segi, saya tidak nampak apa falsafah pun dalam filem ini. Apa yang cerdiknya Dr. Megat?

Filem ini dikatakan sebagai mempunyai pengisian keagamaan. Tidak dapat dinafikan bahawa Bade melakukan usaha yang baik, juga didorong oleh niat yang baik untuk memaparkan kisah yang memberi teladan keagamaan (Islam). Tetapi filem ini bagi saya adalah filem pengisian keagamaan yang slapstick. Dalam ertikata lain, pengisian keagamaan yang kasar. Sesebuah filem harus wujud sebagai sebuah medium seni. Maka itu sebagai medium seni, nilai keindahan itu harus wujud kerana nilai seni iaitu keindahan itu yang menentukan mutu sesebuah karya seni tersebut.

Saya juga tidak bersetuju dengan konsep polos dan slapstick, filem keagamaan kononnya yang memasukkan unsur-unsur negatif yang keterlaluan seperti lakonan minum arak, lagak seks, dan babak peluk cium boleh ‘dihalalkan’ atas alasan untuk menunjukkan transformasi hitam ke putih. Sebuah filem, apabila cenderung apatah lagi mengakui filemnya dibuat atas tujuan membawa kesedaran dalam ertikata menjadi filem pengisian keagamaan (religious content) – harus sempurna mengikut hukum agama tersebut. Maknanya apa-apa yang bertentangan dengan hukum agama, tidak kira ia lakonan (seperti adegan peluk cium lelaki wanita dsbnya) harus ‘diharamkan’.

Mengatakan filem kita sebagai filem dakwah, tetapi mempromosikan perbuatan maksiat atas alasan apa pun adalah sesuatu yang menjengkelkan. Sepertimana yang berlaku pada filem Akhirat ‘yang buruk’ dahulu. Saya bukan ustaz dan ingin menjadi polis moral di sini, tetapi kita harus jelas dengan pemahaman terhadap konsep dan idea yang ingin kita tampilkan. Jika tidak kita hanya mengulangi kejahilan Yasmin Ahmad yang kononnya cuba memberi tafsiran tersendiri terhadap Islam tetapi akhirnya mendedahkan kejahilannya yang sangat ketara tentang Islam.

Usaha dan niat Bade adalah suatu yang sangat baik. Tetapi Bade harus membuat ‘kerja rumah’ yang mendalam membabitkan amalan dan pemikiran Islam untuk memenuhi niatnya yang baik itu. Semoga filem-filem Bade selepas ini mempunyai subtances yang lebih menusuk akal dan jiwa, bukan sekadar cerita “Bercakap dengan Jin” lagi.

Monday, December 8, 2008

REVIU FILEM NOVEMBER 2008

BLACK WATER MEMECAHKAN DOMINASI HOLLYWOOD

Filem-filem Hollywood yang muncul dengan trade-mark keganasan yang tidak masuk akal, adegan seksual dan sensual, serta imej-imej simulacrum daripada janaan teknologi komputer; selalunya turut membawa idealogi superioriti Amerika Syarikat (AS). Persepsi dan klise filem Hollywood yang mendominasi pawagam dunia khususnya negara dunia ketiga dan komanwel, yang hanya dibuat semata-mata untuk hiburan, ruang hidup kebendaan dan propaganda AS demi menjana keuntungan komersil besaran kini mula membosankan penonton. Namun trade-mark yang diringi perbelanjaan mega hingga ratusan juta dolar untuk pembikinan filem memberikan persepsi bahawa filem besar dunia hanya mampu dikeluarkan oleh Hollywood.

Kemunculan sebuah filem dari Australia iaitu Black Water di tangan Andrew Traucki dan David Nerlich dengan belanja sebanyak 1.2 juta dollar AS memecahkan persepsi dan dominasi Hollywood dalam pasaran filem dunia. Dengan perbelanjaan rendah Andrew Traucki dan Navid Nerlich yang juga sama-sama menulis lakon layarnya berjaya menjadikan filem ini menjadi sebuah filem besar. Sebuah filem Australia yang kecil ini telah mengubah sudut pandangan dunia filem komersil, khususnya dunia filem berbahasa Inggeris yang menguasai pasaran besar dunia.

Dunia perfileman Australia bermula pada tahun 1897 dengan tertubuhnya Studio Limelight Department di bawah sebuah pertubuhan Kristian. Studio ini telah menerbitkan kira-kira 300 buah filem sebelum ditutup pada tahun 1910. Setelah itu slot pengisian filem dipenuhi oleh filem-filem Hollywood memandangkan pembikinan filem memakan belanja yang lebih besar berbanding dengan mengimport masuk filem-filem Hollywood. Pada tahun 1920-an, 94% daripada filem yang ditayangkan di Australia adalah filem Hollywood.

Kegiatan filem di Australia mencapai zaman gemilangnya sekitar dekad 70-an dan 80-an dengan beberapa buah filem menembusi dan berjaya di pasaran antarabangsa, antara Mad Max (1979) dan Crocodile Dundee (1986). Australia kemudian menjadi tumpuan pembikin filem Hollywood apabila Rupert Murdoch membuka Studio Fox di Sydney. Antara filem yang menggunakan studio ini ialah Matrix, Star Wars II dan Star Wars III. Ramai pelakon dan pengarah yang berasal dari Australia telah mencipta nama besar di Hollywood antaranya Mel Gibson, Nicole Kidman, Russel Crowe, Hugh Jackman, Cate Blanchett, Heath Ledger serta pengarah seperti George Miller, Peter Weir, Baz Luhrmann, Gillian Amstrong dan sebagainya.

Black Water yang mengangkat kisah benar serangan buaya air masin di Utara Australia adalah sebuah filem Australia yang paling berjaya pada dekad 2000-an ini. Filem ini hanya menggunakan tiga orang pelakon iaitu Grace (Diana Glenn), Adam (Andy Rodoreda) dan Lee (Maeve Dermody) dengan dua orang pelakon pembantu seperti ibu Grace dan Lee, dan penambang bot Jim. Ia mengisahkan Adam, Grace dan Lee bercuti dengan pergi memancing sambil meneroka hutan paya bakau di utara Australia, dipandu oleh seorang jurubot iaitu Jim. Sampai jauh di hutan paya bakau itu, tiba-tiba bot kecil yang mereka naiki dilanggar oleh sesuatu sehingga terbalik. Dalam keadaan kelam kabut itu, mereka menyedari Jim telah hilang. Dengan tidak berlengah Adam dan Grace berlari memanjat pokok tanpa menyedari Lee terperangkap dalam bot yang terbalik. Lee berjaya menaiki bot tetapi dilanggar oleh sesuatu namun akhirnya berjaya melepaskan diri dan menyertai Grace serta Adam di atas pokok.

Sehingga ini, pengarah masih menyembunyikan rupa penyerang mereka. Ia hanya memperlihatkan mayat Jim yang terapung dan kemudian hilang. Air paya bakau yang keruh, dan suasana alam yang sunyi dan jauh daripada kehidupan manusia. Mereka bertiga terkandas di sebuah kawasan paya bakau dengan tiada siapa yang tahu di mana mereka berada dan paling mengerikan ialah menghadapi ancaman maut dari makhluk ganas yang bersembunyi di dalam air keruh di bawah kaki mereka. Filem ini berjaya menimbulkan kesan dramatik dan kejutan yang cukup kuat tanpa memerlukan teknologi canggih atau replika ngeri yang canggih untuk menimbulkan kesan buaya ganas. Sebaliknya Andrew Traucki dan David Nerlich lebih memainkan kesan psikologi melalui pelbagai shot suasana paya yang sunyi dan menyeramkan dan menyembunyikan wajah buaya di dalam air yang keruh sebagaimana sifat buaya air masin yang sebenar.

Keberkesanan filem ini ialah terletak kepada kejujuran dua orang pengarah ini memaparkan kisah sesebenar yang mungkin, berdasarkan kisah dan kajian mereka terhadap sifat sebenar buaya air masin yang ganas itu. Mereka menolak unsur spectacular gaya Hollywood yang melebih-lebihkan keadaan bagi mewujudkan kesan kepada penonton. Sebaliknya mereka lebih memfokuskan kepada suasana semulajadi bagi menunjukkan bagaimana manusia menghadapi alam yang sunyi dan tenang tetapi bertukar menjadi pemangsa yang ganas. Filem ini lebih menjurus kepada pergelutan manusia dengan alam semulajadi, atau lebih tepat bagaimana manusia dengan tangan kosong mereka dapat menghadapi alam semulajadi yang ganas, diwakili oleh seekor buaya air masin sepanjang 20 kaki dan seberat 1000 kilogram yang kelaparan.

Buaya air masin yang terdapat di paya bakau di utara Australia adalah reptilia yang paling ganas dan berbahaya di dunia. Buaya jantannya boleh membesar sehingga 20 kaki dengan berat 1000 kilogram. Bahkan sesetengah cerita menyatakan bahawa wujud buaya air masin yang boleh menjangkau besar sepanjang 28 kaki dengan berat hampir 2000 kilogram. Buaya air masin ini boleh menumbangkan seekor kerbau dengan mudah di dalam air. Caranya ialah menerkam atau melibas mangsanya untuk jatuh ke air dan kemudian menyambar dengan menggigit secara berputar atau dikenali sebagai deathroll untuk melemaskan mangsanya. Buaya ini selalunya membawa mangsa yang lemas ke sarangnya dan meninggalkannya beberapa lama sehingga busuk sebelum memakannya.

Kajian menunjukkan bahawa tiada haiwan lain yang menjadi ancaman kepada buaya ini kecuali buaya daripada spesies mereka sendiri. Buaya adalah haiwan yang paling bahaya kerana ia menyerang tanpa sebarang amaran dan tanda-tanda. Bahkan dalam kes buaya air masin ini, ia boleh menyerang mangsanya bukan sahaja di air tetapi juga di darat. Buaya ini dikatakan boleh bergerak di darat selaju manusia berlari. Buaya ini juga boleh melompat untuk menyambar monyet-monyet yang berada beberapa kaki dari air di atas pokok. Mereka juga boleh hidup tanpa makanan selama sebulan. Dan lebih memeranjatkan, satu kajian menyatakan bahawa buaya air masin yang ganas ini mempunyai kapasiti otak atau kecerdikan yang melebihi tikus makmal. Ini menunjukkan bahawa buaya masin ini adalah merupakan antara haiwan pemangsa yang paling ganas dan berbahaya di dunia.

Sifat dan habitat buaya inilah yang dibawa ke dalam Black Water sehingga ia menjadikannya sebagai sebuah filem yang menayangkan sebuah alam nyata, iaitu kekuatan dan keganasan alam semulajadi menghadapi manusia yang lemah dan tidak berupaya – yang hanya semata-mata bergantung kepada kelebihan akalnya. Black Water bukan hanya pertembungan antara buaya dengan manusia tetapi juga adalah pertembungan antara naluri dengan akal. Dan kedua-duanya bergelut untuk hidup; satu mencari makanan dan satu lagi melepaskan diri daripada menjadi makanan.

Milenia Muslim, November 2008

Saturday, November 22, 2008

REVIU FILEM OKTOBER 2008

RED CLIFF DARI SEBUAH ROMAN SEJARAH

Red Cliff sebuah filem skala besar yang menelan belanja sebanyak 80 juta dollar AS mencabar keupayaan John Woo untuk mengarah sebuah filem epik China yang diangkat daripada kanun agung Romance of the Three Kingdoms. John Woo kembali untuk mengarah filem China setelah 16 tahun terlibat dalam pengarahan filem di Hollywood adalah pengarah handalan Hong Kong yang tidak asing lagi. Dia menempa nama di Hollywood dengan mengarah filem-filem seperti A Better Tomorrow, The Killer, Hard Target, Broken Arrow, Face-Off, Mission Imposible II, Windtalker, Paycheck dan banyak lagi. Namanya memuncak di Hollywood selepas kejayaan filem A Better Tomorrow dan The Killer lakonan Chow Yun-Fatt dan Mira Sorvino yang menampilkan skil pertarungan senjata api ala-kung fu dalam gerak yang unik yang disebut kemudian sebagai ‘Gun Fu’. Gaya tersebut menarik perhatian dan mempengaruh pengarah-pengarah terkenal Hollywood seperti Robert Rodriguez, Quentin Tarantino dan Wachowski bersaudara.

Red Cliff diangkat daripada satu peristiwa peperangan yang masyhur dalam Roman Tiga Kerajaan (Romance of the Three Kingdoms), iaitu kisah peperangan di Chibi. Roman sejarah tersebut memaparkan peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah terakhir Dinasti Han di China yang berlangsung sekitar tahun 169 Masehi hingga 280 Masehi. Era tiga kerajaan yang menjadi tunggak cerita kepada roman ini berlangsung sekitar tahun 220M hingga 260M. Roman Tiga Kerajaan ini ditulis oleh Luo Guanzhong pada abad ke-14M berdasarkan peristiwa dalam tahun-tahun yang penuh dengan peperangan pada era kejatuhan Dinasti Han. Roman ini adalah salah satu daripada empat kanun agung China, dan mengandungi 800,000 perkataan, 1191 watak dan 120 bab. Luo Guanzhong menggabungkan rekod-rekod sejarah Pemberontakan Turban Kuning pada tahun 184M yang dikumpulkan oleh Chen Shou, puisi-puisi dari Dinasti Tang, kisah opera dari Dinasti Yuan dan tafsirannya terhadap nilai dan legitimasi China. Roman ini turut mengangkat nilai ajaran Kungfucius yang sangat mempengaruhi kehidupan masyarakat China Han pada waktu itu.

Daripada kanun agung China inilah Red Cliff muncul sebagai sebuah filem yang membariskan pelakon handalan Asia Timur seperti Tony Leung, Takeshi Kaneshiro, Zhang Fenyi, Chan Chen, Hu Jun, Lin Chi-ling dan Zhao Wei. Filem ini ini dibuat dalam dua versi. Untuk versi pasaran Asia, Red Cliff dibuat dalam dua siri yang memakan masa dua jam tayangan untuk sebuah siri. Sementara untuk versi pasaran di luar Asia, ia dipendekkan menjadi satu tayangan memakan masa dua setengah jam. Siri pertama untuk versi Asia mula ditayangkan pada Julai 2008 sementara siri kedua dijangka ditayangkan pada Januari 2009, serentak dengan tayangan untuk versi tayangan luar Asia.

Red Cliff mengisahkan Cao Cao (Zhang Fenyi), Perdana Menteri Kerajaan Wei di wilayah utara yang bercita-cita besar mempengaruhi Maharaja Xian untuk melancarkan ekspedisi perang terhadap panglima perang Dinasti Han, Liu Bei (You Yong) yang menguasai kerajaan wilayah Barat iaitu Kerajaan Xu (Shu-Han). Hasrat Cao Cao disanggah oleh Kong Rong, menteri tua Kerajaaan Wei yang menuduh Cao Cao sebagai pengkhianat yang cuba merampas kuasa Maharaja. Namun Cao Cao yang sangat berkuasa memerintahkan Kong Rong dibunuh dan terus membuat keputusan melancarkan perang ke atas Liu Bei di Xu. Tentera Cao Cao menyerang Liu Bei yang dibantu oleh panglima-panglima handal seperti Zhang Feng, Zhao Yung dan lain-lain. Serangan Cao Cao ke atas Liu Bei di Xinye berjaya dipatahkan. Namun Cao Cao mengumpulkan bala tentera yang amat besar untuk serangan yang seterusnya.

Liu Bei, dinasihati oleh penasihatnya yang hebat iaitu Zhuge Liang (Takeshi Kaneshiro) untuk membina persekutuan dengan sebuah lagi kerajaan di wilayah Han di selatan iaitu Kerajaan Wu bagi menentang Cao Cao. Zhuge Liang pergi ke negeri Wu untuk memujuk Sung Quang (Cheng Cheng) pemerintah Kerajaan Wu. Di sana Zhuge Lian terlebih dahulu menemui dan mendapat persetujuan daripada wizurai yang paling berpengaruh di Wu iaitu Zhou Yu (Tony Leung). Tindakan Zhuge Lian mendapat sokongan Zhou Yu berjaya membawa Sung Quang untuk bersekutu dengan Liu Bei bagi menentang Cao Cao. Peristiwa Sung Quang membuat keputusan tersebut ditampilkan dalam babak Sung Quang, adik perempuannya Sun Shangxiang, Zhou Yu dan Zhuge Liang pergi berburu harimau.

Cao Cao menghantar 800,000 tentera dengan 2000 buah kapal perang ke selatan dengan harapan dapat ‘membunuh dua ekor burung dengan sebiji batu’. Armada tentera Cao Cao yang besar tiba di Chi Bi (Red Cliff) dan berhadapan dengan persekutuan Kerajaan Xu dan Wu. Tentera Wei pimpinan Cao Cao sendiri datang melalui jalan air dan darat. Pertempuran awal berlaku dengan tentera pimpinan Sun Shangxiang berjaya menewaskan ketumbukan Wei dengan formasi lapan trigram. Namun Cao Cao dengan 800,000 tenteranya mula memenuhi kawasan air dan daratan Chi Bi untuk melancarkan serangan besar-besaran mereka.

Zhou Yu dan Zhuge Liang bergabung tenaga membincangkan cara untuk menangkis serangan Cao Cao. Zhuge Liang menyedari beberapa kelemahan armada tentera Cao Cao, terutamanya pertamanya balatentera Cao Cao yang terdiri daripada pasukan kalvari darat itu hanya beberapa minggu dibentuk untuk menjadi tentera laut dan tidak berpengalaman berperang di kapal. Kedua, tentera Cao Cao yang datang dari utara itu tidak mahir dan biasa dengan suasana alam di selatan ini. Cerita untuk siri pertama tamat ketika Zhuge Liang sedang merangka strategi untuk menangkis serangan besaran-besaran Cao Cao.

Dunia perfileman China pada kenyataannya terbahagi kepada tiga suasana iaitu sinema Tanah Besar China, sinema Taiwan dan Sinema Hong Kong. Sinema Tanah Besar China dan Taiwan menggunakan bahasa Mandarin sementara sinema Hong Kong menggunakan bahasa Kantonis. Sinema Tanah Besar China menyaksikan kebangkitan pada era tahun 90-an di tangan pengarah generasi kelima seperti Zhang Yimou, Cheng Kaige, Tian Zhuangzhuang dan beberapa nama lagi. Dua pengarah yang cukup dikenali ialah Zhang Yimou yang terkenal dengan filem Hero (2002), House of Flying Dagger (2004), The Curse of Golden Flower (2006), sementara Chen Kaige pula terkenal dengan filem The Emperor and the Assassin (1999) dan The Promise (2005). Sinema Taiwan melonjakkan nama Ang Lee di persada antarabangsa dengan filem Crouching Tiger, Hiden Dragon (2000). Sinema Hong Kong lebih kepada pasaran filem kung fu dan aksi menyaksikan kehadiran ramai pengarah dan pelakon yang terlibat dengan sinema di Hollywood antaranya John Woo, Jackie Chan, Stephen Chow, Jet Li, Chow Yung-Fat, Michele Yeoh dan sebagainya.

Dari segi estetika filem, John Woo dilihat tidak dapat menandingi gerak gaya dan keindahan sinematografi yang terhasil di tangan Zhang Yimou dan Cheng Kaige. Gaya pengarahan John Woo dilihat tidak dapat lari daripada gaya Hollywood yang mementingkan bentuk yang spectacular melalui filem-filem yang berbelanja besar. Walaupun begitu keupayaan John Woo terserlah melalui kebolehan menggabungkan pelakon-pelakon China, Hong Kong dan Jepun dalam pembinaan watak serta karakter yang menonjolkan karismatik lakonan masing-masing. Mungkin masih terlalu awal untuk menilai kejayaan dan kegagalan John Woo dalam Red Cliff ini memandangkan puncak sebenar filem ini terkandung dalam siri kedua Red Cliff yang mungkin ditayangkan pada Januari 2009. Maka itu, visual-visual yang terawang dari Red Cliff siri satu ini hanya tersimpan untuk menanti kemuncaknya dalam serangan besar-besaran Cao Cao pada Peperangan di Chi Bi yang akan berlangsung pada tahun hadapan.


Milenia Muslim, Oktober 2008

Friday, November 21, 2008

REVIU FILEM SEPTEMBER 2008

KOLAJ-KOLAJ CINTA DALAM SEPI

Hei Kekasihku, kelmarin aku adalah satu-satunya orang yang ada di alam ini. Kesendirian itu kejam seperti maut. Aku sendirian seperti bunga mawar yang tumbuh dalam bayang-bayang batu karang yang tinggi kerana itu kehidupan tidak merasakan keberadaanku, dan aku tidak merasakan adanya kehidupan. – Khalil Gibran.

Kehidupan yang tidak merasakan keberadaan dan keberadaan yang tidak merasakan kehidupan mungkin adalah kata-kata yang terbaik dalam menghuraikan erti sepi. Filem Sepi arahan Khabir Bhatia dengan skrip Mira Mustafa dan Ara adalah sentuhan kedua mereka selepas filem Cinta. Tidak ketinggalan ialah tenaga penting sebelum ini iaitu Dhojee dan Madnor Kassim. Namun Cinta dilihat jauh meninggalkan Sepi dari segala segi baik jalan cerita, sinematografi, lakonan dan kesan dramatiknya. Namun membandingkan dua hasil kerja Khabir Bhatia, Mira, Dhojee dan Madnor ini bukanlah suatu yang dapat memberikan rumusan yang tepat terhadap filem Sepi.

Setiap manusia mempunyai ketika-ketika sepinya. Inilah yang cuba dikembangkan oleh Khabir dan Mira. Sepi di dalam kehidupan tiga orang pelaku, Adam, Sufi dan Imaan adalah persoalan kehidupan dan keberadaan manusia. Titik cerita ketiga-tiga pelaku ini bertolak daripada peristiwa atau babak Adam berkejar ke keretanya, tiba-tiba kemalangan berlaku dan seorang gadis melambung dilanggar kereta. Lelaki yang melanggar gadis itu berkejar keluar meninggalkan isterinya yang tersangkut di dalam kereta. Kereta itu meletup dan isterinya terkorban. Lelaki yang melanggar gadis itu adalah Sufi dan gadis yang melambung dilanggar Sufi itu ialah Imaan. Adam, Sufi dan Imaan bertemu pada titik ini selepas bergerak dari cerita atau sebelum bergerak ke cerita masing-masing.

Adam (Afdlin Shauki) seorang teruna yang meningkat usia tercari-cari pasangan hidup yang akan menjadi penutup kepada kesepiannya. Adam seorang chef yang sibuk menguruskan perniagaannya sehingga sukar menemui seorang wanita yang sesuai untuk menjadi pasangan hidupnya. Adam diuja oleh Nasha yang gila-gila, tapi Adam keliru untuk menerima Nasha. Suatu hari Adam terserempak seorang gadis bersunting bunga, Sejak itu bayangan gadis itu menggamit Adam. Akhirnya Adam secara kebetulan bertemu dengan gadis yang menggamit hatinya, Ilyana (Vanida Imran). Hubungan mereka mula terjalin, melalui konflik, dan akhirnya peleraian dengan Adam dan Ilyana bersatu dalam bahagia.

Sufi (Tony Eusof) ditekan rasa bersalah oleh kematian isterinya kini hidup membesarkan satu-satunya anak lelaki mereka. Kesepian melingkari kehidupan Sufi, seorang hartawan pemilik kilang kasut sehingga membuatkan dia berlari dan berlari di taman setiap hari. Sufi cuba lari daripada beban perasaan bersalahnya, tetapi pelariannya tidak pernah berakhir sehinggalah suatu hari Sufi bertemu Marya (Eja) di taman. Marya seorang isteri kepada lelaki budiman (Riezman), seorang pembekal makanan basah. Marya adalah wanita sepi yang datang ke taman untuk mengubat hatinya yang tidak mempunyai anak itu dengan melihat anak-anak bermain. Kesepian Sufi dan kesepian Marya membuatkan hati mereka bertaut. Namun Marya adalah isteri orang. Tawaran Sufi untuk Marya memilih dirinya dan meninggalkan suaminya membuat Marya dalam keadaan sukar. Namun akhirnya Sufi dan Marya menerima hakikat bahawa cinta tidak semestinya bersatu. Cerita Sufi berakhir dengan cinta dan sepi yang dipunyainya dibawa hingga ke akhir hayatnya.

Cerita Imaan (Baizura Kahar) bermula di pentas teater. Di situ Imaan yang menulis skrip bertemu Ean (Syed Hussain) pelakon utama yang buta seni tetapi bergantung kepada kekacakannya untuk memegang watak utama. Ean yang memperlekehkan skrip Imaan mula cuba merapati Imaan, tetapi malangnya Imaan telah mempunyai teman lelaki iaitu Khalil. Ean yang berusaha untuk mendekati tidak dipedulikan oleh Imaan. Tetapi Ean yang tidak putus asa akhirnya berjaya mendekati Imaan. Khalil kekasih Imaan, mula dirasuk cemburu berpaling meninggalkan Imaan. Pada suatu peristiwa Imaan mengejar Khalil, kemalangan berlaku dan Imaan melambung dilanggar kereta (Sufi). Imaan koma di hospital. Ean dan Khalil silih berganti menemani Imaan. Imaan pulih setelah akhirnya Khalil melepaskan Imaan. Rupanya Khalil telah lama mati. Khalil hanyalah ilusi Imaan yang tidak dapat menerima hakikat kematian Khalil. Imaan selama ini hanya bercakap sendirian, berjalan sendirian seolah-olah dia berbual dan berjalan dengan Khalil. Ean mengetahui keadaan Imaan dan mula mengambil berat tentang hal Imaan. Imaan sembuh dan menerima hakikat tentang Khalil. Ean kini menjadi pengganti Khalil. Kesepian Imaan yang parah kini berakhir.

Dari segi lakonan, secara kebetulan sosok fizikal Adam, Sufi dan Ean membawa peran daripada tafsiran tertentu. Sosok endomof Adam melambang watak yang suka menyenangkan orang, sentimental dan mudah bergaul. Peran ini terbina baik di tangan Afdlin Shauki. Sosok ektomof Sufi melambang watak seorang yang sensitif, intelektual, spritual dan menyendiri. Tony Eusof ternyata pelakon yang cukup bertenaga. Ean mempunyai sosok mesomof yang ditafsirkan sebagai seorang yang aktif, bertenaga, kurang sensitif, mencari prestasi dan agresif. Menepati sosoknya Syed Hussain menjadi pelaku seorang mahasiswa yang aktif dan bertenaga. Bentuk ini memainkan peranan penting dalam membina peran dalam sesebuah lakonan. Ternyata bentuk-bentuk fizikal watak ini memberikan lambang yang tepat terhadap peran yang dimainkan oleh pelaku-pelakunya. Sebenarnya tafsiran bentuk dengan peran ini terkandung dalam sekolah pemikiran Stanislavsky.

Kemantapan lakon atau peran yang dibawa oleh para pelakon dengan bentuk serta pembinaan sosok yang melahirkan mode of being berjaya mengangkat Sepi sebagai filem yang mempunyai kekuatan karakter. Namun dari segi cerita dan naskhahnya, Sepi dilihat menampal kolaj-kolaj daripada pelbagai filem sebelumnya. Sama ada hal ini adalah cubaan yang disengajakan oleh Mira dan Khabir dalam memberikan suatu gaya baru filem yang menjadikan Sepi sebagai sebuah filem kolaj atau ia merupakan pengaruh yang berlaku secara intertekstualiti. Bagaimanapun kehadiran kolaj-kolaj daripada pelbagai filem ini boleh membawa suatu bentuk gaya yang menarik dalam seni perfileman. Di Hollywood bentuk filem kolaj ini boleh dilihat dalam filem Scary Movie dan sebagainya. Tetapi ia dibuat dalam bentuk humor-satira berbeza dengan Sepi yang membawa filem kolaj ini dalam bentuk melodramatik yang bermain dengan emosi dan intelektualiti.

Sepi seperti puisi Khalil Gibran adalah kehidupan yang tidak merasakan keberadaan dan keberadaan yang tidak merasakan kehidupan. Adam yang keliru tentang hidupnya yang tidak merasakan keberadaannya. Sufi yang diremuk rasa bersalah hingga keberadaannya tidak lagi merasakan kehidupan. Dan Imaan adalah kedua-dua keberadaan yang tidak merasakan kehidupan dan kehidupan yang tidak merasakan keberadaan oleh traumanya kehilangan Khalil. Di sinilah Sepi dihadirkan untuk menjadikan kesendirian itu kejam seperti maut. Namun pada akhirnya Sepi seperti bunga mawar yang tumbuh dalam bayangan, keluar untuk menampilkan kewangiannya meninggalkan bayangan yang selama ini menutup keberadaannya.

Milenia, September 2008

Thursday, October 9, 2008

SUATU HARI SEBELUM RAYA



Sehari sebelum hari raya aidilfitri syawal 1429 (1 september 2008), iaitu hari selasa 30 sept 2008, saya pergi menonton filem "Punggok Rindukan Bulan" (PRB)di Midvalley. Sebaik sahaja masuk ke panggung dan duduk menonton, saya terasa seperti Toto dalam Cinema Paradiso yang menonton filem-filem sebelum ia ditayangkan kepada orang ramai. Mengapa? Kerana panggung wayang itu hanya saya seorang sahaja yang ada untuk menontonnya. Tiada seorang pun penonton lain. Benar-benar hanya saya seorang sahaja. Dalam seumur hidup saya menonton filem di wayang,inilah kali pertama saya menonton seorang diri di dalam panggung wayang.

Pertamanya, semua orang sibuk balik ke kampung dan membuat persiapan hari raya, logiknya siapa yang nak menonton wayang pada hari terakhir puasa ini. Saya tidak ada kampung untuk balik, raya saya di Bangi dan Hulu Klang sahaja. Mudah. Persiapan hari raya pun sudah awal-awal selesai. Jadi saya lari sekejap pada pagi itu ke Midvaley untuk menonton PRB sebelum ia hilang dari panggung; dan sememangnya hanya inilah sahaja masa yang saya ada untuk menonton PRB yang ditayangkan hanya sampai Hari Raya Kedua itu.

Keduanya, PRB adalah filem seni dan bukan filem pop komersil seperti rempit, drif, cinta plastik, hantu dan sebagainya. Kualiti otak penonton Malaysia seperti yang sedia termaklum tidak mungkin mahu menghabiskan masa dan wang mereka untuk datang berfikir dan menikmati seni dalam filem. Filem bagi penonton Malaysia hanya tempat untuk berhibur dan berkhayal melihat hero dan heroin.

PRB, arahan Azhar Rudin dan diterbitkan oleh Amir Muhammad ini mungkin bukanlah filem seni yag terbaik, tetapi sekurang-kurangnya ia memberikan sebuah cermin tentang kehidupan masyarakat Melayu di penempatan rumah pangsa. Ia sebuah kehidupan yang tidak bercakap sebenarnya. Azhar Rudin mempunyai keyakinan yang tinggi kepada bahasa visualnya. Filem ini memperlihatkan stratafikasi kelas dan demografi sosial, khusus kelas masyarakat bawahan di bandar. Kehidupan sosial yang punah oleh kesempitan ekonomi; yang diakibatkan juga oleh sikap dan fatalisme watak-watak yang menyerah untuk hidup 'dalam kadar nasib mereka'. Filem ini amat menarik untuk melihat wajah masyarakat Melayu yang mengalami transformasi desa ke bandar, namun akhirnya jatuh terpinggir dalam sebuah kotak yang mengunci nasib mereka - kotak kehidupan asing yang menjadi normal akhirnya.

PRB sebuah filem kehidupan yang baik. Tetapi seusai menonton filem ini saya terasa seperti ada yang hilang dalam kehidupan yang bergerak dalam filem ini. Ia adalah sebuah kehidupan keluarga Melayu, tetapi masyarakat Melayu yang hilang amalan agamanya. Orang Melayu yang Islam harus sembahyang lima kali sehari, sekurang-kurang bersembahyang jumaat atau mengucap, berastighfar, tahlil dan tasbih apabila terkejut dan terketawa. Tetapi dalam filem ini semua itu tidak ada. Yang ada ialah orang Melayu yang Islam memancing beberapa hari dan beberapa malam di atas bot tanpa bersembahyang. Orang Melayu yang tidur tanpa sembahyang subuh. Mungkin filem tidak perlu menayangkan semua perkara remeh itu. Tetapi mengapa filem amerika latin yang hebat, filem thailand, filem filipina cukup bangga menayangkan amalam agama mereka?

Mungkin filem-filem Melayu tidak mahu beragama lagi. Atau masyarakat Melayu yang sudah tidak beragama lagi?

Tuesday, August 12, 2008

REVIU FILEM OGOS 2008

FENOMENA AYAT-AYAT CINTA

Ayat-ayat Cinta sebuah filem Indonesia yang diangkat daripada novel popular Islami Habiburrahman Shirazi. Ketika diterbitkan novel ini meletup di pasaran dan menjadi bahan bacaan kegilaan anak-anak muda. Novel Ayat-ayat Cinta melahirkan fenomena baru di Indonesia. Fenomena novel popular Islami ini segera menenggelami gelombang sastera lucah yang menyerang dunia sastera Indonesia pada masa itu. Gelombang sastera seks atau sastera lucah atau juga disebut sebagai ‘sastera wangi’ (fragrance literature) dilancarkan kelompok sasterawan dari Teater Utan Kayu (TUK) pimpinan Goenawan Mohamad. Kelompok ini melahirkan gelombang sastera lucah di tangan penulis seperti Ayu Utami dengan novel Saman, di samping penulis-penulis lain seperti Djenar Maesa Ayu, Mariana Amiruddin dan sebagainya. Kumpulan yang membawa aliran sastera liberal ini muncul seiring dan saling mendukung dengan gerakan Islam Liberal yang rancak dengan tulisan Ulil Abshar.

Taufik Ismail seorang tokoh sastera Indonesia dari angkatan 66 melabelkan karya-karya ini sebagai sastera SMS iaitu ‘Sastera Mazhab Selangkangan’ atau FAK iaitu ‘Fiksi Alat Kelamin’ kerana hanya berbicara tentang hal-hal alat kelamin dan lucah. Taufik Ismail bersama pendokong sastera dan seniman lain menyerang hebat kumpulan penulis sastera SMS ini. Namun kemudiannya muncul novel popular Islami Ayat-ayat Cinta yang mencetuskan fenomena baru sekaligus menenggelami gelombang sastera lucah yang baru cuba mengakar itu. Fenomena novel cinta Islami ini kemudian disertai oleh novel popular pendidikan Laskhar Pelangi oleh Andrea Hirata dan novel popular sejarah iaitu trilogi Gajah Mada oleh Langit Kreshna.

Novel Ayat-ayat Cinta menjadi pencetus kepada kebangkitan novel-novel Islami yang akhirnya menenggelamkan gelombang novel picisan dan lucah inilah diangkat menjadi filem yang kini mencetuskan fenomena sinema Islam di Indonesia. Tentunya adaptasi novel ke filem tidak akan membawa seratus peratus sifat dan inti novel itu ke filem. Namun ia telah berjaya melahirkan sebuah filem atau sinema Islam yang cukup berkesan.

Ayat-ayat Cinta membawa pengertian tentang keindahan Islam. Islam adalah cinta, iaitu sifat kasih dan sayang terhadap semua yang wujud. Islam adalah cinta yang membawa penyerahan yang sepenuhnya terhadap Allah s.w.t. Islam adalah cinta yang memberikan kesejahteraan kepada semua manusia. Fachri adalah watak ideal seorang protagonis daripada sebuah cita-cita Islam. Beriman, berilmu, lembut, tawadhuk, redha, berani dan jujur. Fachri memberikan semua cinta di dalam dirinya dan menarik semua cinta kepadanya. Fachri adalah sebuah medan yang menarik semua hati datang kepadanya. Cinta Nurul, gadis Indonesia teman kuliah Fachri di Al-Azhar yang akhirnya menerima kecewa sebagai ketentuan untuk menjadikan manusia lebih tabah dan jujur. Maria, gadis Kristian Koptik Mesir yang kehilangan semua kekuatan untuk hidup oleh kerana kehilangan Fachri dari cita-cita dan harapan cintanya. Noura, gadis Mesir yang membalikkan cintanya menjadi api yang membakar semua yang ada. Dan akhir sekali, Aishah gadis Jerman warganegara Mesir yang memeluk Islam oleh kerana cintanya kepada Islam yang menemui seorang Yusuf a.s di dalam tubuh seorang Fachri. Ini semua adalah kenderaan kepada persoalan yang lebih besar iaitu, tassawur al-kulli yang dikembangkan oleh Islam melalui ayat-ayat yang cukup agung untuk meruntun kasih dan sayang semua maujud di alam semesta. Islam adalah kasih dan sayang yang membina keagungan cinta, bukan kebencian dan keganasan yang membunuh cinta. Di sini Islam dibina melalui pengertian isyk (cinta) lebih daripada melalui pengertian khauf (takut).

Fachri adalah tipa daripada usaha untuk menjelmakan Yusuf a.s dalam jiwa umat Islam masakini. Latar negeri Mesir dan penjelmaan cinta seorang lelaki luhur yang bernama Fachri, bukan diadakan hanya untuk melatarkan seorang pemuda Indonesia yang mencari cinta di rantau pasir yang jauh. Tetapi adalah alusi untuk membawa kisah Yusuf a.s ke dalam tubuh pemuda-pemuda muslimin. Seperti Sungai Nil yang dicipta sebagai jodoh yang ditemukan untuk Mesir, begitulah cinta dicipta untuk dijodohkan dengan addin iaitu jalan kepada kebenaran.

Semangat keindonesiaan yang kuat mungkin memperlihatkan sifat patriotik yang agak pathetic, apabila Mesir, Jerman, Amerika dan semuanya jadi ‘tertakluk’ kepada Indonesia. Indonesia diberi watak lelaki yang didambakan, sedang Mesir, Jerman dan lain-lain diberikan watak wanita yang mendambakan. Ia memperlihatkan keghairahan ‘Indonesia’ untuk menjadi besar, tetapi dari sudut yang lain ia mengalirkan bagaimana ‘penaklukan’ itu berlaku melalui cinta, iaitu sifat kasih dan sayang yang mempunyai tenaga dan kuasa yang tidak terjangkau. Penaklukan ini menolak semua kekerasan sebaliknya menjadikan cinta sebagai kekuatan yang tidak tertanding. Sebagai sebuah cerita yang terkandung dalam jalur novel popular, unsur melodramatik dan penagihan kesedihan tentunya adalah salah satu daripada sifat utamanya. Namun kebijakan filem ini ialah keupayaannya untuk menjadikan hakikat dan kemunasabahan emosi manusia lelaki dan manusia wanita kelihatan benar dan bukan sesuatu yang dibuat-dibuat.

Ayat-ayat Cinta banyak mengangkat ayat-ayat al-Quran, hadis dan petikan kata-kata ulama muktabar dalam mengemukakan pandangan atau melahirkan suatu bentuk persona dalam memperkatakan tentang kebesaran, keindahan dan kebenaran Islam. Apabila seorang lelaki Islam di atas kereta api mengambil tindakan memusuhi dan cuba menyakiti ‘orang-orang kafir’, Fachri datang menyanggah dengan mengatakan Islam tidak pernah melakukan perkara yang seaib dan sekeji itu. Islam adalah agama yang terbuka dan tidak membalas dengan sifat yang kasar dan buruk. Hal ini menepati kata-kata Saidina Ali r.a yang menasihati al-Malik Ashtar, gabenornya di Mesir untuk melayan manusia dengan dua layanan sahaja, ‘sebagai saudara seagamamu, dan sebagai manusia yang sepertimu’. Dari peristiwa-peristiwa beginilah Fachri melancarkan sebaran cahaya keindahan Islam yang menakluki hati masyarakat di sekelilingnya, Nurul, Maria, Noura dan akhirnya Aishah yang kemudian menjadi isteri Fachri yang sah. Ini semua merupakan simbolik tentang bagaimana Islam itu dipancarkan ke dalam hati nurani umat manusia melalui keindahan dan keimanan yang benar.

Fachri dicipta sebagai model protagonis yang ideal iaitu insan yang baik. Ini menepati pernyataan Syed Naquib Al-Attas tentang insan, “Dari segi pandangan Islam, insan yang baik itu ialah insan yang berilmu luhur, yang insaf akan tanggungjawab dirinya kepada Tuhannya yang Hak; insan yang memahami serta menyelenggarakan penunaian tanggungjawabnya terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya; insan yang dalam serba serbi tingkahlakunya senantiasa mengasuh dirinya menuju ke arah kesempurnaan sebagai insan adabi”.

Sebuah sinema Islam tidak memerlukan wira yang perkasa, pendendam, dan suka membunuh tetapi memerlukan seorang insan adabi yang mampu melahirkan keimanan dan kebenaran melalui ayat-ayat cinta al-Quranul karim.

Milenia Muslim, Ogos 2008.

Tuesday, August 5, 2008

REVIU FILEM JULAI 2008

INDIANA JONES SEBUAH WACANA ORIENTALISME

Ketika mula diterbitkan pada tahun 1981, Indiana Jones: Raiders of the Lost Ark menjadi sebuah titik penting bagi kehadiran filem aksi-pengembaraan Hollywood. Kehadiran sekuel Indiana Jones: The Temple of Doom dan Indiana Jones and the Last Crusade mencetuskan sebuah fenomena bukan sahaja di Hollywood tetapi di seluruh dunia yang dicengkam pengaruh Hollywood. Filem Indiana Jones dikatakan menjadi pencetus filem aksi-pengembaraan dan dikatakan memberikan pengaruh besar terhadap filem-filem aksi selepas tahun 1981. Antaranya filem aksi Die Hard yang dibawa oleh Bruce Wilis tidak terkecuali dikatakan mendapat inspirasi daripadanya. Kemudian inspirasi dan pengaruh Indiana Jones dibawa ke dalam filem-filem seperti Kings Solomon’s Mine (1985), Allan Quatermain and the Lost City of Gold (1986), The Mummy (1999), The Mummy Returns (2001), The Scorpion King (2002), National Treasure (2004), National Treasure: Book of Secrets (2007), The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor (2008), Nim’s Island (2008), dan sebagainya.

Indiana Jones mencetuskan fenomena filem aksi yang banyak menggunakan babak aksi lasak yang dibuat pelakon-pelakon aksi lasak, dan kadangkala oleh pelakonnya sendiri. Fenomena babak aksi lasak dalam filem ini kemudian diubah kepada penggunaan teknologi komputer (CGI dan sebagainya) dengan kehadiran filem-filem dari Star Wars sehinggalah The Matrix. Setelah sekuel terakhir Indiana Jones and the Last Crusade, siapa pun tidak menyangka selepas 19 tahun Steven Spielberg dan George Lucas akan kembali bergabung tenaga menghasilkan Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull. Bahkan ia mengekalkan Harisson Ford yang kini mencecah usia 60 tahun sebagai Prof Dr. Henry Walton Jones alias Indiana Jones tahun di samping pelakon asal seperti Karen Allen sebagai Marion Ravenwood. Cuma kali ini muncul Shia LaBeouf yang membawa watak Mutt Williams, iaitu anak (luar nikah) Indiana Jones bersama Marion.

Filem-filem Hollywood adalah suatu bentuk penyebaran hegemoni budaya liberal-sekular Amerika Syarikat, dalam masa yang sama menghantar gelombang penguasaan kapitalisme. Hollywood adalah sebuah pangkalan orientalisme pascamoden yang paling perkasa di dunia sekarang ini. Orientalisme mengikut Edward Said ialah tentang bagaimana sarjana-sarjana Barat mewujudkan kesedaran palsu (false consciuosness) dalam mencipta imaginasi dan prejudis terhadap dunia selain Barat. Wujud tentang apa yang disebut ‘The Others’ dan ‘Self’’ dalam konteks membezakan antara masyarakat Barat-penjajah dan masyarakat bukan Barat-dijajah. Ia mewujudkan tujuan instrumental yang melahirkan imaginasi, citra, simbol, makna dan tafsir dalam usaha meresapkan kebenaran yang palsu kepada objek penjajahannya. Pandangan dunia yang dikuasai Barat membina dikotomi baik menentang jahat. Suatu bentuk generalisasi paksi kebaikan (Dunia Barat) menentang kejahilan dan kejahatan (Dunia Selain Barat) telah diwujudkan secara konsisten. Kemuncaknya dunia bukan Barat-dijajah kehilangan diri-merdeka dan meletakkan keberadaan mereka melalui simbol, imej, dan makna yang diberikan oleh Barat-penjajah.

Dalam konteks Hollywood, paksi dan imej hegemoni ini adalah Amerika Syarikat (AS) dan semua imej yang mencabar, menyaingi dan tidak disenangi oleh AS akan digambarkan sebagai imej jahat (antagonis). Dikotomi AS (baik) menentang alam kejahatan (seteru AS) diwujudkan secara konsisten walaupun pada hakikatnya AS adalah paksi kejahatan utama di dunia ini. Dalam The Raiders of the Lost Ark, antagonisnya adalah Hitler dan Nazi yang cuba memperolehi kuasa untuk menakluki dan memusnahkan dunia daripada tinggalan bahtera Nabi Nuh. Ini tidak menghairankan memandangkan darah Yahudi Spielberg dan Lucas tidak akan melupakan apa yang telah dilakukan oleh Hitler terhadap kaum Yahudi di Jerman. Maka Hitler serta gerombolan Nazinya digambarkan sebagai jahat dan bodoh, dan dikalahkan oleh AS-Yahudi (Indiana Jones) yang datang untuk menyelamatkan dunia. Sementara dalam The Temple of the Doom, China dan India pula memegang watak antagonisnya. Ini memperlihatkan ‘ketidaksenangan’ AS terhadap kebangkitan kuasa China yang menyainginya. Dalam pada itu ia menjana imej ‘sifat lemah dan harapan’ India mendapatkan pertolongan AS (Indiana Jones) untuk menyelamatkan mereka daripada kejahatan. Akhirnya dalam The Last Crusade, Nazi Jerman sekali lagi diberi watak antagonis. Ternyata kebencian serta sifat fanatik zionisme Speilberg dan Lucas telah membuatkan mereka menghadirkan filem-filem yang membawa agenda zionisme Yahudi yang sangat konsisten.

Kemunculan The Kingdom of the Crystall Skull hanya membina kesinambungan penyebaran hegemoni budaya dan imej wira AS-Yahudi dalam membebaskan dunia daripada kejahatan dan kegelapan. Tamadun Maya yang begitu maju dinafikan dengan imej penduduknya diberi rupa yang liar, ganas dan tidak bertamadun. Bahkan tamadun Maya yang agung itu dihipotesiskan sebagai ciptaan makhluk asing yang datang ke bumi. Di sini wacana orientalisme pascamoden AS secara tersirat memalsukan sejarah dengan citra dan imej filem yang merendah-rendahkan manusia (others) selain mereka (self). Ini bertepatan dengan apa yang dinyatakan oleh Frantz Fanon bahawa usaha penjajahan baik politik mahupun budaya sebagai suatu bentuk usaha dehumanization manusia yang menjadi subjek penjajahan iaitu manusia yang tidak diperlakukan sebagai manusia tetapi sebagai benda. Jiwa mereka diciptakan kompleksiti inferior yang diakibatkan oleh pembunuhan kebesaran budaya tradisi yang termasuk sejarah, bahasa, wacana dan idealogi. Di sini ‘Will to truth’ yang sangat berkaitan dengan ‘will to power’, menjadikan kuasa (media dan propaganda) sebagai pemilik kebenaran.

Siri filem terbaru Indiana Jones ini menjadikan Rusia pula sebagai antagonisnya, yang diwakili oleh imej Spalko seorang wanita Ukraine yang mengetuai pasukan sulit KGB. Imej wanita ini adalah gambaran ‘permissive’ yang diprojeksi oleh Speilberg sebagai ‘bahan atau ruang taklukan’ yang dibayangi oleh superioriti Indiana Jones dalam konteks wacana patriakismenya. Pengakhiran cerita seperti yang dimaklumi memberikan kemenangan gemilang kepada kuasa kebaikan (AS-Zionisme) dalam menghapuskan segala kuasa dan unsur kejahatan di muka bumi ini. Ternyata wacana orientalisme sangat memainkan peranan dalam setiap citra-imej dan imaginasi-cerita yang mengisi filem Indiana Jones: The Kingdom of the Crystall Skull ini.

Ia tentunya sebuah filem yang menarik dan hebat melalui aksi pengembaraan dan pergaduhannya; yang sememangnya dibikin untuk menimbulkan kesan kekaguman kepada manusia di seluruh dunia bagi meloloskan agenda hegemoni budaya dan superioriti AS-Yahudi. Sekaligus cuba menutup bangkai busuk segala kejahatan dan pembohongan AS-Yahudi di muka bumi ini.

Milenia Muslim, Julai 2008

Sunday, August 3, 2008

REVIU FILEM JUN 2008

THE KITE RUNNER DAN EMOSI YANG TERBELAH

Carl Gustav Jung mengemukakan satu teori psikologi tentang proses ‘menjadi diri sendiri’ iaitu apa yang disebut sebagai individuasi. Ia adalah proses menterjemahkan ego (gerak luar) bersama-sama self (gerak dalam) untuk mencapai realisasi diri. Proses individuasi ini tidak mengurung seseorang untuk menjadi terpisah dari dunia, tetapi menghimpun dunia di dalam dirinya.

The Kite Runner adalah sebuah filem yang diangkat daripada novel karya Khaled Hosseini yang memakai judul yang sama, mendapat sentuhan daripada pengarah muda Marc Forster. Filem ini membawa kepada pergolakan dalaman Amir, seorang anak Pashtun dari Kabul, Afghanistan menelusuri ingatan zaman kanak-kanaknya di Kabul sebelum Afghanistan dihancurkan oleh peperangan yang menyaksikan silih ganti penyerbuan Rusia dan Amerika Syarikat, tidak terkecuali perang sesama sendiri. Kabul adalah sebuah bandar yang dipenuhi kegembiraan dengan pelbagai amalan budaya masyarakat tempatan, antaranya ialah permainan layang-layang. Amir adalah anak kepada Baba, seorang kenamaan di Kabul seringkali ditemani oleh Hassan, anak kepada Ali seorang etnik Hazara yang berkhidmat dengan Baba. Secara tidak langsung Hassan turut menjadi penjaga yang berkhidmat dengan penuh setia kepada Amir, di samping menjadi teman sepermainan Amir.

Pertandingan menentukan layang-layang yang berjaya memutuskan tali layang-layang lain akan muncul sebagai pemenang. Layang-layang yang putus pula akan menjadi hakmilik sesiapa yang berjaya menangkapnya. Hassan mempunyai kebolehan untuk merasakan di mana layang-layang yang putus itu jatuh dan seringkali mengatasi kanak-kanak lain dalam mendapatkan layang-layang. Namun realiti di Afghanistan, etnik Hazara dianggap sebagai etnik yang rendah dan rata-ratanya dipandang hina oleh kaum majoriti Pashtun yang berkuasa dan berpengaruh di Afghanistan. Bahkan etnik Hazara yang kebanyakannya bermazhab Syiah itu pernah dianggap bukan Islam oleh regim Taliban yang bermazhab sunni Wahabi beraliran Deobandis dan terdiri kebanyakannya daripada etnik Pashtun yang sangat fanatik semangat kepuakannya. Sentimen ini menimbulkan peristiwa Hassan dihina oleh Assef si pembuli di hadapan Amir. Amir yang sentiasa menyerahkan keselamatan dirinya di tangan Hassan hanya diam melihat Hassan dihina oleh Assef.

Baba yang sering menyumpah komunis itu, menyayangi Amir dan Hassan tanpa membeza-bezakan mereka walaupun Hassan hanyalah anak khadamnya dari etnik Hazara. Amir pula, seorang anak yang kehilangan ibu menjadikan Hassan tempat bergantungnya. Dalam melayani Amir, kesetiaan Hassan kepada Amir melebihi segala-galanya. Suatu ketika mereka berdua menyertai pertandingan layang-layang di Kabul. Pesta pertandingan yang meriah ini menyaksikan Amir yang ditunjuk ajar oleh Hassan, muncul sebagai pemenangnya. Ketika Hassan mengejar layang-layang untuk Amir, dia telah diserkap oleh Assef dan kawan-kawan pembuli mereka. Amir yang mencari Hassan ternampak Assef dan kawan-kawannya menyerkap Hassan. Assef meminta Hassan menyerahkan layang-layang itu tetapi Hassan mempertahankannya kerana Hassan telah berjanji akan menyerahkan layang-layang itu kepada Amir. Assef dan kawan-kawannya menangkap dan meliwat Hassan (peristiwa ini menjadi kontroversi filem ini). Peristiwa ini disaksikan secara sembunyi oleh Amir, tetapi Amir tidak menyelamatkan Hassan sebaliknya melarikan diri. Hassan keluar dengan kecederaan fizikal, dan emosinya yang lebih parah tetapi masih mempunyai layang-layang untuk diberikan kepada Amir. Hassan mengorbankan diri dan maruahnya demi Amir.

Sejak hari itu hubungan Amir dan Hassan mula suram. Amir yang terperangkap dengan rasa bersalah oleh sifat penakutnya ingin menyingkirkan Hassan daripada hidupnya, sekaligus menyingkirkan kekecewaan rasa bersalahnya. Hassan yang ditekan emosi oleh perbuatan binatang Assef dan sikap Amir yang bertukar pelik lebih menderita. Akhirnya Hassan keluar dari hidup Amir, apabila Amir mengadu Hassan mencuri jamnya yang sengaja diletakkan Amir di katil Hassan. Hassan mengaku mencuri jam itu di hadapan Baba, Amir dan bapanya Ali kerana Hassan tahu Amir mahu menyingkirkannya.

Keseluruhan cerita ini adalah berkenaan pergolakan diri Amir yang terperangkap dalam egonya yang cuba menundukkan diri (self). Ia menjadi satu proses untuk mencapai realisasi diri yang menyaksikan Amir seperti mengurung dirinya untuk menjadi terpisah dari dunia, tetapi hakikatnya proses ini menyaksikan Amir menghimpunkan dunia di dalam dirinya. Amir menghimpunkan dunia pergolakan politik Afghanistan apabila dia dan ayahnya, ketika serbuan Rusia melarikan diri keluar dari Afghanistan lalu berhijrah ke AS. Di sana Amir membesar sehingga akhirnya berkahwin dengan Soraya. Baba kemudian meninggal dunia membawa segala penderitaan insan yang terhumban dari tanahairnya. Kemudian Amir dihubungi oleh Rahim Khan, sahabat baik Baba yang banyak mendorong Amir ketika kanak-kanak dahulu menjadi penulis yang berjaya untuk datang ke Pakistan.

Rahim Khan membawa proses individuasi atau ‘menjadi diri’ Amir ini ke puncaknya, apabila meminta Amir pergi sendiri menyelamatkan Sohrab, anak Hassan di Afghanistan. Hassan diberitahu telah meninggal dunia ditembak rejim Taliban bersama isterinya kerana mempertahankan rumah Baba yang dijaganya. Paling mengejutkan Rahim Khan menyatakan bahawa Hassan adalah anak Baba dengan isteri Hazaranya. Maka Sohrab yatim piatu itu ialah anak saudara Amir. Amir kembali ke Afghanistan dan merebut Sohrab dari tangan Assef, kini menjadi komander Taliban yang menculik kanak-kanak untuk dijadikan tebusan seks. Di sini Amir menebus segala-galanya; dosanya kepada Hassan, keberanian yang dipinta oleh Baba, dan paling indah ‘menjadi diri dalam hakikat dirinya yang sebenar’.

Filem ini adalah persona atau lebih dari itu Freudian slip seorang Khalid Hosseini yang terlempar keluar dari bumi Afghanistan oleh penjajahan Rusia, membesar, terdidik dan membina kehidupan di Amerika Syarikat tetapi membekam luka yang dalam oleh segala kisah dan tragedi di tanah cintanya, Afghanistan. Khalid membenam luka dalam kenangannya pada masa kecil. Tetapi sukar bagi Khalid memahami Afghanistan daripada fikiran zaman kanak-kanaknya. Khalid melihat Rusia yang celaka, para Mujahiddeen yang kemudian menjadi para perompak, dan akhirnya Taliban sebuah rejim ortodoks yang zalim – memusnahkan segalanya di Afghanistan. Tetapi Khalid seperti Amir di dalam filem tidak menemui dirinya (self) yang hilang, dan cuba menutupnya (ego) dengan mencipta sebuah zaman kanak-kanak yang luka. Sukar untuk memberikan justifikasi terhadap apa yang dilakukan Taliban, tetapi mudah untuk memberikan hukuman. Begitu juga sukarnya untuk memahami jiwa pelarian seperti Khaled Hosseini, tetapi mudah memberikan anggapan terhadap hidupnya yang bahagia sebagai vernacular cosmopolitan di AS.

The Kite Runner sesungguhnya sebuah filem yang bukan sahaja memberikan banyak sisi tetapi juga melihat proses seorang manusia ‘menjadi dirinya yang sebenar’, dengan menghimpun sebuah dunia yang luka di dalam dirinya. Pada masa yang sama cuba untuk tidak menghilangkan kesucian Islam (Islam dilihat terpisah daripada segala perbuatan umatnya yang salah) – yang dilukakan oleh umatnya.

Milenia Muslim, Jun 2008

Tuesday, July 29, 2008

REVIU FILEM MEI 2008

ANTARA AKHIRAT DAN ‘MI’ FOR MOTHER

Pawagam menayangkan beberapa buah filem Melayu pada awal tahun 2008 ini. Antaranya ialah Anak, Duyung dan Akhirat. Anak yang menampilkan pelakon Era Fazira, adalah sebuah cerita seram yang hanya bertahan sebentar sahaja di pawagam, sekaligus menjelaskan kegagalan filem seram yang banyak mengambil bentuk filem seram Jepun Ju-on itu. Duyung sebuah filem komedi arahan A. Razak Mohideen yang menampilkan pelakon-pelakon seperti Saiful Apek, Yassin, Maya Karin, Awie dan ramai lagi. Duyung mengekalkan trademark filem A. Razak Mohideen yang lebih menampilkan filem hiburan ringan-kosong yang hanya memerlukan pelakon datang dengan otak yang kosong dan pulang dengan otak yang kosong juga. Filem ketiga ialah Akhirat arahan Syed Mohamed Hassan Benyahya menampilkan pelakon seperti Vanida Imran, Tony Eusoff, Jins Shamsuddin, dan ramai lagi, berkisar tentang kisah mangsa AIDS yang menerima penyakit tersebut akibat dirogol oleh penagih dadah.

Ketiga-tiga filem Melayu ini masih terkurung dalam kegelapan cerita oleh kerana skrip yang ditulis dengan pemikiran yang kosong dan kegagalan memahami apakah itu jalur cerita apabila sesebuah filem itu ingin bercerita. Jalur cerita adalah kesinambungan cerita, perkaitan peristiwa, dan pertautan sebab musabab oleh kesan logik (logos), nilai sosial (etos), dan emosi umum (pathos). Ini semua sudah lintang pukang dalam dunia filem Melayu. Dalam pada itu, sejak berlakunya gerhana filem Melayu dari awal tahun 2000, kita sudah lama membuang harapan untuk melihat wujudnya unsur pemikiran dan falsafah dalam filem Melayu. Maka itu, filem Melayu yang paling kosong pemikirannya adalah filem yang paling baik – dilihat dalam konteks box-office, yang menggunakan kayu ukur materialisme dan hedonisme. Maka itulah yang dikerjakan oleh pembikin-pembikin filem Melayu – materialisme dan hedonisme di samping simplicity yang membunuh intelektualiti.

Akhirat adalah filem melodrama. Melodrama selalunya dikaitkan dengan permainan unsur emosi-kejiwaan yang menunjukkan bagaimana karakter bergelumang dengan permasalahan, cabaran, isu, pertentangan, dan pertelagahan yang memberikan horizon yang lebih luas kepada penonton untuk memberikan persepsi terhadap dunia kepunyaan karekter tersebut. Melodrama lebih menjurus kepada permainan emosi dan nilai sentimental yang tinggi. Pada masa yang sama melodrama menjana kekuatan subjeknya dengan menghadirkan tiga teras utamanya iaitu, mise-en-scène, muzik, dan persembahan.

Mise-en-scène adalah latar pentas kehidupan atau peristiwa di dalam dunia watak tersebut. Ia adalah keseluruhan objek dan subjek yang menjadi latar kepada peristiwa yang wujud di dalam cerita. Muzik adalah perkaitan dengan perkataan ‘melo’ dalam melodrama itu. Muzik di sini, selain daripada gubahan bunyi juga adalah rentak kehidupan yang beralun atau berlagu dalam cerita. Dalam ertikata lain ia juga adalah getaran emosi yang mengalir dan tumpah di dalam cerita itu. Persembahan adalah keseluruhan penghayatan yang bukan sahaja tertumpu kepada pelakon, tetapi lebih penting pengarah, skrip dan semua alat atau jentera (sumber manusia dan teknologi) pembikinan filem tersebut.

Akhirat adalah sebuah filem yang tidak ada kaitan dengan tajuknya iaitu Akhirat. Ia menimbulkan kekecewaan dan kehampaan yang besar untuk khalayak yang datang untuk melihat sebuah filem yang mungkin tampil sebagai sebuah risalah, dan bukan sebuah propaganda materialisme dan hedonisme. Bahkan filem yang menggunakan nama unsur keIslaman ini, lebih buruk dan kotor dengan menampilkan banyak babak ranjang-seksual yang tidak ada kena mengena pun dengan cerita. Ini boleh dibuktikan bahawa jika semua babak lucah ini dibuang, filem ini tidak akan terjejas sekuman pun. Malangnya pengarahnya adalah seorang yang terlalu kabur dengan apakah bentuk atau genre filem yang ingin dihasilkannya. Syed Mohamad tidak tahu apakah dia ingin menghasilkan sebuah drama, melodrama, thriller, ataupun filem orientasi-seksual. Maka dia mencampur dengan buruknya semua elemen tersebut sehingga penonton akhirnya melihat filem Akhirat ini sebagai sebuah filem yang kalut daripada pengarah yang kabur tentang makna sesebuah genre dalam filem.

Syed Mohamad tidak tahu untuk memberikan fokus kepada kerja pengarahannya. Apa perlunya subplot pertarungan samseng pengedar dadah dalam cerita ini? Apa perlunya watak Jalaludin Hasan dan Adi Putra untuk sengaja diada-adakan dalam drama pesakit AIDS? Dan, apa perlunya babak ranjang antara Adi Putra dan Nabila Huda itu? Semua subplot atau babak yang dimasukkan ini semuanya adalah ‘kerja mengarut’ dalam filem Akhirat ini. Akibatnya filem yang selayaknya hanya menjadi drama televisyen ini mempersia-siakan bakat dan keupayaan pelakon-pelakon besar seperti Vanida Imran, Tony Eusoff, Jalaluddin Hassan dan Jins Shamsudin.

Pada masa yang sama telah berlangsung festival filem Iran iaitu Nourooz Impression di GSC Mid Valley, Pavallion dan One Utama. Sepuluh buah filem Iran ditayangkan dari 22 Mac hingga 2 April, yang menampilkan filem-filem hebat di tangan pengarah-pengarah besar seperti Tahmineh Milani, Ebrahim Hatamika, Saman Moghaddam, Rasoul Mollagholipour dan ramai lagi. Sukar untuk menyatakan filem mana yang terbaik kerana semua filem di sini ialah filem yang terbaik.

Melihat kepada perbincangan tentang melodrama, adalah baik untuk melihat kepada filem Mi for Mother arahan Rasoul Mollagholipour. Filem ini mengisahkan seorang ibu, Sepideh yang melahirkan anak cacat akibat kesan gas mustard yang mengenainya semasa bertugas sebagai sukarelawan perubatan semasa perang Iran-Iraq. Soheil, suaminya seorang diplomat yang tidak dapat menerima hakikat isteri dan anaknya adalah mangsa gas mustard itu keluar daripada hidup mereka dengan menceraikan Sepideh dan meninggalkan Saied, anak mereka yang cacat. Sepideh dan Saied meneruskan kehidupan ibu dan anak dengan bahagia walaupun hidup penuh kesukaran. Sepideh adalah pemain violin yang hebat, menurunkan bakatnya kepada Saied. Maka filem ini selain daripada menawarkan Mise-en-scène yang menakjubkan dan persembahan yang sangat konstruktif, juga memberikan sebuah getaran emosi yang paling ngilu oleh kesan muzik violin yang amat menusuk jiwa yang paling dalam.

Melodrama dalam Mi for Mother ini ialah sebuah ketidaktentuan, ketakutan dan neurosis seorang Sepideh, seorang Saied, seorang Soheil, bahkan Mr. Rubik yang kristian itu, Fezineh, Miriam dan semua objek dan subjek di dalamnya. Rasoul memberikan fokus yang paling jelas kepada melodramanya. Filem ini tidak ada babak pegang tangan pun walaupun Soheil dan Sepideh adalah suami isteri kerana pengarahnya memahami hukum dan prinsip lakonan dalam Islam. Tidak ada subplot ‘mengarut’ yang tidak kena mengena dengan cerita sepertimana subplot pengedar dadah dalam Akhirat. Tidak ada sub-watak yang muncul dan tenggelam tanpa sebab, sebalik semua watak walau sekecil manapun adalah wujud sebagai partikel-partikel kepada tubuh cerita tersebut. Contohnya bagaimana watak-watak anak-anak dan orang cacat akhirnya digabungkan dalam sebuah koir pada akhir cerita dan menumbuhkan kesan emosi yang sangat menusuk.

Terlalu banyak untuk diceritakan dalam Mi for Mother ini. Namun tajuknya Mi, salah satu nada dalam muzik (do re mi fa so la ti do), adalah untuk ibu itu cukup untuk memberikan sebuah mise-en-scène yang paling jitu bagi khalayak memahami falsafah dalam melodrama Rasoul Mollaghalipour ini.

Berbeza dengan Akhirat, sebuah tajuk yang langsung tidak ada pertautan konstruktif dengan cerita bahkan mengingkari kesucian tajuk itu dengan babak yang menghina hukum dan prinsip Islam di dalam filem. Ia tidak berlaku sepertimana hukum dan prinsip yang dipegang oleh pengarah-pengarah Iran dalam menghadirkan filem sebagai sebuah risalah. Dan dalam semua filem Iran, ia dimulakan dengan muqadimmah memuji Allah. Dalam menyatakan kebesaran Allah dan keindahan Islam, Mi for Mother pula menampilkan kenangan Sepideh terhadap bagaimana ayahnya mengajar menulis khat dalam satu ayat, “Mengapakah kau menafikan sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah s.w.t.” Kemudian filem pun bergerak dari titik itu. Ia sebenarnya adalah sebuah filem yang mudah tetapi mempunyai inti pemikiran dan hakikat kehidupan yang amat tinggi nilainya. Ia sebuah filem yang sangat indah.

Apakah terlalu mustahil bagi pengarah filem Melayu untuk menghasilkan sebuah filem yang berfikir – dan indah?

Milenia Muslim, Mei 2008

Monday, July 28, 2008

REVIU FILEM APRIL 2008

MELIHAT PERANG ANTI-PENGGANAS AS DALAM RENDITION

Apakah yang anda rasakan apabila tiba-tiba orang yang anda tunggu ketibaannya di lapangan terbang tiba-tiba lenyap tanpa kesan? Isabella El-Ibrahimi (Reese Whitherspoon), wanita Amerika Syarikat berkahwin dengan warga Amerika keturunan Mesir Anwar El-Ibrahimi (Omar Metwally), seorang jurutera kimia. Mereka hidup bahagia bersama, dengan seorang putera dan menunggu seorang lagi cahaya mata dalam kandungan. Amerika Syarikat adalah negara untuk semua orang mengecap kebebasan tanpa mengira warna kulit. Sekurang-kurangnya itulah yang dipropagandakan, sehinggalah tiba pada suatu ketika mereka menyedari bahawa Amerika Syarikat bukanlah seperti mana yang mereka sangka. Kehidupan Isabella tiba-tiba bertukar apabila suaminya Anwar El-Ibrahimi, lenyap tanpa kesan ketika dalam penerbangan balik dari Cape Town ke Washington. Tiada data dan sebarang bukti yang menunjukkan bahawa Anwar El-Ibrahimi menaiki pesawat tersebut walaupun Isabella telah menerima panggilan telefon daripada Anwar sejurus sebelum Anwar menaiki pesawat. Isabella mencari petunjuk. Pihak di Afrika Selatan mengesahkan bahawa Anwar menaiki pesawat pulang ke Washington. Apabila Isabella melakukan pencarian, dia menemui petunjuk. Anwar menggunakan kad kreditnya untuk membeli barangan di dalam pesawat. Ini mengesahkan bahawa Anwar menaiki pesawat tersebut. Tetapi bagaimana Anwar tiba-tiba lenyap dan semua butir-butir tentang kehadirannya dalam pesawat itu dipadamkan? Isabella menyedari sesuatu yang pelik dan dahsyat berlaku ke atas suaminya.

Rendition diarahkan oleh pengarah dari Afrika Selatan Gavin Hood sementara skripnya ditulis oleh Kelley Shane berdasarkan peranan yang dimainkan oleh CIA dalam melenyapkan dan menyeksa orang-orang yang disyaki pengganas tanpa pengadilan dan pembicaraan. Anwar El-Ibrahim adalah mangsa tangkapan rambang CIA yang menyangka beliau adalah pengganas yang terlibat dengan serangan bom di Mesir yang mengakibatkan kematian seorang pegawai CIA. Selepas serangan 11 September, AS memperkenalkan akta yang disebut Patriot Act yang boleh menahan, mengurung dan menyeksa sesiapa yang disyaki pengganas tanpa bicara. Rendition adalah istilah bagi tindakan CIA menahan suspek dan menghantar mereka ke penjara-penjara CIA di luar negara untuk dikurung dan diseksa bagi mendapatkan maklumat tentang kegiatan pengganas. Ia juga popular dengan sebutan ‘torture taxi’. Namun malangnya kebanyakan mangsa CIA ini adalah orang-orang yang tidak bersalah seperti Anwar El-Ibrahimi ini. Mereka ditahan lantaran prejudis terhadap nama Islam dan asal keturunan mereka dari Timur Tengah.

Anwar diserbu dan ditahan tanpa sebab sebaik tiba di lapangan terbang. Data-data dirinya dipadamkan dan beliau dibawa terus ke hangar yang disewa CIA. Atas arahan Corrinne Whitman (Meryl Sreep), Ketua CIA yang bertanggungjawab atas kegiatan pengganas, Anwar diterbangkan terus ke kem rahsia CIA di Mesir. Di sana Anwar diletakkan di bawah tanggungjawab Abu Fawal (Igal Nour), ketua unit rahsia yang bertanggungjawab mencari maklumat tentang kegiatan militan Islam. Abu Fawal mempunyai kuasa penuh untuk melakukan apa sahaja terhadap tahanannya termasuk menyeksa hatta membunuh, kerana kem rahsia ini tidak mempunyai sebarang undang-undang yang perlu dipatuhi selain daripada menerima arahan daripada CIA dan menteri negara berkenaan yang bertanggungjawab secara rahsia.

Douglas Freeman (Jake Gyllenhaal), pakar analisis CIA yang dilantik menjadi ketua penyelaras CIA di Mesir menggantikan ketua penyelaras CIA yang mati oleh serangan bom kemudiannya menjadi pegawai penyelia kepada soal siasat yang dilakukan terhadap Anwar. Di sana Douglas bertemu Abu Fawal yang amat digeruni dan menjadi sasaran utama pihak militan. Sementara di AS pula Isabella terus berusaha menjejaki Anwar. Usaha ini membawanya kepada Alan Smith (Peter Sarsgaard), teman kolejnya bersama Anwar dahulu untuk menjejak Anwar. Akhirnya kedudukan sebenar terdedah. Nasib Anwar kini terletak di tangan Whitman, ketua CIA yang berasa tindakannya betul dan segala yang dilakukannya perlu dipertahankan walaupun mengorbankan orang yang tidak bersalah.

Kembali ke Mesir, Fatimah anak perempuan Abu Fawal kini lari mengikut teman lelakinya Khalid. Kisah Fatimah membawa kepada peristiwa tragik apabila Khalid adalah senjata kepada pihak militan untuk membunuh Abu Fawal. Serangan bom yang membunuh agen CIA itu sebenarnya ditujukan kepada Abu Fawal. Dan sepertimana kata Andre Bazin, “… from shot to shot, time is completely free. The relationship of one shot to another may be from any tense (past, present, or future) to any tense (future, present or past)”. Filem ini memperlihatkan bagaimana masa yang tidak terikat pada ruang masakini, masalalu atau masa hadapan itu saling bertukaran. Ini disebut Bazin sebagai ‘the abstract, intellectual imaginary time of montage’. Rendition bermula melalui teknik in media res, Douglas bersama agen CIA melalui jalan yang sesak dan tersekat oleh kemalangan. Sementara Abu Fawal dan anggota-anggotanya berhenti di tepi jalan dan minum di sebuah kedai di tempat yang sama. Tiba-tiba tembakan dilepaskan kepada Abu Fawal tetapi tidak mengena. Serentak itu bom tiba-tiba meletup dan menghancurkan tempat itu. Termasuk yang terkorban agen CIA teman Douglas. Cerita kemudian dibawa kepada peristiwa Anwar dan sebagainya sehinggalah pada akhirnya kejadian letupan bom itu diulang kembali dan menjelaskan bahawa yang meletupkan bom itu ialah Khalid, teman lelaki Fatimah yang dihadang oleh Fatimah. Dan Fatimah, anak perempuan Abu Fawal adalah antara mangsa yang terkorban dalam letupan itu tanpa diketahui oleh Abu Fawal sendiri sehinggalah Abu Fawal menyerbu ke rumah Khalid.

Pergerakan cerita ini cukup menarik dan memberikan kesan emosi yang amat hebat. Apatah lagi dengan lakonan ekstravaganva pelakon-pelakonnya. Watak naïf Isabella dan Anwar. Ambivalen Douglas dan Abu Fawal. Dunia keliru Fatimah dan Khalid. Tegarnya Corrinne Whitman. Ia memperlihatkan watak-watak bulat yang masing-masing tegar menyatakan mereka di pihak yang benar. Semua orang merasakan mereka betul dan keadaan menjadikan semua orang betul.

Rendition adalah kekeliruan, ketakutan dan kegilaan AS terhadap dosa yang mereka lakukan. Selain itu ia juga adalah dunia hipokrit AS yang mendabik dada sebagai juara hak asasi manusia tetapi apa yang mereka lakukan adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh Nazi, regim Pol Pot, penjenayah perang Serbia dan sebagainya. Seperti dialog yang diluahkan oleh Douglas, “setiap orang yang anda seksa akan menumbuhkan sepuluh, seratus, seribu musuh baru setiap hari”. Tindakan zalim AS tidak pernah berjaya menghapuskan pengganas sebaliknya hanya melahirkan seribu musuh baru setiap saat.

Rendition adalah kisah benar yang berlaku kepada Ahmed Agissa, yang diserkup di lapangan terbang, kemudian ditelanjang, digari, ditutup mata dan diterbangkan ke pusat tahanan rahsia di Tora, Mesir. Di sana dia diseksa dengan kejutan elektrik, dipukul, ditelanjangkan, dilemaskan dengan air, dan dikurung dan sel yang amat sempit serta hapak selama bertahun-tahun. Ahmed ditahan selama 15 tahun sebelum dibebaskan. Ahmed tidak melakukan apa-apa kesalahan. Begitu juga yang berlaku kepada Maher Arar, warga Islam Kanada dan berpuluh-puluh orang Islam yang lain selain daripada berpuluh ribu warga Afghanistan, Iraq dan Pakistan di penjara rahsia AS di seluruh dunia. Dan ia menjadi sangat jelek dan terkutuk oleh pembohongan paling celaka AS daripada kata-kata Condoleeza Rice, “With the respect to detainees, the United States Government complies with its Constitution, its laws, and its treaty obligations. Acts of physical or mental torture are expressly prohibited. The United States Government does not authorise or condone torture of detainees. Torture, and conspiracy to commit torture, are crimes under US law, wherever they may occur in the world… It is the policy of the United States that this questioning is to be conducted within US law and treaty obligations, without using torture. It is also US policy that authorized interrogation will be consistent with US obligations under the Convention Against Torture, which prohibit cruel, inhuman, or degrading treatment.”

Tiada pembohong yang paling terkutuk di dunia ini selain Bush dan konco-konconya.

Milenia Muslim, April 2008

Sunday, July 27, 2008

REVIU FILEM MAC 2008

RAMBO WIRA USANG AMERIKA

Seorang lelaki berjalan di sebatang lebuhraya yang sunyi sambil menggalas beg. Kemudian sebuah kereta sherif berhenti dan menahan lelaki tersebut. Sebilah pisau perang ditemui. Lelaki itu segera diheret ke balai polis. Di situ lelaki itu didera oleh sheriff dan pegawai-pegawainya. Masih terkenang bagaimana pisau tajam itu
menghiris sehelai kertas. Bermulalah era wira solo Amerika Syarikat – John Rambo!

Menonton filem Rambo bagi generasi yang menjadi remaja dan belia pada tahun 1980-an meninggalkan nostalgia tentang kekaguman melihat wira yang berjuang bersendirian. Mempamerkan otot-otot serta pergerakan lasak yang mengkagumkan. Cukup untuk memperlihatkan wira hebat Amerika Syarikat yang kembali dari Perang Veitnam. Rambo, veteran Perang Vietnam yang mempunyai darah kacukan Red Indian dan Jerman. Rambo, veteran Perang Vietnam yang dihantui peristiwa silam. Rambo, mesin pembunuh yang senyap dan terlatih.

Sylvester Stallone muncul menjadi wira aksi Hollywood terulung selepas beberapa lama menjadi pelakon kelas dua yang gagal dalam filem-filemnya sebelum ini. Rambo cukup popular dan meninggalkan kesan yang besar kepada peminat-peminat filem aksi ketika itu. Kemudian Rambo muncul lagi dalam Rambo 2 dan Rambo 3, yang berjuang di Afghanistan hingga ke Rusia. Tetapi kedua-dua sekuel ini tidak dapat menandingi Rambo yang pertama. Kini selepas begitu lama, Rambo muncul lagi untuk mengembalikan nostalgia wira Perang Vietnam yang masih berperang walau Amerika Syarikat telah bergerak maju menjarah di Afghanistan dan Iraq. Kali ini Rambo berperang di Burma. Rambo menjadi wira dari ‘old school’ yang masih berperang dengan panah dan pisau di hutan rimba Burma.

Tidak sukar bagi Rambo kali ini selain daripada menampilkan klise ‘white man burden’ yang memperlihatkan bangsa selain daripada kulit putih ialah bangsa liar, bertindak seperti binatang, tidak berakal fikiran dan perlu dihapuskan dari muka bumi. Bangsa kulit putih pula ialah bangsa penyelamat dunia, yang maju dan paling ‘manusia’. Sentiasa berkorban untuk kebaikan dan membawa pencerahan kepada seluruh umat manusia. Untuk itu Rambo kali ini membawa motto, “live for nothing, die for something”. Menyelamatkan tebusan adalah sebab-akibat yang diulang-ulang dalam klise filem aksi perang Hollywood sejak berdekad-dekad lamanya. Kali ini Rambo mengulanginya lagi, menyelamatkan mubaligh Kristian yang membawa misi ubatan dan sebagainya ke perkampungan puak Karen di pedalaman Burma. Tentunya seperti dijangka Rambo akan menang dan ribuan musuh yang dungu mati bergelimpangan menentang seorang Rambo. Mengubah sedikit klise itu, Rambo kali ini disertai oleh sekumpulan komando upahan.

Hal sebegini sedikit sebanyak adalah propaganda atau dakyah yang cuba diindoktrinisasikan ke dalam jiwa masyarakat yang ingin mereka jajah atau boleh disebut sebagai ‘masyarakat kawalan’. Mengapakah perlu wujud masyarakat kawalan ini? Ini adalah kerana kehadiran pihak yang ingin mengawal pihak yang lain demi kepentingan kuasa dan ekonomi mereka. Dalam konteks dunia sekarang ini, Amerika Syarikat muncul sebagai kuasa unipolar setelah kejatuhan Russia. Demi untuk mengekalkan apa yang dicapainya, Amerika Syarikat tentunya mengambil tindakan untuk mengekalkan kuasa dan pengaruh mereka. Tindakan untuk mengekalkan pengaruhnya itu memerlukan Amerika Syarikat memperlihatkan kepada dunia bahawa mereka bukan manusia tetapi adalah dewa!

Satu-satunya jalan untuk memperlihatkan sifat dewa mereka itu ialah menggunakan pengaruh dan gelombang media secara besar-besaran. Maka filem adalah salah satu cara yang berkesan untuk tujuan ini. Pemaparan citra ‘white man burden’ ini pada hakikatnya ingin memaparkan hubungan antara tuan dan hamba. Tuan tentulah seorang yang maju, berfikiran dan berkuasa. Sedangkan hamba tentulah seorang yang mundur, kurang berakal dan terjajah. Maka hubungan tuan-hamba inilah yang mahu dicapai oleh golongan kulit putih khususnya Amerika Syarikat. Menampilkan sifat dewa kepada wira-wira kulit putih di dalam filem adalah sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan hubungan tuan-hamba dalam situasi kehidupan sekarang ini. Dengan wujudnya hubungan sebegitu, bangsa kulit putih tentunya dapat tampil berdiri sebagai bangsa yang berkuasa. Dengan itu mereka boleh meletakkan kawalan secara tidak langsung ke atas manusia lain di dunia yang ingin mereka kuasai ini.

Dalam meletakkan kawalan ini, apa yang pertama perlu dilakukan iailah melumpuhkan intelektualiti masyarakat yang ingin dijajah itu. Walaupun filem boleh menjadi satu saluran bagi mengembangkan intelektualiti kreatif manusia tetapi filem juga boleh wujud sebagai salah satu alat yang paling berkesan untuk melumpuhkan intelektualiti manusia. Antara bentuk filem yang boleh melumpuhkan daya berfikir manusia ialah filem-filem yang menanamkan doktrin tertentu. Dalam konteks filem Hollywood, antaranya ialah memberikan kepercayaan yang berulang-ulang bahawa Amerika Syarikat dan kuasa Barat adalah superpower yang tidak mungkin terkalahkan. Menanamkan doktrin yang memberikan kepercayaan bahawa hubungan moral dan agama tidak memainkan peranan penting dalam masyarakat melalui filem-filem seks bebas dan sebagainya. Menanamkan doktrin bahawa satu-satunya cara dan kaedah terbaik untuk maju ialah mengikut acuan Barat. Menanamkan doktrin bahawa masyarakat Barat adalah masyarakat superioriti yang bersifat ‘dewa’ melalui penampilan wira-wira Barat yang sentiasa memenangi konflik dengan bergaya. Menanamkan doktrin bahawa masyarakat selain Barat adalah masyarakat yang lemah dan sentiasa memerlukan penyelamat dari Barat. Ini adalah sebahagian doktrin yang disebarkan oleh Hollywood dalam menyumbang kepada usaha melumpuhkan daya fikir atau intelektualiti manusia selain daripada menyebarkan gelombang hedonisne melalui hiburan dan keriaan tanpa batasan. Dan penentu kepada kejayaan penyebaran atau penanaman doktrin ini ialah pengeluaran besar-besaran dan melambakkannya pada setiap saat dan ketika di semua bahagian dunia.

Keinginan dan jiwa penjajah bangsa kulit putih untuk lahir sebagai bangsa yang unggul walau bagaimanapun menjadi tidak semudah seperti yang mereka jangka. Apatah lagi dengan seorang Rambo wira dari Perang Vietnam yang kini bukan terpaksa berjuang meletakkan dirinya bersaing dengan wira-wira baru yang lebih canggih tetapi juga terpaksa berjuang untuk menegakkan imej Amerika Syarikat (AS) yang telah hancur di mata dunia. Walau apa yang dilakukan oleh Rambo, AS tidak akan mampu lagi untuk muncul sebagai dewa penyelamat, sebaliknya imej AS lebih ketara untuk muncul sebagai syaitan pemusnah, setelah kerosakan dan kejahatan yang dilakukannya di seluruh dunia.

Tidak dinafikan Hollywood juga melahirkan filem-filem terbaik selain
daripada filem propaganda murahannya. Namun Rambo 4, hanya mampu menampilkan wira usang yang bukan sahaja bergelut untuk menebus popularitinya yang pudar tetapi juga berjuang untuk mencari imej wira tentera AS dari celah-celah wajah kesyaitanan sebenar tentera AS. Rambo mungkin muncul sebagai pemenang dalam ceritanya, tetapi di mata penonton Rambo adalah wira usang yang telah lama tewas.

Milenia Muslim, Mac 2008

Tuesday, July 8, 2008

REVIU

Innocent Voices: Suara Kemanusiaan dari Amerika Latin

Sempena Ibero American Film Festival yang berlangsung dari 16-25 November 2007 bertempat di Wisma Kebudayaan Soka Gakkai Malaysia (SGM) di Jalan Bukit Bintang, sebanyak 10 buah filem dari Amerika Latin telah dipertontonkan. Filem-filem tersebut ialah A Titan In the Ring (Ecuador), In the Boundless City (Sepanyol), Two Sons of Francisco (Brazil), The Elusive Good (Peru), My Best Enemy (Chile), Alma Mater (Uruguay), Florentino and the Devil (Venezuela), God Joins Them and They Split Up (Colombia), dan Innocent Voices (Mexico). Kebanyakan filem ini memenangi perbagai anugerah dan merupakan filem-filem yang terpilih. Filem The Elusive Goods, My Best Enemy dan In the Boundless City misalnya adalah filem-filem yang selain menerima pelbagai anugerah juga memaparkan sisi seperti yang dikatakan oleh Emile Zola ‘a corner of nature seen through a temperament’.
Sebuah lagi filem yang amat menguja dan mengusik sanubari ialah Innocent Voices (IV). Filem dari Mexico hasil gabungan dua genius perfileman Mexico Luis Mandoki dan Oscar Torres ini memberikan kesan tragik-dramatik yang cukup luar biasa. IV mengangkat kisah benar yang berlaku ketika zaman perang saudara yang berlaku di El Salvador pada sekitar tahun 1980-an, yang menyaksikan bagaimana kanak-kanak seusia 12 tahun ‘diculik’ di sekolah-sekolah dan di desa-desa untuk dijadikan tentera kerajaan. Chava seorang kanak-kanak yang berusia 11 tahun, hanya mempunyai setahun lagi usianya sebelum dirampas hidupnya untuk dijadikan tentera kerajaan bagi menentang gerila penentang kerajaan (FMLN). Chava menjadi lelaki sandaran keluarganya setelah bapanya hilang tanpa sebarang khabar berita dalam perang saudara yang berkecamuk itu. Di sebuah daerah yang menjadi rebutan tentera kerajaan dan puak gerila, di mana setiap hari berlaku pertempuran, Chava bersama ibu serta dua orang adiknya tinggal. Ketika mereka sedang makan, peluru-peluru akan berterbangan menembusi rumah kadbod dan memusnahkan segala barang yang ada.

Mandoki mewujudkan montaj-montaj yang menarik melalui pergerakan kameranya menghidupkan kembali realiti (replicate the reality) yang digambarkan Torres. Di sini penonton melihat sudut-sudut visual daripada pelbagai tangkapan (shot) yang berbeza. Dan semua ini membangkitkan secara dramatik dan tragik emosi dari dalam diri penonton. Ketika Chava sedang makan malam bersama dua adiknya – adik perempuan dan adik lelaki bongsunya yang masih kecil – pertempuran antara tentera kerajaan dan gerila tiba-tiba meletus di tengah-tengah petempatan mereka. Peluru-peluru berterbangan menembusi dinding rumah dan membabas ke merata. Chava membawa adik-adiknya menyorok di bawah katil. Adik lelakinya yang kecil, mungkin seusia empat atau lima tahun meraung ketakutan. Khuatir raungan adiknya terdengar, Chava berusaha menenangkan adiknya, tetapi semuanya tidak berhasil. Peluru-peluru yang berterbangan itu meneraburkan barangan di rumah mereka, termasuk krayon warna di sisi Chava. Chava mendapat fikiran spontan mewarnakan wajahnya dan membuatkan adiknya ketawa serta tidak menangis lagi. Mereka bertiga menconteng-conteng wajah sambil ketawa sedang peluru-peluru terus berterbangan liar di atas kepala, di sisi dan di mana-mana tanpa henti. Kehidupan dan kematian tidak mempunyai sebarang sempadan di sini hatta untuk kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa.

IV bergerak secara in media res, iaitu bermula pada pertengahan cerita dengan gambaran beberapa orang kanak-kanak digiring tentera dalam hujan berjalan berkaki ayam dengan lapar dan dahaga. Dengan tangan di kepala, wajah-wajah penuh kebingungan dan ketakutan, kanak-kanak ini tidak tahu kenapa mereka ingin dibunuh. Montaj ini ditamatkan di situ, dan cerita diimbas kembali. Kanak-kanak dan orang ramai berjalan di jalan raya dengan tentera-tentera yang berkeliaran. Kehidupan Chava dan adik-adiknya hidup bersama ibu mereka yang bekerja bersusah payah menguruskan kehidupan tanpa sebarang lelaki. Kerana hampir semua lelaki akan terlibat sama ada menjadi tentera atau gerila berperang dan saling membunuh.

Di sekolah ketika kanak-kanak riang belajar dan bermain, tentera-tentera akan menyerbu masuk dan memaksa gurubesar menyerahkan kanak-kanak yang telah genap 12 tahun usianya untuk direkrut menjadi pembunuh – tentera untuk menentang para gerila. Kanak-kanak akan beratur dengan penuh ketakutan menunggu nama mereka dipanggil dan dibawa pergi dalam kenderaan-kenderaan tentera. Tentera bebas melalukan apa sahaja, termasuk menangkap gadis-gadis yang berjalan di jalan raya sesuka hati untuk memuaskan hawa nafsu. Hanya ada seorang paderi yang berusaha untuk menghalang tetapi dia juga tidak mampu melakukan apa-apa selain daripada menerima belasahan tentera. Paderi ini juga akhirnya dibawa pergi oleh tentera pada suatu hari, dan para penduduk tidak lagi mendengar berita tentangnya. Dalam pada itu Chava mendapat teman baru yang istimewa, seorang gadis comel yang menjadi pujaan Chava.

Setiap malam pertempuran akan meletus, dan peluru yang tidak bermata akan merobek sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak. Ketika Chava dan keluarganya bersiap untuk makan, peluru-peluru akan berterbangan masuk dan mereka akan meluru bersembunyi meniarap di mana-mana tempat, walaupun sebenarnya tiada tempat yang selamat buat mereka. Suatu hari rumah Chava didatangi Benito, pak cik Chava yang kini terlibat dalam gerila menentang kekejaman regim tentera. Daripada perbualan ibu Chava dan Benito, tentera dan gerila tidak ada bezanya, saling berbunuhan dan saling menculik kanak-kanak untuk direkrut menjadi pembunuh. Perbualan mereka berakhir apabila peluru mula berterbangan. Seorang kanak-kanak perempuan jiran mereka mati di pangkuan Benito terkena peluru sesat. Tiada apa yang mampu dilakukan, dan Benito mengambil gitarnya sambil berbaring mendendangkan lagu tentang kesengsaraan rakyat, Chava datang berbaring di sebelah Benito mendengar lagu yang sungguh mengasyikkan itu – di atas peluru berterbangan tanpa henti. Benito pergi dengan nasihat supaya ibu Chava keluar dari daerah ini kerana pertempuran akan menjadi semakin hebat. Sebelum pergi Benito menghadiahkan Chava sebuah radio di mana Chava boleh mendengar lagu yang didendangkannya semalam. Tetapi Benito melarang Chava membuka siaran radio itu, kerana siaran itu adalah suara gerakan rakyat yang diharamkan regim tentera. Jika tertangkap hukumannya tiada lain selain daripada ditembak mati.

Sekolah mula ditutup, dan keadaan semakin memburuk. Chava dan keluarganya telah berpindah tetapi keadaan tidak ada bezanya. Ketika Chava pergi mencari teman wanitanyan yang comel, apa yang ditemui Chava ialah rumah yang telah hangus rentung. Chava terduduk dan tidak mampu berkata apa-apa. Gadis comel itu telah hangus bersama abu yang mengasap sepi. Di mana-mana sudah tidak ada kehidupan lagi. Tentera menyerbu di desa baru Chava untuk menculik kanak-kanak bagi direkrut menjadi tentera. Ibu bapa akan menyembunyi anak-anak lelaki mereka di atas bumbung rumah untuk mengelakkan daripada diculik tentera. Chava dan beberapa rakan seusianya berfikir bahawa lambat laun mereka tetap akan diambil oleh tentera. Chele, rakan seusia Chava menerangkan bahawa seorang rakan mereka telah lari ke dalam hutan menyertai gerila. Pada suatu malam, Chava dan rakan-rakannya , semuanya kanak-kanak dalam usia sebelas, dua belas tahun lari masuk ke hutan menyertai kumpulan gerila. Malangnya pada malam pertama di khemah gerila, mereka telah diserang tentera dan tertangkap. Keesokan harinya mereka digiring meredah hujan dalam keadaan lapar dan dahaga ke tempat yang mereka sendiri tidak ketahui. Akhirnya mereka di bawa di sebuah kawasan hutan di tepi sungai di mana penuh dengan mayat-mayat yang bergelimpangan. Di situ mereka tahu, bahawa mereka dibawa di tepi sungai itu untuk dibunuh. Keempat kanak-kanak itu didudukkan di tepi sungai dengan berlutut dan tangan diangkat ke kepala. Seorang tentera berjalan di belakang dengan pistol terhunus. Pistol diletakkan di kepala Chele, kanak-kanak sebelas tahun itu, kemudian menolak tangan jatuh ke bawah. Wajah Chele yang penuh ketakutan itu menggumam. Pistol meletup di belakang kepala dan Chele terhumban ke bumi. Dua orang teman Chava telah tumbang, kini giliran Chava. Tetapi sebelum sempat pistol di belakang kepalanya meletup, tiba-tiba serang hendap telah menumbangkan tentera-tentera zalim itu. Chava melarikan diri di tengah pertempuran sengit itu.

Chava adalah salah seorang kanak-kanak yang terlepas dari maut dan menjadi bukti hidup terhadap apa yang sebenarnya berlaku dalam perang saudara itu. Di sini emosi bangkit tanpa sesiapa memaksanya. Di sini kemanusiaan dicabar tanpa sesiapa melaungkannya. Di sini kebinatangan manusia dipertontonkan tanpa sesiapa menyedari bahawa kerakusan mereka kepada kuasa dan kegilaan mereka kepada perang menjadikan mereka lebih binatang daripada binatang. Mengutip apa yang dikatakan oleh J.R. Debrik, “But the film as a work of art is deliberately made to attack us, to force its way into our feelings and our beliefs”. IV bukan sahaja menyerang kebinatangan manusia, tetapi juga setiap perasaan dan kepercayaan yang mewujudkan kebinatangan itu sendiri.

Milenia Muslim, Februari 2008

Tuesday, June 24, 2008

ANAK HALAL DAN SEXUAL REVOLUTION

(Saya akan mula memasukkan artikel-artikel yang mengisi kolum reviu filem saya di Milenia Muslim, bermula dari Januari 2008. Kolum ini ditulis setiap bulan sejak dua tahun yang lepas. Dengan memasukkannya di blog ia boleh menjadi dokumentasi peribadi saya dan juga tatapan untuk teman-teman pembaca yang dihormati)


Selepas Bukak Api dan Puaka Tebing Biru, Osman Ali muncul dengan Anak Halal sebagai penutup tahun 2007. Godaan besar yang terlihat dalam filem ini ialah keinginan yang meluap-luap untuk membawa sebuah kehidupan anak-anak muda yang dilihat dari dari sudut gelap ke filem. Osman Ali tergoda benar dengan realisme sosial ala-New Hollywood yang muncul pada era 60-an dan menghancurkan etika dan moral filem dengan melanggar segala taboo sosial sebelum itu. New Hollywood muncul merubah rupa filem Hollywood dengan membawa gelombang sexual revolution hasil daripada pengaruh gelombang hippies dan Woodstock yang memuja seks bebas dan dadah pada dekad tersebut. Gelombang ini melanda golongan muda yang memberontak terhadap norma-norma yang mereka anggap sebagai konservatif. Mereka menyatukan diri mereka dalam perjuangan yang kononnya membebaskan diri daripada sebarang ikatan norma dan tradisi yang mereka anggap mewakili ‘kuasa’ yang menindas hak asasi manusia selama ini. Golongan atau gerakan yang dikenali sebagai hippies ini meriakkan apa yang mereka sebut sebagai gelombang liberalisme. Gelombang liberal ini menjadikan realisme sosial yang dibakar oleh semangat anarkis sebagai landas dan citra perjuangan kelas, rakyat, serta individualiti era baru. Sikap dan keinginan untuk memecahkan norma dan nilai masyarakat sebelum ini dirayakan dengan pemujaan mereka terhadap dadah dan seks bebas. Dari segi politik gerakan atau gelombang ini sebahagiannya adalah reaksi penentangan terhadap Perang Vietnam yang dilancarkan oleh kerajaan Amerika Syarikat, dalam masa yang sama menentang semua bentuk regim diktatorisme. Dari segi budaya pula ia merupakan gelombang untuk melanggar serta merubah nilai-nilai yang dianggap mendokong budaya lama (yang dianggap menentang kebebasan pengucapan individu). Seks tanpa ikatan agama dan penyalahgunaan dadah yang menjadi taboo serta kejahatan dalam norma masyarakat diangkat sebagai lambang suci yang mewakili pemberontakan mereka.

Anak Halal cuba membawa realisme sosial dalam konteks Malaysia dengan mengambil shot dari sudut subaltern, iaitu penggambaran sisi golongan terpinggir dalam masyarakat. Sudut subaltern yang mula dikemukakan oleh Antonio Gramsci lebih melihat kepada pertentangan kelas yang wujud dalam masyarakat dan menjadi punca kepada semua konflik yang berlaku dalam sejarah peradaban manusia. Anak Halal mengemukakan watak Putera (Inderaputera) nama yang diambil Kak Yam (Mariam) daripada kanun klasik Melayu iaitu Hikayat Inderaputera sebagai watak utama. Putera anak terbiar, bapanya Hisham seorang penjenayah yang meninggalkan Putera ketika masih bayi kepada Kak Yam semasa diburu polis. Putera dibesarkan oleh Kak Yam bersama jirannya Jo (Johana) di kawasan flat golongan bawahan di ibukota Kuala Lumpur. Kak Yam kemudian berpisah dengan Putera oleh satu peristiwa ‘ditangkap’ polis dan Putera kemudian membesar dibela oleh ibu Jo. Kehidupan Putera kemudian dibawa kepada zaman anak muda golongan terbiar yang mengharungi pelbagai keadaan yang memerangkap mereka dalam gelung kehidupan ganas jenayah dadah, gansterisme, percintaan, dan sudut gelap sebuah masyarakat kota kosmopolitan. Pertemuan kebetulan Putera dengan Amira, gadis anak orang kaya membuahkan percintaan tiga segi Putera-Amira-Johana. Dalam pada itu konflik muncul apabila sahabat Putera iaitu Ehsan terperangkap dengan lingkaran jahat akibat meminjam wang daripada ceti haram, Tajul dan kumpulan samsengnya.

Dari sudut cerita, Anak Halal terlalu banyak bersandar kepada unsur-unsur dues ex machine iaitu kemunculan tangan-tangan dewa untuk menggerakkan cerita. Dalam ertikata lain terlalu banyak unsur kebetulan sehingga seperti terlihat Osman Ali terlalu mengambil ‘jalan mudah dan malas’ untuk menggerakkan dan menyelesaikan kekusutan yang ditimbulkan dalam ceritanya. Tambah lemah lagi, apabila klise filem Melayu seperti anak orang kaya yang sesat oleh kekosongan hidup bercinta dengan orang miskin yang berwatak noir (watak wira dalam dunia jahat), kezaliman samseng terhadap komuniti yang tidak bermaya, balas dendam, dan polis yang selalu lambat membanteras jenayah berulang kembali dalam Anak Halal. Sikap ‘mudah dan malas’ Osman mewujudkan unsur kebetulan percintaan Putera dengan Amira, Putera yang sentiasa muncul menjadi dewa penyelamat, Hisham tiba-tiba berada bersama Kak Yam tanpa sebarang penjelasan, tragedi Hisham tidak jadi membunuh Putera kerana terdengar nama anaknya Inderaputera disebut dan sebagainya menjadikan filem ini kurang mendekati citra realisme sosial. Citra realisme sosial selalunya lebih memberikan dunianya kepada hakikat tanpa kebetulan. Apatah lagi babak ganterisme ala-Kollywood (filem Tamil) yang dipaparkan menjadikan realisme sosial Anak Halal satu kenyataan yang palsu. Pada hakikatnya di Malaysia ini tidak ada samseng yang boleh menembak sesuka hati di khalayak ramai dan lepas begitu sahaja. Tidak ada pergaduhan beramai-ramai hingga boleh bunuh membunuh sesuka hati. Dan tidak ada penjenayah yang boleh membunuh dengan begitu mudah sesuka hati tanpa ditangkap atau dilaporkan kepada pihak berkuasa. Osman Ali terlalu tergoda dengan filem aksi yang sentiasa membalut cerita dengan kepalsuan demi menimbulkan kedashyatan tanpa menilai situasi sebenar latar yang diambilnya.

Dalam pada itu beberapa hal tidak dijelaskan mengikut strategi naratif yang teratur dan akibatnya unsur kemunasabahan gagal berfungsi dalam plot ceritanya. Sebagai contoh Kak Yam ditangkap polis dan terus berpisah dengan Putera dan kemudian tinggal bersama Hisham dalam komuniti samsengnya adalah satu hal yang berbelit-belit dan tidak membina kemunasabahan yang jelas. Begitu juga tentang Hisham yang ditembak kemudian muncul hidup mengetuai kumpulan samseng serta apa pula hubungan Hisham dengan Tajul. Semua ini mempunyai naratif dan plot yang longgar serta kabur. Watak satu muka atau hitam putih baik dan jahat juga mengikat perkembangan watak di samping kewujudan watak-watak yang mati setengah jalan seperti Amira dan Datuk Farid – membuatkan filem ini gagal membina kebulatan ceritanya.

Apa yang paling menarik dapat ditarik daripada Anak Halal ini ialah ketergodaan Osman Ali kepada gambaran kehidupan anak-anak Melayu Islam yang tidak beragama dan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan ikatan moral dan nilai Melayu-Islam. Kegilaan bergaul tanpa batasan agama, nafsu yang mengganas sesuka hati, bunuh diri dan penonjolan langsung penggunaan dadah menjadikan Anak Halal selain daripada mempromosikan gejala negatif ke dalam kehidupan golongan muda juga tidak memberikan apa-apa ‘gambaran besar’ kepada citra realisme sosial tersebut. Idelogi lapuk sexual revolution yang dibawa oleh Osman Ali yang cuba membawa perjuangan liberty ke dalam filem ini hanya mampu menyalin Barat secara bulat-bulat jika tidak carbon copy kepada perjuangan liberalisme Barat yang anti-agama dan anti-moral tersebut.

Malaysia menyaksikan kehadiran filem-filem yang terburuk sepanjang tahun 2007 yang membawa idealogi lapuk sexual revolution tahun 60-an seperti filem-filem Remp-it, Impak Maksima, Haru Biru, 9-September dan penutup hujung tahun Anak Halal, di samping filem-filem hiburan kosong Razak Mohideen dan tahyul yang bersemangat animisme. Persoalannya apakah tidak ada pengarah-pengarah beragama Islam dan berbangsa Melayu di Malaysia ini yang mampu menjadikan filem sebagai sebuah al-risalah sepertimana pengarah-pengarah filem Iran, Jordan dan Negara Islam belahan tengah Rusia yang memperlihatkan bagaimana agama Islam dan tradisi yang menjunjung nilai moral diangkat sebagai anti-tesis kepada dogmatisme Barat yang anti-agama dan anti-moral, sehingga mewujudkan sebuah gelombang hijau yang cukup menggerunkan Yahudi di Hollywood dan atheis di Eropah. Riak filem di Malaysia mungkin terlalu kecil untuk menyatukannya dengan mana-mana gelombang baru, lantaran itu ia hanya mampu membonceng mana-mana gelombang popular. Daripada gambaran ini, adalah ternyata tidak ada apa yang dapat diharapkan daripada filem-filem di Malaysia mutakhir ini selain daripada melihat kehadiran zaman gelap filem-filem Melayu dengan kehadiran pengarah-pengarah muda yang terperangkap dengan idealogical fantasy.

Milenia Muslim, Januari 2008