Dialog Orang Muda di PENA 20 Februari 2011 menampilkan perbincangan yang menarik dengan para ahli panel yang juga mempunyai fikiran-fikiran yang kukuh. Pengetahuan luas sdr Faizal berkenaan seni lukis cukup membuka minda. Begitu sdr Zahiruddin yang bukan sahaja mempunyai pemikiran yang mantap dalam ilmu pengetahuan Islam tetapi juga prinsip yang teguh. Luqman al-Jefri juga adalah pilihan yang tepat untuk berbicara tentang filem. Saya tertarik dengan pengetahuan dan pembicaraan faisal yang cukup luas tentang dunia seni lukis. Juga disiplin dan ilmu yang dipunyai oleh Zahiruddin tentang Islam. Luqman juga, menjelaskan banyak perkara tentang filem.
Saya cuba merancakkan suasana dengan mempertanyakan kenyataan Zahiruddin tentang antara faktor gerhananya seni adalah kerana pertembungan dengan kebudayaan Barat. Saya tahu banyak kebenaran daripada kenyataan Zahiruddi, tetapi untuk sekadar menghidupkan suasana, saya cuba membawa kepada zaman kegemilangan ilmu dan Islam pada era Abbasiyyah. Pada zaman Harun al-Rashid kemudian membawa kepada Al-Makmum dan seterusnya, dunia Islam adalah dunia yang paling maju dari segi keilmuannya sehingga mewujudkan tradisi keilmuana yang tiada tolok banding.
Tetapi pada zaman inilah menyerapnya ilmu-ilmu khususnya falsafah Yunani dalam dunia Islam. Munculnya Al-Kindi yang menterjemah pemikiran-pemikiran Yunani sehingga disebut sebagai pelopor ilmu logik dan metafizik. Kemudian muncul Zakaria Al-Razi juga pendokong ilmu logik Yunani yang mana buku kedoktorannya menjadi rujukan penting di Eropah ketika zaman renaisans. Al-Farabi yang digelar guru kedua setelah Aristotle. Kemudian Ibn Sina juga pendokong aliran logik-rasional Yunani dan menghasilkan karya-karya besar dalam pelbagai ilmu termasuk ilmu kedoktoran sehingga kitab kedoktorannya menjadi asas kepada ilmu kedoktoran di Barat pada zaman renaisans. Pada masa ini Islam menepati konsep kullinya, ia menjadi begitu insklusif terhadap ilmu sehingga hampir tiada batas untuk mengatakan bahawa itu ilmu orang Islam dan ini ilmu bukan Islam. Bahkan Yahya bin Adi, penganut Kristian Nestorian yang menjadi penterjemah penting karya falsafah Yunani adalah murid dan pengagum utama al-Farabi. Begitu juga Ibn Miskawaih seorang majusi yang memeluk Islam dan menghasilkan sebuah kitab akhlak Islamiah yang begitu agung.
Sejarah ini memperlihatkan bahawa pertembungan antara Barat dan Timur itulah yang menjadikan dunia keilmuan itu berkembang dan gemilang, bukannya membawa kepada gerhana. Sememangnya terdapat persoalan-persoalan besar dari segala segi. Tetapi secara keseluruhannya pertembungan antara pelbagai dunia yang berbeza, Barat, Timur, bahkan Islam, Kristian, Majusi, Zorostarian memperkembangkan banyak sudut ilmu dan menyumbang kepada zaman kegemilangan ilmu dan juga seni tentunya.
Saya sering melihat pertembungan budaya sebagai satu rahmat, dan selalu juga khuatir tentang dunia Islam yang mengeksklusifkan Islam sehingga menutup kepada perkembangan ilmu dan disiplin. Sikap untuk bersifat terbuka dan insklusif bukan sahaja membuka ruang kepada masuknya ilmu-ilmu daripada dunia lain tetapi juga menjadikan sesebuah masyarakat atau umat itu bersifat multidisiplin. Antara faktor gerhananya seni di Malaysia ialah sikap bidangan sekali lagi eksklusif, iaitu tertumpu hanya kepada satu bidang dan tiada pengetahuan tentang bidang yang lain. Ini tidak berlaku ketika dunia Islam membuka dunianya untuk menjadi begitu insklusif. Ibn Sina bukan sahaja ahli falsafah tetapi juga seorang doktor, sasterawan dan menguasai pelbagai ilmu lain. Begitu juga al-Razi, al-Farabi dan semua pemikir-pemikir Islam ketika itu juga adalah ahli sains fizik, kimia dan sebagainya.
Seni lukis daripada pembicaraan Faisal telah memperlihatkan sikap keterbukaan dan insklusif ini, begitu juga filem daripada pembicaraan Luqman. Zahiruddin sebagai seorang ustaz yang terdidik dalam disiplin ilmu pengetahuan Islam sebetulnya harus melihat ilmu tauhid iaitu ilmu yang paling tinggi daripada segala ilmu sebagai asas utama untuk menentukan mana yang boleh menjadi insklusif dan mana yang perlu dikekalkan sifat eksklusifnya. Saya tidak menolak dan bahkan bersama di sisinya dalam menetapkan prinsip ini. Tetapi kekhuatiran kepada penerimaan sebahagian orang awam (seperti saya juga) terhadap pandangan ustaz untuk melihat pertembungan budaya sebagai ancaman akan menimbulkan sikap yang esktrim untuk menolak ilmu. Itu sahaja.
Bagaimanapun, masyarakat pada masa ini harus sedar bahawa Malaysia memiliki para pemuda yang sangat cerdik, bijak dan berilmu. Ahli-ahli panel muda dalam DOM sejak dahulu saya perhatikan mempunyai pemikiran dan disiplin ilmu yang cukup tinggi. Bahkan saya melihat satu keberuntungan besar seorang ustaz seperti sdr Zahiruddin hadir dan bersama merentas dunia seni dengan ilmu dan disiplin Islamnya yang tinggi. Zaman kini memerlukan ramai ustaz dan ulama yang mampu merentas pelbagai bidang ilmu.
Sayangnya DOM yang begitu banyak mengisi ilmu ini tidak dihadiri oleh mahasiswa dan mahasiswi yang sepatutnya mengisi tempat di perbincangan ini. Mungkin siswa siswi kita lebih teruja ke jom heboh, atau menonton filem-filem 'sampah'(?) - maaf - atau melayan fb dengan blackberry yang dibeli dengan duit pinjaman biasiswa.
Showing posts with label berita sastera. Show all posts
Showing posts with label berita sastera. Show all posts
Sunday, February 20, 2011
Monday, April 12, 2010
Friday, April 2, 2010
KEMBARA PUISI KTM-KALAM-PENA
Pada 26-28 Mac 2010 telah berlangsung Kembara Puisi melalui Kereta api Tanah Melayu. Program yang dianjurkan oleh KTM dan KALAM dengan kerjasama PENA, Esastera, Kemudi dan lain-lain mendapat sambutan yang menggalakkan. Seramai 73 orang peserta menyertai Kembara Puisi yang bermula dari KL Sentral Kuala Lumpur hingga Stesen Kereta Api Hadyai. Acara kemuncak baca puisi diadakan di Prince of Songkhla University (PSU), Hadyai. KTM telah menyediakan empat gerabak khas untuk membawa para peserta termasuk event coach tempat dilaksanakan segala kegiatan. Penulis tersohor Malim Ghozali Pk, Prof Ir Wan Abu Bakar dan Salina Ibrahim turut mengisi acara menceritakan pengalaman kreatif. Sementara penyair Abu Hassan Ashaari dan sebagainya turut membaca puisi sepanjang perjalanan pergi dan pulang. Di PSU, acara baca puisi diadakan dengan meriah sekali. Kedua-dua pihak Malaysia dan Thailand bergilir-gilir membacakan puisi. Antara penyair Malaysia yang membacakan puisi ialah Mohd Salleh Tahir, Prof Ir Wan Abu Bakar, Malim Ghozali Pk, Zainatul Shuhaida, Salina Ibrahim, Basri Abdullah, Abu Hassan Ashari, Gopa, Harlym Yeoh, wakil PPD Tuan Haji Ismail Musa, wakil KTM A Rahim Omar, dan sebagainya.
Saturday, January 30, 2010
HARI PEJUANG BAHASA 152
KALAM (Persatuan Penulis Kuala Lumpur) bersama PENA, GAPENA, DBP, ITNM, JKKN, KEMUDI dan badan-badan bukan kerajaan akan menganjurkan HARI PEJUANG BAHASA dengan motto 'HARI 152' pada 14-15 Februari 2010.
Aturcara;
14 Februari 2010: 8.30 malam Baca Puisi Perjuangan Bahasa Melayu di Rumah PENA
15 Februari 2010: 8.30 pagi Sambutan Pelancaran Hari Pejuang Bahasa
di Balai Tun Syed Nasir DBP (lama)
Ucap Utama Dato' Dr. Hassan Ahmad
dipengerusikan oleh Dato' Zainal Abidin Borhan (GAPENA)
Forum Perjuangan Bahasa Melayu
Prof Emeritus Dato' Dr. Abdullah Hassan
Dato Baharuddin Zainal
Dr. Ridzuan Tee Abdullah
1.00 tengah hari Makan tengah hari & Majlis Bersurai
Sebagai memperingati hari bersejarah ini, pihak penganjur juga akan melancarkan Antologi Puisi 152. Dengan itu puisi-puisi boleh dikirimkan kepada smzakir90@gmail.com sebelum 10 Februari 2010.
Menjadi harapan besar semua pihak yang terlibat untuk menerima kehadiran tuan-tuan dna puan-puan seramai mungkin. Semoga majlis ini mendapat sokongan dan kejayaan daripada kehadiran tuan-tuan dan puan-puan semua.
Aturcara;
14 Februari 2010: 8.30 malam Baca Puisi Perjuangan Bahasa Melayu di Rumah PENA
15 Februari 2010: 8.30 pagi Sambutan Pelancaran Hari Pejuang Bahasa
di Balai Tun Syed Nasir DBP (lama)
Ucap Utama Dato' Dr. Hassan Ahmad
dipengerusikan oleh Dato' Zainal Abidin Borhan (GAPENA)
Forum Perjuangan Bahasa Melayu
Prof Emeritus Dato' Dr. Abdullah Hassan
Dato Baharuddin Zainal
Dr. Ridzuan Tee Abdullah
1.00 tengah hari Makan tengah hari & Majlis Bersurai
Sebagai memperingati hari bersejarah ini, pihak penganjur juga akan melancarkan Antologi Puisi 152. Dengan itu puisi-puisi boleh dikirimkan kepada smzakir90@gmail.com sebelum 10 Februari 2010.
Menjadi harapan besar semua pihak yang terlibat untuk menerima kehadiran tuan-tuan dna puan-puan seramai mungkin. Semoga majlis ini mendapat sokongan dan kejayaan daripada kehadiran tuan-tuan dan puan-puan semua.
Friday, June 19, 2009
Cucu 'Sultan Hemengkubuwono' bersama isteri dan anak-anak di Istana Kesultanan Solo.
Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil baru selesai semalam, 19 Jun 2009. Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua. Pertama kali saya menerima anugerah puisi. Tempat utama pula, memang saya tak pernah menjangka... tak menjangka nak jadi penyair. Sekarang dah jadi penyair. Penyair muda pulak tu (sebab baru menulis puisi). Sebenarnya saya berminat membaca puisi sejak dulu. Iqbal, Tagore, Rumi, Usman Awang, Latif Mohidin, Baha Zain memang sejak dulu saya membaca karya-karya mereka. Cuma saya lebih menumpukan kepada penulisan prosa (cerpen, rencana, dan sebuah dua novel remaja dahulunya). Itulah ceritanya.
Kedua, saya menerima anugerah untuk rencana sastera. Sebenarnya kalau tidak kerana Luqman Hakim, saya tidak akan menerima pun anugerah ini. Bahkan tidak menulis pun rencana itu. Luqman yang meminta dan kemudian memaksa saya menulis rencana. Ketika itu Luqman masih di Utusan. Entah bagaimana Luqman telefon kata dia diminta isi ruang rencana untuk Mingguan Malaysia. Luqman minta (paksa) saya tulis dan siapkan dalam masa sehari dua itu juga. Saya pun menulis kerana Luqman minta. Rencana itu panjang, jadi disunting lagi oleh Luqman. Maka tersiar rencana itu dengan suntingan yang cukup kemas dan profesional oleh Luqman (walaupun aku suka kutuk si Quek ni, tapi bab kerja dan penulisan aku memang kena puji dia, tapi tak boleh lebih sangat.. kembang pulak si manok ni). Dahulu pun sebuah rencana yang menerima anugerah(orientalisme, weltliteratur, Gharb Zadegi...) pun 'dipaksa' oleh Luqman. Dua-dua rencana saya yang menerima anugerah adalah kerana jasa Luqman 'memaksa' saya. Dan banyak daripada rencana dan cerpen dahulunya juga tersiar adalah kerana jasa Azman Ismail. Setelah kedua-duanya keluar Utusan, kerja penyuntingan karya itu diambilalih oleh Ku Seman. Banyak jasa Ku Seman dalam penulisan saya kini. Saya bukan seorang yang rajin, jika tidak ada editor-editor yang 'memaksa' ini saya lewa dan tidur saja.
Jadi, di sini sebenarnya penulis-penulis yang menang anugerah perlu banyak berterima kasih dan mengingati jasa editor yang menyiar dan adakalanya bersusah payah menyunting karya mereka untuk memadati ruang yang terhad itu. Cerpen saya Moluska juga panjang, tetapi disunting dengan baik oleh Ku Seman. Akhirnya disiar dan menerima anugerah utama. Begitu juga cerpen terbaru Masjid, juga disunting dengan baik oleh Ku Seman sebelum disiarkan. Azman Ismail, Ku Seman, Luqman dan dahulu Noor Azam Shairi merupakan editor yang berpengalaman dan cukup kemas serta baik dalam penyuntingan. Dan apabila ia diterbitkan untuk menjadi antologi, Kak Azah (Puan Nor Aziz Aziz) dan Rodzlan pulalah bertungkus lumus menyuntingnya. Kak Azah sebenarnya cukup banyak berjasa kepada HSKU ini. Beliau adalah orang yang sejak dulu (bersama editor lain di UPND) menjadi insan di belakang tabir dalam memastikan antologi HSKU terbit dengan kemas dan menarik.
Saya bercerita khusus untuk ruang HSKU. Editor di media lain juga, DBP, Berita Harian dan sebagainya juga begitu, banyak memainkan peranan belakang tabir dalam kejayaan penulisan para penulis. Penulis mungkin menerima limpahan glamornya pada malam anugerah itu. Tetapi manusia yang di sebalik kejayaan mereka seperti editor, panel hakim dan penganjur hilang di sebalik kegemerlapan penulis.
Saya adalah seorang yang cukup menghormati para editor dan panel hakim, kerana saya juga pernah menjadi editor dan panel hakim (untuk hadiah lain). Jadi saya tahu dan cukup maklum betapa rumitnya kerja insan-insan ini dalam memastikan karya dan para penulis muncul sebagai yang terbaik.
Untuk itu sekalung tahniah dan ucapan terima kasih kepada insan-insan berjasa di belakang tabir kejayaan para penulis. Walaupun penulis adalah berhak ke atas gemerlapan anugerah kerana mutu karyanya, tetapi tanpa insan-insan di belakang tabir ini belum tentu mereka dapat bergemerlapan dengan segala kemasyhuran itu. Jaza Allah Kairan Kathira.
Subscribe to:
Posts (Atom)
