Showing posts with label buku. Show all posts
Showing posts with label buku. Show all posts

Sunday, April 18, 2010

BUKU TERBARU: FILEM DAN PEMIKIRAN




Filem dan Pemikiran menghimpunkan 17 esei filem yang tersiar di beberapa buah majalah tempatan. Tulisan-tulisan ini melihat filem dari sisi pandangan naratif, yang memperlakukan filem sebagai sebuah proses organik lebih daripada proses mekanik. Dalam kata lain filem itu wujud sebagai fiksyen etnografi. Ia menghidupkan rupa dan budaya masyarakat sekaligus menerokai semangat zamannya. Di sini filem menjadi wacana yang melihat kepada visi dan pemikiran masyarakat, di samping menyalurkan gelombang serta aliran yang mewujudkan hegemoni, dekonstruksi dan avant garde. Filem tidak lagi dilihat sebagai bahan dan alat hiburan tetapi sumber kepada wacana. Kehidupan manusia yang bergerak dari unit yang paling kecil ke unit yang paling besar, dari mobiliti sosial sehingga kepada gelombang pemikiran yang merubah dunia menjadi sebuah perbicaraan yang menarik dan unik melalui bingkai-bingkai gambar dalam dunia rakaman kamera.

BUKU TERBARU: SINEMA




Sinema adalah himpunan 33 buah ulasan filem yang terbit setiap bulan di majalah Milenia Muslim dari tahun 2007 hingga tahun 2009. Ulasan-ulasan ini secara umumnya melihat filem daripada landasan pemikiran sastera. Dalam kata lain pandangan seorang sasterawan yang menonton filem. Maka ia memberikan sudut dan sisi pandangan yang berbeza apabila filem dilihat sebagai sebuah karya sastera, dan diperlakukan sebagai sebuah karya sastera. Maka itu tulisan ini melihat kepada kekuatan naratif, pemikiran dan falsafah dalam filem melebihi aspek-aspek teknikal yang dititikberatkan dalam disiplin kritikan filem. Filem dilihat melalui titik ilmu kemanusiaan. Titik ini bertembung dengan banyak perkara yang berhubung dengan manusia. Ia adakalanya menjadi sebuah dunia histriografi, adakala dunia psikologi, etnografi, sosiologi bahkan falsafah dan idealogi. Sebuah dunia sastera yang wujud dalam bentuk visual. Sehingga ada ketikanya tidak dapat dibezakan antara sebuah filem dengan sebuah novel. Sifat dan gambar-gambar yang sama hadir antara membaca novel ataupun menonton filem. Semua hal ini membuatkan filem menjadi dunia besar di dalam diri kecil – seorang penulis yang cuba keluar daripada kesendiriannya.

Wednesday, March 24, 2010

BUKU-BUKU TERBARU







Tiga buku baru sedang dalam penerbitan. Dijangka terbit bulan april.

Sunday, February 28, 2010

PASCAMODEN KUTUKAN TERHADAP FALSAFAH DAN AGAMA







Pascamoden Kutukan terhadap Falsafah dan Agama merupakan buku kumpulan esei saya yang terbaru diterbitkan. Kumpulan esei ini menghimpunkan 12 buah esei, iaitu;
1. Pascamoden Kututan terhadap Falsafah dan Agama
2. Mencari Konsep Sastera Islam
3. Globalisasi, Konsep Bangsa Malaysia dan Realiti Melayu
4. Estetika Sufisme sebagai Model Estetika Sastera
5. Kesan Pemikiran dan Estetika Cerpen Penulis Muda Malaysia
6. Empat Jalur Sastera Melayu: Mencari Nilai Agung
7. Orientalisme, Weltliteratur, Gharb Zadegi dan Sastera Melayu
8. Konsep Keindahan Coincidentia Oppositorum
9. Sastera Harus Radikal
10. Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005
11. Mencari Ruang Ketiga
12. Penjajahan Masa Hadapan dan Ketidaksetaraan Barat-Bukan Barat

Pascamoden Kutukan terhadap Falsafah dan Agama merupakan himpunan 12 esei yang ditulis pada awal dekad abad ke-21. Esei-esei ini melihat fenomena penghujung abad atau fin de siecle yang menyangkuti persoalan pascamodenisme, pascakolonialisme dan paling menggoncangkan fenomena globalisasi. Tidak ketinggalan ia menyorot titik-titik pergerakan awal yang mencetuskan fenonema-fenomena ini seperti wacana orientalisme, positivisme, pencerahan, liberalisme dan dialektika rasionalisme. Dalam pada itu ia melihat pertembungan fenomena ini dengan wacana balas seperti oksidentalisme, ruang ketiga budaya dan kebangkitan wacana pemikiran Islam. 12 esei ini membicarakan secara serius persoalan-persoalan pemikiran yang mendasari fenomena yang mencetuskan gelombang baru abad ke-21 ini. Uniknya sorotan ini menggunakan gerbang pemikiran sastera dalam membuka lapisan-lapisan persoalannya. (kutipan dari blurb buku).

Kumpulan esei ini adalah perbitan pertama daripada projek pengumpulan dan penerbitan tulisan saya pada tahun 2010. Terdapat 10 buah buku kumpulan esei pelbagai bidang hasil tulisan saya selama 10 tahun yang akan diterbitkan pada tahun ini. Saya juga merancang untuk menerbitkan beberapa buah karya kreatif (dalam rancangan 10 buah) untuk tahun 2010 ini. Saya berharap semua proses berjalan lancar, dalam usaha mencapai sasaran penerbitan 20 buah karya pada tahun 2010 ini. Semua buku saya yang diterbitakn boleh dipesan melalui blog ini.

Saturday, May 30, 2009

SAJAK-SAJAK PETUALANG: MANUSIA MIMPI



Gambar berbasikal di Pelabuhan Sunda Kelapa Jakarta.



Saya dan Rahimidin Zahari sempat menerbitkan buku puisi sebelum Perhimpunan Penulis Muda tempoh hari. Jadi dapatlah dibawa ke majlis tersebut. Alhamdulillah, terjual agak banyak juga. Rahimidin dengan kumpulan puisi Perjalanan Salik. Sementara saya dengan kumpulan puisi Sajak-sajak Petualang: Manusia Mimpi.

Sajak-sajak saya adalah satu rakaman daripada perjalanan yang dibuat di luar negara beberapa tahun kebelakangan ini. Saya memikirkan untuk mencatat pengalaman saya berjalan ke beberapa buah negeri di Asia Tengara dan China. Jadi saya masukkan juga gambar-gambar perjalanan di negara-negara tersebut.

Ini adalah kumpulan puisi kedua saya (lebih diterbitkan untuk sekadar mencatat kenangan bagi diri sendiri) selepas kumpulan puisi Memburu Malaikat yang diterbitkan secara suka-suka. Saya tidak mempunyai sebarang perancangan dan tujuan yang besar dalam usaha menerbitkan kumpulan puisi ini. Kerana ia lebih diterbitkan untuk mencatat pengalaman-pengalaman 'petualang' dalam bentuk puisi.

Kumpulan puisi saya boleh dibeli melalui Ujana Ilmu (kedai buku maya Nisah Haron). Atau juga boleh hubungi saya melalui smzakir90@gmail.com. Harga RM15 sahaja, cukup-cukup untuk menampung kos penerbitan. Ok la.