Showing posts with label cerita-ceriti. Show all posts
Showing posts with label cerita-ceriti. Show all posts

Wednesday, November 25, 2009

SEUSAI PERTEMUAN PENYAIR NUSANTARA-3





Sesi forum dan pembentangan kertas kerja yang penuh dan sentiasa hangat.

Sahrunizam sedang menunggu untuk memulakan persembahan.



Alhamdulillah Pertemuan Penyair Nusantara telah berlangsung dengan jayanya. En Saleeh dan Shamsudin Othman juga telah mewakili kami menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat di samping memohon jutaan ampun dan maaaf jika ada kelemahan, kekurangan dan kekhilafan kami.

Kejayaan PPN-3 ini adalah kejayaan semua yang terlibat. Saya seperti Saleeh Rahamad juga takut-takut untuk menyebut nama para teman yang berhempas pulas membantu khuatir ada yang tertinggal. Kerana ternyata kami dibantu dengan cukup bersemangat baik oleh teman-teman lama mahupun teman-teman baru. Cukuplah dengan bahasa gambar yang dirakam oleh teman-teman kita sepanjang PPN3 berlangsung untuk melihat kesungguhan para ajk PPN3 bertungkus lumus menjayakan acara ini.

Jika kita mengatakan bahawa semangat kekitaan dan kekeluargaan dalam dunia sastera semakin hilang, PPN3 dan PENA membuktikan bahawa ia tidak benar sama sekali. Di PENA semangat ini cukup tinggi. Saya tidak mempunyai banyak perkataan untuk diucapkan lagi, kerana kenyataan En Saleeh, Shamsudin dan teman-teman lain saya rasa telah cukup untuk menyatakan penghargaan kami kepada semua yang terlibat.

Jutaan terima kasih dan jutaan ampun maaf dari kami semua di PENA dan PPN3.

Ketika kecil saya sangat teruja dengan kata-kata dalam novel Three Musketeers, "satu untuk semua, semua untuk satu" (one for all, all for one)

Di PENA kita tentunya bukan para musketeers, tetapi cukup untuk kita semua melihat bahawa semua kejayaan acara di PENA adalah kerana usaha kita semua. Tanpa 'kita' sukar untuk menjangka bagaimana acara-acaranya dapat berjaya.

Saturday, November 7, 2009

AKU PENYAIR




Sebungkus Kenangan yang membakar semangat saya luar dan dalam untuk menjadi penyair; meninggalkan Sekepal Tanah, Sebenua Suluk, Setanah Nurani, Seekspresi, si al falsifusi dan semua la yang sedang tandatangan borang pencen penyair.


Saya terhenti lama menulis blog kerana sibuk menguruskan Pertemuan Penyair Nusantara di Kuala Lumpur pada 20-22 November 2009. Acara ini diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Ia merupakan anjuran PENA dengan kerjasama DBP, JKKN, ITNM. Para penyair, penulis, peminat sastera dijemput untuk menyertainya. Yuran RM20. Makan minum disediakan tetapi pengangkutan dan penginapan tanggungan sendiri. Ramai penyair dari Indonesia, Thailand, Singapura, dan Brunei telah mengesahkan kehadiran. Maklumat lanjut boleh ditanya terus ke emel saya smzakir90@gmail.com

Apa yang menarik untuk saya menulis di blog hari ini ialah tentang beberapa orang penyair hebat teman-teman baik saya sedang mengisytiharkan untuk 'Berhenti Jadi Penyair'. Penyair Sekepal Tanah, Benua Suluk dan saya sedang menunggu penyair Tanah Nurani, si Ekspresi (yang tak ekpres) dan al Falsifusi pula mengisytiharkannya. Tentunya saya kejam apabila menyatakan pengisytiharan itu sebaliknya memberikan dorongan untuk saya tiba-tiba menjadi penyair (seorang penyair nostalgia kg jasa juga sedang bersemangat seperti saya untuk menggantikan penyair yang berhenti). Saya sungguh bersemangat untuk menjadi penyair sekarang.

Apatah lagi saya menerima sebuah buku puisi yang terselit kad nama, semasa mengumpulkan puisi-puisi luar negara - membakar semangat saya untuk menjadi penyair. Maka saya dan penyair kg jasa tadi bangun dengan semangat membara untuk jadi penyair ketika para penyair sedang menggantungkan pena mereka. Hidup penyair! (kami berdua je la, korang berhenti la).

Saya pun menulis puisi demi 'Sebungkus Kenangan' yang membakar saya luar dan dalam untuk menjadi penyair. Betul-betul membakar... (he he)

Puisimu

aku jatuh cinta
menatap puisimu
terumbar foto terbau
melati rambutmu

mungkinkah aku
menyelak rambutmu
butir angin terbias
matahari yang masuk
dari jendela atau pintu
puisimu yang menderu

suaramu yang jauh
hanyut dari matahari kata
gelincir di bumi makna
tanpa aku tahu
bahawa kau adalah segumam
rindu yang mencicip di telingaku
oleh kenangan putusputus
di tangan sejarah terpisah laut
kaukah yang menghantarkan aku
puisi terbau melati

mungkin sekali lagi
ingin aku bertanya
kaukah yang menghantar
puisi terbau melati

atau sekali lagi aku bertanya
ataukah aku yang hanya
terbau melati
dan belati
menusuk
dadaku mati


S.M. Zakir
Rumah PENA
21 Oktober 2009

Thursday, October 15, 2009

TUBUH LONGLAI SUKMA MELAYANG




Tuan Haji Shamsudin baru pulang Bandung, saya yang iri tak dapat pergi terus jawab bila Rahimidin telefon tanya 'bila balik bandung?', bukan ana sheikh tuan aji kita. Sekarang ni tuan aji pergi bandung sorang-sorang saja, tak ajak kawan dah. Heh heh rahimidin ketawa, dan seperti biasa memberi tugas lagi kepada saya untuk menulis. Tentunya saya yang tak ada kerja ni akan menulisnya heh heh saya pula yang ketawa.

Sebenarnya saya baru habis menulis artikel kajian perbandingan novel Bilangan Fu karya Ayu Utami dengan novel Bedar Sukma Bisu Faisal Tehrani. Tidak tahu betapa leganya kepala saya dapat menghabiskan tulisan. Itupun kes janji dengan editor dan sikap sambar saja apa orang suruh buat tanpa apa-apa gerakan di otak untuk memikirkannya. Masa buat janji selalu fikir dengan kepala lutut saja. Ditambah dengan promosi di blog kononnya bagus sangat dapat buku itu dan ini untuk tulis artikel ini maka saya pun bertapa lah untuk menyiapkannya.

Rupanya bila dah bertapa dan menulis artikel tu hampir boleh saya kembangkan menjadi sebuah buku. Ini en saleeh marah, tulis panjang-panjang boleh suruh belajar malas. maaf, saya memang malas dan tak ada kelayakan untuk jadi orang akademik. jadi pandemik mungkin boleh. Pandemik yang bawa sindrom bandung keh keh. Tapi tubuh saya memang longlai dan sukma saya melayang untuk menyiapkan tulisan yang berat ini (saya lah rasa berat, orang lain biasa saja).

Jadi nak tunjuk bahawa saya benar2 dah siap tulis, maka saya cuplik sikit di sini, (sebelum itu saya dah minta maaf kepada Shamsudin, Rahimidin dan Lutfi kerana 'cinta' saya kepada Ayu Utami ini heh heh);

Hubungan antara hukum bilangan 12 dengan doktrin penolakan terhadap monotheisme, dikaitkan dengan angka selepas 12 iaitu 13. Angka 13 dalam kalendar Jawa kuno merupakan penutup kepada siklus 12. Tiga belas adalah kosong di mana sesuatu menjadi satu kembali. Di sini Suhubudi menamainya ’hu’. ’Hu’ bagi Yuda juga adalah ’fu’, iaitu bilangan sunyi. Nol atau kosong adalah konsep purba yang dikenali di India sebagai tanda sunya, dalam bahasa sanskrit adalah sunyat, sunyata iaitu sunyi, kosong, tiada. Tanda shunya adalah tanda kekosongan. Inti doktrin kosong yang disebut sebagai doktrin bilangan fu atau hu, atau bilangan ketiga belas setelah tamatnya kitaran bilangan 12 bermakna sesuatu itu telah kembali kepada asalnya kembali. Fu atau hu adalah di mana satu dan nol (kosong) menjadi padu. Ia bukan bilangan matematis tetapi metaforis. Ia bukan bilangan rasional tetapi spritual. Sedangkan bilangan satu yang mewakili monotheisme di mana Tuhan adalah satu dianggap sebagai bilangan yang berisi paksaan atau bernuansa koersif. Satu ditambah satu, satu (1+1=1). Satu didarab satu, satu (1x1=1). Maka monotheisme (diwakili antagonis Farisi @ Kupukupu) dikatakan beriman dengan cara sistem yang disanggah oleh konsep Hu. Dalam konsep Hu, monotheisme berasas bilangan satu dikatakan mengacaukan yang metaforis dengan yang matematik, yang spiritual dengan yang rasional. Jika tuhan adalah satu, maka tidak boleh menyembah tuhan yang lain, bahkan memberi penghormatan kepada bumi dengan cara lain juga tidak boleh. Penyembahan dan penghormatan hanya kepada langit. Ia akhirnya dikatakan tidak mampu berkompromi, berbaik dengan yang lain, dan sering memaksakan kekuasaan. Berbeza dengan hukum kosong, yang merupakan jeda untuk mengembalikan keharmonian, berbaik-baik, dan sering mempercayai dialog dan pluralisme. Maka dikatakan bahawa bilangan nol (kosong) itu lebih awal dari bilangan satu. Dan tuhan bagi bilangan nol wujud lebih awal daripada tuhan bagi bilangan satu. Bilangan nol mempunyai tuhan yang bersifat harmonis, sementara bilangan satu mempunyai tuhan yang bersifat koersif. Di sini doktrin penolakan terhadap agama atau monotheisme dikembangkan.

Ini pula tentang perbandingan dalam Bedar Sukma Bisu.

Malakah ialah suatu kekuatan yang amat bermakna dalam pembangunan intelektual, rohani, moral dan keperibadian insan. Maka malakah itulah yang ditanamkan oleh Ben Qurtubi kepada ’ahli keluarganya’ (dalam konteks ummah ahli keluarga juga adalah umat Islam seluruhnya) supaya mereka memiliki keahlian, kemahiran atau kepakaran dalam satu-satu ilmu pengetahuan yang dikuasai secara dasarnya, sehingga setiap masalah yang timbul dalam lingkungan ilmu tersebut kelak, sudah menjadi biasa dan mudah buat mereka, justeru untuk mendalami dan mengembangkan ilmu pengetahuan tersebut juga bukanlah suatu masalah.

Konsep kapal atau perahu juga mempunyai lambang yang khusus dalam ilmu tasawuf. Hamzah Fansuri menggunakan alegori perahu dalam menyampaikan pengajaran dari buku tasawwuf Zinat al-Wahidin, iaitu peringkat perjalanan tasawwuf bagi orang awam yang melalui empat peringkat iaitu syariat, tarekat, hakikat dan makrifat. Keempat-empat peringkat ini akan membawa insan kepada Islam, ihsan dan iman yang utuh. Hamzah Fansuri meletakkan keempat prinsip utuh Islam ini sebagai sebuah perahu yang jika utuh binaannya akan dapat mengharungi lautan dan melepasi segala rintangan – seterusnya membina Islam yang gemilang. Hamzah Fansuri mengibaratkan binaan perahu iaitu lunas perahu adalah syariat; papan perahu adalah tarekat; isi perahu adalah hakikat; dan layar perahu adalah makrifat. Maka konsep Bedar Sukma tentang kapal yang mengharungi lautan dan melestarikan nilai-nilai Islam dalam memperkasakan ketamadunan Islam menepati konsep perahu dalam aliran tasawwuf yang dibina oleh syariat, tarekat, hakikat dan makrifat dalam mengutuhkan prinsip Islam yang syumul. Kekuatan Islam yang dibina oleh empat prinsip asas tersebut akan melahirkan malakah yang mampu mengharungi cabaran untuk memperjuangkan tamadun Islam walau di mana-mana pun di muka bumi ini.


Cukuplah nanti tak tersiar pula artikel ni dalam jurnal, ditolak sebab dah disiarkan di tempat lain. miss pulala sorru, nak bayar hutang kawan ambil tiket pergi bandung duit hono ni bang.

Friday, October 2, 2009

KELANTANISME




Di Pantai Bachok, Kelantan. Kelantan negeri tanah tumpah darahku dulu, kini dan selamanya.


Pertama, saya membaca tulisan Lutfi di blognya tentang Kelantanisme. Banyak perkara yang bersalahan tanggapan di situ. Bagi saya tidak adil untuk disebut tentang Kelantanisme sedangkan ia berlaku sebagai satu sifat tabii yang sukar untuk kita huraikan. Ia bukan sahaja Kelantanisme tetapi juga Kedahisme, Selangor-Jawanisme, Johorisme, Sabahisme dan sebagainya. Ketika Mahathir memerintah, Kedahisme muncul dalam wajah korporat-kapitalis kuncu Daim-Halim-Tajuddin melahap segala projek mega yang menyedut wang rakyat. Ketika Khir Toyo berkuasa di Selangor, SUK Selangor dikuasai Selangor-Jawanisme yang membolot projek-projek negeri. Belum lagi kita bercakap tentang Johorisme dalam UMNO sekarang, apatah lagi Sabahisme yang kental di sana. Sebenarnya ia adalah tabii berbangsa dan berkelompok yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Kaum Cina yang mengatakan diri mereka bukan rasis itu juga tentunya tidak mahu melihat bangsa lain memimpin mereka jika mereka berpeluang berkuasa. Lihat sahaja di Singapura dan sekarang di Pulau Pinang. Tetapi ia juga tidak boleh dipersalahkan, kerana tabii manusia yang tidak dapat kita sangkalkan. Maka baik juga untuk menghalusi Muqaddimah Ibnu Khaldun bagi memahami tabii berbangsa dan berkelompok ini sebelum berprasangkan kapada mana-mana pihak.

Kedua, saya tentunya anak Kelantan yang kental rasa cinta kepada negeri saya, Kelantan. Beberapa hari lepas saya membaca akhbar berita harian tentang pengucapan puisi di Kelantan pada aidil fitri yang lepas. Ramai penulis Kelantan dipaparkan, termasuk Rahimidin dan berita itupun ditulis oleh Nazmi. Saya tertanya apakah saya ini penulis Kelantan lagi. Nama saya selalu tercicir dari senarai penulis Kelantan. Saya diundang ke seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak juga untuk berkongsi pandangan tentang sastera. Tetapi malangnya bukan Kelantan. Seingat saya hanya 2 atau 3 kali semuanya dari DBP. Saya tentunya bukan meminta tetapi merasakan bahawa penulis Kelantan kurang kepekaan untuk menghargai warganya sendiri. Saya biasa mendengar ini dari mulut abah saya arwah S. Othman Kelantan sendiri. Kelantanisme tentunya tidak terpakai langsung dalam konteks ini.

Ketiga, saya meninggalkan Kelantan ketika usia saya 10 tahun. Sejak itu hingga hari ini saya tidak pernah berhari raya aidil fitri di Kelantan. Malangnya saya, jika pulang ke Kelantan sekarang terpaksa tidur di Hotel, dan jika memandu kereta saya tidak tahu jalan mana yang nak dituju. Saya mungkin lebih mahir jalan di semua bandar pantai barat berbanding di Kelantan (bahkan lebih tahu jalan di Jakarta dan Bandung dari di Kelantan, En Saleeh boleh confirm). Tetapi saya masih tetap mengaku dengan bangga saya orang Kelantan, walau saya hanya mengangguk ya ya bila disebut tempat-tempat yang saya tidak tahu pun mana letaknya di Kelantan. Kelantanisme memang terpakai dalam konteks ini.

Akhir kata, teman-teman akrab saya zaman persekolahan ialah Mat Gorilla anak Setiawan Perak, Mat Said anak Muar Johor (jawa-banjar), Mat Nor anak Kuala Kedah, Tapa jawa dari Sabak Bernam, Anan minang dari Batu 10 Cheras, Jeni Minang dari Sg Sekamat Kajang, Udin anak Rembau Negori Sembilan, Fuad Zul Anees Rashid dari Pulau Pinang - dan isteri saya dari Alor Gajah Melaka. Kelantanisme sekali lagi tidak terpakai langsung dalam konteks ini. Tetapi saya tetap oghe klate walau anak2 saya tak tahu lagi kecek klate.

Raya kedua tahun ini saya punggah anak-anak beraya di Cherating, mandi laut.

Thursday, August 20, 2009

LTTC-INTERNATIONAL CONFERENCE




Bergaya dengan Saleeh Rahamad di Seminar. Tapi sebenarnya tengah melayang merangka ucapan sebagai wakil PENA.


Pembentang-pembantang dari AS dan UK sama saja standardnya dari segi isi dan kapasiti intelektual mereka dengan sarjana-sarjana kita di Malaysia. Bezanya mereka membentang dalam bahasa Inggeris dan datang dari universiti di Amerika Syarikat dan Eropah. Jadi janganlah merasa rendah diri dan memandang tinggi sangat sarjana Barat ini. Adalah segelintir yang taraf 'superintelectual', tapi kebanyakannya setaraf sahaja dengan sarjana kita di Malaysia. Malah ada satu dua orang sarjana Eropah ini merapu saja. Sifat memandang rendah dan myopic terhadap selain Barat memperlihatkan kecetekan pengetahuan mereka tentang dunia luar. Seorang pembentang di seminar ini bertanya soalan bodoh siapa yang menggunakan internet di dewan ini. Semua orang di sini menggunakan internet setiap hari. Masih tertanam dalam kepala otaknya bahawa penduduk Asia ini belum maju dan tahu menggunakan internet lagi. Maka apa yang dibicarakannya hanyalah kuliah untuk kelas komputer di sekolah.

Kita kalah dalam perang psikologi Barat sehingga sentiasa menyangka penutur bahasa Inggeris mempunyai kapasiti inteletual yang tinggi. Pada hakikat sebenarnya penutur bahasa Melayu atau bahasa ibunda mempunyai kapasiti intelektual kadang-kadang jauh lebih tinggi daripada sarjana Eropah pun. Seminar antarabangsa ini banyak memperlihatkan realiti propaganda 'white men burden' kepada saya. Tetapi dari dulu pun saya tidak pernah terlalu kagum kepada Mat Salleh. Sebab zaman remaja saya di Pulau Pinang banyak menemukan saya dengan Mat-Mat Salleh bodoh. Jadi tidaklah hairan sangat saya dengan produk luar khususnya dari Barat ni.

Monday, July 27, 2009

TAK ADA BEBAN BATU DIGALAS



Program PENA bersama Prince of Songkhla University di Hadyai. Sekarang saya melalui PENA telah menubuhkan Kelab Bahasa Melayu di Prince of Songkhla University di Hadyai. Leceh dan lambat nak tunggu badan bahasa dan idealog bahasa bekerja, jadi saya bekerja tubuh kelab bahasa Melayu. hentam sajala labu. Ini juga bukan kerja saya sebenarnya, saja seronok nak pikul beban.


Saya mencari beban yang tak sepatutnya digalas. Minggu ni adalah minggu yang begitu memeningkan. Ada tiga artikel berat terpaksa ditangani kerana janji seorang penulis yang rasa dia boleh tulis apa saja. Pertama, artikel 'Fitrah dalam Mitos Mana Setangginya dan Intan yang Tercanai'. Sedang ditulis dengan kepeningan yang berputar-putar untuk memahami teater Cikgu Noordin Hassan yang baru dipentaskan. Ramai yang bertanya 'mana fitrahnya?'. Tetapi saya menemui fitrahnya walau terpaksa berulang tiga kali ke Kinokuniya mencari buku Mythologies oleh Roland Barthes dan A Short History of Myth oleh Karen Armstrong. Buku-buku yang sedia ada dalam simpanan saya tidak cukup memuaskan hati untuk melihat the deciphering of semiology dalam strukturalisme Ferdinand de Sausare, dan myth as a semiological system. Ada fitrahnya di situ. Terima kasih juga kepada Rahimidin yang mencuci kabut di kepala saya dengan tafsiran berkaitan suasana politik Malaysia tahun 1999. Saya berhenti sekejap dan sekejap lagi artikel ini akan saya siapkan. Peningnya buat saya terfikir-fikir kedai urut kaki.

Kedua, artikel 'Pemikiran Pascakolonial dalam Sajak Tiga Penyair Malaysia' yang saya bentangkan di UPSI. Saya bercadang untuk menambah beberapa hal dan telah dijanjikan untuk diberikan kepada penerbitan jurnal. Zaen, Rahimidin dan Shamsudin saya lihat sebagai mewakili penyair dekad 90-an yang menyambung tradisi kepenyairan Malaysia yang agak terputus pada tahun 1980-an. kajian pascakolonial membuatkan sajak Rahimidin dan Shamsudin yang 'Islamik dan sufistik' jadi sekular seratus peratus. Rasa berdosa pula saya, tapi memang pun tidak lengkap kerana Islam juga adalah inti kepada pascakolonial. Maka saya perlu memperhalusi konsep Shathiyat, iaitu fenomena shath dalam tradisi sufistik yang menghasilkan konsep tentang keindahan. Ia boleh dihubungkan dengan pascakolonial melalui pembinaan peribadi baru Islam bagi menolak culture imperialism.

Ketiga, paling berat sebab saya tak menemui tajuk dan fokusnya lagi ialah perbandingan Bilangan Fu novel Ayu Utami dan Bedar Sukma Bisu novel Faisal Tehrani. Saya berjanji juga untuk seorang editor jurnal dan kena siapkannya, tapi tak tahu bila siapnya. Sebenarnya ini adalah perbandingan yang menarik. Bilangan Fu Ayu Utami ialah sebuah penggunaan mitos dan sejarah bagi menolak agama sementara Bedar.. Faisal adalah penggunaan mitos dan sejarah bagi menarik kepada agama. Bilangan Fu adalah mitos daripada mata seorang atheis sementara Bedar... adalah mitos daripada mata seorang agamawan. Ayu Utami cuba menjadi Sam Harris dalam End of Faith atau Richard Dawkins dalam The God Delusion, menjadi atheis baru di Timur. Bilangan Fu memperkenalkan Spritual Kritis iaitu mempersoalkan setiap agama (macam Islam Liberal la) dan mencari agama bumi iaitu kepercayaan animisme kuno yang dikatakan sebagai agama asli. Agama lain Islam, Kristian, Buddha, Hindu disebut sebagai agama imigran dan agama langit yang memaksakan hukum. Memang saya sedang mencari sudut yang menarik, tapi aduh mak banyaknye buku nak kena rujuk dan baca balik.

Saya seperti selalu saya katakan kepada kawan-kawan, "Apa kerja aku buat kerja ilmiah ni? Ini bukan kerja aku, ini kerja orang universiti. Kerja aku tulis fiksyen dan berjalan ke Thailand ke Indonesia ke (itu je la tempat boleh pergi dengan duit tulis artikel). Saya memang sedang tulis novel, yang tak siap-siap sebab sibuk buat kerja yang bukan kerja saya. aduh peningnya. nak berhenti rasa sayang, jadi tulislah, seronok juga dapat pusingkan otak ligat-ligat ni. hentam sajala labu. Tapi ops, kena relaks dulu, start keta pi urut kaki sat. ada kawan nak ikut jom. ala jangan cepat menghukum, jantan urut bang. Ini Ayu Utami marah, agama langit hanya memaksakan hukum. Tolak jangan terima, saya tolak Ayu Utami. ah lega kaki dah diurut...

Thursday, July 9, 2009

MARI BERLAPANG DADA

Semua orang menulis tentang ppsmi. Saya meninjau blog kawan-kawan dan isu ppsmi membawa pelbagai perasaan kawan-kawan yang mencintai bahasa Melayu dengan sepenuh jiwa mereka. Saya seperti sajak Latif Mohiddin (yang saya ingat2 lupa), lebih kuranglah bunyinya, "Bila orang duduk, aku berdiri, bila orang berdiri aku duduk". Jadi saya tidak mahu menulis panjang apabila semua sudah menulis tentang ppsmi.

Cuma ada beberapa perkara sahajalah sekadar bersantai. Terdapat ibu bapa (dalam akhbar Star)yang kecewa dengan keputusan mansuhkan ppsmi ini menyatakan akan memasukkan anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa dan sebahagian ibu bapa elit di Johor bercadang akan menghantar anak-anak mereka bersekolah ke Singapura. Saya cadangkan kepada ibu bapa ini agar lebih baik bagi mereka bukan sekadar memindahkan anak mereka ke luar negara tetapi mereka sendiri juga lebih baik pindah sahaja keluar dari Malaysia.

Satu lagi kelucuan dari GAPENA yang terlalu ghairah hendak mengangkat diri, terlalu berlebih-lebihan sehingga hendak mengadakan kelas tuisyen bahasa Inggeris di kampung-kampung. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana AJK Gapena mengajar bahasa Inggeris di kampung2. Saya bukan mempertikaikan kebolehan berbahasa Inggeris mereka tetapi seperti kata teman saya Zainal Rashid Ahmad 'apa ke jadahnya' gapena nak mengajar bahasa Inggeris di kampung2. Ramai lagi guru bahasa Inggeris yang memang kerja mereka berkenaan pedagogi pendidikan dan pengajaran tata bahasa boleh membuat kerja itu. Lebih baik lah kerja itu diberi kepada PAGE yang berjuang untuk bahasa Inggeris itu.

Isu Gapena ini moralnya ialah janganlah terlalu berkhayal bahawa kejayaan memansuhkan ppsmi ini adalah semata-mata daripada usaha mereka. Bagi saya GMP di bawah Hassan Ahmad dan A. Samad Said disertai oleh Abdullah Hassan, Shahrir Md Zain, Hasni Abbas, Dinsman, Puan Ainon, Suhaizan Kaat, dibantu oleh Persatuan Mahasiswa Islam dan sebagainya lebih memainkan peranan besar dalam keputusan ini. Di samping Ungku Aziz, Ishak Haron, Awang Sariyan dan sebagainya yang cukup berani dan konsisten dalam perjuangan ini.

Apabila Gapena memperkecilkan GMP yang berarak di jalan dan menyindir bahawa golongan intelektual seperti mereka (Gapena) tidak berarak di jalan (suara Tengku Alauddin dan beberapa orang AJKnya) saya jadi tersenyum. Apakah GMP bukan golongan intelektual. Dato Dr Hassan Ahmad, Prof. Dr. Abdullah Hassan, Prof. Dr. Shahrir Md Zain dan tak perlu saya senaraikan golongan super intelektual yang terlibat dalam perarakan bersejarah itu (saya pun tidak ada dalam perarakan ini kerana ada urusan di luar KL, menyanjung amat tinggi keberanian GMP dan mereka yang berarak).

Tulisan ini bukanlah hendak memecahbelahkan para pejuang bahasa tetapi seperti yang saya pernah katakan kepada JK PENA, dalam perjuangan yang menuju kepada matlamat yang sama, janganlah sekali-kali kita memperlekehkan sesama kita. Setiap orang mempunyai cara dan keupayaan yang berbeza, jadi hormat-menghormatilah.

Kepada teman-teman, janganlah menjadikan 'kejayaan atau kemenangan' (belum pasti sebenarnya) sebagai medan untuk kita mendabik dada dan menyerang mereka yang dianggap tidak bersama. Pernah seorang ajk Paksi menolak A. Samad Said daripada diangkat dalam Paksi kerana didakwa tidak membuat pendirian, tetapi akhirnya malu sendiri apabila A. Samad Said lah orang yang bermatian di barisan hadapan dalam perjuangan ppsmi ini. Lupakanlah kesalahan orang lain tetapi lihatlah kepada diri sendiri untuk menjadikan diri tidak takbur. Lihatlah kepada sejarah Islam, apabila Rasulullah menakluki Makkah, baginda bukan sahaja memaafkan kaum musyrikin bahkan memuliakan Abu Suffian yang menjadi ketua kaum musyirikin itu. Tidak bolehkah kita mengambil pengajaran daripada itu.

Saya lebih suka duduk apabila semua orang berdiri, dan berdiri apabila semua orang duduk...