Sunday, May 10, 2009

FORUM SASTERA DI UNJ, JAKARTA





Saya kembali lagi ke Jakarta setelah tahun lepas datang menghadiri JILFest (Jakarta Literary Festival). Kali ini diundang atas jasa baik Malim Ghozali Pk untuk Forum Sastera Serumpun di Universiti Negeri Jakarta (UNJ) kampus Rawamangun, Jakarta. Forum yang berlangsung di Aula Perpustakaan UNJ pada 7 Mei 2009 itu membicarakan Karya dan Pemikiran Malim Ghozali Pk dalam novel Daun dan kumpulan cerpen Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir!. Saya bersama Prof. Dr. Budi Darma membicarakan kumpulan cerpen Malim Ghozali Pk sementara Mohamad Daud Mohamad dan Helvy Tiana Ross membicarakan novel Daun. Dewan dipenuhi oleh pelajar pasca sarjana serta graduan kursus perguruan lepasan ijazah.

Kami dari Malaysia datang dalam rombongan seramai 11 orang termasuk tiga orang dari Sabah iaitu Jasni, Rohani dan Norza. Sebelum sampai UNJ, saya ketinggalan bas rombongan dan dijemput kemudian dengan motosikal oleh penuntut Helvy dari UNJ. Begitulah selalunya. Sambutan dan layanan pihak UNJ khususnya dari Helvy amat baik. Helvy saya kenali ketika sama-sama menyertai bengkel cerpen MASTERA yang pertama di Bogor pada tahun 1998.

Saya membicarakan cerpen-cerpen Malim Ghozali Pk menurut teori kajian budaya, memberi fokus khusus kepada teori tafsiran budaya yang dibawa oleh Clifford Geertz, iaitu penulisan sebagai sebuah etnografi. Banyak daripada cerpen Malim Ghozali Pk bergerak seperti sebuah penulisan etnografi masyarakat Melayu dan peribumi di Tanah Melayu. Etnografi sepertimana yang dikatakan oleh Levy-Strauss sentiasa mencari peluang untuk mengkehadapankan sastera pada setiap sudut dan ruang. Di sini saya dapat melihat bagaimana cerpen-cerpen Malim Ghozali Pk menjadi pisau dua mata, yang mana satu matanya adalah kesusasteraan dan satu matanya lagi adalah etnografi.

Etnografi bukan sekadar pemerihalan tentang aksi atau perlakuan budaya tetapi menggambarkan cara berfikir dan pola-pola budaya masyarakat yang menjadi subjek penulisannya. Saya tertarik dengan cerpen-cerpen Malim Ghozali Pk yang pada mulanya kepada saya hanyalah cerpen-cerpen biasa. Tetapi setelah membacanya secara berfokus, saya menyedari bahawa cerpen-cerpen ini tiada watak antagonis yang jahat untuk mewujudkan konflik kasar. Sebaliknya ia bergerak dengan protagonis dua sisi iaitu menjadi protagonis dan antagonis serentak. Maka itu kita tidak dapat menemukan watak ‘penjahat’ dalam cerpen-cerpen Malim Ghozali Pk. Maka saya jadi berfikir cerpen-cerpen ini harus dilihat sebagai sebuah penulisan etnografi-kreatif yang menawan.

Lalu saya teringat akan etnografi Clifford Geertz dan dari situ saya mula melihat cerpen-cerpen Malim Ghozali Pk melalui pisau analisis etnografi Geertz. Mungkin kertas kerja saya terlalu memuji-muji cerpen Malim Ghozali. Tetapi saya teringat kata seorang sarjana sastera bahawa seorang pengkritik yang bijak atau bagus akan berjaya mengangkat karya yang biasa menjadi karya yang luarbiasa, tetapi pengkritik yang tidak bijak dan tidak bagus selalunya menjadikan karya yang baik dan luarbiasa menjadi buruk.

Saya memutuskan untuk menjadi pengkritik yang bagus (baik) sekurang-kurangnya, jika tidak bijak pun. Dan saya juga bersetuju dengan kata-kata Helvy bahawa cerpen Pak Malim ini bermakna dan menghiburkan.

Tuesday, May 5, 2009

Kumpulan Puisi Sajak-sajak Petualang: Manusia Mimpi




Sebuah sajak yang dikutip dalam kumpulan puisi Sajak-sajak Petualang: Manusia Mimpi S.M. Zakir. Dalam proses penerbitan dan dijangka terbit hujung Mei 2009. Ada rezeki akan dibawa ke Perhimpunan Penulis Muda 22-24 Mei 2009 di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka. Itulah rancangan bersama Rahimidin Zahari yang akan sama-sama menerbitkan kumpulan puisi Perjalanan Salik.

Manusia Cinta

Katanya aku adalah manusia cinta yang paling jahanam
cuba mendirikan batu-batu cinta seperti Prambanan
yang disiapkan dalam satu malam oleh kuasa para jin
rusukku pecah ditembak panah dan mengalir luka
cintaku yang merah seperti lahar Merapi yang pecah
di Kaliurang yang terbakar menanggung amarah
Nyi Roro Kidul yang menjelma dari Laut Selatan
cintaku menyelinap di kraton mendatangi istana air
melihat sang raja di menara dengan 40 selirnya
memilih-milih selir istimewa dari permandian Taman Sari
cinta apakah yang aku miliki menjadi begitu terlarang
tetapi laju menerbang seperti panah Sang Rama
langkahku menjadi kuda di padang para perajurit
Sasono Hinggil yang terkepung oleh tembok kraton
melepasi dua beringin di alun-alun selatan
dan menjadi hasrat yang terkabul oleh cinta
dari luka kasih yang sering lewat dan sering tenggelam
bagai ikan yang merenangi lautan yang tidak bertepi

S.M. Zakir
Yogjakarta
29 Mei 2008

Monday, May 4, 2009

MANA NOVELNYA, ZAKIR?


Di Pelabuhan Sunda Kelapa, Indonesia

Pesta buku telah berlalu. Banyak penerbit yang mengaut keuntungan yang lumayan khususnya dalam segmen buku cerita, novel dan sebagainya. Kawan-kawan penulis pun ramai yang sudah 'bersandar' senang melihat royalti daripada hasil jualan novel dan karya mereka. Sebagai seorang penulis, saya rasa tersisih daripada kemeriahan ini. Kenapa? Kerana saya tidak ada novel atau karya yang boleh dipamerkan di Pesta Buku ini. Soal laku atau tidak bukan soalnya, tetapi yang penting mewujudkan diri melalui karya dalam masyarakat pembaca yang berpusu-pusu ini.

Seorang pembaca blog ini menulis komen dan dengan komennya saya tersedar bahawa saya sudah hampir 20 tahun menulis. Lamanya. Tetapi malangnya apa yang sepatutnya saya lakukan iaitu menghasilkan sebuah novel masih belum tercapai. Adala dua buah novel remaja yang ditulis untuk memenuhi kuota pembinaan judul DBP dulu, lama dulu. Selepas tu saya selesa bermalas-malas, cukup dengan menulis cerpen. Kemudian saya gila pula menulis rencana, esei dan kertas kerja. Saya bukan orang akademik kenapa sibuk-sibuk pula tulis kertas kerja, ah. Rasa pening juga. Menulis menyampaikan pemikiran yang konstruktif dan analitikal memang minat saya, bukan saya nak jadi orang akademik pun tetapi saya suka serius begitu. Menulis karya kreatif pun memang minat saya. Saya terjepit dalam dua dunia penulisan yang sama tetapi tidak serupa sama sekali, bahkan jauh berbeza dan boleh menenggelami antara satu sama lain.

Begitulah dilemanya. Saya mempunyai beberapa buah cerita untuk dijadikan novel di dalam kepala saya. Tetapi masih tersangkut oleh 'malas' saya. Mungkin saya perlu bergerak sekarang, bergerak... bergerak. Ya, lepaskan cerita-cerita dalam kepala itu. Jadi saya pun dapat tajuk cerpen terbaru saya, 'Cerita dalam Kepala' (harap tak ada samalah lagi dengan mana-mana tajuk cerpen indon lagi). Tapi ia cerpen lagi. Aduh bila nak tulis novel.

Yang pasti saya akan menerbitkan kumpulan puisi bersama kumpulan puisi Rahimidin pada bulan Mei ini. Tak boleh tangguh-tangguh lagi. Tajuknya Sajak-sajak Perjalanan: Manusia Mimpi. Yah. terbit dan terbit, tulis dan tulis. Itu kerja penulis sebenarnya.

Monday, April 6, 2009

GERAI RM100.00 DI PESTA BUKU READ MALAYSIA


Kawah Tangkuban Perahu di Bandung

Pada 29 Mei hingga 7 Jun 2009 (10 hari) akan diadakan pesta buku Melayu & Inggeris di Dewan Konvensyen Mines, The Mines Balakong. Di samping syarikat-syarikat dan penerbit buku ternama yang hadir dengan pelbagai buku, pihak penganjur juga menyediakan meja untuk penulis, penerbit persendirian, dan orang perseorangan untuk menjual buku terbitan mereka sendiri, kaset, cd lagu atau filem pendek yang dihasilkan secara persendirian. Sewa meja ini cuma RM100.00 sahaja untuk 10 hari. Pihak penganjur menyediakan 20 meja untuk disewa. Memandangkan saya mencadangkan disediakan ruang atau kemudahan bagi penulis, penggiat seni yang bergerak secara bersendirian untuk menjual hasil karya mereka secara terus kepada khalayak, pihak penganjur meminta saya mendapatkan penyewa untuk 10 meja ini.

Sesiapa yang berminat boleh menghubungi saya di blog ini, atau boleh terus berhubungan dengan pihak penganjur READ MALAYSIA yang akan menganjurkan pesta buku ini. Maklumat lanjut bolehlah didapati daripada internet.

Friday, March 27, 2009

HARAPAN SASTERA



Di Kota Singgora yang terletak di Songkhla, Thailand. Sejenak kami menjadi penulis yang tidak mempunyai apa-apa harapan kecuali merayap dan meneroka...


Sebulan kebelakangan ini saya kerap dihubungi oleh kumpulan-kumpulan mahasiswa yang perlu menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah-pensyarah mereka. Tentunya tugasan sastera yang memerlukan mereka menemubual penulis-penulis. Mungkin kebetulan saya tinggal berdekatan dengan IPT mereka di Lembah Kelang ini, di samping sering bergelewat (bahasa Kelantan) atau berkeliaran di aktiviti-aktiviti sastera PENA membuatkan saya pilihan yang paling mudah untuk ditemui. Saya pun tidak pernah kisah untuk ditemubual jika kebetulan ada kelapangan.

Soalan-soalan untuk menyiapkan tugasan sastera mereka ini bermacam-macam. Saya jawab mengikut pengalaman dan apa yang bermain di fikiran saya. Selalunya pada akhir temubual akan terungkap soalan, “Akhir kata apakah harapan saudara pada dunia sastera?”

Saya tentunya memberikan jawapan yang murni, tentang harapan sastera akan berkembang, lahir pelapis baru yang hebat, sastera dilihat sebagai pembentuk nilai kehidupan dan sebagai-bagainyalah. Akhir sekali saya diminta memberi nasihat atau kata perangsang kepada penulis-penulis baru. Seperti tadi juga saya tentunya sudah menyediakan jawapan-jawapan yang murni.

Selepas mereka pulang saya jadi berfikir, bagaimana jika saya tidak ingin berada dalam ‘dunia jawapan yang murni’ itu? Lalu saya ingin katakan begini. Sastera telah membunuh semua harapan saya, bagaimana boleh saya katakan saya mempunyai harapan kepada dunia sastera. Jawapan ini tidak murni dan saya tiba-tiba menjadi suka untuk bermain dengan kejujuran yang tidak murni ini.

Ketika saya bergelumang dengan dunia perniagaan dahulu, saya mempunyai harapan untuk menjadi kaya. Dan ini adalah harapan kami semua dalam dunia ‘projek-mojek’. Setiap hari kami akan berbual tentang projek, tender, sumber, pinjaman, modal, juga hubungan-hubungan gelap dengan pengarah, CEO dan tokoh-tokoh politik. Harapan kami ialah menjadi kaya.

Tetapi apabila saya berehat dari dunia perniagaan dan berniat untuk menjadi penulis sepenuh masa, sastera teleh membunuh harapan saya untuk menjadi kaya. Saya tidak peduli itu, yang penting saya tidak lagi senak dengan simbol ringgit di segenap otak saya – untung dan hutang, tetapi selalu yang lebihnya hutang. Kemudian saya mencipta harapan sastera akan memberikan ketenangan kepada saya. Tetapi sastera juga membunuh harapan itu. Saya tidak juga tenang kerana terlalu banyak ketidakpuasan yang ingin saya lontarkan dengan menggunakan medium sastera. Kemudian saya mempunyai harapan bahawa sastera akan menjadi dunia besar dalam masyarakat. Tetapi lagi sekali sastera membunuh harapan itu. Sastera hanyalah dunia kecil yang terpinggir dalam masyarakat. Masyarakat tidak pernah yang mempedulikan wujud atau tidaknya sastera.

Jadi sastera telah membunuh semua harapan saya. Tetapi saya sangat bersenang hati dengan segala harapan yang terbunuh itu. Kerana apa? Kerana saya tidak mempunyai sebarang tekanan dan kegusaran untuk mengejar dan memenuhi segala harapan besar.

Saya rasakan (mungkin berimaginasi) ramai penulis mempunyai harapan besar kepada dunia sastera. Harapan untuk menjadi masyhur, harapan untuk dikenali serta dihormati mungkin sehingga ke luar negara, harapan untuk dipuja, harapan karyanya lahir sebagai karya besar yang diperkatakan, harapan menerima anugerah yang bergunung, harapan menjadi sea write award, harapan menjadi sasterawan negara, harapan menjadi penyair sufi (?) harapan untuk menjadi manusia hebat, harapan menjadi pujaan gadis dan janda (?), harapan bertemu jodoh dan pelbagai harapan yang mengawan-awan lagi.

Dan sastera sekali lagi dan sekali dan sekali lagi akan membunuh semua harapan itu. Kerana sastera menuntut setiap penulis hanya untuk menjadi penulis sahaja. Tidak lebih daripada itu. Harapan yang bergunung itu tidak lebih daripada jerat dan halangan untuk menjadi seorang penulis. Lantaran itu ramai penulis yang kecewa, marah dan akhirnya menyumpah sastera kerana harapan mereka yang mengawan-awan itu tidak tercapai. Siapa mereka (penulis) untuk menyumpah takdir?

Jadi untuk menjadi seorang sasterawan maka kita tidak perlu ada harapan?

Saya tidak berkata begitu. Saya hanya cuba bermain dengan jawapan yang tidak murni. Tetapi saya tidak mahu memikirkan harapan, kerana saya lebih bahagia dengan hanya memikirkan apa yang hendak saya tulis. Saya mempunyai ketegasan prinsip terhadap apa yang merupakan ‘kerja saya’ dan apa yang merupakan ‘kerja Tuhan’. Dan kita boleh bersenang lenang jika hanya memikirkan tentang ‘kerja kita’ dan bukan ‘kerja Tuhan’.

Ha ha. Jangan terlampau serius. Saya hanya mencuba-cuba bermain dengan jawapan tidak murni. Ia adalah suatu bentuk dialogik yang tidak memerlukan kita terlalu beremosi tetapi sebalik belajar menggunakan pemikiran rasional.

Soalan terakhir, “Apa nasihat saudara terhadap penulis-penulis muda atau masyarakat yang ingin menceburi dunia sastera.”

Jawapan tidak murni saya, “Bagaimana saya hendak menasihati, jika saya sendiri tidak mahu mempunyai apa-apa harapan.”

Ha ha. Sebenarnya saya sangat bahagia dengan dunia sastera dan tidak mahu ‘harapan’ itu mengganggu kebahagiaan dunia sastera yang saya cintai.

Yang pasti ini semua adalah jawapan-jawapan yang tidak murni. Ha ha ha.

Wednesday, March 11, 2009

BLOG BARU BELATI & BUNGA


Melaram di Hanzhou, China

Saya buat satu lagi blog baru, khusus untuk artikel-artikel yang berat dan panjang dan tak lalu orang nak baca. Isunya politik dan filem. Nama blognya Belati & Bunga. Kira ala-ala Guns n Roses le. Bole la hentam saja. Sebab sekarang ini orang mula susah nak dapat akhbar alternatif, dan tulisan-tulisan saya di media alternatif tentang politik itu dimasukkanlah ke blog Belati & Bunga. http://belatidanbunga.blogspot.com/

Tahniah Pejuang-Pejuang Gerakan Mansuh PPSMI (GMP). Inilah barisan pejuang tulen yang berjuang mengorbankan segala kepentingan diri. Takbir!!!

Kepada Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said selaut doa dan sanjungan di atas perjuangan bahasa. Takbir!!!

Tuesday, March 3, 2009

PEKAN BARU




Pekan Baru sibuk dengan lalu lintas dan aktiviti seharian.
Sungai Siak yang menyimpan banyak sejarah. Sungai ini dahulunya besar dan menjadi laluan kepada Raja Kecil untuk mudik keluar menyerang Johor di bawah pimpinan anak Raja Bugis lima bersaudara.

Pada 20-23 Februari 2009 saya, shamsudin dan Dr. Ahmad Razali ke Pekan Baru. Shamsudin menghubungi Dr. Yusmar di sana dan berlangsunglah acara sastera yang menampilkan kami bertiga bersama bapak UU Hamidy.

Pertama kali saya berada di Dewan Kesenian Riau yang besar tersergam. Berbanyak terima kasih kepada Dr. Yusmar yang bersusah payah menampilkan kami di Dewan Kesenian Riau dan juga menaja penginapan kami selama dua malam di Dyan Graha.

Shamsudin lantang dan bersemangat di pentas Dewan Kesenian. Walaupun jawa tapi Shamsudin berapi-api mengangkat perjuangan Melayu (ha ha jangan marah tuan haji). Tapi dalam konteks Malaysia Melayu, Bugis, Banjar, Jawa semuanya Melayu. Dan pada hakikat sebenarnya pun Melayu adalah manifestasi kepada tamadun Islam di Asia Tenggara yang meliputi rantau besar wilayah daratan dan kepulauan nusantara.

Konsep tamadun Melayu-Islam ini sebenarnya begitu luas cakupannya. Tetapi ramai orang yang tak faham. Paling tak faham ialah Mahathir dan Hishamudin sebab itu dua ekor ni berjuang benar nak menegakkan warisan Inggeris di Malaysia melalui PPSMI. Kedua-dua ekor ni anglophile sebenarnya, iaitu pemuja dan pengagum Barat yang hidup seperti umang-umang tanpa keperibadian Melayunya lagi.

Pekan Baru sebuah kota yang sibuk dan luas sebenarnya. Tetapi kami tak punya cukup masa dan cukup wang untuk menjelajahnya. Di sini kita boleh ke Kampar, Inderagiri, dan Siak yang mana dahulunya merupakan negeri-negeri Melayu di bawah naungan Kesultanan Melaka dahulunya dan kemudian menjadi wilayah empayar Kesultanan Johor-Riau.