Monday, June 29, 2009

TANPA KEKERASAN KARYA ADALAH PEMBOHONGAN



Dua butir batu yang dikatakan tempat pertemuan Sultan Agung dan Nyi Roro Kidul Ratu Laut Selatan (ratu alam ghaib) di Pantai Parangtritis, Jogja. Mitos mempunyai hubungan yang unik dengan politik dan kekuasaan.
Kepercayaan mengatakan bahawa siapa yang memakai baju hijau dan mandi pada malam jumaat kliwon akan hilang diambil Nyi Roro Kidul.


Shamsudin Othman bertanya kepada saya kenapa karya saya kebelakangan ini banyak mematikan watak ptotagonis. Merujuk kepada cerpen saya Kisah Sebuah Pokok, tanya Shamsudin mengapa watak itu perlu mati. Kata Shamsudin, karya saya menjadi monotonus dengan pengakhiran yang sama (protagonis mati) dalam beberapa buah cerpen.

Selamba saya menjawab, "Saya sedang mengaplikasikan aliran theatre of cruelty. Tanpa kekerasan atau kekejaman, cerita adalah palsu."

Shamsudin menjawab, "Ya, theatre of cruelty - tanpa kekejaman semua karya adalah pembohongan."

Saya menjawab, "Tau tak apa."

Saya sebenarnya tidak merancang dan mengatur untuk memasukkan mana-mana aliran dalam cerpen saya. Ia hanya mengalir masuk dan banyaknya berlaku secara kebetulan. Sepertimana dalam Sajak-sajak Petualang: Manusia Mimpi. Komen seorang teman,"Berapa ratus kau punya sepi dan sunyi dalam sajak ni." Ia turut disedari oleh seorang lagi pembaca. Saya terpinga, "Ya ke?" Sememangnya saya tidak perasan langsung. Sebagaimana saya tidak perasan pun bahawa semua watak saya mati.

Mungkin saya tanpa sedar sedang memasuki jiwa Antonin Artaud, pengasas faham theatre of cruelty? Tetapi saya tertarik dengan jalur faham ini sebagaimana saya tergoda dengan Sumpah si Marquez dan jiwa bawah tanah si Dostoyeski. ToC antirealisme, dan menyeru perubahan yang meruntuhkan strutktur konvensi. Ia menjadikan seni sebagai 'wabak' yang mencuci masyarakat moden daripada segala kehodohan politik. ToC menyerang politik sebenarnya, kekejaman dan kekerasan yang dilagangkan sebagai kekuatan untuk menentang politik.

Saya sememangnya sedang membenci politik yang membelit dan membohong ketika ini. Maka saya sedang menentang kebejatan politik ini dengan kekerasan dan kekejaman seni saya. Benarkah apa yang saya katakan ini?

Tidak pasti. Tetapi percayalah saya mempunyai karya yang lebih keras dan kejam tentang politik dalam kepala saya - Jangan percaya. Kerana saya tidak berjanji di sini.

Dan mungkinkah selsema babi ini juga wabak yang diturunkan untuk mencuci dunia serba kotor sekarang ini, dengan kekerasan dan kekejaman maha seni?

Kegilaan apakah yang dimiliki oleh para seniman...

Monday, June 22, 2009

BACA PUISI PENA 3 JULAI 2009

Pada malam HSKU, ketika para pemenang dan panel sibuk beratur di belakang pentas, Pak Samad membacakan puisi yang keras 'meludah' Mahathir yang disebut sebagai Peludah Bahasa. Mahathir ialah satu sosok yang tidak boleh dimaafkan dalam soal maruah bahasa Melayu. Mahathirlah p...m.. yang menghancurkan bahasa Melayu. Manusia hipokrit terbesar dan tidak pernah tahu malu di atas apa yang dilakukannya. Kita harus meraikan keberanian A. Samad Said. Ayuh lahirkanlah tulisan dan sajak untuk meraikan keberanian Pak Samad 'meludah' Mahathir ini.

Untuk Shamsudin dan Lutfi yang mengutuk saya kerana berdiri ketika Mahathir berjalan masuk. Sebenarnya saya hanya menghormati majlis utusan (he he, alasan murahan) dan bukannya menghormati Mahathir. Tetapi saya sudah cukup menyumbang dalam membelasah Mahathir ini. Sebuah majalah telah ditutup kerana tulisan saya tentang Mahathirisme. Saya juga telah lanjutkan kecelakaan Mahathirisme ini dalam sebuah tulisan di Harakah. Cuma cita-cita saya untuk menulis sebuah buku yang tajuknya 'Kecelakaan Sejarah Bahasa Melayu' sahaja yang masih belum terlaksana.

Tetapi pada 3 julai 2009 sempena majlis baca puisi Pena saya akan membacakan sebuah sajak untuk mahathir si peludah bahasa ini. Datanglah beramai-ramai ke Rumah PENA pada 3 Julai 2009 (jumaat malam) jam 8.00 malam.

Saya syorkan kita ramai-ramai baca sajak tentang bahasa Melayu dan meraikan keberanian Pak Samad. Datanglah teman-teman kita baca sajak bahasa, sempena mengingati kecelakaan sejarahnya di tangan Mahathir Mohammad.

Sajak saya untuk si tua kutuk peludah bahasa mahathir p...m..

Ular yang Menjalar di Dalam Selimut

Pagi ini ada seketul udara
turun dari lubang kecil di atas jendela
menjalar seperti ular; meliuk ke bawah
lalu menyelinap masuk ke dalam selimut
seorang lelaki tua yang terkedang
memandang siling biliknya
mencari wajah dunia yang pernah dipunyainya
suatu ketika tangannya pernah menjadi ular
seakan-akan seketul udara yang menjalar itu
menyelinap masuk ke setiap rumah manusia
dan meragut kata-kata bangsanya dengan bisa
daripada kuasanya; dan memusnahkan suara
dari lidah bangsanya dengan bisa
daripada kuasanya; dan mencabut bahasa
dari ruh bangsanya dengan bisa
daripada kuasanya
ah, sejarah suka memutarkan
cerita yang sama; udara menjadi ular
tangan menjadi ular kuasa menjadi ular
jendela yang tidak tertutup menjadi
seperti neraka yang memanggil
ular yang menjalar di dalam selimut
seorang lelaki tua yang masih terkedang
mencari tangannya yang pernah menjadi ular
seketul udara turun dari atas jendela
menjalar seperti ular menyelinap ke dalam selimut
seorang lelaki tua yang terkedang
memandang siling

S.M. Zakir
18 April 2008
Bukit Jalil

Friday, June 19, 2009



Cucu 'Sultan Hemengkubuwono' bersama isteri dan anak-anak di Istana Kesultanan Solo.


Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil baru selesai semalam, 19 Jun 2009. Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua. Pertama kali saya menerima anugerah puisi. Tempat utama pula, memang saya tak pernah menjangka... tak menjangka nak jadi penyair. Sekarang dah jadi penyair. Penyair muda pulak tu (sebab baru menulis puisi). Sebenarnya saya berminat membaca puisi sejak dulu. Iqbal, Tagore, Rumi, Usman Awang, Latif Mohidin, Baha Zain memang sejak dulu saya membaca karya-karya mereka. Cuma saya lebih menumpukan kepada penulisan prosa (cerpen, rencana, dan sebuah dua novel remaja dahulunya). Itulah ceritanya.

Kedua, saya menerima anugerah untuk rencana sastera. Sebenarnya kalau tidak kerana Luqman Hakim, saya tidak akan menerima pun anugerah ini. Bahkan tidak menulis pun rencana itu. Luqman yang meminta dan kemudian memaksa saya menulis rencana. Ketika itu Luqman masih di Utusan. Entah bagaimana Luqman telefon kata dia diminta isi ruang rencana untuk Mingguan Malaysia. Luqman minta (paksa) saya tulis dan siapkan dalam masa sehari dua itu juga. Saya pun menulis kerana Luqman minta. Rencana itu panjang, jadi disunting lagi oleh Luqman. Maka tersiar rencana itu dengan suntingan yang cukup kemas dan profesional oleh Luqman (walaupun aku suka kutuk si Quek ni, tapi bab kerja dan penulisan aku memang kena puji dia, tapi tak boleh lebih sangat.. kembang pulak si manok ni). Dahulu pun sebuah rencana yang menerima anugerah(orientalisme, weltliteratur, Gharb Zadegi...) pun 'dipaksa' oleh Luqman. Dua-dua rencana saya yang menerima anugerah adalah kerana jasa Luqman 'memaksa' saya. Dan banyak daripada rencana dan cerpen dahulunya juga tersiar adalah kerana jasa Azman Ismail. Setelah kedua-duanya keluar Utusan, kerja penyuntingan karya itu diambilalih oleh Ku Seman. Banyak jasa Ku Seman dalam penulisan saya kini. Saya bukan seorang yang rajin, jika tidak ada editor-editor yang 'memaksa' ini saya lewa dan tidur saja.

Jadi, di sini sebenarnya penulis-penulis yang menang anugerah perlu banyak berterima kasih dan mengingati jasa editor yang menyiar dan adakalanya bersusah payah menyunting karya mereka untuk memadati ruang yang terhad itu. Cerpen saya Moluska juga panjang, tetapi disunting dengan baik oleh Ku Seman. Akhirnya disiar dan menerima anugerah utama. Begitu juga cerpen terbaru Masjid, juga disunting dengan baik oleh Ku Seman sebelum disiarkan. Azman Ismail, Ku Seman, Luqman dan dahulu Noor Azam Shairi merupakan editor yang berpengalaman dan cukup kemas serta baik dalam penyuntingan. Dan apabila ia diterbitkan untuk menjadi antologi, Kak Azah (Puan Nor Aziz Aziz) dan Rodzlan pulalah bertungkus lumus menyuntingnya. Kak Azah sebenarnya cukup banyak berjasa kepada HSKU ini. Beliau adalah orang yang sejak dulu (bersama editor lain di UPND) menjadi insan di belakang tabir dalam memastikan antologi HSKU terbit dengan kemas dan menarik.

Saya bercerita khusus untuk ruang HSKU. Editor di media lain juga, DBP, Berita Harian dan sebagainya juga begitu, banyak memainkan peranan belakang tabir dalam kejayaan penulisan para penulis. Penulis mungkin menerima limpahan glamornya pada malam anugerah itu. Tetapi manusia yang di sebalik kejayaan mereka seperti editor, panel hakim dan penganjur hilang di sebalik kegemerlapan penulis.

Saya adalah seorang yang cukup menghormati para editor dan panel hakim, kerana saya juga pernah menjadi editor dan panel hakim (untuk hadiah lain). Jadi saya tahu dan cukup maklum betapa rumitnya kerja insan-insan ini dalam memastikan karya dan para penulis muncul sebagai yang terbaik.

Untuk itu sekalung tahniah dan ucapan terima kasih kepada insan-insan berjasa di belakang tabir kejayaan para penulis. Walaupun penulis adalah berhak ke atas gemerlapan anugerah kerana mutu karyanya, tetapi tanpa insan-insan di belakang tabir ini belum tentu mereka dapat bergemerlapan dengan segala kemasyhuran itu. Jaza Allah Kairan Kathira.

Saturday, May 30, 2009

SAJAK-SAJAK PETUALANG: MANUSIA MIMPI



Gambar berbasikal di Pelabuhan Sunda Kelapa Jakarta.



Saya dan Rahimidin Zahari sempat menerbitkan buku puisi sebelum Perhimpunan Penulis Muda tempoh hari. Jadi dapatlah dibawa ke majlis tersebut. Alhamdulillah, terjual agak banyak juga. Rahimidin dengan kumpulan puisi Perjalanan Salik. Sementara saya dengan kumpulan puisi Sajak-sajak Petualang: Manusia Mimpi.

Sajak-sajak saya adalah satu rakaman daripada perjalanan yang dibuat di luar negara beberapa tahun kebelakangan ini. Saya memikirkan untuk mencatat pengalaman saya berjalan ke beberapa buah negeri di Asia Tengara dan China. Jadi saya masukkan juga gambar-gambar perjalanan di negara-negara tersebut.

Ini adalah kumpulan puisi kedua saya (lebih diterbitkan untuk sekadar mencatat kenangan bagi diri sendiri) selepas kumpulan puisi Memburu Malaikat yang diterbitkan secara suka-suka. Saya tidak mempunyai sebarang perancangan dan tujuan yang besar dalam usaha menerbitkan kumpulan puisi ini. Kerana ia lebih diterbitkan untuk mencatat pengalaman-pengalaman 'petualang' dalam bentuk puisi.

Kumpulan puisi saya boleh dibeli melalui Ujana Ilmu (kedai buku maya Nisah Haron). Atau juga boleh hubungi saya melalui smzakir90@gmail.com. Harga RM15 sahaja, cukup-cukup untuk menampung kos penerbitan. Ok la.

Monday, May 25, 2009







Turut hadir Sharifah Khadijah dan dua orang penulis dari Singapura. Seorang daripada mereka turut menyumbangkan lagu puisi pada malam Baca Puisi Penyair Muda di kolam Puteri Resort. Mungkin selepas ini PENA akan mengadakan diskusi karya penulis Singapura-Malaysia melalui hubungan yang terjalin ini.

HANGATNYA ARIF DAN RIDZUAN




Saya 'meghilangkan' gambar Salina Ibrahim yang bersekongkol dengan konspirasi Nazmi Yaakub untuk mengeluarkan saya daripada senarai penulis muda. Jadi cuma ada gambar Arif dan Ridzuan saja di sini.

Hari terakhir memang diisi dengan suasana yang hangat. Ternyata isu-isu yang dibincangka memang relevan dengan para penulis muda. Semua peserta memang tekun mengambil bahagian dalam semua seminar dan diskusi.

Sesi terakhir menampilkan Arif Mohamad, Ridzuan Harun dan Salina Ibrahim yang dipengerusikan oleh Nimoiz TY. Nimoiz yang telah memecahkan suasana pada malam baca puisi semalam kini hadir lagi sebagai pengerusi dengan gelagat yang menghiburkan. Salina membincangkan karya dan media. Arif tampil dengan kenyataan yang mengundang sedikit sentimen apabila mengatakan MPR bersifat eksklusif. Nasriah segera bangkit untuk berbahas mempertahankan MPR. Saya dahulunya juga mempunyai kekhuatiran MPR akan menjadi eksklusif dan elit untuk orang lain selainnya. Tetapi di bawah Nasriah yang menjadi pemimpin de facto khususnya untuk adik-adik MPR di UIA, MPR sebenarnya tidak eksklusif dan berhubung baik dengan semua pihak. Contohnya untuk PPMN09 ini, laman blog MPR membuat lintas langsung terhadap semua sesi. Juga PPMN09 ini juga mendapat sokongan padu dari alumni MPR, dan juga digerakkan oleh 90 peratusnya alumni MPR sendiri seperti Shamsudin Othman, Saifulizan Yahya, Lutfi Ishak, Rahimidin zahari dengan bantuan Nasriah, Ummu Hani dan lain-lain. Jadi MPR sebenarnya banyak memainkan peranan untuk menjayakan PPMN09 ini, walaupun nama MPR itu tidak dipamerkan. Syabas dan jutaan terima kasih kepada MPR. Tetapi pandangan Arif Mohahamad itu juga bertolak daripada pandangan kesarjanaan yang tidak mempunyai prejudis atau bias kepada mana-mana sentimen. Jadi ia juga harus diterima sebagai sebuah wacana yang boleh dibahaskan.

Akhirnya sekali kenyataan Ridzuan Harun tentang peranan pemikir budaya di institusi kerajaan menimbulkan kehangatan perbincangan apabila Siti Rohayah Atan menyanggah tentang kenyataan Ridhuan yang menyatakan tiada pemikir budaya di kementerian kecuali pentadbir dan pengurus. Roy, saya kenali sejak lama, awal 90-an lagi dan memang kontroversi orangnya. Tetapi lama sekali menghilang dan menyepi dengan kerja-kerja teaternya selepas keluar dari Utusan. Tahniahlah Ridhuan kerana membawa Roy kembali untuk menghangatkan suasana. Saya lebih melihat perbezaan pendapat ini sebagai dinamisme yang positif dalam membina kekuatan wacana penulis muda.

SAINS DALAM SASTERA, SASTERA DALAM SAINS





Lutfi berjaya membawa 'orang-orang sains' kali ini untuk menyertai PPMN09 sebagai pemakalah. Dr. Mohamad Alinor dan Wan Ahmad Fhysal ternyata memberikan kehangatan kepada diskusi untuk sesi ini. Nasirin juga tampil memberikan wacana yang cukup bernas. Pengerusi, Mohamad Ali Atan menjalankan tugas dengan cemerlang. Dr. Alinor mengkaji sains tabii melalui manuskrip kuno, dan ia adalah suatu yang sangat menarik. Wan Fhysal baru berusia 22 tahun tetapi kematangan dan ilmu cukup untuk meletakkannya setaraf dengan sarjana tingkat tinggi. Namun kecenderungannya kepada teori Persuratan Baru mungkin akan banyak menghabiskan masanya untuk menjawab serangan kilas, jika Persuratan Baru itu diambil bulat-bulat tanpa dimurnikan. Persuratan Baru adalah teori yang tidak islamik sebenarnya apabila menampilkan sifat sombong, riak dan takbur dengan memperlekehkan semua karya dan pemikiran orang lain. Afandi hanya meletakkan karyanya sahaja yang terbaik, dan ia menyamai sikap firaun yang hanya meletakkan dirinya sahaja yang mulia dan benar.

Jika Wan Fhysal tidak memurnikan Persuratan Baru mengikut pemikirannya sendiri, beliau akan banyak menghabiskan masa melawan kritikan dan serangan yang akan hanya mensia-siakannya. Amat baik untuk Wan Fhysal menggunakan tenaga mudanya yang dinamik, intelektif dan eksploratif itu untuk membina balik Persuratan Baru ini menjadi sebuah teori Islam yang murni. Dan bukan seperti pengemukanya yang bercakap tentang sastera ilmu tetapi tidak ada sebarang definisi dan huraian yang objektif tentang apa itu ilmu. Apakah ilmu bagi Ungku Maimunah dan Afandi hanya meruntuh-runtuh, mengaib-aibkan dan membodohkan orang lain sahaja. Teori persuratan baru boleh jatuh kepada bidaah jika ia terus mengekalkan sifat sombong dan riaknya. Dan boleh jatuh kepada jahil jika hanya bercakap tentang ilmu yang tidak ada definisi dan konsep yang jelas.