Wednesday, August 12, 2009

SECAWAN KOPI MANIS

Dewi

Ruang sejuk ini bukan kayangan
yang menumpahkan cetera
seorang raja pemilik kesaktian
yang mampu menewaskan
raksasa dan bota kerana mengikut mimpi
mencari puteri di negeri nan jauh
ia hanyalah ruang sejuk
tempat kita meneguk kopi
sambil menunggu pesawat
mengangkat kita ke langit

kau adalah dewi yang tiba-tiba
jatuh dari langit angan-angan
setiap lelaki yang tiba
membawa buntilan raga
dari hati yang sering jatuh dan luruh
dalam kayangan dewa dan dewi
kopiku terasa manis saat hatiku
jatuh dan mengacau gula di dalamnya

apakah setiap saat sang dewa
mampu memanah cintanya
menembusi jajaran pokok
untuk membuktikan kesaktian
demi merebut cinta sang dewi

aku tentunya lelaki yang tidak punya
panah dan busur yang mampu
memanah hati sesiapa
cuma mengharap seteguk kopi
menghilangkan dahaga dari perjalanan
yang lelah mengitari kota
yang penuh cinta, dewa dan dewi


S.M. Zakir
Bandung,
8 Ogos 2009

Saturday, August 8, 2009

ANTARA BANDUNG DAN JAKARTA





Angkutan yang menjadi pengangkutan umum di Bandung - murah tapi kena banyak bertanya dan bersesak.


Pada 05 Ogos 2009, saya dan Shamsuddin Othman berlepas ke Bandung untuk mengikuti Konferensi Internasional Kesusasteraan XX Himpunan Sarjana-Kesusasteraan Indonesia (HISKI). Kami cuma datang sebagai pemerhati dan penyokong kepada Saleeh Rahamad yang membentangkan kertas kerjanya. Selebihnya kami menjadi penyokong industri beli belah di Jalan Setiabudi, Chempelas, Jalan Riau, Pasar Baru, Jalan Merdeka, Cibaduyut, dan jualan buku di Palusari. Hingga poket di semua baju dan seluar kami - kering kontang (lebih-lebihnya saya sebab duit memang dah sikit).

Dalam perjalan selama 3 jam di atas kapalterbang saya telah menyambung dan menghabiskan buku Karen Amstrong A Short History of Myth. Di Bandung atau Indonesia umumnya saya melihat mitos menjadi sebuah sistem nilai yang mencirikan budaya,peraturan dan pegangan hidup. Mitos mewujudkan manusia sebagai homo logos, yang berdiri antara myth dan reason.

Saya mengambil keputusan untuk menikmati perjalanan kereta api dari Bandung ke Jakarta (berhenti di Gambir). Perjalanannya tiga jam. Mungkin ada yang tertanya, berapa banyak wang saya hingga sentiasa berjalan ke luar negara. Sebenarnya tak banyak. Saya mengamalkan perjalanan budget, kata orang. Tiket kapalterbang Air Asia KL-Bandung (atau Jakarta) RM430. Sampai di Bandung, cari hotel sederhana seperti Mutiara berhampiran Stesen kereta api dengan harga biliknya sekitar 240 ribu (sekitar RM80). Banyak hotel yang murah sekitar Stesen kereta api ini. Di sini hampir dengan Pasar Baru, nak beli belah barang murah ok la. Nak yang tiga bintang sekitar 300-500 ribu (RM120-150) ada Vue Palace atau Arion Hotel.

Nak Berjalan naik saja angkutan (van kecil dibuat macam bas mini). Tambang sekitar 2000 hingga 4000 rupiah saja (RM1-RM2). Naik teksi kurang2 20-40 ribu rupiah (RM7-RM15). Makan cari pusat beli belah, makanan di kiosk2 sekitar 10-30 ribu rupiah. Restoran nasi padang mahal kurang2 100 ribu rupiah makan dua orang (RM36). Sekali sekala boleh cuba makanan Sunda di restoran Ampera, sama harga dengan restoran Padang. Jadi sehari jika kongsi 2 orang semua sekali hotel, makan, berjalan cuma habis RM100 saja. Boleh beli tudung dan baju lagi di Pasar Baru. Duduk 4 hari 3 malam baru RM400 saja. Campur tambang RM900 saja la. Boleh beli barang sikit-sikit. Kalu pandai cari hotel murah dan makan murah, boleh jimatkan lagi. Bawa RM1000 jalan 2-3 orang pun dah cukup untuk 4 hari 3 malam. Nak selesa bawa lah RM1500, boleh pergi Tangkuban Perahu tengok tragedi Malim Kundang. Kalau setakat nak berjalan la. Kalau tujuan nak beli belah dan hal-hal lain, sendiri mau ingat la.

Masalah yang pakai duit banyak, sebab tengok barang di outlet Chempelas, Jalan Dago, Jalan Riau yang boleh gelapkan kepala otak. Cara mudah ambil satu hari untuk berjalan semua tempat tanpa beli apa2. Sudah dibanding harga, esok baru datang beli tempat yang paling murah. Kalau tidak dah beli nangis tak berlagu, di tempat lain harga barang yang sama murah 2 kali ganda. Beli kulit di Cibaduyut harus hati2 juga, ada kawan terkena yang palsu. Kulit apa bakar pun cair, kutil pun koyak. akhirnya tingal kat hotel, malu nak bawa balik. ada la kawan tu.. tapi ada juga kawan pergi Bandung beli alas kaki 10 ribu rupiah 2 helai, gelak kawan2 kat chow kit pun berlambak la bang.

Saya tinggalkan Saleeh dan Shamsudin di Bandung. Naik kereta api 50 ribu rupiah tambangnya terus ke Jakarta. 50 ribu (RM18) rupiah tu kelas eksekutif, air-cond, layanan makanan oleh pramugari seperti airasia. Perjalanannya 3 jam lalu bukit dan sawah yang sungguh cantik. Saja nak merayap. Atas kereta api pergi balik Bandung-Jakarta saya sempat habis separuh dari buku Slazoj Zizek Violence. Kata Zizek ekonomi bebas ini bukan melahirkan kapitalis tetapi golongan liberal comunist. Bill Gates, Soros dan sebagainya itu sebenarnya adalah komunis liberal. Mereka mewujudkan dana-dana bantuan kemanusiaan, membantu negara miskin tetapi dalam masa yang sama mengaut keuntungan pasaran bebas seperti industri maya, spekulasi saham dan matawang, perbankan dan sebagainya. Begitu juga negara-negara maju kapitalis yang mempunyai dua wajah, satu malaikat dan satu setan. Di Jakarta, dua wajah malaikat dan setan ekonomi bebas bergentayangan. Jarak antara kaya dan miskin amat jauh. Malaikat ketika mereka memberi pinjam, dan setan ketika mereka menyedut riba.

Dalam keretapi antara Jakarta dan Bandung, wajah ekonomi bebas menyelit di celah kolong, manusia hidup di timbunan sampah, bangunan kapitalis yang mencakar langit, pusat beli belah moden. Wajah setan dan malaikat ekonomi bebas berkontradiksi. Saya mencari pemahaman daripada apa yang dikatakan Zizek, "the wordless character of capitalism is linked to this hegemonic role of scientific discourse in modernity'.

Balik ke Bandung, saya menumpang di bilik Shamsudin. Tiga peristiwa besar di Indonesia. Pertama kematian Mbah Surip, penyanyi raggae rakyat marhaen. Kedua kematian WS Rendra, seniman besar Indonesia. ketiga, penumpasan Nordin Mat Top oleh pasukan elit Indonesia. Kes Nordin Mat Top memperlihatkan bagaimana dunia simulacra Baudrilard berfungsi. Media digunakan untuk 'memitoskan' penumpasan Nordin Mat Top. Tujuannya banyak, agenda politik domestik dan politik dunia Barat (mirip dengan cerita Bodies of Lies). Saya berkata kepada teman, "Tengoklah akhirnya nordin mat top letup diri dan mayat tak dikenali. Kes tutup". Apa yang saya katakan benar terjadi. Kalau saya bertaruh tentu sudah menang besar.

Besok merayap bersama Saleeh dan Shamsudin ke Pasar Baru dan Jalan Riau. Pukul 2.00 Malaysia daftar keluar hotel terus ke airport. Bertemu gadis Sunda yang mengheret kami ke kafenya, kebetulan seorang siswi jurusan bahasa dan sastera. Pelakon teater pulak. Saya umpan nak bawa jadi pelakon teater saya (terus semangat nak buat teater) lawan Rahimidin. Tapi kawan saya berdua pun minat juga nak jadikan 'pelajar'. Ada yang nak taja buat pasport lagi. Saya tak bawa kamera, jadi boleh minta gambar si dewi ini bersama kami dengan teman saya yang berdua itu. Tetapi jangan prasangka teman saya berdua itu semua baik dan berniat baik(termasuk saya la).

Atas kapal terbang 3 jam perjalanan itu saya habiskan buku Islam, Democracy and Western Values (Islam Liberal versi Malaysia?). Disusun oleh Al-Mustaqeem dan diterjemah oleh Aloysius Mowe, dibiaya oleh Konrad Adenaur Foundation. Saya tidak bersetuju dengan beberapa perkara di sini. Demokrasi adalah sama dengan Piagam Madinah dan nilai Barat seperti liberalisme dan civil rights adalah nilai yang sama dengan apa yang terkandung dalam al-Quran. Perlukan wacana? pada lain masa dan tempat, tetapi saya tentu ada hujah dan wacananya. Nilai Barat dan demokrasi sekular tidak ada dinnya, ia sekular. Macamana boleh sama?

Balik KL, ambil teksi untuk berkejar ke Majlis Menjelang 75 Tahun A. Samad Said. Saya sempat hadir dan membaca puisi. Undangan ITNM dengan CEOnya Khair Ngadiron yang merakyat itu tak mungkin saya tolak, walaupun masanya bekejar2. Balik rumah tidur mati. Bangun Subuh, saya terpinga ada suara budak, anak siapa pulak masuk bilik hotel ni. Tengok rupa, macam anak aku - oh saya di Malaysia, bukan di Bandung lagi.

GUNUNG LEDANG

31 Julai hingga 2 Ogos, saya, Shamsudin dan Rahimidin menyertai Amiruddin di program PPJ bersama DBP Wilayah Selatan dan Perbadanan Taman Negara Johor. Setibanya di Resort di kaki Gunung Ledang, ahli-ahli PPJ telah ada. Kami menyertai mereka dan berkenalan dengan Encik Aziz, pegawai Perbadanan yang bertanggungjawab ke atas program ini.

Resort yang indah. Merendam kaki di anak sungai yang mengalir air gunung sambil anak-anak ikan kelah menggigit kaki. Spa ikan di KL RM40 sejam. Di sini rendam lah berapa lama, percuma saja. Air gunungnya pula sejuk dan menyegarkan. Banyak khasiatnya.

Besok Sabtu, kami dibawa dengan trak dan pacuan empat roda ke puncak Gunung Ledang. kemudian berhenti di bangunan Telekom sebelum mendaki ke puncak kira-kira 20 minit. Puncak Gunung Ledang berkabus, jadi kami tidak dapat melihat apa-apa. Dalam perjalanan turun, Shamsuddin membawa saya melihat batu bersurat di atas Gunung Ledang. Ada tulisan jawi tua yang tidak dapat dibaca. Kata Persatuan Sejarah Johor, ia cuma vandalisme. Tapi kepercayaan (mitosnya) ia adalah batu bersurat yang ada sejak zaman empayar Melaka. Saya tidak ingin menjustifikasikannya. Tapi banyak mitos di Gunung Ledang ini. Kena tanya Shamsudin Othman, kerana dia orang Tangkak penduduk asal kawasan Gunung Ledang ini.

Malam ada baca puisi. Hebat dan indah puisi-puisi penulis Johor. saya fikir pihak perbadanan mengambil langkah yang positif dalam mempromosikan taman negaranya melalui program penulisan puisi yang mengangkat keindahan, sejarah dan mitos yang ada di taman-taman negaranya. Puisi-puisi yang dibukukan elok disebarkan kepada orang ramai. Ramai yang sebenarnya tidak tahu tentang kawasan pelancongan alam yang indah di taman-taman negara ini.

Mungkin banyak perkara telah ditulis oleh kawan-kawan. Jadi saya pulang membawa dua kenangan, pertama spa ikan dengan anak-anak kelah yang jinak. Dua, pokok-pokok herba yang mempunyai khasiat bermacam-macam dan nama bermacam-macam. Satu daripadanya Derhaka Mertua. kenapa diberi nama sedemikian, sila tanya Rahimidin Zahari.

Sayang, gambar-gambar yang saya ambil melalui telefon bimbit tak pandai untuk saya pindahkan ke komputer.

Monday, July 27, 2009

TAK ADA BEBAN BATU DIGALAS



Program PENA bersama Prince of Songkhla University di Hadyai. Sekarang saya melalui PENA telah menubuhkan Kelab Bahasa Melayu di Prince of Songkhla University di Hadyai. Leceh dan lambat nak tunggu badan bahasa dan idealog bahasa bekerja, jadi saya bekerja tubuh kelab bahasa Melayu. hentam sajala labu. Ini juga bukan kerja saya sebenarnya, saja seronok nak pikul beban.


Saya mencari beban yang tak sepatutnya digalas. Minggu ni adalah minggu yang begitu memeningkan. Ada tiga artikel berat terpaksa ditangani kerana janji seorang penulis yang rasa dia boleh tulis apa saja. Pertama, artikel 'Fitrah dalam Mitos Mana Setangginya dan Intan yang Tercanai'. Sedang ditulis dengan kepeningan yang berputar-putar untuk memahami teater Cikgu Noordin Hassan yang baru dipentaskan. Ramai yang bertanya 'mana fitrahnya?'. Tetapi saya menemui fitrahnya walau terpaksa berulang tiga kali ke Kinokuniya mencari buku Mythologies oleh Roland Barthes dan A Short History of Myth oleh Karen Armstrong. Buku-buku yang sedia ada dalam simpanan saya tidak cukup memuaskan hati untuk melihat the deciphering of semiology dalam strukturalisme Ferdinand de Sausare, dan myth as a semiological system. Ada fitrahnya di situ. Terima kasih juga kepada Rahimidin yang mencuci kabut di kepala saya dengan tafsiran berkaitan suasana politik Malaysia tahun 1999. Saya berhenti sekejap dan sekejap lagi artikel ini akan saya siapkan. Peningnya buat saya terfikir-fikir kedai urut kaki.

Kedua, artikel 'Pemikiran Pascakolonial dalam Sajak Tiga Penyair Malaysia' yang saya bentangkan di UPSI. Saya bercadang untuk menambah beberapa hal dan telah dijanjikan untuk diberikan kepada penerbitan jurnal. Zaen, Rahimidin dan Shamsudin saya lihat sebagai mewakili penyair dekad 90-an yang menyambung tradisi kepenyairan Malaysia yang agak terputus pada tahun 1980-an. kajian pascakolonial membuatkan sajak Rahimidin dan Shamsudin yang 'Islamik dan sufistik' jadi sekular seratus peratus. Rasa berdosa pula saya, tapi memang pun tidak lengkap kerana Islam juga adalah inti kepada pascakolonial. Maka saya perlu memperhalusi konsep Shathiyat, iaitu fenomena shath dalam tradisi sufistik yang menghasilkan konsep tentang keindahan. Ia boleh dihubungkan dengan pascakolonial melalui pembinaan peribadi baru Islam bagi menolak culture imperialism.

Ketiga, paling berat sebab saya tak menemui tajuk dan fokusnya lagi ialah perbandingan Bilangan Fu novel Ayu Utami dan Bedar Sukma Bisu novel Faisal Tehrani. Saya berjanji juga untuk seorang editor jurnal dan kena siapkannya, tapi tak tahu bila siapnya. Sebenarnya ini adalah perbandingan yang menarik. Bilangan Fu Ayu Utami ialah sebuah penggunaan mitos dan sejarah bagi menolak agama sementara Bedar.. Faisal adalah penggunaan mitos dan sejarah bagi menarik kepada agama. Bilangan Fu adalah mitos daripada mata seorang atheis sementara Bedar... adalah mitos daripada mata seorang agamawan. Ayu Utami cuba menjadi Sam Harris dalam End of Faith atau Richard Dawkins dalam The God Delusion, menjadi atheis baru di Timur. Bilangan Fu memperkenalkan Spritual Kritis iaitu mempersoalkan setiap agama (macam Islam Liberal la) dan mencari agama bumi iaitu kepercayaan animisme kuno yang dikatakan sebagai agama asli. Agama lain Islam, Kristian, Buddha, Hindu disebut sebagai agama imigran dan agama langit yang memaksakan hukum. Memang saya sedang mencari sudut yang menarik, tapi aduh mak banyaknye buku nak kena rujuk dan baca balik.

Saya seperti selalu saya katakan kepada kawan-kawan, "Apa kerja aku buat kerja ilmiah ni? Ini bukan kerja aku, ini kerja orang universiti. Kerja aku tulis fiksyen dan berjalan ke Thailand ke Indonesia ke (itu je la tempat boleh pergi dengan duit tulis artikel). Saya memang sedang tulis novel, yang tak siap-siap sebab sibuk buat kerja yang bukan kerja saya. aduh peningnya. nak berhenti rasa sayang, jadi tulislah, seronok juga dapat pusingkan otak ligat-ligat ni. hentam sajala labu. Tapi ops, kena relaks dulu, start keta pi urut kaki sat. ada kawan nak ikut jom. ala jangan cepat menghukum, jantan urut bang. Ini Ayu Utami marah, agama langit hanya memaksakan hukum. Tolak jangan terima, saya tolak Ayu Utami. ah lega kaki dah diurut...

Sunday, July 19, 2009

PELBAGAI CERITA DALAM 2 MINGGU





Di Universitas Negeri Jakarta sebagai pemakalah membicarakan karya Malim Ghozali PK. Seusai acara 'hilang' membawa diri di rantau orang.


Sepanjang dua minggu ini agak sibuk dengan pelbagai aktiviti kecil. 11 Julai saya diundang ke program bualbicara Perpektif yang dikendalikan oleh Syed Faradino. Bersama saya Prof Rahman Shaari, Puan Izzah Aziz dari DBP dan Naffi Mat dari UPM. Tajuknya Pembelajaran Sastera di Sekolah. Tentunya saya mengatakan bahawa pembelajaran sastera di sekolah sekarang ini adalah silap dan membosankan. Murid2 sepatutnya dibawa untuk mendengar cerita dan berseronok dengan cerita tetapi sebaliknya dipaksa-bebankan untuk menghafal segala teori dan struktur apa itu plot, latar, tema, watak, personifikasi, metafora yang membosankan. akhirnya sastera menjadi elit, payah dan membosankan.

12 julai pula menjadi tamu Radio 24 rancangan profil kelolaan Tuan Asmawi. Hanya bualan biasa tentang penglibatan dalam sastera. Tetapi yang menariknya saya dapat bertemu Tuan Asmawi yang ramah dan mesra. 15 julai masuk pula rancangan nada puisi siaran 180 RTM di Astro. Pengarahnya kebetulan temannya Pok Ku. Bercakaplah pula saya tentang puisi. Saya tak sedia apa-apa skrip sepertimana mana-mana bualan sebelum ini. Apa yang ditanya, saya jawab. Kalau dahulu saya tentunya menggigil dan kosong kepala apabila berdepan dengan situasi bual di hadapan khalayak, tetapi sekarang bak kata Saleeh Rahamad 'pantang diberi mikrofon'. Kalau tak dihenti, tak berhentilah saya bercakap. Saya malas bercakap, tapi kalau bercakap susah nak berhenti.

Sebelumnya, sempat menyaksikan Intan Yang Tercanai karya Noordin Hassan. Bermacam pandangan diberikan oleh kawan2. Saya duduk di sebelah Faisal Tehrani malam tu. Keluar pula asap kemenyan berkepul2 di bangku kayu sebelah saya, pening dan sesak dibuatnya. Saya kata kepada Faisal, 'apa keja si wahab ni buat asap kat sini.' Banyak pemikiran dan tafsiran dalam teater ini, tapi pengarahannya tak cukup 'ruang' untuk membawanya ke pentas.

16 julai saya bersama Rahimidin dan Hanafi Ibrahim bertolak pula ke Kuantan Pahang untuk menjadi juri deklamasi puisi dan syair. Saya pada mulanya sudah mahu menolak, tetapi Rahimidin telefon, "sheikh kalu ada jab kebudayaan telefon, jangan tolak." Nak kata, cakap Rahimidin macam 'fatwa' tak adala sampai ke situ, tapi kalu Rahimidin dah kata terima, saya henjut sajalah. Tapi sebenarnya saya juga pernah terlibat untuk menukar format sayembara puisi yang digunakan sebelum ini. Cara dan gaya baca yang sangat beku (rigid) dengan nada yang sama monotanaus dari zaman dulu sehingga kini seolah-olah itulah satu-satunya cara dan nada untuk baca puisi kebangsaan, sangat saya tentang. Saya telah banyak menyaksikan acara baca puisi di luar negara. Banyak perkara yang perlu diubah dalam format sayembara puisi ini.

Baiknya, apabila saya meneliti skema pemarkahan - beberapa cadangan yang saya dan beberapa teman cadangkan dalam mesyuarat beberapa tahun lepas, ketika JKKN mahu mengambilalih penganjuran ini dari GAPENA dilihat telah diambilkira. Begitu juga kewujudan pertandingan syair yang pernah saya suarakan secara lisan kepada pegawai yang terbabit, kini telah dilaksanakan. Saya tahu apa yang hendak dipilih dalam pertandingan puisi dan syair mengikut apa yang pernah saya suarakan dalam mesyuarat untuk mengkaji semula format sayembara. Selebihnya adalah kepakaran Rahimidin dan Hanafi yang arif tentang penguasaan teks, nada serta bentuk sajak dan syair. Keputusannya tentu tidak memuaskan hati semua orang dan memang tidak dijangka sama sekali. Ini adalah kerana kami juga berusaha untuk membawa 'bentuk baru' yang keluar daripada kerangka aliran lama. Malamnya kami dijamu olah teman-teman di Pahang dengan ikan bakar di Tanjung Lumpur.

Dalam ke sana ke sini, keluar berita Jakarta dibom, tragedi Teoh Beng Hock dan MU di Bukit Jalil. Politik terus kotor, dan di mana-mana pun ada politik ini. Di bangunan televisyen, di bangunan radio, di sayembara puisi, dalam dunia sastera, dalam teater, dunia sukan bahkan kedai-kedai makan di tepi jalan dan tepi sungai. Saya mengambil kesimpulan bahawa manusia tidak akan bebas daripada politik kerana manusia itu sendiri adalah haiwan politik.

Thursday, July 9, 2009

MARI BERLAPANG DADA

Semua orang menulis tentang ppsmi. Saya meninjau blog kawan-kawan dan isu ppsmi membawa pelbagai perasaan kawan-kawan yang mencintai bahasa Melayu dengan sepenuh jiwa mereka. Saya seperti sajak Latif Mohiddin (yang saya ingat2 lupa), lebih kuranglah bunyinya, "Bila orang duduk, aku berdiri, bila orang berdiri aku duduk". Jadi saya tidak mahu menulis panjang apabila semua sudah menulis tentang ppsmi.

Cuma ada beberapa perkara sahajalah sekadar bersantai. Terdapat ibu bapa (dalam akhbar Star)yang kecewa dengan keputusan mansuhkan ppsmi ini menyatakan akan memasukkan anak-anak mereka ke sekolah antarabangsa dan sebahagian ibu bapa elit di Johor bercadang akan menghantar anak-anak mereka bersekolah ke Singapura. Saya cadangkan kepada ibu bapa ini agar lebih baik bagi mereka bukan sekadar memindahkan anak mereka ke luar negara tetapi mereka sendiri juga lebih baik pindah sahaja keluar dari Malaysia.

Satu lagi kelucuan dari GAPENA yang terlalu ghairah hendak mengangkat diri, terlalu berlebih-lebihan sehingga hendak mengadakan kelas tuisyen bahasa Inggeris di kampung-kampung. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana AJK Gapena mengajar bahasa Inggeris di kampung2. Saya bukan mempertikaikan kebolehan berbahasa Inggeris mereka tetapi seperti kata teman saya Zainal Rashid Ahmad 'apa ke jadahnya' gapena nak mengajar bahasa Inggeris di kampung2. Ramai lagi guru bahasa Inggeris yang memang kerja mereka berkenaan pedagogi pendidikan dan pengajaran tata bahasa boleh membuat kerja itu. Lebih baik lah kerja itu diberi kepada PAGE yang berjuang untuk bahasa Inggeris itu.

Isu Gapena ini moralnya ialah janganlah terlalu berkhayal bahawa kejayaan memansuhkan ppsmi ini adalah semata-mata daripada usaha mereka. Bagi saya GMP di bawah Hassan Ahmad dan A. Samad Said disertai oleh Abdullah Hassan, Shahrir Md Zain, Hasni Abbas, Dinsman, Puan Ainon, Suhaizan Kaat, dibantu oleh Persatuan Mahasiswa Islam dan sebagainya lebih memainkan peranan besar dalam keputusan ini. Di samping Ungku Aziz, Ishak Haron, Awang Sariyan dan sebagainya yang cukup berani dan konsisten dalam perjuangan ini.

Apabila Gapena memperkecilkan GMP yang berarak di jalan dan menyindir bahawa golongan intelektual seperti mereka (Gapena) tidak berarak di jalan (suara Tengku Alauddin dan beberapa orang AJKnya) saya jadi tersenyum. Apakah GMP bukan golongan intelektual. Dato Dr Hassan Ahmad, Prof. Dr. Abdullah Hassan, Prof. Dr. Shahrir Md Zain dan tak perlu saya senaraikan golongan super intelektual yang terlibat dalam perarakan bersejarah itu (saya pun tidak ada dalam perarakan ini kerana ada urusan di luar KL, menyanjung amat tinggi keberanian GMP dan mereka yang berarak).

Tulisan ini bukanlah hendak memecahbelahkan para pejuang bahasa tetapi seperti yang saya pernah katakan kepada JK PENA, dalam perjuangan yang menuju kepada matlamat yang sama, janganlah sekali-kali kita memperlekehkan sesama kita. Setiap orang mempunyai cara dan keupayaan yang berbeza, jadi hormat-menghormatilah.

Kepada teman-teman, janganlah menjadikan 'kejayaan atau kemenangan' (belum pasti sebenarnya) sebagai medan untuk kita mendabik dada dan menyerang mereka yang dianggap tidak bersama. Pernah seorang ajk Paksi menolak A. Samad Said daripada diangkat dalam Paksi kerana didakwa tidak membuat pendirian, tetapi akhirnya malu sendiri apabila A. Samad Said lah orang yang bermatian di barisan hadapan dalam perjuangan ppsmi ini. Lupakanlah kesalahan orang lain tetapi lihatlah kepada diri sendiri untuk menjadikan diri tidak takbur. Lihatlah kepada sejarah Islam, apabila Rasulullah menakluki Makkah, baginda bukan sahaja memaafkan kaum musyrikin bahkan memuliakan Abu Suffian yang menjadi ketua kaum musyirikin itu. Tidak bolehkah kita mengambil pengajaran daripada itu.

Saya lebih suka duduk apabila semua orang berdiri, dan berdiri apabila semua orang duduk...

Thursday, July 2, 2009

MELAYU PERNAH PUPUS DALAM SEJARAH




Bandar Ho Chin Minh (Saigon) yang dahulunya terletak dalam wilayah kerajaan Melayu-Campa Pandurangga yang kini telah pupus. Tidak terlihat lagi sebarang tanda pernah wujudnya Melayu di situ.

Bersama teman-teman PENA di sempadan Kemboja-Vietnam dalam perjalanan dari Saigon pulang ke Phnom Penh. Terselit seorang gadis khmer yang bernama Sri Phea... Sepotong Cinta di Dunia Angin...




Semalam pada 2 julai 2009, saya diajak oleh Nazmi ke Forum Ketamadunan yang dianjurkan oleh Akademi Kajian Ketamadunan di Kolej Dar al-Hikmah Sungai Ramal, Kajang. Kami bertemu di Bangi, di kedai makan Belauk. Biasalah Nazmi, kalau tak makan bukan Nazmi namanya. Kemudian kami satu kereta bertolak ke Dar al Hikmah. Kami tiba awal, belum ada orang lagi. Selepas isya baru forum dimulakan.

Syarahan yang diberikan oleh Prof Madya Dr. Mohamad Zain Musa dari ATMA UKM dengan tajuk 'Hubungan Keagamaan Kelantan-Campa'. Dr. Mohamad Zain merupakan Melayu-Campa yang dilahirkan di Kemboja sebelum berhijrah dan menetap di Malaysia beberapa puluh tahun yang lepas. Beliau merupakan lepasan Sorbone di Peranchis.

Saya telah lama membaca dan mengikuti sejarah kerajaan Melayu Campa yang mula wujud kurun ke-2 Masehi itu lagi. Campa adalah sebuah kerajaan Melayu pesisiran yang besar terletak di Vietnam Tengah. Dua pertiga daripada negara Vietnam hari ini suatu ketika dulu adalah sebuah wilayah Melayu-Campa. Bahkan tapak arkealogi tertua yang membuktikan wujudnya kebudayaan gangsa Hoabinhian atau Dong Song sekitar 30,000 tahun dahulu di utara Vietnam itu sebenarnya terletak di sekitar Hue, kota lama pusat kerajaan Campa. Ini menunjukkan bahawa kebudayaan yang tertua di Asia Tenggara itu adalah kebudayaan Melayu.

Kerajaan Campa berdiri kukuh sebagai empayar kelautan yang kuat sehinggalah berlaku tabii alam yang menyaksikan kejatuhannya akibat pertelingkahan sesama sendiri dan serangan daripada orang khmer dari barat dan paling hebat serangan Annam (Viet) dari utara. Akhirnya pada 1471 ibu negara Campa iaitu Vijaya dikalahkan dan diduduki oleh orang Viet untuk selama-lamanya. Kerajaan Campa musnah apabila wilayah Campa terakhir di Vietnam Selatan iaitu Pandurangga diduduki oleh orang Viet yang menjadikan Ho Chi Minh (Saigon) sebagai kotanya. Kerajaan Campa pupus, begitu juga Melayu Campa bertebaran membawa diri dan akhirnya menetap di Kemboja sehingga hari ini. Sehingga hari ini orang Melayu-Campa bersama kerajaan besar mereka dahulunya boleh dikatakan pupus dari Vietnam. Keseluruhan Vietnam diduduki oleh orang Viet yang merupakan penjarah dari utara yang mengambilalih kerajaan Melayu di situ.

Sejarah Campa membuktikan bahwa Kerajaan Melayu dan orang Melayu pernah pupus dari sejarah. Bahasa Melayu Campa yang merupakan induk kepada bahasa Melayu hari ini, dengan perkataan kam pong (lahirnya Kampuchea) adalah perkataan kampung yang membawa makna petempatan, riak yang bermaksud ombak dan sebagainya dilihat mempunyai hubungan geneologi dengan bahasa Melayu kini menjadi bahasa kuno dan bahasa pedalaman di Vietnam dan Kemboja (mungkin terjadi kepada bahasa Melayu 100 tahun lagi atau lebih awal dari itu).

Satu kenyataan yang sangat berharga disampaikan oleh Dr. Mohamad Zain ketika menamatkan sesi perbincangan ialah, "Kita perlu berhati-hati dalam membuat sesuatu dasar kerana penting bagi kita untuk mengkaji potensi jiran kita menjadi musuh kita." Itu adalah kata-kata daripada seorang yang mewakili ceritera bangsa Melayu yang pernah pupus dari sejarah akibat penjarahan dari jirannya.

Entah mengapa saya terfikir tentang 1Malaysia...