Tuesday, October 6, 2009

TUBUH DAN SUKMA

Tadi (malam) saya kebetulan pergi makan char keuw teuw di luar. Maka tertayanglah perlawanan bolasepak Malaysia lawan Laos. Saya pun lihatlah dengan penuh semangat. Sehingga 60 min perlawanan masih seri 0-0. Malaysia serang hebat juga. Tapi masuk minit 70, Malaysia seperti kata novel shit Shahnon Ahmad mula main macam p...... Lembik, penakut, tak ada semangat dan patah hati. Saya tunggu Laos sumbat gol untuk angkat kaki. Bila Laos sumbat gol pada minit ke 80 lebih kurang saya pun angkat kaki. Lawannya Laos bukannya lawan Brazil atau Jerman. Laos dari segi kemudahan sukan 10 kali lebih mundur dari kemudahan bola sepak Malaysia. Tetapi pasukan bola sepak Malaysia yang penuh glamor di majalah mandi kolam renang dengan artis, pergi disko, dapat beribu-ribu sebulan main macam orang hisap dadah. Hanyut, khayal. Saya betul2 meluat dengan pasukan bola sepak Malaysia. Saya cukup patriotik untuk menyokong semua pasukan Malaysia. Tetapi patriotik saya patah dengan pasukan bola sepak Malaysia. Saya melihat pasukan yang berjiwa kerdil dan cepat mengalah di situ.

Apa yang dilihat daripada permainan pasukan bola sepak Malaysia ialah mereka bermain dengan tubuh berisi jiwa yang kosong. Saiz tubuh badan sebenarnya bukan pertimbangan kejayaan. Korea telah membuktikannya. Dari dahulu lagi, Pele, Maradona, Roberto Baggio, dan ramai lagi bukannya besar, sama saiz sahaja dengan pemain Malaysia.

Pertama, tubuh yang cergas akan menjadi kenderaan kepada kejayaan. Kedua, sukma yang kuat akan menentukan tubuh bergerak ke arah kejayaan. Di sini dapat dilihat pemain-pemain Malaysia alias orang-orang Melayu itu mempunyai sukma yang lemah. Jiwa mereka lembik dan cepat mengalah. Tidak mampu berjuang dan menerima tekanan. Semangat mereka lalang, goyah hatta ditiup angin yang paling perlahan. Maka tubuh si Melayu itu kebanyakannya berisi sukma yang kosong.

Sukma, selain pancaindera, imaginasi-kreativiti, daya ingat, daya gerak mempunyai satu unsur yang paling penting iaitu intelegensia. Intelegensia menentukan pembentukan sukma. intelegensia yang tinggi akan membentuk sukma yang tinggi dan kuat. Ia melahirkan semangat, kreativiti yang tinggi, imaginasi yang unik serta daya-daya yang bertenaga. Sebaliknya intelegensia yang lemah hanya melahirkan jiwa kerdil, putus asa, lembik, mengalah, dan tiada ketetapan pendirian.

Suasana budaya menentukan tahap intelegensia masyarakat. Masyarakat Melayu secara umumnya mempunyai intelegensia yang rendah berdasarkan budaya hidup mereka yang sukakan hiburan, tidak membaca, bermentaliti subsidi, sukakan suasana yang tidak memerlukan mereka berfikir serta tidak suka mengambil risiko dan menerima cabaran. Orang Melayu daripada pandangan bangsa lain disifatkan lemah dari segi genetik. Saya tidak dapat menerima faham eugenik dan darwinisme sosial ini. Tetapi Ungku Aziz juga pernah menyebut tentang pemakanan orang Melayu. Maka sedikit sebanyak kesan biologi ini memainkan peranan juga. Tetapi bagi saya, faktor paling besar ialah sikap (bukan sifat) orang Melayu dalam membentuk suasana persekitaran mereka. Diringkaskan kata, jika filem Jin Notti dan Momok the Movie mengutip sehingga jutaan ringgit dalam masa beberapa hari, tahulah kita di mana benchmark tahap pemikiran orang Melayu. Begitu juga bahan bacaan orang Melayu, majalah artis, novel picisan, tabloid sensasi dan sensual, dan komik manga. Bukti lagi? Jom Heboh....

Maka tidak hairanlah mengapa pasukan bola sepak Malaysia yang dibarisi kebanyakannya pemain Melayu itu leweh dan lembik. Sukma mereka rendah, kerana mereka dibentuk oleh persekitaran yang rendah tahap intelegensianya. Cintakan suasana berilmu tidak menjadi budaya orang Melayu.

Teringat iklan kempen Mari Membaca. anaknya di belakang membaca komik Ben 10. Kempen Mari Membaca ternyata tidak difahami oleh penganjurnya sendiri.

Sunday, October 4, 2009





Buku Robert Ellwood ini banyak membanu dalam memahami fikiran di sebalik mitos.

Saya telah berjanji dengan seorang editor yang baik hati untuk menghantar tulisan esei dalam tajuk sastera bandingan. Saya memilih untuk menulis tajuk, "Mitos dan Agama dalam Bilangan Fu dan Bedar Sukma Bisu". Di sini saya memperbandingkan antara karya Ayu Utami dan Faisal Tehrani. Ada sisi yang menarik dalam kedua-dua karya ini. Bilangan Fu menggunakan mitos untuk menerapkan idealogi spiritual kritisnya atau dalam pemahaman saya ialah atheis-animisme. Sementara Faisal melahirkan mitos moden dalam konteks hero myth bagi menerapkan nilai dan prinsip Islam. Satu menolak agama dan satu memperjuang agama. Ia adalah sisi menarik dewasa ini dengan suasana manusia mengkritik agama atas dasar moderat dan sebagainya.

Tetapi ternyata tajuk ini amat berat. Saya membaca bahan-bahannya dan kemudian mula menulis pada bulan puasa lalu. Sehingga kini kepala saya berputar-putar untuk menghabiskannya. Saya tidak mahu menyesakkan keadaan dengan mencari simpati dan melahirkan mitos baru dengan menceritakan himpitan saya yang terkejar mengejar beban tanggungjawab lain. Tetapi ternyata ia memerlukan masa yang panjang untuk menyelesaikannya. Tentunya saya melakukan kerja pening ini bukan untuk kredit akademik, kerana ruang dan tempat saya bukan di situ. Tetapi ada keseronokan yang gila dalam diri dan kepala saya untuk menyumbat beban fikiran berat dalam kepala saya yang dungu ini. Ia memberikan kepuasan batiniah yang cukup melegakan, sekaligus menolak bahawa dorongan libido adalah faktor utama penggerak manusia. di sini libido ternyata tidak memainkan peranan , tetapi saya digerakkan oleh kemahuan akaliah dan kepuasan lahir dari katarsis di kepala dan hati, bukan katarsis di perut dan bawah perut.

Saya sebenarnya merehatkan otak yang memberat di kepala saya dengan merapu sekejap di blog ini. Sekejap lagi saya akan menyambung kegilaan yang digerakkan oleh kemahuan akaliah ini dan mencapai klimaks kepuasannya apabila pemikiran dapat disalurkan. Semakin saya menelusur tentang mitos semakin saya menyalahkan libido freud dan evolusi darwin. ada yang betul dalam determinisme moden itu, tetapi banyak skeptisme yang melompong di sana sini. Sebenarnya bagi saya, manusia yang menentukan bahawa libido atau gnosis yang menggerakkannya. Manusia yang menentukan dirinya mahu digerakkan oleh nafsu atau akal. Ia adalah Decartes dari mata yang terbalik.

Saya telah melangkaui tarikh yang dijanjikan. Sebulan telah melepasi deadline, saya tidak tahu sama ada ia masih dapat disiarkan atau tidak. Tetapi yang pasti saya terus menulisnya untuk memenuhi kepuasan gnosis-intelectus yang misteri itu.

Friday, October 2, 2009

KELANTANISME




Di Pantai Bachok, Kelantan. Kelantan negeri tanah tumpah darahku dulu, kini dan selamanya.


Pertama, saya membaca tulisan Lutfi di blognya tentang Kelantanisme. Banyak perkara yang bersalahan tanggapan di situ. Bagi saya tidak adil untuk disebut tentang Kelantanisme sedangkan ia berlaku sebagai satu sifat tabii yang sukar untuk kita huraikan. Ia bukan sahaja Kelantanisme tetapi juga Kedahisme, Selangor-Jawanisme, Johorisme, Sabahisme dan sebagainya. Ketika Mahathir memerintah, Kedahisme muncul dalam wajah korporat-kapitalis kuncu Daim-Halim-Tajuddin melahap segala projek mega yang menyedut wang rakyat. Ketika Khir Toyo berkuasa di Selangor, SUK Selangor dikuasai Selangor-Jawanisme yang membolot projek-projek negeri. Belum lagi kita bercakap tentang Johorisme dalam UMNO sekarang, apatah lagi Sabahisme yang kental di sana. Sebenarnya ia adalah tabii berbangsa dan berkelompok yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Kaum Cina yang mengatakan diri mereka bukan rasis itu juga tentunya tidak mahu melihat bangsa lain memimpin mereka jika mereka berpeluang berkuasa. Lihat sahaja di Singapura dan sekarang di Pulau Pinang. Tetapi ia juga tidak boleh dipersalahkan, kerana tabii manusia yang tidak dapat kita sangkalkan. Maka baik juga untuk menghalusi Muqaddimah Ibnu Khaldun bagi memahami tabii berbangsa dan berkelompok ini sebelum berprasangkan kapada mana-mana pihak.

Kedua, saya tentunya anak Kelantan yang kental rasa cinta kepada negeri saya, Kelantan. Beberapa hari lepas saya membaca akhbar berita harian tentang pengucapan puisi di Kelantan pada aidil fitri yang lepas. Ramai penulis Kelantan dipaparkan, termasuk Rahimidin dan berita itupun ditulis oleh Nazmi. Saya tertanya apakah saya ini penulis Kelantan lagi. Nama saya selalu tercicir dari senarai penulis Kelantan. Saya diundang ke seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak juga untuk berkongsi pandangan tentang sastera. Tetapi malangnya bukan Kelantan. Seingat saya hanya 2 atau 3 kali semuanya dari DBP. Saya tentunya bukan meminta tetapi merasakan bahawa penulis Kelantan kurang kepekaan untuk menghargai warganya sendiri. Saya biasa mendengar ini dari mulut abah saya arwah S. Othman Kelantan sendiri. Kelantanisme tentunya tidak terpakai langsung dalam konteks ini.

Ketiga, saya meninggalkan Kelantan ketika usia saya 10 tahun. Sejak itu hingga hari ini saya tidak pernah berhari raya aidil fitri di Kelantan. Malangnya saya, jika pulang ke Kelantan sekarang terpaksa tidur di Hotel, dan jika memandu kereta saya tidak tahu jalan mana yang nak dituju. Saya mungkin lebih mahir jalan di semua bandar pantai barat berbanding di Kelantan (bahkan lebih tahu jalan di Jakarta dan Bandung dari di Kelantan, En Saleeh boleh confirm). Tetapi saya masih tetap mengaku dengan bangga saya orang Kelantan, walau saya hanya mengangguk ya ya bila disebut tempat-tempat yang saya tidak tahu pun mana letaknya di Kelantan. Kelantanisme memang terpakai dalam konteks ini.

Akhir kata, teman-teman akrab saya zaman persekolahan ialah Mat Gorilla anak Setiawan Perak, Mat Said anak Muar Johor (jawa-banjar), Mat Nor anak Kuala Kedah, Tapa jawa dari Sabak Bernam, Anan minang dari Batu 10 Cheras, Jeni Minang dari Sg Sekamat Kajang, Udin anak Rembau Negori Sembilan, Fuad Zul Anees Rashid dari Pulau Pinang - dan isteri saya dari Alor Gajah Melaka. Kelantanisme sekali lagi tidak terpakai langsung dalam konteks ini. Tetapi saya tetap oghe klate walau anak2 saya tak tahu lagi kecek klate.

Raya kedua tahun ini saya punggah anak-anak beraya di Cherating, mandi laut.

Thursday, October 1, 2009

SALAM AIDILFITRI

Salam aidil fitri. Mohon ampun maaf zahir dan batin.

Saya kembali setelah meninggalkan blog ini hampir dua bulan. Bulan puasa membuatkan saya kurang membuka blog, berpuasa dan tidak mahu mengguris dan terguris dengan tulisan dan penulisan. Keduanya, saya menumpukan banyak masa untuk menulis karya dan tulisan. Ya, memang ketika usia saya menjangkau 40 tahun awal tahun ini. Saya terfikir tentang berapa banyak karya yang saya ada. Saya merasakan saya banyak membuang masa. Ketika saya mula-mula menulis dahulu, semangat saya cukup tinggi. Dalam tahun2 awal saya menghasilkan sebuah buku setahun. Maka itu saya bercita-cita untuk menghasilkan setiap tahun sebuah buku. Tetapi selepas itu ia pudar kerana banyak perkara, sibuk, beralih tumpuan, ceburi dunia perniagaan, bercinta, kahwin, besarkan anak, semua alasan klise zaman berzaman. Tetapi sebab sebenarnya ialah malas dan tiada komitmen.

Maka ketika saya tersedar bahawa usia saya sudah 40 tahun dan hanya ada beberapa buah karya. Saya memikirkan untuk menebus kembali masa yang terbuang. Saya menulis dari tahun 1990 dan tahun hadapan 2010 sudah 20 tahun usia penulisan saya. Saya sepatutnya sudah ada 20 buah buku. Jika tolak 8 buah buku yang telah saya hasilkan maka saya perlu hasilkan lagi 12 buah buku untuk menyambut tahun 2010 ini.

Itulah yang saya lakukan sekarang. Sehingga hari ini saya telah siapkan 5 buah manuskrip yang dikumpulkan dari cerpen dan esei saya. 3 daripadanya telah dihantar ke penerbitan dan 2 lagi saya bercadang untuk terbitkan sendiri. Ada 3 buah lagi manuskrip sedang saya susun, iaitu kumpulan esei pelbagai bidang, sastera, filem, teater, budaya, bahasa, dan politik. Sebuah novel yang siap ditulis sedang saya perbaiki balik. Sebuah kumpulan puisi terbaru sedang diaturhuruf. Jadi saya telah ada 10 buah karya yang siap terbit selewatnya tahun 2010. Tinggal 2 buah buku lagi untuk menebus masa saya yang terbuang. Tetapi sehingga hari ini, saya merasakan bahawa saya akan menerbitkan melebihi 12 buah itu sehingga tahun 2010 ini. Percaya atau tidak?

Saya juga tidak percaya.

Thursday, August 20, 2009

LTTC-INTERNATIONAL CONFERENCE




Bergaya dengan Saleeh Rahamad di Seminar. Tapi sebenarnya tengah melayang merangka ucapan sebagai wakil PENA.


Pembentang-pembantang dari AS dan UK sama saja standardnya dari segi isi dan kapasiti intelektual mereka dengan sarjana-sarjana kita di Malaysia. Bezanya mereka membentang dalam bahasa Inggeris dan datang dari universiti di Amerika Syarikat dan Eropah. Jadi janganlah merasa rendah diri dan memandang tinggi sangat sarjana Barat ini. Adalah segelintir yang taraf 'superintelectual', tapi kebanyakannya setaraf sahaja dengan sarjana kita di Malaysia. Malah ada satu dua orang sarjana Eropah ini merapu saja. Sifat memandang rendah dan myopic terhadap selain Barat memperlihatkan kecetekan pengetahuan mereka tentang dunia luar. Seorang pembentang di seminar ini bertanya soalan bodoh siapa yang menggunakan internet di dewan ini. Semua orang di sini menggunakan internet setiap hari. Masih tertanam dalam kepala otaknya bahawa penduduk Asia ini belum maju dan tahu menggunakan internet lagi. Maka apa yang dibicarakannya hanyalah kuliah untuk kelas komputer di sekolah.

Kita kalah dalam perang psikologi Barat sehingga sentiasa menyangka penutur bahasa Inggeris mempunyai kapasiti inteletual yang tinggi. Pada hakikat sebenarnya penutur bahasa Melayu atau bahasa ibunda mempunyai kapasiti intelektual kadang-kadang jauh lebih tinggi daripada sarjana Eropah pun. Seminar antarabangsa ini banyak memperlihatkan realiti propaganda 'white men burden' kepada saya. Tetapi dari dulu pun saya tidak pernah terlalu kagum kepada Mat Salleh. Sebab zaman remaja saya di Pulau Pinang banyak menemukan saya dengan Mat-Mat Salleh bodoh. Jadi tidaklah hairan sangat saya dengan produk luar khususnya dari Barat ni.

LANGUAGE AND LANGUAGE TEACHING CONFERENCE-INTERNATIONAL



Dari kiri; saya (SUA PENA), Prof Dr. Adisa Teo (Dekan FoLA), Datuk Bandar Hatyai, John Scaco (Duta AS di Bangkok), Dr. Paul Kei Matsuda (Arizona State Uni, USA), dan Huw Jarvis (Uni. of Salford, UK).


Pada 14-16 Ogos berlangsung Seminar Bahasa dan Pengajaran Bahasa (Language dan Language Teaching - International) di Prince of Songkhla University, Thailand. Seminar ini adalah anjuran bersama Faculty of Liberal Arts dan PENA, yang turut mendapat tajaan pelbagai pihak. PENA mendapat tajaan daripada Institut Terjemahan Negara (ITNM) bagi menjayakan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand dalam bidang bahasa dan pendidikan. Saya hadir di atas kapasiti Setiausaha Agung PENA bersama Mohamad Saleeh Rahamad, Timbalan Presiden PENA yang juga merupakan wakil rasmi PENA dalam memberikan ucapan di majlis penutup. Para pembentang antaranya Dr. Paul Kei Matsuda dari Arizona State University, Huw Jarvis dari University of Salford, UK, Sue Kay dari Macmillan dan ramai lagi.

Seminar ini telah melonjakkan nama PENA di peringkat negara serantau dan antarabangsa khususnya jiran yang paling dekat iaitu Thailand. Kerjasama ini bermula apabila PENA menjalinkan hubungan dengan Persatuan Penulis Thailand (Semakhom Nakhian Thai) untuk aktiviti sastera. Apabila PENA diundang untuk mengadakan bengkel bahasa Melayu di Prince of Songkhla University, pihak Faculty of Liberal Arts universiti terbabit mengambil usaha untuk melibatkan PENA dalam beberapa program pendidikan mereka dalam menjalinkan hubungan awal dengan pihak dari Malaysia.

Dari situlah hubungan terus berlangsung sehingga hari ini. Hasil daripada hubungan ini PENA telah berjaya menubuhkan Kelab Bahasa Melayu di Prince of Songhkla University dengan usaha daripada pensyarah bahasa Melayunya Wanida Tehlong. Saya melihat hubungan ini sebagai usaha untuk membantu perkembangan bahasa Melayu di Thailand, khususnya dalam wilayah Songkhla ini. Sememangnya bahasa Melayu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada institusi pengajian tinggi di Songkhla. Terdapat empat universiti di Songkhla yang sekarang berminat untuk mengembangkan bidang pengajian bahasa Melayu.

Walaupun seminar dan program yang diadakan bersama dengan Faculty of Liberal Arts dijalankan dalam bahasa Inggeris dan melibatkan bidang bahasa Inggeris serta bidang lain seperti sains dan juga sains sosial, tetapi ini adalah satu-satunya cara untuk berhubungan secara rasmi dengan pihak universiti di Thailand, kerana mereka tidak tahu berbahasa Melayu dan kita tidak tahu berbahasa Thai. Namun dari sini, hubungan dapat dimulakan dan seterusnya dapatlah dilaksanakan program-program bahasa Melayu termasuk memperkenalkan sastera tradisional seperti syair, pantun, sajak dsbnya. Ia dapat dijalankan dengan rasmi dan mendapat dokongan pihak pentadbiran di sana. Jika tidak melalui hubungan sebegini, bahasa Melayu dan penggiat bahasa Melayu mungkin akan dipandang curiga lantaran konflik yang berlaku di empat wilayah selatan Thailand itu. Maka itu kami datang dan masuk melalui saluran rasmi dan mengkhusus kepada bidang pendidikan dan kebudayaan. Alhamdullilah kami disambut dengan amat baik oleh pihak universiti, NGO dan kerajaan Thailand.

Untuk masa ini, saya dimaklumkan bahawa tiada badan atau institusi dari Malaysia yang membantu secara konsisten dan jangka panjang pihak universiti di Thailand ini dalam usaha mengembangkan pengajian bahasa Melayu. Jika adapun ia hanya bersifat ad hoc. Saya dan Saleeh Rahamad membawa PENA untuk terlibat membantu pengembangan bahasa Melayu dalam kapasiti yang terhad di sini mungkin atas sedikit rasa kesedaran dan selebihnya adalah permohonan daripada rakan-rakan kami di Thailand yang meminta kami datang membantu program bahasa Melayu mereka. Abdul Razak Panaemale, Wanida Tehlong, Kamaruddin Esayah, Aminah Yasale, Harith Che Do adalah antara pensyarah di beberapa universiti di sini yang berhubungan rapat dengan kami di PENA dalam menggiatkan program-program bahasa Melayu.

Kami di PENA hanya mampu membantu sekadar yang termampu. Maka bantuan dan sumbangan pihak seperti ITNM sangat besar ertinya bukan sahaja kepada PENA tetapi lebih besar lagi kepada pihak-pihak yang berjuang mengembangkan pengajian bahasa Melayu di wilayah Songkhla ini.

Saturday, August 15, 2009

SAJAK DI GUNUNG LEDANG

Sdr Rusdi, sudah siap lama sajaknya. cuma tenggelam sekejap di bawah sajak 'dewi'


Kabut

Kau menyalahkan kabut
saat kita tidak dapat melihat matahari
di puncak gunung purba
yang menyimpan mitos sang puteri
langit adalah sayap suci
yang menebar di kanan dan kiri
kita; ruang putih syurga
apakah kau mampu melihat
wajahmu saat putih mengelilingi
hingga seluruh tubuh kita menjadi putih
seperti malaikat yang datang dari cahaya

kau masih menyalahkan kabut
saat kita tidak dapat lagi melihat rumput
di bawah kaki kita yang hanya memijak putih
dan kita mencari-cari misteri sang puteri
yang menginginkan cintanya
dalam semangkuk darah
dan titisan airmata
masih lagi kita tertanya
apakah cinta itu seperti kabut putih
atau hijau rerumputan
sedang kita tahu
bahawa cinta juga pernah
datang sebagai darah dan airmata

Kau masih ingin menyalahkan kabut
saat kita tidak lagi melihat cinta
di putih langit mahupun di hijau rumput
kerana darah dan airmata
telah menukarkan tubuh kita
menjadi cinta yang terpasak di batu


S.M. Zakir
Gunung Ledang
1 Ogos 2009