Thursday, June 26, 2008

SELA SELI 5

TOK PERAK DAN SYED ALWI

Malam 26 Jun 2008, aku dan Rahimidin diajak Sutung melihat full dress reharsal teater Tok Perak arahan Seniman Negara Syed Alwi di Auditorium DBP. Aku dan Rahimidin baru habis mesyuarat AJK PENA turun minum di bucu DBP. Di situ Sutung sudah menanti. Selepas minum dan pekena roti canai, kami pergi ke auditorium. Di sana bertemulah dengan Murad, Wahab, Sabri dan juga Syed Alwi. Mereka tengah bersiap untuk latihan terakhir. Malam besok persembahan bermula, khabarnya Anwar Ibrahim turun tengok. Anwar nak tengok, tengoklah, peduli apa aku, bila sibuk beberapa orang berkhabar besok Anwar nak turun tengok. Tak payah cerita pasal Anwar, cerita Tok Perak lagi best.

Sabri jadi Tok Perak, Angeline Tan jadi orang yang bertukar-tukar warna mewakili pihak yang berkuasa. Tok Perak datang ke alaf baru, setelah 50 tahun merdeka ingin bersama warga merdeka, menjual ubatnya di kaki lima. Tapi bila berjual datang orang berwarna melarang Tok Perak berjual dengan memberi bermacam syarat. Nak lepas syarat bayar pengkeras.

Yan seronok, memang banyak yang seronok – ada adegan isteri menteri lebih kuasa daripada menteri. Bila suami jadi menteri, isteri tiba-tiba menjadi lebih berkuasa daripada suaminya dengan bertenggek di atas kuasa suaminya. Di sinilah timbul dialog ‘suami tak da punai’ dan punai mempunai. Ha hha hha. Aku ketawa bukan kerana lucahnya. Tidak, Syed Alwi tidak lucah, tapi kemarahan seorang seniman negara yang tidak mahu lagi bercakap berlapik-lapik.

Memang banyak cerita tentang Syed Alwi. Ada yang suka ada yang tak suka. Aku kenal tapi dia tak kenal aku, dan aku pun tak pernah berbual dan berkenal dengan dia. Jadi aku tak ada apa-apa prejudis tentang Syed Alwi.

Bila aku keluar berjalan balik dengan Rahimidin, memanglah Rahimidin kata adegan isteri menteri itu adalah kena mengena dengan isteri menteri dalam cerita yang sebenar. Aku tidak kisahlah menteri itu. Cuma tiba-tiba terlintas dalam otak aku, macamana jadinya bila peralihan kuasa berlaku dari Pak Lah kepada Najib. Ekonomi dan politik tidaklah berubah baik, kalaupun tak bertambah buruk. Tapi yang pasti aku rasa Malaysia akan mempunyai sejarah kelahiran seorang Imelda Marcos. Siapa Imelda Marcos Malaysia? Tak ada jawapan, aku pun tak mahu beramal-ramal.

Cuma yang aku nak kata, datanglah tengok Teater Tok Perak, Syed Alwi. Datanglah. Memang teater Syed Alwi yang ini aku rasa paling sedap. Walaupun masanya pendek saja. Tahniah Syed Alwi, tahniah Sabri, tahniah Angeline, tahniah Zaibo, dan tahniah tak terhingga kepada Wahab yang berani dan gigih berjuang untuk keseniman yang benar dan jujur. Tapi Wahab, aku tengok dah gosok-gosok kepala di belakang. Tak apa, kalau SB datang tanya jawab je la, kita seniman bukan penjenayah. Keh keh. Marilah kawan-kawan kita tengok Tok Perak. Jangan kecewakan Wahab dan orang-orang yang berjuang untuk keseniman yang benar. Marilah kita penuhkan auditorium DBP.

Tuesday, June 24, 2008

ANAK HALAL DAN SEXUAL REVOLUTION

(Saya akan mula memasukkan artikel-artikel yang mengisi kolum reviu filem saya di Milenia Muslim, bermula dari Januari 2008. Kolum ini ditulis setiap bulan sejak dua tahun yang lepas. Dengan memasukkannya di blog ia boleh menjadi dokumentasi peribadi saya dan juga tatapan untuk teman-teman pembaca yang dihormati)


Selepas Bukak Api dan Puaka Tebing Biru, Osman Ali muncul dengan Anak Halal sebagai penutup tahun 2007. Godaan besar yang terlihat dalam filem ini ialah keinginan yang meluap-luap untuk membawa sebuah kehidupan anak-anak muda yang dilihat dari dari sudut gelap ke filem. Osman Ali tergoda benar dengan realisme sosial ala-New Hollywood yang muncul pada era 60-an dan menghancurkan etika dan moral filem dengan melanggar segala taboo sosial sebelum itu. New Hollywood muncul merubah rupa filem Hollywood dengan membawa gelombang sexual revolution hasil daripada pengaruh gelombang hippies dan Woodstock yang memuja seks bebas dan dadah pada dekad tersebut. Gelombang ini melanda golongan muda yang memberontak terhadap norma-norma yang mereka anggap sebagai konservatif. Mereka menyatukan diri mereka dalam perjuangan yang kononnya membebaskan diri daripada sebarang ikatan norma dan tradisi yang mereka anggap mewakili ‘kuasa’ yang menindas hak asasi manusia selama ini. Golongan atau gerakan yang dikenali sebagai hippies ini meriakkan apa yang mereka sebut sebagai gelombang liberalisme. Gelombang liberal ini menjadikan realisme sosial yang dibakar oleh semangat anarkis sebagai landas dan citra perjuangan kelas, rakyat, serta individualiti era baru. Sikap dan keinginan untuk memecahkan norma dan nilai masyarakat sebelum ini dirayakan dengan pemujaan mereka terhadap dadah dan seks bebas. Dari segi politik gerakan atau gelombang ini sebahagiannya adalah reaksi penentangan terhadap Perang Vietnam yang dilancarkan oleh kerajaan Amerika Syarikat, dalam masa yang sama menentang semua bentuk regim diktatorisme. Dari segi budaya pula ia merupakan gelombang untuk melanggar serta merubah nilai-nilai yang dianggap mendokong budaya lama (yang dianggap menentang kebebasan pengucapan individu). Seks tanpa ikatan agama dan penyalahgunaan dadah yang menjadi taboo serta kejahatan dalam norma masyarakat diangkat sebagai lambang suci yang mewakili pemberontakan mereka.

Anak Halal cuba membawa realisme sosial dalam konteks Malaysia dengan mengambil shot dari sudut subaltern, iaitu penggambaran sisi golongan terpinggir dalam masyarakat. Sudut subaltern yang mula dikemukakan oleh Antonio Gramsci lebih melihat kepada pertentangan kelas yang wujud dalam masyarakat dan menjadi punca kepada semua konflik yang berlaku dalam sejarah peradaban manusia. Anak Halal mengemukakan watak Putera (Inderaputera) nama yang diambil Kak Yam (Mariam) daripada kanun klasik Melayu iaitu Hikayat Inderaputera sebagai watak utama. Putera anak terbiar, bapanya Hisham seorang penjenayah yang meninggalkan Putera ketika masih bayi kepada Kak Yam semasa diburu polis. Putera dibesarkan oleh Kak Yam bersama jirannya Jo (Johana) di kawasan flat golongan bawahan di ibukota Kuala Lumpur. Kak Yam kemudian berpisah dengan Putera oleh satu peristiwa ‘ditangkap’ polis dan Putera kemudian membesar dibela oleh ibu Jo. Kehidupan Putera kemudian dibawa kepada zaman anak muda golongan terbiar yang mengharungi pelbagai keadaan yang memerangkap mereka dalam gelung kehidupan ganas jenayah dadah, gansterisme, percintaan, dan sudut gelap sebuah masyarakat kota kosmopolitan. Pertemuan kebetulan Putera dengan Amira, gadis anak orang kaya membuahkan percintaan tiga segi Putera-Amira-Johana. Dalam pada itu konflik muncul apabila sahabat Putera iaitu Ehsan terperangkap dengan lingkaran jahat akibat meminjam wang daripada ceti haram, Tajul dan kumpulan samsengnya.

Dari sudut cerita, Anak Halal terlalu banyak bersandar kepada unsur-unsur dues ex machine iaitu kemunculan tangan-tangan dewa untuk menggerakkan cerita. Dalam ertikata lain terlalu banyak unsur kebetulan sehingga seperti terlihat Osman Ali terlalu mengambil ‘jalan mudah dan malas’ untuk menggerakkan dan menyelesaikan kekusutan yang ditimbulkan dalam ceritanya. Tambah lemah lagi, apabila klise filem Melayu seperti anak orang kaya yang sesat oleh kekosongan hidup bercinta dengan orang miskin yang berwatak noir (watak wira dalam dunia jahat), kezaliman samseng terhadap komuniti yang tidak bermaya, balas dendam, dan polis yang selalu lambat membanteras jenayah berulang kembali dalam Anak Halal. Sikap ‘mudah dan malas’ Osman mewujudkan unsur kebetulan percintaan Putera dengan Amira, Putera yang sentiasa muncul menjadi dewa penyelamat, Hisham tiba-tiba berada bersama Kak Yam tanpa sebarang penjelasan, tragedi Hisham tidak jadi membunuh Putera kerana terdengar nama anaknya Inderaputera disebut dan sebagainya menjadikan filem ini kurang mendekati citra realisme sosial. Citra realisme sosial selalunya lebih memberikan dunianya kepada hakikat tanpa kebetulan. Apatah lagi babak ganterisme ala-Kollywood (filem Tamil) yang dipaparkan menjadikan realisme sosial Anak Halal satu kenyataan yang palsu. Pada hakikatnya di Malaysia ini tidak ada samseng yang boleh menembak sesuka hati di khalayak ramai dan lepas begitu sahaja. Tidak ada pergaduhan beramai-ramai hingga boleh bunuh membunuh sesuka hati. Dan tidak ada penjenayah yang boleh membunuh dengan begitu mudah sesuka hati tanpa ditangkap atau dilaporkan kepada pihak berkuasa. Osman Ali terlalu tergoda dengan filem aksi yang sentiasa membalut cerita dengan kepalsuan demi menimbulkan kedashyatan tanpa menilai situasi sebenar latar yang diambilnya.

Dalam pada itu beberapa hal tidak dijelaskan mengikut strategi naratif yang teratur dan akibatnya unsur kemunasabahan gagal berfungsi dalam plot ceritanya. Sebagai contoh Kak Yam ditangkap polis dan terus berpisah dengan Putera dan kemudian tinggal bersama Hisham dalam komuniti samsengnya adalah satu hal yang berbelit-belit dan tidak membina kemunasabahan yang jelas. Begitu juga tentang Hisham yang ditembak kemudian muncul hidup mengetuai kumpulan samseng serta apa pula hubungan Hisham dengan Tajul. Semua ini mempunyai naratif dan plot yang longgar serta kabur. Watak satu muka atau hitam putih baik dan jahat juga mengikat perkembangan watak di samping kewujudan watak-watak yang mati setengah jalan seperti Amira dan Datuk Farid – membuatkan filem ini gagal membina kebulatan ceritanya.

Apa yang paling menarik dapat ditarik daripada Anak Halal ini ialah ketergodaan Osman Ali kepada gambaran kehidupan anak-anak Melayu Islam yang tidak beragama dan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan ikatan moral dan nilai Melayu-Islam. Kegilaan bergaul tanpa batasan agama, nafsu yang mengganas sesuka hati, bunuh diri dan penonjolan langsung penggunaan dadah menjadikan Anak Halal selain daripada mempromosikan gejala negatif ke dalam kehidupan golongan muda juga tidak memberikan apa-apa ‘gambaran besar’ kepada citra realisme sosial tersebut. Idelogi lapuk sexual revolution yang dibawa oleh Osman Ali yang cuba membawa perjuangan liberty ke dalam filem ini hanya mampu menyalin Barat secara bulat-bulat jika tidak carbon copy kepada perjuangan liberalisme Barat yang anti-agama dan anti-moral tersebut.

Malaysia menyaksikan kehadiran filem-filem yang terburuk sepanjang tahun 2007 yang membawa idealogi lapuk sexual revolution tahun 60-an seperti filem-filem Remp-it, Impak Maksima, Haru Biru, 9-September dan penutup hujung tahun Anak Halal, di samping filem-filem hiburan kosong Razak Mohideen dan tahyul yang bersemangat animisme. Persoalannya apakah tidak ada pengarah-pengarah beragama Islam dan berbangsa Melayu di Malaysia ini yang mampu menjadikan filem sebagai sebuah al-risalah sepertimana pengarah-pengarah filem Iran, Jordan dan Negara Islam belahan tengah Rusia yang memperlihatkan bagaimana agama Islam dan tradisi yang menjunjung nilai moral diangkat sebagai anti-tesis kepada dogmatisme Barat yang anti-agama dan anti-moral, sehingga mewujudkan sebuah gelombang hijau yang cukup menggerunkan Yahudi di Hollywood dan atheis di Eropah. Riak filem di Malaysia mungkin terlalu kecil untuk menyatukannya dengan mana-mana gelombang baru, lantaran itu ia hanya mampu membonceng mana-mana gelombang popular. Daripada gambaran ini, adalah ternyata tidak ada apa yang dapat diharapkan daripada filem-filem di Malaysia mutakhir ini selain daripada melihat kehadiran zaman gelap filem-filem Melayu dengan kehadiran pengarah-pengarah muda yang terperangkap dengan idealogical fantasy.

Milenia Muslim, Januari 2008

Sunday, June 22, 2008

SELA SELI 4

HADIAH SASTERA UTUSAN-EXXONMOBIL 2007

Pada 20 Jun 2008 jumaat yang lepas, aku hadir untuk menerima anugerah Sastera Utusan-ExxonMobil. Penyampaiannya diadakan di Hotel Crowne Plaza Mutiara Kuala Lumpur. Pukul 6 petang aku sudah tiba di Rumah PENA, janji dengan Lutfi nak pergi sekali. Kemudian Saifulizan juga ikut sekali. Aku memandu kereta dan singgah mengambil isteriku di pejabatnya di Jalan Sultan Ismail, sejalan ke Hotel Mutiara. Jalan sesak teruk, kami tiba setelah sejam setengah tersengguk-sengguk di jalan. Sempat sembahyang maghrib lagi.

Tahun ini ramai pemenang-pemenang muda. Khairunasriah, Ghafirah, Ummi Hani, Fahd Razy, WB Rendra, Serunai Fakir, Lutfi, Saiful, Sri Rahayu, Faizati, Salina, Nisah, dan Siti Raihani. Ramai daripadanya adalah ‘anak-anak MPR’. Veteran yang masih menyumbangkan karya antaranya Azizi Hj Abdullah, Zaharah Nawawi, Malim Ghozali Pk, dan Illias Zaidi. Sementara ‘batch’ aku ialah Zaen Kasturi, Shamsudin Othman dan Marjan S. VIP pada malam itu ialah Menteri Kewangan Kedua Datuk Mohd Nor Yaakob.

Apa yang menggembirakan aku pada malam itu ialah kemunculan kembali Zaen Kasturi di arena Hadiah Utusan ini. Ia membawa kenangan manis kami pada era 90-an. Pada era itu aku dan Zaen kerap bersaing merebut Hadiah-hadiah Sastera terutamanya Hadiah Sastera Utusan selain daripada Hadiah Sastera Perdana, Hadiah Sastera DBP-Maybank dan sebagainya. Saingan kami dalam dunia cerpen pada masa itu antaranya Muhd Nasruddin Dasuki, Azmah Nordin, Daeng Ramliakil dan beberapa nama lagi yang turut memeriahkan arena sastera (cerpen) era 90-an seperti Marsli N.O, Ghazali Ngah Azia, Lawrence Quek (sekarang Luqman Hakim Abdullah), dan sebagainya.

Namun yang indahnya, persaingan itu mengakrabkan hubungan kami. Aku dan Zaen bukan selalu bertemu, tetapi dalam jiwa masing-masing seperti tertanam rasa keakraban yang dalam. Kali pertama aku bersua muka dan berkawan dengan Zaen ialah ketika mengikuti program The Asean Youth Writter Conference Workshop di Pulau Pinang. Aku, Zaen, Allahyarham Wan Yusuf Wan Hassan, dan Ratnawati Jamil mewakili Malaysia. Ada wakil penulis dari Filipina, Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei. Aku hanya mengingati wakil Brunei iaitu Sariani, H Mar, serta Dayang Aminah Hj Mokmin; dan wakil Indonesia iaitu Oka Budianta dan Darma Munir.

Zaen memang seorang pendiam dan perahsia. Tetapi dia seorang sahabat yang baik. Bagi yang tidak mengenali Zaen, pelbagai persepsi mungkin timbul. Tetapi bagi yang mengenali Zaen, dia adalah sahabat yang tidak pernah mengkhabarkan keburukan sahabatnya. Zaen tidak pernah mahu mencampuri hal orang lain, dan hanya membuat urusannya. Zainal Rashid Ahmad yang pernah tinggal bersama Zaen semasa zaman bujang mereka lebih mengetahui tentang sifat pendiam dan tidak ambil tahu Zaen. Aku juga seorang pendiam, tetapi bersama Zaen, aku menjadi banyak bercakap kerana Zaen memang pendiam. Tetapi dalam sunyi kami, aku dan Zaen adalah sahabat yang mesra.

Dalam banyak perkara aku mengkagumi sikap Zaen. Kami sememangnya adalah pesaing yang seru dalam dunia sastera era 90-an, tetapi persaingan itu menjadikan kami akrab dan saling menghormati, bahkan saling mempertahankan tindakan antara satu sama lain. Ini kerana pada masa itu karya-karya kami – aku, Zaen, Nasarudin, Daeng, Marsli – digelar karya eksperimental dan selalu juga menimbulkan persepsi yang menolak daripada sebahagian penulis, khalayak dan juga pengkritik. Aku tidak sukakan polemik walau sesekali membalas juga. Zaen tidak peduli, tenggelam dalam dunia Sat Malangkaii nya. Dan Zaen mempunyai bahasa yang cukup kuat dan indah. Aku mengakuinya.

Lutfi pernah berkata kepadaku, “Sajak Zaen tak boleh baca banyak kali. Bahaya.”
“Kenapa?”
“Boleh terpengaruh dan terikut.”
“Tau tak pe.”

Memang. Bahasa Zaen memang kuat. Daya imaginasi Zaen tinggi. Dan Zaen sememangnya seorang seniman. Zaen seorang pelukis yang boleh menghasilkan pendapatan daripada lukisan-lukisan potret ketika bergelumang di Pasar Seni. Zaen juga mahir dalam muzik, bermain gitar. Suara Zaen juga sedap bila membaca puisi. Garau dan jantan, yang memikat. Memang ramai gadis terpikat dengan Zaen yang semulajadinya kacak, tetapi masalahnya Zaen terlalu pendiam. Dalam pada itu Zaen adalah atlit yang cukup aktif. Zaen mewakili pasukan bolasepak negeri Melaka pada era 80-an dan juga terlibat aktif dalam sukan lain. Aku juga aktif dalam bolasepak tapi kemudian hilang bila sibuk bermain motor, main band dan melepak. Tapi aku bukan ‘seseni’ Zaen kerana aku buta dalam lukisan dan tak tahu berpuisi. Cuma kelebihan aku ialah aku jenis tak peduli dan main redah.

Banyak yang ingin aku ceritakan tentang Zaen. Tetapi cukuplah untuk aku nyatakan bahawa ketika-ketika aku naik ke pentas menerima hadiah sastera tanpa seorang Zaen Kasturi yang menghambat langkahku, aku terasa kehilangan dan sepi. Zaen begitu lama menyepikan dirinya dalam dunia sastera. Aku tidak tahu mengapa, walau aku banyak kali meminta Zaen menulis kembali – tetapi aku juga faham jiwa seseorang penulis hanya difahami oleh dirinya sendiri. Lalu aku membiarkan Zaen dengan harapan suatu hari dia akan kembali.

Dan pada malam Hadiah Utusan pada tahun 2008 ini, aku kembali merasa keghairahan sastera 90-an ketika aku dan Zaen menggila dengan keberlainan kami dan ketersendirian kami. Tahniah Zaen Kasturi! Selamat kembali ke zaman kita yang dulu-dulu.

Thursday, June 19, 2008

LOGIK EKONOMI DAN LOGIK RAKYAT

Dunia Tanpa Tirai

Tiada isu yang lebih besar ketika ini melainkan isu kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen iaitu kenaikan 40% daripada harga sebelumnya iaitu RM1.92 seliter. Harga disel turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.58 seliter daripada RM1.58. Kenaikan harga yang diumumkan secara mengejut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada petang rabu 4 Jun 2008 itu merupakan kenaikan yang cukup drastik dan tragik kepada rakyat. Menurut Abdullah, langkah ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk membawa harga bahan api di Malaysia ke arah harga pasaran sebenar. Maka penentuan harga petrol dan disel sekarang akan ditetap berdasarkan kepada harga bahan api di pasaran dunia. Untuk meringankan beban kepada rakyat, kerajaan mengekalkan langkah memberikan subsidi iaitu memberikan diskaun sebanyak 30 sen bagi setiap liter minyak. Jika harga minyak di pasaran dunia turun, penyelarasan akan dibuat sebulan sekali, tetapi kadar diskaun 30 sen itu akan tetap diberikan.

Dalam pada itu rebat tunai sebanyak RM625 setahun diberikan kepada pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta trak pikap dan jip berkapasiti 2500cc. Pemilik motosikal berkapasiti sehingga 250cc juga mendapat bayaran tunai sebanyak RM150 setahun. Selain daripada itu beberapa langkah yang menjurus kepada pengurangan beban rakyat turut dilaksanakan seperti pengurangan cukai jalan untuk kenderaan kategori tertentu, penetapan harga disel untuk nelayan, dan kadar cukai perkhidmatan restoran. Langkah-langkah kerajaan ini merupakan pelaksanaan strategi serampang dua mata iaitu selain daripada membantu meringankan beban rakyat dalam menghadapi ‘bencana ekonomi global’ juga membentuk penjimatan subsidi sebanyak RM13.7 bilion yang dapat digunakan untuk subsidi produk makanan rakyat Malaysia.

Kerajaan tentunya melaksanakan langkah-langkah drastik dan tragik ini berdasarkan logik ekonomi, iaitu menyesuaikan diri dalam konteks mempertahankan negara daripada putaran keruntuhan ekonomi dunia yang berlaku pada ketika ini. Tidak ada negara yang mampu melepaskan diri daripada kenaikan harga minyak dan makanan dunia yang berlaku sekarang ini. Langkah kawalan yang bergantung kepada kebijaksanaan strategi ekonomi, rizab negara dan kestabilan ekonomi sebelum ini sahaja yang mampu membezakan keadaan teruk antara sesebuah negara dengan negara yang lain. Logik ekonomi ini dilihat berasaskan kepada apa yang disebutkan sebagai ‘subtle combination of philosophical presuppositions, idealogical orientation, factual observations, predictions and fond hopes’.

Langkah-langkahnya melihat kepada fakta-fakta ekonomi dunia, falsafah dalam konteks hubungan negara dengan rakyat, orientasi terhadap idealogi ekonomi pasaran, pemerhatian serta ramalan terhadap pergerakan ekonomi domestik dan dunia masakini serta masa hadapan, dan juga harapan-harapan untuk membina kestabilan sosial melalui kestabilan ekonomi. Logik ekonomi inilah yang menjadi pertimbangan kerajaan dalam menghadapi suasana ekonomi global yang tidak menentu sekarang ini.

Namun dari sisi yang lain, rakyat keseluruhannya menerima kenaikan harga minyak ini daripada persepsi yang berbeza. Kenaikan bagi rakyat adalah tetap kenaikan yang membebankan. Alasan-alasan yang dikemukakan melalui logik ekonomi bukan suatu hakikat fizikal yang dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi oleh kenaikan harga minyak yang amat drastik dan tragik ini. Perbandingan dengan kadar kenaikan di negara-negara lain bukanlah sesuatu yang bijak untuk menarik perhatian sekaligus penerimaan rakyat terhadap ‘kebaikan’ langkah kerajaan itu. Bagi rakyat kesimpulan yang mereka capai ialah ‘kerajaan telah gagal melaksanakan tugasnya kepada rakyat’.

Inilah logik yang diterima oleh rakyat walaupun mungkin bukan semua tetapi setidak-tidaknya oleh majoriti rakyat. Berbeza dengan logik ekonomi, logik rakyat ini lebih dipandu oleh pergerakan emosi yang terperangkap dalam apa yang disebut sebagai ‘vicious cycle of confusion and emotional traps’. Rakyat merasa keliru dan akhirnya terperangkap dalam emosi marah oleh tekanan ekonomi yang dihadapi mereka. Maka pihak yang paling dekat untuk mereka persalahkan ialah kerajaan. Mempersalahkan kerajaan bukan sahaja satu tindakan yang melihat kepada kegagalan kerajaan menstabilkan tekanan ekonomi yang menyerang Malaysia tetapi juga adalah suatu bentuk escapism rakyat daripada ‘keperitan dan kepayahan’ mereka.

Dalam menangani ketidakpuasan hati rakyat, kerajaan sebenarnya tidak cukup dengan hanya menyediakan ubat yang memenuhi keperluan material dan fizikal sahaja tetapi juga perlu tahu mengalihkan tumpuan rakyat sekaligus escapism yang bersifat emotif dan spiritual tersebut. Namun terlihat di sini kerajaan tidak mampu menyediakan suatu bentuk ‘ketenangan’ kepada rakyat, yang mana dapat meneutralkan ketidakpuasan hati mereka daripada meledak keluar. Ini adalah kerana kerajaan sendiri diwakili oleh parti-parti yang tidak lagi stabil. Pertelagahan dan kekecohan yang memperlihatkan kehuru haraan di samping pelbagai penyelewengan yang berlaku di tangan pucuk pimpinan politik dari atas sehingga ke bawah tidak lagi mampu ‘menenangkan’ rakyat.

Rakyat melihat kemewahan para pemimpin UMNO, dan parti komponennya yang membina satu jurang kekayaan yang cukup luas antara mereka dan pemimpin-pemimpin UMNO serta parti BN. Tetapi dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin UMNO dan BN ini pulalah yang dilihat rakyat yang membuat keputusan untuk menaikkan harga minyak sekaligus akan menyangkuti bahan-bahan keperluan yang lain. Walaupun UMNO yang memimpin kerajaan melakukan tindakan yang betul dari logik ekonominya, tetapi keadaan dan kedudukan mereka yang mewah di mata rakyat menjadikan tindakan mereka mengikut logik ekonomi itu menjadi salah melalui logik rakyat.

Logiknya rakyat melihat pemimpin-pemimpin UMNO berjuang untuk kekayaan dan kepentingan diri mereka pada zaman ekonomi negara mewah dan stabil, tetapi melepaskan beban kepada rakyat apabila ekonomi mengalami keruntuhan. Maka logik rakyat melihat pemimpin-pemimpin UMNO adalah golongan yang mementingkan diri sendiri dan melepaskan beban kepada rakyat tanpa sanggup berkorban untuk negara dan rakyat.

Lebih malang lagi logiknya rakyat melihat Pak Lah hanya seorang pengisytihar kenaikan harga minyak dan segala macam kenaikan harga yang munculnya hanya pada saat pengisytiharan segala macam kenaikan yang membebankan rakyat. Sejak dari awal kepimpinannya sehinggalah sekarang logik rakyat melihat sumbangan Pak Lah dalam kepimpinan negara Malaysia ialah sebagai seorang tokoh pengisytihar kenaikan petrol dan barang keperluan. Selebihnya ekonomi tidak pernah berkembang melebihi daripada apa yang rakyat jangkakan.

Dan logik rakyat ini telah menunjukkan ‘sedikit kesannya’ pada PRU 12.

Mingguan Wasilah, 15-21 Jun 2008

Monday, June 16, 2008

SELA SELI 3

HADIAH TINTA GAFIM DAN KENANGAN TENGOK WAYANG DENGAN ZU

Pada hari jumaat 13 jun 2008, aku terima anugerah Tinta Gafim melalui artikel di dalam Dewan Budaya Februari 2007, "Cinta dalam Konsep Saeculum". Turut sama kawan-kawan wartawan yang memenangi anugerah ialah Azman Ismail, Ku Seman Ku Husain, Aziz Ittar, Akmal Abdullah dan ramai lagi.

Aku sebenar tak pernah bercita-cita untuk menulis tentang filem. Tetapi aku memang suka menonton filem. Dulu zaman usia 6 tahun ketika tinggal di Paya Purnama, Kota Bharu Kelantan aku selalu digendong naik basikal oleh Zu, bapa sepupuku yang berasal dari Pahi, Kuala Krai ke panggung wayang. Dia tinggal dibela oleh Cik ku di Kota Bharu bersama kami. Selalunya dia bawa tengok cerita Kung Fu. Masa kecil aku tak ada banyak kawan, sebab aku tak boleh duduk lama dengan budak-budak, nanti naiklah tanganku. Jadi bila aku keluar, mak-mak budak panggil anaknya naik tak bagi berkawan dengan aku. Mak-mak itu kata, 'naik, tu anak rimau dah turun." Aku pun tak kisah, kerana aku pun bukan nak berkawan sangat.

Kami adik beradik ramai sepupu, dua pupu, bapa sepupu yang sebaya. Tapi semua pupu-pupu tu banyak yang sebaya dengan kakak-kakak dan abang aku. Tak ada pupu yang sebaya dengan aku. Jadi aku selalu tinggal solo. Abang aku ada geng pupu-pupu ni seperti Anu, Zu, Fauzi (sebelah cik aku) dan Syed Din, Izani, Badrul (belah abah aku). Jadi diaorang bila nak keluar tengok wayang, akan lari dari aku, tak nak bawa. Aku akan teriak dan jerit pada cik. Cik akan marah abang aku dan suruh bawa aku. Bila balik aku segera bagitahu Cik abang aku dan pupu-pupu aku hisap rokok. Apa lagi teruk la abang aku kena sebat. Sebab tula tak ada orang nak bawa aku tengok wayang.

Ada sorang lagi pupu aku yang paling rapat dengan abang aku nama Anu. Dia cukup anti dengan aku, katanya aku suka ngadu, jangan bawa zakir. Bulat-bulat matanya jerlung aku, konon nak takutkan aku. Dia sudah darjah lima, aku baru umur 6-7 tahun. Dia ingat aku takut dia jerlung mata macam tu. Apa lagi aku ambil getah, bidas tepat ke matanya. Menangis dia. Aku lari masuk dalam rumah. Padan muka. Maka makin kuranglah orang yang nak kawan dengan aku.

Cuma sorang je pupu aku iaitu Zu (tua 7-8 tahun dari aku, abang aku pun lebihkurang itulah jarak umur dari aku, sebaya dengan pupu-pupu aku yang lain) yang bawa aku tengok wayang. Zu ni lembut dan baik orangnya. Dia sajalah yang sanggup gendong aku pergi tengok wayang di Kota Bharu (dekat saja lebih 15 minit sampai bandar KB). Aku tengok wayang berdua saja dengan Zu. Balik dia gendong aku balik ke rumah. Dia selalu cakap lembut, baik-baik. Katanya, "Kir jangela ngadu ko cik abe jir (abang aku) buat apa-apa. Sebab tu dia tok se bawa Kir." Aku angguk saja. "Hari tu, bakpo Kir bidas Abe Anu." Aku diam dan angguk lagi. Tapi esok aku ngadu lagi. Kalu jumpa Anu pun aku bidas lagi.

Itulah kenangan manis aku di Kelantan. Tapi aku sekolah di Kelantan sampai darjah empat sahaja. Lepas tu aku duduk di Penang dan terus kekal di Bangi, Selangor. Balik setahun sekali (3-4 hari), dua tahun sekali dan akhirnya 5 tahun sekali. Aku tak ada kawan dari Kelantan lagi(putus hubungan terus). Kawan-kawan Kelantan aku semua aku kenal di Kuala Lumpur.

Bila aku terima hadiah tinta Gafim, aku teringat Zu yang rajin bawa aku tengok wayang, gendong dengan basikal pergi balik, ketika tak ada orang yang sanggup nak bawa aku berjalan. ha ha.

Sunday, June 15, 2008

MELIHAT DEMOKRASI SETELAH ERA MAHATHIRISME

Dunia Tanpa Tirai

Apabila berbicara tentang politik moden Malaysia, tidak dapat tidak ia akan turut menyentuh sejarah politik dan falsafah Barat. Ini memandangkan amalan politik moden Malaysia yang berasaskan demokrasi Westminster British – hasil daripada tinggalan kolonialisme British yang menjadi model politik dan pemerintahan di Malaysia selepas merdeka. Lantaran itu sejarah politik moden Malaysia mempunyai beberapa sisi yang menarik untuk dilihat.

Sepertimana yang diketahui, era pemerintahan Mahathir telah meninggalkan suatu bentuk konsep atau doktrin politik yang dikenali sebagai Mahathirisme. Doktrin ini memberikan demokrasi sebuah wajah autokratik-despotik dalam cita-cita untuk mencapai matlamat Mahathirisme; iaitu mewujudkan sebuah masyarakat maju yang sekular dan pada masa yang sama dibentuk sebagai subjek yang dipacu oleh sebuah regim politik oligarki ataupun seorang diktator-demokrat.

Peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Abdullah Badawi malangnya bukan memperkuatkan doktrin Mahathirisme ini, tetapi dilihat telah melemahkannya sekaligus melontarkan UMNO secara umumnya kepada tahap yang kritikal. Dari sudut politik kepartian, Abdullah dilihat sebagai punca kelemahan UMNO. Walaupun sebenarnya UMNO telah sampai ke puncak keruntuhannya, akibat bahana ketidakpuasan hati rakyat terhadap regim Mahathir dan doktrin autokratik-despotik Mahatirisme. Maka sesiapa sahaja yang mengambilalih tempat Mahathir tentunya akan menanggung bahana ini, kecuali doktrin Mahathirisme ini dicabut pupus daripada UMNO. Tetapi dari sudut amalan demokrasi, Pak Lah ternyata telah membuka ruang yang lebih terbuka sekaligus mencabut sebahagian paksi-paksi autokratik yang ditanam oleh Mahathir. Maka amalan demokrasi dilihat kembali hidup pada zaman Pak Lah.

Mahathir membawa demokrasi ke arah tesis yang dikemukakan oleh Thomas Hobbes (1588-1679). Sementara Pak Lah dilihat (tanpa sedar) membawa demokrasi ke arah tesis yang dikemukakan oleh John Locke (1632-1704). Hobbes menyatakan bahawa kuasa mempunyai logiknya yang tersendiri, kerana setiap manusia mempunyai keinginan kepada kuasa terhadap manusia yang lain. Maka itu suatu bentuk tata-politik untuk sebuah masyarakat harus dibina di bawah kuasa-manusia tertinggi (superior authority). Dan di sini masyarakat harus bersetuju menyerahkan urusan sosio-politik mereka sepenuhnya (surrender unconditionally) kepada kuasa-manusia tertinggi ini.

Kuasa-manusia tertinggi ini mempunyai justifikasi yang tersendiri. Ia bukan sahaja menolak autoriti keagamaan dalam kerangka sosio-politik tetapi sebaliknya menjadikan semua institusi sosio-politik termasuk institusi agama, budaya dan ekonomi tertakluk di bawahnya. Ia harus mempunyai kekuasaan menyeluruh terhadap semua institusi yang wujud dalam pembentukan masyarakat – secara mutlak terpisah daripada kewajiban atau keperluan untuk menurut hukum keagamaan mahupun doktrin moral, juga segala bentuk institusi tradisional yang lain.

Maka kuasa-manusia tertinggi ini akan membentuk sebuah masyarakat melalui dasar-dasar bebas dan baru mengikut matlamat serta cita-citanya sendiri; dengan doktrinnya yang tersendiri. Hobbes mengharapkan tesisnya ini dapat melahirkan sebuah masyarakat yang bebas daripada tirani golongan feudal dan institusi kepaderian serta melepaskan masyarakat daripada belenggu perhambaan akibat ugutan-ugutan yang memanipulasikan ‘hasrat Tuhan’, tetapi akhirnya menjurus kepada kepentingan instusi kepaderian dan feudal. Namun tesis Hobbes akhirnya terjerumus ke lembah absolutisme, yang merencanakan kepada kemungkinan wujudnya suatu bentuk tirani baru daripada kalangan rakyat yang tampil untuk menjadi golongan yang berkuasa.

John Locke menolak absolutisme Hobbes yang menyatakan bahawa suatu bentuk ‘stateless communal existence to life under tyranny’ yang mewujudkan absolutisme itu bukan satu-satunya cara untuk mengubah penguasaan mutlak golongan feudal dan institusi kepaderian terhadap rakyat. Maka Locke menegaskan tentang idea terhadap kuasa kerajaan yang dibatasi oleh kepentingan rakyat. Dalam ertikata lain kerajaan harus berkhidmat untuk mencapai matlamat rakyat; bukannya rakyat berkhidmat untuk mencapai matlamat kerajaan. Locke melihat dan mempercayai aksi komunal sementara Hobbes melihat dan mempercayai aksi individu.

Maka itu Locke mengatur bahawa kuasa harus diberikan pembahagiannya agar bahagian-bahagian tersebut saling memperlengkap dan membataskan kepentingan masing-masing. Konsep perimbangan kuasa (kuasa legislatif dan kuasa eksekutif) ini mampu menjadikan negara untuk berfungsi sebagai jentera yang berkhidmat untuk mencapai matlamat rakyat. Ini berbeza dengan Hobbes yang menyatukan kuasa legistlatif dan kuasa eksekutif sebagai satu organ yang akhirnya mempunyai kuasa mutlak terhadap sebarang tindakannya dan seterusnya menjadi rakyat sebagai jentera untuk mencapai matlamat kerajaan.

Era pemerintahan Mahathir menyaksikan bagaimana berlakunya usaha untuk menjadikan badan legislatif dan badan eksekutif sebagai sebuah organ yang akhirnya memberikan suatu bentuk kekuasaan mutlak kepada kerajaan. Mahathir cuba membentuk sebuah ‘stateless communal existence to life under tyranny’ yang akhirnya menyaksikan rakyat diacu untuk menjadi alat kepada matlamat kerajaan (Mahathir).
Namun era pemerintahan Pak Lah telah menyaksikan pengukuhan kembali fungsi kuasa secara divisi yang bertujuan mengimbangi antara satu sama lain. Pak Lah telah memecahkan organ yang cuba mencantum bahagian legislatif dan badan eksekutif yang mewujudkan absolutisme tersebut. Maka tujuan kepada kuasa akhirnya menjurus kepada usaha menjadikan kerajaan sebagai jentera untuk mencapai matlamat rakyat.
Walaupun ‘gaya’ Pak Lah mungkin mendatangkan kesan negatif terhadap keberadaan UMNO sebagai kuasa politik yang hampir ‘mutlak’ sifatnya oleh doktrin Mahathirisme tersebut; namun dari sisi yang lain terutama dalam konteks jangka panjang ia sebenarnya telah membetulkan haluan UMNO yang terpesong selama 22 tahun di bawah regim Mahathir.

Mingguan Wasilah, 08-14 Jun Mei 2008

Saturday, June 14, 2008

SELA SELI 1

Dahulu Aku Jatuh Motor

Ruang ini saja aku buat untuk merehatkan sedikit otakku yang sentiasa dipaksa untuk berputar dengan serius. Sebagai ruang peribadi, selesanya kata diri digunakan ‘aku’. Lagipun aku saja yang membaca ruang ini pun. Tulis untuk aku dan baca untuk aku. Tetapi dunia maya alam siber ini tidak menghalang mana-mana pihak pun nak membacanya. Cuma ini diari peribadi aku (dalam keadaan nak rehatkan otak aku).

Hari ini pagi sabtu 14 Jun 2008, aku pergi membaiki motorku. Motor ini lama tersadai setelah aku kemalangan, terjatuh pada senja hari hujan renyai-renyai di jalan menghala ke Tecnology Park, Bukit Jalil. Tarikhnya 28 Februari 2008. Kerana besoknya aku pergi ke bengkel penulisan puisi di Kuala Pilah. Aku ingat tarikh-tarikh ini kerana masa itu sedang hangat dengan kempen pilihanraya yang mana pada 8 Mac 2008 telah menyaksikan tercatatnya sejarah politik yang mengejutkan (terutamanya UMNO dan konco-konco BN-nya). Senja itu aku pulang, ketika hujan renyai-renyai. Mataku yang memang rabun jauh, ditambah pula dengan visor helmet yang sudah calar balar membuatkan penglihatanku kabur. Aku memang menunggang perlahan. Sampai ke jalan masuk fly over ke Bukit Jalil, tepi jalan itu rupanya baru digelek steamroll (lebih kurang begitulah). Aku tak perasan dan tak nampak. Lalu aku redah masuk ke tepi jalan yang berlopak-lopak itu hingga motorku hilang kawalan. Aku sudah membreknya dan motor itu sudah perlahan tetapi takdir memang nak jatuh, lalu aku jatuh. Berat juga motor Jaguh Modenas 150cc ni. Aku jatuh, tapi tak ada cedera. Cuma luka kecil calar-calar kaki dan terseliuh lutut kanan kerana jatuh terhempap motor.

Aku jatuh terbalik ke sebelah kanan. Tetapi tidaklah kuat sangat. Ketika aku terugah-ugah mengangkat motor, sebuah lori berhenti di hadapanku. Dua orang pemuda India turun untuk membantu.

“Abang ada luka?” Memang baik pemuda India itu.
“Tak ada. Ok.”
Dua orang pemuda India itu datang membantu mengangkat motor. Seorang daripadanya memeriksa motorku.
“Cuba start bang.”
Aku menekan butang penghidup enjin beberapa kali dan kemudian hidup. Alhamdulillah. Aku tidak cedera dan motor pun boleh berjalan.
Setelah bercakap lebih kurang aku ucapkan banyak terima kasih dan bersalam dengan dua orang pemuda India itu. Mereka berdua menawarkan bantuan untuk menghantar aku ke rumah. Aku menolak kerana aku pun tidak cedera apa-apa. Aku memang terharu juga dengan kebaikan pemuda-pemuda India pemandu lori. Kadang kala aku terfikir, sentimen perkauman ini banyak dimainkan oleh orang-orang atasan, elit dan orang kaya – tetapi peringkat rakyat bawahan sebenarnya mereka hanya ingin hidup aman damai mencari rezeki. Dan adakalanya tembok prasangka yang menjarakkan kefahaman antara kaum itu membuatkan sentimen itu timbul. Aku tidak mahu bercakap tentang hubungan kaum di sini. Cukup aku pegang prinsip manusia itu sama – ada hati ada perasaan.

Aku pulang ke rumah, mandi dan membubuh ubat diam-diam. Aku tidak memberitahu isteriku, kerana memang dia selalu bimbang aku naik motor. Isteriku memang menyuruh aku membawa kereta, tetapi aku memang selesa naik motor kerana minyaknya jimat dan lepas sesak di jalan. Aku tidak ada apa-apa cuma sengal-sengal badan sedikit. Tetapi lutut kananku memang sakit. Tidak boleh bengkok. Memang kena tempat hentakan lama, zaman jadi mat rempit awal tahun 90-an. Melambung dan terhentak ke jalan. Hampir setahun aku tak boleh main bola. Memang ada kesannya terasa sampai hari ini, lutut kananku ada rasa lemahnya. Hari ini lutut tu kena lagi.

Esoknya aku bersama Rahimidin pergi ke Kuala Pilah, terlibat dalam bengkel penulisan. Dengan terencut-encut itu aku pergi berbengkel juga. Tidur dalam khemah pulak tu. Tak apalah, memang zaman-zaman dulu aku suka melasak. Panjat gunung, ekspedisi, main bola, macam-macam termasuk la merempit dan berlumba kereta.


SELA SELI 2


Motor oh Motor

Pagi ni sabtu 14 Jun 2008, aku pergi baiki motorku yang tersadai sejak 28 Februari 2008. Tiga bulan lebih tinggal tersadai dengan kesan tanah jatuh dulu pun masih tak bercuci. Ada aku hidupkan enjinnya beberapa kali dalam 3 bulan tu. Semalam aku hidupkan enjin, ok hidup. Petang aku hantar basuh di tempat basuh India yang baik hati di kondoku. Pagi ini aku bawa ke bengkel, betulkan handle yang bengkok dan tukar minyak hitam. Visor helmet yang kabur itu juga aku tukar.

Aku sedia jadi zoro kembali. Naik motor setelah 3 bulan guna kereta sahaja. Mengapa? Semua orang tahu. Pak Lah dah naik minyak hingga semua orang jadi gila naik minyak. Apa nak jadi Pak Lah? Inilah jasa Pak Lah yang diingati oleh rakyat Malaysia selama dia memerintah. Naik dan naik harga minyak. Islam Hadhari? Mana ada Islam Hadhari. Islam, Islam lah. Mana ada Islam hadhari, Islam madani, Islam liberal. Itu semua tak betul. Yang betul masyarakat hadhari atau masyarakat Islam Hadhari. Bukan Islam Hadhari. Itupun Pak Lah tak boleh nak beza. Memang Pak Lah kurang baca buku.

Aku jadi zoro kembali kerana Pak Lah naik minyak lagi. Ok lah. Apa nak buat. Aku pun tak asing dengan motor. Cuma masalahnya ialah – Pak Lah. Dia memang tak mampu nak jadi perdana menteri. Itu saja.

Pak Lah sedang menamatkan sejarah politiknya. Dua perkara yang diingati orang tentang Pak Lah ialah, Islam Hadhari dan naik harga minyak. Dua-duanya pun tak betul. Hanya itu. Lain tak ada.

Aku sebenarnya lebih sukakan Pak Lah daripada Mahathir yang despotik itu, tapi apa nak buat Pak Lah memang tak mampu jadi Perdana Menteri. Semoga Pak Lah diampuni dan dirahmati Allah s.w.t – selepas berakhir dunia politiknya tidak lama lagi.