Sunday, February 28, 2010

PASCAMODEN KUTUKAN TERHADAP FALSAFAH DAN AGAMA







Pascamoden Kutukan terhadap Falsafah dan Agama merupakan buku kumpulan esei saya yang terbaru diterbitkan. Kumpulan esei ini menghimpunkan 12 buah esei, iaitu;
1. Pascamoden Kututan terhadap Falsafah dan Agama
2. Mencari Konsep Sastera Islam
3. Globalisasi, Konsep Bangsa Malaysia dan Realiti Melayu
4. Estetika Sufisme sebagai Model Estetika Sastera
5. Kesan Pemikiran dan Estetika Cerpen Penulis Muda Malaysia
6. Empat Jalur Sastera Melayu: Mencari Nilai Agung
7. Orientalisme, Weltliteratur, Gharb Zadegi dan Sastera Melayu
8. Konsep Keindahan Coincidentia Oppositorum
9. Sastera Harus Radikal
10. Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005
11. Mencari Ruang Ketiga
12. Penjajahan Masa Hadapan dan Ketidaksetaraan Barat-Bukan Barat

Pascamoden Kutukan terhadap Falsafah dan Agama merupakan himpunan 12 esei yang ditulis pada awal dekad abad ke-21. Esei-esei ini melihat fenomena penghujung abad atau fin de siecle yang menyangkuti persoalan pascamodenisme, pascakolonialisme dan paling menggoncangkan fenomena globalisasi. Tidak ketinggalan ia menyorot titik-titik pergerakan awal yang mencetuskan fenonema-fenomena ini seperti wacana orientalisme, positivisme, pencerahan, liberalisme dan dialektika rasionalisme. Dalam pada itu ia melihat pertembungan fenomena ini dengan wacana balas seperti oksidentalisme, ruang ketiga budaya dan kebangkitan wacana pemikiran Islam. 12 esei ini membicarakan secara serius persoalan-persoalan pemikiran yang mendasari fenomena yang mencetuskan gelombang baru abad ke-21 ini. Uniknya sorotan ini menggunakan gerbang pemikiran sastera dalam membuka lapisan-lapisan persoalannya. (kutipan dari blurb buku).

Kumpulan esei ini adalah perbitan pertama daripada projek pengumpulan dan penerbitan tulisan saya pada tahun 2010. Terdapat 10 buah buku kumpulan esei pelbagai bidang hasil tulisan saya selama 10 tahun yang akan diterbitkan pada tahun ini. Saya juga merancang untuk menerbitkan beberapa buah karya kreatif (dalam rancangan 10 buah) untuk tahun 2010 ini. Saya berharap semua proses berjalan lancar, dalam usaha mencapai sasaran penerbitan 20 buah karya pada tahun 2010 ini. Semua buku saya yang diterbitakn boleh dipesan melalui blog ini.

Monday, February 22, 2010

HSPM: PENILAI PERLU DINILAI

Syabas diucapkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka khususnya Jabatan Sastera yang mengundang pandangan dan pendapat daripada penulis, editor dan penggiat sastera pada sesi dialog yang diadakan pada 22 Febrauri 2010 (semalam) di DBP. Keterbukaan DBP di bawah pimpinan Ketua Pengarah Baru untuk berdialog ternyata membuka ruang kepada hubungan baik antara DBP dan para penulis serta penggiat sastera. Tidak ketinggalan juga kepada Puan Hajah Zaiton Ajmain dan para pegawai di Jabatan Sastera yang sanggup turun meluangkan masa mencari kebaikan untuk dunia sastera.

Dialog hari itu berkisar kepada Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM). Saya tidak bermaksud untuk mengulas panjang tetapi ingin menarik beberapa pandangan yang cukup bernas dalam perbincangan tersebut. Seperti kata Nisah, HSPM adalah indeks atau petunjuk kepada mutu penulisan karya sastera. Maka apa yang lahir dari HSPM akan menjadi rujukan bukan sahaja kepada penulis tetapi juga kepada khalayak pembaca bahkan menyeluruh ke dunia sastera Malaysia. Tidak mustahil juga ia menjadi asas persepsi mutu sastera Malaysia di mata antarabangsa.

Dua masalah pokok dalam HSPM kali ini ialah, pertama; pengumpulan bahan atau pembahanan dan kedua, ialah mutu penilaian. Salbiah Ani bersetuju bahawa konsep HSPM ialah bukan bersifat pertandingan maka adalah suatu yang janggal apabila penulis perlu menghantar karyanya sendiri untuk dinilai. Saya sangat terkesan dengan poin Salbiah Ani yang menyatakan, "bagaimanakah dengan penulis yang bertungkus lumus menulis menyumbang kepada mutu dan perkembangan dunia sastera, hanya kerana mereka tidak menghantar karya mereka untuk dinilai, maka sumbangan mereka yang besar itu diketepikan begitu sahaja?". Ya hanya kerana ketidakmampuan teknikal yang remeh ini, maka karya-karya besar perlu dikesampingkan begitu sahaja? Saya sebagaimana majoriti yang hadir terus terang tidak bersetuju bahawa penulis perlu menghantar karya mereka untuk dinilai.

Sepertimana HSPM yang sebelum ini, Sekretariat HSPM DBP yang mengumpul dan menyaring bahan karya yang bermutu untuk dinilai. Ini dinyatakan sendiri oleh Hj Hamzah Hamdani tentang bagaimana sekretariat pada zaman beliau bekerja. Merekalah yang mengumpul setiap bahan sastera yang tersiar. Dari satu segi, saya tidak melihat bahawa ini adalah satu hal yang mustahil, kerana kita sudah tentu boleh menentukan karya-karya melalui media yang terpilih iaitu media perdana sastera kebangsaan contohnya Dewan Sastera, Dewan Budaya, Mingguan Malaysia, Berita Minggu dari sudut karya eceran. Tidak perlulah mengutip dari segenap media picisan dan hiburan yang tidak ada mutu sasteranya. Begitu juga dalam karya buku, sudah jelas mana penerbit yang menerbitkan karya sastera dan mana penerbit yang menerbitkan karya popular atau picisan. Sekretariat harus menumpukan kepada karya sastera yang benar-benar karya sastera. Apakah setelah 50 tahun kita masih tidak tahu membezakan antara karya sastera serius dengan cereka cinta popular dan karya picisan?

Kedua, soal para penilai atau panel hakim. Saleeh Rahamad memberikan pandangan yang cukup bernas tentang kelesuan panel hakim untuk melihat dunia kesusateraan Melayu yang menyeluruh dalam konteks anugerah iaitu pengiktirafan dan bukan pertandingan! Panel hakim atau penilai harus mempunyai stamina untuk membaca dan menguasai pengetahuan tentang karya sastera di Malaysia. Dalam HSPM baru-baru ini saya berpandangan bahawa panel penilai hanya melakukan kerja membaca dan menilai karya yang hanya diletakkan di atas meja mereka dan langsung tidak berusaha atau berupaya untuk melihat karya satera yang terhasil di luar meja mesyuarat mereka yang jauh lebih bermutu dari apa yang ada di depan mata mereka. Ini bermakna 'kepala' (maaf) panel penilai hanya melihat HSPM dalam konteks pertandingan iaitu karya yang diletak di dalam mata mereka, dan bukan konteks pengiktirafan iaitu karya-karya sastera yang lahir untuk mewakili pemikiran dan zamannya.

Ternyata kita tidak ada penilai yang serajin dan secanggih Allahyarham Dr. Othman Puteh dalam mencari karya yang bangkit membawa pemikiran yang mewakili zamannya. Dalam HSPM hari ini kita hanya mempunyai panel penilai yang lesu, sempit dan mencari kerja mudah dengan hanya berharap kepada karya-karya yang diletakkan di dalam mata mereka oleh sekretariat. Mereka langsung tidak berupaya untuk melihat dunia sastera yang menyeluruh dalam mengangkat prestij HSPM. Antara faktor kemerosotan HSPM baru-baru ini ialah faktor kelesuan dan ketidakupayaan panel hakim. Maka itu para penulis sekarang amat menunggu laporan panel hakim dalam melihat kekuatan karya yang dipilih dan rasional penilaian panel hakim. Saya juga amat-amat menunggu laporan penilaian panel hakim yang amat bijaksana ini. Jangan marah jika pahat saya akan terus berbunyi mengkritik laporan panel hakim ini, tentunya.

Akhir sekali saya amat tertarik untuk mengutip kata-kata Lutfi pada dialog tersebut, "Hadiah sastera perdana ini haruslah perdana sifatnya, karyanya adalah karya perdana, prestijnya adalah prestij perdana dan panel hakimnya juga haruslah tokoh yang perdana pemikirannya".

Untuk kali ini, kita pula yang harus bertindak untuk menilai para panel penilai HSPM ini!

Saturday, February 20, 2010

PERJUANGAN BAHASA MELAYU AD INFINITUM

Hari Pejuang Bahasa Melayu telah berlangsung pada 15 Februari 2010. Walau terdapat pelbagai tulisan dengan pelbagai andaian dan pandangan, saya suka melihat secara positif. Bagi saya usaha ini telah berjaya. Sekurang-kurangnya meletakkan garis permulaan untuk langkah berikutnya, iaitu penganjuran secara tahunan Hari Pejuang Bahasa Melayu. Soal kekurangan khalayak dan label siapa pejuang atau tidak adalah persoalan kecil yang boleh diselesaikan dari semasa ke semasa. Paling penting ialah matlamat mempertahankan martabat bahasa Melayu selaras dengan peruntukkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Dari segi latar belakangnya, sebenarnya Hari Pejuang Bahasa ini dicetuskan oleh teman-teman dari KALAM (Persatuan Penulis Kuala Lumpur) di bawah pimpinan Mohamad Daud Mohamad sebagai Ketua Satunya. Ilham dan usaha untuk mengadakan Hari Pejuang Bahasa ini ialah hasil perjuangan penulis-penulis seperti Mattaib Nordin, Ja'afar Hamdan, Ikhram Fadhly dan Salleh Tahir. Mereka berlimalah yang berada di sebalik kejayaan Hari Pejuang Bahasa ini. PENA dan GAPENA disertai KEMUDI terlibat apabila KALAM mengundang untuk bergabung tenaga. Di GAPENA Haji Hamzah Hamdani dan Abang Aziz turun membantu sepenuh tenaga. Di PENA saya disertai Dr. Ahmad Razali turun mewakili khususnya membantu dalam soal penerbitan buku Sumpah 152 (Shamsudin turut membantu mengumpul puisi) dan Malam Baca Puisi di PENA. Dari KEMUDI Abu Hassan Ashari turun setiap mesyuarat memberikan sokongan. Tidak ketinggalan sokongan material dan kemudahan dari DBP, ITNM dan PTS, termasuk tajaan dari sebuah syarikat multimedia dan restoran Tok Perak.

Jadi dari segi usahanya, sebenarnya Hari Pejuang Bahasa digerakkan oleh tenaga pelapis terutamanya di KALAM. Apa yang mengagumkan ialah kejayaan Hari Pejuang Bahasa ini meletakkan GAPENA dan GMP duduk sepentas memperjuangkan bahasa Melayu. Secara tidak langsung ia memperlihatkan masa hadapan yang baik perjuangan bahasa Melayu di tangan golongan muda yang cuba menyatukan semua kem dan kumpulan untuk bersatu duduk bersama dalam memperjuangkan bahasa Melayu. Maka itu saya berpandangan usaha ini telah merintis kejayaan yang besar.

Soal khalayak yang hadir, saya merasakan ia akan bertambah dari semasa ke semasa jika usaha-usaha diteruskan secara konsisten. Apa yang penting dilakukan sekarang ialah menyatukan penulis-penulis di PENA, KALAM, KEMUDI, PPS (di lembah Klang) dan persatuan-persatuan dalam kerjasama sebegini. Maka satu gerakan yang bergerak secara konsisten perlu diusahakan. Tidak perlu acara yang besar, kecil pun tidak mengapa tetapi berterusan. Kerana saya sangat percaya bahawa perjuangan mempertahankan bahasa Melayu pada masa datang akan lebih mencabar dan merupakan perjuangan yang berterusan selamanya.

Friday, February 12, 2010

ANTOLOGI SUMPAH 152





Antologi Sumpah 152 yang siap dicetak dan diterbitkan untuk pelancaran pada 15 Februari 2010 jam 10 pagi di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka.


Sempena Hari Pejuang Bahasa pada 15 Februari 2010 ini sebuah antologi siap untuk dilancarkan. Hari Pejuang Bahasa dipilih pada tarikh 15 hb 2 adalah simbolik kepada 152 yang merujuk kepada perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia yang memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Setelah bertungkus lumus mengumpul, menyusun, mengatur huruf dan menyunting antologi ini berjaya juga disiapkan dan dicetak dalam masa 24 jam. Pada mulanya ia nyaris-nyaris tak dapat diterbitkan untuk dilancarkan pada 15 feb ini kerana masalah sangat kesuntukan masa. Namun mungkin kerana usaha dan niat baik demi untuk memperjuangkan sesuatu yang baik dan afdal, maka semua kerja menjadi mudah dan mendapat penyelesaian dari jalan yang tidak disangka-sangka. Hasilnya antologi ini berjaya disiapkan. Terima kasih kepada GAPENA yang menaja seratus peratus penerbitan buku ini. Terima kasih kepada kawan-kawan di KALAM, Mattaib, Ja'afar Hamdan, Ikhram Fadhly Husin dan lain-lain yang bertungkus lumus menyusun dan membantu menyiapkannya. Ja'afar yang berjaya mengumpulkan banyak penyair dan menguruskan banyak hal untuk buku ini. Ikram yang membaca pruf sampai tengah malam, dan menghantar galei pruf pada pukul 11 malam di rumah PENA yang gelap gelita di tengah hujan. Juga Shamsudin Othman yang bertungkus lumus menghubungi rakan-rakan penyair untuk menyumbangkan karya. Paling tak dilupakan ialah penyair-penyair dari seluruh Malaysia tak henti-henti memenuhi ruang emel saya dengan puisi-puisi perjuangan bahasa. Sehingga buku dah masuk cetak pun, sajak masih tak henti-henti masuk. Kami sebagai penyelenggara memohon jutaan ampun dan maaf kerana tidak dapat memuatkan sajak-sajak yang dihantar lewat. Tetapi saya tetap menyimpannya, mana tahu jika boleh diusahakan antologi yang kedua.

Untuk perjuangan bahasa ini, kami secara peribadi terutamanya teman-teman di PENA dan KALAM mengambil sikap menyokong semua gerakan mempertahankan bahasa Melayu tidak kira dari pihak mana sekalipun. Pada pandangan kami semua eloklah diketepikan segala perbezaan untuk kita semua duduk bersatu dalam memperjuangkan bahasa Melayu. Dan sikap saya secara peribadi ialah menyokong apa sahaja gerakan oleh mana-mana pihak yang memperjuangkan bahasa Melayu. Baik GAPENA mahupun GMP, kami menyokong kedua-dua pendekatan yang diambil. Bahkan gerakan ini juga berlangsung di PENA, KALAM,PPJ dan saya percaya di semua persatuan penulis dan sebahagian Badan Bukan Kerajaan yang prihatin terhadap bahasa Melayu.

Uniknya buku ini ialah kami memasukkan sajak-sajak yang mewakili suara hati rakyat Malaysia tentang cinta dan kasih mereka kepada bahasa Melayu. Dari semenanjung Tanah Melayu hingga Sabah dan Sarawak semua dimuatkan dalam antologi ini. Lantaran ini kami tidak meletakkan sebarang 'kasta' yang membezakan antara penyumbang, semua sajak dimasukkan sebagai suara rakyat, suara kita semua. Semua sajak dinilai sebagai 'suara hati nurani' rakyat tentang perjuangan bahasa Melayu tanpa mengira kedudukan, pangkat, bangsa dan agama.

Akhir kata datang lah beramai-ramai pada 14 Februari 8.30 malam di acara Baca Puisi Sumpah 152 di Rumah PENA dan kemuncak acara sambutan pada 15 februari jam 8.30 pagai di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka. Kehadiran sdr2 semua amatlah dihargai, dan merupakan semangat kepada perjuangan bahasa Melayu ini. Jumpa pada 14 dan 15 februari ini.

Saturday, January 30, 2010

HARI PEJUANG BAHASA 152

KALAM (Persatuan Penulis Kuala Lumpur) bersama PENA, GAPENA, DBP, ITNM, JKKN, KEMUDI dan badan-badan bukan kerajaan akan menganjurkan HARI PEJUANG BAHASA dengan motto 'HARI 152' pada 14-15 Februari 2010.

Aturcara;

14 Februari 2010: 8.30 malam Baca Puisi Perjuangan Bahasa Melayu di Rumah PENA

15 Februari 2010: 8.30 pagi Sambutan Pelancaran Hari Pejuang Bahasa
di Balai Tun Syed Nasir DBP (lama)
Ucap Utama Dato' Dr. Hassan Ahmad
dipengerusikan oleh Dato' Zainal Abidin Borhan (GAPENA)
Forum Perjuangan Bahasa Melayu
Prof Emeritus Dato' Dr. Abdullah Hassan
Dato Baharuddin Zainal
Dr. Ridzuan Tee Abdullah
1.00 tengah hari Makan tengah hari & Majlis Bersurai

Sebagai memperingati hari bersejarah ini, pihak penganjur juga akan melancarkan Antologi Puisi 152. Dengan itu puisi-puisi boleh dikirimkan kepada smzakir90@gmail.com sebelum 10 Februari 2010.

Menjadi harapan besar semua pihak yang terlibat untuk menerima kehadiran tuan-tuan dna puan-puan seramai mungkin. Semoga majlis ini mendapat sokongan dan kejayaan daripada kehadiran tuan-tuan dan puan-puan semua.

Saturday, January 23, 2010

MAKYUNG DI ISTANA BUDAYA




Semalam 24 Januari 2010, saya pergi menonton Makyung Anak Raja Dua Serupa di Istana Budaya. Tentunya Rahimidin menunggu di situ. Makyung di istana budaya menampilkan Rosnan Rahman dan Juhara Ayub di samping Sabri Yunus dan sebagainya ini mengingatkan saya kepada kenangan masa kecil menonton Makyung di Kelantan. Saya tidak ingat di mana dan bila tetapi dalam ingatan samar-samar waktu kecil itu saya masih mengingati persembahan Makyung di Kelantan suatu ketika dahulu.

Ia dimainkan di lapangan terbuka. Pelakon wanita akan bertindak menjadi raja,pemaisuri dan sebagainya. Sementara pelakon lelaki saya ingat menjadi pelawak atau dipanggil peran dalam Makyung. Peran ini akan dibedal semahunya, sehingga ia menakutkan saya yang kecil itu. Ia memakan masa yang panjang tetapi cukup menghiburkan waktu itu. Mungkin suasananya yang dikelilingi alam desa, masyarakat kolektif yang datang menonton berkeliling dan duduk di mana saja, serta dunia pergaulan tidak rasmian dan spontan itu memberikan suasana yang menghiburkan. Saya tidak ingat siapa, mungkin emak atau emak saudara menarik saya jauh. Katanya 'tak molek budak-budak tengok, banyak menyapun (mencarut ke arah seksual)'. Maka saya ditarik ke belakangnya tertinjau-tinjau di celahnya dan orang ramai yang tekun tidak bergerak termasuknya sendiri.

Saya tidak dapat mengingat banyak. Tetapi persembahan di Istana Budaya sedikit sebanyak telah mengembalikan ingatan yang samar-samar zaman kecil itu. Menonton Main Puteri, Dikir Barat bertindan tindih masuk secara samar-samar dalam ingatan saya. Mungkin waktu itu saya masih kecil benar, saya rasa tidak lebih dari 9 tahun atau lebih muda lagi. Tetapi ingatan samar waktu kecil ini menimbulkan keindahannya yang tersendiri.

Makyung adalah persembahan yang mempunyai nilai falsafah yang tinggi. Ia adalah sastera tentang raja-raja alam alam istana. Dalam ertikata lain sebuah grand narative. Ia membawa pemikiran dan wajah tentang sistem sosiopolitik masyarakat Melayu pada zaman feudal (lebih tepat masyarakat asiatik, feudal membawa konseptual lain sebenarnya). Sayangnya Makyung yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai warisan dunia itu tidak dipulihara secara menyeluruh baik dari aspek fizikal mahupun filosofikal oleh Kementerian yang bertanggungjawab. Khususnya para birokrat seni yang sebahagian besarnya buta seni.

Saya mendengar cerita Rahimidin dengan leka tentang sejarah dan keunikan Makyung di warung setelah tamat persembahan. Sabri Yunus yang ada sekali turut memberikan cerita. Saya kembali ke ingatan waktu kecil - suasana yang tidak formal selalunya memberikan kejujuran dan ketulusan dalam seni. Saya semakin tidak percaya dengan birokrat seni, dan kesarjanaan seni. Saya melihat insan-insan seni yang naif sebenarnya adalah pakar-pakar tulen tentang dunia kesenimanan mereka. Birokrat dan sarjana? Mungkin sekadar manusia palsu dalam dunia seni... mungkin.

Thursday, January 21, 2010

HARI TERUS BERLALU

Tanpa sedar, kita sudah hampir ke penghujung Januari 2010. Masa semakin cepat dan tidak terasa. Dua berita sedih pada tanggal 20 Januari 2010 iaitu pemergian Dr Anuar Nor Arai dan Abu Bakar Ismail. Dr. Anuar Nor Arai sarjana dan pengkritik filem yang dikenali dan disegani ramai. Saya menerima berita tentang pemergiannya daripada Ridhuan Harun melalui sms. Kemudian masuk sms Shamsudin. Mengikut Luqman al-Jefri yang menelefon saya setelah itu, Dr. Anuar antara orang yang pertama bercakap tentang mengadaptasi novel Juara S. Othman Kelantan ke filem. Luqman minta saya mencari artikel itu. Malangnya tiada dalam simpanan saya setelah keratan akhbar dan dokumen yang disimpan arwah SOK saya berikan kepada arwah beberapa bulan sebelum kembalinya SOK ke rahmatullah. Saya yang menyimpan semua fail, dokumen dan buku arwah atas amanah yang diberikan oleh arwah. Saya percaya artikel itu ada dalam fail simpanan allahyarham SOK. Kini fail itu semua ada dengan ibu tiri saya.

Sementara Abu Bakar Ismail ialah mantan wartawan Berita Harian dan kemudian bertugas di Majalah Milenia Muslim. Saya hanya beberapa kali bertemu arwah di pejabat Majalah Milenia. Arawah adalah seorang yang cukup ramah dan baik hati, walau saya hanya seketika berkenalan dengan. Al-Fatihah buat kedua-dua allahyarham.

Saya pergi melawat jenazah Allahyarham Dr. Anuar Nor Arai dengan menumpang kereta Dr. Hamedi bersama Saleeh Rahamad. Ramai orang yang datang. Saya lihat Rahimidin sudah di dalam rumah membaca yasin. Rahimidin, Shamsudin dan Saleeh Rahamad adalah kawan yang saya kenal cukup prihatin dalam soal begini.

Setelah pulang ke UM, petangnya kami AJK PENA ke DBP di atas inisiatif Dato' Baha untuk membawa PENA berdialog dengan DBP dalam soal penerbitan dan sebagainya. Dengan usaha A. Ghafar Abdullah, Puan Hajah Zainab Kassin pengarah penerbitan dan Ketua Pengarah DBP, Dato' Haji Termuzi hadir untuk berdialog dengan PENA. 10 orang Ajk PENA hadir, termasuk Nazmi dari Berita Harian.

Sejak beberapa hari saya menerima sms dan pertanyaan dari teman-teman penulis mahukan komen tentang Hadiah Sastera Perdana baru-baru ini. Saya hanya mengucapkan tahniah kepada yang menang dan berdiam diri daripada memberi komen. Rezeki adalah kerja Tuhan, itu prinsip mudah saya. Saya pun telah banyak mengecap anugerah, tidak adillah pula untuk teman-teman yang menerimanya kali ini.

Tetapi beberapa pandangan teman-teman, menarik saya juga akhirnya untuk memberi pandangan. Jadi saya menjawabnya begini; pertama, panel hakim 'out of date'. kedua, jabatan sastera DBP dah jadi dinosaur. Ketiga, ini zaman sastera pop maka sastera harus mudah, ringan dan nostalgik.

Saya percaya selepas ini sastera di luar arus perdana akan tumbuh dan berkembang di luar konvensi akan menjadi gelombang besar. Seperti filem Melayu pada hari ini,filem arus perdana ialah filem picisan sementara filem di luar arus perdana adalah sebenarnya filem yang bermutu tinggi dari segi estetik dan artistiknya, menerima pelbagai penghargaan di luar negara. Sastera Melayu juga akan jadi begitu di tangan 'kaum nostalgik' atau golongan romantis ini, di mana akhirnya sastera arus perdana adalah sastera ringan, dan sastera di luar arus perdana muncul menjadi sastera tinggi yang meneroka sebebas-bebasnya.

Ini komen saya, dan saya bersetuju dengan Zaen, Lutfi dan ramai lagi yang tidak mahu bercakap kerana takut dikatakan ada kepentingan. Saya tidak peduli kerana saya sudah sedia untuk keluar dari arus perdana bikinan 'kaum nostalgik-romantis' ini, termasuk segelintir kecil yang berkuasa di Bahagian Sastera DBP. Saya sudah melepaskan diri saya daripada mana-mana ikatan patronage dan bergerak sebebas-bebasnya semahu saya. Persetanlah sama nilai murni, sastera ilmu dan apa-apa label retorik yang menjadikannya sastera palsu.

Maaf tuan-tuan ini hanyalah aliran karya saya yang sampai kiamat tidak akan menjadi bahan komsas. Dan saya tidak pernah lagi mahu peduli tentang hal ini. Selamat berkarya, penulis mempunyai nilainya yang tersendiri tanpa perlu mengikut nilai yang diberikan oleh orang lain. Jangan kata saya kecewa, kerana saya sudah cukup menerima segalanya. Ini adalah keadilan untuk teman-teman saya yang tidak dinilai karya mereka.