Thomas Hobbes ahli falsafah Inggeris abad ke-17 menyatakan memelihara kehidupan adalah tugas paling penting sesebuah kerajaan. Dalam karyanya Leviathan (1651), Hobbes menyatakan bahawa kehidupan tanpa sebuah kerajaan yang mewujudkan satu bentuk peraturan adalah kehidupan liar yang membolehkan sesiapa sahaja merompak, mencuri bahkan membunuh untuk kepentingan diri sendiri. Apa yang dikatakan Hobbes kehidupan tanpa peraturan atau kehidupan liar yang disebut sebagai ‘state of nature’ ini adalah kehidupan manusia yang ‘terasing, miskin, buruk, kasar dan pendek’. Maka Hobbes menyatakan bahawa kewujudan sebuah kerajaan itu tidak ada tujuan yang lain melainkan untuk menjaga keselamatan golongan yang lemah, melindungi mereka daripada serangan atau penindasan daripada golongan yang kuat atau besar. Hobbes menamakan kerajaan kuat yang menjadi pelindung ini sebagai Leviathan sempena nama raksasa laut yang disebut dalam kitab-kitab lama. Hobbes menyatakan bahawa kerajaan yang kuat untuk melindungi rakyat ini boleh wujud dengan syarat rakyat memberi sepenuh kesetiaan kepada kerajaan. Hobbes menyatakan;
“Confer all their power and strength upon one man, or upon one assembly of men, that may reduce all their wills, by plurality of voices, unto one will.”
Dengan itu sebuah kerajaan adalah suara keseluruhan rakyat yang digabung dan disatukan demi kepentingan rakyat bersama. Dalam konteks di Malaysia konsep suara rakyat ini menjadi suatu hal yang sangat dibanggakan apabila rakyat kini tahu menyatukan suara mereka dan menunjukkan apa itu ‘power to will’.
Pilihanraya Umum telah berakhir, dan rakyat telah membuat pilihan secara demokratik iaitu menyatakan sebulat suara tentang harapan dan keinginan mereka terhadap kerajaan. Maka sekarang adalah waktu untuk kerajaan atau mana-mana pihak yang telah dipilih secara majoriti oleh rakyat untuk bekerja. Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor adalah cabaran kepada Barisan Alternatif (BA) untuk memperlihatkan kepada rakyat bagaimana mereka menjaga kepentingan rakyat. Kelantan juga, sekali lagi menunjukkan bahawa rakyat Kelantan masih menyakini kepimpinan PAS. Mereka kini adalah kerajaan yang harus bertindak dan berfungsi sebagai ‘raksasa’ perkasa yang menjaga keselamatan dan kepentingan rakyat.
Dalam pada itu Barisan Nasional (BN) yang masih mengusai kerajaan Persekutuan harus belajar daripada natijah yang diterima mereka akibat tidak menjaga dan melindungi kepentingan rakyat. BN harus menyedari bahawa tindakan mereka banyak menekan kehidupan rakyat dengan kenaikan harga petrol dan barang keperluan tetapi pada masa yang sama memberi kemewahan kepada diri dan handai taulan mereka telah menimbulkan perasaan jelek rakyat kepada mereka. Tidak kira apa alasannya tetapi mereka harus menyedari bahawa rakyat kini melihat mereka bukan lagi ‘raksasa baik’ yang melindungi rakyat tetapi sebaliknya ‘raksasa jahat’ yang memakan rakyat.
Persepsi untuk melihat raksasa baik dan raksasa jahat ini mungkin dapat dikutip dari dunia kanak-kanak yang memberikan persepsi mereka secara langsung terhadap apa yang dilihat dan didengar oleh mereka. Raksasa yang menganiyai ‘yang lemah’ akan dilihat oleh kanak-kanak ini sebagai raksasa jahat, sementara raksasa yang membantu ‘yang lemah’ akan dilihat sebagai raksasa baik. Begitu juga dalam kehidupan rakyat masa ini. Rakyat umum akan memberikan persepsi yang mudah terhadap apa yang mereka lihat dan dengar, dan apatah lagi terhadap apa yang mereka rasai.
Iklim dunia sekarang telah mengalami banyak perubahan, maka begitu juga dengan iklim politik Malaysia. Dahulu sentimen perkauman iaitu perasaan curiga dan takut hak mereka dirampas oleh kaum yang lain, menjadi kekhuatiran utama rakyat. Maka soal ketidakadilan, dan sebagainya oleh kerajaan yang dipilih mereka diletakkan sebagai perkara kedua, asalkan bagi mereka hak bangsa itu terpelihara. Tetapi lama kelamaan rakyat menyedari bahawa mereka telah dipergunakan oleh pihak yang dipilih mereka untuk memelihara bangsa ini untuk kepentingan diri sendiri, dan mengabaikan keadilan, keselamatan dan kemakmuran kepada rakyat. Maka persepsi untuk memelihara bangsa dan kaum dalam masyarakat majmuk di Malaysia itu disedari oleh rakyat bahawasanya lebih banyak diselewengkan untuk memelihara kepentingan pihak yang berkuasa itu.
Dengan itu rakyat mencuba untuk melihat bagaimanakah rupanya jika mereka meletakkan bahawa kepentingan untuk mendapat keadilan, keselamatan dan kemakmuran untuk semua itu diletakkan pada tempat paling utama. Rupa yang mereka lihat ialah setiap bangsa yang ada di Malaysia ini pada hakikatnya adalah lebih terpelihara. Maka konsep kerajaan yang selama ini dilihat sebagai banyak raksasa untuk memelihara masing-masing kaum sudah bertukar menjadi ancaman kepada kesejahteraan rakyat. Maka rakyat kembali untuk mewujudkan hanya satu raksasa yang memelihara semua kepentingan rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.
Sebenarnya konsep tentang pemeliharaan hak untuk semua ini telah lama wujud di dalam Islam sebelum Hobbes menemukan raksasa Leviathannya lagi. Islam hadir untuk memecahkan tembok perkauman puak-puak Arab jahilliyah. Lantaran itu dalam Islam, hak untuk seorang hamba Habsyi yang bernama Bilal bin Rabah adalah sama dengan hak seorang bangsawan Quraisy yang bernama Muhammad Bin Abdullah. Rasulullah tidak pernah membezakan manusia mengikut bangsa dan keturunan, bahkan baginda memberikan hak perlindungan yang sama terhadap orang bukan Islam dalam pemerintahan baginda. Islam tidak memerlukan raksasa untuk menjaga kepentingan mana-mana kaum, sebaliknya Islam meletakkan hak Allah s.w.t terhadap semua manusia sebagai asas untuk menerima apa pun bentuk dan sifat manusia di atas muka bumi ini. Hak ini ialah hak untuk berlaku adil kepada semua manusia.
Apabila Malaysia merdeka, sistem yang diberikan oleh British adalah sistem banyak raksasa untuk menjaga kepentingan masing-masing kaum. Maka sistem ini adalah satu manifestasi kepada ketidakmerdekaan Malaysia untuk berdiri sebagai sebuah kerajaan yang tulen dalam ertikata mempunyai sebuah kesatupaduan masyarakat. Masyarakat dipecah-pecahkan mengikut kaum dan dengan itu sentimen primitif perkauman dapat dijadikan jalan keluar untuk rakyat melepaskan rasa tidak puas hati mereka terhadap kehidupan yang dihumbankan kepada mereka. Bagaimanakah sebuah negara itu dapat wujud dalam ertikata yang sebenarnya apabila masing-masing bangsa masih berada dalam wilayah autonomi masing-masing.
Kita mungkin tidak dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang hilang sama sekali sentimen perkaumannya tetapi apa yang penting untuk diwujudkan dan menjadi prinsip utama tujuan serta matlamat kerajaan ialah keselamatan dan perlindungan kepada golongan rakyat bawahan, golongan miskin dan golongan yang lemah. Jika prinsip memberi keutamaan kepada golongan yang lemah diletakkan sebagai asas pemerintahan, percayalah sebuah negara yang adil tanpa sentimen itu akan berdiri.
Mingguan Wasilah, 06-12 April 2008
Thursday, April 10, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)