PERTEMUAN PENYAIR NUSANTARA KE-3
NUSANTARA POETRY GATHERING 2009
PENGENALAN
PENA menganjurkan Pertemuan Penyair Nusantara ke-3 (PPN3) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).
Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) ini bermula di Medan pada tahun 2007 dengan nama Pesta Penyair Nusantara sebagai usaha untuk menghimpunkan penyair dari rantau Asia Tenggara khususnya, dan dari seluruh dunia umumnya. Acara ini diasaskan oleh badan budaya bukan kerajaan, iaitu komuniti penyair di Indonesia dan kemudian berkembang dengan disertai oleh komuniti sastera dan budaya dari Malaysia dan Brunei.
Gabungan komuniti penyair dari Indonesia, Malaysia dan Brunei ini akhirnya telah menubuhkan Panitia Rasmi Pesta Penyair Nusantara. Persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat di Medan adalah untuk mengadakan acara ini pada setiap tahun secara bergiliran. Bermula di Medan, Indonesia dengan The First Medan Poetry Gathering 2007 pada 25-29 Mei 2007, ia kemudian dilanjutkan dengan Pesta Penyair Nusantara Kedua (PPN2) (The 2nd Kediri Poetry Gathering) pada 29 Jun - 3 Julai 2008 di Kota Kediri, Indonesia. Pada tahun 2009, PENA telah dipilih untuk menjadi tuan rumah dengan nama Pertemuan Penyair Nusantara ke-3 (PPN3).
TEMA
PUISI SUARA KEMANUSIAAN
KONSEP
Menggabungkan seni dan fikiran kemanusiaan melalui sesi forum, dialog, seminar dan persidangan selain acara pendeklamasian puisi dan persembahan kebudayaan.
MATLAMAT
1. Menggerakkan sastera khususnya dalam kelompok generasi muda.
2. Mempererat hubungan antara sasterawan tanpa mengira sempadan.
3. Menjadikan budaya sebagai medium pembina nilai kemanusiaan dan kebersamaan.
4. Mengeratkan hubungan serantau khususnya dalam bidang kebudayaan.
TARIKH
20-22 November 2009
TEMPAT
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur & Rumah PENA
JADUAL ATUR CARA
Hari PERTAMA (Jumaat 20 November 2009)
PAGI
12.00 tgh – 2.30 ptg : Pendaftaran Peserta
2.30 tgh – 4.30 ptg : Forum Penyair: Puisi Mancanegara
(Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand)
MALAM
8.45 mlm – 11.00 mlm: ACARA PERASMIAN
Ucapan Sambutan
Ucapan dan Perasmian
Perasmian buku puisi Suara Kemanusiaan Nusantara
Penyampaian Cenderahati kepada:
(Para Wakil Penaja, Perwakilan Negara Peserta)
Jamuan Makan Malam & Persembahan Baca Puisi
Hari KEDUA (Sabtu 21 November 2009)
PAGI
8.30 pagi–10.30 pagi : Ucap Utama
10.30 pagi : Jamuan Teh
10.45 pagi–1.15 tgh : Pembentangan Kertas Kerja:
(Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura,Thailand)
1.00 tgh –2.30 ptg : Makan Tengah Hari
2.30 ptg – 6.30 ptg : BACA PUISI DI MENARA KUALA LUMPUR
6.30 ptg : Jamuan teh dan makan malam (di Rumah PENA)
MALAM : PERSEMBAHAN & BACA PUISI DI RUMAH PENA
Hari KETIGA (Ahad 22 November 2009)
PAGI
8.30 pagi–10.30 pagi : Persidangan Penyair:
Kerjasama Penyair dalam Mengataskan Suara Kemanusiaan
10.30 pagi : Jamuan Teh
10.45 pagi–12.30 tgh : Majlis Penutup:
12.30 tgh – 1.30 tgh : Makan Tengah hari
1.30 tgh : PESERTA BERTOLAK PULANG
Yuran penyertaan : RM20.00 (dibayar pada masa pendaftaran)
Penginapan dan pengangkutan peserta Dalam Negara diuruskan sendiri;
Hotel berdekatan:
Hotel Mirama : 03-2148 9122
Hotel Mandarain Court: 03-2273 9933
Peserta Luar Negara termasuk Sabah dan Sarawak disediakan penginapan di Rumah PUSPANITA
Nama :
Alamat:
No KP:
No Tel/Emel:
Wednesday, November 11, 2009
Tuesday, November 10, 2009
ALFATIHAH UNTUK AYAHANDA RAHIMIDIN ZAHARI
Al-Fatihah untuk ayahanda Rahimidin Zahari yang kembali ke Rahmatullah pada pagi ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan roh orang-orang yang soleh.
Ya Allah ampunilah dirinya dan cucurilah rahmat ke atasnya anugerahkan afiat dan maafkan dia, muliakan kedatangannya dan luaskan kuburnya, bersihkan dia dengan air rahmat-Mu dan bersihkan dia dari kesalahan seperti bersihnya kain putih dari terkena kekotoran, kurniakan kedudukan yang lebih baik dari yang ada dan masukkanlah dia ke dalam syurga dan lindungi dia dari seksa dan fitnah kubur dan seksa nereka. Amin.
Ya Allah ampunilah dirinya dan cucurilah rahmat ke atasnya anugerahkan afiat dan maafkan dia, muliakan kedatangannya dan luaskan kuburnya, bersihkan dia dengan air rahmat-Mu dan bersihkan dia dari kesalahan seperti bersihnya kain putih dari terkena kekotoran, kurniakan kedudukan yang lebih baik dari yang ada dan masukkanlah dia ke dalam syurga dan lindungi dia dari seksa dan fitnah kubur dan seksa nereka. Amin.
Saturday, November 7, 2009
AKU PENYAIR
Sebungkus Kenangan yang membakar semangat saya luar dan dalam untuk menjadi penyair; meninggalkan Sekepal Tanah, Sebenua Suluk, Setanah Nurani, Seekspresi, si al falsifusi dan semua la yang sedang tandatangan borang pencen penyair.
Saya terhenti lama menulis blog kerana sibuk menguruskan Pertemuan Penyair Nusantara di Kuala Lumpur pada 20-22 November 2009. Acara ini diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Ia merupakan anjuran PENA dengan kerjasama DBP, JKKN, ITNM. Para penyair, penulis, peminat sastera dijemput untuk menyertainya. Yuran RM20. Makan minum disediakan tetapi pengangkutan dan penginapan tanggungan sendiri. Ramai penyair dari Indonesia, Thailand, Singapura, dan Brunei telah mengesahkan kehadiran. Maklumat lanjut boleh ditanya terus ke emel saya smzakir90@gmail.com
Apa yang menarik untuk saya menulis di blog hari ini ialah tentang beberapa orang penyair hebat teman-teman baik saya sedang mengisytiharkan untuk 'Berhenti Jadi Penyair'. Penyair Sekepal Tanah, Benua Suluk dan saya sedang menunggu penyair Tanah Nurani, si Ekspresi (yang tak ekpres) dan al Falsifusi pula mengisytiharkannya. Tentunya saya kejam apabila menyatakan pengisytiharan itu sebaliknya memberikan dorongan untuk saya tiba-tiba menjadi penyair (seorang penyair nostalgia kg jasa juga sedang bersemangat seperti saya untuk menggantikan penyair yang berhenti). Saya sungguh bersemangat untuk menjadi penyair sekarang.
Apatah lagi saya menerima sebuah buku puisi yang terselit kad nama, semasa mengumpulkan puisi-puisi luar negara - membakar semangat saya untuk menjadi penyair. Maka saya dan penyair kg jasa tadi bangun dengan semangat membara untuk jadi penyair ketika para penyair sedang menggantungkan pena mereka. Hidup penyair! (kami berdua je la, korang berhenti la).
Saya pun menulis puisi demi 'Sebungkus Kenangan' yang membakar saya luar dan dalam untuk menjadi penyair. Betul-betul membakar... (he he)
Puisimu
aku jatuh cinta
menatap puisimu
terumbar foto terbau
melati rambutmu
mungkinkah aku
menyelak rambutmu
butir angin terbias
matahari yang masuk
dari jendela atau pintu
puisimu yang menderu
suaramu yang jauh
hanyut dari matahari kata
gelincir di bumi makna
tanpa aku tahu
bahawa kau adalah segumam
rindu yang mencicip di telingaku
oleh kenangan putusputus
di tangan sejarah terpisah laut
kaukah yang menghantarkan aku
puisi terbau melati
mungkin sekali lagi
ingin aku bertanya
kaukah yang menghantar
puisi terbau melati
atau sekali lagi aku bertanya
ataukah aku yang hanya
terbau melati
dan belati
menusuk
dadaku mati
S.M. Zakir
Rumah PENA
21 Oktober 2009
Tuesday, October 20, 2009
TAHNIAH ANWAR RIDHWAN
Ini kulit edisi kedua sebenarnya.
gambar asalnya putih dengan tulisan diemboss. jadi jika lihat dari jauh kulitnya semua putih kecuali nama S.M. Zakir (kononnya macam kulit band Metallica waktu itu, yang semua hitam)
Sekalung tahniah kepada Dato' Dr. Anwar Ridhwan yang dianugerahkan Anugerah Sasterawan Negara ke-10 oleh Yang Dipertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada malam tadi 20 Oktober 2009 di Hotel Palace of the Golden Horses.
Saya mengenal karya Anwar Ridhwan sejak usia belasan tahun. Saya lebih memesrai cerpen-cerpen beliau berbanding novel dan drama. Anwar Ridhwan adalah penulis yang bagi saya, 'kemas dan bersih' karya-karyanya. Secara peribadi saya ikut terpengaruh dengan kekemasan karya beliau. Inilah identiti Anwar Ridhwan, karya-karyanya sangat kemas dan bersih sehingga satu ketika saya pernah menyuarakan kepada beliau (dalam satu wawancara) bahawa tulisan beliau terlalu kemas dan bersih untuk diangkat ke panggung teater. Anwar Ridhwan menjawab bahawa itulah dirinya. Saya akur dan akhirnya mengerti bahawa setiap seniman besar harus sentiasa menjadi dirinya sendiri, walau dalam apa keadaan pun.
Sehingga sekarang saya melihat Anwar Ridhwan yang tidak berubah, tekal dan teguh sebagai dirinya sendiri. Peribadi Anwar Ridhwan juga sangat menarik; pendiam, serius, kemas, rapi tetapi mesra dan merendah diri. Suatu ketika saya ingin mendapatkan tulisan beliau untuk kata pengantar kumpulan cerpen saya 'Sekuntum Kembang di Sayap Jibril'. Saya memilih dan menetapkan bahawa Anwar Ridhwan adalah tokoh yang harus menulis kata pengantarnya. Tidak dapat tidak mesti Anwar Ridhwan. Tetapi masa itu saya hanya penulis gelandangan. Bagaimana saya harus mendapatkan kata pengantar daripada seorang tokoh penulis yang juga menjawat jawatan tinggi sebagai pengarah penerbitan di DBP. Saya tidak pernah berbual dengan beliau sebelum ini.
Saya memberanikan diri untuk bertemu beliau di pejabat. Hairannya saya dibenarkan masuk tanpa temujanji, dan terus beliau menyanggupi untuk menuliskan kata pengantarnya. Saya terkedu. Bahkan ketika kata pengantar itu saya terima, ia adalah tulisan yang cukup serius dan bersungguh-sungguh. Saya menerbitkan kumpulan cerpen itu sendiri, dengan dana yang senak-senak. Saya juga tidak mampu untuk membayar honorarium pada Anwar Ridhwan yang telah bersungguh-sungguh menuliskan kata pengantar itu. Ia membuatkan saya terhutang budi yang amat besar sehingga ke hari ini. Saya ketika itu sesungguhnya tidak menjangka bahawa Anwar Ridhwan akan melakukan sesuatu yang begitu besar kepada saya pada waktu itu. Seorang tokoh penulis yang cukup saya kagumi.
Sehingga hari ini Sekuntum Kembang di Sayap Jibril sangat istimewa kepada saya, bukan kerana cerpen-cerpennya, bukan kerana memenangi Anugerah Sastera Kelantan tetapi kerana kata pengantarnya ditulis oleh Anwar Ridhwan!
Thursday, October 15, 2009
TUBUH LONGLAI SUKMA MELAYANG
Tuan Haji Shamsudin baru pulang Bandung, saya yang iri tak dapat pergi terus jawab bila Rahimidin telefon tanya 'bila balik bandung?', bukan ana sheikh tuan aji kita. Sekarang ni tuan aji pergi bandung sorang-sorang saja, tak ajak kawan dah. Heh heh rahimidin ketawa, dan seperti biasa memberi tugas lagi kepada saya untuk menulis. Tentunya saya yang tak ada kerja ni akan menulisnya heh heh saya pula yang ketawa.
Sebenarnya saya baru habis menulis artikel kajian perbandingan novel Bilangan Fu karya Ayu Utami dengan novel Bedar Sukma Bisu Faisal Tehrani. Tidak tahu betapa leganya kepala saya dapat menghabiskan tulisan. Itupun kes janji dengan editor dan sikap sambar saja apa orang suruh buat tanpa apa-apa gerakan di otak untuk memikirkannya. Masa buat janji selalu fikir dengan kepala lutut saja. Ditambah dengan promosi di blog kononnya bagus sangat dapat buku itu dan ini untuk tulis artikel ini maka saya pun bertapa lah untuk menyiapkannya.
Rupanya bila dah bertapa dan menulis artikel tu hampir boleh saya kembangkan menjadi sebuah buku. Ini en saleeh marah, tulis panjang-panjang boleh suruh belajar malas. maaf, saya memang malas dan tak ada kelayakan untuk jadi orang akademik. jadi pandemik mungkin boleh. Pandemik yang bawa sindrom bandung keh keh. Tapi tubuh saya memang longlai dan sukma saya melayang untuk menyiapkan tulisan yang berat ini (saya lah rasa berat, orang lain biasa saja).
Jadi nak tunjuk bahawa saya benar2 dah siap tulis, maka saya cuplik sikit di sini, (sebelum itu saya dah minta maaf kepada Shamsudin, Rahimidin dan Lutfi kerana 'cinta' saya kepada Ayu Utami ini heh heh);
Hubungan antara hukum bilangan 12 dengan doktrin penolakan terhadap monotheisme, dikaitkan dengan angka selepas 12 iaitu 13. Angka 13 dalam kalendar Jawa kuno merupakan penutup kepada siklus 12. Tiga belas adalah kosong di mana sesuatu menjadi satu kembali. Di sini Suhubudi menamainya ’hu’. ’Hu’ bagi Yuda juga adalah ’fu’, iaitu bilangan sunyi. Nol atau kosong adalah konsep purba yang dikenali di India sebagai tanda sunya, dalam bahasa sanskrit adalah sunyat, sunyata iaitu sunyi, kosong, tiada. Tanda shunya adalah tanda kekosongan. Inti doktrin kosong yang disebut sebagai doktrin bilangan fu atau hu, atau bilangan ketiga belas setelah tamatnya kitaran bilangan 12 bermakna sesuatu itu telah kembali kepada asalnya kembali. Fu atau hu adalah di mana satu dan nol (kosong) menjadi padu. Ia bukan bilangan matematis tetapi metaforis. Ia bukan bilangan rasional tetapi spritual. Sedangkan bilangan satu yang mewakili monotheisme di mana Tuhan adalah satu dianggap sebagai bilangan yang berisi paksaan atau bernuansa koersif. Satu ditambah satu, satu (1+1=1). Satu didarab satu, satu (1x1=1). Maka monotheisme (diwakili antagonis Farisi @ Kupukupu) dikatakan beriman dengan cara sistem yang disanggah oleh konsep Hu. Dalam konsep Hu, monotheisme berasas bilangan satu dikatakan mengacaukan yang metaforis dengan yang matematik, yang spiritual dengan yang rasional. Jika tuhan adalah satu, maka tidak boleh menyembah tuhan yang lain, bahkan memberi penghormatan kepada bumi dengan cara lain juga tidak boleh. Penyembahan dan penghormatan hanya kepada langit. Ia akhirnya dikatakan tidak mampu berkompromi, berbaik dengan yang lain, dan sering memaksakan kekuasaan. Berbeza dengan hukum kosong, yang merupakan jeda untuk mengembalikan keharmonian, berbaik-baik, dan sering mempercayai dialog dan pluralisme. Maka dikatakan bahawa bilangan nol (kosong) itu lebih awal dari bilangan satu. Dan tuhan bagi bilangan nol wujud lebih awal daripada tuhan bagi bilangan satu. Bilangan nol mempunyai tuhan yang bersifat harmonis, sementara bilangan satu mempunyai tuhan yang bersifat koersif. Di sini doktrin penolakan terhadap agama atau monotheisme dikembangkan.
Ini pula tentang perbandingan dalam Bedar Sukma Bisu.
Malakah ialah suatu kekuatan yang amat bermakna dalam pembangunan intelektual, rohani, moral dan keperibadian insan. Maka malakah itulah yang ditanamkan oleh Ben Qurtubi kepada ’ahli keluarganya’ (dalam konteks ummah ahli keluarga juga adalah umat Islam seluruhnya) supaya mereka memiliki keahlian, kemahiran atau kepakaran dalam satu-satu ilmu pengetahuan yang dikuasai secara dasarnya, sehingga setiap masalah yang timbul dalam lingkungan ilmu tersebut kelak, sudah menjadi biasa dan mudah buat mereka, justeru untuk mendalami dan mengembangkan ilmu pengetahuan tersebut juga bukanlah suatu masalah.
Konsep kapal atau perahu juga mempunyai lambang yang khusus dalam ilmu tasawuf. Hamzah Fansuri menggunakan alegori perahu dalam menyampaikan pengajaran dari buku tasawwuf Zinat al-Wahidin, iaitu peringkat perjalanan tasawwuf bagi orang awam yang melalui empat peringkat iaitu syariat, tarekat, hakikat dan makrifat. Keempat-empat peringkat ini akan membawa insan kepada Islam, ihsan dan iman yang utuh. Hamzah Fansuri meletakkan keempat prinsip utuh Islam ini sebagai sebuah perahu yang jika utuh binaannya akan dapat mengharungi lautan dan melepasi segala rintangan – seterusnya membina Islam yang gemilang. Hamzah Fansuri mengibaratkan binaan perahu iaitu lunas perahu adalah syariat; papan perahu adalah tarekat; isi perahu adalah hakikat; dan layar perahu adalah makrifat. Maka konsep Bedar Sukma tentang kapal yang mengharungi lautan dan melestarikan nilai-nilai Islam dalam memperkasakan ketamadunan Islam menepati konsep perahu dalam aliran tasawwuf yang dibina oleh syariat, tarekat, hakikat dan makrifat dalam mengutuhkan prinsip Islam yang syumul. Kekuatan Islam yang dibina oleh empat prinsip asas tersebut akan melahirkan malakah yang mampu mengharungi cabaran untuk memperjuangkan tamadun Islam walau di mana-mana pun di muka bumi ini.
Cukuplah nanti tak tersiar pula artikel ni dalam jurnal, ditolak sebab dah disiarkan di tempat lain. miss pulala sorru, nak bayar hutang kawan ambil tiket pergi bandung duit hono ni bang.
Tuesday, October 6, 2009
TUBUH DAN SUKMA
Tadi (malam) saya kebetulan pergi makan char keuw teuw di luar. Maka tertayanglah perlawanan bolasepak Malaysia lawan Laos. Saya pun lihatlah dengan penuh semangat. Sehingga 60 min perlawanan masih seri 0-0. Malaysia serang hebat juga. Tapi masuk minit 70, Malaysia seperti kata novel shit Shahnon Ahmad mula main macam p...... Lembik, penakut, tak ada semangat dan patah hati. Saya tunggu Laos sumbat gol untuk angkat kaki. Bila Laos sumbat gol pada minit ke 80 lebih kurang saya pun angkat kaki. Lawannya Laos bukannya lawan Brazil atau Jerman. Laos dari segi kemudahan sukan 10 kali lebih mundur dari kemudahan bola sepak Malaysia. Tetapi pasukan bola sepak Malaysia yang penuh glamor di majalah mandi kolam renang dengan artis, pergi disko, dapat beribu-ribu sebulan main macam orang hisap dadah. Hanyut, khayal. Saya betul2 meluat dengan pasukan bola sepak Malaysia. Saya cukup patriotik untuk menyokong semua pasukan Malaysia. Tetapi patriotik saya patah dengan pasukan bola sepak Malaysia. Saya melihat pasukan yang berjiwa kerdil dan cepat mengalah di situ.
Apa yang dilihat daripada permainan pasukan bola sepak Malaysia ialah mereka bermain dengan tubuh berisi jiwa yang kosong. Saiz tubuh badan sebenarnya bukan pertimbangan kejayaan. Korea telah membuktikannya. Dari dahulu lagi, Pele, Maradona, Roberto Baggio, dan ramai lagi bukannya besar, sama saiz sahaja dengan pemain Malaysia.
Pertama, tubuh yang cergas akan menjadi kenderaan kepada kejayaan. Kedua, sukma yang kuat akan menentukan tubuh bergerak ke arah kejayaan. Di sini dapat dilihat pemain-pemain Malaysia alias orang-orang Melayu itu mempunyai sukma yang lemah. Jiwa mereka lembik dan cepat mengalah. Tidak mampu berjuang dan menerima tekanan. Semangat mereka lalang, goyah hatta ditiup angin yang paling perlahan. Maka tubuh si Melayu itu kebanyakannya berisi sukma yang kosong.
Sukma, selain pancaindera, imaginasi-kreativiti, daya ingat, daya gerak mempunyai satu unsur yang paling penting iaitu intelegensia. Intelegensia menentukan pembentukan sukma. intelegensia yang tinggi akan membentuk sukma yang tinggi dan kuat. Ia melahirkan semangat, kreativiti yang tinggi, imaginasi yang unik serta daya-daya yang bertenaga. Sebaliknya intelegensia yang lemah hanya melahirkan jiwa kerdil, putus asa, lembik, mengalah, dan tiada ketetapan pendirian.
Suasana budaya menentukan tahap intelegensia masyarakat. Masyarakat Melayu secara umumnya mempunyai intelegensia yang rendah berdasarkan budaya hidup mereka yang sukakan hiburan, tidak membaca, bermentaliti subsidi, sukakan suasana yang tidak memerlukan mereka berfikir serta tidak suka mengambil risiko dan menerima cabaran. Orang Melayu daripada pandangan bangsa lain disifatkan lemah dari segi genetik. Saya tidak dapat menerima faham eugenik dan darwinisme sosial ini. Tetapi Ungku Aziz juga pernah menyebut tentang pemakanan orang Melayu. Maka sedikit sebanyak kesan biologi ini memainkan peranan juga. Tetapi bagi saya, faktor paling besar ialah sikap (bukan sifat) orang Melayu dalam membentuk suasana persekitaran mereka. Diringkaskan kata, jika filem Jin Notti dan Momok the Movie mengutip sehingga jutaan ringgit dalam masa beberapa hari, tahulah kita di mana benchmark tahap pemikiran orang Melayu. Begitu juga bahan bacaan orang Melayu, majalah artis, novel picisan, tabloid sensasi dan sensual, dan komik manga. Bukti lagi? Jom Heboh....
Maka tidak hairanlah mengapa pasukan bola sepak Malaysia yang dibarisi kebanyakannya pemain Melayu itu leweh dan lembik. Sukma mereka rendah, kerana mereka dibentuk oleh persekitaran yang rendah tahap intelegensianya. Cintakan suasana berilmu tidak menjadi budaya orang Melayu.
Teringat iklan kempen Mari Membaca. anaknya di belakang membaca komik Ben 10. Kempen Mari Membaca ternyata tidak difahami oleh penganjurnya sendiri.
Apa yang dilihat daripada permainan pasukan bola sepak Malaysia ialah mereka bermain dengan tubuh berisi jiwa yang kosong. Saiz tubuh badan sebenarnya bukan pertimbangan kejayaan. Korea telah membuktikannya. Dari dahulu lagi, Pele, Maradona, Roberto Baggio, dan ramai lagi bukannya besar, sama saiz sahaja dengan pemain Malaysia.
Pertama, tubuh yang cergas akan menjadi kenderaan kepada kejayaan. Kedua, sukma yang kuat akan menentukan tubuh bergerak ke arah kejayaan. Di sini dapat dilihat pemain-pemain Malaysia alias orang-orang Melayu itu mempunyai sukma yang lemah. Jiwa mereka lembik dan cepat mengalah. Tidak mampu berjuang dan menerima tekanan. Semangat mereka lalang, goyah hatta ditiup angin yang paling perlahan. Maka tubuh si Melayu itu kebanyakannya berisi sukma yang kosong.
Sukma, selain pancaindera, imaginasi-kreativiti, daya ingat, daya gerak mempunyai satu unsur yang paling penting iaitu intelegensia. Intelegensia menentukan pembentukan sukma. intelegensia yang tinggi akan membentuk sukma yang tinggi dan kuat. Ia melahirkan semangat, kreativiti yang tinggi, imaginasi yang unik serta daya-daya yang bertenaga. Sebaliknya intelegensia yang lemah hanya melahirkan jiwa kerdil, putus asa, lembik, mengalah, dan tiada ketetapan pendirian.
Suasana budaya menentukan tahap intelegensia masyarakat. Masyarakat Melayu secara umumnya mempunyai intelegensia yang rendah berdasarkan budaya hidup mereka yang sukakan hiburan, tidak membaca, bermentaliti subsidi, sukakan suasana yang tidak memerlukan mereka berfikir serta tidak suka mengambil risiko dan menerima cabaran. Orang Melayu daripada pandangan bangsa lain disifatkan lemah dari segi genetik. Saya tidak dapat menerima faham eugenik dan darwinisme sosial ini. Tetapi Ungku Aziz juga pernah menyebut tentang pemakanan orang Melayu. Maka sedikit sebanyak kesan biologi ini memainkan peranan juga. Tetapi bagi saya, faktor paling besar ialah sikap (bukan sifat) orang Melayu dalam membentuk suasana persekitaran mereka. Diringkaskan kata, jika filem Jin Notti dan Momok the Movie mengutip sehingga jutaan ringgit dalam masa beberapa hari, tahulah kita di mana benchmark tahap pemikiran orang Melayu. Begitu juga bahan bacaan orang Melayu, majalah artis, novel picisan, tabloid sensasi dan sensual, dan komik manga. Bukti lagi? Jom Heboh....
Maka tidak hairanlah mengapa pasukan bola sepak Malaysia yang dibarisi kebanyakannya pemain Melayu itu leweh dan lembik. Sukma mereka rendah, kerana mereka dibentuk oleh persekitaran yang rendah tahap intelegensianya. Cintakan suasana berilmu tidak menjadi budaya orang Melayu.
Teringat iklan kempen Mari Membaca. anaknya di belakang membaca komik Ben 10. Kempen Mari Membaca ternyata tidak difahami oleh penganjurnya sendiri.
Sunday, October 4, 2009
Buku Robert Ellwood ini banyak membanu dalam memahami fikiran di sebalik mitos.
Saya telah berjanji dengan seorang editor yang baik hati untuk menghantar tulisan esei dalam tajuk sastera bandingan. Saya memilih untuk menulis tajuk, "Mitos dan Agama dalam Bilangan Fu dan Bedar Sukma Bisu". Di sini saya memperbandingkan antara karya Ayu Utami dan Faisal Tehrani. Ada sisi yang menarik dalam kedua-dua karya ini. Bilangan Fu menggunakan mitos untuk menerapkan idealogi spiritual kritisnya atau dalam pemahaman saya ialah atheis-animisme. Sementara Faisal melahirkan mitos moden dalam konteks hero myth bagi menerapkan nilai dan prinsip Islam. Satu menolak agama dan satu memperjuang agama. Ia adalah sisi menarik dewasa ini dengan suasana manusia mengkritik agama atas dasar moderat dan sebagainya.
Tetapi ternyata tajuk ini amat berat. Saya membaca bahan-bahannya dan kemudian mula menulis pada bulan puasa lalu. Sehingga kini kepala saya berputar-putar untuk menghabiskannya. Saya tidak mahu menyesakkan keadaan dengan mencari simpati dan melahirkan mitos baru dengan menceritakan himpitan saya yang terkejar mengejar beban tanggungjawab lain. Tetapi ternyata ia memerlukan masa yang panjang untuk menyelesaikannya. Tentunya saya melakukan kerja pening ini bukan untuk kredit akademik, kerana ruang dan tempat saya bukan di situ. Tetapi ada keseronokan yang gila dalam diri dan kepala saya untuk menyumbat beban fikiran berat dalam kepala saya yang dungu ini. Ia memberikan kepuasan batiniah yang cukup melegakan, sekaligus menolak bahawa dorongan libido adalah faktor utama penggerak manusia. di sini libido ternyata tidak memainkan peranan , tetapi saya digerakkan oleh kemahuan akaliah dan kepuasan lahir dari katarsis di kepala dan hati, bukan katarsis di perut dan bawah perut.
Saya sebenarnya merehatkan otak yang memberat di kepala saya dengan merapu sekejap di blog ini. Sekejap lagi saya akan menyambung kegilaan yang digerakkan oleh kemahuan akaliah ini dan mencapai klimaks kepuasannya apabila pemikiran dapat disalurkan. Semakin saya menelusur tentang mitos semakin saya menyalahkan libido freud dan evolusi darwin. ada yang betul dalam determinisme moden itu, tetapi banyak skeptisme yang melompong di sana sini. Sebenarnya bagi saya, manusia yang menentukan bahawa libido atau gnosis yang menggerakkannya. Manusia yang menentukan dirinya mahu digerakkan oleh nafsu atau akal. Ia adalah Decartes dari mata yang terbalik.
Saya telah melangkaui tarikh yang dijanjikan. Sebulan telah melepasi deadline, saya tidak tahu sama ada ia masih dapat disiarkan atau tidak. Tetapi yang pasti saya terus menulisnya untuk memenuhi kepuasan gnosis-intelectus yang misteri itu.
Subscribe to:
Posts (Atom)