Aku mungkin sang kelasi yang ditunggu oleh seorang wanita – seperti dilukis oleh si miskin Jack Dawson ketika berkelana ke Paris. Lukisan seorang perempuan gempal memakai seluruh perhiasan yang dipunyainya, dengan menghias dirinya sedemikian rupa duduk setiap hari di bar menunggu kekasihnya yang tidak pernah datang. Perempuan yang setia menunggu sang kekasih yang tidak pernah kunjung datang. Perempuan yang tidak mempunyai apa-apa lagi selain cinta dan harapan yang tidak pernah kunjung padam. Aku melihat lukisan ini diunjukkan oleh si miskin Dawson kepada Rose DeWitt Bukater tunangan Cal Hockley di atas dek Titanic yang masyhur. Ia mendiamkan Rose yang melihat cinta daripada sejalur garis di bawah mata perempuan yang seluruh hidupnya adalah untuk sang kekasih yang tidak kunjung datang. Tetapi dia tetap percaya bahawa kekasihnya akan tetap datang ke sisinya. Maka dia menunggu dengan seluruh hidup dan dunianya diisi dengan penungguan cinta.
Aku melukisnya ketika di Paris, kata Jack Dawson kepada Rose sambil menunjuk kepada lukisan yang ditatap Rose. Ia mendiamkan Rose dan menimbulkan pertanyaan kepada Rose bagaimana si miskin Dawson ini boleh berkelana ke merata dunia sehingga menjejak ke Paris. Alamatku sekarang di bilik penumpang kelas tiga, kapal Titanic ini. Tetapi setelah kapal ini berlabuh aku perlu mencari alamat baruku, kata si kelana Dawson sambil tersenyum disambut ketawa para aristokrat di meja makan. Hidup adalah sebuah perjudian, dan kita harus memberi makna kepada kehidupan kita. Nah! Hockley kau sambut bolaku ini. Keangkuhanmu tidak akan mengundurkanku daripada cintaku kepada gadismu. Ayuh kita maknakan kehidupan kita. Ketika Titanic tenggelam dan seluruh keangkuhan manusia tenggelam bersamanya – cintaku hidup terapung di lautan dan terbang seperti camar.
Aku mungkin Burung Chicidodo yang dilakar Ayi Kwei Armah – ketika seorang lelaki dimarahi isterinya kerana menolak rasuah peniaga balak. Aku sudah bosan hidup begini. Aku suka kalau ada pemandu yang untuk membawa aku ke mana-mana yang aku mahu. Kau, suamiku menolak kekayaan yang datang kerana kejujuran dungumu. Kau lihat Estela, hidupnya senang, bersih... aku mahu hidup seperti Estela. Suaminya juga sepertimu, tetapi dia tidak pernah menolak kekayaan yang datang daripada peniaga-peniaga yang mahukan keistimewaan dengan segumpal wang di bawah meja. Sang lelaki lalu berkata kepada kepada isterinya, kau tidak tahu kebersihan yang begitu lebih kotor daripada lendir di bawah sampah. Sang isteri membalas kepada suaminya, kau seperti Burung Chicidodo yang sangat bencikan najis, tetapi makanannya ialah ulat yang membiak di jamban. Sang Lelaki terdiam. Dalam negara yang dipenuhi rasuah, pembenci rasuah juga hidup daripada najis-najis rasuah yang berakar dan membiak di mana-mana. Aku juga adalah Burung Chicidodo yang sangat bencikan najis tetapi makananku juga tiada pilihan lain kecuali ulat yang membiak di jamban-jamban najis.
Thursday, January 12, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment