Friday, February 17, 2012

20 CERITA TENTANG TUHAN

Semalam ribut menyerbu dari bukit. Turun menggulung seperti tenggiling yang jatuh dari cenuram. Tanah lembah yang menempatkan kampung dan para penduduk seperti ternganga menunggu dirempuh tanpa dapat melakukan apa-apa. Para penduduk resah dan cemas. Mereka melihat gelap ribut bergelumang di bukit. Bukan itu sahaja, malah mereka mendengar bunyi ngaumannya, bau petakanya. Tiada apa yang dapat mereka lakukan. Ketika itu terdengar suara melaung-laung. Ke masjid! Ke masjid! Mereka pun berpusu-pusu ke masjid yang terletak di tengah perkampungan itu. Di masjid telah ramai penduduk berkumpul. Imam, lebai dan Ketua Kampung telah juga telah berada di situ. Para penduduk diminta mengambil wuduk dan kemudian mengikut Imam untuk bersolat sunat memohon perlindungan daripada Allah yang Maha Kuasa. Mereka semua kemudian bersolat dengan penuh khusyuk. Bibir mereka bergetar. Hati mereka bergetar. Memohon perlindungan daripada Allah. Mereka bersujud. Lama dan berdoa. Setelah solat mereka mengikut Imam berdoa. Bibir mereka bergetar dengan zikir dan doa. Dinding masjid yang mengepung mereka seperti turut sama berdoa. Turut sama berzikir. Dan yang pastinya dinding itu mengepung seperti untuk melindungi mereka. Lama mereka begitu sehingga sebahagian daripada mereka sedar bahawa ribut telah hilang. Mereka berpusu-pusu keluar masjid, melihat bukit yang tadi menggulung hitam. Awan hitam yang melekat bersama ribut tadi telah hilang. Entah ke mana pergi bersama ribut yang entah ke mana juga perginya. Bukit kosong, tiada sebarang ribut lagi yang berhimpun di situ. Mereka bertakbir dan mengucap syukur atas kebesaran Allah yang masih sudi memberikan mereka perlindungan. Imam terjelepuk di sejadah, menangis mengenang keagungan dan kebesaran Allah.

Kiai Shamsudin mengajarkan bahawa Allah itu wujud dengan sendirinya. Tidak ada permulaan dan tidak ada kesudahan. Anak-anak duduk bersila tekun mendengar apa yang dikatakan oleh Kiai Shamsudin. Ada angin yang bersiur-siur di bumbung masjid. Bumbung yang melebar di bawah dan meruncing ke atas seperti perjalanan menuju ke arah hakikat ketuhanan yang abadi.

Semalam yang berakhir menjadikan penduduk kampung lebih akrab dengan masjid. Namun sejak dahulu masjid ialah pusat segala-galanya kepada penduduk kampung. Masjid ini ada sejak lama di kampung ini. Ia dikatakan wujud sejak ratusan tahun. Malah tapak asalnya dikatakan sebagai tapak masjid pertama setelah kedatangan Islam di alam Melayu hampir seribu tahun yang lalu. Malah lebih awal lagi, tapak masjid ini dikatakan tapak kuil purba Hindu-Buddha yang seusia dengan kuil yang ditemui di Lembah Bujang dan kuil Kerajaan Tabralingga di Ligor. Malah lagi dikatakan bahawa peradaban di kampung ini telah wujud sejak lima ribu tahun dahulu, lebih awal daripada peradaban Yunani di Eropah. Masjid ini adalah masjid kayu bertiang dua belas. Ia mempunyai bumbung panjang di ruang ibu, dan bumbung panjang yang sedikit kecil di dua ruang lain. Ruang ibu yang luas menjadi ruang sembahyang lelaki, sementara ruang tengah menjadi tempat sembahyang kaum ibu dan ruang belakang dijadikan tempat memasak serta menyimpan barangan dan makanan. Dalam pada itu terdapat serambi dan anjung yang dijadikan tempat sembahyang tambahan, tempat anak-anak mengaji al-Quran dan juga tempat musafir berteduh.

Masjid ini ialah masjid kayu bertiang dua belas. Ruangnya dalam suasana hari ini agak sederhana besar. Jika dilihat dari luar agak mustahil untuk menampung jemaah yang semakin ramai pada masa ini. Tetapi seramai manapun jemaah pada hari raya atau hari jumaat, ruang dalam masjid sentiasa cukup untuk menampung jemaah. Menurut kata orang-orang tua, bahagian-bahagian binaan masjid ini mempunyai persamaan dengan anggota tubuh badan manusia. Jika dilihat dari hadapan maka dapatlah dilihat persamaan begini; buah gutung yang berdiri di puncak rabung adalah kepala. Bahagian antara buah gutung dengan rabung ialah tengkuk. Kedua-dua sisi pemeles ialah kedua-dua lengan. Bahagian di antara dua sisi pemeles yang digelar tuban layar ialah dada. Bahagian tempat duduk antara alang dengan pelantaian ialah perut. Bahagian tempat duduk daripada rusuk atau lambung ialah pinggang. Bahagian pelantaian tempat duduk ialah punggung. Bahagian tiang dari alang sampai ke tanah ialah dua paha dan dua betis. Bahagian dua ibu tangga dan anak tangga ialah dua kaki. Akhir sekali ruang dalam masjid tempat jemaah bersolat dan beribadat ialah kalbu. Malah tiga bahagian ruang masjid itu sendiri diibaratkan kepada tiga peringkat kehidupan manusia iaitu lahir, hidup dan mati.

Kiai Shamsudin mengajarkan bahawa Allah itu qidam yakni sudah sedia ada, sebelum suatu yang ada dan adanya Allah adalah dengan tidak ada permulaan. Lawan qidam ialah huduth iaitu baharu. Anak-anak mengangguk-angguk memahami apa yang dikatakan oleh Kiai Shamsudin. Angin yang bermain-main di atas bumbung menyapu-nyapu buah gutung yang tegak berkubah menjadi puncak teratas. Katanya ia adalah tingkat wujud Allah yang tiada bersifat atau berupa yakni tingkat wahdah.

Nama kampung ini ialah Kampung Tuhan. Atas kesilapan kerani berbangsa serani dalam pentadbiran British, nama kampung ini direkodkan sebagai Kampung Tuhan. Nama asalnya mungkin Kampung Tuan, atau Tahan, atau apa sahaja yang berbunyi ‘-an’ di belakangnya. Tetapi kerani berbangsa Serani yang asing dengan nama dan bahasa Melayu, menulisnya Kampung Tuhan. Mungkin juga bukan salah kerani ini. Ia mungkin salah penterjemah yang bernama Si Munsyi India Muslim itu menterjemah tulisan jawi dengan bunyi yang berbeza dengan bunyi asal. Apabila kerani itu menulis maka timbullah perkataan yang ditulis berdasar bunyi ejaan jawi yang silap dibunyikan. Lama kelamaan nama asalnya lenyap daripada sebutan dan ingatan penduduk dan orang ramai. Kampung itu kemudian hanya dikenali sebagai Kampung Tuhan. Kaum Serani dan India Muslim sememangnya dibawa dari benua India untuk berkhidmat sebagai pentadbir rendah dengan pentadbiran British di Tanah Melayu. Sepertimana pihak British, mereka juga asing dengan budaya dan bahasa masyarakat Melayu. Banyaklah terjadi kekhilafan sepertimana berlakunya perubahan nama kepada Kampung Tuhan ini. Sengaja atau tidak kekhilafan ini banyak juga mengubah sejarah bangsa Melayu yang terjajah ini. Sejarah juga telah mula dibaca dari kacamata pihak Inggeris dan pentadbir rendah di kalangan kaum asing ini. Sebagaimana hilangnya nama asal Kampung Tuhan, begitulah hilangnya dan terpesongnya sejarah bangsa Melayu secara perlahan-lahan di tangan penjajah dan konco-konconya.

Namanya Mohamad Alwi, dibubuh namanya begitu oleh bapanya sempena nama Baginda Rasulullah Muhammad s.a.w. Di Kampung Tuhan ini dia dipanggil Luwi, ringkas daripada sebutan Alwi. Kampung Tuhan adalah secubit tanah yang jatuh dari langit. Ia terletak di lembah yang subur dan dikelilingi banjaran bukit yang kelihatan berasap pada waktu pagi. Kampung ini juga terletak dalam hutan hujan khatuliswa yang basah dan lembap. Dengan ribuan tumbuhan dan haiwan yang ada di dalam hutan di sekelilingnya, menjadikan Kampung Tuhan kaya dengan sumber alam. Sawah-sawah padi menjadikan pemandangan di kampung ini cukup indah. Petak-petak padi dengan saliran air yang wujud daripada struktur saliran peradaban silam menjadikannya apabila dilihat dari atas bukit, seperti grid peta purba tentang rupa bentuk sebuah peradaban silam yang besar. Malah jika dilihat dari puncak bukit yang tinggi ia kelihatan seperti susunan makam yang menirus ke atas. Sungguh aneh pemandangan ini, tetapi itulah hakikatnya.

Kiai Shamsudin mengajarkan bahawa Allah adalah baqa yakni kekal tetap selama-lamanya, tidak ada kesudahan bagi-Nya atau binasa. Lawan baqa ialah fana iaitu binasa. Anak-anak semakin seronok mendengar cerita Kiai Shamsudin. Angin di bumbung yang tadinya menyapu-nyapu buah gutung di atas kini turun melurut buah gutung di bawah yang lebih besar. Katanya buah gutung bawah ini adalah lambang tingkat wahidyah yang melambangkan tingkat lahirnya hakikat segala sesuatu.

Luwi keturunan asal Kampung Tuhan yang menetap entah sudah berapa kurun dan berapa ratus generasi. Mereka sememangnya penduduk asal. Tetapi entah bagaimana pula sarjana-sarjana Barat mereka-reka teori bahawa mereka adalah keturunan yang berasal dari Yunan di China yang turun dalam gelombang penghijrahan pertama, kedua dan seterusnya. Teori itu salah, kerana mereka sememangnya penduduk asal dan tidak pernah mempunyai sebarang hubungan atau asal usul dari Yunan atau mana-mana tempat lain. Kampung adalah suatu bentuk peradaban yang unik di wilayah alam Melayu ini. Ia tidak mempunyai kota atau bangunan-bangunan yang boleh menjadi artifak, kerana cuaca dan geografi khatuliswa menjadikan peradaban terbangun dalam persekitaran alam. Mereka melindungi diri dan kelompok dengan alam khatuliswa. Dengan itu wujudnya kampung, iaitu suatu bentuk peradaban yang mengeksploitasi persekitaran alam khatuliswa sebagai kota yang melindungi mereka daripada sebarang bentuk ancaman. Di sini masyarakat, nilai, norma dan peraturan terbentuk. Persekitaran hutan menjadikan bangunan-bangunan indah mereka dibina daripada bahan kayu. Sesudah ribuan tahun ia mereput dan hilang bersebati dengan alam. Sememangnya falsafah peradaban mereka begitu, ‘meminjam daripada alam dan mengembalikannya kepada alam’. Namun peradaban mereka tidak pernah pupus. Ia terus berdiri teguh sehingga datangnya agama Islam dan mereka semua memeluk agama Islam. Sebuah tamadun baru terbentuk, iaitu tamadun Melayu. Melayu merupakan nama bagi sebuah tamadun Islam. Tamadun ini ditandai dengan wujudnya bahasa Melayu yang menggunakan aksara jawi, serta nama raja, peraturan dan cara hidup yang diberi pengenalan Islam.

Kiai Shamsudin mengajarkan bahawa Allah berlainan daripada segala-galanya, sama ada pada zat sifat atau perbuatan. Allah tidak serupa dengan segala apa di semesta ini. Anak-anak tegak memandangkan Kiai Shamsudin. Angin yang turun tersekat pada pemeles yang menutup bahagian bumbung atas tebar layar. Sememangnya pemeles berfungsi untuk menahan atap daripada dikopak angin. Pemeles seperti pancaran alam hakikat yang menerbitkan dua lambang sifat Allah iaitu Jamal dan Jalan. Sifat yang memancar ke kanan ialah Jamal dan yang memancar ke kiri ialah Jalal.

Anuar ialah cucu kepada Ahmad Wahi, antara pejuang merah yang tewas dalam perjuangan membebaskan tanah air daripada penjajah Inggeris yang kemudian bersembunyi di kampung ini. Sememangnya Ahmad Wahi berasal dari kampung ini. Sebagai mewarisi kepercayaan dan perjuangan Ahmad Wahi, Anuar mendokong keadilan sama rata untuk masyarakat. Feudal, borjuis dan kapitalis harus dihapuskan. Sejarah manusia di dunia ini adalah sejarah perjuangan kelas. Perbezaan kelas adalah punca segala kecelakaan di dunia ini. Dalam diam-diam Anuar turut percaya bahawa agama adalah candu masyarakat. Tuhan hanyalah ciptaan daripada khayalan manusia. Selebihnya agama adalah salah satu senjata untuk menindas kelas proletar. Apabila diajukan bahawa bukankah agama adalah pembebas masyarakat tertindas daripada penindas mereka? Anuar diam tidak menjawab. Tetapi dia tetap menganggap agama hanya candu dan Tuhan hanya ciptaan khayalan manusia. Malah agama yang selalunya membentuk diskriminasi dengan memuliakan golongan tertentu di atas golongan yang lain. Perjuangan kelas harus bergerak tanpa adanya sebarang golongan yang lebih mulia atau tinggi daripada manusia lain. Selebihnya dunia adalah materialisme yang terjadi dengan sendirinya. Tiada Pencipta. Tiada Tuhan yang menciptanya. Tetapi Anuar selalu gagal menjawab soalan, jika dunia tiada penciptanya bagaimana pula ia tercipta. Anuar benci dengan soalan yang tidak dapat dia jawab. Seakan-akan mahu ditembak sahaja penanya soalan itu. Perjuangan bagi Anuar, harus dimulakan dengan senjata.

Badrul adalah sahabat Anuar, walaupun percaya kepada perjuangan kelas tetapi Badrul tidak ingin menerima sikap yang memerangi agama. Badrul turun ke masjid bersembahyang seperti penduduk lain. Tidak seperti Anuar. Bagi Badrul perjuangan untuk kelas bawahan adalah hanya untuk keadilan ekonomi dan politik. Agama tidak perlu diperangi dan kepercayaan kepada Tuhan tidak wajar disanggah. Bagaimanapun Badrul tidak menganggap agama itu penting. Agama cukuplah sebagai ritual dan adat resam yang membahagiakan masyarakat. Sejarah adalah perjuangan kelas, tetapi dalam sejarah tidak semua perkara menjadi penting termasuk agama. Badrul menuntut kesamaan dan keadilan untuk semua. Feudal, borjuis, dan kapitalis harus dihapuskan. Badrul hanya melihat ekonomi dan politik dalam perjuangan kelasnya. Badrul tidak berminat kepada pembicaraan tentang hal di luar realiti, termasuk kejadian alam dan penciptanya kerana ia juga tidak termasuk dalam sejarah.

Kiai Shamsudin mengajarkan bahawa Allah berdiri dengan sendirinya. Allah tidak berkehendak kepada apa-apa pertolongan, tempat dan makhluk malah makhluk yang berkehendakan Allah. Anak-anak melongo mendengarnya. Merasakan sesuatu yang Maha Agung. Angin terpaku di pemeles yang jika dilihat ternyata mempamerkan kalimat Arab daripada makna tiada Tuhan melainkan Allah.

Rumah Luwi berdekatan dengan masjid. Ada banyak perkara yang disedari oleh Luwi tentang keanehan masjid kayu yang tua itu. Terdapat jalan lurus sepanjang 110 meter menghala ke masjid. Tetapi anehnya kereta yang melalui jalan lurus ini tidak dapat berpatah balik atau membuat pusingan ‘u’ tanpa melangar bahu jalan; melainkan terpaksa memasuki pekarangan masjid dan berpusing keluar. Luwi pernah mengukur jalan lurus 110 meter ini dan ukurannya lebih lebar daripada jalan besar berdekatan yang selalu dijadikan tempat pusingan ‘u’ baik kereta atau lori kecil. Luwi tidak dapat menjawab mengapa jalan lurus 110 meter yang lebih lebar ini tidak dapat dibuat pusingan balik hatta oleh kereta yang kecil, melainkan harus terus masuk ke pekarangan masjid terlebih dahulu sebelum dapat membuat pusingan patah balik. Banyak keanehan tentang masjid kayu tua ini. Setiap ramadhan masjid akan penuh bersesak-sesak berlipat ganda daripada jumlah penduduk bersembahyang pada setiap hari jumaat. Mereka tidak tahu dari mana datang jemaah yang tiba-tiba begitu ramai, sedangkan tidak ada orang luar yang masuk bersembahyang terawih di masjid ini. Selama 30 hari ramadhan masjid sentiasa berbau harum, dan lebih aneh bersih tanpa sebarang sampah. Sedangkan hanya Pak Mail siak masjid seorang sahaja yang mengurus kebersihan laman dan ruang masjid. Pernah seminggu Pak Mail sakit pada bulan Ramadhan, tetapi masjid tetap terlalu bersih walau tiada siapa menggantikan Pak Mail membersihkan masjid. Penduduk kampung tidak mempedulikan keanehan ini kecuali Luwi.

Kiai Shamsudin mengajarkan bahawa Allah itu esa. Allah itu tunggal dan tidak ada sekutu bagiNya. Lawan tunggal ialah berbilang-bilang. Anak-anak mendengar angin di tebar atau tuban layar masjid. Tebar atau tuban adalah air yang keluar ketika ibu hendak bersalin, dan layar sama maknanya dengan kelir iaitu tempat lahirnya bayang-bayang patung. Tuban layar adalah lambang kepada ilmu alam nyata atau bayang-bayang ilmu daripada alam hakikat yang akan lahir di alam nyata.

Malaikat-malaikat yang turun dari langit menyebarkan bau harum di sela suara-suara zikir yang berguguran seperti cahaya dari manik-manik gerimis. Jatuh berguguran menyelinap di masjid. Jalan lurus yang mematahkan semua belokan melainkan membawa ke masjid. Laman dan ruang masjid yang tiba-tiba menjadi bersih tanpa diketahui siapa yang membersihkannya. Malah kampung yang mempunyai nama aneh, tersembunyi rahsia peradaban ribuan tahun. Sungai tertanamnya kapal perang Inggeris yang diserang pahlawan-pahlawan Melayu dengan bantuan seekor buaya jelmaan sebesar jong Cina yang tidak lut oleh senapang dan meriam Inggeris. Muara sungai pada zaman bahari yang sibuk dengan kapal-kapal dagang yang berlabuh. Juga ribut yang bergulung-guling dari bukit tiba-tiba lenyap oleh doa-doa manusia di masjid tua. Luwi tidak mampu menjawabnya. Ia seperti soalan yang terlempar dari langit.

Kiai Shamsudin mengajarkan Allah itu berkuasa, qudrah. Allah berkuasa membuat sesuatu yang belum ada, dan berkuasa menghapuskan segala suatu yang telah ada. Allah berkuasa menghidup dan mematikan. Lawan sifat qudrah ialah ajaz iaitu lemah. Anak-anak yang seronok mendengar cerita tentang Tuhan oleh Kiai Shamsudin mengangguk-angguk sesama mereka. Angin masuk ke ruang masjid, berkitar-kitar di situ. Ruang dalam masjid melambangkan kalbu, ruang ilmu Allah menjelma iaitu ilmu yang menempati dada batin.

Ziana adalah antara beberapa orang anak Kampung Tuhan yang mendapat pendidikan luar negara. Ziana membawa pegangan dan fikiran tentang hak wanita. Wanita harus mempunyai hak yang sama rata dengan lelaki. Maka Ziana merungkai hadis dan al-Quran dalam memilih-milih tentang persamaan hak wanita. Ziana turut menyatakan perawi hadis sebahagiannya adalah berat sebelah kerana kesan psikologi mereka yang kecewa dan memusuhi wanita. Bahkan Abu Hurairah dikatakan dalam satu hadis tidak meriwayatkan sepenuhnya apa yang disabdakan oleh Rasulullah kerana ia membenarkan hak persamaan kepada wanita. Sampai pada satu tahap, Ziana menyatakan bahawa wanita boleh menjadi imam kepada makmum lelaki termasuk dalam sembahyang jumaat. Kata beberapa orang, Ziana pernah menjadi imam sembahyang jumaat ketika menuntut di luar negara dahulu. Ziana menuntut Islam perlu ditafsir semula, termasuk al-Quran dan Hadis. Ziana turut menyokong gerakan memperjuangkan golongan seks sejenis, kerana menurut Ziana mereka adalah golongan tertindas sepertimana kaum wanita yang wajar diberikan keadilan.

Pendirian Ziana disambut oleh Sajal yang berpegang kepada prinsip liberal. Sajal menyokong pendirian Ziana bahawa al-Quran perlu ditafsir semula. Al-Quran bukan hak eksklusif ulama atau hukama tetapi milik semua manusia. Maka sesiapa sahaja boleh mentafsir al-Quran. Sajal telah mentafsir semula al-Quran dan menyatakan bahawa al-Quran hanya sebuah teks. Sajal memperjuangkan kebebasan dan hak asasi berasaskan individu. Adalah menjadi hak individu sama ada dia mahu berkelamin sesama jenis, mengamalkan kehidupan bebas, malah mahu murtad sekalipun. Hukuman-hukuman dalam agama adalah menindas hak kebebasan manusia. Sepatutnya agama tidak mencampuri pilihan individu. Sajal sangat percaya bahawa liberalisme muncul sebagai fahaman yang membebaskan manusia daripada kebekuan agama. Bagi Sajal, setiap manusia lebih berhak daripada Tuhan untuk menentukan pilihan untuk diri mereka.

Kiai Shamsudin mengajarkan bahawa Allah berkehendak iaitu iradah. Tidak terjadi sesuatu melainkan dengan kehendak Allah. Segala kejadian adalah dengan kehendak Allah. Lawan kehendak ialah karahah yakni terpaksa atau dipaksa. Anak-anak terus mengangguk-angguk sesama mereka. Angin kini keluar bermain di anjung masjid. Anjung lambang kepada hati yang menyambut dan menerima ilmu Allah.

Yajud percaya agama harus dipisahkan daripada urusan dunia. Agama boleh ada, boleh hidup tetapi sebagai ritual dan adat. Agama harus dipisahkan secara mutlak daripada politik, ekonomi, masyarakat dan segala urusan hidup dalam mencari faedah dunia. Dalam soal hidup manusia agama tidak ada hak dan kuasa untuk memberi keputusan. Manusia dibentuk oleh manusia dan bukan agama. Agama hanya wujud sebagai perhiasan, upacara dan amalan selepas melangsaikan tuntutan dunia mereka. Tuhan wujud terpisah daripada manusia. Tuhan tidak mencampuri urusan dunia manusia. Semua peraturan untuk manusia dibentuk oleh sistem yang dicipta oleh manusia. Yajud adalah anak Kampung Tuhan yang kuat berbicara tentang politik. Di kampung Yajud sering berhujah agar penduduk kampung memisahkan politik daripada agama, memisahkan urusan dunia daripada agama, dan meninggalkan agama di rumah untuk keinginan peribadi. Yajud percaya agama hanya menyekat kemajuan. Walaupun Yajud tidak menolak agama dan percaya kepada Tuhan, tetapi Yajud tidak melihat agama sebagai penting dalam mendirikan sistem hidup manusia.

Majud ialah rakan kepada Yajud, sama-sama lahir di Kampung Tuhan dan mendapat pendidikan yang baik. Majud percaya bahawa semua agama adalah sama. Islam tidak pernah berbeza dengan agama lain. Tuhan tetap sama walaupun dia tuhan yang satu, atau tuhan yang tiga atau tuhan yang banyak. Dengan mempercayai semua agama adalah sama, maka manusia akan hidup aman damai tanpa lagi bermusuh kerana berbeza agama. Malah Majud mencadangkan kepada penduduk kampung agar rumah ibadat di kampung ini dicantumkan sahaja menjadi sebuah kompleks ibadat yang mempunyai semua rumah ibadat yang menjadi anutan penduduk pelbagai kaum di kampung ini. Majud mendirikan majlis dialog agama yang menjadi perintis kepada usaha untuk menyamakan semua agama. Tuhan bagi Majud adalah sama untuk semua agama. Hanya manusia yang pandai-pandai membezakan tuhan-tuhan antara mereka.

Kiai Shamsudin mengajarkan bahawa Allah itu mengetahui, yakni ilmu. Allah mengetahui segala-galanya. Tiada yang tersembunyi daripada Allah. Lawan ilmun ialah bodoh yakni jahlun. Anak-anak tekun mendengar dengan seronok. Angin terdengar menggesek-gesek di pintu. Pintu adalah sempadan terakhir di antara ruang dalam masjid dengan dunia luar. Sempadan kalbu dengan dunia luar.

Berhampiran sungai tempat bangkai kapal Inggeris terkubur, terdapat beberapa rumah yang termasuk dalam Kampung Tuhan juga. Bahal tinggal di sini. Bahal ialah seorang yang percaya bahawa alam mempunyai semangat yang harus dipelihara. Semangat alam adalah agama semulajadi manusia, dan adalah agama asli manusia di Kampung Tuhan yang wujud ribuan tahun ini. Bagi Bahal agama-agama lain yang datang kemudian itu adalah agama luar, pengaruh asing dan penjajahan yang datang untuk menghapuskan agama asli penduduk. Bahal berjuang untuk mengembalikan penduduk Kampung Tuhan kepada agama asal mereka iaitu agama yang memuja semangat alam. Penduduk harus kembali kepada keaslian nenek moyang mereka dan menolak keluar semua agama yang datang dari luar. Tuhan daripada agama luar adalah bukan tuhan mereka. Tuhan penduduk kampung ini adalah tuhan yang berasal dari kampung ini. Lebih pasti ialah tuhan yang hidup dengan keaslian semangat alam. Bahal bêrtegas bahawa semangat alam ialah tuhan mereka. Pada zaman merdeka ini, penduduk kampung juga harus membebaskan diri mereka daripada penjajahan agama luar dan kembali kepada agama asli mereka iaitu semangat alam.

Kiai Shamsudin mengajarkan bahawa Allah itu hidup, yakni hayatun. Allah hidup kekal tanpa menyerupai hidupan ciptaannya yang perlu makan minum. Anak-anak mengisar sila, tidak mahu berganjak mendengar cerita tentang Tuhan. Angin melepasi pintu dan menurun ke tangga.Terdapat lima anak masjid ini melambangkan lima makam nafsu; amarah, lawwamah, mulhamah, mutmainnah, dan radhiah.

Berbeza dengan penduduk di pinggir sungai yang hanyut dengan alam mereka, penduduk di bahagian tengah kampung berfikiran maju. Di sini tinggalnya Saifi, yang sangat kontras fikiranya dengan Bahal. Saifi percaya dunia diciptakan oleh unsur kebetulan dan logik yang hanya boleh difahami melalui sains. Sains adalah agama dan adalah tuhan sebenar manusia. Sains yang mencipta manusia dan hanya sains yang dapat memahami manusia. Setiap perkara di dunia bagi Saifi harus mempunyai dasar logik, dan semua kewujudan harus difahami melalui dasar empirikal. Saifi mengutarakan fikirannya dengan pendekatan yang menarik. Saifi membuat sebuah filem yang menayangkan bagaimana dunia ditenggelami bah besar. Di situ Saifi menunjukkan bagaimana hanya sains yang berkuasa menyelamatkan manusia. Sedangkan tuhan tidak ada di situ untuk menyelamatkan manusia. Manusia yang bertuhan semuanya mati bersama tuhan mereka. Hanya manusia yang mereka peralatan sains selamat dengan teknologi sains yang amat moden. Saifi cuba memahamkan kepada penduduk betapa hanya sains agama dan tuhan bagi manusia.

Kiai Shamsudin mengajarkan bahawa Allah itu mendengar, yakni samiun. Allah maha mendengar segala-galanya. Anak-anak langsung berdiam, bisik-bisik suara terus mati. Mereka melongo untuk mendengar cerita seterusnya tentang Tuhan. Ada bunyi angin menggesel dinding masjid. Dinding adalah pelindung ruang di dalamnya, pada masa yang sama menjadi pendinding yang memisahkan ruang dalam dan dunia di luar. Ia seperti penafian kemakhlukan dan pengisbatan ketuhanan.

Luwi menyedari bahawa Kampung Tuhan ini mempunyai pelbagai golongan dengan pelbagai pandangan. Mereka juga mempunyai pelbagai fikiran tentang agama dan tuhan. Maka timbul bermacam-macam cerita tentang Tuhan. Tetapi Luwi yakin bahawa Tuhan wujud sebagaimana yang diajarkan oleh Kiai Shamsudin. Perlahan jiwa Luwi mengembang, teringat pesan Kiai Shamsudin untuknya dan rakan-rakan mempertahankan Tuhan yang ada dalam 20 sifat-Nya. Luwi tahu rakan-rakannya yang mendengar cerita tentang Tuhan daripada Kiai Shamsudin telah ramai yang terpesong. Anuar, Badrul, Ziana, Sajal, Yajud, Majud, Bahal, Saifi dan ramai lagi telah membawa pelbagai aliran dan ajaran yang sesat tentang Tuhan. Luwi memikirkan bahawa dia perlu berjuang demi kasih kepada Tuhan yang dipupuk sejak kecil, hatta jika terpaksa menentang rakan-rakannya sendiri. Terlalu banyak cerita tentang Tuhan. Tetapi semuanya disesatkan oleh ketewasan fikiran dan kelemahan jiwa rakan-rakannya dalam menghadapi dunia yang sentiasa memusuhi Tuhan.

Kiai Shamsudin mengajarkan bahawa Allah itu melihat, yakni basarun. Allah melihat hatta kuman yang paling kecil. Lawan kepada melihat ialah buta, iaitu a’a’ma. Anak-anak memandang sesama mereka. Terasa angin sejuk di sisi mereka menjalar di lantai masjid. Lantai adalah tapak kepada ruang masjid, ibarat tapak bagi kalbu.

Luwi melangkah masuk ke pekarangan belakang masjid. Pusara Kiai Shamsudin yang hanya ditandai dengan batu nisan kelihatan bersih dan segar. Luwi memegang nisan pusara Kiai Shamsudin dan menghadiahkan al-fatihah. Terlalu banyak cerita tentang tuhan, tetapi hanya 20 cerita tentang Tuhan daripada Kiai Shamsudin yang satu-satunya benar. Mereka paling seronok dan paling bahagia mendengar 20 cerita tentang Tuhan daripada Kiai Shamsudin. Luwi memikirkan mungkin dia patut menjemput rakan-rakannya kembali untuk bercerita kembali 20 cerita tentang Tuhan sebagaimana yang diceritakan oleh Kiai Shamsudin. Mereka mungkin boleh kembali gembira dan merasa bahagia seperti dahulu, setelah mereka terpisah jauh dalam dunia masing-masing yang saling menjauhi. Airmata Luwi tergenang mengenangkan keindahan lalu bersama-sama rakan-rakan mendengar cerita Kiai Shamsudin. Mungkin dia harus kembali memanggil rakan-rakannya ke masjid ini. Mereka boleh memulakan dengan mengenang kembali cerita Kiai Shamsudin tentang Tuhan.

Kiai Shamsudin mengajarkan bahawa Allah itu berkata-kata, yakni kalamun. Lawan kepada berkata-kata ialah bisu, iaitu abkam. Allah berkata-kata dengan kalam-Nya yakni firman di dalam al-Quran dan bukan kata-kata seperti makhluk. Anak-anak mengangguk faham dan melihat al-Quran di hadapan mereka. Kedengaran angin menyelit-nyelit di bawah lantai mengenai penyambut, rasuk dan lambung. Semua penyambut, rasuk dan lambung adalah bahan yang memperkuatkan lantai. Ia diibaratkan seperti jasad dan roh yang memperkuatkan tapak kalbu.

Kampung Tuhan gempar kembali. Ribut tiba-tiba kembali bergulung di bukit. Banjaran bukit gelap seperti dihurung sayap-sayap awan yang membawa matapetaka. Penduduk kampung berkumpul dengan cemas. Tiada apa dapat menyelamatkan mereka kali ini. Mana-mana penduduk kampung yang beriman terus menghala ke masjid. Imam telah menunggu di sana. Mereka akan bersolat dan berdoa. Jika ditakdirkan ajal mereka telah sampai mereka redha dengan ketentuan Tuhan. Apa yang mereka mahu ialah biarlah mereka tetap dalam iman. Mereka berjalan dengan tenang ke arah masjid. Namun sebahagian daripada mereka mengambil pelbagai langkah untuk menyelamatkan diri. Malah ada yang mula meraung-raung dan menjerit-jerit. Ribut turun menggulung pokok-pokok di bukit dan mengepung dari setiap sudut. Ada wajah yang menggerunkan di situ. Pokok-pokok terbungkas dan melambung ke sana sini. Ribut semakin besar menghala ke arah kampung. Penduduk yang terpaku dan tidak menghindar ke masjid menjerit-jerit hilang akal dan kawalan diri.

Kiai Shamsudin mengajarkan bahawa Allah itu berkuasa sendiri, berkemahuan sendiri, berpengetahuan sendiri, berhayat sendiri, berpendengaran sendiri, berpenglihatan sendiri, dan berperkataan sendiri. Anak-anak menangguk-angguk, mengangguk-angguk tanda sudah mengetahui sifat tentang Tuhan. Cerita tentang Tuhan yang membuatkan mereka menjadi sedar dan sayang kepada Tuhan. Kini mereka harus segera bersolat dan mengaji al-Quran kerana Allah yang disayangi mereka. Angin kini turun ke bawah masjid dan berpusar-pusar di tiang-tiang masjid. Tiang menegakkan masjid, disamakan dengan paha dan betis yang menegakkan manusia. Tiang seperti rukun iman dan rukun Islam yang menegakkan Islam. Tiang-tiang masjid ini mempunyai tiga warna iaitu hitam, merah dan putih. Hitam dikatakan lambang zat Allah, merah sifat jamal dan putih sifat jalal. Tiang juga sebagai penghubung tanah dengan masjid, sekaligus penghubung alam ketuhanan dan alam dunia.

Mereka berada di dalam masjid bersolat, kemudian berzikir dan berdoa. Luwi cemas di pintu masjid, mencari wajah rakan-rakannya. Imam meminta Luwi menutup pintu masjid. Ketika itu ribut telah melanda kampung dan memusnahkan apa yang dilalunya. Luwi melihat ada kelibat kelompok manusia datang ke masjid. Ada wajah-wajah yang dia kenal. Luwi cuba membuka pintu masjid. Tetapi malangnya pintu masjid tidak dapat dibuka lagi. Ribut melanda dan menyapu semua yang ada di luar masjid. Tiang-tiang masjid bergegar seperti akan melambung ke langit. Di dalam masjid mereka mengucap dua kalimah syahadah dan redha dengan apa yang akan terjadi. Terlintas di fikiran Luwi cerita datuknya, bahawa dahulu ribut paling besar pernah melanda Kampung Tuhan. Akhirnya mereka yang berada dalam masjid sahaja yang terselamat. Kata datuknya ketika itu malaikat-malaikat turun dari langit memegang dan melindungi masjid daripada dipukul ribut. Mereka mendengar ribuan sayap di bumbung masjid. Akhirnya setelah ribut reda, mereka hanya melihat kemusnahan di sekeliling mereka kecuali masjid tempat mereka berlindung.

Kiai Shamsudin mengatakan bahawa masjid ini dibina daripada bahan-bahan yang bukan terdapat di kampung ini. Masjid ini dibina dengan pengertian terhadap hubungan manusia, alam dan Tuhan. Untuk itu anak-anak, mari kiai bercerita tentang Tuhan. Luwi dan rakan-rakannya segera mengelilingi Kiai Shamsudin.

Mereka mendengar sesuatu di bumbung masjid. Ia jatuh seperti kepak-kepak yang berat. Semakin banyak dan semakin banyak sehingga bumbung seperti begitu berat dengan sesuatu di atasnya. Ribut yang mendengung di luar seperti terdengar melibas ke sana sini. Dentuman meletup hinggar di sana sini. Mereka di dalam masjid jatuh pengsan semuanya.

Kiai mempunyai 20 cerita tentang Tuhan. Kata Kiai Shamsudin kepada anak-anak.

Ketika mereka membuka mata, alam begitu sunyi. Mereka berpandangan antara satu sama lain. Apakah mereka di alam kubur? Luwi bangun dan membuka pintu masjid. Cahaya yang terang menyerbu masuk. Tidak. Mereka masih di alam dunia. Di Kampung Tuhan. Mereka keluar dan melihat di luar. Pemandangan di luar sungguh dahsyat. Seluruh kampung musnah dan rata seperti tidak pernah ada kehidupan di situ. Mereka terkejut dan terkaku. Fikiran mereka kosong tidak dapat menelaah apa yang sebenarnya berlaku kepada mereka. Perlahan-lahan mereka menoleh ke belakang.

Hanya masjid kayu tua yang tegak berdiri. Tunggal tanpa ada yang lain.