Thursday, October 21, 2010

PLURALISME DAN KEKELIRUAN AGAMA

Titik penting munculnya idea tentang pluralisme di dunia Islam pada era moden bertolak daripada daripada perdebatan tentang khalifah dan pelaksanaan sistem politik moden dalam dunia Islam. Ia menyaksikan kemunculan idea tentang demokrasi, sosialisme, sekularisme, liberalisme dan sebagainya. Beberapa peristiwa penting yang memainkan peranan besar kepada pertembungan dunia Islam dan idea-idea Barat ini ialah Revolusi Rakyat di Iran pada 1905-1911, Revolusi Golongan Muda (Young Turks) pada 1908 dan akhirnya Revolusi Kamal Ataturks pada tahun 1924 yang menghapuskan pemerintahan khalifah Osmaniah di Turki. Pada masa yang sama muncul gerakan pembaharuan di Mesir dan negara Arab untuk bebas daripada cengkaman kolonial Barat. Termasuk juga gerakan pembebasan yang berlaku di India, akhirnya menyaksikan pemisahan entiti Islam yang memunculkan negara Islam Pakistan. Tidak ketinggalan isu Palestin yang ketika itu mula dijajah oleh zionisme Yahudi. Pertembungan antara Dunia Islam dan Barat seperti mengulangi pertembungan yang pernah berlaku dalam era Perang Salib. Namun pada kali ini, dunia Islam berada di pihak yang tewas. Penjajahan kuasa kolonial moden Barat ke atas sebahagian besar dunia Islam telah membentuk dikotomi penjajah-dijajah, tuan-hamba, atau pusat-pinggiran yang meletakkan dunia Islam di bawah penguasaan kolonial Barat.

Idea-idea yang mencetuskan gerakan pembebasan dan pembaharuan dunia Islam muncul dengan hebatnya pada awal abad ke-20 sebagai aksi reaksioner terhadap penjajahan dan pengaruh kuasa Barat ini. Wujud dua bentuk aliran umum dalam aksi reaksioner ini. Pertama, muncul golongan pembaharuan Islam yang memperjuangkan nilai-nilai Islam dalam membangunkan kekuatan dunia Islam, sekaligus berusaha membebaskan dunia Islam daripada kuasa Barat. Kedua, munculnya golongan dan pemikiran untuk mengambil dan menyesuaikan kerangka serta sistem pemikiran Barat bagi memajukan dunia Islam, seterusnya membangunkan dunia Islam yang progesif, moden dan maju. Kedua-dua golongan memulakan perdebatan tentang khalifah, kemudiannya berkembang kepada idea-idea pemikiran khususnya idea pemikiran moden.

Perbincangan tentang idea pembaharuan ini memunculkan nama-nama seperti Jamaludin Al-Afghani, Muhammad Abduh, dan Muhammad Rashid Rida yang memperjuangkan nilai-nilai Islam sejagat dalam konteks pembentukan Pan-Islam. Sementara golongan kedua yang mengambil pemikiran Barat secara drastik dan menolak nilai-nilai Islam secara langsung atau tidak langsung telah melahirkan nama-nama seperti Mustafa Kamal Ataturk, Ali Abd Raziq, Fathi Osman dan sebagainya. Mustafa Kamal telah melancarkan revolusi sekular di Turki sekaligus menghapuskan pemerintahan khalifah yang terakhir di dunia Islam iaitu khalifah Osmaniyyah. Sementara Ali Abd Raziq membawa pemikiran liberal-demokratik Barat ke dalam dunia intelektual Islam yang turut mengecam pemerintahan khalifah Islam.

Pemikiran pembaharuan Islam yang memperjuangkan pembentukan wilayah Islam yang menyeluruh baik dari segi politik, ekonomi, budaya, masyarakat dan intelektual mencipta gelombang besar di tangan tokoh-tokoh intelektual dan pertubuhan Islam seperti Muhammad Iqbal (1877-1937), Hassan al-Banna (1907-1949), Abu al-Ala Mawdudi (1903-1979), dan Sayyid Qutb (1906-1966). Tokoh-tokoh ini menentang keras pembaharuan liberal dan politik demokrasi Barat ke dalam dunia Islam. Rashid Rida menegaskan bahawa masyarakat Islam tidak akan muncul sehinggalah sistem pemerintahan khalifah ditegakkan, sekaligus merupakan kecaman terhadap pemerintah sekular Ataturk di Turki. Pandangan Rida itu dikongsi oleh pengasas Pertubuhan Ikhwan Muslimin, Hassan al-Banna yang menggerakkan pertubuhan persaudaraan Islam yang keras menentang segala bentuk pemikiran dan sistem politik Barat. Hassan al-Banna menegaskan bahawa pelaksanaan syariah Islam adalah jalan keluar daripada kemunduran dan kegelapan umat Islam. Pandangan al-Banna ini juga merupakan pandangan balas terhadap idea-idea liberal-sekular yang dikemukakan oleh Ali Abd Raziq.

Namun pandangan keras terhadap pembentukan wilayah politik dan intelektual Islam ini dikemukakan oleh Maududi yang menegaskan bahawa prinsip dan nilai Islam, bukan lain sebagai satu-satunya kebenaran yang harus dituju oleh umat Islam. Beliau menyebut tentang teokrasi iaitu demokrasi yang dipimpin oleh syariah Islam. Dalam hal ini Maududi menyatakan bahawa masyarakat (atau demos dalam bahasa Yunani) dalam wilayah politik Islam harus wujud sebagai masyarakat Islam keseluruhannya, yang melaksanakan syariah Islam dalam segenap aspek kehidupan. Pandangan Maududi ini sejajar dengan pemikiran Sayyid Qutb yang bukan sahaja menolak demokrasi-liberal Barat bahkan mengecam masyarakat moden berpandukan nilai moden sebagai masyarakat jahiliyyah baru.

Pemikiran yang bertentangan dalam ertikata menyeru kepada pembaharuan yang mengangkat nilai-nilai modeniti Barat seperti demokrasi, liberalisme dan pluralisme yang bangkit pada pertengahan abad ke-19 mula lahir dalam bentuk-bentuk yang lebih konstruktif. Fathi Osman muncul sebagai suara liberal yang menyeru kepada pluralisme dan hak asasi manusia, khususnya hak golongan wanita dan minoriri bukan Islam. Walaupun dari satu segi terlihat pandangan Fathi Osman sebagai suara murni mencari keadilan bagi golongan yang kononnya tertindas, tetapi pada hakikatnya beliau memandu umat Islam ke arah nilai-nilai liberalisme Barat. Sedangkan dalam Islam hak golongan wanita, minoriti bukan Islam dan hak asasi manusia telah ditegaskan dengan jelas, bahkan dilaksanakan dalam syariah Islam yang memberikan keadilan kepada manusia berasaskan prinsip Islam. Dalam prinsip Islam, hukum datangnya daripada al-Quran dan hadis, serta qias para ulama. Maka itu keadilan dalam prinsip Islam meletakkan kewajiban agama lebih utama daripada kepentingan diri. Ini menjelaskan rujukan utama kepada nilai masyarakat yang mengatasi nilai individu. Hal ini berbeza dengan prinsip liberal Barat yang meletakkan hak invidu sebagai puncak kepada keadilan sosial.

Period ini menyaksikan lahirnya konsep tentang pluralisme yang berasaskan nilai dan pemahaman Barat. Pluralisme menekankan prinsip hak asasi manusia yang berasaskan individu sebagai puncak kepada hukum keadilan. Ia bermula dengan penegasan hak sama rata manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Dalam pada itu, ia menyerapkan prinsip liberalisme Barat yang menegaskan kebebasan individu dan penolakan bahawa kebenaran hanya ditentukan secara mutlak oleh agama. Sebaliknya kebenaran bukan sesuatu yang eksklusif (lingkungan nilai dan prinsip agama) tetapi adalah sesuatu yang terbuka dan boleh sahaja diterima dari pelbagai sumber termasuk daripada nilai dan prinsip pelbagai agama serta idealogi pemikiran individu. Pluralisme kemudian berkembang dalam pemahaman sosiopolitik mewujudkan apa yang disebut sebagai consociotional politic, dalam bidang sosioekonomi melahirkan globalisasi, dalam sosiobudaya melahirkan liberal-capitalist mass culture atau budaya hedonisme, dan dalam agama melahirkan sosiologi agama atau anthropocentric perspective. Semua hal ini mewujudkan konsep pluralisme yang mengaburkan nilai-nilai agama (Islam terutamanya) dengan nilai-nilai individu yang hanya wujud sebagai entiti duniawi. Ini berbeza dengan nilai masyarakat atau individu dalam Islam yang dilihat dalam konteks entiti duniawi-ukhrawi.

Asas penting kepada konsep pluralisme ini berdiri dalam pernyataan hak asasi manusia yang dimaktub berasaskan nilai-nilai liberalisme Barat. Sebagai contoh umum, beberapa ketetapan dalam piagam hak asasi manusia konvensyen Bangsa Bersatu memperlihatkan bagaimana nilai-nilai liberal Barat dijadikan asas kepada pandangan sejagat. Penetapan hak asasi manusia yang dimaktubkan sebagai artikel 6 Konvensyen Bangsa Bersatu 1976 menyatakan; The States Parties to the present Covenant recognize the right to work, which include the right of everyone to the opportunity to gain his living by work, which he freely chooses or accepts, and will take appropriate steps to safeguard this right. Dalam konteks hak wanita pula dimaktubkan artikel 3 yang menyatakan; The States Parties to the present Covenant undertake to ensure the equal right of men and women to the enjoyment of all economic, social and cultural rights set forth in the present Covenant. Ia kemudian diperkukuhkan dengan ketetapan Konvensyen 1981 yang menyatakan; … the term ‘discrimination against women’ shall mean any distinction, exclusion or restriction made on the basis of sex which has the effect or purpose of impairing or nullifying the recognition, enjoyment or exercise by women, irrespective of their marital status, on the basis of equality of men and women, of human right and fundamental freedoms in the political, economic, social, cultural, civil and any other field.

Semua artikel hak asasi yang diterima sebagai asas kebebasan manusia ini menolak nilai agama sebagai asas pernyataannya. Contohnya artikel di atas menyatakan kebebasan untuk manusia bekerja mencari nafkah tetapi dalam Islam pekerjaan yang melibatkan perkara haram di sisi Islam dan subahat dengan kemungkaran adalah ditegah. Maka tegahan Islam itu dianggap sebagai melanggar hak asasi dan kebebasan manusia. Begitu juga soal hak dan hukum bagi golongan wanita, contohnya berpakaian menutup aurat dan penyertaan wanita dalam ruang awam mempunyai batasannya demi menjaga maruah wanita Islam. Namun tegahan dan ketetapan menutup aurat ini juga dipandang sebagai melanggar hak asasi wanita dalam menentukan kebebasannya. Maka hak asasi yang ditetapkan berdasarkan nilai liberal Barat inilah kemudiannya menjadi asas kepada konsep pluralisme yang mengembangkan konteks masyarakat plural.
Masyarakat plural bukan sekadar masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama atau bahasa. Tetapi masyarakat plural menyangkuti soal kesaksamaan dalam politik, ekonomi, budaya termasuk agama. Kesaksamaan dalam masyarakat plural ini dicapai dengan mewujudkan nilai baru yang menghapuskan nilai fundamental seperti hak bangsa peribumi, penghapusan nilai kebangsaan yang berteraskan nilai peribumi, dan terakhir sekali akidah agama (Islam).

Persoalan tentang pluralisme mula-mula muncul dalam konteks pemahaman sosial, yakni hubungan kemasyarakatan dalam suasana baru setelah era penjajahan kolonial. Apa yang dikatakan suasana baru tersebut ialah munculnya masyarakat heterogenus iaitu percampuran antara masyarakat peribumi dengan masyarakat pendatang ataupun kewujudan masyarakat daripada pelbagai etnik yang hidup bersama. Maka masyarakat baru yang wujud ini adalah sebuah masyarakat plural atau masyarakat majmuk. Sesuai dengan sifat masyarakat majmuk, ia turut membawa kepelbagaian cara hidup berlandaskan budaya, agama atau kepercayaan masing-masing etnik. Konsep tentang pluralisme iaitu bagaimana kepelbagaian tersebut dapat diraikan dan seterusnya mewujudkan masyarakat yang bersatu dalam kepelbagaian tersebut, muncul menjadi pernyataan terhadap keinginan untuk hidup saling menerima dan meraikan perbezaan. Pluralisme melihat bagaimana pertembungan masa lalu dan masa kini dapat melakurkan sebuah masyarakat baru yang tidak lagi berpegang kepada nilai-nilai fundamental etnik, agama, dan budaya yang terpisah-pisah tetapi sebaliknya mewujudkan sebuah masyarakat baru yang beridentitikan nilai masa hadapan.

Pluralisme seterusnya berkembang kepada konsep budaya dan pemahaman agama. Setelah ia melihat semua manusia adalah sama dengan konsep hak asasi yang berasaskan nilai liberalisme Barat, pluralisme berkembang kepada konsep yang melihat semua agama itu juga adalah sama. Bagi pluralisme tiada satu pun agama yang tunggal dan eksklusif untuk menjadi sumber kebenaran, atau setidak-tidaknya terdapat kebenaran dan nilai yang benar dalam agama lain. Pemahaman ini menjelaskan bahawa agama seseorang bukanlah satu-satunya hal yang eksklusif bagi kebenaran, kerana dalam agama-agama lain juga dapat ditemukan kebenaran atau setidak-tidaknya nilai-nilai yang benar. Seorang tokoh pluralisme agama di Barat iaitu John Hicks menyatakan bahawa kebenaran tidak dapat ditemui hanya dengan melihat secara eksklusif terhadap mana-mana pegangan agama, sebaliknya kebenaran ditemui melalui gabungan pelbagai sumber agama, kepercayaan dan pemikiran. Hicks menyebutnya sebagai transcategorial noumenal reality, yang melihat bahawa pengalaman keagamaan dikategorikan sebagai pengalaman noumenal yang dipengaruhi oleh realiti budaya, persekitaran, sejarah dan pemikiran. Dalam ertikata lain, Hicks menyatakan Tuhan wujud berdasarkan persepsi manusia. Transcategorial ini kemudiannya mewujudkan apa yang disebuat Hicks sebagai phenomenal God dan noumenal God. Kedua-dua konsep ini menjelaskan bagaimana pengetahuan tentang Tuhan adalah dipengaruhi oleh budaya dan sejarah manusia. Pemikiran Hicks ini dipengaruhi oleh falsafah Kantian (Immanuel Kant), yang memilih ketentuan kebenaran antara objek zahir dengan Tuhan untuk meletakkan satu kepastian kepada semua ilmu. Dalam kata lain, ilmu pengetahuan tiada sangkut paut dengan kebenaran mutlak (wahyu, kenabian dsbnya) tetapi dengan fakta. Konsep tentang Tuhan dihurai oleh Kant melalui falsafah transendental iaitu pengetahuan noumenal dicapai melalui suatu perpaduan konsep dengan pengalaman realiti (budaya, sejarah dsbnya).

Secara keseluruhannya pluralisme menegaskan tiga perkara pokok tentang persamaan agama. Pertama, tiada satu pun agama yang tunggal dan eksklusif untuk menjadi sumber kebenaran, kerana setidak-tidaknya terdapat kebenaran dan nilai yang benar dalam agama lain. Kedua, kebenaran wujud dalam semua agama dan dengan itu penekanan harus diberikan terhadap kepelbagaian sumber kebenaran. Ketiga, kerjasama dan dialog antara agama menjadi keperluan penting dalam mencari nilai kebenaran. Ketiga-tiga perkara yang kedengaran muluk ini menimbulkan kekeliruan terhadap kebenaran agama khususnya Islam. Pluralisme sebenarnya mencipta kebenaran baru dengan merombak-rombak agama sepertimana yang dilakukan oleh pascamoden. Bezanya pascamoden menolak agama, namun pluralisme menerima agama dengan memberikan nilai baru.

Pluralisme menyebabkan berlakunya kekeliruan agama. Lebih bahaya lagi apabila Islam disamaratakan dengan agama lain. Penerimaan terhadap konsep pluralisme memberi kesan terhadap akidah Islam. Dalam Islam tidak ada satu agama pun di muka bumi ini agama yang benar kecuali Islam. Islam adalah penutup segala agama dan membatalkan ajaran agama-agama sebelumnya. Dalil ini dinyatakan dalam al-Quran, surah Ali Imran: 85; “Barang siapa mencari agama lain selain daripada Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. Dan Islam setelah Muhammad diutus, iaitu yang dibawa oleh beliau bukan agama selainnya.” Hal ini dengan jelas dan langsung menyanggah pluralisme. Sesungguhnya kebenaran yang satu ialah Islam dan tiada kebenaran yang harus diambil daripada agama-agama lain. Sesiapa yang mendakwa bahawa kebenaran perlu dilihat dari sisi agama lain membukakan dirinya kepada mudarat yang besar dari segi akidah.

Faham pluralisme ini malangnya dibawa ke dalam pemikiran umat Islam oleh golongan Islam sendiri. Ia menimbulkan kekeliruan terhadap Islam dan memberi kesan kepada akidah Islam. Islam mengutuk perlakuan yang mengelirukan ini sebagaimana yang tersebut dalam Ali-Imran: 78; “Sesungguhnya di antara mereka ada segolongan yang memutar-mutar lidahnya membaca al-Kitab, supaya kamu menyangka yang dibacanya itu sebahagian daripada al-kitab, padahal ia bukan dari al-Kitab dan mereka mengatakan: Itu dari Allah sedang sebenarnya bukan dari Allah. Mereka berkata dusta terhadap Allah, sedang mereka mengetahui.” Kehadiran golongan tertentu di kalangan umat Islam yang mendokong faham pluralisme ini mendapat pengaruh daripada pemikiran liberal yang kini merebak di dunia Islam. Di Indonesia muncul golongan yang menamakan diri mereka seperti Jemaah Islam Liberal (JIL). Gerakan ini kemudian merebak ke Malaysia di tangan segelintir golongan liberal dan kalangan penggiat seni kosmopolitan. Namun sejak akhir ini, pemikiran liberal dan pluralisme ini mula menyerap dalam pemikiran dan gerakan politik yang cuba menyesuaikan konsep consociotional politic dengan keadilan-kesaksamaan dalam realiti hidup masyarakat majmuk di Malaysia ini.

Pada zaman pemerintahan Abbasiyyah muncul golongan yang disebut sebagai golongan zindik yang terdiri daripada sama ada mereka yang asalnya beragama Islam ataupun mereka yang asalnya beragama tempatan. Golongan zindik ini menyebarkan fahaman yang menggabungkan unsur-unsur dari agama Parsi tua, Yahudi, Nasrani dan sebagainya ke dalam Islam. Mereka seterusnya melihat kebenaran daripada kacamata kepelbagaian agama tersebut. Pada satu peringkat, golongan zindik ini juga disebut sebagai orang-orang mulhid (ateis), kerana keingkaran mereka terhadap Islam baik melalui perlakuan mahupun pemikiran. Kehadiran pluralisme pada abad baru ini seperti mengulangi sejarah golongan zindik yang bermula dengan mencari kebenaran daripada pluralisme agama, seterusnya berkembang kepada tafsiran baru agama yang akhirnya menolak hadis dan al-Quran hasil daripada kerja merobek-robek al-Quran sesuka hati mereka. Kemunculan golongan liberal yang mendokong faham pluralisme pada hari ini mempunyai serba sedikit kecenderungan yang menghampiri apa yang pernah dilakukan oleh golongan zindik pada suatu ketika dahulu.

“...Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian peraturan yang diturunkan Allah kepada kamu...” (al-Maidah: 49).

Milenia Muslim, Oktober 2010

Saturday, October 16, 2010

BIDADARI BURUNG

BIDADARI BURUNG

S.M. Zakir


Kata Zuber poyangnya adalah ahli sufi dari selatan Baghdad yang hidup pada era pemerintahan Khalifah Harun al-Rashid sekitar abad ke-8 Masehi. Era pemerintahan Harun al-Rashid adalah era pemerintahan paling gemilang khalifah Abasiyyah. Harun al-Rashid memerintah pada usia 20-an dan meninggal dunia pada usia 40-an merupakan antara pemimpin Islam yang paling terkenal. Tetapi apa kaitannya cerita poyang Zuber dengan khalifah Islam yang terkenal hebat juga terkenal dengan kehidupan mewah yang tidak terhisab oleh kata-kata itu. Tidak ada. Tidak ada kaitan. Zuber mungkin sekadar mencari latar untuk mencetuskan mitos kehebatan poyangnya. Aku tidak mengesan kehebatan daripada cerita Zuber. Mungkin belum lagi. Seorang ahli sufi dari selatan Baghdad yang hidup pada zaman khalifah Harun al-Rashid. Ya, begitu – jadi apa hebatnya. Ia hanya cerita biasa. Mungkin aku juga boleh berkata, poyangku adalah ahli sufi dari selatan Anatolia. Ah, jika benar... atau raja dari Syam.

Aku melihat Zuber meneguk capucinonya perlahan seperti menyerup kelazatan yang aku tidak mengerti. Aku menyerup kopi pahit yang entah apa namanya. Kami duduk berbual sambil minum di Starbucks di hadapan The Mall. (Sebenarnya tiada apa yang aku banggakan apabila menyebut nama tempat kami minum dan berbual ini – sememangnya kami minum di sini dan aku tidak boleh berbohong dengan kenyataan ini). Petang entah hari apa, suasananya agak lenggang. Aku suka duduk di sini. Mencuci mataku dengan orang lalu lalang. Wanita dan lelaki Arab bersama dua anaknya yang comel. Pasangan backpackers kaukasian – mataku lebih ditarik pada pasangan wanitanya. Dua orang lelaki Melayu sedang berbual sambil minum seperti aku dan Zuber, cuma usia mereka lebih tua daripada kami. Gadis berkulit putih kuning yang terbuka lurah dadanya yang putih. Pengawal keselamatan yang tercegat di pintu masuk. Juga hotel Suria Pasific yang tersergam kukuh di hadapan kami. Suasana begitu santai di sini.

”Lalu...?” Aku meminta Zuber menyambung ceritanya.

Zuber meletakkan cawan minumannya dan menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Zuber kemudian bercerita bagaimana suatu hari poyangnya belayar mengembara mengikut kapal seorang saudagar. Ketika menghampiri sebuah pulau, dari atas dek kapal poyangnya melihat seekor burung besar yang bercahaya terang terbang di atas awan yang bersepuh bagai emas menuju ke pulau yang terbangun dari laut itu. Ketika kapal berlabuh untuk mendapatkan air dari pulau yang terbangun dari laut itu, poyangnya turut serta. Tetapi ketika di pantai, dia memisahkan diri menghala ke arah terbangnya burung besar bercahaya laksana emas bersepuh di langit tadi. Dia sebenarnya melihat lebih daripada itu. Dia mengikuti arah burung itu dan akhirnya sampai di sebuah teluk yang keindahannya adalah secabik tanah yang terlontar jatuh dari syurga. Di situ dia melihat sang burung bersayap emas tadi sedang berdiri dengan dua belah kaki dan wajah bidadarinya bertelut menengadah langit. Dia terfana. Tenggelam dalam rasukan rasa sepertikan beralun hanyut di atas tubir ombak yang jatuh-bangun jatuh-bangun mendebur sunyi. Seketika bidadari burung bersayap emas itu melepaskan sayapnya – yang ada sebatang tubuh telanjang yang maha indah. Berjalan dan menyesap ke dalam ombak. Sekujur tubuhnya menggeletar. Burung – bidadari – syurga – ombak – langit bersepuh emas.

Lama dia terkaku melihat bidadari burung bersayap emas dikepung ombak. Berenang memainkan riak air. Matahari di atas redup sepertikan malu. Ketika angin menampar kepalanya, dia diterkam ilham. Kemudian perlahan-lahan dia turun ke pantai dan mengambil sayap bersepuh emas lalu pergi menyembunyikannya. Dia menunggu bidadari itu naik ke pantai. Ya, bidadari itu naik ke pantai dan mencari sayapnya tetapi apa yang ditemuinya ialah seorang pemuda berwajah lembut yang menutup mata dengan kain serbannya. Di tangan pemuda itu terhulur kain kaftan dan bukan sayap bersepuh emasnya lagi.

Akhirnya dia berkahwin dengan bidadari burung itu sehingga memperolehi dua orang anak. Bidadari burung menjadi seorang gadis cantik yang menggugurkan setiap jantung manusia. Tetapi suatu ketika isterinya sang bidadari itu menemui sayapnya yang disembunyikan sang suami. Sang isteri tersebut mengambilnya lalu terbang kembali ke negeri asalnya meninggalkan sang suami menjadi majnun yang seumur hidupnya memendam rindu cinta derita. Negeri asal bidadari burung itu dikatakan bernama Wak Wak, sebuah tanah indah yang jauh dan terasing. Mas’udi, sejarahwan Arab mengatakannya terletak di timur Afrika melewati Zanzibar. Marco Polo menghuraikan Wak Wak adalah tanah Amazon iaitu pulau para wanita di Socotra. Ada yang mengatakan ia terletak di Seychelles, Madagascar atau Melaka. Ada pula yang mengatakan ia terletak di China atau Jawa. Sang suami ahli sufi dari Baghdad itu meninggal dunia dalam kesengsaraan cintanya. Tetapi keturunannya menjadi pedagang, pelayar dan pendakwah. Seorang daripada keturunannya datang belayar ke Melaka, berdagang dan menyebarkan Islam. Pada masa yang sama mencari jejak nendanya bidadari burung di tanah Wak Wak yang misteri itu. Dari keturunan itu lahir Zuber di hadapanku ini. Titisan darah bidadari burung dan ahli sufi dari Baghdad.

Zuber menghirupkan capucinonya perlahan, seperti mencicip kelazatan yang tumbuh dari haruman kopi itu. Aku memerhati Zuber. Hidungnya mancung dengan alis mata lentik di sayap kening beriras helang. Matanya tajam seperti tikaman pedang. Bangun tubuhnya lampai. Ya, titik darah bidadari burung dari pulau Wak Wak yang bersatu dengan darah ahli sufi dari Baghdad melahirkan pemuda seiras Harun al-Rashid.

”Bidadari burung mengajarkan kepada poyangku tentang kebebasan. Semangat kebebasan. Kebebasan adalah sepasang sayap yang membuatkan makhluk tidak terikat kepada bumi mahupun kepada langit.” Zuber meletakkan cawan capucinonya ke meja. Matanya melepas pandangan jauh melayar.

Aku cuba mencari arah pandangan Zuber. Tetapi apa yang aku temui ialah pandangan itu membalik masuk ke dalam kepalanya. Berterbangan dalam wilayah akal yang melepasi tembok-tembok yang mengurung apa yang dikatakan kebebasan. Zuber seperti mencari sayap yang tersembunyi untuk melepaskan akal fikirannya terbang sebebas-bebasnya – seperti bidadari burung yang mengajarkan kebebasan kepada poyangnya.

Aku meneguk kopi pahit, cuba menyerapkan kelazatan daripada kepahitannya. Tetapi lidahku tidak mampu memenuhi keinginan perasaanku. Aku hanya merasakan kepahitan yang tumbuh dari kopi – tanpa punya kelazatan apa-apa. Kami berpisah setelah Zuber mencicip kelazatan terakhir dari capucinonya. Dan aku meneguk kepahitan kopi yang perit ke tekakku dengan penyesalan membayar harga yang tidak setimpal dengan ketidaknikmatan yang aku terima. Tidak ada apa-apa yang istimewa pada pertemuan dan bual kosong meneguk pahit kopi bersama Zuber petang itu. Tidak ada apa-apa yang istimewa kecuali penyesalan terhadap mahalnya bayaran untuk ketidaknikmatan kopi yang pahitnya mengesatkan lidah, gigi dan gusiku. Mungkin aku tiada deria perasa sakti keturunan bidadari burung yang dapat mencicip kelazatan yang tumbuh dari bumi.

Aku memandu pulang. Jalan lancar dan tenang. Sedikit redup. Aku mendongak melihat jika redup itu adalah kerana sepasang sayap yang menutup awan. Alangkah indahnya jika ia adalah bidadari burung seperti yang ditemui oleh poyang Zuber. Tentu aku akan mengikutinya, bersembunyi mengintai sang bidadari burung itu mandi dan kemudian menyembunyikan sayapnya. Tentunya sang bidadari burung tidak mempunyai pilihan lain selain daripada mengahwini aku. Tetapi tidak – redup awan hanya semata redup awan; ia cuma bayang yang jatuh dari langit.

Aku keluar dari kota – yang pada saat itu sedang tumbuh dan lahir kaum liberal, bermula dari pojok-pojok bual di kota, kelab-kelab seniman, merebak ke buku-buku, institusi pengajian tinggi, parti politik masuk ke dalam teater, filem, idealisme sosiopolitik dan menjadi nadi baru kehidupan kota. Golongan muda segera menganut semangat liberal dan menuntut pembaharuan-pembaharuan liberal dalam politik, ekonomi, budaya dan sosial. Mereka kemudian membangunkan meritokrasi dan pluralisme, menyelongkar dan mentafsir semula segala-galanya termasuk syariat, hadis dan al-Quran, dan merebakkannya seperti sebuah wabak yang menular pantas. Aku meninggalkan kota sebelum wabak itu membunuhku. Aku memandu keretaku jauh sehingga tiba ke sebuah dusun kecil di luar kota. Di sini rumahku dan di sini segala-galanya cukup buatku. Aku mahu menghindari dan melupakan dunia yang pikuk itu.

Aku berehat dan menikmati udara segar yang lewat bergesel dengan daun-daun buluh datang menggesel hidungku dan jatuh setitis-setitis seperti mutiara putih ke tanah. Ketika leka menikmati angin yang khayal membuai, aku teringat tentang cerita bidadari burung Zuber. Aku menghayun langkah ke arah kandang kecil yang berjaring menutup semuanya. Aku mencari beberapa ekor burung ketitir yang dihadiahkan kepadaku oleh Mustafa, seorang teman dari Kelantan. Kata Mustafa burung ini ada tuah dan ada sialnya. Tanda-tanda yang ada di badannya boleh menceritakan tentang tuah dan takdir yang mengikutinya. Aku melihat rupa tiga ekor ketitir itu

Seekor burung ketitir ini tubuhnya putih rintik. Sedang kakinya merah tua dan dadanya pun merah tua bertemu suaranya halus lembut. Maka burung ini terlalu baik ditaruh di rumah dan harkat barang siapa yang memeliharanya. Seekor lagi tubuhnya putih dan merah, kakinya seperti udang dibakar dan suaranya lembut tubuhnya kecil sedang paruhnya seperti paruh nuri apabila berkokok atau bersuara maka ia mengangkatkan leher atau ekornya. Maka burung ini harus dipelihara kerana membawa rezeki yang tidak putus-putus kepada tuannya. Seekor lagi tubuhnya warna rabak-rabak, kakinya merah besar, sementara urat matanya berlingkar tiga, sedang suaranya kayu manis. Burung ini terlalu bertuah lagi pembunuh hendaklah pelihara baik-baik faedahnya seperti menaruh intan yang bertuah. Paling bertuah kata Mustafa jika mendapat burung ketitir berjambul kepalanya, juga berjambul ekornya jika dibilang ekornya sebelas. Inilah Menteri Burung namanya, terlalu baik barang siapa yang menaruhnya di rumah, dijauhkan Allah taala bala ke atas tuannya. Jika ada burung seperti ada ekornya lima belas itulah Raja Burung dan barang siapa yang menaruhnya di rumah barang itu alamat rumah tidak akan dimakan api.

Menteri Burung dan Raja Burung itu sukar ditemui. Kata Mustafa sepanjang hidupnya dia hanya sekali bertemu dengan Menteri Burung dan Raja Burung ini. Ditaruh oleh pemiliknya tidak mahu diberikan kepada sesiapa. Pemilik Raja Burung itu pula ketika seluruh kawasan rumahnya di makan api, hanya tinggal rumahnya yang terselamat. Lebih menakjubkan api yang marak membakar kampung itu sedikit pun tidak menyentuh rumahnya terletak di tengah-tengah kebakaran itu.

Kata Mustafa, burung ini juga ada tanda celakanya. Ini fasal pada menyatakan celakanya burung ketitir bermula jika ada burung itu rangkang paruhnya itupun celaka dan jika kelabu rahu celaka dan jika hitam matanya sangat itupun celaka dan jika paruhnya lebah dibuatnya celaka dan jika balik bulunya celaka dan jika enam belas ekornya celaka dan jika besar tubuhnya kecil matanya celaka dan jika merah matanya lintak tubuhnya celaka dan jika hangus bulunya celaka dan jika ia bunyi suaranya surat mengimbas sayapnya celaka dan jika panjang kakinya sebelah pendek sebelah celaka dan jika ekornya panjang daripada tubuhnya celaka dan jika rendah dahinya atau kepalanya pipih celaka dan jika ia menguku surat ia meratas celaka dan jika kakinya seperti kaki itik itupun celaka dan jika kakinya hitam celaka palit yang amat celakanya. Wallah huallam.

Apakah tanda yang dipunyai bidadari burung? Tanda tuah atau tanda celaka? Aku mengangkat pandanganku mendongak langit. Mencari kibaran sayap emas yang mungkin terbang melepasi dangauku ini. Biar ia lalu dan biar aku lihat tanda tuah dan tanda celakanya. Kata Zuber, bidadari burung yang ditangkap poyangnya ada tanda putih di tengah belakangnya dan ada pusaran di tapak kakinya, besar matanya serta putih jarinya. Itu tanda tuah kataku. Tetapi kata Zuber lagi, tubuhnya ramping sedang bulunya merah dan berbunyi segenap malam. Itu tanda celaka kataku. Zuber diam. Tetapi kemudian menggeleng kepala mengatakan tidak percaya kepada tanda tuah dan tanda celaka yang aku katakan. Aku membiarkan Zuber, memberikannya kebebasan untuk memilih yang yang dipercayainya benar atau tidak. Tetapi aku menyedari bahawa bidadari burung yang ditangkap poyang Zuber itu punya tanda tuah dan tanda celakanya.

Bunyi ketitir bersahutan tenggelam dalam angin yang melimpah turun dari bukit. Aku tidak tahu sama ada angin itu turun dari bukit di belakang dusun kecil ini atau melayah naik dari danau kecil di sebelah timur. Tetapi desir dan baunya seperti angin barat. Remang matahari seperti sudah mencapah bayang asar. Aku berpusing keluar untuk menunaikan solat asar. Kepalaku terasa-rasa sejuk air wuduk menyerap ke muka, tangan, kepala dan kakiku. Bau angin semakin keras. Menjelajah seluruh dusun kecil ini, menarikan jemarinya menggerakkan daun dan ranting berpupuk menari-nari. Segugus angin yang terjatuh dari syurga menghembus sejuk menggeletar ke tubuhku. Aku meraup muka dan bergerak pergi.

Sudah dua minggu aku tidak berhubungan dengan Zuber. Aku sibuk dengan urusanku, sedang Zuber tentunya sibuk dengan urusannya (aku tidak merasakan ada keperluan untuk memberitahu apa urusanku dan apa urusan Zuber). Ada beberapa kali aku turun ke kota. Suasana kota sekarang sedang hangat dengan gerakan liberal. Anak-anak muda bangkit berapi-api dengan semangat liberal. Blog-blog dipenuhi dengan pelbagai fikiran yang memberi sejuta tafsiran. Sementara di sebelah pihak lagi, muncul penentang-penentang kaum liberal yang tidak bersetuju dengan tanggapan-tanggapan keterlaluan kaum liberal.

Sebuah masyarakat majmuk yang lahir daripada sejarah kolonial mempunyai bentuk budaya, masyarakat dan politik yang bergaul antara peribumi dan kaum pendatang yang kemudian menjadi peribumi – sukar untuk menerima semua prinsip liberal secara membuta tuli. Revolusi Peranchis juga tidak akan melahirkan liberalisme jika masyarakat yang mencetuskan revolusi itu adalah masyarakat heterogenus atau masyarakat majmuk yang bergaul antara bangsa asal Peranchis dan bangsa pendatang seperti Peranchis hari ini. Doktrin liberal hanya berjaya dalam sebuah masyarakat homogenus dan bukan dalam sebuah masyarakat heterogenus. Maka itu semangat liberal dari revolusi Peranchis dan revolusi Amerika Syarikat hanyalah sebuah kerangka lama daripada pemikiran klasik yang sudah tidak terpakai dalam konteks masyarakat hari ini.

Maka itu Barat pada hari ini mengubah suai kerangka liberal menjadi sesuatu yang dapat mempertahankan hegemoni kulit putih tetapi dalam masa yang sama dapat digunakan sebagai retorik untuk kononnya kebebasan sejagat. Tetapi kebebasan sejagat ini tidak muncul apabila ia bertembung dengan kepentingan kaum kulit putih. Masyarakat Islam di Eropah contohnya melalui diskriminasi agama dan bangsa di negara yang kononnya pengasas dan pendokong fikiran liberal ini. Begitu juga di Amerika Syarikat (sebuah negara Yahudi sebenarnya), kebebasan sejagat sentiasa dibom oleh kepentingan ekonomi-politik Amerika Syarikat. Semangat liberal menjalar di negara-negara ketiga yang lahir daripada sejarah kolonial menjadi sebuah gerakan yang aneh apabila mengambil tempat untuk menyingkirkan hak sejarah bangsa peribumi dan menentang agama Islam. Fikiran liberal ini seperti tanah liat yang boleh dibentuk demi mana-mana kepentingan. Apatah lagi ia diangkat sebagai fikiran moden yang bergerak seiring dengan teknologi moden. Lantaran itu fikiran liberal sering digunakan serentak secara positif-negatif. Seperti menyingkirkan sistem politik yang korup (positif) tetapi dalam masa yang sama menyingkirkan status quo sosial (negatif) termasuk menghapuskan hak bumiputera dan menentang autoriti Islam.
Aku mengambil keputusan untuk menelefon Zuber, setelah membuka blognya dan membaca kenyataan panjang lebar Zuber mempromosikan pluralisme agama. Prinsipnya mudah – semua agama adalah sama. Zuber telah lama aku tahu merupakan pendokong penting kaum liberal. Zuber acapkali menjadi pemimpin forum kaum liberal dan mempunyai pengaruh yang tidak kurang hebat di kalangan golongan muda yang tercari-cari arah perjuangan liberal mereka (sebahagian kaum liberal sebenarnya terdiri daripada mereka yang bingung dengan apa sebenarnya liberal itu sendiri dan mereka yang mencari populariti murahan tanpa mempunyai fikiran yang jelas tentang apapun yang mereka perjuangkan). Zuber menjawab telefonku. Aku mendengar salam panjang penuh sinikalnya. Kemudian tawanya berderai di hujung salam.

”Ya, aku menjangka kau menelefonku. Kau baca blogku?” Zuber aku bayangkan sedang tersenyum memandangkan daripada suaranya seperti ada gelak kecil.

”Jom, kita minum.” Aku menyambut juga dengan gelak kecil. Aku tidak pernah memusuhi perbezaan pendapat. Itu lumrah. Kehidupan adalah warna warni. Jika hidup hanya perlu bersetuju dengan satu pendapat – ia adalah sebuah kehidupan hitam putih yang sangat membosankan. Tetapi kehidupan hitam putih ini juga kadang kala wujud sebagai sebuah noir, yang menjadikan watak-wataknya lebih kompleks daripada kehidupan yang berwarna warni.

Aku tiba di Starbuck di sebuah pusat belah Bangsar, pusat kaum liberal bertemu dan berforum ini lebih awal. Pertama, aku tidak selalu datang dan tidak mahu terkial mencari tempat letak kereta. Kedua, aku ingin duduk berehat melihat-lihat. Mungkin ada bidadari burung yang disembunyikan atau menyembunyikan sayapnya dalam puak liberal yang berkumpul di situ (libidoku sangat mencitakan seorang bidadari burung menjadi pacaranku, tentu dia berkulit putih bermata biru berambut perang bertubuh giur jika tidakpun seorang gadis pintar-jelita-ghairah). Tetapi selalunya aku duduk tanpa sesiapa mengambil tahu kehadiranku, ya aku selalunya tidak wujud dalam mana-mana pandangan mereka (ia membuatkan aku terfikir tentang anak-anak muda Melayu yang datang dari kampung-kampung tiba-tiba menjadi pendokong liberal paling wahid, mungkin kerana rasa rendah diri membuatkan mereka ingin diterima dalam kalangan kaum vernakular kosmopolitan kaum liberal asli yang bergaya serta pintar-jelita-ghairah ini. Aku rasa aku tidak menghina barangkali).

Zuber tiba tidak lama. Kami berbual seperti biasa. Zuber seperti biasa pergi memesan capucinonya. Aku sudah lupa apa minuman yang enak di sini, hanya memesan coffee latte (sebenarnya berkali-kali aku nyatakan aku tidak pernah pun berbangga untuk menyatakan aku berada di Starbuck dengan minuman pelik yang mahal ini. Tetapi aku sememangnya berada di sini dengan lakonan bergayaku).

“Mengapa dengan tulisanku. Dan mengapa pula agama yang semuanya menyembah tuhan itu tidak sama. Bukankah semua agama itu sama.” Zuber bertalu-talu menerkamku. Aku diam sebentar.

“Islam tidak sama dengan agama lain.” Aku perlu jelaskan ini dahulu.

”Agama seseorang bukanlah satu-satunya sumber yang eksklusif bagi kebenaran. Dalam agama-agama lain pun dapat ditemukan kebenaran, paling tidak pun satu bentuk kebenaran atau nilai-nilai kebenaran.” Zuber tenang mencicip capucinonya.

”Tidak ada suatu agama di muka bumi ini yang benar kecuali Islam, penutup segala agama dan membatalkan ajaran agama-agama sebelumnya.” Aku menyanggah Zuber. ”Banyak ayat al-Quran menegaskan dengan jelas tentang perkara ini.”

Barangsiapa mencari agama lain selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yag rugi dan Islam setelah Muhammad diutus iaitu: yang dibawa oleh beliau dan bukan agama selainnya. Ali Imran: 85. (aku menyalinnya dan tidak mungkin aku mahu berkhutbah sepertimana yang terdapat dalam sebahagian cerpen-cerpen penulis yang menyalin ayat al-Quran berjela-jela).

Perdebatan kami berlangsung lama. Zuber seperti biasa tidak akan menerima segalanya dengan mudah. Aku juga. Maka kami tetap dengan pendirian masing-masing. Aku tidak dapat mengubah Zuber dan Zuber juga tidak dapat mengubah aku. Akhirnya kami mengubah topik perbualan, tetapi kerapkali ia kembali kepada perdebatan tadi juga.
”Aku ada gambar bidadari burung yang ditemui di Amerika Selatan.” Zuber menyorongkan sekeping kertas A4 yang bercetak warna. Ia sebuah foto wanita telanjang yang bersayap. Aku melihatnya dengan takjub.

”Mana kau dapat? Internet.”

”Bukan. Dari sumber yang tidak perlu kau tahu.”

Aku akur dan tidak perlu bertanya tentang itu lagi. Aku memerhati lama. Zuber berehat sambil meneguk capucino dan menghabiskan donatnya. Kami membiarkan suasana jeda yang panjang. Membiarkan butir-butir sunyi itu membina kembali jambatan persahabatan yang bergoncang dirempuh debat tadi. Selalunya begini yang kami lakukan; setelah berdebat dan berhujah tanpa kalah menang – kami akan berdiam dan membiarkan diam itu mengembalikan semula keakraban kami. Aku melihat sesuatu yang aneh dalam foto ini. Bidadari burung ini kelihatan kakinya pendek sebelah. Sementara ekornya lebih panjang dari tubuh (ekor ini dikatakan hilang apabila sayapnya ditanggalkan). Aku menatap lebih dekat. Bukan untuk melihat buah dadanya tetapi melihat dahinya itu rendah dan kepalanya seperti pipih. Mataku melorot ke bawah bukan melihat paha putihnya tetapi melihat kakinya yang seperti itik dan terpalit hitam. Ini semua tanda celaka. Aku tidak mahu berkata apa-apa kepada Zuber. Aku menyerahkan kembali foto itu kepada Zuber. Aku diam sambil otakku menyambung-nyambung silang kata menghubungkan teka teki bidadari burung dan poyang Zuber.

Poyang Zuber seorang ahli sufi yang berubah pegangannya setelah berkahwin dengan bidadari burung. Poyang Zuber yang diajari tentang kebebasan oleh bidadari burung kemudian menjadi pengikut aliran Wasil ibn Atha, mengembangkan faham muktazilah ke seluruh Baghdad. Faham ini kemudian bangkit dengan gagah setelah Al-Makmun, murid imam muktazilah Abu al-Hudzail menjadi khalifah Abbasiyyah. Akal fikiran adalah kebebasan yang sejati. Ia harus diberikan sayap untuk melepasi belenggu bumi dan ikatan langit. Makna kebebasan dirungkai oleh kekuatan dan ketidakterbatasan akal. Ia berkembang dan melahirkan anak pinak kepada kepercayaan terhadap ketidakterbatasan akal. Maka muncul kebebasan untuk mentafsir dan melihat semula segalanya daripada kekuatan ketidakterbatasan akal. Tetapi poyang Zuber juga dikatakan masuk dalam golongan zindiq yang mencampurkan agama-agama purba Parsi ke dalam Islam dan kemudian menyamaratakan semua agama. Kaum zindiq juga penganut faham kebebasan sejagat. Hal ini mungkin menyebabkan poyang Zuber kemudian terpisah daripada aliran Wasil ibn Atha yang menyerang kaum zindiq. Bidadari burung kemudian muncul dalam banyak cerita. Bidadari burung muncul di Eropah, di Peranchis, di Itali, Jerman, England juga di Rusia pada zaman pencerahan Eropah. Ditangkap atau sengaja datang dan berkahwin dengan manusia di sana. Keturunan mereka berhijrah ke Amerika Syarikat. Bidadari burung juga pernah muncul di Amerika Selatan berkahwin dengan seorang Jeneral dari kaum sosialis yang menjadi diktator di salah sebuah negara di Amerika Latin. Aku membayangkan tentang tanda-tanda celaka di tubuh badan bidadari burung, walau ada juga tanda-tanda tuah sepertimana yang digambarkan oleh Zuber tentang bidadari burung isteri poyangnya.

Aku tidak mempunyai apa-apa keluarbiasaan untuk menamatkan cerita ini. Dan cerpen ini juga tidak ditulis untuk mempropaganda siapa benar dan siapa salah. Kedua-dua kami tetap sahabat. Hanya ketika kami mahu berpisah, aku berkata kepada Zuber sambil berlucu dan bergelak kecil.

”Zuber, liberalis yang terawal di dunia ialah Iblis – kerana dialah satu-satunya makhluk Tuhan yang terawal mempersoalkan Tuhan.”

Aku mahu pulang cepat. Ada telefon daripada Mustafa bahawa dia mendapat tahu ada seorang tua di Kelantan mempunyai Raja Burung, ketitir yang ada ekornya lima belas. Aku berkira-kira duit yang ada padaku sekarang, mungkin aku boleh pergi membelinya dengan Mustafa. Aku juga perlu beredar untuk menunaikan solat zuhur yang hampir masuk waktnnya.

...jika ada tubuhnya junjung baik jika ada matanya besar baik dan jika ada kuku jarinya putih itu bertuah jika matanya merah itu pun bertuah dan matanya berkuri itu pembunuh jika siapa anaknya putih besar tuahnya jika ada pucuk pandan demikian juga jika putih sehelai diminyaknya itupun benuh jika ada sisik tujuh sebelah bima namanya pembunuh jika sisiknya lima belas sebelah sekola sediwa namanya jika ada sisik lima sebelah sekola sediwa... ya Allah ya Rabbi ya syaiyidi ya maula ya TuhanKu assalamualaikum masihi yang keramat auliya Allah empat penjuru alam terimalah kadari aku ini hai segala auliya Allah segala wali Allah terimalah ka diri aku ini assalamualaikum hai syekh Abdul Kadir assalamualaikum hai syeikh Abdul Abas assalamualaikum hai syekh Abdul Marib assalamualaikum hai Abdul Ali syekh ....

Dewan Sastera, Oktober 2010

Wednesday, October 6, 2010

KOMEN PAGI KHAMIS

IDEALOGI TELAH MATI

Dahulu gerakan penulis didorong oleh idealogi baik idealogi kiri atau kanan. Golongan kiri membawa faham sosialis atau komunis sementara golongan kanan dengan faham nasionalis yang membentuk juga golongan demokrat. Perjuangan bahasa adalah sebahagian perjuangan idealogi golongan kanan. Namun pada hari ini apabila perjuangan bahasa dan bangsa ingin dibawa lagi dengan gerakan idealogi golongan kanan atau kiri, ia sudah memakai kaedah yang tidak menepati situasi zamannya. Idealogi telah mati. Golongan kiri atau kanan sudah tidak wujud dalam pengertian yang jelas seperti dahulu. Maka itu perjuangan bahasa perlu mencari kaedah atau pendekatan baru yang tidak lagi terkurung dalam pendekatan abad ke-20 itu. Lupakanlah idealogi-idealogi lama yang masih dilaung-laungkan golongan tua dalam nostalgia perjuangan mereka. Ia bukan menolak sejarah tetapi terlalu terkurung dalam nostalgia sejarah akan membunuh dinamisme masa hadapan. Golongan muda perlu membina paradigma mereka yang tersendiri dalam perjuangan bahasa dan perjuangan apa pun tanpa terperangkap dengan pendekatan dan doktrin lama golongan tua. Sekali lagi ia bukan memusuhi golongan tua tetapi 'the old men burdens' yang meletakkan bahawa keputusan masa hadapan golongan muda harus diputuskan oleh golongan tua adalah sebuah paternalistik yang merontokkan kemajuan dan keberdikarian golongan muda. Perjuangan bahasa dan masa hadapan harus diletakkan paradigma baru dari tangan golongan muda.


MYIOPIA PEMBENTUKAN NEGARABANGSA

Saya pernah membaca bahawa Richard Wagner tokoh teater, sastera dan pemikir Jerman sahabat Friedrich Nietzsche membawa semangat bangsa Jerman dalam teater-teater yang mengangkat mitos lama bangsa Jerman. Teaternya seperti Ring of Niebelung adalah antara mahakarya agung Wagner yang mengangkat mitos purba bangsa Jerman. Saya segera menyimpulkan berdasar penulisan tentang pemikiran Wagner untuk menerapkan keperibadian Jerman itu sebagai perkaitan mitos bangsa dengan semangat membina keperibadian bangsa. Mitos, lagenda dan sejarah adalah asas kepada pembinaan sebuah negara bangsa. Pada Seminar Sastera Asia Tenggara di Jakarta 27 September 2010 ini saya berpeluang berbual dengan seorang pemakalah dari Jerman iaitu Dr. Gabrielle E. Otto dari DAAD. Saya bertanyakan tentang peranan Wagner dalam konteks hubungan budaya, mitos dan sejarah terhadap pembentukan negara bangsa Jerman. Dr. Gabrelle menyatakan Wagner dan mitosnya tidak ada kaitan dengan pembinaan negara bangsa Jerman. Sebaliknya penubuhan negara bangsa Jerman adalah lahir daripada paradigma baru golongan muda pada era Bismarck dan Hitler. Jerman menguasai hampir seluruh Eropah dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua merupakan hasil kekuatan yang bangkit daripada paradigma baru di tangan golongan muda. Bukan mitos, nostalgia dan romantisme sejarah yang disangka oleh kita selama ini.


PUDURAYA DAN UDA HOLDING

Puduraya yang dinaiktaraf dikatakan akan siap sebelum hari raya aidil fitri september 2010 yang lepas. Itu kata NurJazlan Rahmat, pengerusi Uda Holding yang berusia setahun jagung. Untuk sementara, Bukit Jalil dijadikan perhentian bas menggantikan Puduraya yang dibaikpulih itu. Sehingga kini Bukit Jalil menjadi sesak dan lecak oleh bas-bas. Janji Nur Jazlan hilang, dan dia sendiri diam tanpa berasa bersalah apa-apa atas janji palsunya. Kita menjadi hairan bagaimana Uda Holding dipengerusikan oleh seorang ahli politik yang tidak ada meritnya dalam profesionalisme pembangunan bandar. Tetapi masalah besar sebenarnya ialah tentang GLC di Malaysia yang ditadbir urus oleh ahli politik. Apakah merit yang digunapakai untuk ahli-ahli politik ini menduduki jawatan penting dan berpengaruh dalam GLC. NurJazlan adalah anak kepada Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat yang banyak berjasa kepada UMNO. Maka kerana jasa bapanya dan kedudukannya sebagai exco pemuda UMNO maka dia dilantik menjadi pengerusi Uda Holding. Maka merit yang terpakai di sini ialah merit politik. Merit politik yang menggantikan merit profesional inilah yang menghancurkan keberkesanan dan kecekapan tadbir urus GLC dan pembangunan negara. Seterusnya ia membentuk kembali 'rupa-rupa feudal' dalam wajah demokrasi yang pura-pura. Apakah yang akan dijawab oleh ahli politik ini apabila janjinya gagal dikotakan? Senyap dan melupakannya. Inilah hasil NKRA daripada merit politik.

Sunday, October 3, 2010

SINDROM MEDIOCRITY DALAM SASTERA

Sindrom mediocrity atau sindrom pertengahan yang menyelimuti masyarakat dan seterusnya melahirkan masyarakat mediocre turut merebak dalam dunia sastera pada hari ini. Masyarakat mediocre adalah masyarakat yang hidup dalam tanggapan yang palsu dengan meletakkan tujuan hidup mereka semata-mata untuk menjalani rutin, berfikir secara mudah atau simplistik, menurut, menerima tanpa soal, dan mengakhiri hidup dengan seadanya. Paling penting bagi mereka ialah mengelakkan kompleksiti dan menjalani rutin tanpa soal. Masyarakat mediocre ialah masyarakat mempunyai upaya yang sangat minimum untuk mencipta perubahan dan pembaharuan dalam kehidupan mereka. Selebihnya mereka menjadi masyarakat pengekor, penurut dan pembonceng kepada segala bentuk pemikiran serta perubahan yang dicipta atau dibawa oleh orang lain. Secara umum masyarakat mediocre melahirkan manusia berjiwa kecil, lumpuh pemikiran, tiada keberanian meneroka dan tiada keyakinan jatidiri. Mereka gemar mengambil jalan tengah iaitu jalan mudah kepada setiap perkara dan tidak mahu lagi menggunakan daya fikir yang serius.

Sindrom pertengahan dilihat mula merebak dan menjadi barah dalam masyarakat Malaysia pada hari ini. Kegemaran yang luar biasa terhadap hiburan kosong yang semata-mata memenuhi keriaan hati tanpa mempunyai motif kesedaran telah hampir melumpuhkan budaya tinggi yang wujud dalam masyarakat. Bermula dengan nyanyian dan muzik yang mencipta dunia hiburan kosong, ia merebak kepada filem, teater, budaya seperti dalam tarian, dan akhirnya dunia sastera. Filem Melayu hari ini telah memperlihatkan bagaimana sindrom pertengahan ini merosakkan mutu, nilai serta pemikiran yang sepatutnya wujud sebagai inti jatidiri bangsa. Sebaliknya filem-filem Melayu dipenuhi sampah sarap bahan-bahan picisan, simplistik, dan murahan. Tidak ada satu pun pemikiran besar yang dapat dikutip daripada filem-filem Melayu yang termasuk dalam senarai kategori kutipan pecah panggung (boxoffice) sejak hampir dua dekad terakhir ini. Ini memberikan indeks tentang rendahnya pemikiran khalayak penonton filem Melayu begitu juga pembikin filemnya, sekaligus memperlihat betapa kroniknya sindrom pertengahan yang sedang melahirkan manusia mediocre tersebut. Hal yang sama berlaku dalam seni persembahan yang lain seperti teater, muzik dan sebagainya. Tentu ada pengecualian terhadap hasil-hasil yang benar-benar bermutu tetapi ia sangat kecil dan tidak mempengaruhi pergerakan citarasa masyarakat mediocre ini.

Indeks terhadap tahap pemikiran masyarakat Melayu dapat dinilai secara umum daripada kegemaran (kegilaan) luar biasa terhadap hiburan kosong seperti rancangan realiti hiburan di kaca televisyen, karnival hiburan, isu sensasi picisan, dan bahan hiburan bercetak mahupun elektronik. Sementara revolusi teknologi maklumat yang mewujudkan laman sosial, simulacrum dunia maya, dan capaian maklumat tanpa sempadan memperlihatkan indeks tahap pemikiran remaja-remaja Melayu yang rendah. Semua ini menjelaskan betapa kritikalnya kelumpuhan nilai serta pemikiran dalam konteks masyarakat mediocre hari ini. Lebih malang sindrom pertengahan ini juga telah merebak dalam dunia sastera dekad mutakhir ini. Bermula dengan merebaknya novel-novel cinta popular yang ditulis untuk memenuhi citarasa perasaan dan khayalan palsu, ia kemudian merebak ke dalam penulisan sastera seperti cerpen, puisi dan novel sastera serius. Bahkan turut terkais dalam penulisan rencana, kajian serta kritikan sastera yang menyalin dan menerima pakai secara mudah pemikiran lain, khususnya keilmuan Barat.

Sebahagian sarjana sastera dan sasterawan mencari jalan tengah untuk berkompromi dengan bahan-bahan sastera ringan seperti novel-novel popular, dengan menerimanya sebagai hasil sastera. Ia tentunya tidak salah apatah lagi di atas alasan menarik dan meluaskan khalayak pembaca. Ia juga menjadi strategi yang baik untuk menarik masyarakat penggila hiburan kepada buku dan bahan bacaan. Sekurang-kurangnya dapat mendidik perasaan mereka kepada karya penulisan. Tetapi malangnya kompromi ini berjalan sehala dengan desakan untuk melahirkan karya-karya bersifat popular, ringan, dan klise menenggelami upaya untuk melahirkan karya sastera serius. Sastera akhirnya ditekan untuk menjadi bahan penulisan yang main-main demi menghiburkan pembaca mediocre, dan bukan lagi penulisan serius yang melahirkan pemikiran besar.
Maka ahli-ahli sastera (sarjana sastera mahupun sasterawan) yang turut terperangkap dalam sindrom pertengahan kehilangan upaya untuk menggerakkan perubahan dan pembaharuan. Bagi mengatasi ketidakupayaan mereka ini, ahli-ahli sastera mula bergerak ke belakang mencari kegemilangan lama dan akhirnya bertapak mundur mencari alam nostalgia Melayu daripada cerita sawah bendang, desa permai, konflik tradisi-moden, sengketa tanah pusaka dan segala bentuk nostalgia dari zaman abad ke-20 dahulu. Sekali lagi mencari alam nostalgia ini tidak salah, tetapi kesan akhirnya yang menutup dorongan untuk mencipta karya garda depan (avant garde) bagi meroboh konvensi dan status quo telah dibunuh secara klasik. Apabila karya sastera diarah untuk tinggal menetap terkurung dalam status quo sebegini, maka pemikiran-pemikiran baru tidak akan lahir. Lebih malang lagi secara perlahan-lahan (gradual) ia melahirkan dunia sastera yang klise, berjiwa kecil, nostalgik, dan terasing daripada masyarakat. Peranan sastera sebagai pemangkin nilai dan pencerna pemikiran masyarakat pupus. Sastera akhirnya wujud sama ada sebagai hiburan kosong ataupun arkaik klasik di muzium.

Sindrom pertengahan ini mempunyai kesejajaran dengan apa yang disebut oleh Malek Bennabi terhadap sifat masyarakat pasca-peradaban (post-civilized society) atau mujtama’ ba ’da al-hadarat. Beliau menyatakan tentang keadaan masyarakat yang cenderung untuk hidup dalam ’kekosongan’ (thingness), mengekor dan lumpuh pemikiran. Hidup di dalam ’kekosongan’ (atau tidak punya apa-apa) ini bagi beliau adalah akibat daripada keadaan masyarakat yang diserang oleh sindrom pertengahan, diikat oleh kegemaran berhibur dan tidak lagi mahu berfikir. Pada peringkat ini Bennabi menyetujui apa yang dikatakan oleh Ibnu Khaldun bahawa semakin besar (takdis) ikatan kebendaan dan pengejaran kepuasan untuk memenuhi kemewahan hidup membawa kepada kemerosotan rohani dan intelektual. Pada peringkat ini manusia berada dalam keadaan untuk hidup mengambil jalan mudah, fikiran ringan, dan rutin tanpa soal. Manusia dalan kategori ini menurut Bennabi, tidak lagi tahu untuk mencapai tujuan hidup mereka dengan tidak tahu titik mereka bermula dan tidak tahu titik mereka harus berakhir. Mereka menjadi ’titik yang tergantung’ dalam perkembangan sejarah dan peradaban. Malek Bennabi memberikan alegori manusia mediocre ini ibarat ’penggembala tanpa ternakan dan petani tanpa tanah serta bajak’. Manusia mediocre ini adalah manusia yang tercampak keluar daripada dimensi aktif peradaban atau disebut Bennabi sebagai al rajul al kharij min al hadara.

Malik Bennabi menyatakan masyarakat pasca peradaban yang terperangkap oleh sindrom pertengahan ini seperti air yang keluar dari tangki atau kolah yang tidak berguna lagi setelah membasuh kotoran. Ia tidak boleh masuk kembali ke dalam tangki, sepertimana manusia yang telah tercampak keluar tadi (al rajul al kharij min al hadara) tidak boleh lagi masuk ke dalam peradaban lantaran telah lumpuh pemikiran mereka. Maka mereka hanya mampu menjadi pengekor kepada sejarah dan bukan pencetus kepada sejarah. Sebenarnya Malik Bennabi merujuk keadaan ini kepada masyarakat Islam yang runtuh dan lemah setelah jatuhnya umat Islam ke bawah penjajahan Barat. Beliau mengkaji sejarah kejatuhan umat Islam dan melihat titik kejatuhan itu bermula apabila umat Islam yang hidup dalam kegemilangan perlahan-lahan mula lumpuh pemikiran dan kerohanian mereka oleh kerana terperangkap dalam sindrom pertengahan itu. Seterusnya mewujudkan umat Islam sebagai masyarakat mediocre, yakni hilang daya intelektual, moral, jatidiri yang menjadi penyangga tamadun Islam.

Banyak sebab yang mengakibatkan merebaknya sindrom pertengahan ini. Bahkan ia muncul dalam konteks dan milieu masing-masing. Sindrom pertengahan yang merebak di Malaysia, khususnya dalam masyarakat Melayu juga mempunyai sebab dan akibat daripada konteks ekonomi, politik dan sosial yang berlangsung dari dekad ke dekad. Namun sindrom pertengahan yang merebak dalam dunia sastera yang akhirnya melahirkan sastera mediocre adalah akibat daripada kegagalan ahli-ahli sastera mengembangkan sastera serius yang mengangkat pemikiran-pemikiran baru. Sepertimana yang disebut tentang kompromi terhadap citarasa pembaca, sifat populis, dan sentimen nostalgik telah menjadikan sastera Melayu semakin kecil dan lembik. Keberanian memberontak, melanggar konvensi dan meneroka pemikiran baru yang kompleks sering berbentur dengan elemen-elemen yang membentuk jiwa mediocre tadi. Ia akhirnya mendorong ke arah penulisan sastera ringan, popular ataupun sastera yang terperangkap dalam ketaksuban diri. Adalah keterlaluan untuk merendahkan penulisan sastera ringan dan popular atau nostalgik dan sebagainya itu. Namun membiarkan sastera Melayu reput dalam rumah kayu yang usang adalah suatu perkara yang tidak seharusnya berlaku.

Dalam mencari titik kekuatan sastera melalui pelbagai strategi termasuk berkompromi dalam bentuk-bentuk ringan dan popular, ahli-ahli sastera tidak seharusnya mengecilkan ruang kepada kehadiran sastera serius yang mengangkat pemikiran atau tema yang kompleks. Begitu juga dalam mencari jatidiri sastera melalui kecintaan terhadap alam tradisi tidak seharusnya menjadikan nostalgia dari era lepas sebagai titik kepada penilaian mutu sastera. Ini adalah kerana sikap yang berlebih-lebihan terhadap dua perkara ini hanya akan melahirkan sastera mediocre yang tidak memberikan ruang kepada perkembangan pemikiran serta bentuk yang baru dan kompleks dalam dunia sastera. Pemikiran yang kompleks sepertimana kata Malik Bennabi adalah permulaan kepada metodologi dan pemikiran saintifik yang menjadi asas kepada pembangunan tamadun. Sebaliknya sindrom pertengahan yang mengalah kepada tuntutan mediocre hanya akan membentuk peradaban kebendaan yang kosong (thingness civilization) atau disebut Malik Bennabi sebagai hadara shayiyya. Pembangunan prasarana intelektual melalui penulisan sastera yang serius, kompleks dan mengangkat pemikiran masa hadapan perlu menjadi keutamaan ahli-ahli sastera yang bijaksana pada masakini, sekaligus mengurangkan dominasi sastera mediocre yang semakin membarah dalam dunia sastera mutakhir.

Mingguan Malaysia, 26 September 2010

Saturday, September 25, 2010

KARYA PENULIS MUDA

Kebelakangan ini terdapat banyak karya-karya penulis muda yang muncul. Saya mendefinisikan penulis muda relatif usia di bawah 40-an. Rozais dan Zanazanzaly dengan kumpulan cerpen, diikuti oleh Roslan Jomel dengan epal kuningnya. Rebecca Ilham dan Ummu Hani juga dikatakan telah lahir kumpulan cerpennya (saya belum dapat memilikinya). Sebetulnya saya mengumpulkan karya penulis muda terutamanya kumpulan cerpen. Hajat hati hendak menulis sesuatu tentang perkembangan cerpen mutakhir, lanjutan daripada kertas kerja yang pernah saya bentang di UPSI. Sebelumnya telah muncul kumpulan cerpen Saifulizan Yahya, Serunai Faqir, Ibnu Ahmad al-Kurauwi, Nimoiz, WB Rendra selain penulis dari Sabah dan Sarawak seperti Raymond Majumah, Ailin Nor, Jaya Ramba. Juga penulis mapan yang masih dalam lingkungan muda seperti Mawar Shafei dan Nisah Hj. Haron.

Kerancakan ini juga menjalar kepada kumpulan puisi. Riduan Harun, kemudian Serunai Faqir dan bakal terbit Muhammad Lutfi Ishak. Saya melihat perkembangan yang menarik terhadap kebangkitan karya penulis muda. Sudah sampai masanya para pengkaji sastera mengambil karya-karya muktahir dari kalangan penulis muda ini untuk bahan kajian dan penulisan. Sekurang-kurangnya dunia sastera tidak lagi terlalu mengulang-ulang karya yang sudah 'lusuh' diperkatakan sejak dulu sehingga menimbulkan klise terhadap kajian sastera. Saya tentunya bukan menafikan mutu karya-karya terdahulu. Tetapi amat penting untuk dunia sastera beranjak ke hadapan melihat hubungan sastera dengan dunia mutahir khususnya melalui bentuk kepengarangan mutakhir di kalangan penulis muda.

Sunday, September 19, 2010

DOM DI PENA: SASTERA DAN POLITIK

DOM (Dialog Orang Muda) pada 18 September 2010 hangat tentang sastera dan politik. Panel pembicara iaitu Syafiq dari PTS dan Mohd Arif Atan mempunyai fikiran yang tersendiri terhadap isu ini. Antara politik dan sastera siapa menunggang siapa. Hubungan politik dan sastera adalah hubungan yang monumental dan klasik. Hubungan politik dan sastera tentunya tidak sejelas dan seakrab hubungan politik dan ekonomi yang saling memperkukuhkan. Bahkan hubungan politik dan sastera dalam banyak keadaan saling berbentur.

Bahasa sendiri menurut Roland Barthes ialah langage iaitu legislatif dan langue iaitu kod. Kedua-duanya membentuk pengucapan yang merupakan 'the service of power'. Sementara Michel Foucoult pula menyatakan bahawa kekuasaaan bukan suatu institusi atau struktur, dan bukan kekuatan yang dimiliki tetapi situasi strategik dan kompleks dalam masyarakat. Maka kekuasaan ada di mana-mana dan datang dari mana-mana. Saya tidak ingin membicarakan topik politik partisan yang sempit dalam melihat hubungan politik dan sastera tetapi cuba membawa suatu pemahaman struktural terhadap hubungan ini.

Saya menyatakan bahawa sastera harus menjadi senjata politik, bahkan kuasa malah gelombang politik itu sendiri. Dalam aspek sosial hubungan ini memperlihatkan sastera yang muncul menjadi pernyataan politik menentang kezaliman, ketidakadilan, penyelewengan, rasuah dan segala macam barah politik. Tidak terkecuali membawa idealogi dan falsafah politik. Tetapi dalam aspek struktural ia melihat budaya dan struktur sosial yang dikatakan lahir daripada produk kekuasaan tetapi pada hakikatnya merupakan hasil daripada ikatan sosial dan keperluan manusia. Ia kembali kepada pernyataan Foucoult bahawa kekuasaan bukan milik tetapi strategi.

Apabila saya menyatakan bahawa sastera Malaysia lembik kerana tidak menjadi senjata politik atau kuasa dan gelombang politik maka saya melihat dari aspek sosial dan juga aspek strukturalnya. Pertama sastera yang besar dan hebat ialah pernyataan politik sebagaimana sastera Amerika Latin di tangan Lhosa, Marquez dan sebagainya. Begitu juga sastera di Rusia, Eropah, Cina dan Afrika - sastera yang besar semuanya memperkatakan tentang keberanian berpolitik, menjadi senjata dan gelombang politik. Bahkan di Malaysia, novel Putera Gunung Tahan di tangan Pak Sako, karya-karya Shanon Ahmad, Arenawati, S. Othman Kelantan, A. Samad Said, Anwar Ridhwan dan ramai lagi menjadi hebat oleh pengucapan politiknya.

Dari aspek struktural, sastera adalah bahasa yang bermatlamat kepada kekuasaan dalam ertikata memiliki situasi strategis dan kompleks. Pemahaman struktural tidak dapat tidak melihat sastera adalah situasi strategis yang kemudiannya membentuk situasi politik atau kekuasaan tersebut. Sastera tidak akan muncul dalam sebuah kekuatan yang ampuh jika tidak memiliki situasi strategis ini. Maka di sini politik bukanlah pemahaman sehala tentang politik partisan tetapi lingkungan yang membentuk budaya yang melahirkan politik partisan itu sendiri.

Banyak pandangan yang menarik daripada penulis muda dan amat penting sekali melihat bagaimana apabila penulis muda atau golongan muda ini diberikan ruang, mereka mempunyai kebijaksanaan yang tidak diduga dalam persepsi intelektualnya. Amat malang sekali golongan tua yang masih tidak berhenti-henti mahu menjadi bintang di meja forum tidak hadir melihat fikiran golongan muda yang jauh meninggalkan kebekuan dengan doktrin era abad ke-20 mereka. Kekuasaan (politik) ada di mana-mana dan datang dari mana-mana. Pengucapan ini dan pengucapan para penulis muda baik yang bersetuju atau menyanggah juga adalah parole iaitu pengucapan (speech) yang menuju kepada matlamat politik. Sastera adalah senjata politik sebagaimana bahasa wujud sebagai kod kekuasaan.

Sunday, August 15, 2010

MEMBERSIH SAWANG DI LAMAN SESAWANG

Pagi ini saya bangun dan terasa ingin melihat blog yang dah lama bersawang. Sebulan lebih tak menulis blog (tapi sebenarnya tak ada pun yang penting, tulis tak tulis). Ada kesibukan yang tidak terhurai. Alhamdulillah bulan kesibukan Julai akhirnya berakhir. Masih juga sibuk tapi bolehlah kembali kepada rutin menulis blog dan bercanda di alam siber.

Bulan Ramadhan alhamdulillah diberi masa yang agak lapang untuk membuka al-Quran dan berterawih setiap hari. Sesuatu yang dapat dirasakan sepanjang sebulan dua ini ialah besarnya kekuatan doa. Saya segera teringat kata-kata Iqbal, "Jika takdir membuatmu merana, pintalah kepada Tuhan takdirmu yang lain." Doa itu boleh mengubah takdir.

Lalu berdoalah, kata ustaz ketika saya kecil dulu, sesungguhnya manusia yang tidak berdoa itu adalah manusia yang sombong.

Salam Ramadhan al mubarak. Ahlan Ramadhan al-karim. Allahu akram.

Monday, July 5, 2010

SAYAP MATAHARI



waktu meniti di banjaran pokok, sedang takdir tertulis di urat-urat daunnya



5 julai 2010

angin meniti dari pokok ke pokok menembusi waktu yang berbanjar detik ke detik. aku mengira hari-hari yang berlalu tetapi selalu terlupa mengira waktu yang tersisa. kehidupan adalah waktu yang pendek tetapi kita sering merasakannya panjang. Waktu seringkali juga tidak kita rasakan wujud. keinginan apakah yang meruap dari bumi, sehingga tanah menggerakkan rumput dan pokok. waktu yang tidak mempunyai takdir tetapi di dalamnya takdir hidup dan bergerak. semalam aku mengira hujan yang jatuh, dan malam dibalut dingin yang kejang. hari ini aku melihat pokok-pokok yang basah, di daunnya tersimpan urat-urat takdir yang tidak dibaca oleh sesiapa. ada sebutir angin cuba merekat dengan tubuhku yang terhampar di beranda. tetapi ia jatuh sebelum sempat merekat dalam nafasku. waktu adalah banjaran pokok yang berbaris tumbuh dari tanah. hari ini ketika aku masih cuba mengira hujan yang jatuh semalam, manusia di sekelilingku masih terus mengira kuasa daripada khayalan-khayalan yang jatuh dari mimpi. waktu yang meniti dari pokok-pokok, apakah dapat kita baca sisa hidup dari urat-urat takdir yang tertulis di daun-daunnya?

Wednesday, June 30, 2010

KOMEN PAGI KHAMIS





Mampukah barisan Belia 4B ini mengekang gelombang fahaman liberal?




GELOMBANG LIBERAL KOSMOPOLITAN DI MALAYSIA

Penyebaran faham liberal terutamanya daripada kelompok Jalan Telawi dan IKD semakin meluas dengan penerbitan pelbagai buku mereka. Termasuk yang terkini ialah faham pluralisme yang menyatakan semua agama itu sama. Anwar Ibrahim dalam satu ucapannya di Amerika Syarikat telah menjulang pluralisme dengan wewenang liberal yang turut mendukung hak persamaan agama ini. Pluralisme yang menyamakan Islam dengan agama lain telah difatwakan salah oleh pelbagai negara, contohnya Arab Saudi telah mengeluarkan fatwa yang disokong oleh nas-nas al-Quran menolak konsep pluralisme agama. Begitu juga pihak ulama di Indonesia. Puak liberal di Malaysia mula muncul dan mengangkat tokoh-tokoh liberalis dunia Islam seperti Ali Abd Raziq yang telah ditolak pemikirannya oleh sarjana Islam di Mesir dan sebagainya. Tetapi di Malaysia golongan agamawan khususnya ustaz-ustaz muda lepasan Al-Azhar, Jordan dan sebagainya dilihat tidak mempunyai keupayaan untuk berhujah dengan puak liberal ini. Kebanyakan daripada mereka sepertimana graduan tempatan melihat ilmu hanyalah tiket untuk mendapatkan kerja. Maka itu mereka tidak mempunyai penguasaan ilmu yang cukup untuk menangani pemikiran moden. Selebihnya kita dipenuhi oleh golongan muda yang berjiwa Melayu dan berotak Melayu - bergebang, memaki, mengamuk, merasa bijak dengan mencari salah orang lain tetapi tidak berkeupayaan untuk berhujah di pentas pemikiran awam.


EKONOMI PALSU

Menteri Dalam Negeri (dalam keinginan halus untuk mempertahankan judi) menyatakan bahawa ekonomi gelap (black ekonomi) di Malaysia menghasilkan pendapatan berpuluh bilion setahun. Ekonomi gelap ini termasuklah urusniaga dadah, pelacuran, dvd haram, judi haram, penyeludupan dan sebagainya. Ia sememangnya tidak dinafikan, bahkan ekonomi gelap ini telah muncul sejak awal sejarah ekonomi manusia lagi. Usianya sama dengan usia kegiatan pelacuran di dunia iaitu ribuan tahun dahulu (bermula di China). Namun di sebalik Ekonomi Gelap itu, kita sebenarnya mempunyai satu lagi bentuk ekonomi iaitu Ekonomi Palsu. Ekonomi Palsu ialah kenyataan ekonomi, angka-angka pertumbuhan, Pendapatan Kasar Negara, dan statistik ramalan yang sentiasa melaungkan ekonomi yang baik, tinggi dan maju. Tetapi pada hakikatnya kita sebagai rakyat semakin terhimpit dengan kenaikan harga ikan ayam sayur di pasar, keperluan hidup, di samping bil-bil asas elektrik, air dsbnya - dalam ertikata lain kos hidup yang semakin meningkat. Corak pengiraan ekonomi sebenarnya banyak yang tidak tepat, contohnya pendapatan isi rumah kasar dikira berdasarkan purata. Jika 100 orang yang sangat kaya dicampurkan 10 juta yang sangat miskin maka pendapatan kasar tetap tinggi, oleh kerana 100 orang itu tersangat-sangat kaya. Tetapi 10 juta yang miskin tetap miskin. Begitulah bagaimana ekonomi palsu sedang dipraktikkan di Malaysia dengan penjanaan 'maklumat purata' yang dapat menipu manusia dengan angka melalui media-media massa arus perdana yang membawa label maklumat rasmi. Ekonomi palsu ini sama bahaya dan terkutuk dengan ekonomi gelap kerana mereka juga mengadakan urusniaga yang sama - iaitu pelacuran politik.

GAPENA EMPAT DEKAD

GAPENA ialah Gabungan Persatuan penulis Nasional yang berdiri pada tahun 1971 ditubuhkan hasil daripada mesyuarat agung PENA yang menyepakati penubuhan sebuah badan induk bagi semua persatuan penulis di seluruh Malaysia. Mesyuarat Agung kali ini disertai pemilihan dan Ketua Satunya Prof Tan Sri Ismail Hussein akan ditandingi oleh Ketua Satu PPJ iaitu Amiruddin Ali. Dalam amalan demokrasi pertandingan adalah sesuatu yang normal, biasa. Tidak ada peliknya Amiruddin bertanding melawan Tan Sri Ismail Hussein. Menang kalah adalah adat pertandingan dan seperti permainan bolasepak, ia harus mempunyai semangat 'kesukanan' yang tinggi. Amirudin mungkin dilihat sebagai David menentang Golliath (nak kata Daud a.s menentang Talut macam nabi pula). Mungkin Amiruddin dipandang rendah kerana tidak bergelar. Tetapi jika kembali kepada semangat asal GAPENA, penubuhan GAPENA diletakkan sebagai perjuangan membuang minda feudal iaitu menjalankan proses defeudalisasi. Ini disebut sendiri oleh Prof Tan Sri Ismail Hussein. Amiruddin ialah penulis dan 'orang biasa' di mata penulis. Lalu ia adalah gambaran tepat kepada apa yang kita katakan sebagai neo-defeudalisasi untuk mengembalikan GAPENA sebagai wadah awam, khususnya di kalangan penulis. Apa salahnya pertandingan ini dijalankan dengan penuh rasa hormat dan semangat kekeluargaan yang tinggi?

Sunday, June 27, 2010

BOLA LAGI



Kawan2 nak tengok gambar bola. Ini gambar lawan rumah2 saja. Semua orang pakai baju rumah, saya tak pakai dan orang tak boleh kata apa sebab saya 'star' (ha ha). Punyala star sampai pakai but pun tak pakai stoking.


Sempena Piala Dunia kawan-kawan minta masuk gambar bola lama-lama. Kawan yang tak ada gambar bola, balik kampung carila dapat gambar main takraw dua keping (nak tunjuk jugak he he). Saya cari-cari gambar main takraw dulu tapi tak ada, memang tak ada ambil gambar pun. Kalau tidak.. tak payah cerita la setakat libas pari tu, orang main 'hand stand' la. Tapi dulu la, sekarang 'hand stand' mau patah tangan menahan perut.

Piala Dunia akhirnya menyaksikan pasukan tradisi Amerika Latin dan Eropah juga yang menguasai. Pasukan Asia, Afrika dsbnya masih jauh untuk menandingi. Dalam Piala Dunia kita juga dapat lihat dua bentuk skil, satu skil permainan dan dua skil menipu. Itali dapat penalti dengan berlakon di depan gol lawan, Kaka dibuang padang kerana si penipu Ivory Cost yang kena tangan sikit di dada jatuh meraung memegang muka seolah ditumbuk. Jadi inilah wajah-wajah penipu Piala Dunia. Di Malaysia pula masih sibuk dengan menteri-menteri Islam yang nak menghalalkan judi sukan. Tapi biasalah orang politik mereka melihat semuanya seperti bola yang boleh mereka tendang2. Tapi oleh sebab mereka kaki bangku maka bola yang mereka tendang pun menerawang tak tau ke mana.

Wednesday, June 23, 2010

KOMEN PAGI KHAMIS




Bersama anak dan isteri di Disneyland Hong Kong. Air mineral sahaja harganya RM7.00 di sini. Masyarakat Hong Kong hampir semuanya tinggal di apartment dan kondo. Kos hidup sangat tinggi dan semua orang hidup menjadi hamba wang.


MENGAPA PERLU JUDI BOLA?

Piala Dunia 2010 berlangsung dengan mengulangi sejarah 'bola itu bulat'. Tiada siapa dapat menjangka pasukan yang menang atau kalah. Pasukan kuat boleh kalah mengejut, pasukan lemah tiba-tiba boleh bangkit. Ini semua adalah permainan bola, dan permainan bola ini adalah sukan. Mengapa pula perlu berjudi atas permainan sukan ini? Ia sungguh pelik sekali. Jika judi ini dibenarkan berleluasa maka suatu hari kita semua akan menonton sukan yang palsu, iaitu sukan yang diatur untuk kepentingan pertaruhan. Alangkah celakanya hidup pada zaman semuanya palsu kerana dipertaruhkan untuk judi dan wang. Seorang menteri beragama Islam lagi selepas Awang Adek menyokong judi ini (selain Mahathir yang memang sekular itu). Nazri terkenal sebagai menteri yang selalu mengeluarkan kenyataan yang tidak cerdik dan semborono. Kali ini dia sokong judi kerana katanya itu adalah cara hidup orang bukan Islam. Pertama, tidak ada agama yang menggalakkan judi, dan cara hidup berkaitan dengan pegangan dan agama. Maka kenyataan Nazri itu langsung tidak boleh pakai. Kedua, apa masalahnya jika judi itu cara hidup bukan-Islam, maka apakah orang Islam terpaksa menggadaikan agama Islam kerana perlu menerima cara hidup bukan Islam. Nazri ini saya tidak kata 'bodoh' tetapi itulah kurang cerdik.

KE ARAH MALAYSIA BERPENDAPATAN TINGGI

Baru-baru ini saya berpeluang bercuti bersama keluarga ke Hong Kong. Hong Kong adalah sebuah wilayah maju, sebelum ini diletakkan sebagai 4 harimau Asia bersama Korea Selatan, Taiwan dan Singapura. Hong Kong dipenuhi oleh masyarakat yang sangat terdesak untuk mencari wang. Kos kehidupan sangat tinggi di sana. Makanan dan keperluan hidup sangat mahal. Maka masyarakatnya terpaksa bekerja siang malam untuk memenuhi keperluan hidup. Tujuan hidup mereka ialah wang, wang dan wang. Manusia yang paling mulia ialah manusia yang paling banyak wang. Mereka mencari wang dengan pelbagai cara, termasuk menipu. Saya membeli dua bateri berharga RM7.00 untuk kamera. Di Malaysia saya boleh guna untuk ratusan gambar 2-3 hari (jika setiap hari guna)hingga seminggu. Tapi bateri yang saya beli di Hong Kong cap jenama everyday tapi 2 jam pakai sudah mati. Maknanya mereka tipu buat yang palsu. Begitu juga beli baju di Lady's Market. Beli saiz L buka dapat saiz s, patutlah pekedai marah bila kami nak buka tengok. Maknanya mereka mencari peluang menipu pada apa kesempatan yang boleh dan pada sekecil mana untung sekalipun. Semuanya kerana tuhannya sekarang adalah wang. Saya berpengalaman ditipu di Shanghai tidak ditipu lagi di Hong Kong. Apakah Malaysia yang sibuk mengejar untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan akhirnya menjadi masyarakat tidak beretika seperti di Hong Kong dan Shanghai ini?

SASTERA, ILMU DAN PENGKRITIK

Dalam dunia penulisan, termasuk sastera sesiapa saja boleh mengkritik apa yang dibacanya terutama bahan bacaan kreatif. Kerana sebagai pembaca mereka berhak mengutarakan ketidakpuasan hati ataupun pujian terhadap bacaan mereka. Mereka berhak kerana mereka pembaca, dan mereka mengeluarkan wang mereka untuk mendapat bahan itu. Tetapi dalam dunia keilmuan menjadi sesuatu yang lucu apabila seseorang yang tidak pernah menulis tentang keilmuan atau mempunyai penulisan yang tersiar tiba-tiba mengkritik pemikiran-pemikiran dengan kritikan yang kita sebut sebagai kritikan pinggiran (jika tidak mahu sebut ulasan tepi jalan). Seseorang yang layak untuk mengkritik pemikiran yang ditulis di buku atau diterbitkan di penerbitan sewajarnya mempunyai buku atau setidaknya penulisan tentang pemikirannya diterbitkan. Ini penting bagi melihat tahap pemikiran dalam penulisannya yang kemudian menentukan kredibiliti kritikannya. Imam Al-Ghazali mengkritik pemikiran Aristotle dan Ibnu Rushd yang akhirnya melahirkan kitab Tahafut al-Falasifah (Kekacauan Ahli Falsafah) membaca hampir kesemua tulisan Aristotle dan Rushd sebanyak 40 kali ulangan, dan setelah beliau sendiri melahirkan buku-buku yang berwibawa. Alangkah lucunya, tiba-tiba kita mengkritik semuanya buruk sedangkan kita tidak pernah ada penulisan atau pemikiran pun untuk dibaca oleh orang lain. Bahkan kita tidak pernah pun menghabiskan bacaan sebuah buku pemikiran melainkan menebuk-nebuknya di kata pengantar, isi dan belakang kulitnya. Jika pemikiran seseorang itu harus ditolak maka manakah pemikiran kita yang harus dinilai pula oleh orang lain untuk diterima. Tidak ada? Atau kita hanya baru membaca 2-3 buku ulasan falsafah terjemahan bahasa Indonesia sahaja?

Tuesday, June 22, 2010

BOLA PIALA DUNIA DAN RUTIN YANG PUNAH


Masa sekolah cita-cita saya hanya dua; jadi pemain bola atau pemuzik rock. Saya sangat tak suka belajar tapi sangat suka baca buku. Tak pernah ada lansung dalam kepala otak saya nak jadi penulis ke, doktor ke, jurutera ke, cikgu ke, ahli falsafah ke, ahli persatuan ke. Ini pasukan zaman 80-an. Baru belajar pakai but, dulu bawah 12 tahun kaki ayam saja. Masa ni jadi sayap kiri, dan merupakan pemain paling mahal sebab pasukan ni tak ada orang boleh main kaki kiri. Pernah seorang pemain ganti saya, angkat bola melambung masuk dalam kelas sebab main posisi sayap kiri tendang dengan kaki kanan.


Piala Dunia membuatkan rutin saya habis terganggu. Saya rutinnya tidur pukul 12.30 malam selepas berita akhir. Ini kerana saya suka menulis dan membuat urusan kerja waktu pagi. Malam selalunya saya menulis paling lama 2 jam (kecuali kejar deadline, hentamlah sampai mana larat). Pagi selepas subuh dan hantar anak ke sekolah saya akan berjogging (berjalan saja) di bukit jalil sekitar setengah jam. Kemudian mandi dan memulakan kerja. Tetapi sekarang semua sudah tunggang langgang. Lepas maghrib sudah tengok bola. Habis, baring sekejap, pukul 10 tengok bola lagi. Tidur depan tv. Pukul 2.30 hentam tengok bola sampai pagi. Lepas subuh, hantar anak sekolah terus tumbang overtime tido, kadang terlajak entah pukul berapa (nasib free lance tidak mampus kena buang keja). Kadang saya gagah mandi mula menulis pukul 9 sampai pukul 11dah tumbang... sambung tengahari, petang bila-bila rasa gagah... dan tumbang lagi.

Ketika pemain-pemain piala dunia semakin tegap badan kerana latihan untuk menyediakan fizikal yang mantap. Penonton piala dunia pula semakin buncit dan boroi perut kerana pagi tak pergi berjogging lagi dan tengah malam sumbat makanan ke perut sambil tengok bola. Bola oh bola.

Wednesday, June 16, 2010

KOMEN PAGI KHAMIS



Pasukan bola Sek Keb Bukit Gelugor juara sekolah-sekolah di Pulau Pinang bawah 12 tahun. Saya bermain mewakili sekolah dan daerah berpengalaman dalam semua posisi. Penjaga Gol, Back, Midfield, dan Left Wing. Jadi pemain simpanan pun ada (sebab pilihan dibuat ikut senioriti bukan merit - alasan penulis). Jersi tetap merah MU selamanya.


BOLA OH BOLA

Deman Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan kini bermula. Pusingan pertama menyaksikan pasukan-pasukan pilihan masih belum menunjukkan keupayaan sebenar. Messi di Argentina mula menunjukkan belang walau tidak menjaringkan gol. Grene melepaskan gol bodoh untuk England seri dengan USA. Itali penyandang juara bermula lembap. Jerman meledak dengan empat gol. Paling malang, pasukan pilihan yang juga juara Eropah Sepanyol tewas 1-0. Pasukan Asia menunjukkan permainan yang meningkat. Jepun, Korea Utara dan paling memberangsangkan Korea Selatan yang memulakan kempen dengan kemenangan 2-0. Malaysia hanya terpaksa mengulang-ulang nostalgia zaman Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh, James Wong dan sebagainya sebagai pembebat kekecewaan bolasepaknya. Dahulu Korea Selatan cukup menggeruni Malaysia yang dibarisi oleh geng Mokhtar Dahari ini. Banyak kali juga Korea Selatan tewas pada Malaysia. Tetapi sekarang bolasepak Malaysia hanya dibarisi oleh mat disko yang gemar bergambar dengan artis. Semuanya lembik dan bermain hangat tahi ayam. Kepimpinan FAM pula sudah ternyata gagal dan harus ditukar semuanya dengan kepimpinan baru. Jika tidak bolasepak Malaysia hanya mampu memutar-mutar nostalgia zaman Mohktar Dahari setiap kali Piala Dunia berlangsung.

ISRAEL OH ISRAEL

Masyarakat Malaysia dan dunia semakin melupakan kekejaman Israel membunuh warga bantuan kemanusiaan Turki ke Gaza di atas kapal Mavi Marmara. Begitulah selalunya. Dahulu Israel mengganas menyembelih di Gaza, kita keluarlah berdemontrasi, menyalak dan sebagainya. Kemudian diam. Israel mengganas dan membunuh lagi. Umat Islam pun keluar demonstrasi dan menyalak lagi, kemudian diam senyap. Dari dahulu lagi tidak pernah ada tindakan yang konstruktif daripada umat Islam terhadap kegilaan Israel ini. Lebih buruk lagi, muncul pula kalangan umat Islam yang kononnya bijak pandai melabel-labelkan pula ini wahabi, ini syiah, ini apa ini apa. Mereka kemudian memusuhi golongan Islam yang dilabelkan itu melebihi mereka memusuhi Israel. Akhirnya umat pun bermusuh dan berperang sesama sendiri dan Israel serta kufar AS dan sekutunya terus bergelak ketawa menyembelih orang Islam di mana sahaja mereka mahu. Inilah masalah dunia Islam yang pengecut tetapi cuba berlagak bijak dengan label-lebel tidak berguna mereka.

SARJANA OH SARJANA

Dunia kesarjanaan sastera Malaysia hari ini bukan sahaja lesu tetapi buntu. Berbeza dengan dunia kesarjanaan sastera era 70-an, 80-an dan 90-an yang meriah dengan pelbagai aliran pemikiran, tulisan dan buku-buku kajian yang kuat; kesarjanaan sastera sekarang hanyalah guru-guru yang mengajar di kuliah-kuliah dan pekerja yang bertapa di bilik mengejar kpi untuk pangkat. Kerja sarjana sastera sekarang lebih untuk perut daripada untuk otak. Sarjana-sarjana sastera yang memegang phd tetapi peliknya tidak ada apa-apa buku untuk melihat sumbangan intelektual mereka. Sarjana tanpa buku penyelidikan dan pemikiran yang kuat samalah seperti unta yang memikul kitab. Dimuliakan kerana memikul kitab, apabila tidak lagi memikul kitab maka dihambatlah ke gurun tiada lagi kemuliaannya. Begitu juga halnya dengan sarjana tanpa buku, apabila keluar dari universiti tiada apa-apalah lagi kehormatan dan kemuliaan mereka sebagai cendekiawan. Kerana mereka tidak meninggalkan apa-apa sumbangan pemikiran kepada masyarakat selain pahala mengajar di kuliah. Cuma sedikit untung masyarakat hari ini dapat mengenali sarjana sastera dengan adanya ruang sastera di Berita Harian yang meminta komen tentang jampi serapah, adat kahwin, langkah bendul, kenangan bulan puasa dan main guli. Jika tidak tiada siapa yang tahu adanya dunia kesarjanaan sastera di Malaysia...

Sunday, June 6, 2010

SERIGALA DAN SEKUNTUM TULIP



Alhamdulillah kumpulan cerpen saya yang kelima iaitu 'Serigala dan Sekuntum Tulip' telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan boleh didapati di kedai-kedai buku DBP pada bulan hadapan. Kumpulan cerpen ini diserahkan kepada Bahagian Penerbitan Sastera DBP pada tahun lepas, dan terbit pada tahun ini. Saya berpuas hati dengan penerbitan kumpulan cerpen ini terutama kerja keras dan dedikasi yang dilakukan dengan penuh iltizam oleh editornya Md Shukuri Hamzah. Jutaan terima kasih diucapkan kepada DBP khususnya Bahagian Penerbitan Sastera di bawah Puan Narimah Bajuri, serta editor buku ini iaitu Md Shukuri Hamzah yang begitu bersungguh-sungguh menanganinya. Jutaan terima kasih kepada semua.


Serigala

Kaukah yang mengapung rinduku
dan memanah jantungku dengan
sekilas matamu yang berbisa ular
langit katamu langit kataku
bukankah cinta yang mengapung
antara kenyataan dan kepalsuan
kau menyalakan bintang-bintang
di langit gelap saat bulan mati
dan udara menjadi racun hitam
cinta apakah yang kau nyalakan
sehingga tubuhku menjadi serigala
yang merindui bau darah pada setiap
bulan purnama jatuh di puncak nafasmu
kau sekuntum tulip dan aku serigala
yang melapah seluruh rasa cinta
yang membakar di dalam dadamu
dalam dadaku lebur mengabu ke langit
kau sekuntum tulip yang terlempar
dari perbukitan resah desah nafas purba
cinta yang mengapung pada segenap udara
yang menghantar racun dan bisa maut
dan aku serigala yang berlari
di segenap gunung dan lembah
menghidu bau cinta yang gugur
dari segenap tulip putih yang menulis
namamu; dari racun dan bisa dunia purba
cinta yang terlempar ke bumi
kau cinta yang mengapung
di dadaku saat taring serigalaku
membenam ke lurah jantungmu

S.M. Zakir

Dewan Sastera Jun 2010

Wednesday, June 2, 2010

KOMEN PAGI KHAMIS





Israel adalah tangan Amerika Syarikat di benua Islam. Siapa berani lawan Amerika? Al-Qaeda saja yang berani. Mengapa kita takut sangat nak sebut Al-Qaeda? Kerana kita penakut.


ISRAEL-ZIONIS MENYETAN LAGI DAN LAGI

Israel-zionis sebenarnya sudah lali dengan segala kutukan dan seranah. Hari ini mereka mengganas lagi ke atas para sukarelawan kemanusiaan yang membawa bantuan kepada rakyat Palestin yang hampir nazak di Gaza. Israel ingin melihat rakyat Palestin mati perlahan-lahan. Israel-zionis tidak ada bezanya dengan nazi di bawah Hitler, bahkan Israel seratus kali lebih jahat dari Nazi. Tetapi kita masih begini, diri kita adalah gambaran umat Islam pada hari ini, hanya mampu mengutuk dari jauh, demonstrasi, tulis sajak dan kemudian hilang. Dahulu pun ketika Isreal menjarah Hamas pada awal 2009 kita begini juga, kemudian diam. Kemudian tulis sajak baca sajak kutuk Israel, kemudian diam. Tahniah kepada para pejuang sukarelawan khususnya dari Malaysia yang berkorban nyawa ke Gaza. Maruah kita semua yang hanya mampu bersajak dan bercakap tak henti2 ini ditebus oleh keberanian para sukarelawan ka Gaza ini. Apa yang wajar kita lakukan, ialah setiap kali kita mengutuk Israel maka sekali harus kita tujukan kutukan itu untuk diri kita sendiri yang hanya bercakap tetapi tidak berbuat apa-apa.


TEATER 10 MINIT DI STOR DBP

Bermula 31 Mei hingga 5 Jun, Festival teater 10 minit sempena Anugerah Merdeka diadakan untuk kali kedua di DBP. Sepertimana sebelumnya banyak kumpulan teater yang mengambil bahagian. Tetapi untuk 6 persembahan pertama, ternyata teater-teater ini memperlihatkan masalah yang diperkatakan berulang kali, iaitu kelemahan skrip. Hanya 2 kumpulan pada malam itu iaitu Memoir Merah: Ali Mengamuk lagi dan Kain Bendera Kain yang dapat menyelamatkan keseluruhan persembahan. Persembahan lain nampaknya mengulangi bentuk teater yang naik pentas tanpa 'menggalas otak' yang cukup. Ada 12 persembahan lagi untuk malam ini dan malam esok. Usaha yang dilakukan DBP ini cukup baik, tetapi kelibat A. Wahab Hamzah pencetus kepada festival teater 10 min ini tidak kelihatan, bahkan dalam buku cenderamata pun tidak ada nama A. Wahab Hamzah. Ke mana Wahab?

SAMY OH SAMY

Samy Vellu tetap tidak mahu turun. Tahun lepas dia kata tahun ini mahu letak jawatan, tahun ini dia kata tahun depan pula, tahun depan tentu dia kata tahun lagi satu pula. Maka Mugilan dan kawan-kawan buat gerakan anti Samy Vellu. Perilaku Samy Vellu ini sebenarnya wujud di mana-mana. Dalam persatuan penulis di Malaysia contohnya, banyak juga kes seperti Samy Vellu yang berlaku. Ketua-ketua persatuan penulis yang sudah berusia lebih 70 tahun mungkin perlu memikirkan relevan atau tidak lagi mereka dengan keadaan semasa. Daripada berpenat dan bersusah payah mempertahankan jawatan lebih baiklah pergi berakrab dengan masjid.

Wednesday, May 26, 2010

KOMEN PAGI KHAMIS





penulis dijamu kemudian ditipu






PENERBIT PENIPU DAN ROYALTI KOMSAS

KOMSAS muncul lagi dengan pelbagai isu. Tetapi kali ini isu besarnya ialah soal royalti kepada penulis. Langkah Kementerian memberikan royalti kepada penerbit membuka ruang kepada penipuan penerbit terhadap penulis. Kementerian membayar 8% royalti untuk setiap karya eceran yang terpilih kepada penerbit, dan memberikan kuasa kepada penerbit untuk menentukan royalti kepada penulis. Sebuah karya terbitan PENA juga terpilih. PENA dalam mesyuarat baru-baru ini menetapkan bayaran 5% royalti kepada penulis dan 3% untuk penerbit. PENA mencadangkan kaedah ini digunapakai oleh penerbit lain. Tetapi penerbit telah mula menipu dalam soal royalti ini. Seorang penerbit yang pemiliknya bernama Shafei (lih. blog Rahimidin) membayar royalti 12% dari jumlah keseluruhan. Ini bermakna penulis hanya mendapat royalti kurang 1% daripada keseluruhan 8% yang dibayar oleh Kementerian. Penipuan dan penindasan ini amat celaka sekali. Oleh itu PENA bercadang mengadakan forum berkenaan isu royalti ini dengan menjemput Bahagian HakCipta dan pihak SPRM sendiri bagi melihat segala macam penyelewengan yang berlaku baik dari segi hakcipta mahupun unsur rasuah yang wujud. Dengan itu PENA mengalu-alukan penulis yang berpengalaman dalam soal royalti dan pihak guaman untuk menghulurkan tenaga sukarela menjadi panel dalam forum ini.


SUBSIDI DITARIK RAKYAT DIJEPIT

Sms pagi ini berbunyi PEMANDU: Jika Malaysia mengurangkan subsidi ia patut dilakukan A. Setahun B. 3 tahun c. 5 tahun. Ini kaji selidik kononnya untuk mendapat restu rakyat. Yang pasti kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengurang atau menarik terus subsidi. Kaji selidik ini seperti tender yang keluar tapi kontraktor telah dipilih. Maknanya keputusan sudah dibuat cuma syarat untuk mengabui saja. Subsidi akan dikurangkan atau ditarik bermakna rakyat akan dijepit oleh kenaikan harga keperluan dan peningkatan kos sara hidup. Dalam keadaan sekarang tarif elektrik naik 2 kali ganda, dan segala bil untuk kemudahan hidup meningkat tarifnya setiap masa. Rakyat dijepit lagi dengan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan menarik subsidi. Maka angka2 pertumbuhan ekonomi hanyalah retorik kosong dan sesuatu yang tidak memberi sebarang faedah kepada rakyat jika kehidupan rakyat bertambah susah dari hari ke hari. Apa gunanya kerajaan hari ini jika setakat pandai menipu melalui angka pertumbuhan tetapi rakyat semakin susah?


FILEM 'JUBUR' MELAYU

Kebelakangan ini filem Melayu diterjah filem2 homoseksual seperti Anu dalam Botol, Dua Alam, Chukang dan sebagainya. Kita jadi tertanya tidak adakah lagi isu, tema dan pemikiran yang besar dan baik yang boleh dibawa oleh pengarah filem Melayu hari ini. Ketika pengarah2 filem negara lain, atau paling dekat Thailand dan Indonesia mengangkat tema filem yang hebat, filem Melayu masih mencari sensasi murahan yang klise lagi jelek. Queen of Langkasuka di tangan Nonzee begitu hebat mengangkat sejarah kesultanan Melayu Patani dibawah ratu-ratu Patani. Nonzee juga menghasilkan filem OK Baytong yang mengisahkan pergolakan di Selatan Thailand dari kacamata seorang Sami Buddha. Atau paling lekeh filem Ada Apa dengan Cinta sebuah cerita cinta popular tetapi mengangkat sajak Chairil Anwar. Atau filem Merantau dari Indonesia yang mengangkat kehebatan seni silat Melayu. Di mana otak pengarah filem Melayu (selain U-Weu, Shuhaimi Baba yang hasilkan filem bermutu dan berpemikiran) yang hanyut dengan filem rempit, bohsia, homoseksual, hantu plastik, humor jalanan dan sampah sarap ini. Pembikin filem tak bermoral ini, seperti kata seorang penonton mungkin otaknya terletak di belakang dubur sahaja. Industri filem Melayu pada hari ini terutamanya di tangan pengarah muda adalah antara industri pengeluar filem sampah yang besar di Asia Tenggara. Mungkin nombor satu.

Monday, May 24, 2010

SAJAK







kaki langi di beting kaki






Kaki Langit

Kaki langit
di beting kakiku
senja tumbuh
dari akar bumi
meraup hitam
ke muka alamku
kau datang
mencari pintu
untuk kau ketuk
dan masuk
tetapi yang kau
temui hanyalah
rumah yang tidak
boleh kau masuki

kaki langit
di beting kakiku
huruf-huruf tuhan
di garis cahaya
menutup pintu
fikiran yang diraup
malam akar hitam
jatuh di pantai
berguling menjadi
pasir dan ombak
laut dan pantai
menjadi satu
di rumah
yang tidak
berpintu ini.


Tanjung Rhu
30 April 2010