Sunday, October 3, 2010

SINDROM MEDIOCRITY DALAM SASTERA

Sindrom mediocrity atau sindrom pertengahan yang menyelimuti masyarakat dan seterusnya melahirkan masyarakat mediocre turut merebak dalam dunia sastera pada hari ini. Masyarakat mediocre adalah masyarakat yang hidup dalam tanggapan yang palsu dengan meletakkan tujuan hidup mereka semata-mata untuk menjalani rutin, berfikir secara mudah atau simplistik, menurut, menerima tanpa soal, dan mengakhiri hidup dengan seadanya. Paling penting bagi mereka ialah mengelakkan kompleksiti dan menjalani rutin tanpa soal. Masyarakat mediocre ialah masyarakat mempunyai upaya yang sangat minimum untuk mencipta perubahan dan pembaharuan dalam kehidupan mereka. Selebihnya mereka menjadi masyarakat pengekor, penurut dan pembonceng kepada segala bentuk pemikiran serta perubahan yang dicipta atau dibawa oleh orang lain. Secara umum masyarakat mediocre melahirkan manusia berjiwa kecil, lumpuh pemikiran, tiada keberanian meneroka dan tiada keyakinan jatidiri. Mereka gemar mengambil jalan tengah iaitu jalan mudah kepada setiap perkara dan tidak mahu lagi menggunakan daya fikir yang serius.

Sindrom pertengahan dilihat mula merebak dan menjadi barah dalam masyarakat Malaysia pada hari ini. Kegemaran yang luar biasa terhadap hiburan kosong yang semata-mata memenuhi keriaan hati tanpa mempunyai motif kesedaran telah hampir melumpuhkan budaya tinggi yang wujud dalam masyarakat. Bermula dengan nyanyian dan muzik yang mencipta dunia hiburan kosong, ia merebak kepada filem, teater, budaya seperti dalam tarian, dan akhirnya dunia sastera. Filem Melayu hari ini telah memperlihatkan bagaimana sindrom pertengahan ini merosakkan mutu, nilai serta pemikiran yang sepatutnya wujud sebagai inti jatidiri bangsa. Sebaliknya filem-filem Melayu dipenuhi sampah sarap bahan-bahan picisan, simplistik, dan murahan. Tidak ada satu pun pemikiran besar yang dapat dikutip daripada filem-filem Melayu yang termasuk dalam senarai kategori kutipan pecah panggung (boxoffice) sejak hampir dua dekad terakhir ini. Ini memberikan indeks tentang rendahnya pemikiran khalayak penonton filem Melayu begitu juga pembikin filemnya, sekaligus memperlihat betapa kroniknya sindrom pertengahan yang sedang melahirkan manusia mediocre tersebut. Hal yang sama berlaku dalam seni persembahan yang lain seperti teater, muzik dan sebagainya. Tentu ada pengecualian terhadap hasil-hasil yang benar-benar bermutu tetapi ia sangat kecil dan tidak mempengaruhi pergerakan citarasa masyarakat mediocre ini.

Indeks terhadap tahap pemikiran masyarakat Melayu dapat dinilai secara umum daripada kegemaran (kegilaan) luar biasa terhadap hiburan kosong seperti rancangan realiti hiburan di kaca televisyen, karnival hiburan, isu sensasi picisan, dan bahan hiburan bercetak mahupun elektronik. Sementara revolusi teknologi maklumat yang mewujudkan laman sosial, simulacrum dunia maya, dan capaian maklumat tanpa sempadan memperlihatkan indeks tahap pemikiran remaja-remaja Melayu yang rendah. Semua ini menjelaskan betapa kritikalnya kelumpuhan nilai serta pemikiran dalam konteks masyarakat mediocre hari ini. Lebih malang sindrom pertengahan ini juga telah merebak dalam dunia sastera dekad mutakhir ini. Bermula dengan merebaknya novel-novel cinta popular yang ditulis untuk memenuhi citarasa perasaan dan khayalan palsu, ia kemudian merebak ke dalam penulisan sastera seperti cerpen, puisi dan novel sastera serius. Bahkan turut terkais dalam penulisan rencana, kajian serta kritikan sastera yang menyalin dan menerima pakai secara mudah pemikiran lain, khususnya keilmuan Barat.

Sebahagian sarjana sastera dan sasterawan mencari jalan tengah untuk berkompromi dengan bahan-bahan sastera ringan seperti novel-novel popular, dengan menerimanya sebagai hasil sastera. Ia tentunya tidak salah apatah lagi di atas alasan menarik dan meluaskan khalayak pembaca. Ia juga menjadi strategi yang baik untuk menarik masyarakat penggila hiburan kepada buku dan bahan bacaan. Sekurang-kurangnya dapat mendidik perasaan mereka kepada karya penulisan. Tetapi malangnya kompromi ini berjalan sehala dengan desakan untuk melahirkan karya-karya bersifat popular, ringan, dan klise menenggelami upaya untuk melahirkan karya sastera serius. Sastera akhirnya ditekan untuk menjadi bahan penulisan yang main-main demi menghiburkan pembaca mediocre, dan bukan lagi penulisan serius yang melahirkan pemikiran besar.
Maka ahli-ahli sastera (sarjana sastera mahupun sasterawan) yang turut terperangkap dalam sindrom pertengahan kehilangan upaya untuk menggerakkan perubahan dan pembaharuan. Bagi mengatasi ketidakupayaan mereka ini, ahli-ahli sastera mula bergerak ke belakang mencari kegemilangan lama dan akhirnya bertapak mundur mencari alam nostalgia Melayu daripada cerita sawah bendang, desa permai, konflik tradisi-moden, sengketa tanah pusaka dan segala bentuk nostalgia dari zaman abad ke-20 dahulu. Sekali lagi mencari alam nostalgia ini tidak salah, tetapi kesan akhirnya yang menutup dorongan untuk mencipta karya garda depan (avant garde) bagi meroboh konvensi dan status quo telah dibunuh secara klasik. Apabila karya sastera diarah untuk tinggal menetap terkurung dalam status quo sebegini, maka pemikiran-pemikiran baru tidak akan lahir. Lebih malang lagi secara perlahan-lahan (gradual) ia melahirkan dunia sastera yang klise, berjiwa kecil, nostalgik, dan terasing daripada masyarakat. Peranan sastera sebagai pemangkin nilai dan pencerna pemikiran masyarakat pupus. Sastera akhirnya wujud sama ada sebagai hiburan kosong ataupun arkaik klasik di muzium.

Sindrom pertengahan ini mempunyai kesejajaran dengan apa yang disebut oleh Malek Bennabi terhadap sifat masyarakat pasca-peradaban (post-civilized society) atau mujtama’ ba ’da al-hadarat. Beliau menyatakan tentang keadaan masyarakat yang cenderung untuk hidup dalam ’kekosongan’ (thingness), mengekor dan lumpuh pemikiran. Hidup di dalam ’kekosongan’ (atau tidak punya apa-apa) ini bagi beliau adalah akibat daripada keadaan masyarakat yang diserang oleh sindrom pertengahan, diikat oleh kegemaran berhibur dan tidak lagi mahu berfikir. Pada peringkat ini Bennabi menyetujui apa yang dikatakan oleh Ibnu Khaldun bahawa semakin besar (takdis) ikatan kebendaan dan pengejaran kepuasan untuk memenuhi kemewahan hidup membawa kepada kemerosotan rohani dan intelektual. Pada peringkat ini manusia berada dalam keadaan untuk hidup mengambil jalan mudah, fikiran ringan, dan rutin tanpa soal. Manusia dalan kategori ini menurut Bennabi, tidak lagi tahu untuk mencapai tujuan hidup mereka dengan tidak tahu titik mereka bermula dan tidak tahu titik mereka harus berakhir. Mereka menjadi ’titik yang tergantung’ dalam perkembangan sejarah dan peradaban. Malek Bennabi memberikan alegori manusia mediocre ini ibarat ’penggembala tanpa ternakan dan petani tanpa tanah serta bajak’. Manusia mediocre ini adalah manusia yang tercampak keluar daripada dimensi aktif peradaban atau disebut Bennabi sebagai al rajul al kharij min al hadara.

Malik Bennabi menyatakan masyarakat pasca peradaban yang terperangkap oleh sindrom pertengahan ini seperti air yang keluar dari tangki atau kolah yang tidak berguna lagi setelah membasuh kotoran. Ia tidak boleh masuk kembali ke dalam tangki, sepertimana manusia yang telah tercampak keluar tadi (al rajul al kharij min al hadara) tidak boleh lagi masuk ke dalam peradaban lantaran telah lumpuh pemikiran mereka. Maka mereka hanya mampu menjadi pengekor kepada sejarah dan bukan pencetus kepada sejarah. Sebenarnya Malik Bennabi merujuk keadaan ini kepada masyarakat Islam yang runtuh dan lemah setelah jatuhnya umat Islam ke bawah penjajahan Barat. Beliau mengkaji sejarah kejatuhan umat Islam dan melihat titik kejatuhan itu bermula apabila umat Islam yang hidup dalam kegemilangan perlahan-lahan mula lumpuh pemikiran dan kerohanian mereka oleh kerana terperangkap dalam sindrom pertengahan itu. Seterusnya mewujudkan umat Islam sebagai masyarakat mediocre, yakni hilang daya intelektual, moral, jatidiri yang menjadi penyangga tamadun Islam.

Banyak sebab yang mengakibatkan merebaknya sindrom pertengahan ini. Bahkan ia muncul dalam konteks dan milieu masing-masing. Sindrom pertengahan yang merebak di Malaysia, khususnya dalam masyarakat Melayu juga mempunyai sebab dan akibat daripada konteks ekonomi, politik dan sosial yang berlangsung dari dekad ke dekad. Namun sindrom pertengahan yang merebak dalam dunia sastera yang akhirnya melahirkan sastera mediocre adalah akibat daripada kegagalan ahli-ahli sastera mengembangkan sastera serius yang mengangkat pemikiran-pemikiran baru. Sepertimana yang disebut tentang kompromi terhadap citarasa pembaca, sifat populis, dan sentimen nostalgik telah menjadikan sastera Melayu semakin kecil dan lembik. Keberanian memberontak, melanggar konvensi dan meneroka pemikiran baru yang kompleks sering berbentur dengan elemen-elemen yang membentuk jiwa mediocre tadi. Ia akhirnya mendorong ke arah penulisan sastera ringan, popular ataupun sastera yang terperangkap dalam ketaksuban diri. Adalah keterlaluan untuk merendahkan penulisan sastera ringan dan popular atau nostalgik dan sebagainya itu. Namun membiarkan sastera Melayu reput dalam rumah kayu yang usang adalah suatu perkara yang tidak seharusnya berlaku.

Dalam mencari titik kekuatan sastera melalui pelbagai strategi termasuk berkompromi dalam bentuk-bentuk ringan dan popular, ahli-ahli sastera tidak seharusnya mengecilkan ruang kepada kehadiran sastera serius yang mengangkat pemikiran atau tema yang kompleks. Begitu juga dalam mencari jatidiri sastera melalui kecintaan terhadap alam tradisi tidak seharusnya menjadikan nostalgia dari era lepas sebagai titik kepada penilaian mutu sastera. Ini adalah kerana sikap yang berlebih-lebihan terhadap dua perkara ini hanya akan melahirkan sastera mediocre yang tidak memberikan ruang kepada perkembangan pemikiran serta bentuk yang baru dan kompleks dalam dunia sastera. Pemikiran yang kompleks sepertimana kata Malik Bennabi adalah permulaan kepada metodologi dan pemikiran saintifik yang menjadi asas kepada pembangunan tamadun. Sebaliknya sindrom pertengahan yang mengalah kepada tuntutan mediocre hanya akan membentuk peradaban kebendaan yang kosong (thingness civilization) atau disebut Malik Bennabi sebagai hadara shayiyya. Pembangunan prasarana intelektual melalui penulisan sastera yang serius, kompleks dan mengangkat pemikiran masa hadapan perlu menjadi keutamaan ahli-ahli sastera yang bijaksana pada masakini, sekaligus mengurangkan dominasi sastera mediocre yang semakin membarah dalam dunia sastera mutakhir.

Mingguan Malaysia, 26 September 2010

6 comments:

fadz said...

benar sebenar-benarnya.

AFIQ HIZAMI said...

saya setuju yang dunia hiburan sekarang ini.. saya lihat tak ada nilai pemikiran yang tinggi... hanya mengangkat martabat yang rendah... tapi mengenai novel popular pula.. konsepnya boleh digariskan mengikut acuan ke arah perkembangan pemikiran yang tinggi.. sehubungan itu pekara yang dibincangkan ini harus diketengahkan dengan "meluas" dalam khalayak sastera moden..

Anonymous said...

Salam.

Sdr masih ingat apa yang sdr tulis di bawah tajuk 'Hari terus berlalu' dalam blog sdr ini? Kalau lupa, mari saya ingatkan:

"Saya percaya selepas ini sastera di luar arus perdana akan tumbuh dan berkembang di luar konvensi akan menjadi gelombang besar. Seperti filem Melayu pada hari ini,filem arus perdana ialah filem picisan sementara filem di luar arus perdana adalah sebenarnya filem yang bermutu tinggi dari segi estetik dan artistiknya, menerima pelbagai penghargaan di luar negara. Sastera Melayu juga akan jadi begitu di tangan 'kaum nostalgik' atau golongan romantis ini, di mana akhirnya sastera arus perdana adalah sastera ringan, dan sastera di luar arus perdana muncul menjadi sastera tinggi yang meneroka sebebas-bebasnya.

Ini komen saya, dan saya bersetuju dengan Zaen, Lutfi dan ramai lagi yang tidak mahu bercakap kerana takut dikatakan ada kepentingan. Saya tidak peduli kerana saya sudah sedia untuk keluar dari arus perdana bikinan 'kaum nostalgik-romantis' ini, termasuk segelintir kecil yang berkuasa di Bahagian Sastera DBP. Saya sudah melepaskan diri saya daripada mana-mana ikatan patronage dan bergerak sebebas-bebasnya semahu saya. Persetanlah sama nilai murni, sastera ilmu dan apa-apa label retorik yang menjadikannya sastera palsu."

Sangat kontradik dengan apa yang sdr tulis dalam entri ini, bukan? Sdr belum menemui akar sdr. Carilah jejak di mana sdr berpijak sebenarnya.

Sekadar memerhati.
Wassalam.

S.M. Zakir said...

terima kasih atas semua komen.

pembaca buku, saya sangat menghargai dan menghormati ketelitian anda. tetapi saya tidak melihat kontradiknya (maaf, saya tidak menolak pandangan anda). Bahkan ia adalah lanjutan daripada apa yang dipetik oleh sdr. semuanya adalah siri pandangan terhadap situasi 'mediocre/mediocrity' tersebut. Jika sdr melihat secara kontrapuntal, maka sdr akan melihat dua sisi yang muncul di situ iaitu sisi mikro dan sisi makro. ia kelihatan seperti berkontradik tetapi pada hakikatnya ialah balikan dari imej yang sama. maksud saya prsoalan dan subjek yang sama tetapi saya lihat dari imej yang berbeza. Tetapi terpulang kepada sdr. sudah tentunya saya sangat menghormati pandangan yang cukup kritis daripada sdr. saya tidak ingin sekali2 memaksakan pandangan saya kepada pembaca, alhamdulillah jika ada yang dapat memanfaatkannya untuk kebaikan.. walaupun di atas kekhilafan saya.

Unknown said...

Saya kurang faham tentang sidrom mediocrity ini...

nady said...

boleh terangkan dengan lebih lanjut mengenai mediocrity ni dlm sastera ?