Saturday, October 16, 2010

BIDADARI BURUNG

BIDADARI BURUNG

S.M. Zakir


Kata Zuber poyangnya adalah ahli sufi dari selatan Baghdad yang hidup pada era pemerintahan Khalifah Harun al-Rashid sekitar abad ke-8 Masehi. Era pemerintahan Harun al-Rashid adalah era pemerintahan paling gemilang khalifah Abasiyyah. Harun al-Rashid memerintah pada usia 20-an dan meninggal dunia pada usia 40-an merupakan antara pemimpin Islam yang paling terkenal. Tetapi apa kaitannya cerita poyang Zuber dengan khalifah Islam yang terkenal hebat juga terkenal dengan kehidupan mewah yang tidak terhisab oleh kata-kata itu. Tidak ada. Tidak ada kaitan. Zuber mungkin sekadar mencari latar untuk mencetuskan mitos kehebatan poyangnya. Aku tidak mengesan kehebatan daripada cerita Zuber. Mungkin belum lagi. Seorang ahli sufi dari selatan Baghdad yang hidup pada zaman khalifah Harun al-Rashid. Ya, begitu – jadi apa hebatnya. Ia hanya cerita biasa. Mungkin aku juga boleh berkata, poyangku adalah ahli sufi dari selatan Anatolia. Ah, jika benar... atau raja dari Syam.

Aku melihat Zuber meneguk capucinonya perlahan seperti menyerup kelazatan yang aku tidak mengerti. Aku menyerup kopi pahit yang entah apa namanya. Kami duduk berbual sambil minum di Starbucks di hadapan The Mall. (Sebenarnya tiada apa yang aku banggakan apabila menyebut nama tempat kami minum dan berbual ini – sememangnya kami minum di sini dan aku tidak boleh berbohong dengan kenyataan ini). Petang entah hari apa, suasananya agak lenggang. Aku suka duduk di sini. Mencuci mataku dengan orang lalu lalang. Wanita dan lelaki Arab bersama dua anaknya yang comel. Pasangan backpackers kaukasian – mataku lebih ditarik pada pasangan wanitanya. Dua orang lelaki Melayu sedang berbual sambil minum seperti aku dan Zuber, cuma usia mereka lebih tua daripada kami. Gadis berkulit putih kuning yang terbuka lurah dadanya yang putih. Pengawal keselamatan yang tercegat di pintu masuk. Juga hotel Suria Pasific yang tersergam kukuh di hadapan kami. Suasana begitu santai di sini.

”Lalu...?” Aku meminta Zuber menyambung ceritanya.

Zuber meletakkan cawan minumannya dan menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Zuber kemudian bercerita bagaimana suatu hari poyangnya belayar mengembara mengikut kapal seorang saudagar. Ketika menghampiri sebuah pulau, dari atas dek kapal poyangnya melihat seekor burung besar yang bercahaya terang terbang di atas awan yang bersepuh bagai emas menuju ke pulau yang terbangun dari laut itu. Ketika kapal berlabuh untuk mendapatkan air dari pulau yang terbangun dari laut itu, poyangnya turut serta. Tetapi ketika di pantai, dia memisahkan diri menghala ke arah terbangnya burung besar bercahaya laksana emas bersepuh di langit tadi. Dia sebenarnya melihat lebih daripada itu. Dia mengikuti arah burung itu dan akhirnya sampai di sebuah teluk yang keindahannya adalah secabik tanah yang terlontar jatuh dari syurga. Di situ dia melihat sang burung bersayap emas tadi sedang berdiri dengan dua belah kaki dan wajah bidadarinya bertelut menengadah langit. Dia terfana. Tenggelam dalam rasukan rasa sepertikan beralun hanyut di atas tubir ombak yang jatuh-bangun jatuh-bangun mendebur sunyi. Seketika bidadari burung bersayap emas itu melepaskan sayapnya – yang ada sebatang tubuh telanjang yang maha indah. Berjalan dan menyesap ke dalam ombak. Sekujur tubuhnya menggeletar. Burung – bidadari – syurga – ombak – langit bersepuh emas.

Lama dia terkaku melihat bidadari burung bersayap emas dikepung ombak. Berenang memainkan riak air. Matahari di atas redup sepertikan malu. Ketika angin menampar kepalanya, dia diterkam ilham. Kemudian perlahan-lahan dia turun ke pantai dan mengambil sayap bersepuh emas lalu pergi menyembunyikannya. Dia menunggu bidadari itu naik ke pantai. Ya, bidadari itu naik ke pantai dan mencari sayapnya tetapi apa yang ditemuinya ialah seorang pemuda berwajah lembut yang menutup mata dengan kain serbannya. Di tangan pemuda itu terhulur kain kaftan dan bukan sayap bersepuh emasnya lagi.

Akhirnya dia berkahwin dengan bidadari burung itu sehingga memperolehi dua orang anak. Bidadari burung menjadi seorang gadis cantik yang menggugurkan setiap jantung manusia. Tetapi suatu ketika isterinya sang bidadari itu menemui sayapnya yang disembunyikan sang suami. Sang isteri tersebut mengambilnya lalu terbang kembali ke negeri asalnya meninggalkan sang suami menjadi majnun yang seumur hidupnya memendam rindu cinta derita. Negeri asal bidadari burung itu dikatakan bernama Wak Wak, sebuah tanah indah yang jauh dan terasing. Mas’udi, sejarahwan Arab mengatakannya terletak di timur Afrika melewati Zanzibar. Marco Polo menghuraikan Wak Wak adalah tanah Amazon iaitu pulau para wanita di Socotra. Ada yang mengatakan ia terletak di Seychelles, Madagascar atau Melaka. Ada pula yang mengatakan ia terletak di China atau Jawa. Sang suami ahli sufi dari Baghdad itu meninggal dunia dalam kesengsaraan cintanya. Tetapi keturunannya menjadi pedagang, pelayar dan pendakwah. Seorang daripada keturunannya datang belayar ke Melaka, berdagang dan menyebarkan Islam. Pada masa yang sama mencari jejak nendanya bidadari burung di tanah Wak Wak yang misteri itu. Dari keturunan itu lahir Zuber di hadapanku ini. Titisan darah bidadari burung dan ahli sufi dari Baghdad.

Zuber menghirupkan capucinonya perlahan, seperti mencicip kelazatan yang tumbuh dari haruman kopi itu. Aku memerhati Zuber. Hidungnya mancung dengan alis mata lentik di sayap kening beriras helang. Matanya tajam seperti tikaman pedang. Bangun tubuhnya lampai. Ya, titik darah bidadari burung dari pulau Wak Wak yang bersatu dengan darah ahli sufi dari Baghdad melahirkan pemuda seiras Harun al-Rashid.

”Bidadari burung mengajarkan kepada poyangku tentang kebebasan. Semangat kebebasan. Kebebasan adalah sepasang sayap yang membuatkan makhluk tidak terikat kepada bumi mahupun kepada langit.” Zuber meletakkan cawan capucinonya ke meja. Matanya melepas pandangan jauh melayar.

Aku cuba mencari arah pandangan Zuber. Tetapi apa yang aku temui ialah pandangan itu membalik masuk ke dalam kepalanya. Berterbangan dalam wilayah akal yang melepasi tembok-tembok yang mengurung apa yang dikatakan kebebasan. Zuber seperti mencari sayap yang tersembunyi untuk melepaskan akal fikirannya terbang sebebas-bebasnya – seperti bidadari burung yang mengajarkan kebebasan kepada poyangnya.

Aku meneguk kopi pahit, cuba menyerapkan kelazatan daripada kepahitannya. Tetapi lidahku tidak mampu memenuhi keinginan perasaanku. Aku hanya merasakan kepahitan yang tumbuh dari kopi – tanpa punya kelazatan apa-apa. Kami berpisah setelah Zuber mencicip kelazatan terakhir dari capucinonya. Dan aku meneguk kepahitan kopi yang perit ke tekakku dengan penyesalan membayar harga yang tidak setimpal dengan ketidaknikmatan yang aku terima. Tidak ada apa-apa yang istimewa pada pertemuan dan bual kosong meneguk pahit kopi bersama Zuber petang itu. Tidak ada apa-apa yang istimewa kecuali penyesalan terhadap mahalnya bayaran untuk ketidaknikmatan kopi yang pahitnya mengesatkan lidah, gigi dan gusiku. Mungkin aku tiada deria perasa sakti keturunan bidadari burung yang dapat mencicip kelazatan yang tumbuh dari bumi.

Aku memandu pulang. Jalan lancar dan tenang. Sedikit redup. Aku mendongak melihat jika redup itu adalah kerana sepasang sayap yang menutup awan. Alangkah indahnya jika ia adalah bidadari burung seperti yang ditemui oleh poyang Zuber. Tentu aku akan mengikutinya, bersembunyi mengintai sang bidadari burung itu mandi dan kemudian menyembunyikan sayapnya. Tentunya sang bidadari burung tidak mempunyai pilihan lain selain daripada mengahwini aku. Tetapi tidak – redup awan hanya semata redup awan; ia cuma bayang yang jatuh dari langit.

Aku keluar dari kota – yang pada saat itu sedang tumbuh dan lahir kaum liberal, bermula dari pojok-pojok bual di kota, kelab-kelab seniman, merebak ke buku-buku, institusi pengajian tinggi, parti politik masuk ke dalam teater, filem, idealisme sosiopolitik dan menjadi nadi baru kehidupan kota. Golongan muda segera menganut semangat liberal dan menuntut pembaharuan-pembaharuan liberal dalam politik, ekonomi, budaya dan sosial. Mereka kemudian membangunkan meritokrasi dan pluralisme, menyelongkar dan mentafsir semula segala-galanya termasuk syariat, hadis dan al-Quran, dan merebakkannya seperti sebuah wabak yang menular pantas. Aku meninggalkan kota sebelum wabak itu membunuhku. Aku memandu keretaku jauh sehingga tiba ke sebuah dusun kecil di luar kota. Di sini rumahku dan di sini segala-galanya cukup buatku. Aku mahu menghindari dan melupakan dunia yang pikuk itu.

Aku berehat dan menikmati udara segar yang lewat bergesel dengan daun-daun buluh datang menggesel hidungku dan jatuh setitis-setitis seperti mutiara putih ke tanah. Ketika leka menikmati angin yang khayal membuai, aku teringat tentang cerita bidadari burung Zuber. Aku menghayun langkah ke arah kandang kecil yang berjaring menutup semuanya. Aku mencari beberapa ekor burung ketitir yang dihadiahkan kepadaku oleh Mustafa, seorang teman dari Kelantan. Kata Mustafa burung ini ada tuah dan ada sialnya. Tanda-tanda yang ada di badannya boleh menceritakan tentang tuah dan takdir yang mengikutinya. Aku melihat rupa tiga ekor ketitir itu

Seekor burung ketitir ini tubuhnya putih rintik. Sedang kakinya merah tua dan dadanya pun merah tua bertemu suaranya halus lembut. Maka burung ini terlalu baik ditaruh di rumah dan harkat barang siapa yang memeliharanya. Seekor lagi tubuhnya putih dan merah, kakinya seperti udang dibakar dan suaranya lembut tubuhnya kecil sedang paruhnya seperti paruh nuri apabila berkokok atau bersuara maka ia mengangkatkan leher atau ekornya. Maka burung ini harus dipelihara kerana membawa rezeki yang tidak putus-putus kepada tuannya. Seekor lagi tubuhnya warna rabak-rabak, kakinya merah besar, sementara urat matanya berlingkar tiga, sedang suaranya kayu manis. Burung ini terlalu bertuah lagi pembunuh hendaklah pelihara baik-baik faedahnya seperti menaruh intan yang bertuah. Paling bertuah kata Mustafa jika mendapat burung ketitir berjambul kepalanya, juga berjambul ekornya jika dibilang ekornya sebelas. Inilah Menteri Burung namanya, terlalu baik barang siapa yang menaruhnya di rumah, dijauhkan Allah taala bala ke atas tuannya. Jika ada burung seperti ada ekornya lima belas itulah Raja Burung dan barang siapa yang menaruhnya di rumah barang itu alamat rumah tidak akan dimakan api.

Menteri Burung dan Raja Burung itu sukar ditemui. Kata Mustafa sepanjang hidupnya dia hanya sekali bertemu dengan Menteri Burung dan Raja Burung ini. Ditaruh oleh pemiliknya tidak mahu diberikan kepada sesiapa. Pemilik Raja Burung itu pula ketika seluruh kawasan rumahnya di makan api, hanya tinggal rumahnya yang terselamat. Lebih menakjubkan api yang marak membakar kampung itu sedikit pun tidak menyentuh rumahnya terletak di tengah-tengah kebakaran itu.

Kata Mustafa, burung ini juga ada tanda celakanya. Ini fasal pada menyatakan celakanya burung ketitir bermula jika ada burung itu rangkang paruhnya itupun celaka dan jika kelabu rahu celaka dan jika hitam matanya sangat itupun celaka dan jika paruhnya lebah dibuatnya celaka dan jika balik bulunya celaka dan jika enam belas ekornya celaka dan jika besar tubuhnya kecil matanya celaka dan jika merah matanya lintak tubuhnya celaka dan jika hangus bulunya celaka dan jika ia bunyi suaranya surat mengimbas sayapnya celaka dan jika panjang kakinya sebelah pendek sebelah celaka dan jika ekornya panjang daripada tubuhnya celaka dan jika rendah dahinya atau kepalanya pipih celaka dan jika ia menguku surat ia meratas celaka dan jika kakinya seperti kaki itik itupun celaka dan jika kakinya hitam celaka palit yang amat celakanya. Wallah huallam.

Apakah tanda yang dipunyai bidadari burung? Tanda tuah atau tanda celaka? Aku mengangkat pandanganku mendongak langit. Mencari kibaran sayap emas yang mungkin terbang melepasi dangauku ini. Biar ia lalu dan biar aku lihat tanda tuah dan tanda celakanya. Kata Zuber, bidadari burung yang ditangkap poyangnya ada tanda putih di tengah belakangnya dan ada pusaran di tapak kakinya, besar matanya serta putih jarinya. Itu tanda tuah kataku. Tetapi kata Zuber lagi, tubuhnya ramping sedang bulunya merah dan berbunyi segenap malam. Itu tanda celaka kataku. Zuber diam. Tetapi kemudian menggeleng kepala mengatakan tidak percaya kepada tanda tuah dan tanda celaka yang aku katakan. Aku membiarkan Zuber, memberikannya kebebasan untuk memilih yang yang dipercayainya benar atau tidak. Tetapi aku menyedari bahawa bidadari burung yang ditangkap poyang Zuber itu punya tanda tuah dan tanda celakanya.

Bunyi ketitir bersahutan tenggelam dalam angin yang melimpah turun dari bukit. Aku tidak tahu sama ada angin itu turun dari bukit di belakang dusun kecil ini atau melayah naik dari danau kecil di sebelah timur. Tetapi desir dan baunya seperti angin barat. Remang matahari seperti sudah mencapah bayang asar. Aku berpusing keluar untuk menunaikan solat asar. Kepalaku terasa-rasa sejuk air wuduk menyerap ke muka, tangan, kepala dan kakiku. Bau angin semakin keras. Menjelajah seluruh dusun kecil ini, menarikan jemarinya menggerakkan daun dan ranting berpupuk menari-nari. Segugus angin yang terjatuh dari syurga menghembus sejuk menggeletar ke tubuhku. Aku meraup muka dan bergerak pergi.

Sudah dua minggu aku tidak berhubungan dengan Zuber. Aku sibuk dengan urusanku, sedang Zuber tentunya sibuk dengan urusannya (aku tidak merasakan ada keperluan untuk memberitahu apa urusanku dan apa urusan Zuber). Ada beberapa kali aku turun ke kota. Suasana kota sekarang sedang hangat dengan gerakan liberal. Anak-anak muda bangkit berapi-api dengan semangat liberal. Blog-blog dipenuhi dengan pelbagai fikiran yang memberi sejuta tafsiran. Sementara di sebelah pihak lagi, muncul penentang-penentang kaum liberal yang tidak bersetuju dengan tanggapan-tanggapan keterlaluan kaum liberal.

Sebuah masyarakat majmuk yang lahir daripada sejarah kolonial mempunyai bentuk budaya, masyarakat dan politik yang bergaul antara peribumi dan kaum pendatang yang kemudian menjadi peribumi – sukar untuk menerima semua prinsip liberal secara membuta tuli. Revolusi Peranchis juga tidak akan melahirkan liberalisme jika masyarakat yang mencetuskan revolusi itu adalah masyarakat heterogenus atau masyarakat majmuk yang bergaul antara bangsa asal Peranchis dan bangsa pendatang seperti Peranchis hari ini. Doktrin liberal hanya berjaya dalam sebuah masyarakat homogenus dan bukan dalam sebuah masyarakat heterogenus. Maka itu semangat liberal dari revolusi Peranchis dan revolusi Amerika Syarikat hanyalah sebuah kerangka lama daripada pemikiran klasik yang sudah tidak terpakai dalam konteks masyarakat hari ini.

Maka itu Barat pada hari ini mengubah suai kerangka liberal menjadi sesuatu yang dapat mempertahankan hegemoni kulit putih tetapi dalam masa yang sama dapat digunakan sebagai retorik untuk kononnya kebebasan sejagat. Tetapi kebebasan sejagat ini tidak muncul apabila ia bertembung dengan kepentingan kaum kulit putih. Masyarakat Islam di Eropah contohnya melalui diskriminasi agama dan bangsa di negara yang kononnya pengasas dan pendokong fikiran liberal ini. Begitu juga di Amerika Syarikat (sebuah negara Yahudi sebenarnya), kebebasan sejagat sentiasa dibom oleh kepentingan ekonomi-politik Amerika Syarikat. Semangat liberal menjalar di negara-negara ketiga yang lahir daripada sejarah kolonial menjadi sebuah gerakan yang aneh apabila mengambil tempat untuk menyingkirkan hak sejarah bangsa peribumi dan menentang agama Islam. Fikiran liberal ini seperti tanah liat yang boleh dibentuk demi mana-mana kepentingan. Apatah lagi ia diangkat sebagai fikiran moden yang bergerak seiring dengan teknologi moden. Lantaran itu fikiran liberal sering digunakan serentak secara positif-negatif. Seperti menyingkirkan sistem politik yang korup (positif) tetapi dalam masa yang sama menyingkirkan status quo sosial (negatif) termasuk menghapuskan hak bumiputera dan menentang autoriti Islam.
Aku mengambil keputusan untuk menelefon Zuber, setelah membuka blognya dan membaca kenyataan panjang lebar Zuber mempromosikan pluralisme agama. Prinsipnya mudah – semua agama adalah sama. Zuber telah lama aku tahu merupakan pendokong penting kaum liberal. Zuber acapkali menjadi pemimpin forum kaum liberal dan mempunyai pengaruh yang tidak kurang hebat di kalangan golongan muda yang tercari-cari arah perjuangan liberal mereka (sebahagian kaum liberal sebenarnya terdiri daripada mereka yang bingung dengan apa sebenarnya liberal itu sendiri dan mereka yang mencari populariti murahan tanpa mempunyai fikiran yang jelas tentang apapun yang mereka perjuangkan). Zuber menjawab telefonku. Aku mendengar salam panjang penuh sinikalnya. Kemudian tawanya berderai di hujung salam.

”Ya, aku menjangka kau menelefonku. Kau baca blogku?” Zuber aku bayangkan sedang tersenyum memandangkan daripada suaranya seperti ada gelak kecil.

”Jom, kita minum.” Aku menyambut juga dengan gelak kecil. Aku tidak pernah memusuhi perbezaan pendapat. Itu lumrah. Kehidupan adalah warna warni. Jika hidup hanya perlu bersetuju dengan satu pendapat – ia adalah sebuah kehidupan hitam putih yang sangat membosankan. Tetapi kehidupan hitam putih ini juga kadang kala wujud sebagai sebuah noir, yang menjadikan watak-wataknya lebih kompleks daripada kehidupan yang berwarna warni.

Aku tiba di Starbuck di sebuah pusat belah Bangsar, pusat kaum liberal bertemu dan berforum ini lebih awal. Pertama, aku tidak selalu datang dan tidak mahu terkial mencari tempat letak kereta. Kedua, aku ingin duduk berehat melihat-lihat. Mungkin ada bidadari burung yang disembunyikan atau menyembunyikan sayapnya dalam puak liberal yang berkumpul di situ (libidoku sangat mencitakan seorang bidadari burung menjadi pacaranku, tentu dia berkulit putih bermata biru berambut perang bertubuh giur jika tidakpun seorang gadis pintar-jelita-ghairah). Tetapi selalunya aku duduk tanpa sesiapa mengambil tahu kehadiranku, ya aku selalunya tidak wujud dalam mana-mana pandangan mereka (ia membuatkan aku terfikir tentang anak-anak muda Melayu yang datang dari kampung-kampung tiba-tiba menjadi pendokong liberal paling wahid, mungkin kerana rasa rendah diri membuatkan mereka ingin diterima dalam kalangan kaum vernakular kosmopolitan kaum liberal asli yang bergaya serta pintar-jelita-ghairah ini. Aku rasa aku tidak menghina barangkali).

Zuber tiba tidak lama. Kami berbual seperti biasa. Zuber seperti biasa pergi memesan capucinonya. Aku sudah lupa apa minuman yang enak di sini, hanya memesan coffee latte (sebenarnya berkali-kali aku nyatakan aku tidak pernah pun berbangga untuk menyatakan aku berada di Starbuck dengan minuman pelik yang mahal ini. Tetapi aku sememangnya berada di sini dengan lakonan bergayaku).

“Mengapa dengan tulisanku. Dan mengapa pula agama yang semuanya menyembah tuhan itu tidak sama. Bukankah semua agama itu sama.” Zuber bertalu-talu menerkamku. Aku diam sebentar.

“Islam tidak sama dengan agama lain.” Aku perlu jelaskan ini dahulu.

”Agama seseorang bukanlah satu-satunya sumber yang eksklusif bagi kebenaran. Dalam agama-agama lain pun dapat ditemukan kebenaran, paling tidak pun satu bentuk kebenaran atau nilai-nilai kebenaran.” Zuber tenang mencicip capucinonya.

”Tidak ada suatu agama di muka bumi ini yang benar kecuali Islam, penutup segala agama dan membatalkan ajaran agama-agama sebelumnya.” Aku menyanggah Zuber. ”Banyak ayat al-Quran menegaskan dengan jelas tentang perkara ini.”

Barangsiapa mencari agama lain selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yag rugi dan Islam setelah Muhammad diutus iaitu: yang dibawa oleh beliau dan bukan agama selainnya. Ali Imran: 85. (aku menyalinnya dan tidak mungkin aku mahu berkhutbah sepertimana yang terdapat dalam sebahagian cerpen-cerpen penulis yang menyalin ayat al-Quran berjela-jela).

Perdebatan kami berlangsung lama. Zuber seperti biasa tidak akan menerima segalanya dengan mudah. Aku juga. Maka kami tetap dengan pendirian masing-masing. Aku tidak dapat mengubah Zuber dan Zuber juga tidak dapat mengubah aku. Akhirnya kami mengubah topik perbualan, tetapi kerapkali ia kembali kepada perdebatan tadi juga.
”Aku ada gambar bidadari burung yang ditemui di Amerika Selatan.” Zuber menyorongkan sekeping kertas A4 yang bercetak warna. Ia sebuah foto wanita telanjang yang bersayap. Aku melihatnya dengan takjub.

”Mana kau dapat? Internet.”

”Bukan. Dari sumber yang tidak perlu kau tahu.”

Aku akur dan tidak perlu bertanya tentang itu lagi. Aku memerhati lama. Zuber berehat sambil meneguk capucino dan menghabiskan donatnya. Kami membiarkan suasana jeda yang panjang. Membiarkan butir-butir sunyi itu membina kembali jambatan persahabatan yang bergoncang dirempuh debat tadi. Selalunya begini yang kami lakukan; setelah berdebat dan berhujah tanpa kalah menang – kami akan berdiam dan membiarkan diam itu mengembalikan semula keakraban kami. Aku melihat sesuatu yang aneh dalam foto ini. Bidadari burung ini kelihatan kakinya pendek sebelah. Sementara ekornya lebih panjang dari tubuh (ekor ini dikatakan hilang apabila sayapnya ditanggalkan). Aku menatap lebih dekat. Bukan untuk melihat buah dadanya tetapi melihat dahinya itu rendah dan kepalanya seperti pipih. Mataku melorot ke bawah bukan melihat paha putihnya tetapi melihat kakinya yang seperti itik dan terpalit hitam. Ini semua tanda celaka. Aku tidak mahu berkata apa-apa kepada Zuber. Aku menyerahkan kembali foto itu kepada Zuber. Aku diam sambil otakku menyambung-nyambung silang kata menghubungkan teka teki bidadari burung dan poyang Zuber.

Poyang Zuber seorang ahli sufi yang berubah pegangannya setelah berkahwin dengan bidadari burung. Poyang Zuber yang diajari tentang kebebasan oleh bidadari burung kemudian menjadi pengikut aliran Wasil ibn Atha, mengembangkan faham muktazilah ke seluruh Baghdad. Faham ini kemudian bangkit dengan gagah setelah Al-Makmun, murid imam muktazilah Abu al-Hudzail menjadi khalifah Abbasiyyah. Akal fikiran adalah kebebasan yang sejati. Ia harus diberikan sayap untuk melepasi belenggu bumi dan ikatan langit. Makna kebebasan dirungkai oleh kekuatan dan ketidakterbatasan akal. Ia berkembang dan melahirkan anak pinak kepada kepercayaan terhadap ketidakterbatasan akal. Maka muncul kebebasan untuk mentafsir dan melihat semula segalanya daripada kekuatan ketidakterbatasan akal. Tetapi poyang Zuber juga dikatakan masuk dalam golongan zindiq yang mencampurkan agama-agama purba Parsi ke dalam Islam dan kemudian menyamaratakan semua agama. Kaum zindiq juga penganut faham kebebasan sejagat. Hal ini mungkin menyebabkan poyang Zuber kemudian terpisah daripada aliran Wasil ibn Atha yang menyerang kaum zindiq. Bidadari burung kemudian muncul dalam banyak cerita. Bidadari burung muncul di Eropah, di Peranchis, di Itali, Jerman, England juga di Rusia pada zaman pencerahan Eropah. Ditangkap atau sengaja datang dan berkahwin dengan manusia di sana. Keturunan mereka berhijrah ke Amerika Syarikat. Bidadari burung juga pernah muncul di Amerika Selatan berkahwin dengan seorang Jeneral dari kaum sosialis yang menjadi diktator di salah sebuah negara di Amerika Latin. Aku membayangkan tentang tanda-tanda celaka di tubuh badan bidadari burung, walau ada juga tanda-tanda tuah sepertimana yang digambarkan oleh Zuber tentang bidadari burung isteri poyangnya.

Aku tidak mempunyai apa-apa keluarbiasaan untuk menamatkan cerita ini. Dan cerpen ini juga tidak ditulis untuk mempropaganda siapa benar dan siapa salah. Kedua-dua kami tetap sahabat. Hanya ketika kami mahu berpisah, aku berkata kepada Zuber sambil berlucu dan bergelak kecil.

”Zuber, liberalis yang terawal di dunia ialah Iblis – kerana dialah satu-satunya makhluk Tuhan yang terawal mempersoalkan Tuhan.”

Aku mahu pulang cepat. Ada telefon daripada Mustafa bahawa dia mendapat tahu ada seorang tua di Kelantan mempunyai Raja Burung, ketitir yang ada ekornya lima belas. Aku berkira-kira duit yang ada padaku sekarang, mungkin aku boleh pergi membelinya dengan Mustafa. Aku juga perlu beredar untuk menunaikan solat zuhur yang hampir masuk waktnnya.

...jika ada tubuhnya junjung baik jika ada matanya besar baik dan jika ada kuku jarinya putih itu bertuah jika matanya merah itu pun bertuah dan matanya berkuri itu pembunuh jika siapa anaknya putih besar tuahnya jika ada pucuk pandan demikian juga jika putih sehelai diminyaknya itupun benuh jika ada sisik tujuh sebelah bima namanya pembunuh jika sisiknya lima belas sebelah sekola sediwa namanya jika ada sisik lima sebelah sekola sediwa... ya Allah ya Rabbi ya syaiyidi ya maula ya TuhanKu assalamualaikum masihi yang keramat auliya Allah empat penjuru alam terimalah kadari aku ini hai segala auliya Allah segala wali Allah terimalah ka diri aku ini assalamualaikum hai syekh Abdul Kadir assalamualaikum hai syeikh Abdul Abas assalamualaikum hai syekh Abdul Marib assalamualaikum hai Abdul Ali syekh ....

Dewan Sastera, Oktober 2010

5 comments:

Anonymous said...

Salam.

Barangkali bidadari burung memang ada wujud berdiam dalam diri setiap manusia. Tinggal lagi apabila manusia itu kasmaran bukan sahaja dengan manusia lain tetapi dengan ideologi, fahaman dan yang seumpamanya; bidadari burung itu akan mengembangkan sayapnya lalu terbang membawa jiwa sang manusia tadi bereksperimen sebelum kembali kepada dirinya semula, atau meninggalkan terus jasadnya yang fana itu.

Cerpen yang memberangsangkan. Barangkali cerita Zuber itu boleh dikembangkan menjadi sebuah cerpen lain.

Sekadar cadangan.
Wassalam.

sinaganaga said...

Yang gu afaham - part 'buah dada' tu saja! He he.

Sham al-Johori said...

yg gua faham,
rayuan hari kebumikan gapena. hehehehee

srirahayumohdyusop said...

Salam Tuan,

Tahniah!

S.M. Zakir said...

terima kasih sri rahayu.. tengah menghayati novel-novel sri rahayu.. tertarik untuk menulis esei tentangnya..