Friday, March 27, 2009

HARAPAN SASTERA



Di Kota Singgora yang terletak di Songkhla, Thailand. Sejenak kami menjadi penulis yang tidak mempunyai apa-apa harapan kecuali merayap dan meneroka...


Sebulan kebelakangan ini saya kerap dihubungi oleh kumpulan-kumpulan mahasiswa yang perlu menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah-pensyarah mereka. Tentunya tugasan sastera yang memerlukan mereka menemubual penulis-penulis. Mungkin kebetulan saya tinggal berdekatan dengan IPT mereka di Lembah Kelang ini, di samping sering bergelewat (bahasa Kelantan) atau berkeliaran di aktiviti-aktiviti sastera PENA membuatkan saya pilihan yang paling mudah untuk ditemui. Saya pun tidak pernah kisah untuk ditemubual jika kebetulan ada kelapangan.

Soalan-soalan untuk menyiapkan tugasan sastera mereka ini bermacam-macam. Saya jawab mengikut pengalaman dan apa yang bermain di fikiran saya. Selalunya pada akhir temubual akan terungkap soalan, “Akhir kata apakah harapan saudara pada dunia sastera?”

Saya tentunya memberikan jawapan yang murni, tentang harapan sastera akan berkembang, lahir pelapis baru yang hebat, sastera dilihat sebagai pembentuk nilai kehidupan dan sebagai-bagainyalah. Akhir sekali saya diminta memberi nasihat atau kata perangsang kepada penulis-penulis baru. Seperti tadi juga saya tentunya sudah menyediakan jawapan-jawapan yang murni.

Selepas mereka pulang saya jadi berfikir, bagaimana jika saya tidak ingin berada dalam ‘dunia jawapan yang murni’ itu? Lalu saya ingin katakan begini. Sastera telah membunuh semua harapan saya, bagaimana boleh saya katakan saya mempunyai harapan kepada dunia sastera. Jawapan ini tidak murni dan saya tiba-tiba menjadi suka untuk bermain dengan kejujuran yang tidak murni ini.

Ketika saya bergelumang dengan dunia perniagaan dahulu, saya mempunyai harapan untuk menjadi kaya. Dan ini adalah harapan kami semua dalam dunia ‘projek-mojek’. Setiap hari kami akan berbual tentang projek, tender, sumber, pinjaman, modal, juga hubungan-hubungan gelap dengan pengarah, CEO dan tokoh-tokoh politik. Harapan kami ialah menjadi kaya.

Tetapi apabila saya berehat dari dunia perniagaan dan berniat untuk menjadi penulis sepenuh masa, sastera teleh membunuh harapan saya untuk menjadi kaya. Saya tidak peduli itu, yang penting saya tidak lagi senak dengan simbol ringgit di segenap otak saya – untung dan hutang, tetapi selalu yang lebihnya hutang. Kemudian saya mencipta harapan sastera akan memberikan ketenangan kepada saya. Tetapi sastera juga membunuh harapan itu. Saya tidak juga tenang kerana terlalu banyak ketidakpuasan yang ingin saya lontarkan dengan menggunakan medium sastera. Kemudian saya mempunyai harapan bahawa sastera akan menjadi dunia besar dalam masyarakat. Tetapi lagi sekali sastera membunuh harapan itu. Sastera hanyalah dunia kecil yang terpinggir dalam masyarakat. Masyarakat tidak pernah yang mempedulikan wujud atau tidaknya sastera.

Jadi sastera telah membunuh semua harapan saya. Tetapi saya sangat bersenang hati dengan segala harapan yang terbunuh itu. Kerana apa? Kerana saya tidak mempunyai sebarang tekanan dan kegusaran untuk mengejar dan memenuhi segala harapan besar.

Saya rasakan (mungkin berimaginasi) ramai penulis mempunyai harapan besar kepada dunia sastera. Harapan untuk menjadi masyhur, harapan untuk dikenali serta dihormati mungkin sehingga ke luar negara, harapan untuk dipuja, harapan karyanya lahir sebagai karya besar yang diperkatakan, harapan menerima anugerah yang bergunung, harapan menjadi sea write award, harapan menjadi sasterawan negara, harapan menjadi penyair sufi (?) harapan untuk menjadi manusia hebat, harapan menjadi pujaan gadis dan janda (?), harapan bertemu jodoh dan pelbagai harapan yang mengawan-awan lagi.

Dan sastera sekali lagi dan sekali dan sekali lagi akan membunuh semua harapan itu. Kerana sastera menuntut setiap penulis hanya untuk menjadi penulis sahaja. Tidak lebih daripada itu. Harapan yang bergunung itu tidak lebih daripada jerat dan halangan untuk menjadi seorang penulis. Lantaran itu ramai penulis yang kecewa, marah dan akhirnya menyumpah sastera kerana harapan mereka yang mengawan-awan itu tidak tercapai. Siapa mereka (penulis) untuk menyumpah takdir?

Jadi untuk menjadi seorang sasterawan maka kita tidak perlu ada harapan?

Saya tidak berkata begitu. Saya hanya cuba bermain dengan jawapan yang tidak murni. Tetapi saya tidak mahu memikirkan harapan, kerana saya lebih bahagia dengan hanya memikirkan apa yang hendak saya tulis. Saya mempunyai ketegasan prinsip terhadap apa yang merupakan ‘kerja saya’ dan apa yang merupakan ‘kerja Tuhan’. Dan kita boleh bersenang lenang jika hanya memikirkan tentang ‘kerja kita’ dan bukan ‘kerja Tuhan’.

Ha ha. Jangan terlampau serius. Saya hanya mencuba-cuba bermain dengan jawapan tidak murni. Ia adalah suatu bentuk dialogik yang tidak memerlukan kita terlalu beremosi tetapi sebalik belajar menggunakan pemikiran rasional.

Soalan terakhir, “Apa nasihat saudara terhadap penulis-penulis muda atau masyarakat yang ingin menceburi dunia sastera.”

Jawapan tidak murni saya, “Bagaimana saya hendak menasihati, jika saya sendiri tidak mahu mempunyai apa-apa harapan.”

Ha ha. Sebenarnya saya sangat bahagia dengan dunia sastera dan tidak mahu ‘harapan’ itu mengganggu kebahagiaan dunia sastera yang saya cintai.

Yang pasti ini semua adalah jawapan-jawapan yang tidak murni. Ha ha ha.

Wednesday, March 11, 2009

BLOG BARU BELATI & BUNGA


Melaram di Hanzhou, China

Saya buat satu lagi blog baru, khusus untuk artikel-artikel yang berat dan panjang dan tak lalu orang nak baca. Isunya politik dan filem. Nama blognya Belati & Bunga. Kira ala-ala Guns n Roses le. Bole la hentam saja. Sebab sekarang ini orang mula susah nak dapat akhbar alternatif, dan tulisan-tulisan saya di media alternatif tentang politik itu dimasukkanlah ke blog Belati & Bunga. http://belatidanbunga.blogspot.com/

Tahniah Pejuang-Pejuang Gerakan Mansuh PPSMI (GMP). Inilah barisan pejuang tulen yang berjuang mengorbankan segala kepentingan diri. Takbir!!!

Kepada Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said selaut doa dan sanjungan di atas perjuangan bahasa. Takbir!!!

Tuesday, March 3, 2009

PEKAN BARU




Pekan Baru sibuk dengan lalu lintas dan aktiviti seharian.
Sungai Siak yang menyimpan banyak sejarah. Sungai ini dahulunya besar dan menjadi laluan kepada Raja Kecil untuk mudik keluar menyerang Johor di bawah pimpinan anak Raja Bugis lima bersaudara.

Pada 20-23 Februari 2009 saya, shamsudin dan Dr. Ahmad Razali ke Pekan Baru. Shamsudin menghubungi Dr. Yusmar di sana dan berlangsunglah acara sastera yang menampilkan kami bertiga bersama bapak UU Hamidy.

Pertama kali saya berada di Dewan Kesenian Riau yang besar tersergam. Berbanyak terima kasih kepada Dr. Yusmar yang bersusah payah menampilkan kami di Dewan Kesenian Riau dan juga menaja penginapan kami selama dua malam di Dyan Graha.

Shamsudin lantang dan bersemangat di pentas Dewan Kesenian. Walaupun jawa tapi Shamsudin berapi-api mengangkat perjuangan Melayu (ha ha jangan marah tuan haji). Tapi dalam konteks Malaysia Melayu, Bugis, Banjar, Jawa semuanya Melayu. Dan pada hakikat sebenarnya pun Melayu adalah manifestasi kepada tamadun Islam di Asia Tenggara yang meliputi rantau besar wilayah daratan dan kepulauan nusantara.

Konsep tamadun Melayu-Islam ini sebenarnya begitu luas cakupannya. Tetapi ramai orang yang tak faham. Paling tak faham ialah Mahathir dan Hishamudin sebab itu dua ekor ni berjuang benar nak menegakkan warisan Inggeris di Malaysia melalui PPSMI. Kedua-dua ekor ni anglophile sebenarnya, iaitu pemuja dan pengagum Barat yang hidup seperti umang-umang tanpa keperibadian Melayunya lagi.

Pekan Baru sebuah kota yang sibuk dan luas sebenarnya. Tetapi kami tak punya cukup masa dan cukup wang untuk menjelajahnya. Di sini kita boleh ke Kampar, Inderagiri, dan Siak yang mana dahulunya merupakan negeri-negeri Melayu di bawah naungan Kesultanan Melaka dahulunya dan kemudian menjadi wilayah empayar Kesultanan Johor-Riau.