Sunday, June 6, 2010
SERIGALA DAN SEKUNTUM TULIP
Alhamdulillah kumpulan cerpen saya yang kelima iaitu 'Serigala dan Sekuntum Tulip' telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan boleh didapati di kedai-kedai buku DBP pada bulan hadapan. Kumpulan cerpen ini diserahkan kepada Bahagian Penerbitan Sastera DBP pada tahun lepas, dan terbit pada tahun ini. Saya berpuas hati dengan penerbitan kumpulan cerpen ini terutama kerja keras dan dedikasi yang dilakukan dengan penuh iltizam oleh editornya Md Shukuri Hamzah. Jutaan terima kasih diucapkan kepada DBP khususnya Bahagian Penerbitan Sastera di bawah Puan Narimah Bajuri, serta editor buku ini iaitu Md Shukuri Hamzah yang begitu bersungguh-sungguh menanganinya. Jutaan terima kasih kepada semua.
Serigala
Kaukah yang mengapung rinduku
dan memanah jantungku dengan
sekilas matamu yang berbisa ular
langit katamu langit kataku
bukankah cinta yang mengapung
antara kenyataan dan kepalsuan
kau menyalakan bintang-bintang
di langit gelap saat bulan mati
dan udara menjadi racun hitam
cinta apakah yang kau nyalakan
sehingga tubuhku menjadi serigala
yang merindui bau darah pada setiap
bulan purnama jatuh di puncak nafasmu
kau sekuntum tulip dan aku serigala
yang melapah seluruh rasa cinta
yang membakar di dalam dadamu
dalam dadaku lebur mengabu ke langit
kau sekuntum tulip yang terlempar
dari perbukitan resah desah nafas purba
cinta yang mengapung pada segenap udara
yang menghantar racun dan bisa maut
dan aku serigala yang berlari
di segenap gunung dan lembah
menghidu bau cinta yang gugur
dari segenap tulip putih yang menulis
namamu; dari racun dan bisa dunia purba
cinta yang terlempar ke bumi
kau cinta yang mengapung
di dadaku saat taring serigalaku
membenam ke lurah jantungmu
S.M. Zakir
Dewan Sastera Jun 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
14 comments:
Tahniah tuan! Harap tuan turut menjual buku tuan tersebut sendiri. Saya lebih senang berurusan dengan tuan.^_^
Heh.Heh.
Buku terakhir dengan penerbit daun lontar.
Apa-apapun tahniah,
Serigala yang tewas oleh cinta dan rindu.
Pelik ni? Ganas tapi melankolik....
Tak faham, tak faham, tak fahammmmm!
Hehehehehe.
Hantam sajalahhhhhh
Muziru, Insyaallah akan saya usahakan agar dapat dipesan dari blog ini. Sedang berurusan untuk dapatkan stok dari DBP
tuan2 sufi al-falsifah, serigala yang kenyang tidak akan menerkam.. he he
Tahniah, bapak.
jakir mmg ganas pun. melankolik tu saje jer...ala mcm sesumpah dia nih.ahaksss
Tuan Syeikh,
nak tambah satu lagi, tentang cover buku ini.
Ada ke patut dalam gambar bunga tulip tu ada wajah seorang wanita. tak patut tak patut. mana gambar serigalanya?
tambah keliru hamba dibuatnya.
hehehehe
sharun, terima kasih dan jangan terpengaruh dengan kata2 'kawan-kawan serigala' kita di sini keh keh
Man, ganas tak membaham tak pa, bahayanya lembut tapi membaham ha ha
Aji, ok la tu ada cewek, cair la sikit kebuasan serigala tu he he
Yang DBP ni senang nak beli.
'Moluska' terbitan Nusabuku, yang ini kena tanya pada penulisnya nanti, bila dah siap untuk dijual.
Buku saudara Zakir ada dijual di Ujanailmu?
moluska mengisi 10 buah cerpen terbaru dan terpelik. dalam proses penerbitan. dijangka dalam bulan ogos terbit. boleh didapati di blog ini, di kedai buku mph, kinokuniya dan popular.
Syabas dan tahniah untuk yang paling banyak bukunya diterbitkan sepanjang 2010. Tak buku belum terbit tak kan asyik tunjuk dummy setiap kali jumpa?
Pembetulan: Bagi penulis yang tak ada buku, jangan asyik dok tunjuk dummy saja setiap kali jumpa yer?
Tahniah. Setahun dua ni lebat benar buah pena saudara. Dan, semoga akan menjadi sawah kita dibaja dengan enjin kapal terbang.
Zakir
tahniah!
Post a Comment