Monday, January 11, 2010

KALIMAT ALLAH




Isu Kalimat Allah menyaksikan kegagalan umat Islam bersatu kerana perpecahan politik. Saya tidak mahu mengulas tentang politik di sini kerana saya telah ’menghidupkan’ kembali tulisan politik saya di blog ’belatidanbunga.blogspot’. Hujah yang sering diberikan sebagai rasional penggunaan kalimat Allah dalam agama Kristian ini ialah, kalimat ini digunakan di Indonesia, Arab dan sebagainya. Hujah itu tidak dapat dipakai sama sekali dalam konteks Malaysia. Saya menulis sebuah artikel untuk menghujah balas, tetapi tidak disiarkan (mungkin belum lagi atau hilang terus). Baik juga untuk saya kemukakan dua hujah itu di sini, yang saya petik dari artikel tersebut.

Pemikiran serta retorik yang memperlihatkan kejahilan terhadap bukan sahaja pemahaman terhadap Islam tetapi juga terhadap wilayah histriografi Melayu. Penggunaan kalimat “Allah” di sini secara jelas merujuk kepada konteks yang digunakan di Malaysia khususnya dan alam Melayu umumnya. Kalimat “Allah” dalam konteks penggunaannya di alam Melayu (terkecuali Indonesia yang kalah oleh ‘kuasa’ Kristian dalam konteks bahasa) dipakai secara eksklusif oleh agama Islam. Hal ini menjadi lebih jelas apabila dilihat secara khusus dalam konteks bahasa Melayu. Sepertimana yang diketahui sebelum kedatangan Islam tidak wujud sebuah nama khusus yang mengidentifikasikan masyarakat mahupun bahasa di wilayah nusantara ini. Kedatangan Islam yang membawa satu bentuk perubahan besar yang membawa masyarakat alam nusantara ini ke sebuah zaman baru yang akhirnya diidentifikasikan dengan nama ‘Melayu’. Menurut Syed Muhammad Naquib Al-Attas (SMNA), “pengertian zaman baru itu ialah suatu zaman yang mempunyai ciri-ciri penting dan yang bersifat persendirian serta berlainan dengan sifat-sifat zaman yang lampau, zaman yang menayangkan pandangan hidup yang berbeza daripada zaman lampau, zaman yang bukan sahaja menubuhkan ‘rupa’ baru bahkan ‘jiwa’ baru (1972)”.

Islam datang bersama-sama kitab suci al-Quran yang menjadi sifat agama Islam itu sendiri. Al-Quran menggunakan bahasa Arab selain daripada sebab penurunan wahyu kepada Muhammad s.a.w yang berbangsa Arab, Allah s.w.t juga memilih bahasa Arab memandangkan bahasa Arab mempunyai kecenderungan saintifik dan estetik serta mempunyai hubungan geneologi dengan bahasa-bahasa tamadun kuno seperti Aramaik, Ulgarik, dan juga Hebrew. Dalam pada itu menurut SMNA, kecenderungan saintifik dalam al-Quran dimaksudkan sesuatu yang mempunyai bawaan dan sifat akliah berdasarkan ilmu pengetahuan dan berupaya membuatkan tilikan ilmiah. Sedangkan istilah estetik memaksudkan sesuatu yang mempunyai bawaan dan sifat rasa-seni yang berdasarkan pancaindera dan hasrat jiwa untuk menikmati kesenian. Bahasa Arab selepas kedatangan Islam telah menjadi sebuah bahasa yang cukup canggih dan baru. Ia bukan sahaja memperjelas tetapi pada masa yang sama juga menampilkan makna-makna konotatif dan argumentatif yang memerlukan pemikiran yang tinggi dan dalam untuk mentafsirkannya. Kalimat “Allah” dalam al-Quran mempunyai makna yang jelas sepertimana yang disebut dalam surah al-Baqarah ayat 163: “Dan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain dari Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.” Dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4: “Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad), (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya”. Keseluruhan tentang Allah dalam Al-Quran boleh diketahui melalui ayat, “Dia adalah Allah, Yang Maha Esa, Allah, Yang Maha Kekal Abadi tiada berkesudahan. Tiada Dia beranak, dan tiada pula Dia diperanakkan. Dan bagi-Nya tiada suatu pun tara”.

Ini menjelaskan kalimat “Allah” dalam al-Quran merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dalam agama Islam bukan Tuhan (triniti) dalam konsep agama Kristian mahupun Tuhan (Yahweh) dalam konsep agama Yahudi. Apabila Islam membawa satu revolusi yang akhirnya membentuk zaman baru di wilayah nusantara ini, bangsa yang diidentifikasikan sebagai Melayu muncul. Melayu membawa makna masyarakat Islam atau sebuah masyarakat yang membentuk sebuah tamadun Islam yang baru. Bahasa Melayu yang sebelum ini hanya sebuah bahasa perantaraan di kalangan pedagang kerana kebetulan ia digunakan secara meluas di pesisir pantai, telah menjadi bahasa Islam di seluruh alam Melayu. Perlu diketahui di sini bahawa sebelum kedatangan Islam tidak terdapat satu pun bahasa umum yang dapat disebut sebagai bahasa Melayu. Bahasa Melayu kuno yang ada sebelum itu tidak dapat dirumuskan sebagai bahasa Melayu, kerana zaman itu masih belum timbul konsep tentang bahasa Melayu. Bahkan tulisan yang terpahat di batu-batu bersurat sebelum Islam adalah tulisan Pali dan Palawa yang berasal dari India Selatan dan tidak mencirikan bentuk bahasa Melayu sepertimana yang dikenali pada hari ini. Ini dibuktikan oleh kisah atau hikayat yang tercatat tidak ada pun menyebut tentang wujudnya satu bahasa Melayu bahkan juga bangsa Melayu. Bahasa Melayu wujud dengan kedatangan Islam yang ditandai dengan penggunaan aksara jawi yang dipengaruhi oleh bahasa Arab dan juga bahasa al-Quran. Jelas di sini bahawa tulisan jawi inilah yang mengikat perpaduan satu bahasa meliputi golongan masyarakat atau bangsa yang digelar sebagai Melayu. Maka identiti Melayu itu adalah Islam.

Apabila orang Melayu mengenali bahawa kalimat “Allah” itu adalah merujuk kepada Tuhan Yang Maha Besar dan Maha Esa yang berdiri dalam agama Islam, maka makna untuk kalimat “Allah” dalam bahasa Melayu hanya digunakan untuk Allah s.w.t yang difahami dalam konsep agama Islam. Kalimat “Allah” dalam bahasa Arab atau bahasa lain mungkin boleh dirujuk kepada tuhan agama Kristian atau agama Yahudi, tetapi tidak dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Melayu, kalimat “Allah” hanya digunakan untuk Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Esa dalam agama Islam. Ini yang tidak difahami oleh masyarakat bukan Islam dan juga wakil-wakil badan Kristian itu. Mereka semua selain daripada buta dan jahil dengan wilayah histriografi dan geneologi Melayu, juga tidak berupaya memahami persoalan dalam konteks maknawinya.
Hujah dari sudut otoktoni juga, iaitu mengandaikan keadaan di mana sesuatu itu dianggap telah sedia ada, sejak purbakala sebagai kepunyaan atau sifat kebudayaan sesuatu masyarakat juga sesuatu yang tidak tepat dalam menghubungkannya dengan penggunaan kalimah Allah dalam agama-agama lain. Hal ini berlaku sebagaimana golongan tertentu menyerang ilmu tasawuf yang kononnya mengandungi kepercayaan sedia ada (Kabbalah, Mormonisme, Mazda, Hinduisme dsbnya) yang disesuaikan dengan Islam. Kalimat “Allah” jika dilihat dari sudut otoktoni tadi sememangnya mempunyai hubungan sebagai kata terbitan daripada perkataan “Eloah” atau “Elohim” yang berasal dari perkataan Hebrew yang membawa makna “Tuhan di atas segala tuhan”. Perkataan “Eloah” yang juga berbunyi “Elah” itu juga dikatakan berasal dari bahasa yang lebih tua iaitu “El” dalam bahasa Canaanite iaitu bahasa yang dipertuturkan pada zaman nabi Ibrahim a.s. Apabila bahasa Hebrew digantikan oleh bahasa Aramaic setelah penaklukan besar-besaran bangsa Yahudi oleh kerajaan Babylonia, maka perkataan “Eloah/Elah” tadi kemudiannya berbunyi “Alaha” dengan membawa maksud yang sama. Bahasa Aramaic menjadi bahasa utama di wilayah Syria, Iraq dan Timur Turki pada tahun-tahun Sebelum Masehi. Namun baik “Eloah” yang menerbitkan perkataan Elohim mahupun “Alaha”, masing-masing mempunyai sifat jamak, iaitu mempunyai gambaran tentang “banyak tuhan”. Menurut syekhul Islam Ahmad Deedat, injil rujukan Scofield mengambil bulat-bulat perkataan “Elah” lalu menulisnya sebagai “Alah”. Namun perbezaannya ialah ia tetap menggunakan satu “l” iaitu “Alah” dan bukan “Allah” seperti yang digunakan dalam al-Quran. Maka “Alah” yang terdapat dalam penggunaan injil itu menggambarkan sifat kata jamak seperti makna yang terkandung dalam “Elah” (tuhan di atas tuhan-tuhan yang lain) iaitu ‘tuhan bapa, tuhan anak, dan ruhul kudus” (konsep triniti dalam agama Kristian). Ia sama sekali berbeza dengan kalimat “Allah” dalam Islam yang bermakna Tuhan yang Maha Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Kalimat “Allah” berasal daripada dua perkataan “al” dan “ilah” iaitu bermakna “Tuhan Yang Maha Esa” atau “Yang Maha Berkuasa” atau “Yang Esa”. Maka jelas kalimat “Allah” dalam al-Quran bermakna “Esa” iaitu tunggal berbeza dengan kalimat ‘tuhan’ samada ‘god’, ‘alah’, ‘lord’ yang masih mempunyai konotasi kata jamak di samping boleh merujuk kepada sama ada ‘tuhan’, ‘dewa’, ‘manusia’ ataupun ‘syaitan’. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, bahasa Arab terkandung ciri-ciri saintifik dan estetik yang dapat memberikan makna yang tepat terhadap kalimat “Allah” yang membawa maksud “Esa” dan mengekalkannya secara konsisten dan tegas. Sedangkan bahasa-bahasa lain, juga kitab injil dan taurat tidak mempunyai satu kata yang konsisten dalam penggunaannya, sepertimana injil yang menggunakan bersilih ganti perkataan ‘god’, ‘lord’, ‘elah’ sehingga menimbulkan kekeliruan sama ada ia dirujuk kepada ‘tuhan’, ‘dewa’, ‘manusia’ ataupun ‘syaitan’.

Tentang wujudnya kitab panduan agama Kristian yang menggunakan kalimat “Allah” pada abad ke 16, ia sebenarnya berlaku dalam era penjajahan Portugis dan kuasa Kristian Barat yang bukan sahaja menjajah tetapi juga membawa misi untuk mengkristiankan penduduk peribumi. Maka pada dekad tersebut ternyata, penterjemahan ajaran Kristian dalam bahasa Melayu dengan menggunakan kalimat-kalimat yang terdapat dalam al-Quran merupakan satu helah untuk mengelirukan umat Islam dan membawa mereka memeluk agama Kristian. Tahun kitab salat as-sawai itu diterjemahkan ke bahasa Melayu, merupakan tahun-tahun giatnya penyebaran agama Kristian Katholik di alam Melayu. Pada tahun tersebut iaitu tahun 1545, paderi besar Katholik iaitu St. Francis Xavier tiba di Melaka dan kemudian mendirikan sekolah mubaligh Kristian di Melaka pada tahun 1548. Maka tidak mustahillah penggunaan kalimat dalam al-Quran digunakan secara terbuka untuk kitab-kitab Kristian yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu pada masa itu kerana alam Melayu berada di bawah penjajahan kuasa Kristian Barat dan penyebaran agama Kristian pula sedang dilakukan dengan giat sejajar dengan misi ‘gospel’ mereka. Pada tahun kitab injil pertama iatu Gospel of Matthew diterbitkan dalam bahasa Melayu iaitu pada tahun 1629 ialah tahun maraknya penyebaran agama Kristian di bawah kuasa Belanda. Dan kemudiannya sebuah injil lengkap dalam bahasa Melayu diterbitkan sekitar tahun 1731-1735. Maka penggunaan kalimat-kalimat yang mengelirukan umat Islam sememangnya dilakukan dengan sengaja demi memurtadkan umat Islam ketika itu.

Apabila dilihat dari konteks sejarah ini, penggunaan kalimat yang diambil daripada al-Quran ternyata merupakan agenda golongan tertentu untuk menyelewengkan akidah umat Islam. Apakah agenda yang dilakukan pada era misi penyebaran ‘gospel’ pada zaman penjajahan Portugis dan Belanda itu digiatkan kembali oleh segolongan pihak yang tidak bertanggungjawab dan sedang mengambil kesempatan di atas kelemahan kepimpinan orang Melayu sekarang?

Langkah pengharaman buku-buku ajaran Kristian dari luar terutamanya dari Indonesia yang menggunakan bahasa Indonesia dengan kalimat-kalimat yang mengelirukan wajib dilaksanakan secara tegas dan konsisten. Dalam pada itu Kementerian Dalam Negeri bukan sahaja wajib mengharamkan penggunaan kalimat “Allah” dan perkataan-perkataan Melayu yang digunakan secara eksklusif untuk agama Islam tetapi mengharamkan semua sekali penerbitan ajaran-ajaran agama lain yang ‘bertujuan memesongkan akidah umat Islam’ dalam bahasa Melayu. Dalam pada itu, badan-badan gereja di Malaysia juga perlu dipantau memandangkan apa yang dilakukan selama ini telah banyak melukakan umat Islam. Kepada golongan yang melihat agama Islam secara otoktoni merupakan satu kesilapan besar kerana Islam adalah pemansuhan semua yang terdahulu.

3 comments:

JiwaKosong said...

blog yang bagus, ape kate try pegi visit blog saye ni plak kalau nak tahu info yang unik dan elegan di http://tolongsenyap.blogspot.com ,try visit erk

Sham al-Johori said...

salam tuan syeikh,
tapi ana lahir-lahir aja dah jadi Jawa+Arab+Melayu jadinya JAMU.
Hehehehe.

S.M. Zakir said...

sdr umar insyaallah saya lawati. terima kasih.

tuan aji, jangan sibuk ke lain, teori insaniah tu kasi pulun...