Wednesday, March 24, 2010

BUKU-BUKU TERBARU







Tiga buku baru sedang dalam penerbitan. Dijangka terbit bulan april.

Monday, March 22, 2010

BENCI SANGATKAH BAHASA KEBANGSAAN?

Seorang pembaca di sebuah akhbar berbahasa inggeris yang menamakan dirinya Angeline Lesslar mengkritik tindakan FINAS yang menetapkan bahawa filem yang menggunakan 70% bahasa kebangsaan sahaja akan mendapat bantuan kerajaan. Ia menyatakan tindakan tersebut sebagai suatu bentuk amalan diskriminasi. Maka ia menyatakan bahawa rakyat Malaysia ini berhak menggunakan bahasa apa pun, dan tidak harus ada keistimewaan kepada bahasa kebangsaan dalam konteks pelbagai kaum di Malaysia ini. Tindakan menetapkan bahasa kebangsaan sebagai asas kepada kelayakan dikatakan melanggar semangat IMalaysia. Akhir sekali dia menyarankan FINAS menumpukan kepada usaha melahirkan filem sehebat Avatar dan Transfomer dan membiarkan usaha mempropagandakan bahasa kebangsaan ini kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.

Isu ini adalah satu daripada ulasan, kritikan dan pandangan yang setiap hari muncul di akhbar Inggeris dan akhbar vernakular. Penentangan terhadap sebarang bentuk usaha untuk memperkukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan. Saya jadi tertanya-tanya, warganegara apakah mereka ini jika begitu sekali memusuhi dan membenci bahasa kebangsaan. Tentunya soalan ini mereka akan jawab dengan putar belit, mereka tidak membenci bahasa kebangsaan bahkan menyayanginya tetapi itu dan ini, itu dan ini retorik yang muluk akan keluar untuk menunjukkan mereka adalah warganegara Malaysia yang sangat patuh kepada Perlembagaan. Tetapi hakikatnya setiap saat di hati mereka menentang dan mencerca apa-apa sahaja yang bersifat kebangsaan. bahasa kebangsaan, lagu kebangsaan dan apa sahaja yang dimaktubkan sebagai ciri kebangsanan.

Di Thailand, di Indonesia, di Burma, di Kemboja, Vietnam - semua rakyatnya tidak kira kaum patuh dan taat kepada penggunaan bahasa kebangsaan. Tetapi kenapa di Malaysia ini, rakyatnya menjadi begitu celupar dan biadap terhadap bahasa kebangsaan. Seharusnya FINAS bukan menetapkan 70% penggunaan bahasa kebangsaan bagi filem yang layak menerima bantuan kerajaan tetapi 100%. Dan filem tidak kira dari pengarah belut atau ular atau sekerat belut sekerat ular; yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan harus ditolak daripada dikategorikan sebagai filem Malaysia. Jika mereka memandangkan kepada kemajuan dan doktrin filem di Barat maka ambil sahaja contoh dari Barat. Filem yang tidak menggunakan bahasa Inggeris diletakkan sebagai filem bahasa asing dalam setiap anugerah filem di AS. Begitu juga di Eropah, Peranchis misalnya yang terkenal dengan kehebatan filem total artnya, pernahkah meletakkan filem yang tidak menggunakan bahasa Peranchis walau dibikin di Peranchis sebagai filem Peranchis?

Maka di Malaysia hari ini bukan sahaja filem, bahkan drama Melayu yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan 100 peratus juga harus diharamkan daripada mendapat hak siaran di RTM atau televisyen. Papan tanda? Nama jalan? Semuanya harus menggunakan bahasa kebangsaan 100 peratus. IMalaysia bermakna satu bahasa, iaitu bahasa kebangsaan. Beranikah ahli politik atau Najib sendiri mengatakan bahawa 1Malaysia ini ialah satu bahasa iaitu bahasa kebangsaan? Jangan harap, kerana ahli politik juga adalah manusia sekerat belut dan sekerat ular.

Tuesday, March 16, 2010

Sayap Matahari




Aku membuka jendela pagi, cahaya matahari menerjuni dadaku menikam panasnya bak belati berbisa. Setiap hari aku rasakan bahawa bumi sudah berubah plat tektoniknya, kerana pada tahun-tahun yang lepas matahari hanya membiaskan panasnya di birai berandaku. Tetapi sekarang panasnya sudah menembusi melewati beranda dan menerjah masuk sehingga ke dalam rumahku. Benar, bumi telah berubah duduknya. Cuaca juga sudah tidak mengikut musimnya yang rutin. Dahulu aku tentunya dapat membaca akhbar sambil menyerup udara pagi yang dan menyaksikan matahari hanyut dari langit. Tetapi sekarang aku sudah tidak mungkin duduk di beranda setiap pagi melihat matahari hanyut di langit, kerana matahari telah menakluki ruang berandaku yang luas dengan kepanasan cahayanya yang sudah memecahkan segala ozon yang menahannya. Pagi tidak lagi membebaskan aku di beranda, sebaliknya mengurungku di bilik menyembunyikan diri dari matahari yang ganas membakar. Matahari kini di langit mengembangkan sayap-sayap yang menyala dan membakar - dudukku di beranda.

Sunday, March 14, 2010

MALAYSIA LUBUK PEROMPAK PENDATANG ASING

Setiap hari ada saja pecah rumah, rompak dan jenayah membabitkan warga asing. Yang biasa didengar pendatang dari Indonesia. Mungkin mereka paling hampir, paling mudah masuk dan paling ramai di Malaysia. Tetapi akhir-akhir ini pendatang asing dari negara yang jauh pun terlibat juga. Selain orang Afrika sekarang ini Arab, Amerika Latin dan lain-lain juga mula datang merompak dan membuat jenayah di Malaysia.

Minggu lepas ada dua peristiwa yang saya lalui. Pertama, ketika saya pulang dan turun dari lrt Seri Petaling, berjalan di tepi jalan, sebuah kereta di dalamnya sepasang suami isteri warga Arab dan seorang anak kecil mereka berhenti dan memanggil saya. Mereka minta tukar not RM100 mereka dengan saya. Minta duit kecil. Saya ada duit kecil genap RM100 tapi saya fikir not RM100 mereka mungkin not palsu. Saya kata tiada dan mereka pergi.

Peristiwa kedua, ketika saya menunggu lrt di KLCC, seorang Mat Saleh (bukan Mohamad Saleh) minta pinjam handphone saya. Katanya bateri handphone habis. Mat Saleh tu siap keluar kad simnya lagi untuk masuk dalam telefon. Saya buat bodo dan dia pergi minta dengan orang. Saya fikir apakah perlu baik sampai serah handphone pada orang asing. Handphone takla mahal tapi berharga juga.

Saya tak terkena dengan mereka ini (saya pasti penipu) kerana pengalaman saya dan kawan. Dahulu saya pernah didatangi orang arab minta tukar duit, tapi nyaris dipukau untuk keluarkan semua duit dalam poket saya. Saya sedar bila wang 3 ribu (saya bawa untuk kenduri kahwin adik saya) saya beri dia kira, saya rampas balik dan tengok ada kurang. dia tunjuk ada atas lantai. ketika saya kutip arab tu dah lari.

Kedua, pengalaman tunang kawan isteri saya sebagai pemandu pelancong yang diminta pinjam handphone oleh seorang Minah Saleh untuk mengambil gambar akhirnya lesap dengan handphone berharga ribuan ringgit budak Melayu tu. Duit sehari bawa melancong termasuk minyak dan makan pun hangus tak dibayar minah saleh tu.

Memang orang Malaysia (khususnya orang Melayu) ni baik sangat. Mungkin juga lemah dan lembik sehingga warga asing berebut-rebut untuk datang merompak dan membuli orang Malaysia ni. Peminta sedekah usah cakap, cina, burma, bangladesh, nepal, macam2 ada di Malaysia ni. Hishamudin dari dulu cakap sikit tindakan tegas, kita perang. perangi along la, perangi pendatang asing la. tapi apa yang dia perang pun tak tahu. mungkin hishamudin ni tak tahu beza perkataan 'perang' dengan 'peram'. apalah lembik dan blur punya menteri.

Tuesday, March 9, 2010

SUHAIMI HJ MUHAMMAD SASTERAWAN NEGARA KE-11



Suhaimi Hj Muhammad sedang berbual dengan Hj. Shamsudin Othman. Banyak ilmu sedang dikorek oleh Shamsudin nampaknya.


Suhaimi Hj. Muhammad adalah penyair yang terkenal dengan sajak-sajak surealisme. Muncul sebagai penyair yang mempunyai kekuatan dan keperibadian yang tersendiri. Nama Suhaimi Hj. Muhammad muncul dan memuncak pada era 60-an, sebaris dengan Latiff Mohidin, Muhamad Hj. Salleh dan Baha Zain. Bahkan boleh dikatakan Suhaimi Hj Muhammad dalam beberapa sudut mendahului dan mengatasi barisan penyair pada era ini, khususnya estetika dan avant garde surealismenya. Sehingga hari ini beliau konsisten menulis. Namun nama Suhaimi kurang diperhatikan memandangkan kecenderungan para sarjana yang juga penulis ketika itu untuk mengangkat aliran dan perjuangan kelompok masing-masing. Malangnya Suhaimi Hj Muhammad adalah penyair yang muncul 'bersendirian' dan tidak bergerak dalam mana-mana kelompok. Bahkan aliran yang dibawa oleh Suhaimi dalam dunia persajakan juga datang daripada kekuatan 'bersendiriannya'. Faktor ini di samping faktor saingannya kepada penyair-penyair lain yang juga berpengaruh dalam dunia 'pemilihan dan pelestarian' tokoh dunia sastera ketika itu, mungkin membuatkan namanya 'ditenggelamkan'.

Suhaimi Hj Muhammad terus berkarya sehingga hari ini. Namun saya dan Shamsudin Othman pernah membincangkan tentang sajak-sajak beliau yang mutakhir kelihatan kurang menyengat dari segi kekuatan estetikanya. Alhamdulillah kami dapat bertemu beliau pada majlis memperkatakan ketokohan beliau dan Malim Ghozali Pk di UPSI pada 5-6 Mac 2010 baru ini. Perbualannya dengan Shamsudin memberi jawaban kepada kami. Kami tidak bertanya secara langsung tentang 'kelemahan' karya mutakhirnya, tetapi cerita-ceritanya membuat kami faham mengapa kekuatan estetika sajak beliau agak kurang menyengat dalam karya-karya mutakhirnya.

Beliau mengatakan bahawa tujuan beliau berkarya sekarang ialah untuk menyampaikan kebenaran dan dakwah Islam kepada masyarakat. Maka beliau memilih untuk menghasilkan sajak-sajak yang dapat difahami oleh masyarakat. Maka itu beliau menolak untuk menggunakan bentuk-bentuk sajak yang tinggi estetikanya tetapi tidak dapat difahami dan dihayati oleh masyarakat makna dan pengajarannya. Beliau, saya lihat melakukan tujuan yang murni dan mulia dalam usaha menyampaikan dakwah melalui sajak.

Saya mengerti sekarang ini. Tetapi bagi saya, sajak-sajak Suhaimi Hj. Muhamad masih tetap mempunyai kekuatan estetika yang tersendiri dan aliran pemikiran Islam yang sangat kuat. Kita telah mencicirkan beberapa tokoh yang sangat layak untuk menerima anugerah Sasterawan Negara sebelum ini. Pak Sako adalah contoh yang sangat ketara, kerana bagi saya Pak Sako sepatutnya menjadi orang pertama menerima Anugerah Sasterawa Negara. Namun masalah politiking dan sisi-sisi gelap dunia sastera membuatkan ramai tokoh yang layak hilang pupus begitu sahaja. Untuk kali ini rasanya, nama Suhaimi Hj Muhammad tidak harus lagi menjadi korban setelah sekian lama berjuang dan memberi sumbangan besar dalam dunia sastera.

Suhaimi Hj Muhammad adalah tokoh yang paling layak untuk menerima Anugerah Sasterawan Negara ke-11.

Sunday, March 7, 2010

DUNIA YANG BANYAK PILIHAN






Bersama Syed Amran, bersajak dan bernyanyi puisi saya bertajuk 'Puisimu' yang digubah menjadi lagu oleh Syed Amran. Dunia yang banyak pilihan.



Dialog Orang Muda (DOM) di PENA membicarakan tentang kebebasan dalam situasi dunia pengkaryaan di Malaysia. Banyak pendapat yang diberikan, termasuklah pendapat Shamsudin Othman untuk para karyawan ini membuat pilihan mahu memilih jalan ke syurga atau memilih jalan ke neraka. Begitu juga pendapat yang menyebut tentang pelbagai kekangan dari media hingga kepada policing the society. Kebebasan juga dilihat melalui falsafah dan tasawuf. Agar sukar untuk disampaikan dengan jelas oleh Ali Atan tetapi ia satu usaha yang baik untuk berfikir dalam horizon yang lebih luas.

Saya tidak mahu mengulas, tetapi DOM adalah kegiatan yang baik untuk percambahan fikiran khususnya golongan muda. Moga orang muda di PENA atau di DOM ini dapat menggiatkan acara ini secara konsisten. Tentunya kami AJK (tak lah tua pun) di PENA akan membantu sedaya usaha. Saya suka dialog sebegini, dan selalunya tidak mengukur kejayaan melalui sudut kuantitatif (khalayak dsbnya) tetapi kualitatif (kualiti perbincangan dsbnya).

Dalam soal kebebasan, saya fikir pilihan berada dalam tangan kita sendiri. Kekangan yang kita rasakan besar dan tidak boleh dilepasi itu adakalanya cuma tembok maya atau tembok palsu yang kita sendiri cipta dalam fikiran kita. Bagi jiwa yang pasif dan pesimis semua hal akan dilihat sebagai penghalang dan kekangan. Bagi jiwa yang optimis dan merdeka, tembok kekangan selalunya tidak wujud dalam jiwa mereka.

Hari ini saya merasa bosan dengan dunia sastera yang beku dengan segala kehidupan lama yang statik dan rigid; nilai, norma dan mutu sastera terkatup dalam kepompong labelisme nilai murni, ilmu bantu, sastera ilmu yang diteori dan diretorik oleh segelintir yang kononnya menjadi 'gatekeeper' dunia sastera. Juga mutu sastera yang terletak di tangan anugerah-anugerah yang dibikin keputusan oleh kepala-kepala birokrat dan pakar sastera kononnya. Juga persepsi buku-buku sastera tidak boleh diterbitkan dan sukar diterbitkan. Saya tidak peduli dan mempersetankan semua ini. Sesungguhnya saya punya banyak pilihan dalam dunia yang dikatup oleh tembok-tembok kekangan palsu ini. Dunia sastera seolah tidak ada pilihan itu saya jadikan sebagai dunia yang banyak pilihan, dan saya gembira dengan dunia sastera yang saya cipta ini.

Hari ini saya memilih untuk menyanyikan sajak-sajak saya. Dengan bantuan Syed Amran yang menggubah puisi saya menjadi lagu, maka saya dan Syed Amran pun bersajak dan menyanyikan di kolej kelima UM pada Jumaat malam dan bersajak menyanyi lagi keesokan malamnya di UPSI sempena acara memperkatakan ketokohan Suhaimi hj Muhammad dan Malim Ghozali opk. Di UM saya membawa Rahimidin mambaca mantera (kononnya untuk menaikkan seri kami, tapi akhirnya seri 'tok bomoh' yang lebih naik, ramai pula peminat si pembaca mantera ini). Di UPSI ikut lagi Rahimidn dan Shamsudin, tapi saya sudah tidak berani minta Rahimidin baca mantera untuk kami lagi. Saya memilih untuk bersajak dan bernyanyi di depan khalayak yang terpinga-pinga berfikir apa yang hendak dibuat oleh 'mamat' ni. Pilihan saya tentunya membuatkan saya hidup dan merdeka dalam dunia sastera atau dunia apa sahaja yang saya masuki.

Ya, saya banyak pilihan dan tembok-tembok kekangan itu hanyalah kekangan yang tercipta apabila jiwa kita menjadi kecil dan penakut. Saya manusia yang banyak pilihan kerana itu saya tidak pernah punya orang yang perlu saya takut dan ikut dalam hidup saya kecuali orang-orang yang hormati (paling besar penghormatan saya hanya untuk ayahanda saya S. Othman Kelantan), dan saya juga adalah penulis yang tidak perlu menulis dengan bersembunyi di sebalik nama samaran untuk mengkritik atau menulis tentang apa saja. Saya juga tidak suka mengikut arahan ataupun memberi arahan. Makanya saya lebih sesuai bekerja secara 'lone ranger'.

Perlu apa jadi penakut dan terikat dengan kekangan tembok palsu itu? Mungkin kerana tuan-tuan berpangkat, terikat dengan kerja kerajaan, takut tidak menang anugerah, khuatir diumpat orang. Dan saya tidak pernah khuatir tentang itu semua kerana saya penganggur! ha ha. Hidup penganggur rupa-rupanya lebih banyak pilihan daripada pensyarah, pegawai, guru dan lain-lain. Maaf tuan-tuan, saya hanya berlucu kerana saya juga mempunyai banyak pilihan untuk berserius, berlucu atau bersikeras. Tetapi sebenarnya saya menghormati tuan-tuan semua yang terus berjuang dalam kekangan dan batasan yang tercipta oleh sistem-sistem yang sangat memenjara. selamat berjuang!