Monday, March 22, 2010

BENCI SANGATKAH BAHASA KEBANGSAAN?

Seorang pembaca di sebuah akhbar berbahasa inggeris yang menamakan dirinya Angeline Lesslar mengkritik tindakan FINAS yang menetapkan bahawa filem yang menggunakan 70% bahasa kebangsaan sahaja akan mendapat bantuan kerajaan. Ia menyatakan tindakan tersebut sebagai suatu bentuk amalan diskriminasi. Maka ia menyatakan bahawa rakyat Malaysia ini berhak menggunakan bahasa apa pun, dan tidak harus ada keistimewaan kepada bahasa kebangsaan dalam konteks pelbagai kaum di Malaysia ini. Tindakan menetapkan bahasa kebangsaan sebagai asas kepada kelayakan dikatakan melanggar semangat IMalaysia. Akhir sekali dia menyarankan FINAS menumpukan kepada usaha melahirkan filem sehebat Avatar dan Transfomer dan membiarkan usaha mempropagandakan bahasa kebangsaan ini kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.

Isu ini adalah satu daripada ulasan, kritikan dan pandangan yang setiap hari muncul di akhbar Inggeris dan akhbar vernakular. Penentangan terhadap sebarang bentuk usaha untuk memperkukuhkan penggunaan bahasa kebangsaan. Saya jadi tertanya-tanya, warganegara apakah mereka ini jika begitu sekali memusuhi dan membenci bahasa kebangsaan. Tentunya soalan ini mereka akan jawab dengan putar belit, mereka tidak membenci bahasa kebangsaan bahkan menyayanginya tetapi itu dan ini, itu dan ini retorik yang muluk akan keluar untuk menunjukkan mereka adalah warganegara Malaysia yang sangat patuh kepada Perlembagaan. Tetapi hakikatnya setiap saat di hati mereka menentang dan mencerca apa-apa sahaja yang bersifat kebangsaan. bahasa kebangsaan, lagu kebangsaan dan apa sahaja yang dimaktubkan sebagai ciri kebangsanan.

Di Thailand, di Indonesia, di Burma, di Kemboja, Vietnam - semua rakyatnya tidak kira kaum patuh dan taat kepada penggunaan bahasa kebangsaan. Tetapi kenapa di Malaysia ini, rakyatnya menjadi begitu celupar dan biadap terhadap bahasa kebangsaan. Seharusnya FINAS bukan menetapkan 70% penggunaan bahasa kebangsaan bagi filem yang layak menerima bantuan kerajaan tetapi 100%. Dan filem tidak kira dari pengarah belut atau ular atau sekerat belut sekerat ular; yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan harus ditolak daripada dikategorikan sebagai filem Malaysia. Jika mereka memandangkan kepada kemajuan dan doktrin filem di Barat maka ambil sahaja contoh dari Barat. Filem yang tidak menggunakan bahasa Inggeris diletakkan sebagai filem bahasa asing dalam setiap anugerah filem di AS. Begitu juga di Eropah, Peranchis misalnya yang terkenal dengan kehebatan filem total artnya, pernahkah meletakkan filem yang tidak menggunakan bahasa Peranchis walau dibikin di Peranchis sebagai filem Peranchis?

Maka di Malaysia hari ini bukan sahaja filem, bahkan drama Melayu yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan 100 peratus juga harus diharamkan daripada mendapat hak siaran di RTM atau televisyen. Papan tanda? Nama jalan? Semuanya harus menggunakan bahasa kebangsaan 100 peratus. IMalaysia bermakna satu bahasa, iaitu bahasa kebangsaan. Beranikah ahli politik atau Najib sendiri mengatakan bahawa 1Malaysia ini ialah satu bahasa iaitu bahasa kebangsaan? Jangan harap, kerana ahli politik juga adalah manusia sekerat belut dan sekerat ular.

3 comments:

saleeh rahamad said...

kalau makan di siam hati-hati, konon nak makan belut rupanya ular.

S.M. Zakir said...

pejam mata ja bang, ustaz kita kata kalau tak tahu tak pa. janganla tanya banyak sangat, makan ja. habis makan baru tanya... hehe

Sham al-Johori said...

Tuan-tuan ni,
Subaha tu hukum/fatwa daripada ustad madrasah al-nazmi aja. Kalau kita pakai juga, nanti di neraka tak ada orang. Hehehehe.

Luqman kata, daging babi (baca dululah) lagi sedap daripada biawak.

Kwang kwang kwang. Tak begitu pak syeikh?