Tuesday, March 9, 2010

SUHAIMI HJ MUHAMMAD SASTERAWAN NEGARA KE-11



Suhaimi Hj Muhammad sedang berbual dengan Hj. Shamsudin Othman. Banyak ilmu sedang dikorek oleh Shamsudin nampaknya.


Suhaimi Hj. Muhammad adalah penyair yang terkenal dengan sajak-sajak surealisme. Muncul sebagai penyair yang mempunyai kekuatan dan keperibadian yang tersendiri. Nama Suhaimi Hj. Muhammad muncul dan memuncak pada era 60-an, sebaris dengan Latiff Mohidin, Muhamad Hj. Salleh dan Baha Zain. Bahkan boleh dikatakan Suhaimi Hj Muhammad dalam beberapa sudut mendahului dan mengatasi barisan penyair pada era ini, khususnya estetika dan avant garde surealismenya. Sehingga hari ini beliau konsisten menulis. Namun nama Suhaimi kurang diperhatikan memandangkan kecenderungan para sarjana yang juga penulis ketika itu untuk mengangkat aliran dan perjuangan kelompok masing-masing. Malangnya Suhaimi Hj Muhammad adalah penyair yang muncul 'bersendirian' dan tidak bergerak dalam mana-mana kelompok. Bahkan aliran yang dibawa oleh Suhaimi dalam dunia persajakan juga datang daripada kekuatan 'bersendiriannya'. Faktor ini di samping faktor saingannya kepada penyair-penyair lain yang juga berpengaruh dalam dunia 'pemilihan dan pelestarian' tokoh dunia sastera ketika itu, mungkin membuatkan namanya 'ditenggelamkan'.

Suhaimi Hj Muhammad terus berkarya sehingga hari ini. Namun saya dan Shamsudin Othman pernah membincangkan tentang sajak-sajak beliau yang mutakhir kelihatan kurang menyengat dari segi kekuatan estetikanya. Alhamdulillah kami dapat bertemu beliau pada majlis memperkatakan ketokohan beliau dan Malim Ghozali Pk di UPSI pada 5-6 Mac 2010 baru ini. Perbualannya dengan Shamsudin memberi jawaban kepada kami. Kami tidak bertanya secara langsung tentang 'kelemahan' karya mutakhirnya, tetapi cerita-ceritanya membuat kami faham mengapa kekuatan estetika sajak beliau agak kurang menyengat dalam karya-karya mutakhirnya.

Beliau mengatakan bahawa tujuan beliau berkarya sekarang ialah untuk menyampaikan kebenaran dan dakwah Islam kepada masyarakat. Maka beliau memilih untuk menghasilkan sajak-sajak yang dapat difahami oleh masyarakat. Maka itu beliau menolak untuk menggunakan bentuk-bentuk sajak yang tinggi estetikanya tetapi tidak dapat difahami dan dihayati oleh masyarakat makna dan pengajarannya. Beliau, saya lihat melakukan tujuan yang murni dan mulia dalam usaha menyampaikan dakwah melalui sajak.

Saya mengerti sekarang ini. Tetapi bagi saya, sajak-sajak Suhaimi Hj. Muhamad masih tetap mempunyai kekuatan estetika yang tersendiri dan aliran pemikiran Islam yang sangat kuat. Kita telah mencicirkan beberapa tokoh yang sangat layak untuk menerima anugerah Sasterawan Negara sebelum ini. Pak Sako adalah contoh yang sangat ketara, kerana bagi saya Pak Sako sepatutnya menjadi orang pertama menerima Anugerah Sasterawa Negara. Namun masalah politiking dan sisi-sisi gelap dunia sastera membuatkan ramai tokoh yang layak hilang pupus begitu sahaja. Untuk kali ini rasanya, nama Suhaimi Hj Muhammad tidak harus lagi menjadi korban setelah sekian lama berjuang dan memberi sumbangan besar dalam dunia sastera.

Suhaimi Hj Muhammad adalah tokoh yang paling layak untuk menerima Anugerah Sasterawan Negara ke-11.

3 comments:

Sham al-Johori said...

Tuan syeikh,
Ambil 'gambar curi' ni. Dah lah tu pasang telinga mentafsir. Dahsyat betullah tuan ni....

S.M. Zakir said...

cakap siang pandang2, cakap malam dengar2. jangan main lepas je.. kawan2 dok rakam ni he he

saleeh rahamad said...

gambar seorang...sedang membuat pengakuan kepada pemberita. Mr X (gambar yang membelakangi kamera)enggan wajahnya dipaparkan dalam media kerana dibimbangi sahamnya merosot. hahah. Hanya wartawan veteran dibenarkan membuat liputan.