Thursday, February 17, 2011

KEMBALI KE BLOG

Saya menyedut kata Baudrilard, "Dunia maya adalah berkaitan dengan pembunuhan realiti. Dan penghapusan ilusi - iaitu ilusi yang hidup, ilusi radikal tentang dunia nyata. Realiti tidak lenyap dalam ilusi; tetapi ilusi yang lenyap dalam realiti yang diintegrasikan."

Dalam kata lain ilusi berintegrasi dengan realiti dan akhirnya melenyapkan realiti dan ilusi sekaligus. Blog ini telah memungkinkan pernyataan ini. Sebelum blog, kita melenyapkan realiti kita di dunia dalam tulisan-tulisan kita yang kemudian disiarkan di akhbar. Pembaca membaca cereka dan cerita yang kita tulis dan tersiar di media cetak, dan bukan lagi realiti yang digelumangi dengan tangan dan kaki. Lambang dunia moden muncul dengan revolusi industri. Setelah itu muncul revolusi teknologi maklumat. Kita lenyapkan realiti lebih jauh dengan mewujudkan realiti baru yang diintegrasikan dengan ilusi. Internet berkembang kepada laman web, dan akhirnya realiti-ilusi berkembang dalam dunia blog. Kemudian muncul facebook dan twitter. Realiti semakin jauh dilenyapkan, bahkan bersama ilusinya sekali yang kini wujud (ilusi) secara amat radikal sekali - realiti lenyap dalam dunia facebook atau fb.

Sekali - fb telah melenyapkan dunia integral reality (setelah realiti dan ilusi itu lenyap) saya di blog - tetapi saya kembali semula untuk menulis di blog. Namun kedua-dua blog dan fb adalah dunia integral reality , dan tidak ada lagi dunia nyata yang kita lalui pada zaman media cetak penanda revolusi industri. Tetapi pada masa yang kita juga harus sedar bahawa kenyataan Baudrilard tidak semuanya benar, kerana dunia nyata, ilusi dan pasca ilusi masih wujud dan saling menghidupi antara satu sama. Saya masih menulis di media cetak dan dalam masa yang sama menulis di blog dan fb. Jadi dunia manakah yang lenyap?

Saya kurang percaya realiti dan ilusi telah lenyap sekaligus dalam lahirnya dunia pasca ilusi yang wujud hasil daripada integrasi realiti dan ilusi. Apa yang saya percaya bahawa semua entiti ini wujud sama ada dalam bentuk saling menghidupi atau dalam bentuk saling bertembungan. Tetapi kenyataannya saya sebagai seorang penulis mempunyai semakin banyak ruang untuk menulis, tetapi natijahnya blog dan fb saya sedari mempunyai tahap autoriti yang berbeza dengan media cetak.

Cukuplah untuk pembukaan kata pada tahun baru 2011, tulisan saya yang pertama di blog.

No comments: