Dialog Orang Muda di PENA 20 Februari 2011 menampilkan perbincangan yang menarik dengan para ahli panel yang juga mempunyai fikiran-fikiran yang kukuh. Pengetahuan luas sdr Faizal berkenaan seni lukis cukup membuka minda. Begitu sdr Zahiruddin yang bukan sahaja mempunyai pemikiran yang mantap dalam ilmu pengetahuan Islam tetapi juga prinsip yang teguh. Luqman al-Jefri juga adalah pilihan yang tepat untuk berbicara tentang filem. Saya tertarik dengan pengetahuan dan pembicaraan faisal yang cukup luas tentang dunia seni lukis. Juga disiplin dan ilmu yang dipunyai oleh Zahiruddin tentang Islam. Luqman juga, menjelaskan banyak perkara tentang filem.
Saya cuba merancakkan suasana dengan mempertanyakan kenyataan Zahiruddin tentang antara faktor gerhananya seni adalah kerana pertembungan dengan kebudayaan Barat. Saya tahu banyak kebenaran daripada kenyataan Zahiruddi, tetapi untuk sekadar menghidupkan suasana, saya cuba membawa kepada zaman kegemilangan ilmu dan Islam pada era Abbasiyyah. Pada zaman Harun al-Rashid kemudian membawa kepada Al-Makmum dan seterusnya, dunia Islam adalah dunia yang paling maju dari segi keilmuannya sehingga mewujudkan tradisi keilmuana yang tiada tolok banding.
Tetapi pada zaman inilah menyerapnya ilmu-ilmu khususnya falsafah Yunani dalam dunia Islam. Munculnya Al-Kindi yang menterjemah pemikiran-pemikiran Yunani sehingga disebut sebagai pelopor ilmu logik dan metafizik. Kemudian muncul Zakaria Al-Razi juga pendokong ilmu logik Yunani yang mana buku kedoktorannya menjadi rujukan penting di Eropah ketika zaman renaisans. Al-Farabi yang digelar guru kedua setelah Aristotle. Kemudian Ibn Sina juga pendokong aliran logik-rasional Yunani dan menghasilkan karya-karya besar dalam pelbagai ilmu termasuk ilmu kedoktoran sehingga kitab kedoktorannya menjadi asas kepada ilmu kedoktoran di Barat pada zaman renaisans. Pada masa ini Islam menepati konsep kullinya, ia menjadi begitu insklusif terhadap ilmu sehingga hampir tiada batas untuk mengatakan bahawa itu ilmu orang Islam dan ini ilmu bukan Islam. Bahkan Yahya bin Adi, penganut Kristian Nestorian yang menjadi penterjemah penting karya falsafah Yunani adalah murid dan pengagum utama al-Farabi. Begitu juga Ibn Miskawaih seorang majusi yang memeluk Islam dan menghasilkan sebuah kitab akhlak Islamiah yang begitu agung.
Sejarah ini memperlihatkan bahawa pertembungan antara Barat dan Timur itulah yang menjadikan dunia keilmuan itu berkembang dan gemilang, bukannya membawa kepada gerhana. Sememangnya terdapat persoalan-persoalan besar dari segala segi. Tetapi secara keseluruhannya pertembungan antara pelbagai dunia yang berbeza, Barat, Timur, bahkan Islam, Kristian, Majusi, Zorostarian memperkembangkan banyak sudut ilmu dan menyumbang kepada zaman kegemilangan ilmu dan juga seni tentunya.
Saya sering melihat pertembungan budaya sebagai satu rahmat, dan selalu juga khuatir tentang dunia Islam yang mengeksklusifkan Islam sehingga menutup kepada perkembangan ilmu dan disiplin. Sikap untuk bersifat terbuka dan insklusif bukan sahaja membuka ruang kepada masuknya ilmu-ilmu daripada dunia lain tetapi juga menjadikan sesebuah masyarakat atau umat itu bersifat multidisiplin. Antara faktor gerhananya seni di Malaysia ialah sikap bidangan sekali lagi eksklusif, iaitu tertumpu hanya kepada satu bidang dan tiada pengetahuan tentang bidang yang lain. Ini tidak berlaku ketika dunia Islam membuka dunianya untuk menjadi begitu insklusif. Ibn Sina bukan sahaja ahli falsafah tetapi juga seorang doktor, sasterawan dan menguasai pelbagai ilmu lain. Begitu juga al-Razi, al-Farabi dan semua pemikir-pemikir Islam ketika itu juga adalah ahli sains fizik, kimia dan sebagainya.
Seni lukis daripada pembicaraan Faisal telah memperlihatkan sikap keterbukaan dan insklusif ini, begitu juga filem daripada pembicaraan Luqman. Zahiruddin sebagai seorang ustaz yang terdidik dalam disiplin ilmu pengetahuan Islam sebetulnya harus melihat ilmu tauhid iaitu ilmu yang paling tinggi daripada segala ilmu sebagai asas utama untuk menentukan mana yang boleh menjadi insklusif dan mana yang perlu dikekalkan sifat eksklusifnya. Saya tidak menolak dan bahkan bersama di sisinya dalam menetapkan prinsip ini. Tetapi kekhuatiran kepada penerimaan sebahagian orang awam (seperti saya juga) terhadap pandangan ustaz untuk melihat pertembungan budaya sebagai ancaman akan menimbulkan sikap yang esktrim untuk menolak ilmu. Itu sahaja.
Bagaimanapun, masyarakat pada masa ini harus sedar bahawa Malaysia memiliki para pemuda yang sangat cerdik, bijak dan berilmu. Ahli-ahli panel muda dalam DOM sejak dahulu saya perhatikan mempunyai pemikiran dan disiplin ilmu yang cukup tinggi. Bahkan saya melihat satu keberuntungan besar seorang ustaz seperti sdr Zahiruddin hadir dan bersama merentas dunia seni dengan ilmu dan disiplin Islamnya yang tinggi. Zaman kini memerlukan ramai ustaz dan ulama yang mampu merentas pelbagai bidang ilmu.
Sayangnya DOM yang begitu banyak mengisi ilmu ini tidak dihadiri oleh mahasiswa dan mahasiswi yang sepatutnya mengisi tempat di perbincangan ini. Mungkin siswa siswi kita lebih teruja ke jom heboh, atau menonton filem-filem 'sampah'(?) - maaf - atau melayan fb dengan blackberry yang dibeli dengan duit pinjaman biasiswa.
Sunday, February 20, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Setuju dengan pendapat dan pendapat dan pendapat tuan.
Sukarnya nak mendidik manusia agar mencintai ilmu.
Post a Comment