Wednesday, July 13, 2011

MITOS DAN AGAMA DALAM BILANGAN FU DAN BEDAR SUKMA BISU

S.M. Zakir


Pendahulua
n

Menurut ahli psikologi James Hillman, mitologi adalah psikologi dari antikuiti, dan psikologi adalah mitologi dari modeniti . Mitos merupakan cerita yang melangkaui fakta serta pengalaman sebenar manusia dalam menggambarkan alam kejadian dan kewujudan yang penuh dengan keajaiban. Ia juga adalah pembentukan watak manusia kepada kejadian yang mempunyai kesaktian luar biasa dalam personifikasi dewa dewi, semangat alam dan sebagainya. Di samping berfungsi sebagai cerita-cerita luar biasa di luar fakta dan pengalaman sebenar dalam membesarkan atau mengangkat tujuan tertentu. Lanjutan daripada itu, mitologi dapat dilihat sebagai subjek atau premis berkaitan dengan pengalaman manusia zaman pra-tulisan berhubungan pertanyaan-pertanyaan tentang kewujudan mereka, alam dan unsur-unsur tenaga di sekeliling mereka. Ia adalah sebuah sains antikuiti berkenaan penelusuran dan pengkajian secara imaginatif terhadap kejadian dan kewujudan. Mitologi kemudian berkembang kepada sebuah aktiviti bawah sedar terkumpul yang menerbitkan lambang-lambang daripada keinginan bawah sedar manusia terhadap pencarian dan tujuan yang disetkan dengan matlamat tertentu. Maka itu, psikologi dilihat sebagai sebuah mitologi dan mitologi pula dilihat juga sebagai sebuah psikologi. Wujud hubungan dan simbiosis yang tekal antara alam psikologi dan alam mitologi.

Robert Ellwood menyatakan mitos adalah cerita berkenaan dewa dewi, wira dan manusia luar biasa yang diwujudkan pada latar permulaan alam kejadian atau alam luar dunia nyata dalam bentuk naratif yang tersirat di dalamnya pandangan hidup dan nilai-nilai yang wujud dalam sesebuah masyarakat itu. Mitos wujud sebagai set pemahaman terhadap asal mula serta makna kepada setiap amalan, upacara, dan kod dalam perlakuan organisasi masyarakat tersebut. Namun dengan pengaruh tafsiran psikologikal moden, makna mitos menjadi lebih bersifat individual. Maka mitos dilihat dari sisi individual, sub kumpulan, model, kelakuan, sikap, dan ideal peribadi lebih daripada melihatnya sebagai naratif yang penting dalam mewakili nilai keseluruhan masyarakat.

Karen Armstrong menjelaskan bahawa mitos menolak manusia melangkaui pengalaman yang mampu dicapai dalam dunia nyata. Ia adalah saat manusia dibawa ke tempat yang tidak pernah dilihat dan melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan di dunia nyata. Mitos adalah berkenaan sesuatu yang tidak diketahui; sesuatu yang manusia tidak mempunyai kata-kata pada awalnya untuk menggambarkannya. Mitos bukan cerita yang dihasilkan sekadar untuk bercerita, tetapi terhasil sebagai suatu yang menunjukkan bagaimana manusia itu harus berperilaku. Dalam ertikata lain ia merupakan suatu kod etika dan moral untuk mengorganisasikan manusia. Sehubungan dengan hal ini, mitos ternyata berhubungan dengan sistem kepercayaan yang tidak kelihatan tetapi menjadi kuasa yang amat berpengaruh dalam kehidupan manusia di alam nyata. Sesuatu tentang dunia dewa dewi, alam suci dalam konteks minda primitif menjadi tema dasar kepada mitologi. Hal ini disebut sebagai falsafah keabadian (perennial philosophy). Merujuk kepada falsafah keabadian ini mempercayai bahawa semua yang berlaku di dunia ini, semua yang dilihat dan didengar di dunia mempunyai pertalian di alam suci (divine realm) yang lebih tinggi, kuat dan berkuasa daripada dunia manusia. Mitos yang menunjukkan bagaimana dewa dewi ini berkelakuan bukan sekadar menunjukkan perasaan ingin tahu dan bertujuan menghiburkan tetapi untuk menjadi model atau contoh kepada manusia bagi meniru atau mencontohi kewujudan yang lebih berkuasa ini serta mengalami pengalaman alam suci ini daripada perlakuan baik dan beretika mereka.

Teori Tentang Mitologi

Teori tentang mitologi menurut Ellwood dibahagikan kepada empat peringkat iaitu; Euhemeric, Pencerahan (Enlightenment), Romantik, dan Pedagogikal. Teori Euhemeric berasal daripada seorang pengulas dan penulis aliran rasional Greek kuno iaitu Euhemeros (330-260 SM) yang mengasaskan fahaman bahawa mitos bukan fakta yang benar tetapi lahir daripada kemungkinan yang berasaskan peristiwa sejarah, yang kemudian diperbesar-besarkan dalam proses penceritaan dan penceritaan semulanya. Dewa dalam mitos kemungkinannya seorang raja yang agung atau manusia yang menjadi objek sejarah yang kemudian diangkat-angkat kehebatannya sehingga akhirnya didewakan. Sepertimana tokoh lagenda Alexander The Great diangkat menjadi dewa dalam mitos Greek. Peperangan Troy menyaksikan bagaimana pahlawan-pahlawan perang seperti Achilles dimitoskan sebagai setengah dewa setengah manusia. Begitu juga dengan Odyseuss, Odiepus dan sebagainya. Mitos juga adalah bentuk awal kepada sesuatu fikiran atau fahaman. Lantaran itu mitologi juga dikatakan sebagai sebuah ilmu sains atau falsafah primitif yang terbentuk dalam imaginasi manusia yang terhasil daripada pertanyaan-pertanyaan asas tentang kejadian dan kehidupan. Teori Euhemeric ini turut terpakai dengan jelas dalam tradisi di Asia Timur yang menyaksikan mitos mewujudkan dewa dewi yang berasal daripada manusia perkasa dan terbilang dalam sejarah. Sebagai contoh, Dewa Guan Di yang dikenali sebagai Dewa Perang disembah di tokong-tokong Guan Di sebagai pemelihara keselamatan berasal daripada watak panglima perang terkenal Dinasti Han Timur iaitu Jeneral Kwan atau nama asalnya Guan Yu (160-219 SM). Jeneral Kwan berkhidmat kepada kerajaan Shu pimpinan Liu Bei pada era Tiga Kerajaan (Three Kingdoms). Kehebatannya dalam peperangan dan dikenali sebagai pencipta senjata perang yang dipanggil Guan Dao (beliung bertangkai lembing) cukup diagung-agung dalam naratif Cina purba. Sehingga akhirnya tokoh manusia yang bernama Guan Yu atau Jeneral Kwan ini diangkat tarafnya menjadi Dewa Perang yang disembah untuk memohon keselamatan di tokong-tokong Cina.

Teori Pencerahan pula hadir pada era kemuncak revolusi industri membawa ke era moden. Teori pencerahan melihat dari sudut pandangan moden yang mendefinisikan mitos sebagai fenomena individual yang berlaku secara berulang-ulang. Pemahaman ini muncul daripada Francois Lyotard, ahli falsafah pascamodenisme yang menyebut mitos sebagai sebuah metanaratif hasil daripada dinamika perkembangan naratif (narrative of progress) dan pengilmuan naratif (narrative of the unity of knowledge). Ini bermakna naratif berkembang kepada peringkat yang lebih mantap dan sempurna melalui proses pengulangan yakni penceritaan semula dan sebagainya. Ia mewujudkan tafsiran, fahaman, dan nilai baru tentang fenomena manusiawi setiap ketika selaras dengan perkembangan serta kemajuan zaman dan fikiran manusia. Pemahaman tentang mitos memasuki aras yang lebih kompleks apabila penelurusan maknanya dicari melalui teori-teori strukturalis, fungsionalis, dan psikoanalitik. Semangat rasional teori pencerahan meletakkan mitos sejajar dengan evolusi Darwinisme yang melihat asas kejadian atau kewujudan bermula daripada asas yang paling mudah dan ringkas kepada sekuel yang lebih kompleks. Dalam pendekatan kajian kepercayaan, ia mencari titik-mula kepada kepercayaan melalui bentuk adat, pantang larang, semangat alam, dan juga mimpi. Sepertimana yang dikatakan oleh Edward Burnet Tylor, bapa antropologi moden bahawa bentuk asal mitos muncul di alam mimpi.

Teori pencerahan memunculkan semangat rasional yang cuba melihat setiap subjek dan premis dari sudut yang paling objektif. Maka ia melahirkan teori-teori rasional-objektif yang membawa semangat saintifik seperti teori fungsionalisme, strukturalisme dan psikoanalitik. Fungsionalis mengisytiharkan bahawa mitos hanya boleh difahami dengan memahami fungsinya dalam masyarakat yang khusus. Membanding-bandingkannya mitos di wilayah lain adalah perbuatan yang tidak bermakna dan tidak berguna. Mitos adalah melihat kepada bagaimana sesuatu itu berfungsi atau harus berfungsi; seperti raja yang mempunyai autoriti mutlak ke atas rakyat, peranan yang dimainkan oleh wanita, fungsi sesebuah festival, dan sebagainya. Ternyata mitos dilihat membentuk fungsi kepada setiap subjek dan objek dalam sesebuah masyarakat yang khusus. Fungsionalisme melihat kepada kekhususan. Sementara itu, strukturalisme melihat mitos sebagai hukum bahasa. Sepertimana bahasa, mitos juga mempunyai hukum bahasanya. Claude Levi-Strauss menyatakan setiap bunyi daripada kata individual mempunyai sedikit makna dalam dirinya sendiri. Apabila ia dicantumkan sebagai satu ayat, makna bukan sahaja menjadi jelas tetapi juga membentuk kewujudan sesuatu. Strauss kemudian melihat kemunculan mitos daripada pertembungan dikotomi semulajadi-budaya, tuhan-manusia, manusia-fauna, dan juga lelaki-wanita melalui pergerakan dan rekonstruksi bahasa. Mitos mendapat sentuhan ajaib strukturalisme di tangan Roland Barthes. Akhir sekali, psikoanalitik yang menampilkan dua tokoh asasnya iaitu Sigmund Freud dan Carl Jung. Freud melihat mitos merupakan mimpi terkumpul sesebuah masyarakat, biasan daripada keinginan dan kekhuatiran yang muncul dalam masyarakat tersebut. Ia berpunca daripada perkongsian secara homogenus mimpi dan khayalan peribadi ahli-ahli masyarakatnya berhubung dengan kehidupan persekitaran mereka. Jung pula melihat mitos sebagai proses individuasi iaitu proses sesebuah masyarakat itu berdikari dan memanifestasikan kewujudan mereka. Ia melibatkan apa yang disebut sebagai arkitaip iaitu bayangan-bayangan purba atau bayangan mitos yang mempunyai motif-motif tertentu. Teori Jung lebih memberikan makna yang positif terhadap mitos berbanding ahli psikoanalitik yang lain.

Teori Romantisme muncul mendahului Teori Pencerahan, berkembang sekitar abad ke-18 dan ke-19 mengambil banyak bentuk tetapi kesemuanya berdiri di atas prinsip bahawa emosi dan imaginasi kreatif adalah sumber untuk memahami mitos. Mitologi membangkitkan perasaan yang dalam lebih daripada kenikmatan sastera dan kegembiraan sensual. Ia merupakan kesedaran terkumpul manusia terhadap matlamat kehidupan mereka dalam persekitaran masyarakat dan kesemujadian alam. Johan Gottfried Herder melihat mitos dibentuk oleh bahasa bangsa dan persekitaran fizikalnya. Ia merupakan jiwa dan perasaan sesebuah bangsa atau masyarakat itu. Friedrich W. Von Schelling menyambung pandangan Herder dengan menyatakan bahawa mitos adalah penghubung antara yang universal dan yang khusus. Tokoh aliran romantik yang dikuasai oleh ahli falsafah Jerman memunculkan tokoh paling ternama iaitu Friedrich Nietzsche yang menggunakan mitos dalam menghuraikan falsafah sosial dan transendental. Nietzsche mengambil watak mitologi Greek iaitu Apollonian sebagai keadaan terkawal dan rasional sementara Dionysian sebagai keadaan luar kawalan dan minda luar sedar. Dua keadaan ini membawa semangat romantik mitologi.

Akhir sekali Teori Pedagogi yang melihat mitos sebagai pendekatan mendidik nilai moral dan etika masyarakat. Mitos dari falsafah ’Gua Plato’ contohnya melihat mitos sebagai pemahaman terhadap alam nyata dan alam abadi, dalam masa yang sama membawa manusia untuk memahami nilai kehidupan dari sisi falsafah. Teori pedagogi juga melihat mitos sebagai budaya masyarakat, kepercayaan umum dan juga struktur kuasa.

Ayu Utami dan Faisal Tehrani

Bilangan Fu adalah novel karya Ayu Utami setelah Saman dan Larung. Novel ini memenangi Anugerah Khatulistiwa Indonesia 2009 yang menerima wang tunai sebanyak 100 juta rupiah, sekaligus hadiah sastera yang menawarkan hadiah wang tunai tertinggi di Indonesia. Sementara Bedar Sukma Bisu merupakan karya Faisal Tehrani yang memenangi tempat pertama Sayembara Mengarang Sempena Jubli Emas DBP yang membawa Faisal menerima hadiah wang tunai sebanyak RM50 ribu, sekaligus antara hadiah sastera yang menawarkan jumlah wang tertinggi dan berprestij di Malaysia. Faisal sebelum ini telah menghasilkan banyak novel antaranya Cinta Hari-hari Rusuhan, Perempuan Politikus Melayu, 1515, Kombat 1511, Advencer Si Peniup Ney, Detektif Indigo, Surat-surat Perempuan Johor, Tunggu Teduh Dulu, Nama Saya Sultan Alauddin, Manikam Kalbu, Tuhan Manusia, dan sebagainya. Faisal juga menghasilkan karya teater seperti Rintih Chicago, Misi, Monsopiad, Koptiam Ghadir dan sebagainya.

Ayu Utami adalah kelompok Utan Kayu yang terkenal membawa aliran liberal-sekular di Indonesia. Novel Saman Ayu Utami menjadi titik kepada lahirnya sastera yang disebut sebagai Sastera Wangi (Fragrance Literature). Ia membicarakan persoalan seks secara polos sehingga memunculkan aliran sastera yang disebut oleh sebahagian pengkritik sebagai sastera yang dibauri oleh unsur-unsur porno atau tepatnya sastera porno atau sastera seks. Antara penulis Indonesia yang disebut berada dalam aliran ini ialah Djenar Maesa Ayu, Mariana Amiruddin, Dewi Dee Lestari, Fira Basuki, Nova Riyanti, dan Dinar Rahayu. Turut menyertai aliran sastera yang membaur pornografi ini ialah Hudan Hidayat, Binhad Nurrohmat, Stefani Hid, Naning Parnoto dan ramai lagi. Bahkan Taufik Ismail menamakan kelompok sastera wangi ini sebagai SMS iaitu Sastera Mazhab Selangkangan dengan karya-karya mereka dilabel Taufik Ismail sebagai FAK iaitu Fiksi Alat Kelamin. Pusat kepada aliran atau gerakan liberalisme sastera ini ialah di Komunitas Utan Kayu (KUK) yang dipimpin oleh Goenawan Mohamad. KUK mempunyai hubungan dengan Jaringan Islam Liberal (JIL) yang banyak mendobrak hukum, syariat dan tauhid Islam yang dianggap regim ortodoks dan lapuk. Selain daripada sastera seks atau sastera wangi itu, turut berkembang di KUK ialah kumpulan anti-agama. Maka muncul pendokong aliran liberal-sekular di KUK seperti Sitok Srengenge, Nirwan Dewanto, Nukila Amal dan beberapa nama lagi.

Sementara Faisal Tehrani adalah penulis muda Malaysia yang menghasilkan karya-karya bertauhidkan Islam. Faisal Tehrani merupakan lulusan Sarjana Muda Syariah, pengajian Islam Universiti Malaya, Sarjana Sastera dari Universiti Sains Malaysia, dan calon Phd di Universiti Kebangsaan Malaysia. Faisal dilihat sebagai penulis yang menentang keras aliran liberal-sekular dan cukup lantang melaungkan nilai-nilai Islam baik dalam karya mahupun perjuangannya. Bagaimanapun aliran Islam yang dibawa oleh Faisal turut menimbulkan kontroversi apabila dikaitkan dengan mazhab dan aliran tertentu. Beberapa karya Faisal mula dilihat berkecenderungan tertentu antaranya novel Saasatul Ibaad, novel bersiri Perempuan Di Wajah Langit Pagi, novel-drama Tuhan Manusia dan terakhir teater Kopitiam Ngadir. Tidak seperti Ayu Utami yang didokong oleh KUK dan Goenawan Mohamad, Faisal Tehrani didokong oleh tenaganya sendirian dan lebih membawa alirannya secara solo dengan sifat individualitinya yang tinggi dan berdikari. Walau apa pun kontroversi yang timbul atas aliran yang dibawanya, adalah tidak dapat dinafikan kecekalan Faisal membawa nuansa sastera Islam dalam sastera Melayu dekad mutakhir ini.


Struktur Watak dalam Bilangan Fu dan Bedar Sukma Bisu


Bilangan Fu menampilkan tiga watak protagonis utama yang membentuk segitiga protagonis dalam menggerakkan cerita. Yuda, watak teras di mana hampir keseluruhan cerita tampil dari matanya. Yuda lebih muncul sebagai sudut pandangan orang pertama dengan gantinama ’aku’. Yuda lebih muncul sebagai ’aku’. Nama Yuda hanya muncul pada awal cerita bagi memperkenalkan siapa ’aku’. Dalam cerita seterusnya, nama Yuda hilang digantikan dengan sudut pandangan ’aku’. Dari ’aku’ inilah semua cerita dan konflik dilihat dan ditanggap. Yuda atau aku ini membentuk sifat seorang pemuda kota yang cekal, berilmu, rasa ingin tahu yang kuat, suka bertaruh, dan tidak mempercayai sebarang dogmatik agama. Dalam masa yang Yuda juga membentuk watak tersembunyi seorang pemuda yang keliru sehingga menolak Tuhan dan agama langit, mempercayai agama bumi yang bersifat animisme sebagai agama awal yang benar, menentang hukum adat dan agama dengan mengamalkan seks luar nikah dengan kekasihnya Marja, serta mempercayai mitos adalah hukum kebenaran yang misteri dan ghaib. Yuda juga diangkat sebagai simbol pemberontak kepada agama langit, berasas kepada nama Yudas (Yahudza), pengikut yang mengkhianati Nabi Isa yang merupakan salah seorang dalam kelompok 12 orang (huwariun) pengikut kepercayaan Nabi Isa.

Parang Jati watak yang menyertai wilayah segitiga protagonis ini muncul sebagai watak kedua penting selepas Yuda. Parang Jati muncul sebagai watak pemuda misteri berjari dua belas yang gagah, berani, bijak, kacak, penyayang, berhemah lembut, dan mempunyai prinsip kepercayaan yang sangat teguh. Parang Jati bukan sahaja dilihat sebagai watak penting pelengkap cerita tetapi lebih daripada itu merupakan titik kepada pergerakan pemikiran dan konflik dalam Bilangan Fu. Bahkan Parang Jati adakalanya muncul sebagai personae pengarang untuk menghantar ideologi dan fikiran anti-agamanya. Di sini Parang Jati wujud sebagai watak yang mempunyai dua keadaan wujud (state of Being); iaitu sebelahnya sebagai watak pendua kepada Yuda dan sebelah lagi sebagai watak mitos yang lahir untuk mengatur kembali norma dan nilai masyarakat. Sebagai pendua Yuda, ia melengkapkan pertanyaan dan persoalan Yuda tentang mitos dan agama. Parang Jati menjawab kebingungan Yuda terhadap misteri bilangan fu, sekaligus mencerahkan idealogi Yuda terhadap agama bumi atau sebenarnya atheis-animisme. Yuda dikatakan mendapat ’wahyu’ pengetahuan seturut darah gnosis sanguinis melalui persenggamaannya dengan Sebul di alam bawah sedarnya. Sebagai watak mitos, Parang Jati muncul sebagai ’malaikat jatuh’, yang menurut pandangan Yuda ia seperti tidak datang dari dunia ini. Lahir dengan mempunyai dua belas jari, lengkap sifat lelaki serta bijaksana menonjolkan keluarbiasaan Parang Jati. Pemuda yang punya kelebihan mendaki gunung tanpa peralatan mendaki, mengetuai persembahan pelik Klan Saduki, termasuk menjadi perantara alam mitos dan realiti pada hakikatnya ialah wira mitos (myth hero) yang diwujudkan sebagai kenderaan untuk menyampaikan kesan tertentu kepada pembaca. Menurut Joseph Cambell, ”mythology as a vehicle for delivering inner, psychological liberation to his contemporary audiences…

Parang Jati asalnya adalah seorang bayi yang ditinggalkan di lubuk ketiga belas di daerah Sewugunung iaitu Sendang Hu atau Sendang Hulu secara misteri. Daerah Sewugunung ini terletaknya gunung tua yang tergantung tebing batu bernyanyi misteri dipercayai terhasil daripada letusan gunung berapi pada zaman Sangkuriang digelar Watugunung. Ia ditemui oleh Mbok Manyar wanita pemegang kunci mata air sekaligus dukun dan perawat semangat alam. Mbok Manyar menerima tanda-tanda kehadiran bayi berjari dua belas yang turut sama diterima oleh Suhubudi, seorang pemimpin masyarakat dan alam yang penuh misteri di Sewugunung. Sememangnya ada perhubungan alam halus antara Suhubudi dan Mbok Manyar yang wujud sebagai paksi penjaga semangat alam di Sewugunung. Mbok Manyar menyerahkan bayi misteri yang ditemui di lubuk ketiga belas Sendang Hu – pada waktu berakhirnya bulan Sadha dalam tanggal Jawa-purba dan muncul bulan ketiga belas iaitu bulan pertama yang kembali dalam kalendar Jawa-purba, di mana sesuatu menjadi satu kembali. Bayi itu dinamakan Parang Jati. Berkenaan nama Parang Jati, diterangkan dalam perenggan berikut;

Manyar menggeleng, ”Ini anakku. Namanya Parang Jati,” ujarnya sambil tersenyum. Lalu diserahkan bayi itu ke pelukan Suhubudi. ”Peliharalah.”

Kemudian hari Suhubudi menafsirkannya demikian. Seperti ikan pelus keramat yang memelihara mataair di bawah bukit-bukit kapur, bayi ini berasal dari laut. Dalam bahasa Jawa kuna, parang adalah karang, si batu laut. Jati adalah sejati ataupun asal. Anak ini adalah parang yang sejati, ataupun sesuatu yang sejatinya adalah parang. Seperti pelus yang berasal dari Laut Selatan, anak itu pun datang dari samudra di mana semayam istana Sang Ratu Segara Kidul. Kerajaan Tasik Wedi. Laut Selatan telah menitipkan bayi ini. (Ayu Utami. Bilangan Fu, hal. 218).

Parang Jati membesar dalam peliharaan Suhubudi yang kaya dan berpengaruh. Maka Parang Jati hidup sebagai anak yang mendapat semua keperluan dan kesenangan namun dididik dengan penuh taat untuk menghormati dan memelihara kesejahteraan manusia dan alam. Parang Jati membesar dalam dua keadaan kewujudan iaitu sebagai watak dunia nyata dan sebagai watak mitos yang diiringi banyak keajaiban dan misteri. Perkenalan dengan Yuda secara kebetulan membentuk persahabatan dan titik pergerakan cerita dalam novel ini. Parang Jati muncul sebagai mitos yang mengembalikan norma dan nilai masyarakat kepada kesemujadian alam yang rosak oleh kedatangan agama langit atau unsur luar. Prinsip dan pemikiran atheis-animisme ini dikembangkan dari titik mitologi yang digerakkan dari ruang-wujud Parang Jati.

Marja, teman wanita Yuda melengkapkan ruang segitiga protagonis dalam wilayah pergerakan cerita novel ini. Marja, mahasiswi jurusan rekabentuk. Memiliki rupa sederhana tetapi fizikal tubuh gadis yang menarik. Marja digambarkan sebagai gadis yang berdikari, berani, ingin tahu, tidak mengharap lelaki dan juga pemain cinta yang perkasa (seksualiti wanita yang menguasai lelaki). Dalam wilayah segitiga protagonis ini, Marja menjadi watak wanita tunggal yang adakalanya menjadi penghubung emosi Yuda dan Parang Jati, adakalanya pula menjadi penjarak kutub emosi Yuda dan Parang jati. Dalam wilayah segitiga protagonis ini, walaupun Marja berperanan kecil berbanding Yuda dan Parang Jati yang menjadi titik pergerakan cerita, tetapi Marja dilihat menjadi sejenis barometer pengukur emosi Yuda dan Parang Jati. Lebih daripada itu Marja dalam konteks mitologi dilihat menjadi pelengkap kepada ’penyatuan bertiga’ prinsip atheis-animisme yang wujud sebagai lambang kewanitaan, ibu atau bumi.

Sementara dalam Bedar Sukma Bisu, juga muncul wilayah segitiga protagonis dengan watak-wataknya Wefada, Elemine dan Haiqal. Bezanya dengan Bilangan Fu, wilayah segitiga protagonis ini berpusat kepada watak Wefada, seorang wanita yang menjadi pusat kepada semua pergerakan cerita dan konflik. Wefada atau Prof Dr. Wafeda, wanita terpelajar lulusan Harvard, berketurunan mulia-aristokrat, bijak, berani, bermaruah dan berprinsip. Wefada menjadi harapan neneknya untuk meneruskan perjuangan dunia perniagaan perkapalan keluarga yang diasaskan oleh datuknya Ben Qurtubi. Namun Wefada menjauhi dirinya dari dunia perniagaan keluarga dan menumpukan hidupnya kepada dunia akademik dengan menjadi pensyarah ekonomi di universiti. Sebagai keturunan Arab-Melayu, Wefada tentunya memiliki genetik wanita jelita dan bijaksana. Wefada dimunculkan sebagai watak janda yang mempunyai seorang anak lelaki, Haiqal. Suami pertamanya Muhammad Chen, Cina mualaf mati di laut. Namun cintanya hidup semula oleh kedatangan Elamine, pemuda dari Oran, Turki iaitu kota kelahiran datuknya Ben Qurtubi. Elamine pemuda berusia 29 tahun sahabat seuniversiti anak lelakinya Haiqal. Wefada menghadapi pergelutan cinta dengan lelaki muda, dan dalam masa yang sama pergelutan untuk memenuhi harapan tunggal keluarganya untuk menyelamatkan tradisi dagang perkapalan mereka. Wefada akhirnya mengambil alih syarikat dagang perkapalan milik keluarganya setelah kematian abangnya Waqeel oleh tragedi kemalangan. Wefada, adalah watak yang diberi segala kelebihan dan kesempurnaan, sehingga ia wujud sebagai mitos moden yang tersembunyi. Namun kemunculan Wefada sebagai titik pemula dan penggerak ini diatur atas matlamat untuk memperjuangkan nilai-nilai Islam yang syumul. Wefada menjadi contoh dan model kepada tingkah laku serta nilai umat Islam umumnya dan wanita Islam khususnya. Setiap langkah dan gerak Wefada dimunculkan untuk menyampaikan nilai Islam. Baik dari segi pergaulan fizikal, sehinggalah kepada pemikiran dan idealogi – Wefada digerakkan atas tujuan menyampaikan nilai Islam.

Elamine, pemuda al-Jazair dari Oran penuntut Sarjana Pengurusan Perniagaan di UKM juga merupakan sahabat baik Haiqal, anak lelaki Wefada. Elamine dikatakan diutus oleh Profesor Nasir, sarjana tersohor dunia Arab khususnya Afrika Utara yang sangat dihormati oleh Wefada. Elamine muncul sebagai watak yang dihantar dari langit. Mempunyai unsur watak mitos, pemuda kacak, perkasa dan bijaksana dari negeri kayangan yang jauh (yang diangkat dengan misteri dan ketakjuban). Dalam wilayah segitiga protagonis, Elamine wujud sebagai watak ideal daripada sebuah cita-cita Islam. Elamine membawa watak insan adabi yang beriman, berilmu, lembut, tawadhuk, redha, berani dan jujur. Cinta dalam ruang segitiga protagonis ini wujud sebagai addin iaitu jalan kepada kebenaran. Sebagai watak ideal insan adabi, Elamine lengkap segalanya fizikal dan intelektual serta menjadi model pemuda yang insaf akan tanggungjawab dirinya kepada Tuhan. Menurut Syed Muhammad Naquib Al-Attas, “Dari segi pandangan Islam, insan yang baik itu ialah insan yang berilmu luhur, yang insaf akan tanggungjawab dirinya kepada Tuhannya yang Hak; insan yang memahami serta menyelenggarakan penunaian tanggungjawabnya terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya; insan yang dalam serba serbi tingkahlakunya senantiasa mengasuh dirinya menuju ke arah kesempurnaan sebagai insan adabi”. Elamine seorang pemuda yang arif tentang al-Quran dan maknanya, yang sentiasa menyesuaikan teori dan ilmu moden dengan Islam yang syumul. Selebihnya ia menjadi insan adabi yang berjuang mengekang hawa nafsu agar tidak melanggar syariat Islam dalam hubungan cinta ajnabinya dengan Wefada. Elamine wujud sebagai watak pelengkap kepada Wefada, dan dalam sisi yang lain menjadi watak mitos yang wujud di alam nyata.

Haiqal, anak lelaki Wafeda dalam wilayah segitiga protagonis ini wujud sebagai watak yang melengkap garis segitiga tersebut. Haiqal yang berusia lima tahun lebih muda dari Elamine ini menjadi jambatan penemu antara Wafeda dan Elamine. Haiqal juga wujud sekata dengan Wefada dan Elamine yakni sebagai insan adabi yang teguh berpegang kepada Islam. Haiqal mengagumi tokoh pemimpin Islam dan juga pemikiran-pemikiran Islam. Mengagumi Elamine dan menyayangi uminya Wefada. Dalam wilayah segitiga protagonis ini, Haiqal dari sisi lain boleh dikatakan wujud juga sebagai barometer pengukur emosi Wefada dan Elamine. Haiqal juga menjadi cermin untuk melihat Wefada dan Elamine dari sudut yang khusus. Peranan Haiqal dalam cerita keseluruhan tidak besar, tetapi menjadi amat penting dalam hubungan garis dan titik dalam wilayah segitiga protagonis, khususnya dalam titik dan garis hubungan Wefada-Elamine.

Watak antogonis muncul sebagai watak tunggal dalam kedua-dua novel ini. Dalam Bilangan Fu, Kupukupu @ Farisi adalah watak antagonis yang muncul untuk menyaingi Parang Jati. Kupukupu mempunyai hubungan misteri dengan Parang Jati. Bahkan ditanggap sebagai adik Parang Jati. Berusia muda tiga tahun, juga ditemui oleh Mbok Manyar dalam keadaan yang sama dengan Parang Jati. Diletakkan dalam keranjang yang sama dan ditinggalkan di mata air yang sama. Tetapi kali ini Suhubudi, si raja yang bijak itu tidak datang untuk mengambilnya. Maka Mbok Manyar menyerahkan bayi yang diberikan nama Kupukupu itu kepada suami isteri Parlan dan Mentel yang baru kematian putera tunggal. Parlan bekerja sebagai buruh penambang dan penyadap air nira. Suami isteri ini merupakan antara warga paling miskin di Sewagunung. Kupukupu, saudara Parang Jati membesar dalam keadaan yang sama sekali berbeza dengan Parang Jati. Kupukupu membesar dengan hati penuh dendam. Ketika kecil dia cukup mengagumi Parang Jati, tetapi setelah besar Kupukupu mendapat satu-satunya saingannya di daerah itu ialah Parang Jati. Maka Kupukupu sering berbentur pendapat dan pengaruh dengan Parang Jati. Kupukupu dimunculkan sebagai watak fanatik agama, tidak rasional, pendendam dan mendatang kesusahan serta halangan kepada perjuangan wilayah segitiga antagonis. Dari sisi lain, Kupukupu yang membawa sifat pejuang Islam yang menyelar khurafat dibentuk untuk memperlihatkan keburukan orang agama yang disifatkan dengan sifat fanatik, semborono, keras dan zalim. Dalam kata lain, mencipta watak agama sebagai antagonis.

Sementara dalam Bedar Sukma Bisu, antagonisnya wujud dalam watak Muawiyyah. Seperti Kupukupu, Muawiyyah juga berada dalam lingkungan saudara protagonis iaitu Wefada. Muawiyyah adalah bapa saudara Wefada, yang sering menimbulkan suasana tegang dalam perniagaan keluarga ini termasuk usul Muawiyyah agar Waqeel dipecat untuk beliau mengambil alih Bedar Sukma. Kelahiran Muawiyyah disembunyikan, lantaran sebenarnya dia adalah anak yang lahir setelah ibunya Tengku Fatimah, juga nenek kepada Wefada dan Waqeel – diperkosa oleh Jepun. Muawiyyah mewakili watak pendendam oleh sifat kelahiran yang berbeza. Namun kedua-dua watak antagonis Kupukupu dan Muawiyyah banyak berkongsi situasi yang serupa. Pertalian darah membuatkan Kupukupu masih menghormati Parang Jati dan begitu juga Parang Jati masih mempunyai perasaan yang dalam terhadap Kupukupu. Muawiyyah juga, dengan hubungan darah yang mengalir, antaranya dan Wefada masih saling menyayangi dan menghormati sebagai bapa dan anak. Muawiyyah bahkan dipujuk oleh Wefada untuk terus menyumbang bakti kepada Bedar Sukma setelah Wafeda mengambil alih pengurusan. Kupukupu dan Muawiyyah juga berkongsi rasa keterasingan oleh latar kehidupan mereka yang berbeza sehingga menjadikan mereka antagonistik. Kupukupu lebih ketara gambaran perwatakannya yang terpendam beban psikologi, sementara Muawiyyah tidak dikembangkan jauh. Kedua-dua antagonis ini juga adalah watak daripada inspirasi alusi. Kupukupu mungkin alusi daripada utusan agama yang dimusuhi oleh doktrin atheis-animisme novel Bilangan Fu. Sementara Muawiyyah mungkin adalah alusi daripada pelopor dinasti umaiyyah yang merampas kuasa daripada Saidina Ali, dengan puteranya Yazid membunuh Saidina Hassan dan para ahli bait. Kedua-duanya juga hidup sebagai watak antagonis yang dimunculkan oleh keadaan, dan mempunyai sisi putih di sebalik sisi gelap mereka.

Dapat dilihat struktur watak yang sejajar antara kedua-dua buah novel ini. Segitiga protagonis Yuda-ParangJati-Marja dengan kehadiran antagonis yang ambivalens sifatnya iaitu Kupukupu dalam Bilangan Fu. Sementara dalam Bedar Sukma Bisu, muncul segitiga protagonis Wefada-Elamine-Haiqal dengan kehadiran antagonis yang mempunyai ambivalen tidak ketara iaitu Muawiyyah. Yuda dan Wafeda distrukturkan menjadi watak utama yang mendokong asas idealogi, wujud sebagai wira alam nyata yang sempurna latar keupayaannya. Bagaimanapun kedua-dua watak penting ini membawa idealogi yang sangat saling bertentangan; Yuda menolak agama dengan membawa nilai atheis-animisme, dan Wafeda menerima agama dengan menyalurkan nilai Islam pada setiap geraknya. Sementara Parang Jati dan Elamine muncul sebagai pelengkap kepada idealogi yang dibawa atau dipersoalkan. Kedua-duanya muncul dengan watak dua belahan sisi iaitu pemuda yang didambakan di dunia nyata, dengan sebelah sisi lagi adalah watak mitos yang dikembangkan dengan unsur keluarbiasaan yang mempunyai kelebihan serta kelainan dengan manusia awam atau manusia sekitarnya. Tujuannya tidak lain selain daripada menjadi kenderaan untuk melengkapkan penyampaian idealoginya. Akhir sekali dilihat Marja dan Haiqal yang punya peranan kecil dalam cerita tetapi peranan besar dalam menghubung garis dan titik emosi dalam wilayah segitiga protagonis tersebut.

Struktur Cerita dalam Bilangan Fu dan Bedar Sukma Bisu

Bilangan Fu dibahagikan kepada tiga bahagian mengikut bidang idealogi yang ditentang sebagai punca kepada kebejatan manusia dan kerosakan alam iaitu; Modenisme, Monotheisme, dan Militerisme. Struktur cerita ini dilihat membentuk persamaan dengan struktur cerita roman iaitu Permulaan, Pengembaraan, dan Pertemuan. Dari sudut ini dapat dilihat bahagian modenisme merupakan bahagian pengenalan dan permulaan kepada cerita serta idealogi novel ini. Bahagian ini menceritakan latar belakang protagonis dan antagonis. Seterusnya memunculkan bentuk dan keperibadian cerita yang dilihat berkecenderungan membawa masuk mitos yang dipertembungkan dengan modenisme. Latar belakang aliran pemikiran, idealogi, gaya kreatif dan teknik juga mula diperkenalkan dalam bahagian ini. Dalam pada itu modenisme yang dilihat sebagai musuh idealogi, dihuraikan dengan memberikan modenisme wajah penjarah yang menghancurkan nilai-nilai asli dalam masyarakat. Maka usaha untuk mengangkat nilai-nilai yang dihancurkan oleh modenisme ini dijuangkan dengan mengembalikan nilai-nilai mitos dalam masyarakat. Mitos dari Babad Tanah Jawi tentang Perang Bubak yang menyaksikan kisah tragis Diah Pitaloka dan mitos Sangkuriang ingin mengahwini ibunya sendiri, juga mitos Ki Wirasuta menjadi orang halus di Watugunung disampirkan dalam menyerapkan kembali nilai-nilai mitos dalam masyarakat. Semua mitos ini mengangkat kisah tragis, seperti ingin memberikan masyarakat sebuah katarsis yang membebaskan mereka daripada beban modenisme.

Sepertimana yang dikatakan oleh Roland Barthes, mitos adalah suatu bentuk nilai, kebenaran tidak dijamin di situ. Namun tiada yang dapat menghalangnya daripada menjadi saksi abadi. Ia mencukupi untuk menjadi penanda yang mempunyai dua belah wajah yang sentiasa ada di mana-mana tanpa dapat dilupuskan . Maka mitos adalah suatu bentuk nilai abadi yang wujud sebagai penanda kepada kewujudan secara menyeluruh sesebuah masyarakat merangkumi kepercayaan, pandangan hidup, falsafah, peradaban dan segala-galanya. Pandangan Barthes ini terlebih dahulu telah dijelaskan oleh Claude Levi-Strauss dengan mengatakan dari satu sisi, mitos menunjuk kepada peristiwa pada masa lampau (reversible time). Tetapi pada sisi yang lain, mitos juga menampilkan pola-pola hubungan yang tetap ada sehingga sekarang (non-reversible time).

Dalam bahagian Monotheisme, latar yang telah dilengkapi dalam bahagian Modenisme dibawa mengembara untuk mencari nilai dalam mitos. Pencarian nilai dalam mitos ini membawa kepada pertembungan besar dan asasi dengan monotheisme. Mitos menolak monotheisme secara in toto. Maka ia memunculkan pertembungan antara prinsip satu dalam monotheisme dengan prinsip nol (kosong) dalam mitos. Dalam bab Kritik Hu atas Monotheisme, pertembungan prinsip asas ini dihuraikan. Monotheisme menekankan bilangan satu, yakni Tuhan adalah satu. Tetapi dalam mitos ’tuhan’ berkembang dari konsep bilangan kosong, yakni shunya yang menjadi sunyata (sunyi, kosong) yang wujud lebih awal daripada konsep bilangan satu. Bahagian Monotheisme ini membawa kepada pengembaraan yang sangat mencabar, baik dalam penelusuran fizikal wilayah segitiga protagonis menghadapi konflik di daerah Sewagunung mahupun penelusuran spritual parallelity Yuda-Parang Jati memperjuangkan nilai-nilai mitos dalam wajah atheis-animisme mereka melalui pengetahuan seturut darah gnosis sanguinis yang misteri itu. Bahagian ini banyak memasukkan cerita-cerita mitos yang memperbandingkan nilai-nilai asli (animisme) dan nilai-nilai luar (monotheisme). Ini terlihat daripada mitos kelahiran Parang Jati dan Kupukupu sendiri. Kemudian ia berkembang kepada mitos asal usul Ratu Selatan Nyi Roro Kidul penguasa semua makhluk halus di Pulau Jawa yang dikatakan berasal daripada Ki Ajar Cemara. Mitos kelahiran Parang Jati dirungkai dengan mengaitkannya dengan mitos Siung Wanara, yang membunuh bapanya sendiri Raja Pejajaran dan menghalau saudaranya Raden Sesuruh sehingga mengembara ke Jawa dan menghasilkan turunan Raja-raja Jawa Majapahit. Ki Ajar Cemara mempunyai hubungan dengan Raden Sesuruh, menjadikan mitos ini berkait antara satu sama lain. Nyi Roro Kidul dari asal Ki Ajar Cemara turut mempunyai hubungan dengan mitos-mitos lain seperti mitos Ki Ageng Mataram dan mitos Hindu-Buddha Dewaruci, sekaligus menjadikan Nyi Roro Kidul sebagai pusat mitologi dalam mengembangkan nilai atheis-animisme di sini. Mitos Durga yang disumpah oleh Betara Guru juga mengembangkan sudut ketidakadilan agama, sekaligus menjadi sampiran untuk mengangkat ’ketokohan/keadilan’ atheis-animisme dalam pusat mitologi Nyi Roro Kidul.

Bahagian terakhir, Militerisme merupakan bahagian peleraian cerita – pertemuan nilai mitos dengan kemenangan tersembunyi atheis-animisme dalam tragis kematian Parang Jati. Postmodenisme yang dianggap sebagai kelahiran nilai baru mitos muncul sebagai resolusi kepada prinsip anti-monotheisme tadi. Maka Militerisme muncul sebagai musuh ketiga postmodenisme setelah modenisme dan monotheisme, sebagai mewakili kekuasaan kekerasan. Pertembungan sebelum ini yang berlaku dalam bentuk non-fizik kini berlaku dalam bentuk fizik. Antagonis bangkit dalam bentuk ancaman fizikal. Antagonis Farisi @ Kupukupu kini datang dengan gerombolan kekerasannya. Tragedi mengalir dalam bahagian ini, bersama-sama jawapan kepada misteri dalam bahagian sebelumnya. Pemahaman tentang hubungan kekuasaan dan militerisme dalam bahagian ini dapat difahami daripada pernyataan Michel Foucault yang menyatakan bahawa kekuasaan wujud dalam dua bentuk. Pertama dalam bentuk peraturan dan kedua dalam bentuk strategi yang berkaitan hubungan-paksaan (force-relationships) . Kekuasaan secara strategis berkaitan satu dengan lain dan sentiasa mengalami pergeseran. Maka kemenangan segitiga protagonis membawa faham atheis-animisme tersebut dirungkai melalui tragis kematian Parang Jati. Ia melahirkan suatu bentuk katarsis yang mencari kesempurnaan setelah melalui kekacauan dan penderitaan, digambarkan secara erotis sebagai bentuk perjalanan eros dan thanatos (cinta dan mati).

Ketiga-tiga bahagian ini mengisar irama tragis apabila ia menamatkan penutup dengan tragis kematian Parang Jati. Keadaan ini melanggar struktur roman, dan menukarkannya kepada bentuk tragedi. Kematian tragik Parang Jati adalah resolusi kepada isi spritual cerita yang berkaitan dengan matlamat penyucian jiwa atau penemuan kebenaran melalui kengerian dan rasa kasihan. Maka tiga bahagian yang mendirikan Bilangan Fu ini juga boleh dilihat sebagai struktur cerita tragis iaitu Poema (iktikad), Pathema (derita) dan Mathema (pemahaman). Dari sudut susunan bahagian; Bahagian Modenisme menempati bahagian Poema, bahagian Monotheisme menempati bahagian Pathema dan bahagian Militerisme menempati bahagian Mathema. Sisi susunan tragedi ini dapat melihat susunan tiga bahagian tersebut sebagai sebuah gerakan atau proses kepada katarsis; yang akhirnya melunaskan segala resolusi terhadap prinsip dan idealogi yang dibawa oleh pengarang.

Struktur cerita dalam Bedar Sukma Bisu dibahagikan kepada lima bab dengan satu bab prolog. Bab prolog ini merupakan sebuah kolaj kepada asas cerita dan pengakhiran cerita. Dalam ertikata lain ia menampilkan imbasan cerita dan juga imbasan hadapan (foreshadow) kepada apa yang berlaku pada akhir cerita. Struktur cerita lima bab ini tidak memberikan pembahagian yang khusus kepada kronologi cerita. Sebaliknya ditulis dengan pelbagai bentuk imbas kembali, imbas muka dan juga imbas hadapan yang tidak sekata dalam setiap bab. Dari segi struktur cerita, Bedar Sukma Bisu agak tidak tersusun dan tidak memberikan pembahagian yang jelas kepada struktur idealogi dan perkembangan cerita. Ia lebih bergerak seperti ombak laut yang terumbang ambing di lautan ceritanya yang dalam. Ada banyak perkara besar dan pemikiran yang dalam cuba dihadirkan, tetapi struktur cerita yang terumbang ambing banyak menenggelamkannya.

Bab satu membawa episod pengenalan kepada watak utama Wefada, dan asal mula sejarah Bedar Sukma Bisu iaitu sebuah kapal binaan Ben Qurtubi asalnya dan kemudian menjadi nama syarikat besar milik keluarga keturunan Ben Qurtubi-Tengku Fatimah. Sekaligus ia menjadi lambang kecekalan dan keagungan tamadun Melayu yang berasaskan Islam. Ben Qurtubi, lelaki dari kota Oran di wilayah Turki yang berkahwin dengan wanita bangsawan Melayu Terengganu Tengku Fatimah Tengku Ahmad adalah pengasas kepada keluarga aristokrat Melayu yang membangunkan syarikat perkapalan besar Bedar Sukma atau BSG Corporation. Syarikat ini mengusahakan perniagaan kapal pelancongan yang bergerak di seluruh dunia. Bab ini memperkenalkan Wefada, Tengku Fatimah, Ben Qurtubi, Waqeel, Muawiyyah, Haiqal, Elamine, Ayah Par dan Rashidah. Selain itu, ia juga menyelitkan mitos Melayu dalam tradisi pembuatan kapal sebagai seni pertukangan kayu yang hebat dan tidak ada di dunia lain. Kehebatan teknologi senibina Melayu ini dikaitkan secara tidak langsung dan tersirat dengan kemajuan teknologi kerajaan tua Saba’ yang terdapat dalam al-Quran. Bab ini juga memberikan cetusan awal pemikiran dan idealogi yang mengangkat nilai-nilai Islam sebagai nilai utama dan mulia dalam masyarakat. Ia terlihat daripada pemikiran tentang pergaulan lelaki wanita dalam syariat Islam dan kemuliaan hubungan masyarakat mengikut kerangka Islam.

Dalam Bab Dua, hubungan segitiga protagonis Wefada-Elamine-Haiqal mula wujud dan berkembang. Ia membina hubungan perasaan dan ruh dalam cerita. Paling penting segitiga protagonis ini bersatu membina perjuangan nilai Islam. Wefada berdiri sebagai tunggak utama, menjadi sisi pengucapan idealogi dan pemikiran terhadap nilai Islam dalam ekonomi, dan kehidupan masyarakat. Sementara Elamine muncul sebagai watak wira yang memiliki ‘keluarbiasaan’ oleh perbezaannya yang diberikan untuknya sebagai kedatangan manusia dari dunia jauh yang tinggi dari masyarakat peribumi yang biasa. Watak mitos Elamine diperkuatkan dengan sifatnya sebagai pemuda beriman. Sudut pandangan Elamine muncul menyatakan dirinya dalam bab ini. Haiqal muncul dalam segitiga protagonis ini sebagai penghubung garis dan titik perasaan kedua-dua Wefada dan Elamine. Cerita berkembang dengan kemunculan antagonis Muawiyyah (bapa saudara Wefada) yang menjadi penggerak kepada konflik luar, sekaligus menampilkan kehebatan Wefada sebagai wirawati utama ketika menyelamatkan Waqeel abangnya melalui kebijaksanaan ekonomi. Idealogi pemikiran yang mengangkat konsep Islam ditampilkan dengan konsep Malakah hasil pemikiran Ibnu Khaldun berkenaan sebuah konsep pemikiran yang mengkiaskan ‘kapal untuk menyelamatkan kemanusiaan melalui akidah dan keimanan yang menguasai dasar ilmu’. Konsep tentang peri pentingnya kekayaan material dalam masyarakat sebagai alat untuk mengembangkan dakwah Islam, juga disalurkan dengan perbandingan kisah para sahabat Rasulullah (Nabi Muhammad s.a.w).

Bab Tiga mengembangkan cerita atau kronologi keturunan Ben Qurtubi-Tengku Fatimah melalui kisah Waqeel, Wefada dan Muawiyyah. Waqeel, abang Wefada sekaligus generasi ketiga pemimpin Bedar Sukma selepas datuk Ben Qurtubi dan ayah Marwan. Waqeel berjaya membawa kemajuan besar Bedar Sukma tetapi terlihat beberapa kelemahan diri Waqeel. Secara tidak langsung memunculkan Wefada sebagai tokoh penyelamat yang tidak dijangka. Sementara kisah Wefada berkembang kepada sejarah perkahwinan dengan Muhammad Chen, mualaf Cina yang berakhir dengan tragis kematian Chen. Kehebatan Wefada dimunculkan secara lembut dan berseni dalam peranannya menamatkan konflik dengan memujuk Muawiyyah untuk kembali ke Bedar Sukma. Muawiyyah juga muncul sebagai watak bulat yang mempunyai banyak sisi baik. Hubungan perasaan persaudaraan dipupuk dengan baik oleh Wefada apabila mengundang Muawiyyah menjadi wali perkahwinannya dengan Elamine.

Perkembangan cerita dalam Bab Empat menumpukan kepada sejarah Bedar Sukma yang bangun menjadi multinasional. Ia memperkenalkan watak Marwan, ayah Wefada dan Waqeel yang membina Bedar Sukma menjadi sebuah syarikat antarabangsa. Dalam wilayah segitiga protagonis, watak Haiqal dibentuk peranannya baik dalam hubungan wilayah segitiga tersebut mahupun di luarnya dengan peranan Haiqal sebagai arus kecil tetapi penting dalam perkembangan Bedar Sukma. Mitos dan nilai dikembangkan secara sejajar dalam bab ini untuk memperlihatkan pemikiran dan idealogi masyarakat Islam yang dibentuk oleh akidah dan iman. Dalam pada itu ia mewujudkan konsep alam rumpun Melayu yang merujuk kepada peradaban Islam di Asia Tenggara. Kisah Elamine dilengkapkan dengan peristiwa sebab musabab kehadirannya ke wilayah cerita Bedar Sukma ini.

Bab Lima menjadi penamat kepada cerita menggerakkan sisi pandangan dan pemikiran Wefada untuk membina Bedar Sukma sebagai sebuah mikro dunia Islam. Sisi mitos (dari segi latar) bergerak untuk mengangkat kekuatan Islam dalam ertikata menggambarkan Islam sebagai penyelesaian kepada segala kekacauan, kebejatan dan keonaran dalam masyarakat serta alam. Ceritanya digantung kepada penamat yang tidak tamat dengan Wefada mencari kekuatan untuk membina sebuah mikro dunia Islam, Haiqal diserang lanun bersama datuknya di perairan Sabah dan mimpi aneh mitos Ben Qurtubi.

Mitos dan Agama dari sisi Perbandingan Novel


Kehadiran mitos selalunya berhubungan kait dengan kepercayaan. Dalam peringkat awal peradaban manusia, mitos selalunya wujud sebagai kunci kepada konsep agama. Bahkan ia menyangkuti hubungan dengan alam dewa dewi atau alam keabadian dalam konteks falsafah keabadian (perennial philosophy). Dalam konteks kepercayaan, mitos boleh dikatakan jambatan atau gerbang antara alam abadi dan alam fana. Sementara dalam konteks budaya mitos adalah pintu antara kepercayaan dan budaya. Pada masa yang sama mitos hadir sebagai sistem budaya di mana masyarakat berkomunikasi dan menyelaraskan kehidupan mereka terutamanya dalam konteks normatif, iaitu mengatur hidup kepada norma dan peraturan tertentu berdasarkan kepercayaan umum. Mitos mewujudkan norma-norma tertentu yang membolehkan manusia mencipta peraturan dan amalan hidup. Dalam mitos yang bersifat etiologi iaitu berkenaan asal usul atau asal mula kejadian, keprihatinan terhadap alam menjadi prinsip utama. Ia akhirnya mewujudkan kepercayaan terhadap semangat alam dan kepentingan untuk menjaga keseimbangan alam. Sementara dalam mitos yang bersifat eskatologi iaitu berkenaan alam hidup dan mati serta perakhiran alam, alam kerohanian/keabadian menjadi pegangan dan prinsip kepercayaan. Ia seterusnya mewujudkan hubungan keagamaan dalam konteks kepercayaan terhadap alam ketuhanan atau alam suci yang lebih berkuasa.

Bilangan Fu memperlihatkan bagaimana mitos yang bersifat etiologi digunakan untuk mengembangkan kepercayaan tua yang berdasarkan kepercayaan dan penghormatan terhadap semangat alam sebagai jalan kebenaran masyarakat dalam mengatur kehidupan mereka yang harmonis – keharmonian manusia dan alam. Kepercayaan tua yang memuja atau penghormatan terhadap semangat alam berasaskan kepercayaan bahawa setiap benda tidak kira bernyawa atau tidak mempunyai ruh alamiah, disebut Du Bois sebagai animisme diangkat sebagai agama bumi atau agama tempatan yang suci tidak tercemar. Sementara agama monotheisme – Kristian atau Islam dilihat sebagai agama langit iaitu agama luar yang dibawa masuk dan mencemarkan keharmonian alam-manusia yang selama ini dibentuk oleh agama bumi. Maka Bilangan Fu mengertikan konsep bilangan yang berasas hukum bilangan 12 sebagai dokrin agama bumi menolak hukum bilangan 10 yang tidak sempurna, sekaligus menjadi doktrin penolakan agama samawi atau monotheisme.

Hukum bilangan 12 adalah hukum kosmosentrik, iaitu melihat bintang dalam menentu musim penanaman. Bilangan 12 dirumuskan oleh mereka yang mencari tanda di alam. Sementara hukum bilangan 10 ialah hukum antroposentrik, ialah melihat bilangan berdasarkan tanda di tubuh ialah bilangan jari yang berjumlah 10. Kini bilangan 12 telah punah dari muka bumi. Bilangan 10 menjadi norma di dunia ini. Parang Jati yang berjari dua belas diwujudkan sebagai lambang kebenaran bilangan berhukum 12, yang wujud sebagai penyelamat (saviour) agama bumi. Bahkan dari sisi lain Parang Jati seolah-olah diwujudkan seperti utusan atau dewa baru kepada agama bumi. Parang Jati adalah lambang kepada agama bumi sekaligus dewa agama bumi yang bersifat ’satria’ (perwira) dan ’wigati’ (perawat), sekaligus juga merupakan wujud maskulin-feminin, lelaki-perempuan dari konsep satria-wigati tersebut. Dari sisi lain Parang Jati wujud sebagai mitos yang melahirkan konsep antromophisme yang mewujudkan dewa atau tuhan dalam perupaan manusia berwatak Parang Jati. Oleh itu Parang Jati digambarkan sebagai ’malaikat jatuh, dengan mata polos nyaris bidadari’. Parang Jati adalah kunci kepada mitos yang diwujudkan untuk mencipta konsep baru animisme. Ia dapat dilihat daripada dialog Suhubudi;
”Jarimu duabelas, Parang Jati. Itu bulan kebetulan.” Mata Suhubudi menyorot dalam-dalam kepada putra angkatnya.
”Parang Jati, ada yang purba di dunia ini yang dilupakan orang. Seperti bilangan berbasis duabelas. Tugasmu, Nak, adalah memeliharanya, yang purba itu. Menemukannya kembali jika ia hilang dan mencintainya.”
Parang Jati mengangguk, meski ia belum mengerti benar apa yang dikatakan ayahnya.
”Tugasku adalah memusatkan pikiran tentangnya. Sejak aku mendapatkan kamu hingga sekarang, sudah duabelas tahun ini, itu yang kupikirkan. Duabelas datang kepadaku seolah bercerita tentang kepurbaan. Suatu kepurbaan yang dilupakan orang, sebab Sepuluh menjadi satu-satunya bahasa yang dipakai di seluruh penjuru bumi.”
(Bilangan Fu, hal. 277-278)

Hubungan antara hukum bilangan 12 dengan doktrin penolakan terhadap monotheisme, dikaitkan dengan angka selepas 12 iaitu 13. Angka 13 dalam kalendar Jawa kuno merupakan penutup kepada siklus 12. Tiga belas adalah kosong di mana sesuatu menjadi satu kembali. Di sini Suhubudi menamainya ’hu’. ’Hu’ bagi Yuda juga adalah ’fu’, iaitu bilangan sunyi. Nol atau kosong adalah konsep purba yang dikenali di India sebagai tanda sunya, dalam bahasa sanskrit adalah sunyat, sunyata iaitu sunyi, kosong, tiada. Tanda shunya adalah tanda kekosongan. Inti doktrin kosong yang disebut sebagai doktrin bilangan fu atau hu, atau bilangan ketiga belas setelah tamatnya kitaran bilangan 12 bermakna sesuatu itu telah kembali kepada asalnya kembali. Fu atau hu adalah di mana satu dan nol (kosong) menjadi padu. Ia bukan bilangan matematis tetapi metaforis. Ia bukan bilangan rasional tetapi spritual. Sedangkan bilangan satu yang mewakili monotheisme di mana Tuhan adalah satu dianggap sebagai bilangan yang berisi paksaan atau bernuansa koersif. Satu ditambah satu, satu (1+1=1). Satu didarab satu, satu (1x1=1). Maka monotheisme (diwakili antagonis Farisi @ Kupukupu) dikatakan beriman dengan cara sistem yang disanggah oleh konsep Hu. Dalam konsep Hu, monotheisme berasas bilangan satu dikatakan mengacaukan yang metaforis dengan yang matematik, yang spiritual dengan yang rasional. Jika tuhan adalah satu, maka tidak boleh menyembah tuhan yang lain, bahkan memberi penghormatan kepada bumi dengan cara lain juga tidak boleh. Penyembahan dan penghormatan hanya kepada langit. Ia akhirnya dikatakan tidak mampu berkompromi, berbaik dengan yang lain, dan sering memaksakan kekuasaan. Berbeza dengan hukum kosong, yang merupakan jeda untuk mengembalikan keharmonian, berbaik-baik, dan sering mempercayai dialog dan pluralisme. Maka dikatakan bahawa bilangan nol (kosong) itu lebih awal dari bilangan satu. Dan tuhan bagi bilangan nol wujud lebih awal daripada tuhan bagi bilangan satu. Bilangan nol mempunyai tuhan yang bersifat harmonis, sementara bilangan satu mempunyai tuhan yang bersifat koersif. Di sini doktrin penolakan terhadap agama atau monotheisme dikembangkan.

Pemahaman ini dilihat sama dengan apa yang dihujahkan oleh golongan atheis. Richard Dawkins contohnya mengatakan, ”The God of the Old Testament is arguably the most unpleasant character in all fiction: jealous and proud of it; a petty, unjust, unforgiving control-freak; a vindictive, bloodthirsty ethnic cleanser; a misogynistic, homophobic, racist, infanticidal, genocidal, filicidal, pestilential, megalomaniac, sadomasochistic, capriciously malevolent bully.” Tuhan monotheisme digambarkan sebagai subjek kekuasaan yang keras, zalim dan haloba. Bilangan Fu turut menggambarkan tuhan monotheisme dengan sifat satunya yang koersif, memaksa dan tiada kompromi. Dawkins turut menimbulkan persoalan tentang konsep satu, sebagai bilangan mutlak tuhan dengan mewujudkan konsep X yang berhubung dengan huraian matematik dan sains. Selain daripada itu, konsep tuhan dan agama juga dikatakan sebagai hasil kelahiran daripada produk samping (by-product) psikologi. Perbicaraan tentang hukum bilangan fu yang berkaitan dengan takwim atau kalender alam juga digunakan oleh Dawkins untuk menolak tuhan atau monotheisme melalui prinsip antropik dalam versi planetologi dan versi kosmologi yang turut dihuraikan secara matematik dan saintifik. Paling membantu Dawkins dalam menghuraikan atheisme beliau ialah hukum Darwinisme yang digunakan di merata perbincangannya, termasuk soal penghormatan terhadap alam oleh kitaran evolusi yang mewujudkan semua kehidupan. Ia menyamai tanggapan dalam bilangan fu yang menanggap agama atau monotheisme melakukan kerosakan dan pembaziran terhadap sumber alam oleh sifatnya yang koersif itu. Maka agama bumi, yakni faham alam atau atheis-animisme yang sekata dengan Drawinisme menghalang kerosakan dan pembaziran sumber alam tersebut. Contohnya dapat dilihat Parang Jati berjuang untuk menghalang perusahaan penambangan batu yang merosakan gunung, sedang Kupukupu menyebelahi pihak perusahaan kerana ingin membongkar kepercayaan syirik penduduk terhadap semangat gunung dan sebagainya. Sejajar dengan pemikiran atheis-animisme ini Dawkins menyebut, “Religion is so wasteful, so extravagant; and Darwinian selection habitually targets and eliminates waste.”

Mitos untuk mengemukakan konsep hu, iaitu konsep bilangan kosong yang jeda atau yang sunyi di mana sesuatu kembali semula ke asal wujud sebagai agama bumi yang harmoni, diatur dari awal lagi. Yuda dimunculkan dalam pasukan 12 orang pemanjat tebing, yang melakukan pemanjatan dengan cara moden iaitu memaku tebing. Sekaligus ia merosakkan tebing. Kemudian muncul Parang Jati sebagai bilangan ke-13, yang mengajar Yuda untuk memanjat tebing tanpa memaku dan merosakkan tebing atau merosakkan alam. Yuda yang menerima kaedah Parang Jati mengisytiharkan ‘agama baru’ iaitu pemanjatan bersih. Sekaligus ia mencerminkan ‘agama baru’ yakni atheis-animisme yang menentang tiga prinsip yang berbeza tetapi saling mempunyai wadah yang sama iaitu monotheisme, modenisme dan militerisme. Ketiga-tiganya dianggap sebagai kekuasaan koersif. Monotheisme dengan konsep satunya yang mutlak yang memerangi segala yang menentang ‘Satunya’. Modenisme membawa kapitalisme yang merosak alam, menguasai kehidupan masa kini dengan hukum desimal berasas bilangan 10-nya yang membunuh hukum bilangan 12 yang purba. Militerisme adalah puncak kekuasaan koersif untuk memaksakan kekuasaan secara kekerasan fizik. Maka ’agama baru’ yang dibawa oleh Parang Jati iaitu prinsip alam atheis-animisme berjuang untuk menentang semua kekuasaan koersif dan melestarikan kembali agama tua animisme iaitu agama asli yang pupus oleh kedatangan agama-agama luar.

Ini berbeza dengan apa yang dikemukakan dalam Bedar Sukma Bisu. Monotheisme yang secara jelas memberikan Islam sebagai kebenaran yang mutlak dihamparkan sebagai agama suci di mana semua kewujudan lahir dan kembali kepada Allah Yang Maha Esa (Yang Satu). Islam bukan sahaja membawa pencerahan kepada umat manusia tetapi juga membawa pemikiran yang rasional dalam perkembangan peradaban manusia. Pemikiran secara halus tersusun dalam konsep rantau alam Melayu atau nusantara yang muncul sebagai lambang kepada peradaban Islam di wilayah Asia Tenggara. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas , Kedatangan Islam telah mencirikan zaman baru dalam sejarah ketamadunan alam Melayu. Islam membawa rasionalisme dan pengetahuan akliah serta menegaskan satu bentuk sistem masyarakat yang berdasarkan kebebasan, keadilan, dan kemuliaan keperibadian insan. Peraturan keagamaan dan kemurnian batin serta ilmu (tasawuf) mengenainya tersebar luas dan mencengkam dalam sanubari masyarakat Melayu. Islam membawa semangat rasional dan intelektualisme bukan sahaja di kalangan raja-raja dan golongan bangsawan tetapi juga menyebar di kalangan rakyat jelata. Ini terbukti daripada risalah-risalah yang ditulis berdasarkan keperluan umum. Risalah-risalah tasawuf dan agama Islam ini ditulis berdasarkan ilmu yang merangkumi bidang ontologi, kosmologi, psikologi, sejarah, siasah, etik dan estetika yang cukup saintifik dan sosficated, bahkan mencapai tingkat serius dan rasional yang tinggi.

Bedar Sukma menjelajah alam Melayu melalui perwakilan latar-latar yang tersirat sebagai tapak perkembangan tamadun Melayu-Islam. Latar ini juga menyusupkan galur kedatangan agama Islam yang membawa pencerahan ke wilayah Asia Tenggara ini, bermula dari latar Oran, wilayah Turki-Algeri mewakili kedatangan Islam dari Timur Tengah ke Terengganu yang menemukan Ben Qurtubi dan Tengku Fatimah. Ia memberikan tesis kedatangan Islam di Semenanjung Tanah Melayu dengan penemuan batu bersurat Terengganu yang membuktikan Islam telah datang ke Sememanjung Tanah Melayu pada abad ke-13 lagi. Seterusnya latar Medan muncul dari perkahwinan Muawiyyah dan wanita Sumatera, memperlihatkan simbiosis peradaban awal Melayu Semenanjung Tanah Melayu-Sumatera yang juga merupakan pusat peradaban awal Melayu-Islam. Sebagaimana Islam menyebar ke wilayah alam Melayu yang lain, begitu juga dengan pelayaran Bedar Sukma yang menjelajah seluruh wilayah alam Melayu nusantara. Bedar Sukma adalah lambang tersirat tentang penyebaran Islam yang membawa pencerahan ke alam Melayu. Ia belayar membawa bentuk pelancongan baru, sekaligus membawa nilai-nilai Islam dalam tradisi pelancongan. Maka terlihat jelas bahawa pelayaran Bedar Sukma adalah juga simbolik kepada pelayaran penyebaran Islam yang bergerak di wilayah alam Melayu pada kurun-kurun yang lampau. Bedar Sukma kini muncul sebagai pelayaran kembali untuk menyebar dan melestarikan nilai-nilai Islam bukan sahaja di alam Melayu nusantara tetapi juga ke seluruh dunia.

Penjelasan tentang pergerakan mengembalikan nilai-nilai Islam ini dapat dilihat daripada konsep malakah yang disebut dalam halaman 96-97 novel Bedar Sukma Bisu itu. Bahkan kedatangan Ben Qurtubi sendiri adalah simbolik kepada pengulangan kepada kedatangan pendakwah-pendakwah Arab membawa Islam ke alam Melayu. Ini disebut;
.... Memang keturunan mereka amat memberikan penekanan kepada malakah. Umi mmeberitahu, bahawa datuknya, Ben Qurtubi dari Oran sering mengatakan malakah ialah punca segala kekuatan peradaban dan tamadun.
”Dan kerana malakah aku datang ke semenanjung emas ini. Malakah yang luar biasa dalam ilmu laut, pelayaran dan penukangan bedar membuat aku berlabuh selama-lamanya di Pulau Sukma.” Begitulah kenyataan datuknya yang disampaikan turun temurun. Itulah juga yang akan diwariskan kepada anaknya kelak, azam Haikal. (Bedar Sukma Bisu, hal 96. 2007)

Malakah adalah konsep tentang kepintaran dan kebijaksanaan yang dikemukakan oleh Ibnu Khaldun. Ia menyebut bahawa malakah ialah kepintaran dan kebijaksanaan manusia terserap oleh kepandaian dan pengetahuan yang memang telah sedia ada di satu-satu tempat hinggakan kepandaian dan kecerdasan tersebut menjadi satu berkas kayu yang terhimpun kukuh, membolehkan bangsa tersebut maju dan memperoleh tamadun dengan membina sebuah kapal kayu yang gagah dan mampu merenangi mengharungi lautan ganas. Kemudian datang pemikiran Wefada yang mengembangkan konsep malakah ini dengan mengatakan bahawa, datanglah apa jua gelombang, globalisasi atau fenomena pascamoden, dengan nikmat Allah, malakah itulah yang akan menyelamatkan, malakah yang telah menjadi kapal utuh belayar menyelamatkan kemanusiaan. Malakah itu pula berhubung rapat dengan akidah dan keimanan sehinggakan setiap dasar ilmu dikuasai dan menjadi amal yang baik untuk langit dan bumi. Malakah jadi tenaga dan kuasa menyala dalam diri. Malakah berkelintaran di hadapan mata, bagai satu kutub kekuatan (Bedar Sukma Bisu, hal 97).

Malakah ialah suatu kekuatan yang amat bermakna dalam pembangunan intelektual, rohani, moral dan keperibadian insan. Maka malakah itulah yang ditanamkan oleh Ben Qurtubi kepada ’ahli keluarganya’ (dalam konteks ummah ahli keluarga juga adalah umat Islam seluruhnya) supaya mereka memiliki keahlian, kemahiran atau kepakaran dalam satu-satu ilmu pengetahuan yang dikuasai secara dasarnya, sehingga setiap masalah yang timbul dalam lingkungan ilmu tersebut kelak, sudah menjadi biasa dan mudah buat mereka, justeru untuk mendalami dan mengembangkan ilmu pengetahuan tersebut juga bukanlah suatu masalah.

Konsep kapal atau perahu juga mempunyai lambang yang khusus dalam ilmu tasawuf. Hamzah Fansuri menggunakan alegori perahu dalam menyampaikan pengajaran dari buku tasawwuf Zinat al-Wahidin, iaitu peringkat perjalanan tasawwuf bagi orang awam yang melalui empat peringkat iaitu syariat, tarekat, hakikat dan makrifat. Keempat-empat peringkat ini akan membawa insan kepada Islam, ihsan dan iman yang utuh. Hamzah Fansuri meletakkan keempat prinsip utuh Islam ini sebagai sebuah perahu yang jika utuh binaannya akan dapat mengharungi lautan dan melepasi segala rintangan – seterusnya membina Islam yang gemilang. Hamzah Fansuri mengibaratkan binaan perahu iaitu lunas perahu adalah syariat; papan perahu adalah tarekat; isi perahu adalah hakikat; dan layar perahu adalah makrifat. Maka konsep Bedar Sukma tentang kapal yang mengharungi lautan dan melestarikan nilai-nilai Islam dalam memperkasakan ketamadunan Islam menepati konsep perahu dalam aliran tasawwuf yang dibina oleh syariat, tarekat, hakikat dan makrifat dalam mengutuhkan prinsip Islam yang syumul. Kekuatan Islam yang dibina oleh empat prinsip asas tersebut akan melahirkan malakah yang mampu mengharungi cabaran untuk memperjuangkan tamadun Islam walau di mana-mana pun di muka bumi ini.

Bedar Sukma Bisu
secara langsung dan tidak langsung banyak menghadirkan mitos. Ben Qurtubi, Wefada dan Elamine adalah watak-watak yang dimitoskan sebagai suatu bentuk ’kehadiran yang luar biasa’ dalam masyarakat manusia umum. Kehadiran yang luar biasa ini diwujudkan untuk membentuk kekuatan kepada premis kebenaran Islam. Bahkan Bedar Sukma itu sendiri adalah mitos. Ini adalah kerana perahu atau kapal yang dikenali sebagai ’bedar’ iaitu kapal besar hasil seni pertukangan hebat orang Melayu yang digunakan berkurun yang lampau itu sudah tidak wujud lagi pada masa sekarang ini. Maka bedar, perahu kuno dari masa lampau diwujudkan dalam zaman moden ini sebagai sebuah konsep ’pelayaran’ peradaban Melayu-Islam yang gemilang pada masa lampau. Bedar Sukma Bisu sebenarnya mengangkat sebuah mitos tentang kapal atau perahu kuno orang Melayu yang dikenali sebagai bedar itu sebagai titik pergerakan ceritanya. Faisal menghadirkan mitos dalam dunia yang sudah tidak dihubungkan oleh kekuatan mitos lagi untuk membentuk pertalian mereka dengan kesedaran yang semakin terkotak-kotak sehingga malakah pudar dari sanubari mereka. Hubungan dalam konteks mitos moden ini disebut oleh James Hillman, ”… modern absence of myth is part of an even greater absence: of a sense of connectedness with the universe, and with the various fragments of our own consciousness.”


Penutup

Carl Gustav Jung menyebut tentang wujudnya bayangan primitif dalam jiwa manusia yang disebut sebagai aspek numinous atau numinosum. Ia merupakan arkib-arkib kuno yang sedia wujud dalam jiwa manusia. Aspek numinous atau bayangan primitif ini wujud dan bergerak dalam alam fikiran bawah sedar dan melahirkan kecenderungan-kecenderungan yang tidak diungkapkan. Walaupun untuk menjadi sesuatu yang bergerak dalam aliran kesedaran. Maka ia wujud sebagai aliran yang terpendam. Dalam keadaannya yang terpendam dalam aliran bawah sedar itu, ia mengembang menjadi arkitaip iaitu bayangan mitos yang terkandung motif-motif tertentu. Dalam perkembangan jiwa manusia ia menjadi suatu proses yang unik. Ketika fizikal manusia membesar, alam fikiran sedar atau rasional manusia turut berkembang. Maka aspek numinous ini tinggal menjadi apa yang disebut sebagai ‘lubang’ dalam ingatan manusia. ‘Lubang’ ini terhasil oleh psiki primitif atau dunia infantile yang tenggelam dalam perkembangan kesedaran atau fikiran rasional manusia. Maka di sini, manusia akan mula mengalami mimpi-mimpi. Antara fungsi utama mimpi ialah mengembalikan ingatan daripada psiki primitif dan dunia infantile yang terbenam tadi, sekaligus ia mewujudkan arkitaip iaitu bayangan purba atau bayangan mitos daripada kecenderungan yang terpendam dalam alam bawah sedar manusia.

Kecenderungan terpendam dari alam bawah sedar ini membentuk bayangan yang sentiasa hadir dan berpotensi bersifat destruktif bagi fikiran sedar. Jung menyebut fikiran asli atau aspek numinous tadi sebagai ‘diri yang primitif’ (Self) yang merupakan sifat keseluruhan daripada psiki manusia. Ia berbeza daripada ego yang hanya merupakan bahagian kecil daripada keseluruhan psiki manusia. ‘Diri’ ini menjadi pusat sanubari manusia (inner center) . Perkembangan manusia dalam menyeimbangkan kecenderungan bawah sedar dan fikiran sedar (rasional) mereka merupakan proses seseorang manusia itu menjadi ‘diri yang sebenar’ atau disebut Jung sebagai proses individuasi (individuation). Bayangan yang bersifat desktruktif terhadap fikiran sedar atau rasionaliti akan bergeser dengan alam kesedaran antara menanggulangi fikiran primitif dengan membebaskan halangan primitif.

Perkembangan mitos sebenarnya berkemungkinan lebih bertolak daripada keadaan ini. Mitos lahir daripada mimpi, yang membawa bayangan fikiran asli atau psiki primitif untuk mengembalikan ingatan yang hilang. Dari sisi lain ia mengembangkan aspek asas kehidupan manusia iaitu ketidaksedaran yang terpendam. Ia adalah titik pergeseran antara menanggulangi fikiran primitif dengan membebaskan halangan primitif tadi. Mitos membawa motif-motif tertentu. Dalam Bilangan Fu, mitos ditafsirkan sebagai usaha untuk mengembalikan fikiran asli yang terpendam oleh perkembangan akal fikiran rasional manusia. Maka perjuangan untuk mengembalikan aspek-aspek numinous, diterjemahkan sebagai mengembalikan akal fikiran kepada sesuatu yang bersifat primordial. Kembali kepada agama bumi, iaitu kepercayaan kuno awal sebelum kedatangan pengaruh agama-agama luar. Ia berbentuk kepercayaan asli masyarakat tempatan yang animisme, iaitu kepercayaan kepada semangat alam. Bilangan Fu mengambil mitos-mitos yang dipercayai datang daripada persekitaran tempatan. Walaupun mitos-mitos itu tidak dapat lari daripada pengaruh agama luar yakni Hindu-Buddha, namun penyerapan dan kewujudan ciri-ciri tempatan disifatkan sebagai kepercayaan tua yang perlu dirungkai dan ditafsirkan kembali. Dalam ertikata lain disaring dan ditapis untuk melihat sifat-sifatnya yang asli.

Pemahaman ini memunculkan doktrin agama baru, iaitu agama alam. Ia melihat kewujudan datang dari angka atau sifat kosong yang berpusar. Secara jelas digambarkan sebagai bilangan hu atau fu (kosong) adalah tanda tentang sesuatu yang ketetapannya adalah gerak. Ia mengambil bentuk sesuatu yang berpusar. Maka ia disebut bilangan purba, yang berasal dari sebuah masa ketika manusia belum perlu memisahkan bumi dari langit, lelaki dari perempuan, pengetahuan dari seni (Bilangan Fu, hal 304). Dari sini bilangan fu menampilkan mitos yang bersifat etiologi. Mitos etiologi ini dipernyatakan dengan sampiran mitos-mitos lain yang bergerak melalui teori Euhemeric, Pencerahan dan Romantisme. Sekaligus dimatlamatkan untuk menyampaikan doktrin agama barunya itu. Dalam mitos dari teori Euhemeric, watak manusia berevolusi menjadi watak ghaib seperti Ki Ajar Cemara menjadi Nyi Roto Kidul, Ki Wirasuta menjadi orang halus, dan Uma menjadi Betari Durga. Mitos yang dapat menampilkan tafsiran dari teori Pencerahan dapat dilihat dari mitos Sangkuriang dan Prabu Watugunung dengan dorongan incest, dan mitos Siungwanara juga. Mitos-mitos ini melalui proses pemantapan melalui penceritaan yang berulang-ulang untuk melihat bagaimana sesuatu itu berfungsi dan harus berfungsi, dan kemudian dilihat secara strukturalis, fungsionalis mahupun psikoanalisis. Sementara teori Romantisme yang mempercayai mitos sebagai emosi bangsa dapat dilihat dari cuplikan Babad Tanah Jawi (diangkat dari peristiwa sejarah) tentang Perang Bubat yang menampilkan kisah tragis Hayam Wuruk dan Diah Pitaloka. Begitu juga dengan mitos Siungwanara yang boleh juga dilihat dalam konteks romantisme apabila ceritanya berkembang kepada galur sejarah keturunan raja-raja Jawa Majapahit.

Semua mitos ini menjadi latar kepada sebuah mitos utama yang menjadi kerangka penyampaian idealogi agama alam atau lebih tepat atheis-animisme. Mitos utama ini bergerak dan muncul dalam ’alam Parang Jati’ dan fikiran bawah sedar Yuda yang bersetubuh dengan Sesebul makhluk jantan-betina, seterusnya mendapat pengetahun seturut darah ’gnosis sanguinis’. Maka keseluruhan idealogi Bilangan Fu yang mengingkari monotheism adalah atheis-animisme. Ia menolak agama sedangkan agama adalah hakikat pencerahan yang merasionalkan bayangan-bayangan purba kepada kebenaran. Agama adalah pembuka tabir-tabir alam yang terkatup, membawa manusia kepada fikiran yang cerah dan pengetahuan yang rasional. Namun keinginan idealogikal atheis-animisme ini membawanya berundur ke belakang untuk berada dalam dunia gelap yang bersifat destruktif terhadap fikiran rasional.

Berbeza dengan Bedar Sukma Bisu, idealoginya membawa kepada semangat pencerahan iaitu menuju kepada hakikat pencerahan melalui wacana nilai-nilai Islam, sekaligus menegaskan agama sebagai pembimbing manusia untuk hidup dalam sebuah tata hidup yang benar berasaskan wahyu daripada Tuhan Yang Satu. Pengetahuan bukan lagi datang daripada bayangan mimpi yang terumbang ambing dalam arus bawah sedar manusia, tetapi sebaliknya pengetahuan adalah ’Peraturan’ yang turun dari Tuhan Yang Satu. Sukar untuk menyatakan kebenaran Tuhan kepada golongan yang melihat warna gelap sebagai alam kebenaran dan melihat warna putih sebagai pencacat warna gelap. Islam sebagai agama rasional adalah hakikat warna putih yang datang untuk menerangi alam kegelapan, sebagaimana yang disebut oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas sebelum ini.

Bedar Sukma Bisu juga mengambil mitos dari La Galigo dengan watak Atuf dilekatkan di pinisinya, juga Babad Tanah Jawi. Tetapi mitos ini dilihat bukan sebagai latar untuk mengembalikan kepercayaan tua yang sesat tetapi menggunakan mitos ini untuk menggambarkan bagaimana sebuah peradaban itu wujud dari segi pergerakan intelektual yang wujud dalam masyarakatnya. Mitos-mitos ini terlihat sebagai pergerakan intelektual dalam wilayah alam Melayu, yang merupakan wilayah agung peradaban Islam. Maka Bedar Sukma, sebuah perahu tua yang tidak wujud lagi pada zaman ini diwujudkan untuk memperlihatkan pergerakan intelektual yang mengalami peralihan dari sebuah zaman rasional lain kepada sebuah zaman rasional yang lain. Zaman rasional ini diwakili oleh dasar perkembangan akaliah-tauhid seperti yang dinyatakan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas. Wefada dan Elamine juga dimunculkan dari sisi yang mempunyai ciri-ciri mitos, tetapi ciri mitos tersebut menjadi latar untuk menampilkan wajah agama (Islam) yang memperkukuhkan alam fikiran rasional. Ia kemudian melahirkan pemikiran tentang konsep malakah, yakni ilmu pengetahuan berdasarkan akidah tauhid [kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa (Satu)].

Kedua-dua buah novel ini membina sebuah binaan mitos sebagai latar kepada idealogi masing-masing. Bilangan Fu membawa mitos kepada fikiran yang berundur ke belakang untuk memuja dunia gelap dalam alam fikiran manusia yang terkurung. Sementara Bedar Sukma Bisu membawa mitos melangkah ke hadapan membawa hakikat pencerahan dalam Islam yang menyampaikan sikap rasional dan intelektualisme dalam kehidupan manusia. Islam membebaskan alam fikiran manusia yang terkurung, untuk menerima maksud dan erti hidup mereka yang dicipta oleh Allah Yang Maha Esa. Maka agama (Islam) membawa manusia beralih masuk ke zaman cerah dari zaman gelap animisme. Zaman gelap animisme ini seperti sebuah gua Plato, di mana imej yang dilihat hanya pantulan daripada imej sebenar. Oleh itu agama (Islam) membuka gua untuk membawa manusia melihat imej yang sebenar dan bukan lagi pantulan cahaya di dinding gua yang gelap dan terkurung. Apatah lagi dengan menambah kegelapan animisme ini kepada atheis-animisme yang lebih gelap, Bilangan Fu memperlihatkan sebuah idealogi yang sangat mundur ke belakang.
Tanpa sebuah prejudis keagamaan mahupun kepengarangan, agama (Islam) telah diperkatakan dengan jelas sebagai sebuah hakikat kebenaran daripada rasionalisasi pencerahan baik secara epistomologikal mahupun ontologikal. Bahkan seorang Jung sekalipun tidak menafikan bahawa pencerahan sepenuhnya diri manusia yang menuju kepada individuasi adalah setelah Diri (Self) memasuki titik mutlak Imago Dei, iaitu titik sebuah hakikat ketuhanan. Maka sebuah pencerahan datangnya setelah manusia ’memasuki’ agama, bukan keluar daripadanya.


Rujukan

Ahmad Jelani Halim, Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. 2008.

Armstrong, Karen, A History of God. United Kindom: Mandarin, 1993.

Armstrong, Karen, Short History of Myth. Scotland: Canongate Boks ltd, 2005.

Ayu Utami, Bilangan Fu. Jakarta: Kepustakaan Popular Gramnedia (KPG). 2008.

Barthes, Roland, Mythologies. New York: Hill and Wang, 1972.

Dawkins, Richard, The God Delusian. London: Black Swan, 2007.

Ellwood, Robert, Myth: Key Concepts in Religion. New York: Continum International Publishing Group, 2008.

Faisal Tehrani, Bedar Sukma Bisu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. 2007.

Foucault, Michel, on War and Institutions. Oxford, U.K.: The Oxford Literary Review vol 4, number 2, 1980.

Haviland, William A., Cultural Anthropoloy. Fifth Edition. New York: Holt, Rinehart & Winston Inc. 1987.

Hillman, James, The Dream and the Underworld. New York: Harper & Row, 1979.

Ibnu Khaldun, Mukadimah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995.

Jung, Carl G., Man and His Symbols. USA: Dell Publishing. 1964.

Segal, Robert A., Joseph Campbell: An Introduction. New York; Garland, 1987, p. 137.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas, The Mysticism of Hamzah Fansuri. Kuala Lumpur: University Malaya Press. 1970.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Bangi, Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia. 1972.

Syed Muhammad Naquib al-Attas, Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia, 2007.

Friday, July 8, 2011

TANAH DICIPTAKAN ANGIN

Tanah Diciptakan Angin

Ah, katamu urat-urat dari tanah ini
adalah peta purba yang diciptakan angin
ketika para pengembara lewat di pintu kota
dan menuliskan nasib masing-masing
di daun-daun lontar dengan dakwat
dari darah masing-masing; masih kau ingin
mengatakan bahawa manusia menulis takdirnya
setelah malaikat menutup bukunya untuk kita
sedang kau tidak pernah tahu di manakah
buku yang menulis nasib dan takdir
disimpan oleh malaikat di bahu kita
aku masih mencari urat-urat dari tanah
yang kau katakan sebuah peta purba
lahir dari angin – taufan dan badai
setelah kaum-kaum yang ingkar
dihancurkan oleh Tuhan Maha Kuasa
akibat dosa yang mereka tuliskan sendiri
kota yang kita temukan dilingkari hutan duri
tanpa penghuni; dipetualang sepi dan kosong
adalah jiwa kita sendiri yang kehilangan takdir
setelah angin membawa segala apa yang ada
dalam diri kita; pergi menjauh dan sirna
kita kehilangan sunyi yang bertapa dalam diri
setelah kita terlempar ke dunia hiruk
yang sering menuntut kita untuk menjual
segala kejujuran diri dan kecintaan Ilahi
ah, kau memanggilku untuk mencari urat-urat
peta purba diciptakan angin; di tanah yang kita pijak
kehilangan takdir dan malaikat oleh kepalsuan
yang setiap hari kita cipta dan suburkan


S.M. Zakir
23 Mac 2011
Bukit Jalil, Kuala Lumpur

Dewan Sastera, Jun 2011