Sunday, January 17, 2010

FILEM MERANTAU WARRIOR






Pada petang 12 januari 2010 baru ini saya ke Mines. Kira-kira 10 minit saja dari rumah saya di Bukit Jalil. Selalunya saya pergi mencari barang keperluan rumah di Giant, atau membeli belah ala kadar bersama anak isteri pada hujung minggu. Pada hari kerja, dalam perjalanan pulang ke rumah kadang-kadang saya melencong ke Mines untuk menonton wayang, jika ada filem yang menarik. KLCC dan Midvalley agak sesak dan memakan belanja. Di Mines tiket letak kereta cuma RM1. Panggungnya juga tidak sesak. Aman. Apatah lagi di Mines sekarang telah dibuka kedai buku Gramedia.

Petang itu saya ke Mines untuk menonton filem Indonesia Merantau Warrior, sambil mencari buku di Gramedia. Filem aksi silat lakonan jaguh muda silat harimau Iko Uwais ini agak memberangsangkan. Khususnya dari sudut spektakular filem aksi. Memperkenal silat harimau Minang, dan ternyata ia tidak menghampakan. Filem ala-Ong Bak ini memang banyak dipengaruhi aksi dan cetusan dalam filem Ong Bak. Hingga kadangkala saya keliru apakah aksi itu adalah buah silat atau seni mempertahankan diri lain. Bagaimanapun Merantau adalah filem yang mengangkat martabat silat Melayu menjadi seni yang hebat. Tidaklah silat yang dibuka bunga dan kemudian pukul acah-acah dalam filem-filem (Melayu) sebelum ini.

Sekurang-kurangnya Indonesia telah maju setapak lagi dalam membawa filem ke persada antarabangsa. Kali ini dalam genre filem aksi (silat). Saya percaya filem ini mempunyai potensi untuk menembusi pasaran filem aksi antarabangsa. Filem Malaysia? Masih berlumba dengan lucu bodoh dan hantu yang ditempek plastik. Saya sering bercita-cita untuk melihat sebuah filem Melayu yang sempurna dengan aksi silat yang hebat, cerita yang kuat dan tragis, pemikiran yang tinggi, serta pemaparan budaya tradisi Melayu yang cukup tinggi falsafahnya. Dalam konteks abad ke-21 ini. Tetapi sehingga hari ini filem Melayu bukan sahaja menghampakan keinginan saya bahkan semakin buruk pula mutunya.

Alasannya nak buat duit mesti filem komersil. Apakah filem Ong Bak (Thai), Langkasuka (Thai), Chut Nyak Dien (Ind), Rebel (Vietnam) tidak memberi pulangan keuntungan kepada penerbitnya? Alasan membuat duit hanyalah alasan untuk menutup ketidakupayaan intelektual dan kapasiti kreativiti pembikin filem Malaysia. Saya tidak ingin memuji filem Indonesia, tetapi ada perkara yang tidak dapat kita nafikan.

Saya keluar panggung dengan kepuasan sekurang-kurangnya bangga dengan kehebatan silat Melayu, walaupun dalam sebuah filem Indonesia. Memasuki kedai buku Gramedia dan membeli sebuah buku terjemahan Indonesia iaitu Indochina Persilangan Kebudayaan tulisan Bernard Philippe Groslier. Di Kinokuniya, judul asal dalam bahasa Inggeris berharga RM80+. Di Gramedia, buku terjemahan ke bahasa Indonesia ini hanya RM18.00.

Melihat filem Indonesia, membeli buku Indonesia di kedai buku Indonesia Gramedia. Persilangan budaya seperti kata Mahathir dalam Dilema Melayunya, ‘bangsa yang kuat akan hidup, dan bangsa yang lemah akan pupus’. Dalam persilangan budaya ini saya lihat bangsa Melayu sedang ketinggalan dalam segala segi. Takkan Melayu Hilang di Dunia’ sudah patut ditukar kepada ‘Akan Melayu Hilang di Dunia’. Hilang dalam ertikata bangsa Melayu akan menjadi bangsa minoriti di semua wilayah Melayu pada masa akan datang. Pengekor dan pengguna kepada produk bangsa lain.

6 comments:

saleeh rahamad said...

segalanya Indonesia. memang patut kita berkongsi kelebihan dalam dunia serumpun asalkan berbaloi. sokong...

roslan jomel said...

Bagaimana dengan koleksi buku2 sastera antarabangsa di GRAMEDIA dalam The Mines tu, Pak? Memberangsangkan ke?

Kalau memberangsangkan, kawe nak pergi jugak cari buku2 fiksyen antarabangsanya.

S.M. Zakir said...

ya pak tak ada masalahnya, asal beri manfaat (bahasa skema dalam blog)

Roslan, kurang banyak bukunya tapi adalah tak sampai 10 judul buku sastera dan belas judul buku sosial dan budaya. Lain buku inggeris, novel cinta Malaysia dll. Nak pusing2 ambil angin cari sebuah dua buku ok la. Buku banyak tapi macam yang ada kat MPH jugalah

Sham al-Johori said...

Aduh, sejak kecil saya sudah disajikan dengan aksi Jaka Sembrong, Si Buta dari Gua Hantu, dan aksi2 seni silat jawa, betawi, aceh dalam paparan wayang gambar Indonesia.
Iya, jom kita bersilat dalam ilusi serantau.
sokong juga...

saleeh rahamad said...

Tapi memang bagus koreografer silat dalam filem tu. kalau semua filem Melayu yang sedia ada dan yang akan datang agaknya.

Unknown said...

sokong penuh !!!! Filem penuh dengan aksi,cukup hebat!! Selama ini filem malaysia masih lagi berlegar dengan tahyul hantu yang menyesat dan menakut-nakutkan kita disamping filem ala cinta serta lawak bodoh!!Boleh kah sedikit kita mengeluarkan sedikit intelektual untuk karya yang bermutu.Saya seorang pencinta silat ,watak aksi yang dipaparkan adalah tulen ,keterapian ketangkasan ala silat cukup mengagumkan!!Silat adalah warisan bangsa kita,selama ini kita disajikan filem filem ala kungfu serta tomoi.Yang nyata silat adalah yang terhebat sekali baik ZAHIR MAU PUN BATIN!!!!