Friday, February 12, 2010
ANTOLOGI SUMPAH 152
Antologi Sumpah 152 yang siap dicetak dan diterbitkan untuk pelancaran pada 15 Februari 2010 jam 10 pagi di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sempena Hari Pejuang Bahasa pada 15 Februari 2010 ini sebuah antologi siap untuk dilancarkan. Hari Pejuang Bahasa dipilih pada tarikh 15 hb 2 adalah simbolik kepada 152 yang merujuk kepada perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia yang memaktubkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Setelah bertungkus lumus mengumpul, menyusun, mengatur huruf dan menyunting antologi ini berjaya juga disiapkan dan dicetak dalam masa 24 jam. Pada mulanya ia nyaris-nyaris tak dapat diterbitkan untuk dilancarkan pada 15 feb ini kerana masalah sangat kesuntukan masa. Namun mungkin kerana usaha dan niat baik demi untuk memperjuangkan sesuatu yang baik dan afdal, maka semua kerja menjadi mudah dan mendapat penyelesaian dari jalan yang tidak disangka-sangka. Hasilnya antologi ini berjaya disiapkan. Terima kasih kepada GAPENA yang menaja seratus peratus penerbitan buku ini. Terima kasih kepada kawan-kawan di KALAM, Mattaib, Ja'afar Hamdan, Ikhram Fadhly Husin dan lain-lain yang bertungkus lumus menyusun dan membantu menyiapkannya. Ja'afar yang berjaya mengumpulkan banyak penyair dan menguruskan banyak hal untuk buku ini. Ikram yang membaca pruf sampai tengah malam, dan menghantar galei pruf pada pukul 11 malam di rumah PENA yang gelap gelita di tengah hujan. Juga Shamsudin Othman yang bertungkus lumus menghubungi rakan-rakan penyair untuk menyumbangkan karya. Paling tak dilupakan ialah penyair-penyair dari seluruh Malaysia tak henti-henti memenuhi ruang emel saya dengan puisi-puisi perjuangan bahasa. Sehingga buku dah masuk cetak pun, sajak masih tak henti-henti masuk. Kami sebagai penyelenggara memohon jutaan ampun dan maaf kerana tidak dapat memuatkan sajak-sajak yang dihantar lewat. Tetapi saya tetap menyimpannya, mana tahu jika boleh diusahakan antologi yang kedua.
Untuk perjuangan bahasa ini, kami secara peribadi terutamanya teman-teman di PENA dan KALAM mengambil sikap menyokong semua gerakan mempertahankan bahasa Melayu tidak kira dari pihak mana sekalipun. Pada pandangan kami semua eloklah diketepikan segala perbezaan untuk kita semua duduk bersatu dalam memperjuangkan bahasa Melayu. Dan sikap saya secara peribadi ialah menyokong apa sahaja gerakan oleh mana-mana pihak yang memperjuangkan bahasa Melayu. Baik GAPENA mahupun GMP, kami menyokong kedua-dua pendekatan yang diambil. Bahkan gerakan ini juga berlangsung di PENA, KALAM,PPJ dan saya percaya di semua persatuan penulis dan sebahagian Badan Bukan Kerajaan yang prihatin terhadap bahasa Melayu.
Uniknya buku ini ialah kami memasukkan sajak-sajak yang mewakili suara hati rakyat Malaysia tentang cinta dan kasih mereka kepada bahasa Melayu. Dari semenanjung Tanah Melayu hingga Sabah dan Sarawak semua dimuatkan dalam antologi ini. Lantaran ini kami tidak meletakkan sebarang 'kasta' yang membezakan antara penyumbang, semua sajak dimasukkan sebagai suara rakyat, suara kita semua. Semua sajak dinilai sebagai 'suara hati nurani' rakyat tentang perjuangan bahasa Melayu tanpa mengira kedudukan, pangkat, bangsa dan agama.
Akhir kata datang lah beramai-ramai pada 14 Februari 8.30 malam di acara Baca Puisi Sumpah 152 di Rumah PENA dan kemuncak acara sambutan pada 15 februari jam 8.30 pagai di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka. Kehadiran sdr2 semua amatlah dihargai, dan merupakan semangat kepada perjuangan bahasa Melayu ini. Jumpa pada 14 dan 15 februari ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Tuan,
Berbanyak-banyak terima kasih kerana memuatkan puisi diri ini termasuk puisi Azhar Salleh yang dikirimkan kepada tuan pada 9 Februari lalu dalam antologi ini. Jasa baik tuan amatlah dihargai.
sama-sama lah kita, kami juga amat berterima kasih atas kesudian tuan-tuan menyumbangkan puisi, tanpa sumbangan puisi tuan-tuan tiadalah buku yang bersejarah ini.
Tahniah kpd kawan penganjur. Walaupun tak dpat datang, hati tetap menyokong.
Post a Comment