Hari Pejuang Bahasa Melayu telah berlangsung pada 15 Februari 2010. Walau terdapat pelbagai tulisan dengan pelbagai andaian dan pandangan, saya suka melihat secara positif. Bagi saya usaha ini telah berjaya. Sekurang-kurangnya meletakkan garis permulaan untuk langkah berikutnya, iaitu penganjuran secara tahunan Hari Pejuang Bahasa Melayu. Soal kekurangan khalayak dan label siapa pejuang atau tidak adalah persoalan kecil yang boleh diselesaikan dari semasa ke semasa. Paling penting ialah matlamat mempertahankan martabat bahasa Melayu selaras dengan peruntukkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Dari segi latar belakangnya, sebenarnya Hari Pejuang Bahasa ini dicetuskan oleh teman-teman dari KALAM (Persatuan Penulis Kuala Lumpur) di bawah pimpinan Mohamad Daud Mohamad sebagai Ketua Satunya. Ilham dan usaha untuk mengadakan Hari Pejuang Bahasa ini ialah hasil perjuangan penulis-penulis seperti Mattaib Nordin, Ja'afar Hamdan, Ikhram Fadhly dan Salleh Tahir. Mereka berlimalah yang berada di sebalik kejayaan Hari Pejuang Bahasa ini. PENA dan GAPENA disertai KEMUDI terlibat apabila KALAM mengundang untuk bergabung tenaga. Di GAPENA Haji Hamzah Hamdani dan Abang Aziz turun membantu sepenuh tenaga. Di PENA saya disertai Dr. Ahmad Razali turun mewakili khususnya membantu dalam soal penerbitan buku Sumpah 152 (Shamsudin turut membantu mengumpul puisi) dan Malam Baca Puisi di PENA. Dari KEMUDI Abu Hassan Ashari turun setiap mesyuarat memberikan sokongan. Tidak ketinggalan sokongan material dan kemudahan dari DBP, ITNM dan PTS, termasuk tajaan dari sebuah syarikat multimedia dan restoran Tok Perak.
Jadi dari segi usahanya, sebenarnya Hari Pejuang Bahasa digerakkan oleh tenaga pelapis terutamanya di KALAM. Apa yang mengagumkan ialah kejayaan Hari Pejuang Bahasa ini meletakkan GAPENA dan GMP duduk sepentas memperjuangkan bahasa Melayu. Secara tidak langsung ia memperlihatkan masa hadapan yang baik perjuangan bahasa Melayu di tangan golongan muda yang cuba menyatukan semua kem dan kumpulan untuk bersatu duduk bersama dalam memperjuangkan bahasa Melayu. Maka itu saya berpandangan usaha ini telah merintis kejayaan yang besar.
Soal khalayak yang hadir, saya merasakan ia akan bertambah dari semasa ke semasa jika usaha-usaha diteruskan secara konsisten. Apa yang penting dilakukan sekarang ialah menyatukan penulis-penulis di PENA, KALAM, KEMUDI, PPS (di lembah Klang) dan persatuan-persatuan dalam kerjasama sebegini. Maka satu gerakan yang bergerak secara konsisten perlu diusahakan. Tidak perlu acara yang besar, kecil pun tidak mengapa tetapi berterusan. Kerana saya sangat percaya bahawa perjuangan mempertahankan bahasa Melayu pada masa datang akan lebih mencabar dan merupakan perjuangan yang berterusan selamanya.
Saturday, February 20, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Tuan,
1. Diri ini ada mencatat dalam blog rarws...: 4. Sememangnya kesungguhan serta penat lelah Sdra. SM Zakir, Jaafar Hamdan, Mattaib Nordin dan Muhammad Ikhram bersama rakan-rakan lain dalam PENA dan KALAM yang menggerakkan program Hari Pejuang Bahasa 152 dan menerbitkan buku antologi puisi yang khas skalanya ini cukup meninggalkan kesan serta memperoleh keberkatan-Nya juga meninggalkan tapak sejarah untuk perjuangan seterusnya. Tahniah.
2. Teringin hendak ke forum pada 28 Februari 2010 di Shah Alam tapi pabila lihat nama YB yang seorang itu (kononnya Bebas), hilang selera dan semangat untuk cuba menghadirkan diri... Hehehe...
Tahniah atas kegigihan semua yang terbabit. Antologi yang diusahakan itu, mengapa tidak diiklankan untuk jualan? Itulah saja bentuk sokongan yang boleh dizahirkan oleh sebilangan yang tidak dapat hadir.
terima kasih sdr rusdi, forum middle ground ni memang la untuk yang lompat2 tu hee he nama lagi middle ground
Sdr Rositah, antologi tersebut diterbitkan oleh GAPENA dan diuruskan oleh KALAM. Jadi saya tak ada kuasa ke atasnya untuk menjual atau mengedarnya. Nanti saya cuba dapatkan juga untuk dijual di blog ini, kalau boleh la.
Post a Comment