Monday, February 22, 2010

HSPM: PENILAI PERLU DINILAI

Syabas diucapkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka khususnya Jabatan Sastera yang mengundang pandangan dan pendapat daripada penulis, editor dan penggiat sastera pada sesi dialog yang diadakan pada 22 Febrauri 2010 (semalam) di DBP. Keterbukaan DBP di bawah pimpinan Ketua Pengarah Baru untuk berdialog ternyata membuka ruang kepada hubungan baik antara DBP dan para penulis serta penggiat sastera. Tidak ketinggalan juga kepada Puan Hajah Zaiton Ajmain dan para pegawai di Jabatan Sastera yang sanggup turun meluangkan masa mencari kebaikan untuk dunia sastera.

Dialog hari itu berkisar kepada Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM). Saya tidak bermaksud untuk mengulas panjang tetapi ingin menarik beberapa pandangan yang cukup bernas dalam perbincangan tersebut. Seperti kata Nisah, HSPM adalah indeks atau petunjuk kepada mutu penulisan karya sastera. Maka apa yang lahir dari HSPM akan menjadi rujukan bukan sahaja kepada penulis tetapi juga kepada khalayak pembaca bahkan menyeluruh ke dunia sastera Malaysia. Tidak mustahil juga ia menjadi asas persepsi mutu sastera Malaysia di mata antarabangsa.

Dua masalah pokok dalam HSPM kali ini ialah, pertama; pengumpulan bahan atau pembahanan dan kedua, ialah mutu penilaian. Salbiah Ani bersetuju bahawa konsep HSPM ialah bukan bersifat pertandingan maka adalah suatu yang janggal apabila penulis perlu menghantar karyanya sendiri untuk dinilai. Saya sangat terkesan dengan poin Salbiah Ani yang menyatakan, "bagaimanakah dengan penulis yang bertungkus lumus menulis menyumbang kepada mutu dan perkembangan dunia sastera, hanya kerana mereka tidak menghantar karya mereka untuk dinilai, maka sumbangan mereka yang besar itu diketepikan begitu sahaja?". Ya hanya kerana ketidakmampuan teknikal yang remeh ini, maka karya-karya besar perlu dikesampingkan begitu sahaja? Saya sebagaimana majoriti yang hadir terus terang tidak bersetuju bahawa penulis perlu menghantar karya mereka untuk dinilai.

Sepertimana HSPM yang sebelum ini, Sekretariat HSPM DBP yang mengumpul dan menyaring bahan karya yang bermutu untuk dinilai. Ini dinyatakan sendiri oleh Hj Hamzah Hamdani tentang bagaimana sekretariat pada zaman beliau bekerja. Merekalah yang mengumpul setiap bahan sastera yang tersiar. Dari satu segi, saya tidak melihat bahawa ini adalah satu hal yang mustahil, kerana kita sudah tentu boleh menentukan karya-karya melalui media yang terpilih iaitu media perdana sastera kebangsaan contohnya Dewan Sastera, Dewan Budaya, Mingguan Malaysia, Berita Minggu dari sudut karya eceran. Tidak perlulah mengutip dari segenap media picisan dan hiburan yang tidak ada mutu sasteranya. Begitu juga dalam karya buku, sudah jelas mana penerbit yang menerbitkan karya sastera dan mana penerbit yang menerbitkan karya popular atau picisan. Sekretariat harus menumpukan kepada karya sastera yang benar-benar karya sastera. Apakah setelah 50 tahun kita masih tidak tahu membezakan antara karya sastera serius dengan cereka cinta popular dan karya picisan?

Kedua, soal para penilai atau panel hakim. Saleeh Rahamad memberikan pandangan yang cukup bernas tentang kelesuan panel hakim untuk melihat dunia kesusateraan Melayu yang menyeluruh dalam konteks anugerah iaitu pengiktirafan dan bukan pertandingan! Panel hakim atau penilai harus mempunyai stamina untuk membaca dan menguasai pengetahuan tentang karya sastera di Malaysia. Dalam HSPM baru-baru ini saya berpandangan bahawa panel penilai hanya melakukan kerja membaca dan menilai karya yang hanya diletakkan di atas meja mereka dan langsung tidak berusaha atau berupaya untuk melihat karya satera yang terhasil di luar meja mesyuarat mereka yang jauh lebih bermutu dari apa yang ada di depan mata mereka. Ini bermakna 'kepala' (maaf) panel penilai hanya melihat HSPM dalam konteks pertandingan iaitu karya yang diletak di dalam mata mereka, dan bukan konteks pengiktirafan iaitu karya-karya sastera yang lahir untuk mewakili pemikiran dan zamannya.

Ternyata kita tidak ada penilai yang serajin dan secanggih Allahyarham Dr. Othman Puteh dalam mencari karya yang bangkit membawa pemikiran yang mewakili zamannya. Dalam HSPM hari ini kita hanya mempunyai panel penilai yang lesu, sempit dan mencari kerja mudah dengan hanya berharap kepada karya-karya yang diletakkan di dalam mata mereka oleh sekretariat. Mereka langsung tidak berupaya untuk melihat dunia sastera yang menyeluruh dalam mengangkat prestij HSPM. Antara faktor kemerosotan HSPM baru-baru ini ialah faktor kelesuan dan ketidakupayaan panel hakim. Maka itu para penulis sekarang amat menunggu laporan panel hakim dalam melihat kekuatan karya yang dipilih dan rasional penilaian panel hakim. Saya juga amat-amat menunggu laporan penilaian panel hakim yang amat bijaksana ini. Jangan marah jika pahat saya akan terus berbunyi mengkritik laporan panel hakim ini, tentunya.

Akhir sekali saya amat tertarik untuk mengutip kata-kata Lutfi pada dialog tersebut, "Hadiah sastera perdana ini haruslah perdana sifatnya, karyanya adalah karya perdana, prestijnya adalah prestij perdana dan panel hakimnya juga haruslah tokoh yang perdana pemikirannya".

Untuk kali ini, kita pula yang harus bertindak untuk menilai para panel penilai HSPM ini!

7 comments:

Anonymous said...

Salam.

Siapa pun panelnya, dan siapa pun pemenangnya pasti akan ada yang menyangkalnya. Persepsi.

Pada saya, panel yang dipilih perlu daripada pelbagai generasi dan pelbagai cara fikir, barulah ada tolak campur ketika perbincangan. Pun yang demikian itu, pasti akan datang persepsi lain pula cadangan untuk melihat karya sastera. Macam ayam dan telur.

Jadi, boleh menegur panel yang ada, tapi fikirkan jika kita yang menjadi panelnya, adakah kita dapat menjadi seobjektif dan serajin mungkin?

Wassalam.

Sham al-Johori said...

Tuan yang budiman,
Ini bising-bising dan kecoh-kecoh pasal HSPM ini kenapa?
HSPM tu apa?
Masya-Allah, Takbir!

S.M. Zakir said...

saya pernah menjadi panel hakim untuk berbelas peraduan tetapi ini bukanlah bermakna semua yang saya katakan betul. Maka saya memahami kesulitan mereka tetapi saya juga memahami kelesuan mereka, tidak terkecuali kerangka pemikiran 'one size-fit-all' mereka. Banyak kali ingin saya suarakan tetapi sering tersekat oleh kononnya pertindihan kepentingan sebagai penulis. tetapi kali ini ketepikanlah karya saya kerana saya mahu bercakap dan memberi pandangan. ia bukan soal ayam dan telur tetapi soal bagaimana ayam menetaskan telur emas.

Tuan haji, bercakap terus terang lebih baik dari bercakap di belakang dan simpan meletup di dalam. Berbeza pandangan bukan bermakna bermusuh. Berdiam pun bukan boleh memyumbang apa-apa untuk pembaikian (kalau nak baiki, tak nak suka hatilah).

Tetapi apapun mohon juga jutaan maaf jika ada yang tersinggung (serius la pulak) ampun ampun ampun. Tuan aji buat buku puisi, saya dan rahimidin dah siap nak cetak. Jom pi lancar kat singapura. tak yah bising2 lagi lepas ni. aman damai ok.

lutfi said...

Garang benar la ni no, hehe. Jaga jangan sampai darah naik. Tetapi anarkis tetap anarkis, hehe

Malanglah, setelah puluhan tahun, yakni sejak 70-an, isu teknikal seperti kaedah pemilihan dan penyaringan pun tak selesai. Entah kenapa, bila makin lama dalam dunia sastera, memang ada betulnya, kematian sastera dan kelesuaan yang ada- sesetengahnya disumbang dan disebabkan oleh para pengkaji sastera yang palsu, yang kuat berpolitik dan politaik sekaligus tak ada pendirian, Semuanya kerana perut sendiri - sesetengahnya pula disebabkan oleh birokrat sastera yang tak berfikiran jauh, sesetengahnya lagi sebab 'pekerja sastera' yang buta sastera dan tidak cinta pun sastera, dan sebahagian lagi disebabkan oleh penulis sendiri yang pengecut dan tidak ada telur. Kalau isu sekecil ini, maksud saya HSPM pun tak berani nak kritik, macam mana kita nak harapkan golongan sasterawan, yang kononnya bercakap atas kebenaran dan memperjuangkannya - memperkatakan isu-isu yang lebih besar dan genting, yang menyentuh kebenaran yang sebenar-benarnya.

Rusdi Abd Rahman said...

Tuan,
Bagaimanakah pula kepada penggiat kelangsungan program sastera / bahasa sama ada organisasi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pihak media dan sebagainya yang juga menyumbang kepada perkembangan persekitaran dan nuansa hidupnya sastera / bahasa di negara ini?
(Hehehe... sekadar luahan pandangan kerdil jauh dari selatan)

saleeh rahamad said...

Rusdi tak payahlah terlalu merendah diri dengan status "dari selatan" seolah-olah orang selatan atau Tambak Johor tak penting. Kalau tak ada Tambak Johor susah juga orang nak ke Batam. Berbanggalah berada di laluan ke Batam. Apa ada di Batam? Saya tak pernah sampai. Tapi Ogos ni ada persidangan Malaysia Indonesia di Universiti Andalas Padang. Rasa nak pergi, program bersama FSSS UM. bersedialah sesiapa nak bentang makalah. buat proposal, tarikh tutup abstrak hujung Mac rasanya. You know my number!

S.M. Zakir said...

yes i know your number... and you also know my pasport number.. he he