Thursday, October 21, 2010

PLURALISME DAN KEKELIRUAN AGAMA

Titik penting munculnya idea tentang pluralisme di dunia Islam pada era moden bertolak daripada daripada perdebatan tentang khalifah dan pelaksanaan sistem politik moden dalam dunia Islam. Ia menyaksikan kemunculan idea tentang demokrasi, sosialisme, sekularisme, liberalisme dan sebagainya. Beberapa peristiwa penting yang memainkan peranan besar kepada pertembungan dunia Islam dan idea-idea Barat ini ialah Revolusi Rakyat di Iran pada 1905-1911, Revolusi Golongan Muda (Young Turks) pada 1908 dan akhirnya Revolusi Kamal Ataturks pada tahun 1924 yang menghapuskan pemerintahan khalifah Osmaniah di Turki. Pada masa yang sama muncul gerakan pembaharuan di Mesir dan negara Arab untuk bebas daripada cengkaman kolonial Barat. Termasuk juga gerakan pembebasan yang berlaku di India, akhirnya menyaksikan pemisahan entiti Islam yang memunculkan negara Islam Pakistan. Tidak ketinggalan isu Palestin yang ketika itu mula dijajah oleh zionisme Yahudi. Pertembungan antara Dunia Islam dan Barat seperti mengulangi pertembungan yang pernah berlaku dalam era Perang Salib. Namun pada kali ini, dunia Islam berada di pihak yang tewas. Penjajahan kuasa kolonial moden Barat ke atas sebahagian besar dunia Islam telah membentuk dikotomi penjajah-dijajah, tuan-hamba, atau pusat-pinggiran yang meletakkan dunia Islam di bawah penguasaan kolonial Barat.

Idea-idea yang mencetuskan gerakan pembebasan dan pembaharuan dunia Islam muncul dengan hebatnya pada awal abad ke-20 sebagai aksi reaksioner terhadap penjajahan dan pengaruh kuasa Barat ini. Wujud dua bentuk aliran umum dalam aksi reaksioner ini. Pertama, muncul golongan pembaharuan Islam yang memperjuangkan nilai-nilai Islam dalam membangunkan kekuatan dunia Islam, sekaligus berusaha membebaskan dunia Islam daripada kuasa Barat. Kedua, munculnya golongan dan pemikiran untuk mengambil dan menyesuaikan kerangka serta sistem pemikiran Barat bagi memajukan dunia Islam, seterusnya membangunkan dunia Islam yang progesif, moden dan maju. Kedua-dua golongan memulakan perdebatan tentang khalifah, kemudiannya berkembang kepada idea-idea pemikiran khususnya idea pemikiran moden.

Perbincangan tentang idea pembaharuan ini memunculkan nama-nama seperti Jamaludin Al-Afghani, Muhammad Abduh, dan Muhammad Rashid Rida yang memperjuangkan nilai-nilai Islam sejagat dalam konteks pembentukan Pan-Islam. Sementara golongan kedua yang mengambil pemikiran Barat secara drastik dan menolak nilai-nilai Islam secara langsung atau tidak langsung telah melahirkan nama-nama seperti Mustafa Kamal Ataturk, Ali Abd Raziq, Fathi Osman dan sebagainya. Mustafa Kamal telah melancarkan revolusi sekular di Turki sekaligus menghapuskan pemerintahan khalifah yang terakhir di dunia Islam iaitu khalifah Osmaniyyah. Sementara Ali Abd Raziq membawa pemikiran liberal-demokratik Barat ke dalam dunia intelektual Islam yang turut mengecam pemerintahan khalifah Islam.

Pemikiran pembaharuan Islam yang memperjuangkan pembentukan wilayah Islam yang menyeluruh baik dari segi politik, ekonomi, budaya, masyarakat dan intelektual mencipta gelombang besar di tangan tokoh-tokoh intelektual dan pertubuhan Islam seperti Muhammad Iqbal (1877-1937), Hassan al-Banna (1907-1949), Abu al-Ala Mawdudi (1903-1979), dan Sayyid Qutb (1906-1966). Tokoh-tokoh ini menentang keras pembaharuan liberal dan politik demokrasi Barat ke dalam dunia Islam. Rashid Rida menegaskan bahawa masyarakat Islam tidak akan muncul sehinggalah sistem pemerintahan khalifah ditegakkan, sekaligus merupakan kecaman terhadap pemerintah sekular Ataturk di Turki. Pandangan Rida itu dikongsi oleh pengasas Pertubuhan Ikhwan Muslimin, Hassan al-Banna yang menggerakkan pertubuhan persaudaraan Islam yang keras menentang segala bentuk pemikiran dan sistem politik Barat. Hassan al-Banna menegaskan bahawa pelaksanaan syariah Islam adalah jalan keluar daripada kemunduran dan kegelapan umat Islam. Pandangan al-Banna ini juga merupakan pandangan balas terhadap idea-idea liberal-sekular yang dikemukakan oleh Ali Abd Raziq.

Namun pandangan keras terhadap pembentukan wilayah politik dan intelektual Islam ini dikemukakan oleh Maududi yang menegaskan bahawa prinsip dan nilai Islam, bukan lain sebagai satu-satunya kebenaran yang harus dituju oleh umat Islam. Beliau menyebut tentang teokrasi iaitu demokrasi yang dipimpin oleh syariah Islam. Dalam hal ini Maududi menyatakan bahawa masyarakat (atau demos dalam bahasa Yunani) dalam wilayah politik Islam harus wujud sebagai masyarakat Islam keseluruhannya, yang melaksanakan syariah Islam dalam segenap aspek kehidupan. Pandangan Maududi ini sejajar dengan pemikiran Sayyid Qutb yang bukan sahaja menolak demokrasi-liberal Barat bahkan mengecam masyarakat moden berpandukan nilai moden sebagai masyarakat jahiliyyah baru.

Pemikiran yang bertentangan dalam ertikata menyeru kepada pembaharuan yang mengangkat nilai-nilai modeniti Barat seperti demokrasi, liberalisme dan pluralisme yang bangkit pada pertengahan abad ke-19 mula lahir dalam bentuk-bentuk yang lebih konstruktif. Fathi Osman muncul sebagai suara liberal yang menyeru kepada pluralisme dan hak asasi manusia, khususnya hak golongan wanita dan minoriri bukan Islam. Walaupun dari satu segi terlihat pandangan Fathi Osman sebagai suara murni mencari keadilan bagi golongan yang kononnya tertindas, tetapi pada hakikatnya beliau memandu umat Islam ke arah nilai-nilai liberalisme Barat. Sedangkan dalam Islam hak golongan wanita, minoriti bukan Islam dan hak asasi manusia telah ditegaskan dengan jelas, bahkan dilaksanakan dalam syariah Islam yang memberikan keadilan kepada manusia berasaskan prinsip Islam. Dalam prinsip Islam, hukum datangnya daripada al-Quran dan hadis, serta qias para ulama. Maka itu keadilan dalam prinsip Islam meletakkan kewajiban agama lebih utama daripada kepentingan diri. Ini menjelaskan rujukan utama kepada nilai masyarakat yang mengatasi nilai individu. Hal ini berbeza dengan prinsip liberal Barat yang meletakkan hak invidu sebagai puncak kepada keadilan sosial.

Period ini menyaksikan lahirnya konsep tentang pluralisme yang berasaskan nilai dan pemahaman Barat. Pluralisme menekankan prinsip hak asasi manusia yang berasaskan individu sebagai puncak kepada hukum keadilan. Ia bermula dengan penegasan hak sama rata manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Dalam pada itu, ia menyerapkan prinsip liberalisme Barat yang menegaskan kebebasan individu dan penolakan bahawa kebenaran hanya ditentukan secara mutlak oleh agama. Sebaliknya kebenaran bukan sesuatu yang eksklusif (lingkungan nilai dan prinsip agama) tetapi adalah sesuatu yang terbuka dan boleh sahaja diterima dari pelbagai sumber termasuk daripada nilai dan prinsip pelbagai agama serta idealogi pemikiran individu. Pluralisme kemudian berkembang dalam pemahaman sosiopolitik mewujudkan apa yang disebut sebagai consociotional politic, dalam bidang sosioekonomi melahirkan globalisasi, dalam sosiobudaya melahirkan liberal-capitalist mass culture atau budaya hedonisme, dan dalam agama melahirkan sosiologi agama atau anthropocentric perspective. Semua hal ini mewujudkan konsep pluralisme yang mengaburkan nilai-nilai agama (Islam terutamanya) dengan nilai-nilai individu yang hanya wujud sebagai entiti duniawi. Ini berbeza dengan nilai masyarakat atau individu dalam Islam yang dilihat dalam konteks entiti duniawi-ukhrawi.

Asas penting kepada konsep pluralisme ini berdiri dalam pernyataan hak asasi manusia yang dimaktub berasaskan nilai-nilai liberalisme Barat. Sebagai contoh umum, beberapa ketetapan dalam piagam hak asasi manusia konvensyen Bangsa Bersatu memperlihatkan bagaimana nilai-nilai liberal Barat dijadikan asas kepada pandangan sejagat. Penetapan hak asasi manusia yang dimaktubkan sebagai artikel 6 Konvensyen Bangsa Bersatu 1976 menyatakan; The States Parties to the present Covenant recognize the right to work, which include the right of everyone to the opportunity to gain his living by work, which he freely chooses or accepts, and will take appropriate steps to safeguard this right. Dalam konteks hak wanita pula dimaktubkan artikel 3 yang menyatakan; The States Parties to the present Covenant undertake to ensure the equal right of men and women to the enjoyment of all economic, social and cultural rights set forth in the present Covenant. Ia kemudian diperkukuhkan dengan ketetapan Konvensyen 1981 yang menyatakan; … the term ‘discrimination against women’ shall mean any distinction, exclusion or restriction made on the basis of sex which has the effect or purpose of impairing or nullifying the recognition, enjoyment or exercise by women, irrespective of their marital status, on the basis of equality of men and women, of human right and fundamental freedoms in the political, economic, social, cultural, civil and any other field.

Semua artikel hak asasi yang diterima sebagai asas kebebasan manusia ini menolak nilai agama sebagai asas pernyataannya. Contohnya artikel di atas menyatakan kebebasan untuk manusia bekerja mencari nafkah tetapi dalam Islam pekerjaan yang melibatkan perkara haram di sisi Islam dan subahat dengan kemungkaran adalah ditegah. Maka tegahan Islam itu dianggap sebagai melanggar hak asasi dan kebebasan manusia. Begitu juga soal hak dan hukum bagi golongan wanita, contohnya berpakaian menutup aurat dan penyertaan wanita dalam ruang awam mempunyai batasannya demi menjaga maruah wanita Islam. Namun tegahan dan ketetapan menutup aurat ini juga dipandang sebagai melanggar hak asasi wanita dalam menentukan kebebasannya. Maka hak asasi yang ditetapkan berdasarkan nilai liberal Barat inilah kemudiannya menjadi asas kepada konsep pluralisme yang mengembangkan konteks masyarakat plural.
Masyarakat plural bukan sekadar masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama atau bahasa. Tetapi masyarakat plural menyangkuti soal kesaksamaan dalam politik, ekonomi, budaya termasuk agama. Kesaksamaan dalam masyarakat plural ini dicapai dengan mewujudkan nilai baru yang menghapuskan nilai fundamental seperti hak bangsa peribumi, penghapusan nilai kebangsaan yang berteraskan nilai peribumi, dan terakhir sekali akidah agama (Islam).

Persoalan tentang pluralisme mula-mula muncul dalam konteks pemahaman sosial, yakni hubungan kemasyarakatan dalam suasana baru setelah era penjajahan kolonial. Apa yang dikatakan suasana baru tersebut ialah munculnya masyarakat heterogenus iaitu percampuran antara masyarakat peribumi dengan masyarakat pendatang ataupun kewujudan masyarakat daripada pelbagai etnik yang hidup bersama. Maka masyarakat baru yang wujud ini adalah sebuah masyarakat plural atau masyarakat majmuk. Sesuai dengan sifat masyarakat majmuk, ia turut membawa kepelbagaian cara hidup berlandaskan budaya, agama atau kepercayaan masing-masing etnik. Konsep tentang pluralisme iaitu bagaimana kepelbagaian tersebut dapat diraikan dan seterusnya mewujudkan masyarakat yang bersatu dalam kepelbagaian tersebut, muncul menjadi pernyataan terhadap keinginan untuk hidup saling menerima dan meraikan perbezaan. Pluralisme melihat bagaimana pertembungan masa lalu dan masa kini dapat melakurkan sebuah masyarakat baru yang tidak lagi berpegang kepada nilai-nilai fundamental etnik, agama, dan budaya yang terpisah-pisah tetapi sebaliknya mewujudkan sebuah masyarakat baru yang beridentitikan nilai masa hadapan.

Pluralisme seterusnya berkembang kepada konsep budaya dan pemahaman agama. Setelah ia melihat semua manusia adalah sama dengan konsep hak asasi yang berasaskan nilai liberalisme Barat, pluralisme berkembang kepada konsep yang melihat semua agama itu juga adalah sama. Bagi pluralisme tiada satu pun agama yang tunggal dan eksklusif untuk menjadi sumber kebenaran, atau setidak-tidaknya terdapat kebenaran dan nilai yang benar dalam agama lain. Pemahaman ini menjelaskan bahawa agama seseorang bukanlah satu-satunya hal yang eksklusif bagi kebenaran, kerana dalam agama-agama lain juga dapat ditemukan kebenaran atau setidak-tidaknya nilai-nilai yang benar. Seorang tokoh pluralisme agama di Barat iaitu John Hicks menyatakan bahawa kebenaran tidak dapat ditemui hanya dengan melihat secara eksklusif terhadap mana-mana pegangan agama, sebaliknya kebenaran ditemui melalui gabungan pelbagai sumber agama, kepercayaan dan pemikiran. Hicks menyebutnya sebagai transcategorial noumenal reality, yang melihat bahawa pengalaman keagamaan dikategorikan sebagai pengalaman noumenal yang dipengaruhi oleh realiti budaya, persekitaran, sejarah dan pemikiran. Dalam ertikata lain, Hicks menyatakan Tuhan wujud berdasarkan persepsi manusia. Transcategorial ini kemudiannya mewujudkan apa yang disebuat Hicks sebagai phenomenal God dan noumenal God. Kedua-dua konsep ini menjelaskan bagaimana pengetahuan tentang Tuhan adalah dipengaruhi oleh budaya dan sejarah manusia. Pemikiran Hicks ini dipengaruhi oleh falsafah Kantian (Immanuel Kant), yang memilih ketentuan kebenaran antara objek zahir dengan Tuhan untuk meletakkan satu kepastian kepada semua ilmu. Dalam kata lain, ilmu pengetahuan tiada sangkut paut dengan kebenaran mutlak (wahyu, kenabian dsbnya) tetapi dengan fakta. Konsep tentang Tuhan dihurai oleh Kant melalui falsafah transendental iaitu pengetahuan noumenal dicapai melalui suatu perpaduan konsep dengan pengalaman realiti (budaya, sejarah dsbnya).

Secara keseluruhannya pluralisme menegaskan tiga perkara pokok tentang persamaan agama. Pertama, tiada satu pun agama yang tunggal dan eksklusif untuk menjadi sumber kebenaran, kerana setidak-tidaknya terdapat kebenaran dan nilai yang benar dalam agama lain. Kedua, kebenaran wujud dalam semua agama dan dengan itu penekanan harus diberikan terhadap kepelbagaian sumber kebenaran. Ketiga, kerjasama dan dialog antara agama menjadi keperluan penting dalam mencari nilai kebenaran. Ketiga-tiga perkara yang kedengaran muluk ini menimbulkan kekeliruan terhadap kebenaran agama khususnya Islam. Pluralisme sebenarnya mencipta kebenaran baru dengan merombak-rombak agama sepertimana yang dilakukan oleh pascamoden. Bezanya pascamoden menolak agama, namun pluralisme menerima agama dengan memberikan nilai baru.

Pluralisme menyebabkan berlakunya kekeliruan agama. Lebih bahaya lagi apabila Islam disamaratakan dengan agama lain. Penerimaan terhadap konsep pluralisme memberi kesan terhadap akidah Islam. Dalam Islam tidak ada satu agama pun di muka bumi ini agama yang benar kecuali Islam. Islam adalah penutup segala agama dan membatalkan ajaran agama-agama sebelumnya. Dalil ini dinyatakan dalam al-Quran, surah Ali Imran: 85; “Barang siapa mencari agama lain selain daripada Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. Dan Islam setelah Muhammad diutus, iaitu yang dibawa oleh beliau bukan agama selainnya.” Hal ini dengan jelas dan langsung menyanggah pluralisme. Sesungguhnya kebenaran yang satu ialah Islam dan tiada kebenaran yang harus diambil daripada agama-agama lain. Sesiapa yang mendakwa bahawa kebenaran perlu dilihat dari sisi agama lain membukakan dirinya kepada mudarat yang besar dari segi akidah.

Faham pluralisme ini malangnya dibawa ke dalam pemikiran umat Islam oleh golongan Islam sendiri. Ia menimbulkan kekeliruan terhadap Islam dan memberi kesan kepada akidah Islam. Islam mengutuk perlakuan yang mengelirukan ini sebagaimana yang tersebut dalam Ali-Imran: 78; “Sesungguhnya di antara mereka ada segolongan yang memutar-mutar lidahnya membaca al-Kitab, supaya kamu menyangka yang dibacanya itu sebahagian daripada al-kitab, padahal ia bukan dari al-Kitab dan mereka mengatakan: Itu dari Allah sedang sebenarnya bukan dari Allah. Mereka berkata dusta terhadap Allah, sedang mereka mengetahui.” Kehadiran golongan tertentu di kalangan umat Islam yang mendokong faham pluralisme ini mendapat pengaruh daripada pemikiran liberal yang kini merebak di dunia Islam. Di Indonesia muncul golongan yang menamakan diri mereka seperti Jemaah Islam Liberal (JIL). Gerakan ini kemudian merebak ke Malaysia di tangan segelintir golongan liberal dan kalangan penggiat seni kosmopolitan. Namun sejak akhir ini, pemikiran liberal dan pluralisme ini mula menyerap dalam pemikiran dan gerakan politik yang cuba menyesuaikan konsep consociotional politic dengan keadilan-kesaksamaan dalam realiti hidup masyarakat majmuk di Malaysia ini.

Pada zaman pemerintahan Abbasiyyah muncul golongan yang disebut sebagai golongan zindik yang terdiri daripada sama ada mereka yang asalnya beragama Islam ataupun mereka yang asalnya beragama tempatan. Golongan zindik ini menyebarkan fahaman yang menggabungkan unsur-unsur dari agama Parsi tua, Yahudi, Nasrani dan sebagainya ke dalam Islam. Mereka seterusnya melihat kebenaran daripada kacamata kepelbagaian agama tersebut. Pada satu peringkat, golongan zindik ini juga disebut sebagai orang-orang mulhid (ateis), kerana keingkaran mereka terhadap Islam baik melalui perlakuan mahupun pemikiran. Kehadiran pluralisme pada abad baru ini seperti mengulangi sejarah golongan zindik yang bermula dengan mencari kebenaran daripada pluralisme agama, seterusnya berkembang kepada tafsiran baru agama yang akhirnya menolak hadis dan al-Quran hasil daripada kerja merobek-robek al-Quran sesuka hati mereka. Kemunculan golongan liberal yang mendokong faham pluralisme pada hari ini mempunyai serba sedikit kecenderungan yang menghampiri apa yang pernah dilakukan oleh golongan zindik pada suatu ketika dahulu.

“...Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian peraturan yang diturunkan Allah kepada kamu...” (al-Maidah: 49).

Milenia Muslim, Oktober 2010

Saturday, October 16, 2010

BIDADARI BURUNG

BIDADARI BURUNG

S.M. Zakir


Kata Zuber poyangnya adalah ahli sufi dari selatan Baghdad yang hidup pada era pemerintahan Khalifah Harun al-Rashid sekitar abad ke-8 Masehi. Era pemerintahan Harun al-Rashid adalah era pemerintahan paling gemilang khalifah Abasiyyah. Harun al-Rashid memerintah pada usia 20-an dan meninggal dunia pada usia 40-an merupakan antara pemimpin Islam yang paling terkenal. Tetapi apa kaitannya cerita poyang Zuber dengan khalifah Islam yang terkenal hebat juga terkenal dengan kehidupan mewah yang tidak terhisab oleh kata-kata itu. Tidak ada. Tidak ada kaitan. Zuber mungkin sekadar mencari latar untuk mencetuskan mitos kehebatan poyangnya. Aku tidak mengesan kehebatan daripada cerita Zuber. Mungkin belum lagi. Seorang ahli sufi dari selatan Baghdad yang hidup pada zaman khalifah Harun al-Rashid. Ya, begitu – jadi apa hebatnya. Ia hanya cerita biasa. Mungkin aku juga boleh berkata, poyangku adalah ahli sufi dari selatan Anatolia. Ah, jika benar... atau raja dari Syam.

Aku melihat Zuber meneguk capucinonya perlahan seperti menyerup kelazatan yang aku tidak mengerti. Aku menyerup kopi pahit yang entah apa namanya. Kami duduk berbual sambil minum di Starbucks di hadapan The Mall. (Sebenarnya tiada apa yang aku banggakan apabila menyebut nama tempat kami minum dan berbual ini – sememangnya kami minum di sini dan aku tidak boleh berbohong dengan kenyataan ini). Petang entah hari apa, suasananya agak lenggang. Aku suka duduk di sini. Mencuci mataku dengan orang lalu lalang. Wanita dan lelaki Arab bersama dua anaknya yang comel. Pasangan backpackers kaukasian – mataku lebih ditarik pada pasangan wanitanya. Dua orang lelaki Melayu sedang berbual sambil minum seperti aku dan Zuber, cuma usia mereka lebih tua daripada kami. Gadis berkulit putih kuning yang terbuka lurah dadanya yang putih. Pengawal keselamatan yang tercegat di pintu masuk. Juga hotel Suria Pasific yang tersergam kukuh di hadapan kami. Suasana begitu santai di sini.

”Lalu...?” Aku meminta Zuber menyambung ceritanya.

Zuber meletakkan cawan minumannya dan menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Zuber kemudian bercerita bagaimana suatu hari poyangnya belayar mengembara mengikut kapal seorang saudagar. Ketika menghampiri sebuah pulau, dari atas dek kapal poyangnya melihat seekor burung besar yang bercahaya terang terbang di atas awan yang bersepuh bagai emas menuju ke pulau yang terbangun dari laut itu. Ketika kapal berlabuh untuk mendapatkan air dari pulau yang terbangun dari laut itu, poyangnya turut serta. Tetapi ketika di pantai, dia memisahkan diri menghala ke arah terbangnya burung besar bercahaya laksana emas bersepuh di langit tadi. Dia sebenarnya melihat lebih daripada itu. Dia mengikuti arah burung itu dan akhirnya sampai di sebuah teluk yang keindahannya adalah secabik tanah yang terlontar jatuh dari syurga. Di situ dia melihat sang burung bersayap emas tadi sedang berdiri dengan dua belah kaki dan wajah bidadarinya bertelut menengadah langit. Dia terfana. Tenggelam dalam rasukan rasa sepertikan beralun hanyut di atas tubir ombak yang jatuh-bangun jatuh-bangun mendebur sunyi. Seketika bidadari burung bersayap emas itu melepaskan sayapnya – yang ada sebatang tubuh telanjang yang maha indah. Berjalan dan menyesap ke dalam ombak. Sekujur tubuhnya menggeletar. Burung – bidadari – syurga – ombak – langit bersepuh emas.

Lama dia terkaku melihat bidadari burung bersayap emas dikepung ombak. Berenang memainkan riak air. Matahari di atas redup sepertikan malu. Ketika angin menampar kepalanya, dia diterkam ilham. Kemudian perlahan-lahan dia turun ke pantai dan mengambil sayap bersepuh emas lalu pergi menyembunyikannya. Dia menunggu bidadari itu naik ke pantai. Ya, bidadari itu naik ke pantai dan mencari sayapnya tetapi apa yang ditemuinya ialah seorang pemuda berwajah lembut yang menutup mata dengan kain serbannya. Di tangan pemuda itu terhulur kain kaftan dan bukan sayap bersepuh emasnya lagi.

Akhirnya dia berkahwin dengan bidadari burung itu sehingga memperolehi dua orang anak. Bidadari burung menjadi seorang gadis cantik yang menggugurkan setiap jantung manusia. Tetapi suatu ketika isterinya sang bidadari itu menemui sayapnya yang disembunyikan sang suami. Sang isteri tersebut mengambilnya lalu terbang kembali ke negeri asalnya meninggalkan sang suami menjadi majnun yang seumur hidupnya memendam rindu cinta derita. Negeri asal bidadari burung itu dikatakan bernama Wak Wak, sebuah tanah indah yang jauh dan terasing. Mas’udi, sejarahwan Arab mengatakannya terletak di timur Afrika melewati Zanzibar. Marco Polo menghuraikan Wak Wak adalah tanah Amazon iaitu pulau para wanita di Socotra. Ada yang mengatakan ia terletak di Seychelles, Madagascar atau Melaka. Ada pula yang mengatakan ia terletak di China atau Jawa. Sang suami ahli sufi dari Baghdad itu meninggal dunia dalam kesengsaraan cintanya. Tetapi keturunannya menjadi pedagang, pelayar dan pendakwah. Seorang daripada keturunannya datang belayar ke Melaka, berdagang dan menyebarkan Islam. Pada masa yang sama mencari jejak nendanya bidadari burung di tanah Wak Wak yang misteri itu. Dari keturunan itu lahir Zuber di hadapanku ini. Titisan darah bidadari burung dan ahli sufi dari Baghdad.

Zuber menghirupkan capucinonya perlahan, seperti mencicip kelazatan yang tumbuh dari haruman kopi itu. Aku memerhati Zuber. Hidungnya mancung dengan alis mata lentik di sayap kening beriras helang. Matanya tajam seperti tikaman pedang. Bangun tubuhnya lampai. Ya, titik darah bidadari burung dari pulau Wak Wak yang bersatu dengan darah ahli sufi dari Baghdad melahirkan pemuda seiras Harun al-Rashid.

”Bidadari burung mengajarkan kepada poyangku tentang kebebasan. Semangat kebebasan. Kebebasan adalah sepasang sayap yang membuatkan makhluk tidak terikat kepada bumi mahupun kepada langit.” Zuber meletakkan cawan capucinonya ke meja. Matanya melepas pandangan jauh melayar.

Aku cuba mencari arah pandangan Zuber. Tetapi apa yang aku temui ialah pandangan itu membalik masuk ke dalam kepalanya. Berterbangan dalam wilayah akal yang melepasi tembok-tembok yang mengurung apa yang dikatakan kebebasan. Zuber seperti mencari sayap yang tersembunyi untuk melepaskan akal fikirannya terbang sebebas-bebasnya – seperti bidadari burung yang mengajarkan kebebasan kepada poyangnya.

Aku meneguk kopi pahit, cuba menyerapkan kelazatan daripada kepahitannya. Tetapi lidahku tidak mampu memenuhi keinginan perasaanku. Aku hanya merasakan kepahitan yang tumbuh dari kopi – tanpa punya kelazatan apa-apa. Kami berpisah setelah Zuber mencicip kelazatan terakhir dari capucinonya. Dan aku meneguk kepahitan kopi yang perit ke tekakku dengan penyesalan membayar harga yang tidak setimpal dengan ketidaknikmatan yang aku terima. Tidak ada apa-apa yang istimewa pada pertemuan dan bual kosong meneguk pahit kopi bersama Zuber petang itu. Tidak ada apa-apa yang istimewa kecuali penyesalan terhadap mahalnya bayaran untuk ketidaknikmatan kopi yang pahitnya mengesatkan lidah, gigi dan gusiku. Mungkin aku tiada deria perasa sakti keturunan bidadari burung yang dapat mencicip kelazatan yang tumbuh dari bumi.

Aku memandu pulang. Jalan lancar dan tenang. Sedikit redup. Aku mendongak melihat jika redup itu adalah kerana sepasang sayap yang menutup awan. Alangkah indahnya jika ia adalah bidadari burung seperti yang ditemui oleh poyang Zuber. Tentu aku akan mengikutinya, bersembunyi mengintai sang bidadari burung itu mandi dan kemudian menyembunyikan sayapnya. Tentunya sang bidadari burung tidak mempunyai pilihan lain selain daripada mengahwini aku. Tetapi tidak – redup awan hanya semata redup awan; ia cuma bayang yang jatuh dari langit.

Aku keluar dari kota – yang pada saat itu sedang tumbuh dan lahir kaum liberal, bermula dari pojok-pojok bual di kota, kelab-kelab seniman, merebak ke buku-buku, institusi pengajian tinggi, parti politik masuk ke dalam teater, filem, idealisme sosiopolitik dan menjadi nadi baru kehidupan kota. Golongan muda segera menganut semangat liberal dan menuntut pembaharuan-pembaharuan liberal dalam politik, ekonomi, budaya dan sosial. Mereka kemudian membangunkan meritokrasi dan pluralisme, menyelongkar dan mentafsir semula segala-galanya termasuk syariat, hadis dan al-Quran, dan merebakkannya seperti sebuah wabak yang menular pantas. Aku meninggalkan kota sebelum wabak itu membunuhku. Aku memandu keretaku jauh sehingga tiba ke sebuah dusun kecil di luar kota. Di sini rumahku dan di sini segala-galanya cukup buatku. Aku mahu menghindari dan melupakan dunia yang pikuk itu.

Aku berehat dan menikmati udara segar yang lewat bergesel dengan daun-daun buluh datang menggesel hidungku dan jatuh setitis-setitis seperti mutiara putih ke tanah. Ketika leka menikmati angin yang khayal membuai, aku teringat tentang cerita bidadari burung Zuber. Aku menghayun langkah ke arah kandang kecil yang berjaring menutup semuanya. Aku mencari beberapa ekor burung ketitir yang dihadiahkan kepadaku oleh Mustafa, seorang teman dari Kelantan. Kata Mustafa burung ini ada tuah dan ada sialnya. Tanda-tanda yang ada di badannya boleh menceritakan tentang tuah dan takdir yang mengikutinya. Aku melihat rupa tiga ekor ketitir itu

Seekor burung ketitir ini tubuhnya putih rintik. Sedang kakinya merah tua dan dadanya pun merah tua bertemu suaranya halus lembut. Maka burung ini terlalu baik ditaruh di rumah dan harkat barang siapa yang memeliharanya. Seekor lagi tubuhnya putih dan merah, kakinya seperti udang dibakar dan suaranya lembut tubuhnya kecil sedang paruhnya seperti paruh nuri apabila berkokok atau bersuara maka ia mengangkatkan leher atau ekornya. Maka burung ini harus dipelihara kerana membawa rezeki yang tidak putus-putus kepada tuannya. Seekor lagi tubuhnya warna rabak-rabak, kakinya merah besar, sementara urat matanya berlingkar tiga, sedang suaranya kayu manis. Burung ini terlalu bertuah lagi pembunuh hendaklah pelihara baik-baik faedahnya seperti menaruh intan yang bertuah. Paling bertuah kata Mustafa jika mendapat burung ketitir berjambul kepalanya, juga berjambul ekornya jika dibilang ekornya sebelas. Inilah Menteri Burung namanya, terlalu baik barang siapa yang menaruhnya di rumah, dijauhkan Allah taala bala ke atas tuannya. Jika ada burung seperti ada ekornya lima belas itulah Raja Burung dan barang siapa yang menaruhnya di rumah barang itu alamat rumah tidak akan dimakan api.

Menteri Burung dan Raja Burung itu sukar ditemui. Kata Mustafa sepanjang hidupnya dia hanya sekali bertemu dengan Menteri Burung dan Raja Burung ini. Ditaruh oleh pemiliknya tidak mahu diberikan kepada sesiapa. Pemilik Raja Burung itu pula ketika seluruh kawasan rumahnya di makan api, hanya tinggal rumahnya yang terselamat. Lebih menakjubkan api yang marak membakar kampung itu sedikit pun tidak menyentuh rumahnya terletak di tengah-tengah kebakaran itu.

Kata Mustafa, burung ini juga ada tanda celakanya. Ini fasal pada menyatakan celakanya burung ketitir bermula jika ada burung itu rangkang paruhnya itupun celaka dan jika kelabu rahu celaka dan jika hitam matanya sangat itupun celaka dan jika paruhnya lebah dibuatnya celaka dan jika balik bulunya celaka dan jika enam belas ekornya celaka dan jika besar tubuhnya kecil matanya celaka dan jika merah matanya lintak tubuhnya celaka dan jika hangus bulunya celaka dan jika ia bunyi suaranya surat mengimbas sayapnya celaka dan jika panjang kakinya sebelah pendek sebelah celaka dan jika ekornya panjang daripada tubuhnya celaka dan jika rendah dahinya atau kepalanya pipih celaka dan jika ia menguku surat ia meratas celaka dan jika kakinya seperti kaki itik itupun celaka dan jika kakinya hitam celaka palit yang amat celakanya. Wallah huallam.

Apakah tanda yang dipunyai bidadari burung? Tanda tuah atau tanda celaka? Aku mengangkat pandanganku mendongak langit. Mencari kibaran sayap emas yang mungkin terbang melepasi dangauku ini. Biar ia lalu dan biar aku lihat tanda tuah dan tanda celakanya. Kata Zuber, bidadari burung yang ditangkap poyangnya ada tanda putih di tengah belakangnya dan ada pusaran di tapak kakinya, besar matanya serta putih jarinya. Itu tanda tuah kataku. Tetapi kata Zuber lagi, tubuhnya ramping sedang bulunya merah dan berbunyi segenap malam. Itu tanda celaka kataku. Zuber diam. Tetapi kemudian menggeleng kepala mengatakan tidak percaya kepada tanda tuah dan tanda celaka yang aku katakan. Aku membiarkan Zuber, memberikannya kebebasan untuk memilih yang yang dipercayainya benar atau tidak. Tetapi aku menyedari bahawa bidadari burung yang ditangkap poyang Zuber itu punya tanda tuah dan tanda celakanya.

Bunyi ketitir bersahutan tenggelam dalam angin yang melimpah turun dari bukit. Aku tidak tahu sama ada angin itu turun dari bukit di belakang dusun kecil ini atau melayah naik dari danau kecil di sebelah timur. Tetapi desir dan baunya seperti angin barat. Remang matahari seperti sudah mencapah bayang asar. Aku berpusing keluar untuk menunaikan solat asar. Kepalaku terasa-rasa sejuk air wuduk menyerap ke muka, tangan, kepala dan kakiku. Bau angin semakin keras. Menjelajah seluruh dusun kecil ini, menarikan jemarinya menggerakkan daun dan ranting berpupuk menari-nari. Segugus angin yang terjatuh dari syurga menghembus sejuk menggeletar ke tubuhku. Aku meraup muka dan bergerak pergi.

Sudah dua minggu aku tidak berhubungan dengan Zuber. Aku sibuk dengan urusanku, sedang Zuber tentunya sibuk dengan urusannya (aku tidak merasakan ada keperluan untuk memberitahu apa urusanku dan apa urusan Zuber). Ada beberapa kali aku turun ke kota. Suasana kota sekarang sedang hangat dengan gerakan liberal. Anak-anak muda bangkit berapi-api dengan semangat liberal. Blog-blog dipenuhi dengan pelbagai fikiran yang memberi sejuta tafsiran. Sementara di sebelah pihak lagi, muncul penentang-penentang kaum liberal yang tidak bersetuju dengan tanggapan-tanggapan keterlaluan kaum liberal.

Sebuah masyarakat majmuk yang lahir daripada sejarah kolonial mempunyai bentuk budaya, masyarakat dan politik yang bergaul antara peribumi dan kaum pendatang yang kemudian menjadi peribumi – sukar untuk menerima semua prinsip liberal secara membuta tuli. Revolusi Peranchis juga tidak akan melahirkan liberalisme jika masyarakat yang mencetuskan revolusi itu adalah masyarakat heterogenus atau masyarakat majmuk yang bergaul antara bangsa asal Peranchis dan bangsa pendatang seperti Peranchis hari ini. Doktrin liberal hanya berjaya dalam sebuah masyarakat homogenus dan bukan dalam sebuah masyarakat heterogenus. Maka itu semangat liberal dari revolusi Peranchis dan revolusi Amerika Syarikat hanyalah sebuah kerangka lama daripada pemikiran klasik yang sudah tidak terpakai dalam konteks masyarakat hari ini.

Maka itu Barat pada hari ini mengubah suai kerangka liberal menjadi sesuatu yang dapat mempertahankan hegemoni kulit putih tetapi dalam masa yang sama dapat digunakan sebagai retorik untuk kononnya kebebasan sejagat. Tetapi kebebasan sejagat ini tidak muncul apabila ia bertembung dengan kepentingan kaum kulit putih. Masyarakat Islam di Eropah contohnya melalui diskriminasi agama dan bangsa di negara yang kononnya pengasas dan pendokong fikiran liberal ini. Begitu juga di Amerika Syarikat (sebuah negara Yahudi sebenarnya), kebebasan sejagat sentiasa dibom oleh kepentingan ekonomi-politik Amerika Syarikat. Semangat liberal menjalar di negara-negara ketiga yang lahir daripada sejarah kolonial menjadi sebuah gerakan yang aneh apabila mengambil tempat untuk menyingkirkan hak sejarah bangsa peribumi dan menentang agama Islam. Fikiran liberal ini seperti tanah liat yang boleh dibentuk demi mana-mana kepentingan. Apatah lagi ia diangkat sebagai fikiran moden yang bergerak seiring dengan teknologi moden. Lantaran itu fikiran liberal sering digunakan serentak secara positif-negatif. Seperti menyingkirkan sistem politik yang korup (positif) tetapi dalam masa yang sama menyingkirkan status quo sosial (negatif) termasuk menghapuskan hak bumiputera dan menentang autoriti Islam.
Aku mengambil keputusan untuk menelefon Zuber, setelah membuka blognya dan membaca kenyataan panjang lebar Zuber mempromosikan pluralisme agama. Prinsipnya mudah – semua agama adalah sama. Zuber telah lama aku tahu merupakan pendokong penting kaum liberal. Zuber acapkali menjadi pemimpin forum kaum liberal dan mempunyai pengaruh yang tidak kurang hebat di kalangan golongan muda yang tercari-cari arah perjuangan liberal mereka (sebahagian kaum liberal sebenarnya terdiri daripada mereka yang bingung dengan apa sebenarnya liberal itu sendiri dan mereka yang mencari populariti murahan tanpa mempunyai fikiran yang jelas tentang apapun yang mereka perjuangkan). Zuber menjawab telefonku. Aku mendengar salam panjang penuh sinikalnya. Kemudian tawanya berderai di hujung salam.

”Ya, aku menjangka kau menelefonku. Kau baca blogku?” Zuber aku bayangkan sedang tersenyum memandangkan daripada suaranya seperti ada gelak kecil.

”Jom, kita minum.” Aku menyambut juga dengan gelak kecil. Aku tidak pernah memusuhi perbezaan pendapat. Itu lumrah. Kehidupan adalah warna warni. Jika hidup hanya perlu bersetuju dengan satu pendapat – ia adalah sebuah kehidupan hitam putih yang sangat membosankan. Tetapi kehidupan hitam putih ini juga kadang kala wujud sebagai sebuah noir, yang menjadikan watak-wataknya lebih kompleks daripada kehidupan yang berwarna warni.

Aku tiba di Starbuck di sebuah pusat belah Bangsar, pusat kaum liberal bertemu dan berforum ini lebih awal. Pertama, aku tidak selalu datang dan tidak mahu terkial mencari tempat letak kereta. Kedua, aku ingin duduk berehat melihat-lihat. Mungkin ada bidadari burung yang disembunyikan atau menyembunyikan sayapnya dalam puak liberal yang berkumpul di situ (libidoku sangat mencitakan seorang bidadari burung menjadi pacaranku, tentu dia berkulit putih bermata biru berambut perang bertubuh giur jika tidakpun seorang gadis pintar-jelita-ghairah). Tetapi selalunya aku duduk tanpa sesiapa mengambil tahu kehadiranku, ya aku selalunya tidak wujud dalam mana-mana pandangan mereka (ia membuatkan aku terfikir tentang anak-anak muda Melayu yang datang dari kampung-kampung tiba-tiba menjadi pendokong liberal paling wahid, mungkin kerana rasa rendah diri membuatkan mereka ingin diterima dalam kalangan kaum vernakular kosmopolitan kaum liberal asli yang bergaya serta pintar-jelita-ghairah ini. Aku rasa aku tidak menghina barangkali).

Zuber tiba tidak lama. Kami berbual seperti biasa. Zuber seperti biasa pergi memesan capucinonya. Aku sudah lupa apa minuman yang enak di sini, hanya memesan coffee latte (sebenarnya berkali-kali aku nyatakan aku tidak pernah pun berbangga untuk menyatakan aku berada di Starbuck dengan minuman pelik yang mahal ini. Tetapi aku sememangnya berada di sini dengan lakonan bergayaku).

“Mengapa dengan tulisanku. Dan mengapa pula agama yang semuanya menyembah tuhan itu tidak sama. Bukankah semua agama itu sama.” Zuber bertalu-talu menerkamku. Aku diam sebentar.

“Islam tidak sama dengan agama lain.” Aku perlu jelaskan ini dahulu.

”Agama seseorang bukanlah satu-satunya sumber yang eksklusif bagi kebenaran. Dalam agama-agama lain pun dapat ditemukan kebenaran, paling tidak pun satu bentuk kebenaran atau nilai-nilai kebenaran.” Zuber tenang mencicip capucinonya.

”Tidak ada suatu agama di muka bumi ini yang benar kecuali Islam, penutup segala agama dan membatalkan ajaran agama-agama sebelumnya.” Aku menyanggah Zuber. ”Banyak ayat al-Quran menegaskan dengan jelas tentang perkara ini.”

Barangsiapa mencari agama lain selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yag rugi dan Islam setelah Muhammad diutus iaitu: yang dibawa oleh beliau dan bukan agama selainnya. Ali Imran: 85. (aku menyalinnya dan tidak mungkin aku mahu berkhutbah sepertimana yang terdapat dalam sebahagian cerpen-cerpen penulis yang menyalin ayat al-Quran berjela-jela).

Perdebatan kami berlangsung lama. Zuber seperti biasa tidak akan menerima segalanya dengan mudah. Aku juga. Maka kami tetap dengan pendirian masing-masing. Aku tidak dapat mengubah Zuber dan Zuber juga tidak dapat mengubah aku. Akhirnya kami mengubah topik perbualan, tetapi kerapkali ia kembali kepada perdebatan tadi juga.
”Aku ada gambar bidadari burung yang ditemui di Amerika Selatan.” Zuber menyorongkan sekeping kertas A4 yang bercetak warna. Ia sebuah foto wanita telanjang yang bersayap. Aku melihatnya dengan takjub.

”Mana kau dapat? Internet.”

”Bukan. Dari sumber yang tidak perlu kau tahu.”

Aku akur dan tidak perlu bertanya tentang itu lagi. Aku memerhati lama. Zuber berehat sambil meneguk capucino dan menghabiskan donatnya. Kami membiarkan suasana jeda yang panjang. Membiarkan butir-butir sunyi itu membina kembali jambatan persahabatan yang bergoncang dirempuh debat tadi. Selalunya begini yang kami lakukan; setelah berdebat dan berhujah tanpa kalah menang – kami akan berdiam dan membiarkan diam itu mengembalikan semula keakraban kami. Aku melihat sesuatu yang aneh dalam foto ini. Bidadari burung ini kelihatan kakinya pendek sebelah. Sementara ekornya lebih panjang dari tubuh (ekor ini dikatakan hilang apabila sayapnya ditanggalkan). Aku menatap lebih dekat. Bukan untuk melihat buah dadanya tetapi melihat dahinya itu rendah dan kepalanya seperti pipih. Mataku melorot ke bawah bukan melihat paha putihnya tetapi melihat kakinya yang seperti itik dan terpalit hitam. Ini semua tanda celaka. Aku tidak mahu berkata apa-apa kepada Zuber. Aku menyerahkan kembali foto itu kepada Zuber. Aku diam sambil otakku menyambung-nyambung silang kata menghubungkan teka teki bidadari burung dan poyang Zuber.

Poyang Zuber seorang ahli sufi yang berubah pegangannya setelah berkahwin dengan bidadari burung. Poyang Zuber yang diajari tentang kebebasan oleh bidadari burung kemudian menjadi pengikut aliran Wasil ibn Atha, mengembangkan faham muktazilah ke seluruh Baghdad. Faham ini kemudian bangkit dengan gagah setelah Al-Makmun, murid imam muktazilah Abu al-Hudzail menjadi khalifah Abbasiyyah. Akal fikiran adalah kebebasan yang sejati. Ia harus diberikan sayap untuk melepasi belenggu bumi dan ikatan langit. Makna kebebasan dirungkai oleh kekuatan dan ketidakterbatasan akal. Ia berkembang dan melahirkan anak pinak kepada kepercayaan terhadap ketidakterbatasan akal. Maka muncul kebebasan untuk mentafsir dan melihat semula segalanya daripada kekuatan ketidakterbatasan akal. Tetapi poyang Zuber juga dikatakan masuk dalam golongan zindiq yang mencampurkan agama-agama purba Parsi ke dalam Islam dan kemudian menyamaratakan semua agama. Kaum zindiq juga penganut faham kebebasan sejagat. Hal ini mungkin menyebabkan poyang Zuber kemudian terpisah daripada aliran Wasil ibn Atha yang menyerang kaum zindiq. Bidadari burung kemudian muncul dalam banyak cerita. Bidadari burung muncul di Eropah, di Peranchis, di Itali, Jerman, England juga di Rusia pada zaman pencerahan Eropah. Ditangkap atau sengaja datang dan berkahwin dengan manusia di sana. Keturunan mereka berhijrah ke Amerika Syarikat. Bidadari burung juga pernah muncul di Amerika Selatan berkahwin dengan seorang Jeneral dari kaum sosialis yang menjadi diktator di salah sebuah negara di Amerika Latin. Aku membayangkan tentang tanda-tanda celaka di tubuh badan bidadari burung, walau ada juga tanda-tanda tuah sepertimana yang digambarkan oleh Zuber tentang bidadari burung isteri poyangnya.

Aku tidak mempunyai apa-apa keluarbiasaan untuk menamatkan cerita ini. Dan cerpen ini juga tidak ditulis untuk mempropaganda siapa benar dan siapa salah. Kedua-dua kami tetap sahabat. Hanya ketika kami mahu berpisah, aku berkata kepada Zuber sambil berlucu dan bergelak kecil.

”Zuber, liberalis yang terawal di dunia ialah Iblis – kerana dialah satu-satunya makhluk Tuhan yang terawal mempersoalkan Tuhan.”

Aku mahu pulang cepat. Ada telefon daripada Mustafa bahawa dia mendapat tahu ada seorang tua di Kelantan mempunyai Raja Burung, ketitir yang ada ekornya lima belas. Aku berkira-kira duit yang ada padaku sekarang, mungkin aku boleh pergi membelinya dengan Mustafa. Aku juga perlu beredar untuk menunaikan solat zuhur yang hampir masuk waktnnya.

...jika ada tubuhnya junjung baik jika ada matanya besar baik dan jika ada kuku jarinya putih itu bertuah jika matanya merah itu pun bertuah dan matanya berkuri itu pembunuh jika siapa anaknya putih besar tuahnya jika ada pucuk pandan demikian juga jika putih sehelai diminyaknya itupun benuh jika ada sisik tujuh sebelah bima namanya pembunuh jika sisiknya lima belas sebelah sekola sediwa namanya jika ada sisik lima sebelah sekola sediwa... ya Allah ya Rabbi ya syaiyidi ya maula ya TuhanKu assalamualaikum masihi yang keramat auliya Allah empat penjuru alam terimalah kadari aku ini hai segala auliya Allah segala wali Allah terimalah ka diri aku ini assalamualaikum hai syekh Abdul Kadir assalamualaikum hai syeikh Abdul Abas assalamualaikum hai syekh Abdul Marib assalamualaikum hai Abdul Ali syekh ....

Dewan Sastera, Oktober 2010

Wednesday, October 6, 2010

KOMEN PAGI KHAMIS

IDEALOGI TELAH MATI

Dahulu gerakan penulis didorong oleh idealogi baik idealogi kiri atau kanan. Golongan kiri membawa faham sosialis atau komunis sementara golongan kanan dengan faham nasionalis yang membentuk juga golongan demokrat. Perjuangan bahasa adalah sebahagian perjuangan idealogi golongan kanan. Namun pada hari ini apabila perjuangan bahasa dan bangsa ingin dibawa lagi dengan gerakan idealogi golongan kanan atau kiri, ia sudah memakai kaedah yang tidak menepati situasi zamannya. Idealogi telah mati. Golongan kiri atau kanan sudah tidak wujud dalam pengertian yang jelas seperti dahulu. Maka itu perjuangan bahasa perlu mencari kaedah atau pendekatan baru yang tidak lagi terkurung dalam pendekatan abad ke-20 itu. Lupakanlah idealogi-idealogi lama yang masih dilaung-laungkan golongan tua dalam nostalgia perjuangan mereka. Ia bukan menolak sejarah tetapi terlalu terkurung dalam nostalgia sejarah akan membunuh dinamisme masa hadapan. Golongan muda perlu membina paradigma mereka yang tersendiri dalam perjuangan bahasa dan perjuangan apa pun tanpa terperangkap dengan pendekatan dan doktrin lama golongan tua. Sekali lagi ia bukan memusuhi golongan tua tetapi 'the old men burdens' yang meletakkan bahawa keputusan masa hadapan golongan muda harus diputuskan oleh golongan tua adalah sebuah paternalistik yang merontokkan kemajuan dan keberdikarian golongan muda. Perjuangan bahasa dan masa hadapan harus diletakkan paradigma baru dari tangan golongan muda.


MYIOPIA PEMBENTUKAN NEGARABANGSA

Saya pernah membaca bahawa Richard Wagner tokoh teater, sastera dan pemikir Jerman sahabat Friedrich Nietzsche membawa semangat bangsa Jerman dalam teater-teater yang mengangkat mitos lama bangsa Jerman. Teaternya seperti Ring of Niebelung adalah antara mahakarya agung Wagner yang mengangkat mitos purba bangsa Jerman. Saya segera menyimpulkan berdasar penulisan tentang pemikiran Wagner untuk menerapkan keperibadian Jerman itu sebagai perkaitan mitos bangsa dengan semangat membina keperibadian bangsa. Mitos, lagenda dan sejarah adalah asas kepada pembinaan sebuah negara bangsa. Pada Seminar Sastera Asia Tenggara di Jakarta 27 September 2010 ini saya berpeluang berbual dengan seorang pemakalah dari Jerman iaitu Dr. Gabrielle E. Otto dari DAAD. Saya bertanyakan tentang peranan Wagner dalam konteks hubungan budaya, mitos dan sejarah terhadap pembentukan negara bangsa Jerman. Dr. Gabrelle menyatakan Wagner dan mitosnya tidak ada kaitan dengan pembinaan negara bangsa Jerman. Sebaliknya penubuhan negara bangsa Jerman adalah lahir daripada paradigma baru golongan muda pada era Bismarck dan Hitler. Jerman menguasai hampir seluruh Eropah dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua merupakan hasil kekuatan yang bangkit daripada paradigma baru di tangan golongan muda. Bukan mitos, nostalgia dan romantisme sejarah yang disangka oleh kita selama ini.


PUDURAYA DAN UDA HOLDING

Puduraya yang dinaiktaraf dikatakan akan siap sebelum hari raya aidil fitri september 2010 yang lepas. Itu kata NurJazlan Rahmat, pengerusi Uda Holding yang berusia setahun jagung. Untuk sementara, Bukit Jalil dijadikan perhentian bas menggantikan Puduraya yang dibaikpulih itu. Sehingga kini Bukit Jalil menjadi sesak dan lecak oleh bas-bas. Janji Nur Jazlan hilang, dan dia sendiri diam tanpa berasa bersalah apa-apa atas janji palsunya. Kita menjadi hairan bagaimana Uda Holding dipengerusikan oleh seorang ahli politik yang tidak ada meritnya dalam profesionalisme pembangunan bandar. Tetapi masalah besar sebenarnya ialah tentang GLC di Malaysia yang ditadbir urus oleh ahli politik. Apakah merit yang digunapakai untuk ahli-ahli politik ini menduduki jawatan penting dan berpengaruh dalam GLC. NurJazlan adalah anak kepada Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat yang banyak berjasa kepada UMNO. Maka kerana jasa bapanya dan kedudukannya sebagai exco pemuda UMNO maka dia dilantik menjadi pengerusi Uda Holding. Maka merit yang terpakai di sini ialah merit politik. Merit politik yang menggantikan merit profesional inilah yang menghancurkan keberkesanan dan kecekapan tadbir urus GLC dan pembangunan negara. Seterusnya ia membentuk kembali 'rupa-rupa feudal' dalam wajah demokrasi yang pura-pura. Apakah yang akan dijawab oleh ahli politik ini apabila janjinya gagal dikotakan? Senyap dan melupakannya. Inilah hasil NKRA daripada merit politik.

Sunday, October 3, 2010

SINDROM MEDIOCRITY DALAM SASTERA

Sindrom mediocrity atau sindrom pertengahan yang menyelimuti masyarakat dan seterusnya melahirkan masyarakat mediocre turut merebak dalam dunia sastera pada hari ini. Masyarakat mediocre adalah masyarakat yang hidup dalam tanggapan yang palsu dengan meletakkan tujuan hidup mereka semata-mata untuk menjalani rutin, berfikir secara mudah atau simplistik, menurut, menerima tanpa soal, dan mengakhiri hidup dengan seadanya. Paling penting bagi mereka ialah mengelakkan kompleksiti dan menjalani rutin tanpa soal. Masyarakat mediocre ialah masyarakat mempunyai upaya yang sangat minimum untuk mencipta perubahan dan pembaharuan dalam kehidupan mereka. Selebihnya mereka menjadi masyarakat pengekor, penurut dan pembonceng kepada segala bentuk pemikiran serta perubahan yang dicipta atau dibawa oleh orang lain. Secara umum masyarakat mediocre melahirkan manusia berjiwa kecil, lumpuh pemikiran, tiada keberanian meneroka dan tiada keyakinan jatidiri. Mereka gemar mengambil jalan tengah iaitu jalan mudah kepada setiap perkara dan tidak mahu lagi menggunakan daya fikir yang serius.

Sindrom pertengahan dilihat mula merebak dan menjadi barah dalam masyarakat Malaysia pada hari ini. Kegemaran yang luar biasa terhadap hiburan kosong yang semata-mata memenuhi keriaan hati tanpa mempunyai motif kesedaran telah hampir melumpuhkan budaya tinggi yang wujud dalam masyarakat. Bermula dengan nyanyian dan muzik yang mencipta dunia hiburan kosong, ia merebak kepada filem, teater, budaya seperti dalam tarian, dan akhirnya dunia sastera. Filem Melayu hari ini telah memperlihatkan bagaimana sindrom pertengahan ini merosakkan mutu, nilai serta pemikiran yang sepatutnya wujud sebagai inti jatidiri bangsa. Sebaliknya filem-filem Melayu dipenuhi sampah sarap bahan-bahan picisan, simplistik, dan murahan. Tidak ada satu pun pemikiran besar yang dapat dikutip daripada filem-filem Melayu yang termasuk dalam senarai kategori kutipan pecah panggung (boxoffice) sejak hampir dua dekad terakhir ini. Ini memberikan indeks tentang rendahnya pemikiran khalayak penonton filem Melayu begitu juga pembikin filemnya, sekaligus memperlihat betapa kroniknya sindrom pertengahan yang sedang melahirkan manusia mediocre tersebut. Hal yang sama berlaku dalam seni persembahan yang lain seperti teater, muzik dan sebagainya. Tentu ada pengecualian terhadap hasil-hasil yang benar-benar bermutu tetapi ia sangat kecil dan tidak mempengaruhi pergerakan citarasa masyarakat mediocre ini.

Indeks terhadap tahap pemikiran masyarakat Melayu dapat dinilai secara umum daripada kegemaran (kegilaan) luar biasa terhadap hiburan kosong seperti rancangan realiti hiburan di kaca televisyen, karnival hiburan, isu sensasi picisan, dan bahan hiburan bercetak mahupun elektronik. Sementara revolusi teknologi maklumat yang mewujudkan laman sosial, simulacrum dunia maya, dan capaian maklumat tanpa sempadan memperlihatkan indeks tahap pemikiran remaja-remaja Melayu yang rendah. Semua ini menjelaskan betapa kritikalnya kelumpuhan nilai serta pemikiran dalam konteks masyarakat mediocre hari ini. Lebih malang sindrom pertengahan ini juga telah merebak dalam dunia sastera dekad mutakhir ini. Bermula dengan merebaknya novel-novel cinta popular yang ditulis untuk memenuhi citarasa perasaan dan khayalan palsu, ia kemudian merebak ke dalam penulisan sastera seperti cerpen, puisi dan novel sastera serius. Bahkan turut terkais dalam penulisan rencana, kajian serta kritikan sastera yang menyalin dan menerima pakai secara mudah pemikiran lain, khususnya keilmuan Barat.

Sebahagian sarjana sastera dan sasterawan mencari jalan tengah untuk berkompromi dengan bahan-bahan sastera ringan seperti novel-novel popular, dengan menerimanya sebagai hasil sastera. Ia tentunya tidak salah apatah lagi di atas alasan menarik dan meluaskan khalayak pembaca. Ia juga menjadi strategi yang baik untuk menarik masyarakat penggila hiburan kepada buku dan bahan bacaan. Sekurang-kurangnya dapat mendidik perasaan mereka kepada karya penulisan. Tetapi malangnya kompromi ini berjalan sehala dengan desakan untuk melahirkan karya-karya bersifat popular, ringan, dan klise menenggelami upaya untuk melahirkan karya sastera serius. Sastera akhirnya ditekan untuk menjadi bahan penulisan yang main-main demi menghiburkan pembaca mediocre, dan bukan lagi penulisan serius yang melahirkan pemikiran besar.
Maka ahli-ahli sastera (sarjana sastera mahupun sasterawan) yang turut terperangkap dalam sindrom pertengahan kehilangan upaya untuk menggerakkan perubahan dan pembaharuan. Bagi mengatasi ketidakupayaan mereka ini, ahli-ahli sastera mula bergerak ke belakang mencari kegemilangan lama dan akhirnya bertapak mundur mencari alam nostalgia Melayu daripada cerita sawah bendang, desa permai, konflik tradisi-moden, sengketa tanah pusaka dan segala bentuk nostalgia dari zaman abad ke-20 dahulu. Sekali lagi mencari alam nostalgia ini tidak salah, tetapi kesan akhirnya yang menutup dorongan untuk mencipta karya garda depan (avant garde) bagi meroboh konvensi dan status quo telah dibunuh secara klasik. Apabila karya sastera diarah untuk tinggal menetap terkurung dalam status quo sebegini, maka pemikiran-pemikiran baru tidak akan lahir. Lebih malang lagi secara perlahan-lahan (gradual) ia melahirkan dunia sastera yang klise, berjiwa kecil, nostalgik, dan terasing daripada masyarakat. Peranan sastera sebagai pemangkin nilai dan pencerna pemikiran masyarakat pupus. Sastera akhirnya wujud sama ada sebagai hiburan kosong ataupun arkaik klasik di muzium.

Sindrom pertengahan ini mempunyai kesejajaran dengan apa yang disebut oleh Malek Bennabi terhadap sifat masyarakat pasca-peradaban (post-civilized society) atau mujtama’ ba ’da al-hadarat. Beliau menyatakan tentang keadaan masyarakat yang cenderung untuk hidup dalam ’kekosongan’ (thingness), mengekor dan lumpuh pemikiran. Hidup di dalam ’kekosongan’ (atau tidak punya apa-apa) ini bagi beliau adalah akibat daripada keadaan masyarakat yang diserang oleh sindrom pertengahan, diikat oleh kegemaran berhibur dan tidak lagi mahu berfikir. Pada peringkat ini Bennabi menyetujui apa yang dikatakan oleh Ibnu Khaldun bahawa semakin besar (takdis) ikatan kebendaan dan pengejaran kepuasan untuk memenuhi kemewahan hidup membawa kepada kemerosotan rohani dan intelektual. Pada peringkat ini manusia berada dalam keadaan untuk hidup mengambil jalan mudah, fikiran ringan, dan rutin tanpa soal. Manusia dalan kategori ini menurut Bennabi, tidak lagi tahu untuk mencapai tujuan hidup mereka dengan tidak tahu titik mereka bermula dan tidak tahu titik mereka harus berakhir. Mereka menjadi ’titik yang tergantung’ dalam perkembangan sejarah dan peradaban. Malek Bennabi memberikan alegori manusia mediocre ini ibarat ’penggembala tanpa ternakan dan petani tanpa tanah serta bajak’. Manusia mediocre ini adalah manusia yang tercampak keluar daripada dimensi aktif peradaban atau disebut Bennabi sebagai al rajul al kharij min al hadara.

Malik Bennabi menyatakan masyarakat pasca peradaban yang terperangkap oleh sindrom pertengahan ini seperti air yang keluar dari tangki atau kolah yang tidak berguna lagi setelah membasuh kotoran. Ia tidak boleh masuk kembali ke dalam tangki, sepertimana manusia yang telah tercampak keluar tadi (al rajul al kharij min al hadara) tidak boleh lagi masuk ke dalam peradaban lantaran telah lumpuh pemikiran mereka. Maka mereka hanya mampu menjadi pengekor kepada sejarah dan bukan pencetus kepada sejarah. Sebenarnya Malik Bennabi merujuk keadaan ini kepada masyarakat Islam yang runtuh dan lemah setelah jatuhnya umat Islam ke bawah penjajahan Barat. Beliau mengkaji sejarah kejatuhan umat Islam dan melihat titik kejatuhan itu bermula apabila umat Islam yang hidup dalam kegemilangan perlahan-lahan mula lumpuh pemikiran dan kerohanian mereka oleh kerana terperangkap dalam sindrom pertengahan itu. Seterusnya mewujudkan umat Islam sebagai masyarakat mediocre, yakni hilang daya intelektual, moral, jatidiri yang menjadi penyangga tamadun Islam.

Banyak sebab yang mengakibatkan merebaknya sindrom pertengahan ini. Bahkan ia muncul dalam konteks dan milieu masing-masing. Sindrom pertengahan yang merebak di Malaysia, khususnya dalam masyarakat Melayu juga mempunyai sebab dan akibat daripada konteks ekonomi, politik dan sosial yang berlangsung dari dekad ke dekad. Namun sindrom pertengahan yang merebak dalam dunia sastera yang akhirnya melahirkan sastera mediocre adalah akibat daripada kegagalan ahli-ahli sastera mengembangkan sastera serius yang mengangkat pemikiran-pemikiran baru. Sepertimana yang disebut tentang kompromi terhadap citarasa pembaca, sifat populis, dan sentimen nostalgik telah menjadikan sastera Melayu semakin kecil dan lembik. Keberanian memberontak, melanggar konvensi dan meneroka pemikiran baru yang kompleks sering berbentur dengan elemen-elemen yang membentuk jiwa mediocre tadi. Ia akhirnya mendorong ke arah penulisan sastera ringan, popular ataupun sastera yang terperangkap dalam ketaksuban diri. Adalah keterlaluan untuk merendahkan penulisan sastera ringan dan popular atau nostalgik dan sebagainya itu. Namun membiarkan sastera Melayu reput dalam rumah kayu yang usang adalah suatu perkara yang tidak seharusnya berlaku.

Dalam mencari titik kekuatan sastera melalui pelbagai strategi termasuk berkompromi dalam bentuk-bentuk ringan dan popular, ahli-ahli sastera tidak seharusnya mengecilkan ruang kepada kehadiran sastera serius yang mengangkat pemikiran atau tema yang kompleks. Begitu juga dalam mencari jatidiri sastera melalui kecintaan terhadap alam tradisi tidak seharusnya menjadikan nostalgia dari era lepas sebagai titik kepada penilaian mutu sastera. Ini adalah kerana sikap yang berlebih-lebihan terhadap dua perkara ini hanya akan melahirkan sastera mediocre yang tidak memberikan ruang kepada perkembangan pemikiran serta bentuk yang baru dan kompleks dalam dunia sastera. Pemikiran yang kompleks sepertimana kata Malik Bennabi adalah permulaan kepada metodologi dan pemikiran saintifik yang menjadi asas kepada pembangunan tamadun. Sebaliknya sindrom pertengahan yang mengalah kepada tuntutan mediocre hanya akan membentuk peradaban kebendaan yang kosong (thingness civilization) atau disebut Malik Bennabi sebagai hadara shayiyya. Pembangunan prasarana intelektual melalui penulisan sastera yang serius, kompleks dan mengangkat pemikiran masa hadapan perlu menjadi keutamaan ahli-ahli sastera yang bijaksana pada masakini, sekaligus mengurangkan dominasi sastera mediocre yang semakin membarah dalam dunia sastera mutakhir.

Mingguan Malaysia, 26 September 2010