Dunia Tanpa Tirai
NEGARA DAN HEGEMONI
Gramsci mungkin bukanlah tokoh pemikir yang baik untuk dijadikan model dalam konteks nilai dan moral, khususnya dalam lingkungan dunia politik Malaysia. Ini adalah kerana pemikiran kirinya yang radikal dan banyak membentur nilai serta moral khususnya yang lahir daripada kecenderungan beragama. Namun fikiran Gramsci berkenaan negara dan rakyat memberikan sisi yang menarik juga dalam melihat suasana politik masakini.
Dalam model pertama Gramsci, negara disebut sebagai lokasi kekuasaan pemaksaan yang dibentuk melalui kekuatan militer. Di sini negara mengawal undang-undang dan pentadbiran keadilan dalam wilayah tertentu melalui lembaga perundangan yang membantu untuk membentuk ‘suatu masyarakat’ yang tunduk kepadanya. Hegemoni muncul dalam keadaan sebegini dengan wujudnya suatu kelas pemerintah yang berhasil mencapai tujuannya mewujudkan wawasan fundamental bagi keseluruhan masyarakat tersebut. Ia seterusnya melahirkan apa yang disebut sebagai ‘blok sejarah’ yang dicipta dan menyebabkan perubahan.
Lalu di sini dapat dilihat bahawa keunggulan suatu kelompok sosial wujud dengan dua cara. Pertama, sebagai dominasi daripada kepimpinan intelektual dan moral. Kedua, sebagai dominasi daripada kelompok antagonistik yang cenderung menyingkir dan menundukkan lewat tindakan militer.
Pemerintahan negara di tangan BN yang ditunjangi oleh UMNO sebenarnya bermula daripada cita-cita rakyat yang berasaskan pertimbangan yang baik dan mulia. Namun sepertimana yang disebut oleh Gramsci pemimpin dan rakyat mengembangkan hubungan yang saling menguntungkan sebelum atau semasa revolusi (baca: kekuasaan baru). Namun apabila sesudah berkuasa, hubungan antara pemimpin dan rakyat perlahan-lahan berkembang kepada hubungan kediktatoran. Ini yang berlaku apabila kepimpinan BN mula melahirkan satu demi satu wawasan fundamental bagi mewujudkan ‘suatu masyarakat’ yang tunduk kepada kekuasaan politik BN. Akhirnya masyarakat semakin dibentuk untuk menerima apa jua keputusan tanpa perlu lagi mempersoalkannya, apatah lagi untuk ikut terlibat dalam proses membuat sebarang keputusan tersebut.
Blok sejarah, iaitu peristiwa-peristiwa yang berkepentingan yang dimaktubkan sebagai fakta rasmi negara wujud sebagai teks utama masyarakat dalam melihat kewujudan negara – dicipta dan seterusnya digunakan untuk melakukan perubahan-perubahan baru dalam masyarakat. Peristiwa-peristiwa yang berkepentingan ini ialah peristiwa-peristiwa yang berkaitan kejayaan serta kebanggaan UMNO dan BN secara politikal – yang adakalanya dilebih-lebihkan – disebar dan dicetak dalam fikiran serta jiwa masyarakat sebagai buku besar kewujudan negara (Malaysia).
Pengukuhan kuasa seterusnya berlaku melalui dominasi ke atas kelompok lawan atau penentang dengan kecenderungan untuk melakukan tindakan menyingkir dan menundukkan lewat senjata ‘kekuasaan’. Kecenderungan untuk menyingkir dan menundukkan ini juga turut dilakukan ke atas rakyat bagi memantapkan kekuasaan fundamental BN. Dalam ertikata lain negara mula menjadi jentera paksa (coersive) dalam menundukkan kehendak politik rakyat. Wujudnya negara sebagai jentera paksa ini tidaklah berlaku sebagaimana situasi yang berlaku di negara-negara komunis mahupun negara diktator-tentera, tetapi ia wujud dalam bentuk apa yang disebut sebagai hegemoni.
Hegemoni ini dipantakkan ke atas rakyat dengan dominasi intelektual melalui pewujudan blok sejarah daripada sistem pendidikan; dominasi ekonomi melalui dasar-dasar ekonomi serampang dua mata – pembangunan negara dan pengukuhan parti pemerintah; serta dominasi masyarakat melalui lembaga perundangan yang dikuatkuasa oleh institusi kepolisan dan sebagainya. Dalam pada itu juga wujud subdominasi seperti penguasaan ke atas institusi media, institusi sosial, dan sebagainya. Hegemoni ini mencapai puncak atau kesempurnaannya bilamana bentuk-bentuk wawasan fundamental tadi akhirnya berjaya melahirkan ‘suatu masyarakat’ yang tunduk kepada negara (baca: parti BN).
Pemerintahan Mahathir lebih dua dekad telah menyaksikan hegemoni yang hampir sempurna ke atas rakyat Malaysia. Walau bagaimanapun hegemoni ini bukan semata-mata hanya boleh dilihat sebagai kesan buruk ke atas masyarakat. Tetapi sebarang pandangan juga harus berlaku adil untuk melihat kesan baik daripada hegemoni yang disempurnakan oleh Mahathir ini. Malaysia ternyata menjadi sebuah negara yang maju pesat ke hadapan dan dikenali di seluruh dunia. Malaysia telah mewujudkan wilayah masyarakat golongan menengah yang memberikan kekuatan ekonomi dan seterusnya kestabilan sosial yang amat baik. Maka hegemoni di sini juga telah melahirkan kesan-kesan baik kepada negara dan masyarakat.
Namun hegemoni yang menjadi semakin kuat lama-kelamaan mula mencengkam masyarakat sehingga masyarakat semakin kehilangan hak mereka sebagai pencipta negara. Masyarakat bukan lagi sebagai pencipta negara tetapi kini menjadi objek yang dicipta oleh negara. Menepati pandangan Gramsci bahawa negara hanya merupakan parit luar yang di belakangnya terdapat benteng dan kubu, maka benteng dan kubu tersebut adalah masyarakat. Negara melindungi masyarakat yang menciptanya. Namun apabila masyarakat menjadi objek yang dicipta oleh negara maka fungsi masyarakat berbalik menjadi parit yang melindungi benteng dan kubu. Negara bukan lagi menjadi pelindung kepada masyarakat sebaliknya, menjadi lebih buruk apabila berkecenderungan menjadi pemeras dan penindas masyarakat dalam menjaga kepentingan golongan yang berkuasa atau kelas dominasi.
Apa yang dilakukan oleh negara iaitu BN ialah usaha untuk membentuk ‘suatu masyarakat’ yang tunduk kepadanya. Maka hegemoni berlaku oleh wujudnya suatu kelas pemerintah yang memaksakan kehendak dan kepentingan mereka ke atas masyarakat. Pilihanraya kecil Permatang Pauh masih menyaksikan BN berusaha menggunakan sisa-sisa hegemoninya, namun keputusan yang terhasil membuktikan bahawa zaman kejatuhan hegemoni BN sedang berlaku. Perkara ini terjadi lantaran lumrah daripada sifat hegemoni itu sendiri yang berdiri atas kitaran kewujudan, perkembangan dan kejatuhan. Hegemoni adalah sebuah kitaran yang tidak mempunyai sifat kekal, bersesuaian dengan hubungannya terhadap kitaran kehidupan manusia – lahir, membesar, dan mati.
Apabila suatu bentuk proses hegemoni dimulakan, maka suis kitarannya secara langsung telah dihidupkan. 50 tahun telah berlalu, di atas rel ia lahir, membesar dan akhirnya kini sedang menuju kepada proses terakhirnya – iaitu mati. BN dan UMNO tidak mungkin dapat mengelakkan kitaran semulajadi ini. Melainkan mereka mengubah bentuk mereka kepada yang lain; khususnya menjadi entiti baru yang membuang segala jentera-jentera usang mereka.
Kelahiran sebuah kekuasaan baru mungkin sedang berlangsung. Sepertimana kitaran UMNO dahulu ia lahir dengan cita-cita masyarakat sebagai pencipta negara.
Mingguan Wasilah, 7-13 September 2008
Monday, September 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment