Wednesday, September 3, 2008

DUNIA TANPA TIRAI

PERMATANG PAUH DAN POLITIK LAMA

Memperhatikan situasi kempen yang berlaku dalam menghadapi pilihanraya kecil di Permatang Pauh, memperlihatkan cara dan gaya politik klise dari zaman yang telah lepas. Kaedah lama yang berulang kali digunakan terus diulang guna dalam kempen, khususnya oleh UMNO. Ia seperti kita melihat filem Rambo, Indiana Jones mahupun The Mummy yang berulang kali menayangkan klise pergerakan dan jalan cerita yang sama. Dalam filem-filem yang memprogandakan kewiraan Amerika ia memaparkan self (protagonis) adalah wira yang mempunyai segala kelebihan dan kemuliaan sementara the others (antagonis) adalah penjahat yang memiliki segala kekurangan dan kehinaan. Doktrin Self and The Others adalah doktrin lama para orientalis dalam menggambarkan dunia selain mereka (Barat) sebagai dunia yang liar dan penuh kegelapan. Maka kehadiran mereka yang sepertikan dewa penyelamat itu sahajalah yang akan membawa pencerahan kepada dunia-dunia yang gelap di alam semesta ini. Walaupun pada hakikatnya merekalah (Barat) dunia yang penuh kegelapan dan kejahatan itu. Memalsukan hakikat dan memutar belitkan fakta adalah sifat utama doktrin Self and The Others ini.

Kempen yang dijalankan oleh UMNO masih terkurung dalam kaedah dan gaya lama orientalis yang digunakan oleh tuan lama mereka, iaitu kolonial Inggeris. Ia berpaksikan doktrin Self and The Others yang mempropaganda secara polos watak wira dan lawannya. Wira diwatakkan seperti malaikat dan lawannya diwatakkan seperti syaitan. Inilah yang saban hari terlihat di media-media yang menjadi alat UMNO untuk menyebarkan propagandanya. Mengapakah UMNO tidak menggunakan media-media ini untuk fokus yang lebih rasional, seperti fokus ekonomi contohnya. Atau memperlihatkan secara objektif apa yang akan dilakukan oleh UMNO sebagai tunjang kerajaan dalam menghadapi kegawatan ekonomi dan politik melalui data dan fakta yang signifikan. Mengapa pula UMNO masih teruja untuk menggunapakai doktrin Self and Others yang anakronistis itu melalui sentimen-sentimen yang tidak ada kaitan dengan keperluan rakyat masakini?

Menggunakan kaedah dan gaya lama berulangkali, apatah lagi doktrin yang sudah ketinggalan zaman (anakronistis) boleh memakan diri UMNO. Mengulangi kaedah yang digunakan oleh Mahathir dengan isu liwat dan permainan sentimen Melayu tidak memperlihatkan kebijakan UMNO dalam berpolitik. Dalam isu liwat terdapat dua perkara besar yang akan memakan diri UMNO. Pertama, tindakan yang melampau-lampau hingga mempertontonkan kepentingan politik UMNO yang jelas akan menimbulkan rasa ‘diperbodohkan’ rakyat. Kedua, tindakan yang melampau-lampau itu juga menimbulkan rasa jelek dan benci orang Melayu yang memperlihatkan seolah-olah orang Melayu ini begitu keji sekali moralnya.

Tindakan Saiful melakukan sumpah laknat bukan sahaja dikatakan oleh beberapa orang ulama muktabar sebagai bertentangan dengan amalan Islam bahkan menurut beberapa pakar undang-undang juga boleh membawa kepada tindakan menghina mahkamah. Sumpah laknat dengan memegang al-Quran bukan sahaja menyamakan Islam dengan agama Kristian tetapi juga memperlihatkan pengaruh amalan bidaah masyarakat Melayu yang mewarisi kepercayaan daripada doktrin Hinduisme dan animisme, yang mempercayai sumpah dan benda-benda suci. Islam adalah agama rasional yang melihat kepada sifat logik dan objektif. Maka itu Islam meletakkan dalam perlakuan zina perlu adanya bilangan saksi yang tertentu, dan bukan hanya bersumpah sepertimana Sita melalui api untuk membuktikan kesuciannya, ataupun mengeluarkan darah putih seperti Mahsuri untuk membuktikan kesuciannya. Islam menolak sifat subjektif, kabur dan tahyul dalam melaksanakan hukum yang melibatkan pertimbangan masyarakat.

Membuktikan kebenaran harus mempunyai bukti dan saksi yang nyata. Sumpah bukan bukti dan saksi yang nyata, sebaliknya hanya pengakuan yang boleh sahaja dilakukan sewenangnya. Al-Quran juga bukan ‘benda keramat’ yang boleh mendatangkan musibah atau bala yang terpancar daripadanya. Sebaliknya Al-Quran adalah wahyu Allah s.w.t untuk dibaca, difahami dan diamalkan dalam kerangka syariah dan syariat. Al-Quran bukan diturunkan untuk menjadi ‘benda suci’ seperti berhala-berhala masyarakat jahiliyyah untuk disembah dan dikeramatkan. Sebaliknya Al-Quran adalah ilmu-ilmu dari kalam Allah yang membawa manusia berfikir serta mengamalkan kebijaksanaan rasional dalam menilai hubungan vertikal dan horizontal manusia-alam-Tuhan. Meletakkan al-Quran sebagai ‘benda atau alat’ untuk membuktikan kesucian seperti melakukan amalan memberhalakan al-Quran. Adalah lebih baik jika ‘pengsumpah’ tersebut membaca dan memahami isi al-Quran sepenuh serta sedalamnya daripada mengambilnya sebagai ‘seketul benda’ untuk dijadikan alat sumpah atau ‘benda yang dikeramatkan’ – tanpa memahami ilmu yang amat besar di dalamnya.

Malah jika benar-benar keikhlasan yang ingin ditampilkan, lakukan sahaja pada masa lain yang tidak memperlihatkan sebarang pertindihan dengan kepentingan politik. Sumpah boleh sahaja dilakukan selepas perbicaraan atau masa yang tenang untuk semua pihak. Mengapa dipilih saat berlangsungnya pilihanraya kecil hingga kelihatan begitu jelas untuk menjadikannya sebagai alat politik bagi menjatuhkan lawannya. Apakah tidak ada waktu yang lain lagi selain daripada sehari sebelum hari penamaan calon di Permatang Pauh itu?

UMNO harus berpaling daripada kaedah dan gaya politik lama yang memainkan sentimen-sentimen yang tidak berkaitan dengan keperluan rakyat. Apa kaitan dan perlunya sumpah liwat itu dengan kegawatan ekonomi sekarang? Apakah ia boleh menurunkan harga minyak atau menurunkan kadar inflasi yang melonjak seprti roket itu? Sentimen-sentimen ini akhirnya menjadikan camouflage (gebar selimut) UMNO untuk menutup hakikat ekonomi yang menyulitkan rakyat. Sedarkah kita akan harga ayam dan barangan keperluan yang meningkat dahsyat secara senyap-senyap sekarang? Apakah faedahnya sumpah liwat itu dengan rakyat dalam konteks kenaikan harga minyak dan barang keperluan sekarang? Jika tidak ada faedahnya, mengapa UMNO sibuk memainkan isu tersebut? Alangkah baiknya jika kempen UMNO dapat ditumpukan kepada tindakan yang memfokuskan kepada usaha-usaha memulih dan memperbaiki keadaan ekonomi yang sangat kritikal sekarang.

Di manakah sebenarnya berada golongan think tank UMNO sehingga UMNO tidak lagi mampu untuk melahirkan strategi serta tindakan politik yang bijaksana dalam menghadapi suasana politik sekarang. Apa yang kelihatan sekarang ialah bagaimana UMNO menyalin strategi dan tindakan politiknya daripada plat-plat lama yang sudah berulang kali dicetak. Suasana yang berbeza, khususnya dalam melihat kepada perimbangan kuasa politik pembangkang, kemerosotan kuasa politik BN, kegawatan ekonomi yang parah, dan suasana masyarakat yang sangat jauh berbeza – memerlukan UMNO membuat plat-plat strategi dan tindakan politik yang baru.

UMNO tidak boleh bergantung kepada plat cerita liwat yang digunakan pada zaman Mahathir atau plat sentimen Melayu yang diputar pada tahun 1970-an dahulu. Bahkan dari satu sudut, UMNO lah yang mengkhianati orang Melayu apabila menghapuskan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan Malaysia (10 tahun lagi bahasa Melayu akan terhapus dalam sistem pendidikan jika bahasa Inggeris terus memainkan peranan sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik). Sentimen Melayu dan ketuanan Melayu menjadi tidak berguna apabila pemimpin UMNO terus-terusan hidup dalam kemewahan dan kesombongan kuasa yang mereka perolehi dalam mempergunakan orang Melayu.

UMNO perlu segera menukar plat strategi dan tindakan politiknya jika tidak ingin melihat mereka menjadi kilang-kilang tua yang masih menggunakan teknologi ‘brick and mortar’.

Mingguan Wasilah, 31 Ogos – 06 September

No comments: