Thursday, October 9, 2008
SUATU HARI SEBELUM RAYA
Sehari sebelum hari raya aidilfitri syawal 1429 (1 september 2008), iaitu hari selasa 30 sept 2008, saya pergi menonton filem "Punggok Rindukan Bulan" (PRB)di Midvalley. Sebaik sahaja masuk ke panggung dan duduk menonton, saya terasa seperti Toto dalam Cinema Paradiso yang menonton filem-filem sebelum ia ditayangkan kepada orang ramai. Mengapa? Kerana panggung wayang itu hanya saya seorang sahaja yang ada untuk menontonnya. Tiada seorang pun penonton lain. Benar-benar hanya saya seorang sahaja. Dalam seumur hidup saya menonton filem di wayang,inilah kali pertama saya menonton seorang diri di dalam panggung wayang.
Pertamanya, semua orang sibuk balik ke kampung dan membuat persiapan hari raya, logiknya siapa yang nak menonton wayang pada hari terakhir puasa ini. Saya tidak ada kampung untuk balik, raya saya di Bangi dan Hulu Klang sahaja. Mudah. Persiapan hari raya pun sudah awal-awal selesai. Jadi saya lari sekejap pada pagi itu ke Midvaley untuk menonton PRB sebelum ia hilang dari panggung; dan sememangnya hanya inilah sahaja masa yang saya ada untuk menonton PRB yang ditayangkan hanya sampai Hari Raya Kedua itu.
Keduanya, PRB adalah filem seni dan bukan filem pop komersil seperti rempit, drif, cinta plastik, hantu dan sebagainya. Kualiti otak penonton Malaysia seperti yang sedia termaklum tidak mungkin mahu menghabiskan masa dan wang mereka untuk datang berfikir dan menikmati seni dalam filem. Filem bagi penonton Malaysia hanya tempat untuk berhibur dan berkhayal melihat hero dan heroin.
PRB, arahan Azhar Rudin dan diterbitkan oleh Amir Muhammad ini mungkin bukanlah filem seni yag terbaik, tetapi sekurang-kurangnya ia memberikan sebuah cermin tentang kehidupan masyarakat Melayu di penempatan rumah pangsa. Ia sebuah kehidupan yang tidak bercakap sebenarnya. Azhar Rudin mempunyai keyakinan yang tinggi kepada bahasa visualnya. Filem ini memperlihatkan stratafikasi kelas dan demografi sosial, khusus kelas masyarakat bawahan di bandar. Kehidupan sosial yang punah oleh kesempitan ekonomi; yang diakibatkan juga oleh sikap dan fatalisme watak-watak yang menyerah untuk hidup 'dalam kadar nasib mereka'. Filem ini amat menarik untuk melihat wajah masyarakat Melayu yang mengalami transformasi desa ke bandar, namun akhirnya jatuh terpinggir dalam sebuah kotak yang mengunci nasib mereka - kotak kehidupan asing yang menjadi normal akhirnya.
PRB sebuah filem kehidupan yang baik. Tetapi seusai menonton filem ini saya terasa seperti ada yang hilang dalam kehidupan yang bergerak dalam filem ini. Ia adalah sebuah kehidupan keluarga Melayu, tetapi masyarakat Melayu yang hilang amalan agamanya. Orang Melayu yang Islam harus sembahyang lima kali sehari, sekurang-kurang bersembahyang jumaat atau mengucap, berastighfar, tahlil dan tasbih apabila terkejut dan terketawa. Tetapi dalam filem ini semua itu tidak ada. Yang ada ialah orang Melayu yang Islam memancing beberapa hari dan beberapa malam di atas bot tanpa bersembahyang. Orang Melayu yang tidur tanpa sembahyang subuh. Mungkin filem tidak perlu menayangkan semua perkara remeh itu. Tetapi mengapa filem amerika latin yang hebat, filem thailand, filem filipina cukup bangga menayangkan amalam agama mereka?
Mungkin filem-filem Melayu tidak mahu beragama lagi. Atau masyarakat Melayu yang sudah tidak beragama lagi?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Ustazah saya di sekolah dulu pernah sebut bahawa filem Hindustan memaparkan realiti penganut Hindu yang wajar dicontohi. Sebagai contoh, seorang janda yang menderita sanggup berlari dalam hujan lebat dan berdoa di kuil serta berserah diri kepada Tuhannya. Hal ini menunjukkan kebergantungannya kepada Tuhan.
Baharuddin Kahar ada melukiskan watak Kinto dalam novelnya, Senjakala mengambil wuduk dan bersolat serta menziarahi kubur isterinya.
Wah, trajis sekali kerana menonton wayang sendirian. Bayangkan kalau bapak 'mati' dalam panggung tu, tiada siapa yang tahu. Lain kali bawa le pengiring sama.
Filem Melayu sebahagian besarnya dicipta untuk mengangkat bangsa lain. Dari satu segi maknanya mereka pengarah filem Melayu sedang berusaha membunuh jati diri dan ketamadunan bangsa. Itulah sebabnya saya lebih suka jalan-jalan cari makan daripada menonton filem Melayu. Nasib masih ada masakan Melayu lagi... kalau tidak, entahlah.... apa nak jadi.
Orang Melayu sebenarnya keliru antara menjadi seorang Melayu atau menjadi seorang Malaysia. Sedangkan 'seorang Malaysia' cumalah bayang di atas air, iaitu refleksi daripada kenyataan sebenar, kerana 'seorang Malaysia' tidak pernah wujud sebagai sebuah bangsa melainkan refleksi daripada kenyataan sebenar yang dikaburkan.
Post a Comment