PPSMI WUJUDKAN JURANG KELAS DAN POLARISASI KAUM
Sebuah komen yang paling bernas telah tersiar dalam sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris berkenaan isu PPSMI. Ia dibuat oleh Prof Dr. Rosnani Hashim dari Universiti Islam Antarabangsa. Berkongsi pengalaman yang sama Prof Dr. Rosnani melihat bahwa komen atau suara yang mempertahankan PPSMI dalam akhbar-akhbar Inggeris dengan gencarnya itu adalah datang daripada minoriti golongan menengah atas dan golongan atasan yang bercakap dalam sisi kehidupan mereka tanpa melihat secara praktikal kepada majoriti golongan bawahan dan luar bandar yang merana dan akhirnya tertinggal jauh akibat penggunaan bahasa Inggeris secara drastik dalam sistem pendidikan.
Minoriti golongan atasan ini berlindung di sebalik alasan yang myopic, iaitu kononnya keprihatinan mereka terhadap masyarakat luar bandar yang dinafikan untuk memperolehi peluang mahir dalam bahasa Inggeris. Alasan yang sama sekali tidak berasas dan lebih memburukkan nasib pelajar luar bandar ini dihujah dengan jujur dan konstruktif oleh Prof. Dr. Rosnani.
Beliau menyatakan bahawa sains dan matematik melibatkan konsep yang memerlukan penjelasan yang terang dan jelas untuk difahami, dan bukan hanya bergantung semata-mata kepada bacaan daripada buku teks. Ini bermakna pelajar yang tidak mahir dalam bahasa Inggeris (majoriti pelajar luar bandar) akan menjadi mangsa. Dalam pada itu bahasa Inggeris adalah bahasa yang memerlukan masa yang lama untuk dikuasai dan adalah sesuatu yang tidak masuk akal untuk mengharapkan majoriti pelajar luar bandar ini dan guru yang mengajarnya juga dapat menguasainya dalam masa enam tahun tersebut.
Perkara kedua ialah penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan hingga ke peringkat pengajian tinggi telah menjadi pengimbang dalam memastikan keseimbangan dalam struktur sosial. Ia telah berjaya melonjakkan golongan bumiputera dalam pencapaian pendidikan sekaligus mengimbangi jurang pencapaian sosial yang sangat besar sebelum pelaksanaan sistem pendidikan dalam bahasa Melayu itu. Sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu bermula pada tahun 1970-an ini telah melahirkan ramai teknokrat, profesional dan intelektual Melayu yang kemudian membentuk golongan menengah yang besar. Sekaligus menstabilkan masyarakat sehingga memunculkan Malaysia sebagai negara yang bersedia untuk menghadapi persaingan global.
Mahathir yang menghapuskan kepentingan perimbangan sosial dengan ‘membunuh’ bahasa Melayu sebenarnya bukanlah arkitek sebenar dalam membawa Malaysia menjadi negara yang terkemuka pada era 1980-an dan 1990-an. Sebaliknya Mahathir hanya mengeksploitasi infrastruktur yang telah sedia terbina kukuh oleh Tun Abdul Razak melalui dasar pendidikan kebangsaan yang menggunapakai bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar pendidikan itu, yang seterusnya berjaya melahirkan golongan menengah Melayu yang besar. Dengan adanya golongan menengah dan profesional Melayu yang dilahirkan oleh Tun Abdul Razak baik melalui DEB mahupun sistem pendidikan kebangsaannya, Mahathir hanya memetik suis untuk melonjakkan Malaysia ke hadapan.
Lantaran itu Mahathir secara jangka panjang adalah gagal dalam memahami kepentingan perimbangan sosial melalui alat yang selain daripada alat politik iaitu bahasa dan budaya. Ini terbukti dengan runtuhnya UMNO dalam PRU12 lalu, oleh kesan kegagalan-kegagalan lama Mahathir dalam melihat kepada formula perimbangan sosial melalui alat yang selain daripada alat politik. Mahathir hanya melihat kepada kuasa dan dengan itu melakukan tindakan yang semborono dan sewenang-wenangnya serta melanggar Perlembagaan Malaysia dalam memerintahkan pelaksanaan PPSMI dalam masa semalaman.
Tindakan Mahathir ini telah mengkhianati perjuangan Tun Abdul Razak dalam membina keseimbangan sosial dengan pengecilan jurang kelas dan polarisasi kaum melalui suatu bentuk sistem pendidikan yang menjurus kepada keutamaan kepentingan tersebut. Malangnya ‘penyelewengan’ terhadap perjuangan Tun Abdul Razak ini langsung tidak disedari oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang ‘buta’ oleh kekenyangan ekonomi termasuk anak Tun Abdul Razak sendiri. Al-fatihah untuk pemimpin yang disayangi rakyat – Tun Abdul Razak.
PPSMI akan kembali mewujudkan jurang kelas dan lebih buruk lagi polarisasi kaum, akibat daripada sistem pendidikan yang sememangnya secara nyata akan menjadikan 70 % pelajar luar bandar yang majoritinya terdiri daripada anak-anak Melayu akan keciciran. Dalam masa 20-30 tahun, bilangan golongan menengah akan mengempis oleh kadar keciciran pelajar-pelajar Melayu di luar bandar yang gagal bukan kerana kelemahan mereka tetapi kerana kesemboronoan dasar pendidikan yang tidak melihat kepada kemampuan infrastruktur dalam pelaksanaan PPSMI. Ia seterusnya mewujudkan jurang kelas kaya dan miskin yang sangat besar. Apa yang malangnya masyarakat Melayu yang masih merupakan masyarakat peripheral (pinggiran) dalam sistem ekonomi moden dengan demografi mereka bertompok di luar bandar akan menyumbang kepada peratusan besar golongan bawahan.
Sementara masyarakat bukan Melayu yang merupakan masyarakat centre (pusat) ekonomi moden yang bertompok di bandar-bandar akan menjadi golongan minoriti yang menguasai ekonomi dan puncak sosial. Masyarakat bukan Melayu yang sememangnya berada dalam pusat ekonomi moden dan menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa utama mereka akan lebih mengatasi masyarakat yang berada di luar pusat ekonomi moden dengan kadar berkali-kali ganda, dengan pelaksanaan dasar PPSMI. Dalam kata lain masyarakat centre ini akan mempunyai kelebihan besar oleh dasar pendidikan yang berat sebelah ini. Ini bermakna dasar pendidikan ini akan memberikan kelebihan kepada sesuatu golongan dengan menyingkirkan suatu golongan lain yang lebih besar. Ia akhirnya bukan sahaja mewujudkan jurang kelas tetapi polarisasi kaum yang akan menyumbang kepada ketidakstabilan sosial.
Dalam pada itu, seperti yang dinyatakan oleh Prof. Dr. Rosnani tindakan melaksanakan PPSMI ini secara langsung membunuh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang selama ini telah berjaya dibuktikan dengan susah payah dan perjuangan yang panjang melalui penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia dan diikuti oleh penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengajian tinggi di Universiti Malaya. Ia kemudian diikuti oleh IPTA yang lain. Mahasiswa-mahasiswa yang lahir daripada sistem pendidikan kebangsaan tidak mempunyai masalah pun dalam melanjutkan pengajian mereka dalam peringkat yang lebih tinggi di luar negara.
Dan kini setelah sistem pendidikan kebangsaan tersebut mencapai kejayaan, politik yang semborono datang untuk membunuhnya dengan sewenang-wenang oleh impian besar yang didorong peragaan keangkuhan kuasa. Propaganda dan pemahaman yang salah pula telah menyerbu hati rakyat tanpa melihat kepada kesan jangka panjang yang akan mengembalikan Malaysia kepada keadaan sosial yang tidak stabil oleh jurang kelas dan polarisasi kaum sepertimana wujud pada dekad 1950-an dan 1960-an.
Tindakan badan PIBG Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara yang melaksanakan kempen mempertahankan PPSMI haruslah dikecam oleh badan-badan dan persatuan yang prihatin terhadap kesan jangka panjang pelaksanaan PPSMI yang akan mewujudkan jurang kelas dan polarisasi kaum yang menyumbang kepada ketidakstabilan sosial. PIBG SKBD ini bukan sahaja dilihat berfikir dalam kepentingan kelompok yang sempit tanpa melihat kepada keupayaan majoriti masyarakat luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan infrastruktur pendidikan seperti mereka; tetapi juga menunjukkan sifat mementingkan diri tanpa melihat kepada kesan jangka panjang. Oleh itu adalah wajar PIBG SKBD ini dikecam oleh badan dan persatuan yang membantah PPSMI demi memelihara kepentingan umum.
Mingguan Wasilah, 26 Oktober - 1 November 2008
Friday, October 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment