Sunday, October 4, 2009





Buku Robert Ellwood ini banyak membanu dalam memahami fikiran di sebalik mitos.

Saya telah berjanji dengan seorang editor yang baik hati untuk menghantar tulisan esei dalam tajuk sastera bandingan. Saya memilih untuk menulis tajuk, "Mitos dan Agama dalam Bilangan Fu dan Bedar Sukma Bisu". Di sini saya memperbandingkan antara karya Ayu Utami dan Faisal Tehrani. Ada sisi yang menarik dalam kedua-dua karya ini. Bilangan Fu menggunakan mitos untuk menerapkan idealogi spiritual kritisnya atau dalam pemahaman saya ialah atheis-animisme. Sementara Faisal melahirkan mitos moden dalam konteks hero myth bagi menerapkan nilai dan prinsip Islam. Satu menolak agama dan satu memperjuang agama. Ia adalah sisi menarik dewasa ini dengan suasana manusia mengkritik agama atas dasar moderat dan sebagainya.

Tetapi ternyata tajuk ini amat berat. Saya membaca bahan-bahannya dan kemudian mula menulis pada bulan puasa lalu. Sehingga kini kepala saya berputar-putar untuk menghabiskannya. Saya tidak mahu menyesakkan keadaan dengan mencari simpati dan melahirkan mitos baru dengan menceritakan himpitan saya yang terkejar mengejar beban tanggungjawab lain. Tetapi ternyata ia memerlukan masa yang panjang untuk menyelesaikannya. Tentunya saya melakukan kerja pening ini bukan untuk kredit akademik, kerana ruang dan tempat saya bukan di situ. Tetapi ada keseronokan yang gila dalam diri dan kepala saya untuk menyumbat beban fikiran berat dalam kepala saya yang dungu ini. Ia memberikan kepuasan batiniah yang cukup melegakan, sekaligus menolak bahawa dorongan libido adalah faktor utama penggerak manusia. di sini libido ternyata tidak memainkan peranan , tetapi saya digerakkan oleh kemahuan akaliah dan kepuasan lahir dari katarsis di kepala dan hati, bukan katarsis di perut dan bawah perut.

Saya sebenarnya merehatkan otak yang memberat di kepala saya dengan merapu sekejap di blog ini. Sekejap lagi saya akan menyambung kegilaan yang digerakkan oleh kemahuan akaliah ini dan mencapai klimaks kepuasannya apabila pemikiran dapat disalurkan. Semakin saya menelusur tentang mitos semakin saya menyalahkan libido freud dan evolusi darwin. ada yang betul dalam determinisme moden itu, tetapi banyak skeptisme yang melompong di sana sini. Sebenarnya bagi saya, manusia yang menentukan bahawa libido atau gnosis yang menggerakkannya. Manusia yang menentukan dirinya mahu digerakkan oleh nafsu atau akal. Ia adalah Decartes dari mata yang terbalik.

Saya telah melangkaui tarikh yang dijanjikan. Sebulan telah melepasi deadline, saya tidak tahu sama ada ia masih dapat disiarkan atau tidak. Tetapi yang pasti saya terus menulisnya untuk memenuhi kepuasan gnosis-intelectus yang misteri itu.

2 comments:

sayuti said...

salam.

tulisan esei, "Mitos dan Agama dalam Bilangan Fu dan Bedar Sukma Bisu" dalam mjlh mana??

atau di surat khbar mana??

S.M. Zakir said...

dalam jurnal, nanti bagitahu bila dah terbit sekarang baru hantar, tak terbit lagi. dan tak tahu boleh terbit ke tak