Thursday, January 7, 2010

JANUARI 2010

Saya memulakan tahun 2010 Masehi tanpa banyak cerita. Terlebih dahulu tahun baru 1431Hijrah. 2009 Masehi dan 1430 Hijrah berlalu dengan ’keletihan’nya yang tersendiri. Saya terasa lebih ingin berehat dalam 2010 ini. Menulis dan membaca. Minggu akhir 2009 dan minggu awal 2010, saya banyak merayau sendirian. Jika ada masa saya merayau ke Megamall dan kadangkalanya ke KLCC. Tempat rutin saya kedai buku MPH atau Kinokuniya, food court dan GSC di Megamall atau TGV di KLCC. Kebetulan hujung tahun ini banyak cek tulisan dan bayaran ceramah masuk. Tak banyak dapat dikuis dari perbelanjaan keperluan yang berganda pada hujung tahun, tetapi cukuplah untuk membeli buku-buku.

Di Kino saya sempat membeli dua buah buku, Confessions of an Economic Hit Man oleh John Perkins – Lutfi mula menyarankannya kepada saya, dan saya mula berminat apabila membaca beberapa artikel tentang buku ini – dan For They Know Not What They Do oleh Slavoj Zizek. Saya mula tertarik dengan Zizek setelah membaca Violence. Saya terserempak Dr. Awang Azman dan Pak Samad di Kino. Kami sebentar berbual. Dua-dua buku yang saya beli ‘berat’. Jadi saya perlu berhibur untuk meringankan kepala saya. Saya melangkah ke TGV dan menonton Ninja Assasin, filem aksi yang menghiburkan walaupun mengulangi klise filem ninja sejak berdekad dahulu.

Pada suatu malam saya menonton Muallaf bersama isteri di GSC. Filem ini hancur dipotong sana sini. Ceritanya tergantung dan penyudahnya pun tergantung. Tetapi pemotongan telah menyelamatkan filem ini sebenarnya. Saya tahu versi yang ditayang di Singapura tidak sama dengan versi yang ditayangkan di Malaysia. Saya terganggu dengan banyak perkara. Penggunaan bahasa Inggeris dan propaganda pemikiran dalam filem ini menutup selera saya untuk menggemari filem ini. Saya menulis tentang Muallaf di Milenia Muslim. Tidak mahu saya menyebutnya di sini. Lusa menjalar ke pasar malam, beli dvd Mulan dan Jenifer’s Body. Mulan membosankan dengan epik kepahlawanan yang melankolik. Jenifer’s Body, trendy cerita pontianak Hollywood sekarang. Erotic dan seductive.

Selang seminggu saya ke MidValley. Terjumpa dan lantas membeli buku nostalgia Dilema Melayu oleh Mahathir Mohammad dan sebuah buku sosial mutakhir Multiethnic Malaysia: Past, Present and Future suntingan Lim Teck Ghee, Alberto Gomes dan Azly Rahman. Saya telah membaca Dilema Melayu lebih 20 tahun yang lepas. Saya sudah tidak ingat isinya. Saya membeli edisi terbaharu walau ada edisi lama terbitan 1970-an.

Ada masa sedikit, saya mencelah ke GSC, menonton Avatar. Filem yang menelan entah berapa ratusan juta dan mengutip bilion dollar. Saya tertipu dengan sebuah cerita kartun khayalan James Cameroon. Ceritanya mengulang faham orientalisme kuno, ’the white mens burdens’. Si Kulit Putih jugalah yang menyelamatkan kemanusiaan. Sehingga dalam ribuan orang asli atau tempatan itu Pemimpin Agungnya pun mesti manusia Barat. Seperti kata Saleeh Rahamad, hingga dalam hutan Amazon pun heronya Tarzan mesti orang putih. Cuma faham orientalisme kuno ini ditayangkan dalam bentuk cerita kartun James Cameroon.

Selesai menonton saya mencari makan di food court. Sambil makan saya membuka dan membaca Dilema Melayu. Pada ketika orang Melayu diasak oleh kepincangan politik para pemimpin mereka baik kerajaan mahupun pembangkang, dengan kaum bukan Melayu mengasak dengan kegilaan tuntutan persamaan, sehingga Islam juga dituntut sama dengan agama lain – buku ini memberi sentuhan yang baik tentang sejarah peribumi dan pendatang. Isu kalimat ’Allah’ boleh digunakan oleh Herald majalah Katholik Kristian sedang hangat. Saya telah menulis artikel dan menghantarnya tetapi tidak tahu disiarkan atau tidak. Membaca Dilema Melayu sangat menarik saat ini. Mahathir wajah paradoks yang sukar dikenali. Lebih menarik lagi, Mahathir melakukan semua apa yang dikritiknya dalam buku ini, apabila dia berkuasa. Dalam dunia pemikiran, Mahathir ialah ’sahabat dan musuh’ saya. Saya mengagumi sekaligus membenci pemikiran serta tindakannya. Manusia paradoks penuh politiking dan kejutan.

Saya berasa pening dengan semua ini. Menutup minggu awal Januari, saya ke DBP bertemu editor, rakan, cari majalah Dewan Sastera dan lain-lain. Akhirnya membeli buku Haji Murat karya Leo Tolstoy terjemahan Victor Pogadev dan Riwayat Mayta karya Mario Vargas Llosa terjemahan Nazel Hashim Mohamad. Buku Riwayat Mayta telah saya beli dahulu tetapi hilang ketika saya sedang ghairah tenggelam membaca Sumpah Tujuh Keturunan, Marquez (mungkin semasa pindah rumah). Saya ingin membaca buku cerita-sastera, berhibur dengan sastera di sela kehidupan yang letih dan berat dengan segala keseriusan.

Ini cerita-cerita masa senggang, ketika melilau melepaskan penat dan pening menyelesaikan kerja-kerja ’cari makan’.

Lagu M. Nasir, apokalips. Ada masa aku ingin berteman... ada masa aku ingin bersendiri. Saya lebih merasa , ’aku ingin bersendiri...’

5 comments:

Rusdi Abd Rahman said...

Tuan,
Ada kiriman 2 buah buku untuk tuan yang dialamtkan ke Rumah PENA dua hari lepas (Khamis - 6/1/10), kiriman itu sebagai tanda ingatan dari tanah hujung benua ini.

saleeh rahamad said...

Tampak murni perjalanan hidup sewaktu santai (santap dan melantai) ya pak. sudah lama tak berhibernasi ke tempat munajat di Masjid Sunan Ampel, terasa hati mengkal dengan harapan. bilalah ada peluang menghirup udara Pantai Losari, bumi Makassar.

lutfi said...

Pergh, bahasa sesama orang Bandung, syahdu, ambiguti, dan, rahsia. Haha

S.M. Zakir said...

sdr Rusdi, saya belum menerimanya lagi, mungkin sampai minggu depan. pos lambat sekrang sebab enjin jet dah hilang..

ya, tuan lama kita tak berhibernasi. tapi selalunya dia akan tiba tanpa dirancang. tunggulah tu..

Sdr lut, bahasa memang sifatnya abitrari dan ambiguiti, apa nak buat dah memang sifatnya he he

Sham al-Johori said...

salam
saya keliru....