Syabas diucapkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka khususnya Jabatan Sastera yang mengundang pandangan dan pendapat daripada penulis, editor dan penggiat sastera pada sesi dialog yang diadakan pada 22 Febrauri 2010 (semalam) di DBP. Keterbukaan DBP di bawah pimpinan Ketua Pengarah Baru untuk berdialog ternyata membuka ruang kepada hubungan baik antara DBP dan para penulis serta penggiat sastera. Tidak ketinggalan juga kepada Puan Hajah Zaiton Ajmain dan para pegawai di Jabatan Sastera yang sanggup turun meluangkan masa mencari kebaikan untuk dunia sastera.
Dialog hari itu berkisar kepada Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM). Saya tidak bermaksud untuk mengulas panjang tetapi ingin menarik beberapa pandangan yang cukup bernas dalam perbincangan tersebut. Seperti kata Nisah, HSPM adalah indeks atau petunjuk kepada mutu penulisan karya sastera. Maka apa yang lahir dari HSPM akan menjadi rujukan bukan sahaja kepada penulis tetapi juga kepada khalayak pembaca bahkan menyeluruh ke dunia sastera Malaysia. Tidak mustahil juga ia menjadi asas persepsi mutu sastera Malaysia di mata antarabangsa.
Dua masalah pokok dalam HSPM kali ini ialah, pertama; pengumpulan bahan atau pembahanan dan kedua, ialah mutu penilaian. Salbiah Ani bersetuju bahawa konsep HSPM ialah bukan bersifat pertandingan maka adalah suatu yang janggal apabila penulis perlu menghantar karyanya sendiri untuk dinilai. Saya sangat terkesan dengan poin Salbiah Ani yang menyatakan, "bagaimanakah dengan penulis yang bertungkus lumus menulis menyumbang kepada mutu dan perkembangan dunia sastera, hanya kerana mereka tidak menghantar karya mereka untuk dinilai, maka sumbangan mereka yang besar itu diketepikan begitu sahaja?". Ya hanya kerana ketidakmampuan teknikal yang remeh ini, maka karya-karya besar perlu dikesampingkan begitu sahaja? Saya sebagaimana majoriti yang hadir terus terang tidak bersetuju bahawa penulis perlu menghantar karya mereka untuk dinilai.
Sepertimana HSPM yang sebelum ini, Sekretariat HSPM DBP yang mengumpul dan menyaring bahan karya yang bermutu untuk dinilai. Ini dinyatakan sendiri oleh Hj Hamzah Hamdani tentang bagaimana sekretariat pada zaman beliau bekerja. Merekalah yang mengumpul setiap bahan sastera yang tersiar. Dari satu segi, saya tidak melihat bahawa ini adalah satu hal yang mustahil, kerana kita sudah tentu boleh menentukan karya-karya melalui media yang terpilih iaitu media perdana sastera kebangsaan contohnya Dewan Sastera, Dewan Budaya, Mingguan Malaysia, Berita Minggu dari sudut karya eceran. Tidak perlulah mengutip dari segenap media picisan dan hiburan yang tidak ada mutu sasteranya. Begitu juga dalam karya buku, sudah jelas mana penerbit yang menerbitkan karya sastera dan mana penerbit yang menerbitkan karya popular atau picisan. Sekretariat harus menumpukan kepada karya sastera yang benar-benar karya sastera. Apakah setelah 50 tahun kita masih tidak tahu membezakan antara karya sastera serius dengan cereka cinta popular dan karya picisan?
Kedua, soal para penilai atau panel hakim. Saleeh Rahamad memberikan pandangan yang cukup bernas tentang kelesuan panel hakim untuk melihat dunia kesusateraan Melayu yang menyeluruh dalam konteks anugerah iaitu pengiktirafan dan bukan pertandingan! Panel hakim atau penilai harus mempunyai stamina untuk membaca dan menguasai pengetahuan tentang karya sastera di Malaysia. Dalam HSPM baru-baru ini saya berpandangan bahawa panel penilai hanya melakukan kerja membaca dan menilai karya yang hanya diletakkan di atas meja mereka dan langsung tidak berusaha atau berupaya untuk melihat karya satera yang terhasil di luar meja mesyuarat mereka yang jauh lebih bermutu dari apa yang ada di depan mata mereka. Ini bermakna 'kepala' (maaf) panel penilai hanya melihat HSPM dalam konteks pertandingan iaitu karya yang diletak di dalam mata mereka, dan bukan konteks pengiktirafan iaitu karya-karya sastera yang lahir untuk mewakili pemikiran dan zamannya.
Ternyata kita tidak ada penilai yang serajin dan secanggih Allahyarham Dr. Othman Puteh dalam mencari karya yang bangkit membawa pemikiran yang mewakili zamannya. Dalam HSPM hari ini kita hanya mempunyai panel penilai yang lesu, sempit dan mencari kerja mudah dengan hanya berharap kepada karya-karya yang diletakkan di dalam mata mereka oleh sekretariat. Mereka langsung tidak berupaya untuk melihat dunia sastera yang menyeluruh dalam mengangkat prestij HSPM. Antara faktor kemerosotan HSPM baru-baru ini ialah faktor kelesuan dan ketidakupayaan panel hakim. Maka itu para penulis sekarang amat menunggu laporan panel hakim dalam melihat kekuatan karya yang dipilih dan rasional penilaian panel hakim. Saya juga amat-amat menunggu laporan penilaian panel hakim yang amat bijaksana ini. Jangan marah jika pahat saya akan terus berbunyi mengkritik laporan panel hakim ini, tentunya.
Akhir sekali saya amat tertarik untuk mengutip kata-kata Lutfi pada dialog tersebut, "Hadiah sastera perdana ini haruslah perdana sifatnya, karyanya adalah karya perdana, prestijnya adalah prestij perdana dan panel hakimnya juga haruslah tokoh yang perdana pemikirannya".
Untuk kali ini, kita pula yang harus bertindak untuk menilai para panel penilai HSPM ini!