Friday, May 9, 2008

BAHASA MELAYU ASAS NASIONALISME MELAYU

Nasionalisme melahirkan banyak definisi, merangkumi konsep tentang negara, bangsa, identiti dan ranah politik yang melunjur kepada kuasa dan penguasaan. Nasionalisme menjadi penyatu semangat menentang penjajah dan mencapai kemerdekaan. Nasionalisme menjadi doktrin penciptaan negara-bangsa dan asas kepada sistem politik negara. Nasionalisme juga menjadi asas pembinaan identiti dan pembentukan nilai kebangsaan. Namun begitu, perlu disedari bahawa nasionalisme juga mempunyai sisi-sisi gelap yang disekutukan dengan doktrin fasis superioriti bangsa, perkauman yang melegitimasikan doktrin chauvinistik, jiwa kepada agama sekular dan penyubur assabiyyah, dan juga penciptaan bangsa baru yang palsu.

Bagaimanapun sesebuah ideologi menjadi wajah dan jiwa yang berbeza apabila berada di tanah dan udara yang berbeza. Begitu juga dengan nasionalisme. Di Jerman nasionalisme yang muncul dalam zeitgeist dan volkstum sebagai penyatu menentang penjajahan politik dan budaya Perancis berbeza dengan nasionalisme di India yang muncul dengan kesedaran swaraj (kemerdekaan penuh) dari Bal Gangadhar Tilak dan gerakan satyagraha (tentangan tanpa kekerasan) Mahatma Ghandi terhadap penjajahan Inggeris. Begitu juga nasionalisme di Turki oleh Kamal Ataturk yang meninggalkan Islam tentunya berbeza dengan nasionalisme di Pakistan oleh Jinnah yang menginstitusikan Islam.

Begitu juga nasionalisme Melayu yang tentunya mempunyai wajah dan jiwa yang berbeza. Nasionalisme Melayu muncul oleh gerakan kebangsaan menentang Inggeris daripada gerakan doktrin kanan mahupun doktrin kiri, juga mempunyai definisi nasionalisme yang berbeza. Tetapi apabila Tunku Abdul Rahman, pemimpin UMNO yang pada 4 Jun 1955 mengisytiharkan UMNO yang menerajui PERIKATAN yang terdiri daripada pakatan bangsa Melayu bersama kaum Cina dan India memutuskan untuk menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara apabila Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan, ini bermakna nasionalisme Melayu telah menjadi asas kepada negarabangsa yang bakal wujud. Nasionalisme Melayu melihat kepada jiwa kebangsaan Melayu iaitu keperibadian daripada wilayah sejarah, geneologi, peradaban dan kesultanan Melayu yang membina kedaulatan Melayu di rantau Melayu ini.

Bahasa Melayu yang menjadi keperibadian utama ini menyatu dengan Islam, dan menjelaskan apakah itu bangsa Melayu. Maka itu, bahasa Melayu terus dilegitimasikan sebagai bahasa kebangsaan apabila sebuah negara-bangsa dibentuk di wilayah alam Melayu ini. Dalam konteks ini, nasionalisme Melayu menerima kepelbagaian agama dan bangsa tetapi asas kepada negara adalah berpaksikan ‘pusat keMelayuan’. Bahasa Melayu kemudian menjadi pengikat bukan sahaja kepada kontrak sosial tetapi juga kepada pembinaan masyarakat dan negara.

Mengapa bahasa Melayu?

Mungkin dialektik ini boleh merujuk kepada apa yang berlaku dalam konteks Bangladesh. Apabila Pakistan terbentuk pada tahun 1947, ia terbahagi kepada dua iaitu Pakistan Barat dan Pakistan Timur yang berbeza bukan sahaja dari sudut geografi tetapi juga budaya dan bahasa. Pada tahun 1948, bagi membentuk sebuah penyeragaman, kerajaan Pakistan yang dikuasai oleh pemimpin-pemimpin dari Pakistan Barat mengisytiharkan bahasa Urdu sebagai bahasa rasmi negara. Tindakan ini telah membawa kepada penentangan keras di Pakistan Timur yang mempertahankan bahasa Bengali (wujud sejak 1000 tahun Sebelum Masehi) sebagai bahasa rasmi mereka. Satu gerakan pelajar meletus pada awal Februari 1952 hasil daripada rentetan peristiwa penentangan terhadap bahasa Urdu sejak tahun 1948. Kempen pelajar yang menuntut bahasa Bengali sebagai satu daripada bahasa rasmi negara akhirnya menjadi tidak terkawal. Pada 21 Februari 1952, pertempuran meletus antara pelajar dan pihak berkuasa. Akibatnya sebahagian daripada pelajar terkorban. Pembunuhan pelajar oleh pihak berkuasa ini mencetus tentangan yang lebih besar dan hebat sehingga tertubuhnya Liga Awami, yang akhirnya menjadi organisasi politik yang menuntut pemisahan daripada Pakistan.

Gerakan Bahasa Bengali (Bengali Language Movement) atau Bhasha Andolon ini telah menjadi gerakan politik dan akhirnya mencetuskan perang pembebasan Bangladesh. Konflik ini berakhir dengan pengisytiharan kemerdekaan Bangladesh pada 26 Mac 1971 dan akhirnya kemerdekaan rasmi diperolehi pada 16 Disember 1971. Sebagai memperingati akan satu-satunya negara yang merdeka di dunia moden ini kerana memperjuangkan bahasanya, maka berdasarkan Gerakan Bahasa Bengali yang mencetuskan tragedi pada 21 Februari 1952 itu – 21 Februari diisytiharkan sebagai Hari Bahasa Ibunda Sedunia oleh UNESCO.

Melihat kepada konteks ini, bahasa menjadi pengikat kepada kebersamaan bangsa tersebut yang dalam masa yang sama adalah ciri keperibadian bangsa berasaskan hubungan kedaulatan dan kewilayahan bangsa. Maka itu ia menjadi asas kepada nasionalisme atau jiwa kebangsaan. Bahasa Bengali merupakan akar dari peradaban Dravidia 1000 tahun sebelum Masehi, yang muncul dari rentetan sejarah purba empayar Gangaridai pada abad ke-7SM. Wilayah Bengali ini kemudian menyerap ke dalam empayar Magadha, Maurya, Gupta hinggalah kepada Dinasti Pala-Buddha. Wilayah Bengal ini dikuasai Islam pada abad ke-12 di bawah Empayar Khilji dan kemudian Empayar Mughal India.

Hubungan kedaulatan dan kewilayahan leluhur ini menjadikan bahasa wujud sebagai asas kewujudan sesebuah bangsa, sebagai jiwa dan ruh kepada sebuah tubuh hakikat. Begitu juga dengan bahasa Melayu, ia wujud sebagai tubuh hakikat bangsa Melayu yang lahir daripada kedaulatan dan kewilayahan leluhur. Maka di sini bahasa Melayu adalah asas kepada nasionalisme atau jiwa kebangsaan Melayu.

UMNO dikatakan wujud daripada perjuangan nasionalisme Melayu, yang menyaksikan tokoh-tokoh UMNO disebut sebagai nasionalis Melayu iaitu pejuang kebangsaan Melayu. Tetapi apabila UMNO menolak bahasa Melayu dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik, di samping memperjuangkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kemajuan bangsa – di manakah sebenarnya nasionalisme UMNO ini?

Apabila bangsa Jerman melahirkan volkstum untuk mengungkap bahasa, budaya dan keperibadian Jerman sebagai penjana kemajuan bangsa, UMNO pula mencari bahasa, budaya dan keperibadian Barat sebagai ideal penjana kemajuan bangsanya. Bolehkah UMNO mengatakan bahawa ia adalah wadah dan bijana jiwa kebangsaan Melayu. Apatah lagi pemimpin UMNO lebih fasih, gemar dan banyak bercakap bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Melayu lagikah UMNO?

Masih perlukah lagi bangsa Melayu mempercayai mitos bahawa UMNO adalah pejuang dan penyatu bangsa Melayu?

Atau tidak adakah lagikah pejuang-pejuang Melayu di dalam UMNO yang boleh tampil memperjuangkan bahasa Melayu dan menafikan UMNO adalah mitos Melayu?

Benarkah orang-orang Melayu yang dikatakan maju ini sebenarnya lebih mundur jiwa kebangsaannya berbanding dengan orang-orang Bangladesh yang datang mencari pekerjaan di Malaysia?

Mingguan Wasilah, 27 April – 5 Mei 2008

No comments: