Saturday, May 24, 2008

POLITIK BARU DAN SEJARAH KOLONIAL

PRU12 sebenarnya mencatat satu sejarah perubahan besar dalam landskap politik di Malaysia. Ia memunculkan apa yang disebut sebagai Politik Baru. Politik Baru melibatkan perubahan topografi politik daripada politik berasaskan perkauman kepada politik berasaskan kelas. Selama 50 tahun sistem dan orientasi politik Malaysia berdiri di atas matlamat perimbangan dan kesaksamaan kaum yang menyaksikan kuasa politik diperolehi daripada kesetiaan serta sokongan yang bersifat perkauman. Pengkotakan kaum yang mengasingkan antara satu kaum dengan kaum yang lain ini menjadi landasan utama untuk mengekalkan kekuasaan politik. Parti-parti pembangkang yang muncul juga turut terperangkap di dalam gelung politik perkauman ini walaupun pada asasnya, ia ditubuhkan untuk memecahkan sistem politik perkauman.

Namun PRU12 telah menyaksikan parti pembangkang yang diterajui oleh PKR, PAS dan DAP telah berjaya – walaupun tidak sepenuhnya – memecahkan sistem politik perkauman ini dan seterusnya meruntuhkan institusi politik yang mendokong sistem politik perkauman tersebut. Kejayaan ini menjadikan titik tolak yang penting kepada kewujudan sebuah sistem Politik Baru, yang bertolak di atas landasan perimbangan dan kesaksamaan kelas.

Sejarah politik Malaysia merdeka sebenarnya adalah berhubung rapat dengan sejarah kolonial Inggeris yang mula bertapak secara rasmi di negeri-negeri Melayu selepas Perjanjian Pangkor 1874. Seperti yang diketahui titik mula sejarah kolonial ini tercatat pada tahun 1786 oleh pendudukan koloni pertama di Pulau Pinang. Kemudian Inggeris mendirikan sebuah lagi koloni di Singapura pada tahun 1819, dan seterusnya mendirikan sebuah lagi koloni di Melaka pada tahun 1826 hasil daripada Perjanjian Inggeris-Belanda 1824. Seterusnya Inggeris mewujudkan Negeri-negeri Selat yang ditadbirkan sebagai Tanah Mahkota atau Tanah Jajahan (Crown Colonies).

Penubuhan persekutuan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896 dan kemudiannya persekutuan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu pada tahun 1901 menyaksikan kolonialisasi Inggeris memperolehi pengaruh dan penguasaan yang mantap di Semenanjung Tanah Melayu. Bagi mengekalkan pengaruh dan kuasa ekonomi politiknya, Inggeris perlu melemahkan potensi penentangan rakyat peribumi iaitu Orang-orang Melayu terhadapnya. Dua bentuk pendekatan utama yang dilakukan oleh Inggeris ialah memperkenalkan sistem politik moden dengan penyerapan idealogi ‘kerajaan baik’ (good government). Sementara pendekatan kedua ialah memperkenalkan sistem ekonomi moden kapitalis-imperial.

Ideologi ‘kerajaan baik’ ini seperti yang dinyatakan oleh Collin Abraham ialah “good government on the one hand, and empire on the other’. Ia memperlihatkan usaha Inggeris menanamkan kepercayaan kepada rakyat peribumi (Melayu) tentang keupayaan luarbiasa Inggeris dalam mentadbir negara dengan penguasaan ilmu-ilmu dan struktur pentadbiran moden, sekaligus menyerapkan keunggulan bangsa Inggeris. Dalam masa yang sama keadaan ini dieksploitasikan untuk mewujudkan kompleksiti diri-kecil iaitu perasaan inferioriti peribumi Melayu terhadap diri mereka berbanding dengan bangsa kulit putih Inggeris. Dengan pendekatan penjajahan psikologi dan pragmatisme politiknya ini, Inggeris mencapai matlamat kebergantungan secara menyeluruh rakyat peribumi kepadanya.

Pendekatan kedua Inggeris ialah memperkenalkan ekonomi moden kapitalis-imperial, yang memberikan Inggeris alasan dan peluang untuk melemahkan penguasaan ‘daerah warisan’ peribumi Melayu dengan membawa masuk buruh-buruh imigran dari China dan India seramai-ramainya sehingga pada suatu ketika populasi imigran melebihi populasi penduduk peribumi. Kehadiran imigran ekonomi ini selain daripada menjana keuntungan kepada perdagangan Inggeris di Tanah Melayu, juga memberikan Inggeris peluang untuk melemahkan orang Melayu dengan menyediakan ruang konflik oleh kehadiran para imigran ini.

Bagi memastikan ruang konflik ini dapat dikekalkan dalam darjah yang tertentu, Inggeris melakukan tindakan secara sengaja untuk mewujudkan hubungan yang tidak selesa antara peribumi dan imigran. Inggeris memerlukan ruang konflik ini untuk mewujudkan suasana kebergantungan peribumi dan imigran kepadanya, seterusnya menyediakan sebuah ruang penguasaan yang selesa kepada Inggeris. Ini adalah kerana suasana konflik peribumi dan imigran menjadikan setiap pihak curiga-mencurigai, bermusuhan serta melihat perbezaan sebagai ancaman besar terhadap hak keperibadian masing-masing, dan akhirnya menjadikan kedua-dua pihak meletakkan diri mereka dalam perlindungan politik Inggeris.

Kedua-dua pendekatan politik dan ekonomi ini kemudiannya diarahkan kepada usaha bersepadu Inggeris untuk mewujudkan apa yang disebut sebagai antagonisme etnik (ethnic antagonism). Keadaan ini merupakan pengacauan atau eksploitasi Inggeris terhadap hubungan kaum peribumi-imigran berlandaskan doktrin self-others yang menjadikan setiap etnik melihat etnik yang lain sebagai ancaman bukan sahaja terhadap hak, budaya, agama dan survival mereka tetapi juga punca kepada segala kegagalan serta nasib buruk mereka. Hal ini melahirkan stereotaip etnik (ethnic stereotype) yang saling melihat wajah buruk sesama mereka dalam hubungan etnik yang sentiasa mempunyai potensi konflik.

Stereotaip etnik ini menjadi cara membentuk prinsip pemerintahan dan kawalan kuasa oleh Inggeris. Kepentingan ekonomi-politik Inggeris memerlukan buruh murah serta golongan comprador (penguasa kaum yang mewarisi mentaliti penjajah) dan kerajaan yang mementingkan kutipan cukai serta keuntungan dagang lebih daripada integrasi sosial. Bahkan demi untuk mencapai matlamat keuntungan material, kolonial Inggeris yang didokong oleh golongan comprador ini mengorbankan malah menindas golongan rakyat bawahan yang dipimpin mereka. Intergrasi sosial adalah satu ancaman kepada kekuasaan kolonial-comprador ini, kerana ia memungkinkan lahirnya potensi untuk golongan yang tertindas ini bersatu, menjadi kuat dan akhirnya menentang kelas penguasa dan atasan yang menindas mereka.

Dengan adanya pengkotakan kaum iaitu sebuah dasar ‘compartmentalisation’, yang menjadikan setiap etnik atau kaum itu mewujudkan potensi konflik antara mereka, Inggeris dapat menjadikan diri mereka sangat kuat dan kelas bawahan yang diperlukan mereka sebagai alat pengeluaran itu sangat lemah dan sangat bergantung kepada Inggeris. Kaedah ini menjadi asas kepada legitimasi Inggeris dalam menegakkan kuasa kolonial mereka (fundamental legitimation for colonial rule).

Orde Politik Lama yang diwakili oleh kuasa politik Perikatan yang kemudiannya bertukar kepada Barisan Nasional sepanjang lima dekad sejak kemerdekaan Malaysia ini, sebenarnya adalah suatu bentuk legitimasi kuasa berasaskan antagonisme etnik yang diwarisi daripada sistem kolonial Inggeris – yang bergantung kepada ruang konflik antar-kaum untuk mewujudkan kuasa politik mereka. Dan apabila ruang konflik antar-kaum ini tidak lagi wujud, maka institusi politik yang berdiri sepanjang lima dekad itu akan turut hancur. Hal inilah yang sekarang dihadapi oleh Barisan Nasional dan ia bukan lagi sesuatu yang membimbangkan tetapi adalah gelombang besar yang akan memusnahkannya.

Namun balikan daripada itu, suatu gelombang bahaya hasil daripada counter attack politik orde lama ini yang cukup mengkhuatirkan kedirian Politik Baru ialah penjanaan besar-besaran sentimen perkauman, yang akan kembali menghidupkan antagonisme etnik yang cukup memudaratkan itu. Kerana usaha ini merupakan tindakan terdesak dan tindakan terakhir orde politik lama untuk berjuang bagi nyawa mereka.

Mingguan Wasilah, 18-25 Mei 2008

No comments: