Wednesday, June 4, 2008

MAHATHIRISME MENGAKAR DALAM UMNO

Apabila Mahathir menyatakan keputusannya untuk keluar dari UMNO sebagai usaha untuk ‘memaksa’ Abdullah Badawi meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, maka terlihat peragaan ‘Mahathirisme’ dalam dunia politik UMNO. Mahathirisme adalah manifestasi pemerintahan autokratik-despotik Mahathir selama 22 tahun pemerintahannya. Walaupun Malaysia dikatakan muncul sebagai ‘harimau ekonomi’ di rantau Asia Tenggara semasa era pemerintahan Mahathir, tetapi pada hakikatnya kemunculan suasana ekonomi yang memberangsangkan itu perlu dibayar dengan kos yang sangat tinggi oleh rakyat Malaysia. Ini adalah kerana era pemerintahan Mahathir yang menjayakan agenda ekonomi tersebut adalah dengan pendekatan autokratik.

Mahathir ‘membunuh’ bukan sahaja suara rakyat bahkan juga suara oknum-oknum UMNO yang dilihat Mahathir mempunyai potensi untuk menyainginya. Sepanjang pemerintahan Mahathir; media, pelajar dan rakyat keseluruhannya diletakkan di bawah kawalan yang despotik sifatnya dengan pelaksanaan pelbagai macam akta yang ‘mengugut dan mengancam’ secara submissive. Dalam pada itu Mahathir juga dilihat mengamalkan kronisme dan nepotisme yang berleluasa, di samping amalan rasuah yang berlaku bersimpang siur. Di sinilah wujud doktrin Mahathirisme yang dibangunkan di atas beberapa kerangka seperti: Pertama, melahirkan golongan kapitalis Melayu yang menjadi peneraju masyarakat dan seterusnya mampu menjana kekuatan ekonomi-politik UMNO. Kedua, kepercayaan darwinisme sosial iaitu bangsa yang lemah dan kalah akan terserap atau diasimilasi dalam budaya dan sistem masyarakat bangsa yang kuat (konsep survival of the fittest). Ketiga, melonjakkan dasar liberal, sekular dan ekonomi pasaran bebas dalam setiap kehidupan masyarakat sehingga akhirnya menjadikan nilai, norma dan aturan agama terdahulu sebagai sesuatu yang perlu direkonstruksi.

Dalam melahirkan golongan kapitalis Melayu, Mahathir lebih melihat kepada kepentingan survival kuasanya. Maka pembentukan golongan kapitalis Melayu lebih menjurus kepada amalan kronisme dan nepotisme yang berleluasa. Golongan kapitalis Melayu yang dibentuk pada era pemerintahan Mahathir diacu untuk menjadi tiang kepada Mahathirisme, yang menyangga dasar kapitalis-liberal dan ideologi terhadap kekuasaan wang dan modal yang didoktrinkan di dalam pemikiran orang Melayu dan masyarakat Malaysia keseluruhannya. Maka kemunculan golongan kapitalis Melayu pada era Mahathir lebih kepada matlamat pengukuhan kuasa UMNO secara eksklusif dan bukannya membangunkan ekonomi orang Melayu secara per se. Oleh itu DEB di bawah tangan Mahathir memperlihatkan jurang ekonomi yang besar antara golongan elitis tajaan UMNO dan golongan masyarakat Melayu bawahan.

Sementara kepercayaan kepada hukum darwinisme sosial Mahathir memperlihatkan beberapa dasar yang menentang bukan sahaja asas nasionalisme Melayu seperti perjuangan bahasa Melayu dan Islam, bahkan menghina ruh Perlembagaan Malaysia. Mahathir melihat satu-satunya jalan untuk membangunkan bangsanya ialah dengan melaksanakan ‘renaisans’ yang mengasimilasikan bangsa Melayu ke dalam kerangka besar pemikiran Barat. Maka itu kemajuan yang dibina Mahathir akhirnya membunuh bahasa Melayu, membunuh tradisi yang menjadi metanaratif bangsa Melayu, dan membunuh keperibadian nasionalisme Melayu. Mahathir tidak pernah percaya bahawa bangsa yang kuat itu lahir daripada keperibadian jati yang kuat, sebaliknya meyakini bahawa sesuatu bangsa itu boleh menjadi kuat hanya dengan berasimilasi ke dalam tubuh bangsa lain yang lebih kuat.

Akhir sekali Mahathir mempercayai bahawa dasar liberal, sekular dan pasaran bebas akan melepaskan bangsa Melayu daripada ikatan agama, tradisi dan nilai-nilai autentik yang dianggap Mahathir sebagai punca kemunduran. Tanggapan Mahathir ini bersamaan dengan tanggapan Mustafa Kamal Ataturk dalam pembinaan negara sekular moden Turki. Islam dilihat Mahathir sebagai tafsiran dan pemahaman semula melalui raison d’etre dan bukan lagi agama yang menyatukan semua urusan kehidupan sebagai addin atau tassawur al-kulli. Mahathir lebih mendukung prinsip sekularisme, dan akhirnya bergerak untuk membentuk norma dan nilai baru yang sejajar dengan gerakan ekonomi pasaran bebas. Era Mahathir menyaksikan hedonisme mencapai kemuncak yang sangat menakutkan.

Tiga kerangka Mahathirisme ini bukan sahaja membentuk sebuah negara serta masyarakat baru yang sekular, liberal dan merkantil (merchantile), tetapi juga melemahkan kapasiti intelektual dan potensi kritis masyarakat sehingga akhirnya jadi lumpuh dan tunduk kepada autokratisme Mahathir. Mahathirisme menukarkan bukan sahaja wajah fizikal Negara dan rakyat Malaysia tetapi juga ruang psikologikal yang membentuk set-set baru di dalam struktur pemikiran dan kepercayaan sebahagian besar masyarakat Malaysia. Mahathirisme adalah penciptaan sebuah bangsa Malaysia yang berpaksikan ideal sekularisme, liberalisme serta kapitalisme secara autokratik dan despotik.

Ternyata Mahathir menjadi badut yang melucukan apabila mengatakan UMNO sekarang ini tidak lagi demokratik, menghalang kebebasan bersuara dan mengamalkan rasuah politik. Apa yang dikatakan Mahathir itu adalah amalan-amalan yang dibentuk secara kukuh dan perkasa dalam era pemerintahannya sendiri. Mahathir terus-terusan meludah, dan ludahnya itu terus-terusan menimpa dan membanjiri mukanya sendiri.

Begitupun keluarnya Mahathir dari UMNO, seperti yang dikatakan oleh Musa Hitam ‘sudah tercabut duri dalam daging’ pada hakikatnya tidak semua duri itu telah tercabut. Mahathirisme dilihat masih kuat berakar dalam UMNO dan bila-bila masa boleh bangkit untuk menjadi perkasa kembali. Sentimen-sentimen yang muncul dalam UMNO sekarang ini, sebahagiannya adalah usaha-usaha untuk memperkuatkan kembali doktrin Mahathirisme iaitu mengulang pelaksanaan dasar-dasar politik yang autokratik dan despotik yang kononnya untuk membina keperkasaan bangsa Melayu, tetapi pada hakikatnya adalah usaha untuk menjana kembali kekuatan elitis-eksklusivisme UMNO.
Jika UMNO benar-benar jujur untuk membina perjuangan untuk rakyat dan bangsa Melayu khususnya maka sisa-sisa Mahathirisme ini harus pasti dicabut habis-habisan. Maka ia tentunya suatu perkara yang sukar, kerana barisan kepimpinan UMNO yang ada sekarang ini – dari peringkat tertinggi hingga ke peringkat pemuda – adalah produk daripada Mahathirisme.

Mingguan Wasilah, 1-7 Jun 2008

1 comment:

benuasuluk said...

Salam,
saya dah cakap, sama macam komunis jer.