Friday, June 6, 2008

POLITIK BARU DAN BERAKHIRNYA ERA POLITIK LAMA

Apabila sesebuah era itu akan berakhir, tanda-tanda yang jelas akan terpampang. Antaranya perpecahan dan pertelagahan yang mencetuskan suasana tidak harmoni muncul di dalam institusi yang menerajui kuasa pada era tersebut. Peralihan keyakinan dan sokongan yang memecahkan status qou serta kemunculan persepsi baru sebagai penjana gelombang baru dalam masyarakat. Dan akhir sekali ialah kehilangan autoriti kepimpinan dalam masyarakat. Era Politik Lama di Malaysia ditandai dengan penguasaan menyeluruh institusi yang berasaskan perkauman. Ia melewati segenap cabang kehidupan sehingga segala sistem dan struktur yang membina negara serta bangsa itu digerakkan di atas landasan perimbangan dan kesaksamaan kaum. Mungkin dalam suasana atau era tersebut sistem serta struktur sebegini merupakan formula terbaik dalam membina sebuah negara bangsa yang muncul daripada ikatan kepelbagaian kaum. Namun perubahan masa serta kemunculan suasana baru menjadikan sistem yang diterimapakai dahulunya menjadi usang dan tidak bersesuaian lagi, bahkan terlempar ke dalam sifat anakronistis (tertinggal atau terasing daripada zaman).

Apa yang menimpa Barisan Nasional (BN) hari ini ialah kesan daripada perubahan yang memunculkan suasana baru sehingga amalan politik perkauman yang menjadi asas serta punca kuasa kepada BN menjadi tidak berguna lagi. Akibatnya BN menerima kekalahan terbesar dalam sejarah penguasaan politik lima dekadnya. Dalam pada itu hal ini turut memperlihatkan akan kemunculan era Politik Baru Malaysia yang berasaskan kesaksamaan dan perimbangan kelas menamatkan era Politik Lama. Berakhirnya (atau tanda-tanda hampir berakhirnya) era Politik Lama ini ditandai dengan hal-hal yang sepertimana yang disebutkan tadi, iaitu perpecahan serta pertelagahan di dalam UMNO iaitu parti teras dalam BN dan juga parti-parti komponen terbesar BN iaitu MCA dan MIC. Bermula dengan UMNO kini ia merebak kepada MCA dan tidak lama lagi akan merebak kepada MIC.

Berlakunya peralihan keyakinan dan sokongan rakyat yang memecahkan status quo mengakibatkan pudarnya penguasaan BN yang menyaksikan undi rakyat pada PRU12, BN kalah di lima negeri. Secara langsung pelanggaran atau perubahan status quo ia berkait dengan kemunculan persepsi baru yang menjadi penjana gelombang perubahan suasana politik di Malaysia. Kesan terakhir yang terlihat ialah hilangnya autoriti kepimpinan BN dalam masyarakat di Malaysia. Ini semua ialah tanda-tanda kepada berakhirnya sebuah era.

Era Politik Lama yang berasaskan antagonisme kaum (etnik) ini diwarisi daripada struktur dan sistem tinggalan kolonial Inggeris. Inggeris mula melaksanakan tindakan penguasaan secara halusnya (indirect rule) ke atas wilayah politik orang Melayu di Tanah Melayu ini dengan mengadakan satu bentuk transformasi sosial – daripada masyarakat homogenus yang berpegang kepada warisan tradisi kepada masyarakat moden pelbagai kaum yang diikat oleh model pengeluaran kapitalis (capitalist mode of production). Dalam ertikata lain kepelbagaian masyarakat yang diikat oleh fungsi dan faktor ekonomi kapitalis-imperialis.

Transformasi sosial ala-kolonial ini telah mewujudkan polarisasi kaum, yang menyaksikan wujudnya ruang konflik antara masyarakat peribumi dengan masyarakat imigran yang dibawa masuk oleh Inggeris. Bangsa Melayu beserta kaum Cina dan India secara majoritinya merupakan masyarakat agraria feudal. Maka transformasi ini menyaksikan berlakunya usaha Inggeris untuk membawa masyarakat agraria feudal ini kepada masyarakat moden politico-economic.

Dalam mewujudkan sebuah masyarakat moden tersebut Inggeris menjalankan dasar ‘pecah dan perintah’ dengan mewujudkan sifat antagonisme dalam kotak-kotak kaum ini. Apa yang dilakukan oleh Inggeris dalam melaksanakan dasar indirect rule ini ialah meletakkan setiap bangsa dan kaum itu dalam keadaan naif dan lemah secara fizikal dan mental. Secara fizikal bangsa dan kaum di Tanah Melayu itu dijadikan tidak berupaya dari segi ekonomi dan politik sehingga mewujudkan sifat kebergantungan kepada Inggeris secara in toto. Secara mental atau psikologi pula masyarakat pelbagai bangsa dan kaum ini diletakkan dalam keadaan yang terhimpit dan hilang keyakinan diri-merdeka oleh ‘sifat-sifat’ yang dibentuk oleh fungsi ekonomi moden kapitalis-imperialis di samping dengan sengaja menyediakan ruang konflik antara satu sama lain.

Semua bangsa dan kaum ini diletakkan dalam keadaan yang ‘menderita’ sehingga mewujudkan sifat kebergantungan secara in toto kepada kolonialisme Inggeris itu. Orang Melayu menderita kehilangan kuasa politik atau berlakunya apa yang disebut sebagai political disenfranchisement, peminggiran ekonomi (economic marginalisation), dan keterasingan daripada modeniti yang menjadi struktur besar masyarakat baru yang dibentuk oleh kolonialisme ini. Sementara orang Cina dan India dibawa masuk dan diletakkan dalam keadaan miskin, daif dan tahap kesihatan yang buruk (kecuali segelintir comprador dan pemodal yang membantu Inggeris). Orang Cina hidup dalam dunia ‘survival of the cheapest’, iaitu memberikan tenaga termurah untuk lombong-lombong Inggeris dan golongan kapitalis. Sementara orang India hidup tanpa harapan untuk melebihi apa yang ada di samping ditekan pula oleh kolonialisasi dalaman (internal colonialisation) oleh tradisi politik-imperialis dari tanah besar India.

Kolonialisme dalam polisi ‘pecah dan perintah’ ini menyerapkan prinsip ‘consciuosness of kind’ iaitu memastikan survival setiap orang dan etnik itu berjuang berdasarkan ruang kepentingan etnik masing-masing. Dalam ertikata lain setiap etnik bergelut dalam lingkungan kehidupan perkauman yang sempit. Bangsa asal dan teras di Tanah Melayu iaitu orang-orang Melayu terus dilemahkan demi untuk menutup kesedaran politik mereka. Orang-orang Melayu ini ditutup peluang dan dipinggirkan dalam mobiliti sosial untuk mengekalkan mereka sebagai petani dan nelayan yang menyediakan logistik makanan serta keperluan asas untuk kuasa kolonial Inggeris. Hasil daripada polisi yang membentuk sistem politik dan ekonomi moden-imperialis ini, Inggeris mengecapi kemewahan daripada penindasan melalui pengkotakan kaum yang dibentuknya. Dalam kata lain Inggeris melalui dasar kolonialisasinya mengecapi apa yang disebut sebagai, ‘icing on the racial polarisaton cake’ (Collin Abraham, 2004).

Selama 50 tahun selepas merdeka, legasi kolonial Inggeris ini hidup dan mewarnai suasana politik di Malaysia melalui penguasaan politik berasaskan perkauman yang diamalkan melalui pakatan BN. Pemimpin-pemimpin tempatan telah mengambil tempat kolonial Inggeris dan mengecap kemewahan daripada ‘racial polarization cake’ itu sehingga tiba pada hari bersejarah titik permulaan berakhirnya era Politik Lama.

Titik ini walaupun masih awal tetapi telah cukup untuk mewujudkan sebuah ruang Politik Baru – yang sedang memulakan pemetaan baru dunia politik Malaysia.

Mingguan Wasilah, 25-31 Mei

No comments: