Thursday, June 19, 2008

LOGIK EKONOMI DAN LOGIK RAKYAT

Dunia Tanpa Tirai

Tiada isu yang lebih besar ketika ini melainkan isu kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen iaitu kenaikan 40% daripada harga sebelumnya iaitu RM1.92 seliter. Harga disel turut dinaikkan sebanyak RM1 kepada RM2.58 seliter daripada RM1.58. Kenaikan harga yang diumumkan secara mengejut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada petang rabu 4 Jun 2008 itu merupakan kenaikan yang cukup drastik dan tragik kepada rakyat. Menurut Abdullah, langkah ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk membawa harga bahan api di Malaysia ke arah harga pasaran sebenar. Maka penentuan harga petrol dan disel sekarang akan ditetap berdasarkan kepada harga bahan api di pasaran dunia. Untuk meringankan beban kepada rakyat, kerajaan mengekalkan langkah memberikan subsidi iaitu memberikan diskaun sebanyak 30 sen bagi setiap liter minyak. Jika harga minyak di pasaran dunia turun, penyelarasan akan dibuat sebulan sekali, tetapi kadar diskaun 30 sen itu akan tetap diberikan.

Dalam pada itu rebat tunai sebanyak RM625 setahun diberikan kepada pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta trak pikap dan jip berkapasiti 2500cc. Pemilik motosikal berkapasiti sehingga 250cc juga mendapat bayaran tunai sebanyak RM150 setahun. Selain daripada itu beberapa langkah yang menjurus kepada pengurangan beban rakyat turut dilaksanakan seperti pengurangan cukai jalan untuk kenderaan kategori tertentu, penetapan harga disel untuk nelayan, dan kadar cukai perkhidmatan restoran. Langkah-langkah kerajaan ini merupakan pelaksanaan strategi serampang dua mata iaitu selain daripada membantu meringankan beban rakyat dalam menghadapi ‘bencana ekonomi global’ juga membentuk penjimatan subsidi sebanyak RM13.7 bilion yang dapat digunakan untuk subsidi produk makanan rakyat Malaysia.

Kerajaan tentunya melaksanakan langkah-langkah drastik dan tragik ini berdasarkan logik ekonomi, iaitu menyesuaikan diri dalam konteks mempertahankan negara daripada putaran keruntuhan ekonomi dunia yang berlaku pada ketika ini. Tidak ada negara yang mampu melepaskan diri daripada kenaikan harga minyak dan makanan dunia yang berlaku sekarang ini. Langkah kawalan yang bergantung kepada kebijaksanaan strategi ekonomi, rizab negara dan kestabilan ekonomi sebelum ini sahaja yang mampu membezakan keadaan teruk antara sesebuah negara dengan negara yang lain. Logik ekonomi ini dilihat berasaskan kepada apa yang disebutkan sebagai ‘subtle combination of philosophical presuppositions, idealogical orientation, factual observations, predictions and fond hopes’.

Langkah-langkahnya melihat kepada fakta-fakta ekonomi dunia, falsafah dalam konteks hubungan negara dengan rakyat, orientasi terhadap idealogi ekonomi pasaran, pemerhatian serta ramalan terhadap pergerakan ekonomi domestik dan dunia masakini serta masa hadapan, dan juga harapan-harapan untuk membina kestabilan sosial melalui kestabilan ekonomi. Logik ekonomi inilah yang menjadi pertimbangan kerajaan dalam menghadapi suasana ekonomi global yang tidak menentu sekarang ini.

Namun dari sisi yang lain, rakyat keseluruhannya menerima kenaikan harga minyak ini daripada persepsi yang berbeza. Kenaikan bagi rakyat adalah tetap kenaikan yang membebankan. Alasan-alasan yang dikemukakan melalui logik ekonomi bukan suatu hakikat fizikal yang dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi oleh kenaikan harga minyak yang amat drastik dan tragik ini. Perbandingan dengan kadar kenaikan di negara-negara lain bukanlah sesuatu yang bijak untuk menarik perhatian sekaligus penerimaan rakyat terhadap ‘kebaikan’ langkah kerajaan itu. Bagi rakyat kesimpulan yang mereka capai ialah ‘kerajaan telah gagal melaksanakan tugasnya kepada rakyat’.

Inilah logik yang diterima oleh rakyat walaupun mungkin bukan semua tetapi setidak-tidaknya oleh majoriti rakyat. Berbeza dengan logik ekonomi, logik rakyat ini lebih dipandu oleh pergerakan emosi yang terperangkap dalam apa yang disebut sebagai ‘vicious cycle of confusion and emotional traps’. Rakyat merasa keliru dan akhirnya terperangkap dalam emosi marah oleh tekanan ekonomi yang dihadapi mereka. Maka pihak yang paling dekat untuk mereka persalahkan ialah kerajaan. Mempersalahkan kerajaan bukan sahaja satu tindakan yang melihat kepada kegagalan kerajaan menstabilkan tekanan ekonomi yang menyerang Malaysia tetapi juga adalah suatu bentuk escapism rakyat daripada ‘keperitan dan kepayahan’ mereka.

Dalam menangani ketidakpuasan hati rakyat, kerajaan sebenarnya tidak cukup dengan hanya menyediakan ubat yang memenuhi keperluan material dan fizikal sahaja tetapi juga perlu tahu mengalihkan tumpuan rakyat sekaligus escapism yang bersifat emotif dan spiritual tersebut. Namun terlihat di sini kerajaan tidak mampu menyediakan suatu bentuk ‘ketenangan’ kepada rakyat, yang mana dapat meneutralkan ketidakpuasan hati mereka daripada meledak keluar. Ini adalah kerana kerajaan sendiri diwakili oleh parti-parti yang tidak lagi stabil. Pertelagahan dan kekecohan yang memperlihatkan kehuru haraan di samping pelbagai penyelewengan yang berlaku di tangan pucuk pimpinan politik dari atas sehingga ke bawah tidak lagi mampu ‘menenangkan’ rakyat.

Rakyat melihat kemewahan para pemimpin UMNO, dan parti komponennya yang membina satu jurang kekayaan yang cukup luas antara mereka dan pemimpin-pemimpin UMNO serta parti BN. Tetapi dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin UMNO dan BN ini pulalah yang dilihat rakyat yang membuat keputusan untuk menaikkan harga minyak sekaligus akan menyangkuti bahan-bahan keperluan yang lain. Walaupun UMNO yang memimpin kerajaan melakukan tindakan yang betul dari logik ekonominya, tetapi keadaan dan kedudukan mereka yang mewah di mata rakyat menjadikan tindakan mereka mengikut logik ekonomi itu menjadi salah melalui logik rakyat.

Logiknya rakyat melihat pemimpin-pemimpin UMNO berjuang untuk kekayaan dan kepentingan diri mereka pada zaman ekonomi negara mewah dan stabil, tetapi melepaskan beban kepada rakyat apabila ekonomi mengalami keruntuhan. Maka logik rakyat melihat pemimpin-pemimpin UMNO adalah golongan yang mementingkan diri sendiri dan melepaskan beban kepada rakyat tanpa sanggup berkorban untuk negara dan rakyat.

Lebih malang lagi logiknya rakyat melihat Pak Lah hanya seorang pengisytihar kenaikan harga minyak dan segala macam kenaikan harga yang munculnya hanya pada saat pengisytiharan segala macam kenaikan yang membebankan rakyat. Sejak dari awal kepimpinannya sehinggalah sekarang logik rakyat melihat sumbangan Pak Lah dalam kepimpinan negara Malaysia ialah sebagai seorang tokoh pengisytihar kenaikan petrol dan barang keperluan. Selebihnya ekonomi tidak pernah berkembang melebihi daripada apa yang rakyat jangkakan.

Dan logik rakyat ini telah menunjukkan ‘sedikit kesannya’ pada PRU 12.

Mingguan Wasilah, 15-21 Jun 2008

No comments: